rss


Keheningan suasana di desa memang susah nak diperoleh di mana-mana sekali pun. Kalau ada, tetap tidak serupa. Segar bau padi yang baru dituai, harum ranum buah rambutan di dusun, dan tenang bunyi air kali yang mengalir, tidak tergambar dengan kata-kata. Segalanya indah tentang desa nan permai ini. Tidak ada sedikit pun cacat dan celanya. Lama Irdina bersimpuh di tepi jendela. Matanya tidak lepas memandang anak-anak kecil berlari sambil menerbangkan layang-layang mereka. Ceria. Ah! Kanak-kanak memang lumrah hidupnya begitu. Tidak pernah ada kesempatan untuk memikirkan soal masalah. Indah. Teringin sahaja dia kembali ke zaman itu semula. Tiada beban. Tiada kedukaan.

'Maafkan Ina, mak. Ina bukan anak yang baik. Ina tak mampu nak tunaikan hajat mak,' Irdina bermonolog sendiri. Hasrat hati arwah ibunya untuk melihat dia bersatu dengan anak sahabat baiknya tidak kesampaian. Pinangan jejaka itu ditolak mentah-mentah. Sementelah itu jua ibunya diserang angin ahmar dan meninggal. Itu cerita sebulan yang lalu. Cerita yang membuatkan Irdina sesal tak sudah. Namun, dia tidak rela memperjudikan nasibnya dengan lelaki yang dia tahu tidak akan pernah membahagiakan dirinya. Dalam pada masa yang sama, dia kesal kerana itu permintaan terakhir arwah ibunya. Ibu satu-satunya insan yang dia ada setelah ayahnya meninggal dalam kemalangan bertahun-tahun lalu. Adik-beradik? Semuanya tidak peduli akan kewujudannya kerana dia anak angkat. Tambah pula dengan kematian ibu, terus-terusan dia dipersalahkan.

"Ina, kau memang anak tak kenang budi!"

"Dasar anak pungut tak sedar diri.."

"Ina, kau tak kesiankan mak? Kau memang tak sayang mak, kan?"

Pelbagai tohmahan dan cacian yang dilemparkan oleh abang-abang dan kakaknya. Yang memahami isi hatinya cuma seorang. Sahabat yang dia kenali sejak kecil, malangnya sahabat itu tidak lama di sisi. Setelah SPM berakhir, dia ke luar negara. Untuk menghalang, Irdina sedar bahawa dia bukanlah sesiapa yang utama, apatah lagi perkara yang membabitkan masa depan seorang anak muda.

"Kalau kau halang, aku tak akan pergi Ina. Sebutlah sekali yang kau tak nak aku pergi." Irdina ketawa kecil. Menyeka air matanya yang mula bergenang.

"Tak ada maknanya aku nak kau duduk sini. Lagi lama kau kat sini, boleh naik muak aku tengok muka kau tau tak?" Irdina cuba bercanda namun rasa hatinya yang menanggung perit dan pedih tak mampu disembunyikan.

"Lagi bagus kalau kau cepat pergi, cepat aku boleh lupakan kau,"perlahan butir bicaranya sekadar sedikit sahaja yang tertangkap di pendengaran Aiman. Ingin ditanyakan, namun dia memilih untuk memendam. Irdina mengorak langkah perlahan. Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Kelak, air matanya bisa tumpah dek tidak tahan menghadapi kenyataan satu-satunya sahabat yang dia ada akan meninggalkannya. Padang bola sepak yang selalunya riuh dek teriakan Aiman berjaya menjaringkan gol akan kembali sunyi. Tulisan tangan milik Aiman tak akan tercoret dalam buku latihan Matematik Irdina lagi. Segalanya akan berubah.

Hari-hari berlalu dengan pantas. Sedar tak sedar, Irdina sudah punyai kehidupan sendiri. Ingin menyambung pelajaran, dia tidak mampu. Dari mana hendak dicari wang puluhan ribu? Cuma yang dia tahu, selain belajar, berniaga. Itupun menggunakan duit tabungan semenjak kecil. Arwah ibu dan ayahnya bukan orang senang. Kerana itu, tiada satu pun harta peninggalan mereka yang diwasiatkan. Apatah lagi, dia sekadar anak angkat. Tiada hak. Dan dia sedar hakikat itu. Mewarisi kasih sayang ibu dan ayah pun sudah cukup bermakna baginya.

"Ya, encik. Nasi lemak ke kuih?" soal Irdina tanpa sempat mendongak. Tangannya masih ligat membungkus nasi lemak. Gerai kecil itu hasil ihsan jiran tetangganya yang tidak sanggup melihat dia hidup melarat. Dia tidak pernah peduli cakap-cakap orang. Yang dia tahu, dia boleh berdikari dan masih mampu meneruskan hidupnya seperti dahulu. Dia tidak perlukan simpati, cukup untuk mereka sekadar menjadi pemerhati. Ya! Dia punyai impian menggunung. Cita-citanya seluas lautan.

"Bagi saya nasi lemak sepuluh bungkus," suara itu menjawab dengan nada mendatar. Tiada riak. Serta merta Irdina mengangkat wajahnya. Meneliti segenap inci wajah di hadapannya kini. Masakan dia tidak kenal. Suara dan wajah itu tidak pernah dia lupakan. Kerana dia, Farhan. Lelaki hidung belang, buaya darat yang mahu menyunting dirinya. Irdina jadi hairan sendiri.

'Kekuatan apa yang lelaki ini miliki sehingga masih sanggup muncul lagi di hadapanku setelah apa yang aku katakan dulu? Tak malukah dia? Atau memang dia hati batu?' Irdina termenung sejenak. pelbagai persoalan yang berada di mindanya kini. Tambah lagi, dengan penampilan barunya.

"Kenapa Ina tengok abang macam tu? Ina pelik sebab abang pakai kopiah, pakai kain pelikat?" soalan Farhan itu benar-benar membuatkan Irdina kehilangan kata-kata. Terkedu.

‘Benar-benar sudah berubahkah dia? Atau berlagak alim di depan aku semata-mata?’ Farhan tergelak kecil. Seketika terasa ada yang aneh di ruang itu. Irdina buat tidak tahu. Dia tidak mahu melayan. Masing-masing sudah punya hidup sendiri. Mungkin juga Farhan sudah berumahtangga, kerana itu dia berubah sebegitu rupa, gumam Irdina sendirian. Nasi lemak sepuluh bungkus itu dihulurkan kepada Farhan. Not RM 50 bertukar tangan.

“Ina simpan bakinya. Buat belanja hari-hari. Abang ikhlas,” sekali lagi bicara lelaki itu menyentap tangkai hati Irdina. Terlalu tulus. Namun, cepat-cepat Irdina mengingatkan hati bahawa Farhan bukan calon pilihannya. Mana mungkin dia meminta untuk kembali kepada lelaki itu setelah dia melemparkan segala macam tohmahan. Tidak pula dia selidiki asal-usul perkhabaran itu. Entah betul entahkan tidak. Tetapi, siapa yang tidak kenal Farhan yang kerap bertukar teman wanita. Seluruh kampung sudah heboh. Sementelah, dia bekas banduan, bekas penagih. Semua orang tahu.

“Terima kasih,”Irdina membalas setelah lelaki itu hilang dari pandangan. Sedikit sebanyak, hati wanitanya mulai terusik dengan kelakuan Farhan tadi. Mudah sahaja hati ini tersentuh, dengan tiap tutur katanya yang meresahkan jiwa.

"Ina, kalau abang lamar Ina lagi sekali, Ina sudi? Percayakan abang, abang dah berubah. Dah tinggalkan semua perbuatan jahat abang dulu." perlahan dan mendatar suara itu menuturkan. Deru bayu petang di tepi pantai sesekali memecah keheningan. Irdina serba salah. Nanti dia dikatakan tak ubah bagai menjilat kembali ludah sendiri.

"Ina minta maaf, bang. Kalau perubahan abang ni kerana Ina, sikit pun Ina tak terkesan. Ina cuma harap abang betulkan niat abang untuk berubah kerana Allah." pantas Irdina melangkah pergi. Sama seperti tujuh tahun yang lalu, dia tinggalkan Aiman di situ.

"Ina, kenapa tak pernah nak hargai apa yang abang buat untuk Ina selama ni? Abang tak cukup baik lagi ke berbanding Aiman?" dari kejauhan, Farhan melontarkan kata-kata.

'Tak perlu dibandingkan kau dengan Aiman.' hati Irdina berperang lagi. Dia keliru. Janjinya pada Aiman sudah sekian lama terpatri, namun dia juga punyai perasaan. Dia bimbang andai bermukim kesal di hati kiranya Aiman pulang dengan kekasih hati. Sedangkan dia cuma gadis kampung yang tak punya pelajaran setinggi Aiman. Layakkah dia?

Aiman belum pasti pilih kau! Jangan nak mengharap sangat, Ina. Entah-entah dia dah ada calon isteri kat sana. Mindanya kusut. Fikirannya buntu. Dia dalam dilema. Sudahnya, Irdina kembali bersujud di atas sejadah. Hanya di situ tempatnya meminta, mengadu sejak Aiman pergi. Istikharahnya sudah berkali-kali. Semenjak kali pertama Farhan melamarnya dulu. Namun. entah mengapa kelirunya tidak berkesudahan.

"Ina, kau sihat? Maaflah dah lama aku tak tanya khabar. Kau faham-faham lah aku kat sini banyak yang nak kena buat. Assignment, coursework bertimbun. Kau lain lah, jual kuih tak sibuk mana pun,kan? Patutnya kau yang telefon aku tanya khabar tau?" lewat pagi itu Aiman menghubunginya. Mengharap agar dapat mendengar gelak tawa dan suara Irdina yang sekian lama dirinduinya. Tetapi, Aiman sekadar mampu membisu tatkala Irdina memutuskan talian tanpa sebarang respons. Aiman terkedu.

Di hujung talian yang dimatikan, Irdina tersedu-sedan. Serendah itu dia di mata Aiman, kini. Adakah kerana dia tidak belajar di luar negara seperti mana Aiman? Ataupun disebabkan dia tidak mampu berbahasa Inggeris sepetah Aiman? Mungkinkah kerana perbezaan itu, Aiman mencemuh dirinya? Saat itu, Irdina nekad. Benar kata-kata kakak dan abang angkatnya selama ini, Aiman akan melupakannya jua kelak.Tidak kira cepat atau lambat. Cuma matanya yang buta dan hatinya yang keras gara-gara terlalu sayangkan Aiman. Dan terlalu menaruh harapan terhadap janji yang ditaburkannya. Sepatutnya, sejak dahulu lagi dia cuba melupakan Aiman dan sedar diri. Bahawa mereka itu berbeza. Tidak setaraf, lantas mana mungkin Aiman mahu memiliki kekasih hati yang tidak berpendidikan tinggi sepertinya?

“Ina terima lamaran abang Farhan, kak. Ina dah fikir masak-masak. Buat masa sekarang, Ina pilih dia. Ina nak tunaikan permintaan arwah mak…” permintaan itu dia suakan kepada Kak Long. Kakak pertamaku yang makan gaji sebagai peguam di ibu kota. Sebab itulah barangkali, bicaranya memang sering sahaja menimbulkan kekecohan. Sampai di rumah pun nak berbahas. Anggukan dan senyumannya tidak membawa apa-apa makna buatku.

“Baguslah Ina, kalau dari dulu kau terima dia, sekarang ni hidup kau dah mewah. Tapi, apa-apa pun, nanti Kak Long sampaikan pada dia. Besok atau lusa, dia datang bawa rombongan merisik dan bertunang terus.”

Irdina telan liur. Kenapa secepat itu? Tidak perlulah tergesa-gesa, kerana dia tetap di sini. Tidak ke mana pun Irdina Ahmad ini.

“Kak Long, kenapa cepat sangat?” Irdina menyoal kembali. Takut-takut. Soalannya dibalas tengkingan kakak sulungnya itu.

“Ina, kau ni nak ke tidak? Cepat apanya? Ini pun dah kira lambat tau? Dah bertahun si Farhan tu menunggu.” Kain batik yang dilipatnya sedari tadi dilemparkan ke wajah Irdina. Berkira-kira mahu dia meneruskan kerja melipat kain yang terhenti di situ. Irdina yang baru selesai mencuci pinggan mangkuk, mengelap tangannya yang masih basah pada baju t-shirt yang dipakainya. Baju lusuh miliknya itu sudah pudar warnanya.

Kelakuan itu diperhatikan kakak iparnya, Suzana. “Ina, tak ada kain lap ke sampai lap tangan kat baju tu? Tak manis la nanti kalau Farhan tengok Ina dengan baju yang comot macam ni.” Irdina sekadar tersenyum sumbing. Entah mengapa semenjak dia menerima lamaran Farhan tempoh hari, semua orang seolah-olah berubah sikap terhadapnya. Tiada lagi cacian dan herdikan seperti dahulu. Entah apa istimewanya Farhan di mata mereka.

“Ina, buatkanlah teh untuk Farhan ni. Tunang dia datang jauh-jauh, boleh pulak tak diendahkan,” bebel Kak Long dari ruang tamu rumah. Irdina sekadar mendengar. Sedikit pun dia tidak ambil kisah. Air teh dihidangkan bersama cucur udang. Farhan tersenyum mesra. Irdina tidak memandang.

“Teh? Ina tahu kan, abang tak suka teh? Buatkan abang kopi, sayang?” Irdina hampir termuntah tatkala perkataan sayang disebut Farhan. Memang dia sengaja mahu mengenakan Irdina.

‘Banyak songeh pulak dia ni. Bagi teh, nak kopi.Nanti bagi kopi, mintak milo pulak. Dasar tak tahu diuntung!’gumam hati Irdina sendirian. Dia geram. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia luku dan hempuk-hempuk teko kopi itu di atas kepala si Farhan keparat itu.

Setahun berlalu. Dan hari itu, hari pertama bulan Jun. Genap empat bulan tempoh perkahwinan Farhan dan Irdina. Irdina sedar, perkahwinan mereka hanya berlandaskan kontrak. Farhan sedikitpun tidak sukakan dia, sebaliknya dia lebih fokus terhadap harta yang diwasiatkan arwah ibunya. Harta itu akan jatuh ke tangan isterinya, sebagaimana diwasiatkan. Maka, mengikut wasiat, harta itu akan menjadi milik Farhan sekiranya mereka mempunyai zuriat. Irdina terkesima dengan syarat itu. Dia tidak sedia. Dia rela Farhan memiliki semua harta itu, sedikitpun dia tida kisah apatah lagi peduli. Tapi, untuk memiliki keturunan daripada Farhan? Tidak sama sekali! Empat bulan dinikahi, belum pernah sekalipun dia mengizinkan lelaki itu menyentuh dirinya.

“Ina, kenapa dengan Ina ni? Ina cuma berikan abang seorang anak dan lepas tu, serahkan semua harta tu pada abang. Abang akan lepaskan Ina selepas tu. Simple, kan?” mudahnya dia berkata-kata. Ah! Lelaki memang sekadar tahu bermadah pujangga. Kelak, yang menanggung derita, dia. Sendirian dan keseorangan.

Malam yang kelam tanpa bintang itu mengingatkan Irdina pada Aiman. Sudah hampir setahun Aiman pulang ke tanah air. Pulangnya jua gara-gara berita pernikahan Irdina. Selepas itu, dia langsung tidak mendengar khabar Aiman lagi.

“Maafkan Ina, Man. Ina tak pernah berniat nak lukakan hati Man...” lena Irdina malam itu ditemani air mata.

Seminggu setelah kisah Irdina lari dari rumah suaminya menjadi buah mulut orang kampung, Aiman mencari jejaknya. Wanita itu memang pandai bersembunyi. Aiman sudah rata mencari, keliling daerah dan kampung dia jelajahi. Namun, Irdina masih juga tidak kelihatan.

Lewat petang itu, Aiman duduk melepaskan lelah di dada pantai. Sudah jenuh dia mencari. Tanpa dia sedari, ada sepasang mata yang memerhati gerak gerinya sedari tadi. Saat dia berpaling, cepat-cepat sekujur tubuh itu berlalu pergi. Kelibat itu! Aiman pasti itu Irdina. Pantas dia mengejar dari jauh. Gema nama Irdina dipanggil tidak jua bersahut. Sempat jua tangan Irdina dipegang, meskipun dalam keterpaksaan. Dia sedar, Irdina bukan miliknya.

“Ina, kenapa mesti Ina lari dari Man?” Bahasanya mulai berubah. Tiada lagi kau dan aku seperti dulu. Irdina mendiamkan diri. Sebolehnya dia ingin memeluk tubuh itu sekarang juga, namun dia masih punya iman dan akalnya masih waras. Selebihnya, dia diamkan sahaja diri.

“Kenapa Ina tak kotakan janji Ina untuk tunggu Man? Kenapa mesti Ina pilih Farhan sedangkan Man dah janji pada Ina yang tak akan ada orang lain yang mampu ganti Ina dalam hati Man?”

Tangisan Irdina tumpah lagi. Tidak mampu untuk dia menggambarkan sesalan yang bermukim di hati.

“Aku ingat kau dah berubah hati. Aku tak belajar tinggi-tinggi macam kau, dan aku sedar diri, Aiman. Siapalah aku ni kalau nak dibandingkan dengan kau. Jauh bezanya!” luah Irdina dalam esakan.

Yang nyata, dia meluahkan apa yang selama ini dipendamkan. Aiman tergelak kecil. Sekali lagi Irdina membuatkan dia jatuh cinta. Ya, cintanya pada Irdina bukanlah kerana paras rupa. Dan, yang pasti kejujuran dan ketulusannya sering kali menambat hati. Matanya yang penuh dengan kejujuran itu terlalu sukar untuk dimengertikan.

“Ina, kita sama. Bezanya cuma kau tidak diberi peluang. Sedikitpun, aku tak pernah menganggap kau berbeza daripada aku. Sebab aku tahu, kasih dan sayang itu tak kenal erti perbezaan, Ina.”

Irdina tertunduk. Baru sekarang dia mengerti, kisah cinta itu sesekali perlukan kesukaran, barulah hadir kemanisan. Kerana bahagia itu tidak selamanya ada di sepanjang perjalanan. Sebagaimana mentari tak selalu ada di sepanjang hari.



Pagi tadi, terbit saja matahari pagi saya ikut Atuk pergi meniaga dekat Pasar Tani Hari Hari di HB Road. Atuk saya ini meniaga bawang dan barang barang dapur seperti kentang, cili kering, ikan bilis pelbagai saiz, telur ayam dengan gred berbeza beza dan kadang-kadang atuk saya juga akan menjual bawang albino pada harga bawang bawang biasa.

Sewaktu sedang asyik memerhatikan makwe makwe morning person yang menjadi pilihan hati, saya terpandang seorang makcik separuh umur menyelitkan sebiji telur ayam gred A yang berada atas papan jualan barang dagangan perniagaan Atuk saya ke dalam raga merahnya. Sebelum sempat mata saya berkelip makcik tersebut lenyap dimamah keramaian manusia yang lalu lalang. Disebabkan saya enggan dituduh sebagai seorang lelaki comel yang rasis, maka disini saya perincikan ciri ciri makcik tersebut sebagai wanita separuh usia yang berkulit biru, bermata sebelah sepet sebelah bundar dan berleher jinjang dengan rambut kerinting dibentuk ala faux mohawk.

Sebagai seorang cucu yang menyayangi atuknya dengan sepenuh hati maka berlari lah saya mencari makcik tersebut melaung laung memanggilnya. Makcik pencuri telur, makcik.. telur saya.. Orang orang sekeliling pun merasa sayu mendengar laungan saya hinggalah seorang gadis penjual kuih menudingkan jarinya ke arah sebuah pokok ketapang berhampiran tapak pasar. Makcik tersebut sedang duduk mengelap peluh sambil tersengih sengih memegang telur saya. Saya tinggalkan gadis penjual kuih tersebut bersama sama sekeping nota yang tertulis nombor telefon dan nama fesbuk saya lalu terus meluru ke arah makcik tersebut. Dengan mata terjegil-jegil merah menyala, mana mungkin makcik tersebut mampu berdiri dengan sempurna membuka langkah seribu.

Makcik, jangan lari. Kata saya tenang. Saya duduk bersila di hadapannya, memerhatikan telur ayam yang sebiji di tangan. Makcik, jelaskan kepada saya mengapa makcik lakukan perkara yang terkutuk ini. Kata saya sekali lagi, masih dengan nada dan riak wajah yang tenang. Makcik tersebut menyusun ayatnya dengan sempurna, memberitahu saya sebuah cerita seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia yang mengenakan denda kepada orang ramai yang sebenarnya satu derma kepada seorang perempuan tua yang mencuri ubi kayu disebabkan desakan kehidupannya yang miskin, anak lelakinya yang sakit serta cucunya sedang kelaparan. Tambah makcik itu lagi, begitu lah juga keadaannya. Izinkan dia memiliki telur yang sebiji ini.

Mata saya berkaca, sebak hati mendengar kata katanya. Awan di langit kelihatan muram, angin pun bertiup sayu. Lalu saya pegang bahu makcik itu dan ambil kembali telur ayam tadi memasukkannya ke dalam poket seluar sendiri. Saya tunduk berbisik kepadanya,

maaf makcik. Ini Malaysia, mahkamahnya tak serupa.

Maka berpelukan lah kami berdua menangisi nasib bersama berpijak di tanah yang tidak sekata ini.


Yusalman geleng kepala. Hati sakit, kepala semak, telinga pedih. Entah apa salahnya. Kerja bagus, duit banyak, hati budi okey. Apa yang kurang? Mungkin bini kut. Bukan tak ada, tapi ada yang kurang pada bini Yusalman.

Temah masih bercakap betul-betul depan muka suaminya. Lebih kepada membebel sebenarnya. Temah 'bersyarah' seolah-olah apa yang terjadi adalah salah Yusalman. Jarinya semua dituding ke arah Yusalman. Ini semua sebab Yusalman, itu semua sebab Yusalman. Semak kepala Yusalman.

"Mah dah cakap, rumah kita ni kena ada dawai kawat. Letak anjing depan tu. Lepas tu, upah pengawal. Tak adalah orang berani nak masuk. Tapi abang degil. Kata ini membazir, itu membazir. Sekarang ni, barang-barang kemas Mah dah hilang. Abang nak tanggung?"

Yusalman hanya tunduk diam. Memang dia akan tanggung pun kalau semua barang-barang bininya dirembat penyamun. Sudah pada mulanya pun dia yang belikan barang-barang itu semua. Lepas hilang, dia juga yang menggantinya.

"Abang tak risau ke? Setiap bulan rumah kita kena pecah. Macam kita ni majikan penyamun pula. Setiap bulan 'bayar gaji'. Dah 12 kali tau. Tapi abang langsung tak nak ikut cakap Mah."

Setelah habis air liurnya kering, Temah tinggalkan Yusalman sendirian di sofa. Hatinya makin panas apabila melihat suaminya hanya diam tidak berkata-kata.

"Baik Mah mati sajalah, bang! Biar Mah jadi hantu dan cekik penyamun tu kalau dia nak rompak! Kalau harapkan abang, memang tak boleh harap!" Suara Temah sempat bergema dalam rumah yang hampir licin itu sebelum hilang bayangnya dari pandangan Yusalman.

Yusalman mula berfikir. Tanpa suara Temah, otaknya mula tenang. Apabila otak tenang, barulah ada ruang untuk idea beranak-pinak.

Hmm... betul kata Mah tu, fikir Yusalman lantas bangun dari sofa menuju ke bilik.

* * *

Bulan baharu mula masuk. Yusalman berdebar-debar. Bila-bila masa saja penyamun itu akan 'tuntut gaji'. Dia harap sangat rancangan Temah kali ini berjaya menggagalkan rancangan pencuri itu.

Tepat pukul enam petang, Yusalman tiba di rumahnya. Beg bimbit dia pegang dengan erat. Hatinya bertambah laju berdegup apabila melihat pintu rumahnya dikopak orang.

Perlahan-lahan Yusalman masuk rumah dan memeriksa semua perkakas rumahnya. Masih ada. Langsung tidak diusik.

Yusalman tersengih sendiri. Dia tahu rancangan bininya memang terbaik. Menyesal dia tidak dengar dari dulu. Tidak perlulah dia bertukar ganti barang yang dirembat sejak 12 bulan yang lalu.

"Mah, kau memang bijak. Lepas ni, dah tak ada penyamun akan pecah masuk rumah kita," kata Yusalman sambil mendongak. Mayat Temah yang tergantung di kipas siling benar-benar menakutkan penyamun yang pecah masuk tadi.



Hari tu, Fairuz termenung lagi. Tak, Fairuz tak sakit. Fairuz tak juga lapar. Dan Fairuz tak pula mengantuk. Tapi entah kenapa, Fairuz hanya duduk di tebing sungai sebelah rumahnya dan memandang tepat ke arah air sungai yang mengalir deras itu.

Masuk hari ni, dah tiga hari Fairuz tak jumpa siapa-siapa. Mungkin dia masih tak boleh terima kenyataan yang Laila dipilih.

"Kenapa kau pilih Laila?" Fairuz asyik menuturkan ayat itu.

"Kenapa kau pilih Laila?"

Nasib Fairuz mungkin sedikit baik kerana rumahnya agak jauh daripada tempat tumpuan penduduk kampung itu. Fairuz juga tinggal seorang diri di rumahnya. Jadi, tidak ada seorang pun yang sedar dengan kelakuan Fairuz sejak tiga hari lepas. Kalau tak, tentu saja Fairuz dengan mudah akan dicop gila atau sewel - perkataan lazim yang keluar daripada mulut penduduk kampungnya jika dilihat sesuatu yang tak kena dengan salah seorang penduduk di situ.

Semuanya bermula lebih kurang seminggu yang lalu. Ketika itu, Laila masih tinggal dengan Fairuz. Mereka hidup bahagia walaupun dalam serba kekurangan. Namun, Laila tidak pernah kisah fasal kemiskinan yang mereka tanggung. Tetapi tidak bagi Fairuz.

Fairuz selalu saja mencari jalan supaya hidup mereka keluar dari kepompong kemiskinan. Itu apa yang diucapkan pada Laila. Hakikatnya, Fairuz sebenarnya yang mahu jadi kaya. Jika dia dan Laila menjadi kaya, itu tidak apa bagi Fairuz. Tetapi jika Fairuz saja yang kaya manakala Laila masih hidup dalam kemiskinan, itu pun tak apa bagi Fairuz.

Satu petang yang tak ada angin, Fairuz membelek surat khabar di Warung Judi. Warung itu bukanlah sebuah tempat perjudian. Cuma tauke kedainya, Encik Selamat telah selamat berkahwin dengan seorang perempuan mat saleh yang bernama Judy. Walaupun nama Islam bininya sekarang adalah Salamah, Encik Selamat berpendapat nama lama bininya nampak sedikit kelas untuk dijadikan nama warung. Jadi, dia menempah papan tanda untuk warungnya di kedai papan tanda milik Yusuf.

"Aku nak buat satu papan tanda. Kau letak situ nama Warung Judi. Biar orang buka mata sikit," terang Encik Selamat pada Yusuf.

Ya, memang nama tu telah berjaya membuka mata Yusuf menjadikannya lebih besar. Dia agak terkejut apabila mendengar permintaan Encik Selamat itu, tapi Yusuf amat menghormati pelanggannya. Lalu terciptalah papan tanda Warung Judi.

Pada mulanya, Encik Selamat tidak marah fasal papan tanda itu kerana dia pun menyangka ejaan nama lama bininya adalah Judi. Setelah Salamah memberitahu hal yang sebenar, Encik Selamat agak terkilan kerana papan tanda itu telah pun siap. Wang juga sudah lebur. Tapi, sekejap saja kekecewaan Encik Selamat tu datang. Sejak adanya papan tanda tu, ramai yang berkunjung. Memang betul-betul 'membuka mata' penduduk kampungnya. Fasal aktiviti berjudi yang mereka buat di warungnya, Encik Selamat hanya tutup sebelah mata. Dia malas mahu masuk campur. Asalkan kedainya maju.

"Aku nak cakap serba salah," Encik Selamat bersuara lalu duduk di kerusi semeja dengan Fairuz.

Namun, Fairuz tidak mengendahkan tauke kedai yang datang menyapa itu. Dia masih lagi sibuk membelek surat khabar.

"Kalau aku tak cakap, sakit pula hati aku ni," sambung Encik Selamat dengan nada suara yang lebih kuat.

"Apa dia, Pak Mat? Saya tengah sibuk ni."

Encik Selamat angguk beberapa kali. "Aku tahu kau sibuk. Aku boleh nampak. Tapi kau tengah sibuk kat warung aku. Jadi, aku kenalah tumpang menyibuk."

"Pak Mat nak apa ni?" Fairuz separa tengking dah cukup berjaya buat beberapa pasang mata menjadi saksi.

"Aku nak surat khabar tu balik. Bak sini!" Encik Selamat menghulurkan tangan sambil menggerakkan jari-jarinya.

"Rileklah, Pak Mat. Orang tak habis baca lagi. Tak hormat langsunglah."

Kali ni, Encik Selamat dah hilang sabar. Dia ambil nafas dalam-dalam hingga ke paru-paru. "Kau kalau duduk sini dan pesan makanan, aku tak kisah kau nak baca surat khabar ni. Tapi kalau kau duduk sini dari pagi sampai ke tengah hari, tak makan, tak minum, lepas tu kerja kau bukan takat baca surat khabar, sesuka hati kau conteng merata tempat, kau bulatkan iklan-iklan tu ikut dan saja, aku sebagai tauke Warung Judi dengan segala tak hormatnya boleh halau kau bila-bila masa saja!"

Encik Selamat sudahi ayatnya dengan merampas surat khabar dari tangan Fairuz dan menghalau Fairuz dari warungnya.

"Ala Pak Mat ni, kecohlah! Orang bukan kacau dia pun. Takat surat khabar berapa puluh sen tu, aku boleh beli empat tahu?" Jerit Fairuz sambil melangkah pergi dari Warung Judi.

"Ha! Dah tu, kenapa kau duduk sini lagi? Pergilah beli empat surat khabar ni! Yang kau nak baca surat khabar aku juga kenapa? Buat lari pelanggan aku saja kalau kau duduk sini!" Encik Selamat tak mengaku kalah. Dia masih menjerit-jerit walaupun kelibat Fairuz sudah hilang.

Encik Selamat akhirnya tenang juga. Dia duduk di meja Fairuz duduk tadi dan membelek surat khabarnya. Setiap helaian diselaknya. Sampai pada satu helaian yang agak tengah, Encik Selamat terkejut besar sebesar lubang yang 'ditebuk' oleh Fairuz pada surat khabarnya. Dan sepanjang hari tu, Salamah terpaksa melayan suaminya yang tak berhenti marah dan maki sambil menyebut-nyebut nama Fairuz.

Fairuz terus pulang ke rumahnya. Dia duduk di tangga rumahnya. Fairuz bawa keluar keratan akhbar yang dia koyak dari surat khabar di warung Encik Selamat tadi. Dia ukir senyuman.

"Pembantu Peribadi Dicari. Sila hubungi Dato' Jaafar untuk datang temuduga. Pengalaman dan pendidikan tidak kisah. Janji rajin. Gaji lumayan di samping boleh tinggal di rumah banglo Dato' Jaafar." Fairuz baca kuat-kuat keratan akhbar itu.

"Ada peluang ni. Kayalah aku nanti. Tak perlu aku duduk kat rumah buruk ni lagi." Fairuz mula pasang angan-angan. Entah kenapa, dia yakin yang dia boleh dapat jawatan tu.

Malam tu, Fairuz ratakan bedak gatal ke seluruh badannya.

"Ni dah kenapa? Dah kena sampuk jembalang bedak ke apa?" tanya Laila yang sedang menyuap nasi berserta ikan goreng yang ditangkap dalam sungai sebelah rumahnya.

"Kau diamlah. Kau bukan tahu apa-apa. Nilah persediaan namanya," jawab Fairuz.

Laila herotkan muka. "Persediaan apa? Mati? Baik simbah kapur barus saja."

"Eh, Laila. Mulut kau jaga sikit ya? Satu hari, kau akan menyesal kalau aku tinggalkan kau nanti."

"Ala, ajal maut di tangan Tuhan. Laila pasrah saja."

Fairuz malas mahu layan Laila. Dia tahu Laila bukannya bijak. Cuma tahu cakap saja. Membaca entah boleh, entah tidak. Fairuz lain. Dia tahu membaca. Dia juga giat berfikir. Berfikir untuk jadi kaya dengan mudah.

Fairuz keluarkan keratan akhbar itu dan tunjuk pada Laila. "Kau tengok ni? Sikit hari lagi, aku jadi orang kayalah. Masa tu, kau nak merayu kat aku pun tak guna tahu?"

Laila tak ambil pun keratan dari tangan Fairuz. Dia sebaliknya lebih suka bertanya. "Apa benda tu? Malas Laila nak baca."

Fairuz simpan kembali keratan akhbar di sebalik lipatan kainnya. "Tulah kau. Tahu cakap saja, fikir tak nak. Tengok macam aku. Ada wawasan. Ada cita-cita."

"Jadi, apa kena-mengena bedak ni dengan wawasan?" tanya Laila yang masih keliru.

"Badan aku ni dah mula alergi dengan kayu. Tak lama lagi, aku akan pindah ke rumah banglo. Tahu rumah banglo tu apa? Rumah besar. Rumah batu!" cerita Fairuz bersungguh-sungguh.

Laila tersedak. "Alergi sebab kayu?" Lepas tu, Laila ketawa kuat-kuat macam Mak Lampir.

"Itulah kau. Kerja gelakkan orang. Kau tunggu sajalah nanti," marah Fairuz sambil membasuh tangannya. Dia dah tak ada selera nak makan. Lagi-lagi apabila nak makan dengan Mak Lampir.

* * *

Pagi tu, Fairuz bersiap seperti pengantin. Wangi bukan main. Fairuz kelihatan betul-betul segak.

"Nak pergi mengorat ke?" perli Laila yang sedang mengunyah buat jambu yang diberi jiran petang semalam.

"Aku nak pergi temu duga kerja. Nak harap jualan kuih yang kau letak kat Mak Yam tu, sampai mati pun aku tak kaya."

"Baguslah kalau baru nak sedar. Laila ingatkan nak harap Laila saja yang kerja dalam rumah ni."

Fairuz tambah minyak wangi lagi. Tiga botol berharga sepuluh ringgit yang dibeli di pasar malam kampung sebelah. "Aku bukan baru nak sedar. Aku cuma tunggu peluang saja. Sekarang, peluang dah ada depan mata. Inilah masanya."

Laila hanya senyum dan sambung menjamah buah jambu.

"Okeylah. Aku pergi dulu. Doakan aku berjaya. Dalam rumah ni, kau seorang saja yang alim sikit. Mungkin doa kau lebih berkat daripada aku," pesan Fairuz sebelum keluar.

Laila hanya angguk. Fairuz hulur tangan dan Laila sambut serta mencium tangan Fairuz.

Fairuz panjat atas motor kapcainya. Keratan akhbar dikeluarkan dari dompetnya. Dia tengok alamat rumah Dato' Jaafar buat kali terakhir sebelum berlepas ke sana. Dia sememangnya sudah kenal benar dengan kawasan kediaman Dato' itu. Kawasan tu kawasan rumah orang-orang kaya dibina. Kawasan idaman Fairuz.

Belum sampai 15 minit, Fairuz sudah sampai. Dia melihat dirinya dalam cermin buat kali yang terakhir sebelum menekan loceng yang disediakan di tembok sebelah pintu pagar.

Seketika kemudian, seorang lelaki berbaju Pagoda dan berkain pelikat datang menyambut. Pada mulanya, Fairuz menyangkakan lelaki itu pembantu Dato' Jaafar. Tapi bukan ke Dato' Jaafar sedang cari pembantu?

Ah! Ini mesti Dato' Jaafar. Aku kenal benar muka orang kaya dengan muka orang miskin. Muka dia macam kaya saja, hati Fairuz berbincang.

"Ya?" tanya Dato' Jaafar.

"Assalamualaikum, Dato'. Saya datang untuk temu duga pembantu peribadi," jawab Fairuz dengan sopan dan yakinnya memanggil lelaki itu Dato'.

Dato' Jaafar tersenyum bangga. Dia puji Fairuz senyap-senyap. Dia tak sangka Fairuz boleh tahu yang dia sebenarnya Dato' Jaafar walaupun hanya memakai baju-T Pagoda dan berkain pelikat. Tapi mungkin juga wajahnya memang nampak kaya.

"Oh, silakan masuk," pelawa Dato' Jaafar. Dia menekan butang pada alat kawalan jauh di tangan. Dengan serta-merta, pintu pagar itu terbuka dengan sendirinya.

Fairuz mengawal diri untuk tidak kelihatan jakun. Dia kemudiannya mengikut Dato' Jaafar masuk ke dalam rumahnya.

Dato' duduk di salah sebuah sofa di ruang tamu dan Fairuz pula duduk di sofa yang bertentangan dengannya. Pada ketika itu, Fairuz tahu yang temu duga pasti sudah mula.

Fairuz terus memperkenalkan diri dan menceritakan kelebihannya di hadapan Dato' Jaafar. Dato' hanya mengangguk dan mengangguk tanpa respons verbal. Fairuz terus bercakap. Dia rasa tidak sedap dengan respons yang dia dapat.

Akhirnya, Dato' Jaafar bersuara. "Terus-terang saya suka awak. Dari apa yang awak cakap, saya tahu awak memang menepati ciri-ciri yang saya cari. Cuma, awak tak boleh buat satu benda. Dan ia sebenarnya cukup mengecewakan saya."

Fairuz berdebar-debar. Apa yang Dato' Jaafar harapkan daripadanya? Rasanya, dia sudah 'menjual' seluruh dirinya kepada Dato', tetapi tak sangka lelaki kaya itu masih nampak kekurangan pada diri Fairuz.

"Cakaplah, Dato'. Jangan risau, saya memang boleh buat semua benda. Saya sanggup buat apa saja demi Dato'. Cakap saja apa dia," pujuk Fairuz.

Wajah Dato' Jaafar seperti dalam dilema. "Susah, Fairuz. Kerja ini berbahaya dan bukan semua orang boleh lakukannya."

Kerja berbahaya? Maksud Dato', adakah Fairuz perlu buat kerja haram atau kerja jenayah?

"Beginilah. Fairuz balik dulu. Apa-apa nanti, saya telefon Fairuz balik. Okey?" Dato' Jaafar akhirnya sudah buat keputusan.

Fairuz tidak menjangka keputusan seperti itu yang akan dia dapat. Dia tahu sangat jika itulah jawapannya, peluang Fairuz untuk bekerja dengan Dato' Jaafar memang tipis. Tapi, dia akur. Setelah memberi salam dan meminta Dato' Jaafar supaya memikirkan fasal permohonannya, Fairuz pulang ke rumah.

Malam tu, Fairuz tak boleh tidur. Dia sedih. Dia malu. Malu pada Laila kerana dia terlalu yakin untuk dapat jawatan pembantu peribadi itu.

Laila tidak pula bertanya kenapa kerana dia semacam boleh agak yang Fairuz sedang kecewa. Lama sudah dia kenal Fairuz. Dia tahu, Fairuz pasti tidak berjaya dalam temu duga itu.

* * *

Pagi tu, Fairuz keluar awal. Mungkin ke Warung Judi untuk cari kerja lagi. Seperti biasa, Laila pulang ke rumah setelah meletakkan kuih di gerai Mak Yam. Sedang Laila mengemas bilik tidur, Laila terjumpa keratan akhbar yang dikoyak oleh Fairuz dua hari lepas.

"Kenapa ya dia tak dapat temu duga ni?" Laila bertanya sendirian.

Laila kasihan pada Fairuz. Tanpa berfikir panjang, Laila terus pergi ke rumah Dato' Jaafar untuk bertanyakan hal itu.

Pada mulanya, Dato' kelihatan sedikit terkejut dengan kehadiran Laila ke rumahnya. Tetapi apabila Laila memberitahu niatnya ke sana untuk bertanyakan tentang temu duga Fairuz semalam, Dato' tersenyum kembali. Kedatangan Laila disambut baik oleh Dato' Jaafar.

"Tolonglah, Dato'. Fairuz sangat perlukan kerja tu. Dia mungkin boleh ubah hidup kami," rayu Laila.

Dato' menghembus nafas panjang. "Saya tahu. Tapi, Fairuz memang tak layak."

Menitis air mata Laila apabila mendengar jawapan Dato' Jaafar. Dato' rasa serba salah.

"Dato', boleh tak Laila cuba mohon kerja ni?"

Pertanyaan Laila membuatkan Dato' Jaafar terkejut besar. Tapi, dia tak menolaknya. Dengan itu, sesi temu duga terus dimulakan.

"Tak dinafikan, kebolehan awak memang sama dengan Fairuz," jawab Dato' Jaafar setelah sesi temu duga itu berakhir.

Laila gusar apabila mendengar jawapan Dato' Jaafar. Jika kebolehannya sama, sudah tentu Laila juga tak layak untuk memegang jawatan yang ditawarkan.

Tidak lama kemudian, Dato' Jaafar akhirnya memberitahu jawapan temu duga yang amat memeranjatkan hati Laila.

* * *

Matahari semakin terbenam. Fairuz masih lagi termenung di tebing sungai itu.

"Kenapa kau pilih Laila? Kenapa kau pilih Laila?" Kata-kata itu berulang kali disebut Fairuz tanpa jemu, tanpa letih.

"Marilah ikut Laila tinggal di rumah Dato' Jaafar." Suara Laila tiba-tiba kedengaran.

Fairuz toleh. Dia nampak Laila kembali ke rumahnya bertemankan Dato' Jaafar. Ah! Benci sungguh aku dengan lelaki itu, marah hati Fairuz.

"Kenapa kau pilih Laila?" Kali ini, Fairuz tak bertanya sendirian. Dia sebaliknya berdiri menghadap Dato' Jaafar untuk mendapatkan jawapan lelaki kaya itu.

"Fairuz, Laila ada kelebihannya sendiri. Saya rasa Fairuz pun tahu," jawab Dato' Jaafar dengan tenang. Dia tak mahu memarakkan lagi api kemarahan Fairuz.

Namun, Fairuz tak menerima jawapan itu dengan baik. "Apa bezanya aku dengan Laila, hah? Dia kembar aku. Apa aku ada, dia ada. Apa aku tak ada, dia tak ada. Apa kau tengok rupa? Dia sikit pun tidak lebih dan tidak kurang cantik daripada aku. Takkan kau tak nampak betapa seirasnya kami?"

Dato' mengeluh. Laila sudah menangis. Keadaan Fairuz nampak teruk. Lagaknya seperti orang gila.

"Fairuz, saya minta maaf banyak-banyak sebab tak berterus-terang dengan Fairuz dari awal dulu. Ya, Fairuz dan Laila memang saling tak tumpah. Baik dari segi fizikal juga peribadi. Saya sebenarnya mahu cari seorang isteri. Jawatan itu hanya alasan. Mudah untuk saya kenal pasti calon yang sesuai untuk saya melalui temu duga," terang Dato' Jaafar.

"Apa aku tak boleh jadi isteri kau?" tanya Fairuz tanpa segan silu kerana terlalu marah.

Suasana sunyi seketika. Hanya kedengaran bunyi cengkerik senja. Laila juga sudah berhenti menangis.

"Fairuz, Fairuz tahu kan yang Fairuz dan Laila kembar berlainan jantina?" Dato' Jaafar mengerutkan dahinya.

Fairuz tak tahu bagaimana mahu respons. Kewarasannya kembali dengan serta merta. Dengan pantas, Fairuz terjun ke dalam sungai itu dan berenang ke seberang kerana malu.


Aku masih tidak dapat menutup mulutku yang sedikit ternganga dek pengakuan rakan karibku yang masih lagi setia menunggu jawapan daripadaku sejak tadi. Aku cuma mampu tergamam untuk seminit dua sejak tadi.

Maybe soalan aku agak silly, tapi aku nak tanya juga,” akhirnya aku mampu mengeluarkan bunyi daripada mulut yang ternganga ini walaupun sedikit tergagap.

“Silakan,” aduh, bersopan pula dia. Selama ni tak pernah langsung nak bersopan dengan aku, sekelip mata sahaja dah macam kena sampuk dengan jin yang baik gamaknya.

“Kau serius ke?” Jefrey mengeluh pendek mendengarkan soalan bodohku. Kemudian dia mengangguk perlahan sambil memandangku tajam sebagai jawapan. Aku mahu pitam di milisaat ini juga! Tolonglah selamatkan kawan aku yang kemaruk semacam ni. Seram sejuk aku dibuatnya. Suasana di dalam Pizza Hut hari ini pun agak lengang, menyebabkan sejuk penghawa dingin seolah-olah cuma tertumpu pada aku dan Jefrey sahaja sejak dari tadi.

“Tolonglah Jep. Itu emak aku!” aku mula hilang kewarasan untuk bersemuka dengan Jefrey yang tiada tanda-tanda mahu mengalah denganku.

“Cinta tak mengenal siapa, Wiz,” Jefrey mula mengeluarkan madah-madah yang meremangkan bulu roma aku. Kini, aku mengakui kehebatannya dalam matapelajaran Bahasa Melayu!

Aku dan Jefrey berjiran sejak kami lahir lagi. Kami bersekolah di tempat yang sama dan kami juga merupakan rakan sekelas dari darjah satu sehinggalah kami menamatkan pembelajaran di tingkatan lima. Kami sudah di ibaratkan seperti adik dan abang dek kerana hubungan kami yang erat.

“Dalam banyak-banyak perempuan kat muka bumi ni, kenapa emak aku yang jadi pilihan?!” sedikit menjerit aku bersuara, dengan muka berkerut-kerut. Hilang selera aku tengok pizza di depan mata.

“Cinta,” ringkas jawapannya. Ternganga-nganga mulutku, cuba mengeluarkan kata-kata yang bernas untuk membidas mati-matian hujah Jefrey, tetapi jawapan dia tadi agak bernas membuatkan aku mengambil masa 3 minit untuk menjawab.

“Kau, bestfriend aku. Kau expect apa daripada aku? Anak tiri?! Never dude!” aku menambahkan kelangsingan dan kenyaringan suaraku sendiri, ditambah juga dengan air liur bersepai. Tolonglah sedar Jefrey.

“Kita boleh lagi berkawan macam biasa walaupun aku dengan mak kau…”

Stop there!” aku terpaksa menghentikan kata-kata Jefrey kerana aku tak sanggup mendengarkan sepatah perkataan keramat daripada mulutnya itu. Aku jadi lemas dengan situasi ini walaupun aku tidak berenang sama sekali. Aku langsung tak sanggup mengaku rakan karibku sendiri sebagai ayah tiriku!

Ibuku memang sudah lama mengenali Jefrey, malah ibuku tahu yang kami berkawan rapat sejak kecil. Jefrey juga sering datang ke rumah kami sekadar untuk melawat dan bertanya khabar sejak aku dan Jefrey di tempatkan di IPTA yang berbeza. Kini, kami telah pun bekerja, juga di tempat yang berbeza tetapi hubungan kami tetap rapat seperti dulu.

“Kenapalah kau tak suka aku, tapi suka emak aku,” aku mengeluh kecil. Bukannya aku mengharap sangat supaya Jefrey sukakan aku, padahal aku sendiri sudah mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihanku. Cuma aku terkilan yang ibuku menjadi pilihan Jefrey. Apa yang patut aku lakukan?

“Masa kita form 5, emak kau baru 27 tahun. Awet muda pula tu. Lagipun, setiap kali aku datang rumah kau, mak kau masak makanan kegemaran aku, sembang-sembang dengan aku. Sekarang ni pun, aku kerja dekat tempat yang sama dengan emak kau. Itu pun mak kau yang tolong aku dapatkan kerja tu. Kau tak rasa, ini mungkin jodoh aku dengan emak kau?” aku hampir termuntah saat ini juga! Mendengarkan kata-kata lelaki yang selama ini bergurau sakan denganku, kini begitu serius meluahkan perasaaan cintanya membuatkan aku sedikit mual. Maafkanlah aku! Aku tak mampu menyetujui kata-kata Jefrey itu, apatah lagi menyokong tindakannya.

“Beza umur kau dengan mak aku, 10 tahun. Kau sedar ke fakta tu?” aku masih mencuba nasib untuk menukar fikiran Jefrey.

“Cinta tak mengenal usia, Wiz,” aku dah agak dah dia akan cakap macam tu! Menyesal aku guna fakta tu, tak kukuh. Aku dilanda kekalahan. Aku cuma mampu terdiam untuk berfikir secara matang.

“Wiz, aku faham perasaan kau. Aku dah agak reaksi kau. Sebab tu lah aku nak bagitau kau dulu sebelum aku ambil langkah seterusnya,” aku mendongak pantas. Langkah seterusnya? Langkah apa?

“Apa langkah seterusnya?” aku bertanya perlahan, sedikit gugup menunggu jawapan Jefrey.

“Aku dah bincang dengan emak kau…” mataku terbeliak besar dengan mulut juga ternganga besar.

“Kau dah bercinta dengan emak aku ke?” aku menjerit kuat. Jefrey diam mendengar soalanku. Aku terpempan. Kebisuan Jefrey sudah cukup untuk menjawab persoalanku. Aku terus hilang kata-kata. Kenapa aku langsung tidak menyedari perkara ini? Malah, ibuku juga langsung tidak pernah membuka cerita tentang Jefrey.

“Sejak bila?” hampir tidak kedengaran suaraku. Aku sudah tidak mampu bersuara, apatah lagi memandang wajah lelaki dihadapanku ini. Sungguh aku terkilan dengan mereka.

“Dalam… setahun lebih,” mataku serta merta terpejam rapat, cuba menahan air mata daripada keluar. Aku berusaha memujuk Jefrey sejak dia meluahkan perasaannya tadi, agar dia dapat melupakan perasaan sayangnya pada ibuku sendiri. Tapi, aku tak rasa tindakan aku tadi berbaloi.

“Dalam masa setahun, sama ada kau, atau emak aku langsung tak buka cerita. Apa guna kau bagitau aku sekarang? Sebab nak kahwin? Fine, go for it,” aku bangun, berlalu perlahan meninggalkan Jefrey yang terdiam dengan jawapanku.
Kalau Jefrey membuka mulut sekalipun, aku tak rasa yang aku akan buka telinga ini untuk dengar sepatah perkataan pun daripada dia.

Aku termenung panjang di dalam kereta. Enjin telah pun aku matikan, tapi aku cuma mampu memandang kosong pintu rumahku.

Aku sudah hidup bersama ibuku selama hampir 27 tahun. Dalam masa itu, aku dan ibuku ibarat adik dan kakak, bukan ibu dan anak. Ibuku melahirkan aku ketika berumur 10 tahun. Dek kerana umpatan orang kampung yang tidak senang dengan hubungan akrab ibu dan ayahku yang sebenarnya merangkap dua pupu, mereka dinikahkan walaupun tiada perasaan cinta antara mereka. Mereka akur dengan desakan kedua belah pihak yang aku rasakan pada ketika itu agak sempit cara pemikirannya. Mujur ayahku telah pun bekerja ketika itu dan masih mampu menyara isterinya.

Kerana itu, aku begitu rapat dengan ibuku disebabkan jarak usia yang tidak begitu jauh seperti orang lain. Kemalangan jalan raya yang meragut nyawa ayahku ketika aku berusia 2 tahun, juga merapatkan jurang antara aku dan ibuku. Kami sama-sama tinggal bersama datuk dan nenekku sebelum kami berpindah ke Kuala Lumpur. Sejak itu, aku dan ibuku umpama belangkas, berdua kemana sahaja dan kadangkala, Jefrey akan sama-sama menyertai kami. Aku tak sangka begini pula kesudahan cerita kami. Ibu dan kawan karibku bercinta? Ya Allah, berilah petunjuk padaku…

Aku berjalan longlai masuk ke rumah. Puas aku merayau sekitar Tasik Titiwangsa selepas berperang dengan ‘bakal ayah tiriku’. Dan kini, aku akan berbincang dengan ibuku pula. Malas rasanya mahu masuk ke rumah.

“Wiz okay?” ibu menyapaku sambil sibuk membelek majalah di tangannya, apabila mendengarkan aku melangkah masuk. Sekilas pun tidak ditolehnya ke arahku. Nasib baik memang aku yang masuk rumah. Kalau perompak? Ibu selamba baca majalah!

“Baru lepas jumpa bakal ayah tiri, should I be okay?” aku membalas perlahan. Ibu ketawa kecil. Dapatku dengar tawa kecilnya itu. Amboi, sukanya dia nak menikah! Aku terus-terusan mengomel.

“Lulus tak dia nak jadi ayah Wiz?” ibuku ketawa mendengarkan kata-katanya sendiri. Aku mencebik kasar.

“Kalau fail pun, ibu tetap nak nikah,” aku berkata perlahan. Aku melabuhkan punggung di sofa panjang. Melepaskan lelah dek kepenatan berjalan di Tasik tadi.

“Ibu takkan kahwin kalau Wiz tak setuju. Wiz anak ibu. Wiz lagi penting daripada sesiapa pun untuk ibu,” ibu berkata tegas, menjawab kata-kataku tadi. Aku sedikit tergamam mendengar kata-kata yang lahir dari bibir ibu, tak tau ayat apa yang patut aku lontarkan. Aku terdiam panjang, mencari kata-kata yang sesuai.

“Wiz bukan tak setuju, tapi Wiz kena ambil masa untuk terima semua ni. Dia kawan baik Wiz. Takkan Wiz tiba-tiba nak panggil dia ‘ayah’? Selama ni asyik beraku engkau, tiba-tiba jadi ‘ayah’,” sengaja aku tekankan perkataan ‘ayah’ itu untuk ibu. Ibu ketawa besar kali ini. Aku gundah gulana, ibu sakan ketawa. Tak fahamnya aku!

“Kalau guna aku engkau pun, tak salah. Asalkan hormat tu ada,” balas ibu sambil tersenyum penuh makna. Aku mencebik kasar.

“Jep, ibu mana? Tak balik sekali ke? Jep, kau nak makan tak? Ibu dah masak ni,” aku sengaja mencipta dialog khas untuk pendengaran ibuku tercinta.

“Pelik, tak pernah orang lain buat,” aku menambah kata-kataku. Ibu cuma tersenyum, mungkin terhibur dengan contoh yang aku berikan.

“Apa nanti orang lain kata? Malulah kita nanti, ibu. Macam dah tak ada lelaki lain. Kawan karib anak sendiri menjadi pilihan seorang janda,” aku lantas terdiam. Berubah air mukaku saat ini bila aku tersedar dengan kata-kataku yang agak melampau tadi. Aku secara tak sengaja menggelar ibuku sendiri sebagai janda yang seolah-olah gatal untuk bernikah. Aku sedikit menyesal dengan mulut cabulku.

“Ibu tak kisah apa orang lain nak cakap nanti. Ibu cuma kisah tentang apa yang Wiz fikir. Itu dah lebih daripada cukup, Wiz,” aku terdiam, sebak dengan kata-kata luhur ibu. Aku makin buntu, tenggelam dengan pilihan yang ada.

“Wiz akan sedar nanti, Bila Jep akan jadi ayah atau kawan pada Wiz. Wiz memang perlukan masa, dan ibu takkan halang Wiz untuk fikir pasal ni seberapa lama yang Wiz nak. Cuma ibu harap Wiz tahu, Jep adalah satu-satunya lelaki yang berjaya buka hati ibu, selepas arwah ayah. Mungkin Wiz rasa geli geleman sebab Jep tu kawan baik Wiz. So, take your time. Ibu takkan kisah kalau Wiz tak boleh terima, okay?” penuh tersirat kata-kata ibu. Aku sedikit tersentap bila ibu mengaku yang Jefrey adalah satu-satunya lelaki yang berjaya membuka hati ibu selepas arwah ayah.

Aku akan berkahwin tak lama lagi, dan ibu akan keseorangan selepas ini. Aku rasa, aku tak layak untuk menghalang ibu mencari kebahagiaannya sendiri, bukan? Aku mengeluh panjang, entah untuk kali keberapa.

Beberapa hari selepas perbincangan aku dengan ibu dan Jefrey, akhirnya aku memberikan kata putus pada mereka. Aku dengan ikhlas hatinya, memberikan kebenaran. Walaupun aku masih janggal dengan hubungan yang bakal terjalin, akanku cuba untuk menerima rakan karibku sendiri sebagai ayah tiriku, demi kebahagiaan ibu.

“Wiz, terima kasih,” kata ibu selepas majlis pernikahan ibu dan Jefrey berjaya dilangsungkan. Aku cuma tersenyum memandang ibu. Ibu nampak cantik dan muda ketika mengenakan sepasang baju kebaya untuk pernikahannya hari ini. Malah, ibu nampak sangat sepadan dengan Jefrey hinggakan aku tak nampak perbezaan umur yang ketara antara mereka. Aku menarik nafas lega, gembira dengan kebahagian ibu ini.

Aku menoleh memandang Jefrey yang melangkah perlahan ke arahku. Aku tersengih busuk sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Kenapa geleng kepala?” tanya Jefrey sambil mendapatkan ibu. Mesra sungguh perlakuan mereka sehingga aku tergelak-gelak tidak terhenti!

Maybe we should speak in English from now on. Because, ‘I’ can bring the same meaning as ‘saya’ or ‘aku’. And, what should I call you? Ayah? Jep? Pakcik?” Jefrey tersengih kecil. Sungguh aku terasa janggal saat ini walaupun Jefrey kelihatan selamba.

“Kita cuba perlahan-lahan. Mungkin awal-awal ni, kita boleh guna kau aku. Later on, kau cuba panggil aku ayah,” Jefrey mengangkat-angkat keningnya membuatkan aku tiba-tiba terasa mual.

“Ya Allah. I cannot do this” aku berpaling daripada mereka, berjalan pantas untuk keluar daripada masjid yang menjadi saksi pernikahan ibuku dan Jefrey tadi.

“Wiz? Nak pergi mana tu? Tak nak tunggu ayah dengan ibu ke?” Jefrey menjerit memanggilku dengan penuh bersemangat. Dapatku dengar dengan jelas tawa Jefrey dan ibuku. Aku mempercepatkan langkahku menuju kereta.

“Ayah?” aku terasa seram sejuk. Mual ada, geli pun ada. I need more time now! Aku segera menghidupkan enjin kereta.


Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini