Sambungan Malam Terawih
TINGGAL seminggu
sahaja lagi hari raya bakal menjelang. Emi dan teman serumah yang lain masih
sibuk dengan belajar. Nor, Alin dan Shidah masing-masing sudah menempah tiket
untuk pulang ke kampung. Kak Yati pula memandu sendiri pulang beraya di Bukit
Beruang Melaka. Emi masih termangu sendiri. Ikutkan hati dia ingin pulang
dengan bas sahaja tetapi abangnya pula melarang. Abangnya sudah berjanji ingin
pulang bersama dua hari sebelum hari raya.
“Apa yang Emi
mengelamun tu?” Kak Yati menepuk bahu Emi yang sedang menongkat dagu.
“Tak ada apalah
kak…nanti tinggal Emi sorang je kat sini. Nor, Alin dan Shidah lusa dah nak
balik. Akak pula balik hari rabu rabu kan?” Emi mula muncung.
“Eh, akak balik
hari Khamis la.” Kak Yati senyum.
“Ye ke? Yes!
Ada la kawan! Emi ingat, Emi sorang je yang tinggal nanti!” Emi mula senyum.
Hatinya sedikit lega bila mendengar kak Yati juga pulang berhari raya pada hari
yang sama dengannya.
“Hari ni tak
berniaga ke?” Kak Yati pandang Emi yang asyik menonton tv. Selalunya waktu
begitu Emi sudah sibuk menyediakan kuih untuk dijual di bazar ramadhan.
“Tak lah kak…hari
ni Emi nak rehat la..” Emi menutur lemah.
“Kenapa lemah je
suara ni? Ada masalah ke?”
“Kak…sebenarnya
semalam mak Emi ada call. Dia kata raya kedua nanti, ada orang nak
datang merisik. Lecehlah kak…” Emi semakin sugul.
“Merisik?
Baguslah! Apa yang lecehnya?” Kak Yati sengih.
“Lecehlah…Emi
bukan kenal pun siapa lelaki tu..” Emi masih menongkat dagu.
“Merisik je
tu..kalau tak suka..tolaklah. Bukannya mereka nak meminang.” Kak Yati mula
memberi pandangan.
Emi hanya senyum
hambar. Dia merasakan perjalanannya masih jauh. Walaupun berada pada tahun
akhir pengajian, cita-citanya perlu dicapai dulu sebelum memikirkan soal
kahwin. Dia mula gelisah. Bermacam-macam persoalan timbul dibenaknya.
Fikirannya mula buntu.
SELESAI solat
terawih, Emi dan teman serumahnya yang lain mula berjalan beriringan pulang ke
rumah. Kekusutan fikirannya mula reda bila berbual dengan teman serumah.
Sepanjang perjalanan pulang dari masjid, banyak perkara yang dibualkan.
“Kak Yati!”
Serentak mereka
berpaling. Emi melihat Shafiq berlari ke arah mereka. Shidah dan Alin pula
hanya senyum melihat Shafiq dan Halim rupanya turut solat terawih malam itu.
“Ada apa Shafiq?
Halim?” kak Yati senyum.
“Err..kak..saya
nak minta maaf kalau ada salah silap. Selamat hari raya ya kak.” Shafiq sengih.
Termengah-mengah dia bersuara.
“Ooo..ingat apalah
tadi. Samalah kita ya! Shafiq balik mana nanti?” Kak Yati senyum lagi sambil
jeling Emi di sebelah yang hanya diam bila melihat Shafiq mendekati mereka.
“Kuala Kangsar
kak..” Shafiq senyum lagi. Dia senang berbual dengan Kak Yati yang sudah
dianggap seperti kakak sendiri.
Emi pandang Shafiq
sekilas. Orang kuala jugak ke? Kat mana agaknya rumah dia..
“Eh..sama lah
dengan Emi! Kuala Kangsar kat mana?” Kak Yati pula beria ingin tahu.
“Kat pekan kak.
Akak nak balik mana?” Shafiq berbahasa.
“Akak dekat
je..Melaka.”
Emi tunduk.
Rupanya Shafiq juga senegeri malah sedaerah dengannya. Ah! Bukan masalah
aku pun nak fikir.
“Takkan minta maaf
dengan kak Yati je? Orang lain kau tak ada buat salah ke?” Emi mula bersuara.
Shidah, Nor dan
Alin masing-masing senyum. Faham benar sikap Emi yang suka bertengkar dengan
jiran sebelah kiri mereka. Kak Yati pula hanya ketawa kecil sambil menggeleng.
“Err..kau patutnya
minta maaf dengan aku! Tapi takpa..sebab kau ni perempuan lemah, so, aku minta
maaf lah ya! Halalkan apa yang aku makan. Kuih tak jadi kau tu!” Shafiq berkata
selamba. Dia jeling Halim yang mula merenung Alin di sebelah Shidah.
“Siapa kata
perempuan lemah? Kau ni kan! Aku..” Emi tidak sempat menghabiskan kata-katanya
bila Kak Yati mula menarik tangannya.
“Dah la tu! Tak
baik bergaduh!” Kak Yati jeling Emi yang mula mengetap bibir.
“Ehem! Alin balik
mana raya ni?” Tiba-tiba Halim pula bertanya pada Alin.
Alin hanya senyum
tersipu-sipu bila ditegur begitu. Sebenarnya sudah lama dia suka pada Halim
tetapi dia tidak seberani Emi yang ringan mulut macam berteh jagung!
“JB..” Alin tunduk
malu.
“Ehem! Ehem! Dah
jom balik! Puasa-puasa ni tak boleh ngorat!” Emi tarik tangan Alin.
Mereka berlima
terus beredar dari situ meninggalkan Shafiq dan Halim. Halim pandang Alin
dengan senyuman lebar.
“Fiq..Emi tu cenge
la!” Halim jeling Emi yang masih memegang tangan Alin.
“Tahu pun kau! Tak
pa..aku nak tengok sampai bila dia nak sombong!” Shafiq mula ajak Halim pulang
ke rumah.
*************
EMI dan Kak Yati
mula menghantar Alin, Nor dan Shidah ke stesen bas. Sempat mereka bertukar
juadah kuih raya untuk dibawa pulang.
“Kirim salam pada
keluarga ya!” Kak Yati peluk Alin, Nor dan Shidah. Emi turut peluk teman
serumahnya.
Emi dan Kak Yati
mula beredar bila Alin, Nor dan Shidah sudah menaiki bas. Mereka berdua mula
menapak ke arah tempat letak kereta.
“Eh..tu Shafiq
kan?” Kak Yati menuding ke arah kanan jalan.
Emi mula jenguk ke
arah kanan jalan. Kelihatan Shafiq bersama Halim sedang leka berbual di tempat
menunggu bas. Dia pandang pula Kak Yati yang juga terjenguk-jenguk ke arah
Shafiq dan Halim.
“Jom kita tegur
dia orang!” kak Yati terus menarik tangan Emi menuju ke tempat menunggu bas.
Emi tidak sempat
berkata apa-apa bila Kak Yati bertindak begitu. Dia turut terheret sama
melangkah ke arah jiran sebelah kiri mereka di situ. Dari jauh, Shafiq sudah
senyum.
“Shafiq! Nak ke
mana ni?” Kak Yati mula mendekati Shafiq dan Halim.
“Nak balik ke
rumah kak..tadi hantar kawan naik bas. Akak buat apa kat sini?” Shafiq pandang
Kak Yati yang manis berbaju kurung biru. Dia jeling pula Emi yang juga berbaju
kurung dengan warna merah menyala.
“Hantar kawan
juga..Alin, Nor dan Shidah dah balik tadi. Jomlah naik kereta akak!”
Emi jeling Kak
Yati yang mula mengajak Shafiq dan Halim. Dia mula resah.
“Kak..Alin dah
balik? Ala..tak sempat kirim salam..” Halim pula menyampuk.
Shafiq sengih
melihat muka kelat Halim yang tak sempat melihat Alin. Dia pandang Emi yang
tercegat berdiri di sebelah Kak Yati. Emi sudah muncung. Ada hati kat Halim
ke minah ni..Shafiq mula meneka sendiri. Setiap kali Halim berbicara
tentang Alin, Emi pula yang muncung. Ada sahaja cara yang digunakan untuk
menghalang Halim berbual dengan Alin.
Shafiq dan Halim
mula menaiki kereta Kak Yati. Sepanjang perjalanan, Emi yang berada di tempat
duduk penumpang hadapan hanya diam membisu sambil melayan lagu yang diputar di
radio. Kak Yati pula asyik melayan pertanyaan Shafiq dan Halim. Sesekali ketawa
mereka berderai bila Shafiq membuat lawak.
Emi hanya senyum
bila terasa cerita dari Shafiq lucu. Kerana ego, tidak berani dia ketawa. Dalam
diam dia mula suka dengan sikap Shafiq yang peramah dan lucu. Selama ini dia
asyik bergaduh dengan Shafiq. Mungkin dia tidak mengenali Shafiq secara dekat.
Walaupun dia dan Shafiq satu fakulti tetapi mereka jarang berjumpa.
“Emi..kenapa diam
je ni?” Kak yati mula pandang Emi yang diam dari tadi.
Emi pandang Kak
Yati sambil tersenyum. Tiada apa yang penting hendak dikongsi. Dari cermin
sisi, dia menjeling Shafiq yang berada di belakang bersama Halim. Dari dalam
cermin, jelas bibir Shafiq menguntum senyum kepadanya. Sekejap itu juga dia
terasa ada sesuatu yang menyentuh hatinya. Jantungnya berdegup laju.
“Apa kena dengan
aku ni?” Emi berkata sendiri.
“Apa Emi cakap?”
Emi pandang ke
sebelah. Rupanya Kak Yati mendengar kata-katanya tadi. Cepat-cepat dia tunduk.
TIBA di rumah,
Shafiq dan Halim mengucapkan terima kasih kepada Kak Yati kerana menumpangkan
mereka sekali tadi. Emi pula cepat-cepat masuk ke dalam rumah tanpa
menghiraukan Shafiq dan Halim yang masih tercegat di depan pintu pagar.
“Kenapa dengan Emi
tu kak?” Shafiq mula perasan sikap Emi yang diam sejak tadi.
“Entahlah!
Selalunya mulut dia macam murai tapi kali ni diam pulak. Mungkin dia malu
dengan korang kut..” Kak Yati mengusik Shafiq.
Shafiq hanya
senyum. Malu?? Shafiq tidak mahu percaya kata-kata Kak Yati. Baginya itu bukan
sikap Emi yang dikenalinya sejak mereka berjiran. Emi bukan pendiam begitu.
Mungkin dia ada hati dengan Halim sebab itulah Emi diam saja sepanjang
perjalanan tadi.
************
SEBELUM bertolak
pulang, melalui Kak Yati, Emi sempat menitipkan sekeping kad raya kepada Shafiq
bersama hadiah kecil. Dia mengharapkan Shafiq sudi memaafkannya selama mereka
berjiran. Dia sedar sepanjang bulan puasa, dia telah banyak melakukan perkara
yang menyakitkan hati Shafiq biarpun hanya sekadar suka-suka terutama semasa
melempar seketul batu kepada Shafiq.
Tiba di rumah, Emi
terus bertanya ibunya mengenai perbualan di telefon tempohari. Ibunya hanya
tersenyum. Dia faham Emi seperti tidak suka dengan berita itu.
“Terima jelah
nanti. Abang tak suka Emi berkawan tak tentu fasal dengan lelaki. Dah ada orang
datang merisik tu, terima jelah!” Ery pandang adiknya yang mula muncung.
“Abang cakap
senanglah! Emi masih belajar lagi lah bang. Lagipun Emi nak kerja lepas belajar
nanti! Patutnya abang dulu yang kahwin!” Emi mula merajuk.
“Dah! Cepat anyam
ketupat tu. Ery tengokkan kayu api kat belakang rumah. Nanti nak rebus ketupat
pulak.”
Emi pandang abang
dan ibunya silih berganti. Mereka seolah tidak hiraukan perasaannya ketika ini.
Esok sudah 1 syawal. Bermakna, lusa akan ada rombongan datang merisik. Dia mula
menyambung menganyam ketupat. Teringat kad dan hadiah yang dititipkan untuk
Shafiq. Harap-harap Kak Yati tidak lupa memberinya kepada Shafiq. Perasaannya
mula resah.
Selesai menolong
ibunya di dapur, Emi segera ke bilik. Teringat hadiah yang diberikan oleh
Shafiq sehari sebelum Shafiq pulang ke kampung. Dia merenung kotak hadiah yang
berbalut kertas warna merah. Emi senyum. Shafiq seolah tahu warna merah adalah
warna kegemarannya. Kotak itu digoncang berkali-kali. Terasa berat. Perlahan
Emi membuka pembalut.
“Hah??”
Emi terdiam. Di
tangannya kini ada sebotol kicap bersama sekeping nota kecil yang dilekatkan di
botol. Satu persatu tulisan tangan itu dibaca.
‘Jangan lupa
bubuh inti kicap bila buat onde-onde nanti!’
Pada mulanya Emi
ingin menjerit marah tapi perlahan dia mengukir senyum. Teringat kenangan
onde-onde pemberian Shafiq yang berintikan kicap. Senyumannya semakin lebar
bila teringat hadiah yang dititipkan kepada Shafiq.
*****************
KINI sudah satu
syawal. Selesai solat Aidil fitri bersama abang dan ibu, mereka bertiga ziarah
pula pusara arwah ayah. Hari raya kali ini tidak seceria tahun sebelumnya.
Waktu itu arwah ayah masih ada, beraya bersama. Emi menongkat dagu sambil
merenung jauh keluar tingkap.
“Apa yang jauh
termenung tu?” Ery tepuk belakang Emi.
“Abang ni! Nasib
baik Emi tak ada sakit jantung tau!” Emi membalas balik. Dada abangnya ditumbuk
kuat.
Ery ketawa
gelihati dengan sikap Emi yang cepat melatah. Dia suakan sebiji kuih raya
kepada Emi. Suka melihat Emi marah begitu. Emi segera mengekori abangnya ke
ruang tamu. Emi pandang pula ibunya yang keluar dari dapur membawa semangkuk
rendang dan sambal goreng.
“Apa yang lucu ni
Ery?”
“Hahaha…tu..anak
gadis mak dah tentu arah. Esok ada orang datang merisik.” Ery semakin galak
menyakat Emi.
“Dah lah tu. Mereka
tu datang sebab dah lama tak bertandang ke rumah kita ni. Sambil tu..mereka nak
tengok anak gadis mak ni. Kalau Emi tak berkenan, mak tak paksa. Tapi mak harap
sangat Emi terima sebab mereka tu kenalan arwah ayah. Arwah ayah nak sangat
berbesan dengan mereka.”
Emi pandang ibunya
yang begitu mengharapkan dia menerima lamaran keluarga lelaki itu esok. Dia
hanya diam. Fikirannya mula teringat Shafiq. Entah sejak bila wajah Shafiq
seperti melekat di mata. Berkali-kali dia menidakkan perasaan dan ingatannya
terhadap Shafiq.
“Err..siapa nama
lelaki tu mak?” Emi tidak mahu melukakan hati ibunya. Sekurang-kurangnya dia
ambil tahu juga fasal nama lelaki yang ingin merisiknya esok.
“Entahlah..rasanya
nama dia Hazrul.”
Kali ini Emi diam.
Malam itu, Emi
tidak lena tidur memikirkan esok yang bakal menjelma. Serba salah rasanya.
Ditambah pula rasa penat melayan budak-budak yang ramai datang beraya siang
tadi. Tak menang tangan dia melayan. Teringin nak bagi tahu ibu dan abangnya
tentang Shafiq. Lagipun siapalah dia untuk berbuat begitu sedangkan Shafiq
sedikit pun tidak menaruh hati padanya. Jenuh dia pejam mata namun tetap juga
tidak lena. Bila memikirkan hal esok, hatinya semakin berdebar.
“Assalamualaikum
kak Yati..” Emi mula teringat kak Yati. Dia harus mencari penyelesaian dengan
kak Yati malam itu juga.
“Wa’alaikumussalam!
Emi sihat?”
“Sihat kak…” Emi
bersuara lemah.
“Kenapa ni..lemah
semacam je suara tu. Cuba cerita dengan akak!”
Emi mula meluahkan
segala yang terjadi dan juga perasaannya yang mula sukakan Shafiq tanpa dia
sendiri sedar. Entah bila dia sendiri pun tidak tahu.
“La..jadi betullah
selama ini tekaan akak.”
Emi tunduk malu
bila mendengar kata-kata Kak Yati di hujung talian.
“Kak..macam mana
ni..esok ada orang datang merisik. Emi bingung la kak…” Emi masih sugul.
“Macam nilah..Emi
cakap elok-elok dengan mak dan abang Emi. Nanti akak cuba sampaikan pada
Shafiq.”
Emi tergamam.
“Kak! Jangan kak! Shafiq tu bukan sukakan saya pun!”
Talian putus. Emi
mula resah. Di benaknya bermacam-macam persoalan timbul memikirkan apa yang kak
Yati akan buat nanti dan kusut memikirkan hal merisik esok.
**************
EMI mengurung diri
di dalam bilik. Sekejap lagi kenalan arwah ayah akan datang. Dia semakin
gelisah. Sesekali dia jeling jam di atas meja belajar. Hatinya berdebar-debar.
Deruman kereta di luar mula kedengaran. Dia jenguk keluar tingkap. Dua buah
kereta sudah siap diparkir di laman rumahnya.
“Aduh! Macam mana
ni?” Emi mula rapikan tudungnya yang kusut.
Dia segera
melangkah ke pintu bila mendengar ada ketukan. Perlahan pintu dibuka. Abangnya
sudah tercegat di muka pintu.
“Tamu dah sampai
tu. Nanti tolong mak sediakan juadah okey?” Abang Ery senyum sambil mengenyit
mata.
Emi muncung lagi.
Jantungnya semakin berdebar. Ikutkan hati mahu saja dia keluar dari rumah hari
itu dan lepak di rumah ibu saudaranya di kampung sebelah. Perlahan dia
melangkah turun ke ruang dapur. Nasib baik ruang dapur tidak perlu melalui
ruang tamu.
Dari dapur, dia
dapat mendengar dengan jelas perbualan ibu dan rombongan merisik itu. Sesekali
kedengaran mereka ketawa. Mungkin ada cerita lucu agaknya. Malas dia ambil
pusing. Jus lemon dibancuh perlahan. Kuih raya dan juadah sudah siap dihidang
atas meja makan.
“Assalamualaikum..tumpang
tanya..bilik air kat mana?”
Emi berpaling.
Matanya kaku memandang seorang lelaki yang sangat dikenalinya berdiri di depan
muka pintu dapur.
“Shafiq??”
“Emi??”
Masing-masing
terdiam. Lama mereka berpandangan. Sudu di tangan Emi jatuh ke lantai.
Cepat-cepat dia ambil dan membasuhnya di singki. Emi pandang Shafiq lagi.
Shafiq segak dengan baju Melayu warna biji kundang dan bersamping hitam
“Jadi…” Emi
tergagap-gagap. Tiada suara lagi keluar dari kerongkongnya.
“Maafkan
aku..terima kasih hadiah tu. Tapi aku tak makan budu!” Shafiq cuba memecah
keheningan suasana.
“Mana tahu kau nak
buat cek mek molek pakai resipi aku! Kau tu..bagi aku kicap!” Emi mencebik. Dia
sudah terlupa tentang kedatangan Shafiq di rumahnya ketika itu.
Shafiq ketawa. Dia
pun tidak sangka Emi juga menghadiahkannya sebotol budu. Teringat nota ringkas
yang ditulis di kad raya. ‘ Inti budu untuk cek mek molek kau nanti!’
Emi mula sakit
hati melihat Shafiq ketawa begitu.
“Kau..kau buat apa
kat sini?” Emi pandang Shafiq dengan riak geram. Tak habis-habis nak
kenakannya.
“Tak boleh ke aku
datang rumah kau?” Shafiq sengih. Ketawanya mula reda. Kini dia faham maksud
ibunya yang beria ingin berbesan dengan kenalan ayahnya. Hatinya mula berbunga.
Terasa dunia begitu kecil.
Emi jeling Shafiq
yang masih tersengih-sengih begitu. Jus dikacau kuat. Bunyi sudu berlaga dengan
jag kaca jelas kedengaran.
“Cik Emi oi..pecah
karang jag tu! Tak nak aku kahwin dengan perempuan macam kau ni! Kasar!” Shafiq
mula ketawa semula.
Emi lempar sebiji
kuih semperit ke arah Shafiq. Shafiq cepat-cepat mengelak.
“Tak kelakarlah!
Siapa yang nak kahwin dengan kau?” Emi letak jag atas dulang.
Emi perhati Shafiq
yang masih bersikap seperti dulu. Suka menyakatnya tak kira di mana. Namun jauh
di sudut hati dia menyukai Shafiq walaupun dia dan Shafiq suka bergaduh begitu.
Kini dia bingung.
Siapa pula Hazrul?? Dia terus menunjukkan arah bilik air bila Shafiq bertanya
sekali lagi. Kali ini dia pasti, Shafiq dan Hazrul mungkin ada pertalian
saudara. Emi mula tidak sedap hati. Bermakna jika dia terima lelaki itu, dia
juga akan menjadi sebahagian keluarga Shafiq nanti. Parah!
Perlahan Emi
menapak ke arah ruang tamu. Semua mata tertumpu padanya. Terasa kakinya tidak
menjejak lantai. Terawang-awang. Dia dapat mengagak, kedua orang tua Hazrul
hadir bersama. Ada dua orang lagi yang pada hemahnya mungkin saudara mara
keluarga Hazrul turut berada di situ. Sambil menatang dulang berisi sejag jus
lemon, Emi jeling tetamu yang hadir. Matanya mencari kelibat Hazrul.
Pencariannya terhenti pada sesusuk tubuh yang duduk di sebelah seorang
perempuan yang agak berumur, mungkin ibu kepada Hazrul. Dia jeling sekilas
lelaki itu. Mungkin lelaki itulah Hazrul. Segak berbaju Melayu hijau dan
bersongkok hitam bersulam emas. Ada misai nipis. Agak tampan. Lelaki itu turut senyum
bila menyedari Emi merenungnya begitu.
Dulang diletak
atas meja sofa. Perlahan dia menuang jus lemon ke dalam gelas. Terketar-ketar
tangannya memegang jag. Terasa semua mata sedang memerhati tingkah lakunya
ketika ini.
“Nilah anak gadis
saya kak…Emi Suraya!”
Emi pandang ibunya
yang tersenyum memperkenalkan dirinya kepada ibu dan bapa Hazrul. Dia pandang
pula lelaki yang dirasakannya Hazrul. Lelaki itu senyum lagi. Ery, abangnya
yang duduk sebelah ibu turut senyum melihat tangannya terketar-ketar begitu.
“Ohh..manis
orangnya. ..”
Emi ingin ke dapur
semula tetapi dihalang oleh ibunya. Dia terpaksa duduk sama di situ. Dulang
diletak bawah meja sofa. Tidak sanggup dia membatu di situ dan diperhati macam
patung cendana. Dia cuba melempar senyuman kepada Hazrul yang tersenyum dari
tadi. Ingin saja dia bertanya hubungan Shafiq dengan Hazrul.
“Emi apa khabar?”
Lelaki itu mula bertanya khabar Emi.
“Ba..baik.” Emi
senyum sambil tunduk. Sah, lelaki itu adalah Hazrul. Dari riak wajahnya jelas
lelaki itulah yang ingin dijodohkan dengannya. Namun dia masih ragu-ragu dengan
telahannya tadi. Lelaki itu nampak lebih berusia.
Teringat Shafiq di
dapur tadi. Emi mula sebak. Di saat dia mula sukakan Shafiq, ibunya pula ingin
menjodohkannya dengan Hazrul.
“Jemputlah! Emi
yang masak rendang dan kuih tu semua.”
Emi hanya senyum
hambar. Dalam hati membuak-buak ingin tahu benarkah yang sedang tersenyum
kepadanya ketika ini adalah Hazrul. Belum sempat dia membuka mulut ingin
mendapat kepastian, ibu Hazrul sudah tersenyum sambil memandang ke arah dapur.
“Hah..tu pun
Hazrul datang! Hazrul, mari sini! Kenalkan, ni Emi yang ayah selalu cerita tu”
Ayah Hazrul senyum melihat anak bujangnya.
Emi pandang ayah
dan ibu Hazrul dengan wajah bingung. Dia menoleh pula ke arah seseorang yang
dimaksudkan oleh ibu Hazrul tadi. Shafiq?? Jadi siapa lelaki di
depannya yang sedang merenungnya ketika ini?
Shafiq melangkah
berhati-hati dan hanya tersenyum sambil melabuhkan punggung di sebelah lelaki
tadi. Dia jeling Emi yang masih terpinga-pinga kebingungan.
“Hazrul??”
Terpacul nama Hazrul dari mulut Emi. Matanya merenung tajam wajah Shafiq yang
masih tersenyum. Ada sedikit rasa geram bila melihat Shafiq hanya selamba
tersenyum kepadanya.
“ Ya, saya Hazrul
Shafiq!” Shafiq mula perkenalkan diri.
Emi terdiam.
Terasa kerongkongnya sudah tersumbat.