Roda basikal itu
berputar laju. Melalui jalan-jalan yang penuh selekoh. Suasana pagi yang
berembun pada mulanya telah bertukar sedikit hangat. Kemudian matahari mula
terbit perlahan-perlahan dari ufuk. Cahaya kemerah-merahan sang matahari
menikam mata. Keadaan sekeliling seakan-akan mula cergas, burung-burung
berkicauan disambut dengan bunyi kereta melalui jalan utama dan jalan kecil
belakang kawasan istana Johor itu.
Tyana berbasikal
perlahan sambil memandang ke dalam kawasan istana yang beratus-ratus hektar
luas itu. Kawasan yang dipagari pagar besi itu luas tak terkata. Keluasannya
seakan-akan istana zaman dahulu kala dan kerajaan di dalamnya. Tyana
membetulkan headphone di telinganya. Lagu Terukir Di Bintang alunan Yuna masih
berkumandang di telinga. Pagi ini sangat mendamaikan.
Namun, malang
tidak berbau. Basikal yang dikayuh Tyana terlanggar batu dan dia bersama
basikalnya tumbang ke atas jalan tar itu. Tangan serta lutut Tyana melecet dan
berdarah. Dia cuba untuk bangun namun kudratnya tidak berdaya. Tyana terduduk
semula di atas jalan tersebut sambil mengaduh kesakitan.
Dari kejauhan
sebuah kereta Honda CRV sedang memacu laju. Melingkari belakang kawasan istana
yang besar itu. Kereta tersebut meningkatkan kelajuan sebaik sahaja melalui
suatu selekoh. Dia yang berkaca mata gelap menekan pedal brek dalam-dalam
apabila melihat seorang gadis terduduk di tengah jalan.
Tyana memandang
dari kejauhan sebuah kereta sedang meluncur laju ke arahnya. Dia tak mampu
berbuat apa-apa cuma mengucap panjang. Matanya dipejam dan tangan menekup ke
muka.
“Ya Allah
jikalau inilah ajalku aku hidup dan mati dengan menyebut namaMu, Allah..”
Tretttttttt!
Hanya tinggal
sejengkal lagi di antara badan Tyana dan Honda CRV milik jejaka berkaca mata
hitam itu. Lelaki itu keluar dari kenderaannya sambil melibas kuat pintu
kereta.
“Eh! Awak ni dah
gila ke duduk tengah-tengah jalan macam ni?!”
Muka jejaka itu
merah menahan amarah. Mahu tak marah. Kalau terlanggar orang free free je kena
masuk jel.
Tyana
perlahan-lahan membuka mata dan menurunkan tangan yang menekup mukanya.
Dipegang-pegang bahagian muka serta tangan hingga ke kaki. Aku masih hidup! Ya
Allah!
“Hey, saya
bercakap dengan awak! Dengar ke tak?”
“Maaf! Maaf! Saya
berbasikal tadi. Lepas tu saya terjatuh.. tangan.. kaki semua sakit..”
Tyana
mengusap-usap lututnya yang melecet teruk akibat terseret ke jalan bertar itu.
Lelaki itu membuka cermin matanya. Lalu menunduk melihat kecederaan yang
dialami Tyana.
“Awak boleh jalan
tak?” Lelaki itu bertanya lembut. Mungkin dia agak bersimpati dengan keadaan
Tyana sambil malu sendiri akibat tindakannya memarahi Tyana tak tentu pasal.
“Boleh rasanya..”
Tyana cuba untuk
berdiri namun kestabilan dirinya tidak mampu dicapai akibat lututnya yang tidak
boleh diluruskan. Di saat Tyana hampir tumbang jejaka itu menyambut Tyana dari
belakang. Dia kemudiannya memimpin Tyana masuk ke dalam kereta dan basikal Tyana
di bawa bersama masuk ke dalam perut kenderaan tersebut.
**
“Terima kasih
sebab tolong bawakan saya ke klinik” Tyana tersenyum sambil memegang bungkusan
ubatan.
“It’s okey,
lagipun saya nak minta maaf.”
“Maaf?”
“Sebab saya main
serbu je marah awak tadi”
“Oh.. takpe
takpe.. saya pun ada salah jugak. Bahaya sebenarnya berbasikal kat situ.”
“Jadi cik..?”
“Tyana.. boleh
panggil saya Tya je.”
“Cik Tya nak balik
macam mana? Nak saya hantarkan ke?”
“Encik..?”
“Just call me
Kamal.”
“Kamal tak payah
la susah-susah, kawan saya dah janji nak ambil. Haa tu pun dia.” Tyana menuding
jari ke arah kereta Honda Jazz merah milik Alisa, rakan baiknya.
“Ohh, okey tunggu
sekejap” Kamal mengeluarkan sekeping kad dari dompet miliknya.
“Ini kad saya,”
Kamal menghulurkan kad hitam miliknya itu ke Tyana.
Tyana menyambut
lembut sambil membaca tulisan tertera di kad tersebut. ‘Kamal Ariff.. KA
Photography.. Wedding, Pre Wed.. Pejabat.. Kuala Lumpur..’
“Awak bukan orang
sini?” Tyana bertanya sambil mengeluarkan sesuatu dari beg sandang Nike
miliknya.
“Ohh tidak. Saya
bercuti je kat sini.”
“Ini kad saya.
Saya pergi dulu, bye..” Tyana meninggalkan Kamal terkebil-kebil di situ dan
terus berjalan ke arah kereta rakannya.
Kamal mengamati
kad yang diberikan Tyana. Tertera tulisan nama Tyana Nur Alya Fakri. Kemudian
di baca lagi perkara yang tertera di bawah nama tersebut.
‘Director of
Megah Holdings.. bla bla.. Kuala Lumpur..’
Kamal tersenyum
meleret sendirian. Lalu dia memasukkan kad tersebut ke dalam koceknya dan
berlalu pergi.
**
“Jadi kau jumpa
lelaki tu macam tu je?” tanya Alisa yang berkobar-kobar ingin mengetahui
lanjutan dari pertemuan singkat Tyana dan Kamal.
“Yelah, macam tu
je,” Ringkas. Tyana malas nak berfikir panjang.
“Alaaa.. kau tak
contact dia ke ape ke?”
“Buat apa nak
contact? Kalau tangan aku ni patah ke ape ke kot la..”
“Tya, mana tahu
dia jodoh kau,” Alisa mendesak Tyana lagi. Sampai bila kawan aku ni nak
membujang. Sedangkan dia sendiri sudah ada dua orang anak.
“Sapelah yang nak
kat aku ni.. Kau tahu kan.. Jadi tak payahlah nak excited sangat,” Tyana
berjalan laju sedikit sambil melihat telefon bimbitnya. Jadi emosi seketika.
Iyalah, teringat akan rakan-rakannya yang lain yang sudah beranak pinak,
tinggal dia seorang yang forever alone di sini membuatkan dirinya runsing
seketika.
“Tya! Janganlah
laju sangat!” Alisa mengekor dari belakang. Memang kena pujuk minah ni. Nanti
mau tak bertegur dua tiga hari. Sensitif sangat semenjak balik dari Johor ni.
Tyana melangkah
laju. Asyik dengan beri hitam miliknya. Buat-buat sibuk. Tiba-tiba terasa nak
Google itu ini. Tanpa disedari Tyana terlanggar seseorang dihadapannya
sehinggakan Blackberry miliknya jatuh ke lantai dan berkecai! Tyana yang memang
sedia emosi itu terduduk di lantai melihat serpihan Blackberry Bold miliknya.
Ini memang
mendatangkan marah!
Tyana bingkas
bangun dari bersedia untuk menghamburkan kata-kata namun bibirnya kelu seketika
tatkala melihat susuk tubuh dan raut wajah manusia di hadapannya.
“Kamal! Buat apa
kat sini?”
“Tyana? Sorry your
BB.. I..” Kamal menuding jari ke arah Tyana lalu mengutip serpihan Blackberry
Tyana.
“It’s okey Kamal.
It’s okey. Biar I yang kutip.” Tyana cepat tunduk dan mengumpul serpihan
Blackberrynya. Emosi Tyana juga berubah dengan tiba-tiba. Berdebar-debar
rasanya jantung. Bagai nak terkeluar. Kalau boleh menjerit memang dah buat dah.
**
“Terima Kasihlah
awak.. buat susah-susah je belikan saya telefon ni..” Tyana membelek-belek
telefon bimbit Nokia E63 yang ala-ala Beri Hitam itu.
“Telefon murah je
tu, lain kali kalau saya ada duit sikit saya gantikan awak dengan Blackberry
yang awak guna sebelum ni,” Kamal tersenyum melihat Tyana yang masih membelek
bagaimana untuk mengoperasi telefon itu. Itulah terbiasa sangat guna Beri Hitam
tu, sampai handphone simple macam Nokia ni pun tak tau pakai.
“EH! Takpe takpe..
lagipun memang salah saya. Tak pandang orang bila berjalan.” Tyana yang semakin
memerah pipinya cepat-cepat menolak tawaran Kamal. Sian laki ni, siap beli
handphone baru lagi kat aku.
“Awak tahu tak nak
pakai macam mana?”
“Ahh.. tahu tahu..
tapi.” Tyana garu-garu kepalanya yang sememangnya tidak gatal.
“Takpe, biar saya
ajarkan awak,” Kamal tersenyum.
**
Semenjak dari
pertemuan itu Kamal dan Tyana semakin intim. Selalu ke sana dan ke mari
bersama-sama. Bagi Tyana yang sudah lama tidak berteman, dia merasakan Kamal
telah memberikan nafas baru dalam kehidupannya. Kamal baik, merendah diri, ada
humor, dan pandai mengambil hati. Tapi Tyana terlupa akan sesuatu. Sehinggalah
selepas 5 bulan perkenalan mereka, Kamal telah menyatakan sesuatu yang
menyedarkan Tyana dari angan-angan mimpinya.
Kamal diam melihat
Tyana yang semakin berkerut dahinya. Kemudian wanita itu bangun dari kerusi
yang didudukinya dan terus keluar dari kedai kek Secret Recipe yang mereka
kunjungi. Tyana bergerak ke arah kereta yang dipandunya dan mula membuka pintu
kereta. Kamal menahan tingkah Tyana dan memegang tangan Tyana sambil meragut
kunci kereta Honda Altis milik wanita itu.
“Awak nak ke mana?
Kenapa ni? Saya ada cakap benda salah ke?” Kamal yang bertambah keliru dengan
tindakan Tyana mahukan penjelasan. Dia tahu Tyana mempunyai perasaan yang sama
sepertinya tetapi kenapa wanita ini seakan-akan mengelak dari semua itu.
“Awak takkan faham
Kamal. Maafkan saya.” Tyana mengambil semula kunci kereta miliknya dari tangan
Kamal dan masuk ke dalam perut kereta. Dia terus memacu laju kenderaannya jauh
dari kawasan tersebut. Jauh dari Kamal dan segala-galanya.
Dia sudah terlupa
siapa dirinya. Dia sudah terlanjur dengan semuanya. Pada pengakhirannya, inilah
semua yang bakal terjadi. Tiada cinta, tiada kebahagiaan. Yang ada cuma derita
menanggung perasaan. Kamal pun kalau tahu pasal semua ini, pasti dia akan
meninggalkannya seperti lelaki-lelaki terdahulu. Zharif yang dahulunya sanggup
mati kerananya pun meninggalkan dia begitu sahaja dengan alasan keluarganya
tidak mampu menerima keadaan Tyana.
Otak Tyana semakin
berserabut. Airmata juga mula bercucuran turun dari kelopak matanya. Jikalau
ibu serta ayahnya masih disini, sekurang-kurangnya dia tidak terlalu kecewa.
Sekurang-kurangnya dia masih punya tempat untuk bermanja, dibelai serta
dikasih. Tapi mereka semua sudah tiada. Yang tinggal aku bersendirian.
**
Telefon miliknya
berlagu kembali. Kalau yang menyanyikan lagu Biarlah Rahsia itu benar-benar
Siti Nurhaliza secara live, mahu penat penyanyi wanita itu dibuatnya. Skrin
telefon Nokia itu memaparkan sudah cukup 50 missed call yang tidak dijawab
Tyana. Kemudian masuk pula mesej yang entah ke berapa kali ini. Tyana menggapai
telefon bimbitnya, terdetik hatinya mahu melihat mesej apa pula kali ini yang
dihantar Kamal untuk memujuk.
‘Tya tolong
jangan buat saya macam ni. Kalau awak ada apa-apa masalah bersemuka dengan
saya. Nyatakan perkara sebenar. Saya benar-benar cintakan awak’
Hati Tyana jadi
luruh kali ini. Dia juga sudah jatuh hati kepada jejaka ini. Tetapi dapatkah
Kamal menerima kekurangannya? Tak salah kalau memberitahu hal sebenar. Lebih
baik Kamal tahu sekarang dari nanti bertambah rumit masalah ini. Lebih cepat
Kamal tahu, lebih cepat dia lupakan aku.
‘Baiklah
Kamal. Kita jumpa malam ini. You pick me up. Kita dinner sama’
**
Kamal menjemput
Tyana dan membawanya makan malam di Full House Ampang. Mereka diam sepanjang
menjamah makan malam. Kamal mahupun Tyana dua-dua tidak bersuara. Melihat
pinggan masing-masing. Akhirnya Kamal mula bersuara. Dia tidak tahan lagi
berada di dalam kediaman ini.
“Tyana..”
“Hmm..”
“I wont give up on
us.. Saya benar-benar sukakan awak. Maksud saya I love you”
“Kamal.. Kalau
awak benar-benar sukakan saya, awak harus dengar beberapa perkara tentang saya
yang saya nak beritahu awak. Dan saya yakin yang awak akan tinggalkan saya
selepas mendengar semua ni..”
“Saya bersedia
untuk mendengar semua ini..”
Tyana membersihkan
bibirnya dengan napkin yang disediakan. Dia menegakkan badannya tanda bersedia
untuk bercerita. Kamal pula menarik kerusi kehadapan dan menongkat dagunya
dengan tegak. Ia bagaikan semua bunyi sekeliling mereka terdiam dan menumpukan
perhatian. Tyana memejamkan matanya dan mula bersuara.
**
“Doktor kenapa
dengan anak saya ni? Dia selalu tak bermaya dan sakit perut. Muka dia pun
kuning. Saya risau doctor,” Puan Maya mula menyuarakan kerisauannya kepada
Doktor Azizi.
“Puan, berat untuk
saya katakan tetapi anak puan menghidap Talassemia. Antara gejala penyakit ini
ialah masalah pucat atau lambat dari segi tumbesaran.”
“Penyakit ni
bahaya ke doctor? Macam mana nak rawatinya? Saya dan suami saya akan bayar
semua biaya perubatan anak kami. Dia seorang sajalah anak saya doctor.
Tolonglah..”
“Puan.. kalau
tidak diberi rawatan lazimnya pesakit talasemia meninggal dunia pada usia yang
muda iaitu sekitar belasan tahun dan ada yang mencapai hingga usia 30 tahun…”
“Ya Allah! Doktor
tolonglah buat apa saja.!”
“Anak puan perlu
menjalani transfusi darah setiap bulan tetapi transfusi darah ini pun mempunyai
beberapa masalah puan. Transfusi darah berterusan akan menyebabkan pengumpulan
zat besi di dalam organ penting seperti hati, jantung dan kelenjar endokrin
yang akhirnya merosakkan fungsi organ-organ tersebut. Rawatan penyingkiran zat
besi berlebihan ini pula perlu dilakukan dengan suntikan ubat Desferrioxamine
menggunakan alat khas. Anak puan perlu pakai alat itu selama lapan jam sewaktu
tidur.”
Puan Maya mula
menangis dan merebahkan kepalanya di bahu suaminya, Encik Fakri.
“Doktor selain
dari itu.. ada apa-apa lagi yang anak saya akan lalui doctor?”
“Anak tuan dan
puan juga apabila besar nanti tidak digalakkan hamil kerana ibu hamil yang
mengidap talasemia menghadapi risiko keguguran atau jika bayi itu lahir ia
boleh menyebabkan kematian.”
**
Tyana memandang ke
mata Kamal dengan tajam. Melihat reaksi Kamal dan cuba menganalisanya. Lelaki
ini tampak tenang. Namun tiada secebis senyuman di bibirnya.
“Ada cara lain
selain transfusi darah tu untuk pulihkan penyakit awak ni?”
“Ada. Pemindahan
sum-sum tulang jika sesuai. Tetapi pada masa tu kami tidak melakukannya oleh
kerana kekangan kewangan. Sekarang saya ada duit tapi tak ada yang sesuai dengan
saya.”
“Berapa banyak
lelaki yang telah tinggalkan awak setelah tahu awak ada penyakit ni?”
“Soalan apa awak
tanya ni??” Satu-satunya soalan Kamal yang menaikkan amarah Tyana secara
mendadak. Macam tak percaya pulak orang sakit.
“Saya cuma nak
tahu je.. siapa bekas-bekas teman lelaki awak yang bodoh tu”
“Saya bukan orang
yang mudah untuk jatuh cinta Kamal. Dan pabila saya mencintai seseorang itu,
saya benar-benar mahukan dia di dalam hidup saya. Yang pertama semasa zaman
kolej dulu. Amar perlahan-lahan putuskan hubungan cinta saya dengannya bila dia
tahu tentang sakit saya. Saya tak kisah sangat masa tu sebab sama-sama masih
muda. Namun bila tunang saya sendiri putuskan pertunangan kami sebab masalah
ini, ia dah jadi suatu masalah besar. Zharif cakap ibu bapanya yang tak suka
mengenai diri saya tetapi tiba-tiba saya dapat tahu yang dia telah berkahwin
senyap-senyap tanpa pengetahuan saya. Saya kecewa Kamal.. oleh sebab itu saya
terpaksa memutuskan hubungan ini awal-awal lagi supaya awak tak kecewa dan saya
tak terluka.”
Tyana memandang ke
luar restoran. Kemudian mengelap air matanya. Jelas dia benar-benar sudah
serik. Sudah cukup banyak derita yang ditanggung. Menahan diri dari mencintai
orang lain. Menahan diri dari fitrah manusia yang sebenarnya mencintai dan
menyayangi yang lain.
“Tyana.. kalau
awak sangka awak ada kekurangan, begitu juga orang lain. Cuma awak tahu dan tak
tahu je. Saya pun ada kekurangan. Tapi tak perlulah saya beritahu sebab ia tak
penting pun. Yang paling penting saya jujur mencintai awak.. dan.. saya tak ada
keluarga lain hehe.. jadi awak tak perlu nak risau untuk berhadapan dengan
sesiapa pun.”
“Tak ada keluarga?
Anak yatim?” Tyana mengerutkan dahinya.
“Iya. Saya anak
yatim. Ibu meninggal pada usia saya 4 tahun. Ayah meninggal semasa saya dalam
kandungan ibu lagi,”
“Maafkan saya..”
“Tak apa. Tyana..
pertama kali saya melihat awak, saya tahu awak akan menjadi sesuatu dalam hidup
saya. Jadi saya ingin melamar awak menjadi teman hidup saya.. buat selamanya.”
Kamal mengeluarkan
kotak merah itu. Tyana pula menerimanya dengan hati yang tenang.
**
Setahun
perkahwinan Kamal dan Tyana semuanya berjalan dengan indah. Kamal seorang yang
penyayang dan kadang-kadang sedikit nakal. Dia sering memberikan Tyana kejutan
walaupun sekecil-kecil perkara. Manakala Tyana pula seorang isteri yang
menyenangkan. Dia telah membantu Kamal untuk meluaskan perniagaan pekhidmatan
fotografinya. Mereka sering menghabiskan masa di rumah bersama-sama dengan
mengemas rumah sampailah mengecat bilik mereka sendiri. Kamal dan Tyana juga
bercadang untuk mengambil anak angkat. Namun, kebahagiaan ini bertahan
sehinggalah Kamal tiba-tiba jatuh sakit dan di diagnosis mengalami komplikasi
buah pinggang.
“Kamal.. kenapa
awak rahsiakan ini semua dari saya?” Tyana menangis. Perasaannya tak mampu
dibendung. Semua ini bagaikan igauan mimpi ngeri dalam hidupnya.
“Tya.. kenapa awak
menangis? Sudahlah, kalau dah ajal saya.. cepat atau lambat saya pasti pergi..”
Kamal berbicara tersekat-sekat. Menahan derita kesakitan.
“Saya dah cakap
dengan doctor, saya akan buat apa saja supaya awak sembuh cepat okey? Jangan
banyak dalih and jangan banyak cakap..”
“Tyana, saya juga
dah berbincang dengan doctor. Saya nak buat pemindahan sum-sum tulang tu.”
“Kamal! Apa awak
cakap ni? Sudah! Saya tak nak dengar..”
“Tya.. ini
permintaan saya. Saya tahu saya takkan lama..”
Tyana menoleh
wajahnya daripada melihat Kamal. Degil! Kenapa tak diam saja dan terima
keputusan aku. Awak bukan tuhan yang boleh mengagak hidup awak tak lama di
dunia ni.
“Tya, saya tahu
awak marahkan saya. Tolonglah.. dengar cakap saya.”
“Kalau awak nak
mati. Saya pun nak matilah. Senang kan?”
“Tya.. awak ada
perjalanan hidup yang lebih panjang dari ni. Awak boleh kahwin lagi dan dapat
anak.”
“Mereka semua tu
tak cintakan saya macam awak cintakan saya. Saya tak mahu kehilangan awak,
Kamal.” Tyana mula mengelap air matanya lagi. Tidakkah Kamal faham? Dia tak
perlukan anak dan dia tak perlukan orang lain. Dia cuma perlukan Kamal. Kamal!
“Kalau tak mahu
buat pemindahan tu, lebih baik kita bercerai. Awak dah tak gunanya lagi dalam
hidup saya.” Kamal mula mengugut. Dia tahu Tyana lemah dengan semua ini. Dia
cuma mahu Tyana bahagia. Fahamilah dirinya ini!
“Kamal! Apa yang
awak cakap ni? Awak dah gila??”
“Awak yang gila
sebab tak mahu terima benda percuma. Saya dermakan sum-sum tulang ini atas
tanda kasih sayang saya pada awak. Awak yang gila sebab awak memang nak
berpisah dengan saya. Awak bencikan saya kan?”
“Kamal! Jangan
cakap macam tu.. saya tak pernah terlintas pun nak berpisah dengan awak.
Baiklah.. saya akan jalani pemindahan tu. Tapi awak janji dengan saya, jangan
tinggalkan saya.”
“Saya janji..”
Kamal tersenyum lemah. Tyana, awak masih tak faham..
**
Semuanya berjalan
lancar. Seminggu selepas pemindahan sum-sum tulang itu, Kamal dan Tyana
menjalani hidup seperti biasa. Cuma Kamal tak mampu nak bergerak jauh. Hanya
sekitar kawasan rumah sahaja. Manakala Tyana pula semakin sihat berbanding
dahulu. Dia tak lagi penat dan wajah serta matanya juga tak kuning lagi macam
dulu.
Petang Ahad itu
Kamal dan Tyana bersantai di halaman rumah mereka. Memberi ikan di kolam ikan
mereka makan. Bersenda tawa seketika sambil berbicara tentang plan mereka
tentang masa depan.
“Kamal.. awak nak
anak berapa? Sekarang ni kita boleh batalkan niat kita nak ambil anak angkat
tau”
“Berapa yang awak
larat lah. Nanti awak merungut gemuk pulak kalau dah banyak-banyak anak. Hehe”
“Tak adalah!
Merepek je awak ni tau. Saya tak kisahlah.”
“Iya lah tu..
Tya.. dah lama awak tak suapkan saya agar-agar jeli tu. Suapkan saya?”
“Oh kejap ye.. saya
buka dulu plastiknya.”
Tyana membuka
plastik agar-agar itu dengan cermat. Kemudian dia mengambil sudu dan mencedok
agar-agar itu perlahan-lahan. Tyana menghalakan sudu ke arah mulut Kamal.
Ketang! Sudu
terjatuh dari tangannya. Kamal kelihatan seperti tidur. Wajahnya tersenyum dan
suci bersih. Tyana memeriksa nadi di tangan suaminya. Tiada sebarang degupan
lagi.
“Kamal!”
Tyana menangis
teresak-esak dan memeluk tubuh suaminya.
“Awak dah janji
dengan saya.. awak dah janji.. Kamal… Saya cintakan awak.. Kamal!”
Tyana terus
memeluk tubuh Kamal. Janji tunggu saya di Syurga, Kamal.