AKU senyum
sendiri. Tak sangka dalam Kampung Kelapa Tua ni adanya sekuntum bunga mekar
yang cantik. Selama aku hidup dua puluh lima tahun, inilah kali pertama aku
berjumpa dengan seorang gadis cantik bak bidadari. Terserempak gadis itu
berjalan terkedek-kedek dengan sebuah bakul buah di tangan kiri dan payung di
tangan kanan. Entah apa mimpi gadis itu, berpayung malam-malam begitu. Namun
dia tetap manis dan sopan dengan baju kebaya dan berkain batik sutera. Mat
Kepoh, kawan sekolah aku dulu yang becok mulutnya juga turut terlopong melihat
lenggok gadis itu berjalan. Tidak pasti di mana rumah gadis manis itu. Aku dan
Mat Kepoh hanya pandang tidak berkelip. Tidak berani menegur walaupun gadis itu
melemparkan senyuman manis kepada kami berdua tika itu. Dua minggu aku di
kampung kerana bercuti semester, hanya beberapa kali terserempak dengan gadis
itu. Namun satu yang pasti, gadis itu berjalan menuju ke arah hujung kampung.
Mungkin rumahnya di situ. Agaknyalah.
Malam nanti aku
kena ke rumah Wak Leman. Ada jemputan kenduri kesyukuran. Aku terima jemputan
itu kerana aku ingin sangat tahu di mana rumah gadis manis itu. Setahu aku Wak
Leman tu tinggal seorang diri di rumah tu di hujung kampung. Hampir dengan tepi
hutan dara. Dengarnya hutan itu tidak pernah diteroka sebab itulah orang
kampung panggil hutan dara. Aku dengan senang hati menerima jemputan Wak Leman.
Tidak ramai yang datang kerana Wak Leman sendiri tidak suka bergaul dengan
orang kampung. Tambahan pula Wak Leman bukannya asal kampung Kelapa Tua. Dia
seorang perantau dari Acheh. Jadi tidak mustahillah penduduk kampung tidak
begitu mesra dengannya. Entah kenapa, aku yang jarang-jarang ada di kampung ni
pula yang dijemputnya. Ah! Bukan jemputan Wak leman yang aku ambil kisah tapi
gadis manis itu yang menjadi agenda aku sebenarnya.
Aku menapak ke
dalam rumah besar bertangga batu, sebiji macam rumah orang Melaka. Aku lihat
sekitar rumah. Banyak perhiasan antik disusun cantik di ruang tamu. Set kerusi
rotan pula elok diletak di tengah rumah mengadap jendela kayu. Tidak ubah
seperti rumah lama-lama macam dalam cerita Semerah Padi. Aku mula bersalam
dengan tetamu yang hadir. Masing-masing bersila di atas tikar mengkuang. Aku
pula tak jadi nak duduk atas kerusi rotan. Terpaksalah bersila sama. Nanti
orang ingat aku tak hormat orang tua pula. Maklumlah dari pemerhatian aku, aku
seorang saja yang muda di situ.
"Silalah
makan!" Wak Leman datang membawa dulang air kopi panas bersama dengan
pulut kuning dan sambal kelapa. Ada sepiring kulat sisir yang digoreng turut
dihidang bersama pulut kuning.
Aku pandang pulut
kuning yang dibuat bulat-bulat atas pinggan. Gulp! Aku menelan liur. Tak pernah
aku tengok pulut kuning dikepal bulat-bulat sebegitu rupa. Cukup-cukup untuk
lapan tetamu termasuk aku. Selalunya pulut kuning dibubuh dalam mangkuk dan
terpulang kepada tetamu untuk mengambilnya banyak mana. Sambal kelapa pula
dibubuh dalam mangkuk. Hanya satu piring. Kenduri apa macam ni? Dahlah dari
pagi aku tak makan. Gulp..sekali lagi aku menelan liur. Tangan kiri mula
menekan perut. Nampaknya aku kena makan nasi lemak sambal kerang Limah Janda di
kedai makan tepi jalan masuk kampung.
"Err..pakcik..ni
je ke makanan yang ada?" Aku berbisik ke telinga seorang pakcik yang duduk
di sebelah aku.
Pakcik itu hanya
mengangkat bahu. Para tetamu mula menjamah pulut kuning yang dicecah dengan
sambal kelapa dan kulat sisir goreng. Aku hanya melihat. Pulut kuning bukan
makanan kegemaran aku. Wak Leman turut menikmati pulut kuning dan air kopi
panas bersama tetamu. Aku pula melilau mata memerhati sekitar rumah. Mana tahu
gadis manis yang aku jumpa itu ada di situ. Mana tahu gadis manis itu nyata
anak Wak Leman. Maka tidak sia-sia aku menyahut jemputan Wak Leman. Aku meneguk
kopi panas perlahan-lahan sedang mata liar memandang sekeliling. Kedengaran
suara tetamu berbual dengan Wak Leman berselang seli dengan suara burung hantu.
"Wak..boleh
tanya sikit?"
Aku memasang
telinga mendengar salah seorang tetamu bertanya sesuatu kepada Wak Leman.
"Apa
dia?" Wak Leman mula mengambil sireh dan menenyeh sedikit kapur dan pinang
ke atas daun sireh sebelum mengunyah.
"Wak buat
kenduri kesyukuran ni untuk apa?"
Wak Leman senyum
lebar. Tiada kata-kata yang keluar dari mulutnya. Aku pandang Wak Leman tidak
berkelip. Mulut Wak Leman sudah kemerahan dek air sireh. Seketika kemudian dia
mula meludah. Setompok air merah melekat dalam tempurung kelapa yang
sememangnya sudah dijadikan tempat meludah air sireh. Kali ini Wak Leman
kembali sengih. Giginya sudah kemerahan.
"Oh..lupa nak
bagi tahu. Sebenarnya kenduri ni sempena kedatangan orang baru dalam rumah ni.
Yalah...sudah dua puluh tahun saya sendiri. Tak sangka bertemu jodoh di usia
tua macam ni." Sengih Wak Leman semakin lebar.
"Err...maksud
Wak...Wak dah beristeri?" celah seorang lagi tetamu.
Aku masih
memandang Wak Leman tidak beralih arah mata.
Wak Leman angguk.
Sekeping lagi daun sireh disapu kapur dan pinang. Disumbat ke dalam mulut dan
ditenyeh-tenyeh. Dalam aku memerhati orang tua itu, aku agak mungkin umurnya
dalam enam puluhan.
"Wah! Tak
sangka sembilan puluh tahun macam Wak ni masih ada yang nak?" Seorang lagi
tetamu cuba berseloroh.
Tercengang aku
mendengar. Sembilan puluh tahun??? Biar benar orang tua ni!
Semua yang ada di
situ mula ketawa. Tiba-tiba keluar seorang gadis dari bilik. Gadis itu berjalan
perlahan menuju ke ruang tamu sambil menatang dulang berisi tempat kemenyan dan
limau nipis. Aku mula terlopong melihat gadis itu. Berkali-kali aku genyeh
mata. Memang tidak syak lagi. Gadis itulah yang aku terserempak dulu.
"Abang...ni
bahannya..." Gadis itu membongkok sedikit dan meletakkan dulang tadi di
hadapan Wak Leman. Dia mula duduk bersimpuh di sebelah Wak Leman.
Aku tergamam bila
mata gadis itu melirik manja ke arah aku. Gulp! Aku menelan liur lagi. Biar
betul gadis ni isteri Wak Leman!
Tetamu yang lain
juga turut terkedu melihat gadis manis itu memanggil Wak Leman dengan panggilan
abang. Suara manja gadis itu cukup mempesona.
"Err..siapa
nama isteri Wak ni?" Entah kenapa aku berani bertanya soalan sebegitu.
"Nama dia
Saleha. Panggil je Cik Leha"
"Ohhhh......"
Ternganga mulut aku memandang kecantikan cik Leha dari dekat.
Wak Leman mula
membelah limau nipis dan diletakkan dalam piring kecil bersama garam dan lada
hitam. Sebiji telur ayam kampung pula digolek-golekkan atas kain kuning.
Selesai itu, kemenyan pula dibakar. Asap berkepul-kepul memenuhi ruang tamu
rumah itu. Masing-masing melihat perlakuan Wak Leman tanpa sepatah kata. Aku
pula masih bingung dengan tingkah Wak Leman. Sebiji gaya seorang bomoh.
“Err..Wak..siapa
yang sakit?” Entah dari mana aku dapat keberanian bertanya pada Wak Leman.
“Syyy…” Wak leman
memberi isyarat diam. Jari telunjuknya diletakkan atas bibir.
Aku semakin
bingung. Aku lihat tetamu lain juga turut diam seolah-olah asyik dengan tingkah
Wak Leman mengasap kemenyan.
Hari itu selesai
saja kenduri yang tak berapa kenduri, aku mula ke rumah Mat kepoh. Tergesa-gesa
aku berjalan meninggalkan rumah Wak Leman. Sesekali aku menoleh ke arah
belakang. Cik Leha tersenyum simpul pada aku sambil melambai-lambai tangan.
Biar betul! Wak Leman di sebelahnya sedikit pun tidak cemburu atau marah. Malah
turut tersenyum melihat para tetamu meninggalkan laman rumahnya yang dipenuhi
pokok bunga hutan.
*******
“Mat! Mat!” Laung
aku kuat.
Mat Kepoh menjenguk
dari jendela kayu rumahnya. “Apa dia Sam?”
“Turunlah kejap!
Aku ada hal penting nak bagi tahu ni!”
Mat Kepoh mengilas
kain pelekat dan mula turun ke laman menuju ke pangkin di bawah pokok
jembal.“Ada apa?”
“Tadi aku ke rumah
Wak Leman…” Tercungap-cungap aku menahan nafas. “Ada kenduri kesyukuran…kau
tahu tak…”
“Tahu apa?”
“Minah kecil molek
yang kita jumpa tu rupanya bini Wak Leman!” Aku berkata dengan nada
tersekat-sekat.
“Maksud kau minah
yang pakai baju kebaya bawa bakul tu?” Bulat mata Mat Kepoh memandang Sam.
Sam hanya angguk.
Mat Kepoh mula
duduk bersila di atas pangkin. Berkerut keningnya memandang aku. Aku pula masih
mengah menahan kepenatan berjalan tadi. Agak jauh juga rumah Wak Leman dari
rumah kampung yang lain. Sesekali mata kami bertembung.
“Tapi aku tak
faham..kenapa Wak jemput kau, bukan aku?” Jari telunjuk Mat Kepoh diketuk-ketuk
pada dagunya.
“Entah…yang aku
pelik, aku sorang je yang muda. Tetamu lain semuanya sudah tua kerepot macam
Wak tu!” Aku garu kepala.
Masing-masing diam
seketika. Bunyi cengkerik memecah kesunyian malam. Dari jauh suara burung hantu
turut bersahutan. Mat Kepoh mula menarik kain pelekat menyelimuti tubuh
keringnya.
“Sam..kau rasa Wak
Leman tu betul ke?” Mat Kepoh bersuara perlahan.
“Maksud kau?”
“Yalah…aku tak
percaya minah secantik itu boleh kahwin dengan Wak Leman yang tua bangka tu.
Kalau orang macam kita ni logik la sikit..aku rasa Wak tu ada ilmu la.” Mat
Kepoh berkata dengan penuh keyakinan.
“Ilmu? Maksud kau
ilmu pengasih? Eh! Kalau betul, aku pun nak sikit! Sorang pun belum sangkut
ni!” Aku sengih.
Mat Kepoh ketawa
mendengar kata-kata aku. Aku hanya senyum. Gelak kami terbantut bila tiba-tiba
Cik Leha muncul di depan kami. Gulp! Sekali lagi aku menelan liur. Aku pandang
Mat Kepoh. Mulut Mat Kepoh sudah terlopong, tidak berkelip memandang Cik Leha.
“Maaf bang..abang
tertinggal topi tadi. Ni saya pulangkan semula. Sebab esok kami nak ke kampung
seberang dua tiga hari. Jadi saya hantar topi ni kat abang kalau-kalau abang
cari nanti.” Cik Leha tersenyum manis.
“Err..ma…macam
mana Cik Leha tahu saya kat sini?” Aku mula pening. Cik Leha aku pandang tidak
berkelip.
“Oh..sebenarnya
tadi, masa abang keluar dari rumah, saya nak mengemas ruang tamu. Ternampak
topi abang. Terus saja saya panggil abang tapi abang dah jauh pergi. Saya
segera mengekori abang. Nah topi abang!” Cik Leha senyum lagi.
Masa bila pula dia
mengekori aku? Setahu aku, tiada sesiapa di belakang aku masa aku ke rumah Mat
Kepoh ni. Jalan mana pula minah ni lalu tadi? Aku merenung Cik Leha dengan riak
curiga.
“Terima kasih..Wak
Leman tak marah ke Cik Leha datang sini?” Aku masih tidak puas hati.
“Tak..dia yang
suruh. Kalau Leha nak jumpa abang selalu pun dia tak marah..” Cik Leha senyum
dan mula minta diri.
Aku terkedu
mendengar kata-kata Cik Leha. Tubuh kecil milik Cik Leha mula hilang ditelan
kegelapan malam. Dalam dunia serba moden ini, Cik Leha masih lagi menggunakan
obor yang dibuat daripada pelepah kelapa dan daun kelapa sebagai penyuluh jalan
yang gelap.
“Sam..ilmu apa
yang kau pakai sampai minah tu suka kat kau? Dia isteri Wak Leman la Sam..kau
hati-hati sikit.” Mat Kepoh kelihatan cemburu. Dia segera masuk ke rumah
meninggalkan Sam seorang diri di pangkin.
********
Aku termenung di
atas katil. Kata-kata Cik Leha tadi membuatkan aku bingung seketika. Biar betul
Wak Leman tak marah apa-apa. Takkan tak ada rasa cemburu langsung! Pelik! Aku
mesti siasat!
Esok pagi, aku
mula mengemas. Aku kena pulang ke kampus semula. Pengajian aku pada tahun akhir
hanya tinggal dua bulan saja lagi. Mat Kepoh pula sudah setahun bekerja
sedangkan aku masih mengadap buku. Aku tak boleh berlama di kampung. Buatnya
Cik Leha gilakan aku, parah!
“Sam! Kau dah nak
balik ke?” Laung Mat Kepoh sambil berlari ke arah aku.
Aku letak beg
sandang di atas bangku tempat menunggu bas. Aku pandang Mat Kepoh yang
berlari-lari ke arah aku.
“Ada apa Mat?”
“Cik Leha!”
“Kenapa dengan cik
Leha?” Aku bingung.
“Dia sakit! Kau
tak nak tengok ke?”
“Macam mana kau
tahu dia sakit?” Aku mula pelik. Baru malam tadi Cik Leha sihat wal’afiat.
“Wak sendiri yang
bagi tahu aku pagi ni. Cik Leha asyik sebut nama kau je!” Termengah-mengah Mat
Kepoh beritahu.
Sebut nama aku?
Malam tadi elok je! Ah! Wak Leman kan ada. Aku bukan siapa-siapa dengan Cik
Leha tu. Lagipun Cik Leha isteri orang. Ah! Persetankan!
“Wak kan ada!” Aku
mencebik.
“Wak sendiri
datang cari kau tadi. Dia berharap sangat kau jumpa Cik Leha tu.”
Aku diam. Aku
pandang jam tangan. Sudah hampir sembilan pagi. Sekejap lagi bas akan tiba. Aku
gelisah. Serba salah. Kalau jumpa Cik Leha, apa pula kata orang kampung. Kalau
tak jumpa, kesian pula minah tu. Ah! Serba tak kena.
“Macam nilah, kau
bagi tahu Wak. Suruh Wak bawa Cik Leha ke hospital. Jumpa aku pun bukan boleh
buat apa-apa pun. Aku bukan doktor! Lusa aku ada exam! Penting!
Lainlah kau tu!” Aku segera meluru ke arah bas sebaik ternampak bas mula
berhenti.
Mat Kepoh pandang
Sam dengan wajah kecewa.
“Elok kau je jumpa
Cik Leha tu! Mana tahu dia boleh sembuh!” Aku laung dari dalam bas sebaik bas
mula bergerak meninggalkan tempat itu. Sempat kenyit mata pada Mat Kepoh.
************
SEKALI lagi aku
melangkah ke kampung Kelapa Tua. Sudah dua bulan aku tidak jejak kaki di sini.
Pengajian aku sudah pun tamat. Lega. Sementara menunggu peluang kerja, aku
ingin menghabiskan masa lapang aku di kampung. Menolong orang tua menguruskan
kebun pisang. Permintaan terhadap pisang muda cukup menggalakkan. Kebanyakan orang
kampung Kelapa Tua membuat kerepek pisang sebagai pendapatan harian. Tak
hairanlah pisang kebun ayah sentiasa dapat sambutan.
“Mak, Sam nak
jumpa Mat kejap!” Aku habiskan kopi O dalam cawan.
Ibu diam. Matanya
membuntang memandang aku. Ayah pagi lagi sudah ke kebun membawa bekalan nasi
lemak dan kopi O panas.
“Kenapa mak
pandang Sam macam tu?”
“Kau tak tahu ke?”
“Tahu apa?”
“Mat dah meninggal
dua bulan lepas!”
Aku terlopong.
Terbeliak mendengar kata-kata yang terkeluar dari bibir kering ibu.
“Meninggal? Mak
jangan nak bergurau. Sebelum saya ke kampus, Mat ada jumpa saya di bus stop.
Elok je dia. Sihat segar bugar!” Aku sengih. Menyedapkan hati yang mula tidak
percaya dengan berita mengejut itu.
“Betul tapi malam
tu dia ke rumah Wak Leman. Katanya nak tengok isteri Wak yang sakit tu. Dua
hari lepas tu, dia meninggal!” Mak memulakan cerita.
“Tapi meninggal
sebab apa?” Aku semakin tidak faham.
“Entah! Mak ada
juga melawat. Mak tengok mereka berbisik-bisik sambil menunjukkan sesuatu pada
mayat Mat tu. Mak malas nak ambil tahu. Tak baik mengaibkan orang yang telah
meninggal.”
“Apa yang tak kena
pada mayat Mat?” Aku mula sebak. Benarlah Mat kepoh sudah meninggal. Terasa
berat menyebut mayat Mat.
“Entahlah.
Penduduk sini kata ada kaitan dengan Wak Leman tu. Sekarang ni Wak Leman
dituduh menjadi punca kematian Mat.”
Aku mula tidak
sedap hati. Dari dulu lagi aku rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan Wak
Leman. Aku minta diri ke rumah Mat Kepoh. Tiba di sana, suasana muram masih
menyelubungi keluarga Mat Kepoh. Aku lihat ibu dan ayah Mat Kepoh masih
meratapi kematian anak lelaki tunggal mereka.
“Makcik..maafkan
saya. Saya tak tahu fasal hal ni. Tiada siapa bagi tahu saya.” Aku mendekati
mak Mat Kepoh.
“Tak apalah. Sudah
ajal Mat. Tapi satu yang makcik hairan, lepas balik dari rumah Wak Leman malam
tu, muka Mat pucat. Badannya tidak bermaya. Seolah tiada setitik darah pun
dalam tubuhnya. Dua hari selepas tu, dia meninggal.” Mak Mat Kepoh mula
menangis.
Aku semakin
menaruh syak pada Wak Leman. Masa kenduri dulu, dia asyik mengasap kemenyan.
Mesti ada sesuatu yang dirahsiakan dari orang kampung. Malah tetamu yang hadir
tika itu seperti dipukau saja lepas makan pulut kuning. Ini tak boleh jadi. Aku
mesti siasat hal yang sebenar.
*****
MALAM itu, aku
memberanikan diri ke rumah Wak Leman. Dengan lampu suluh kecil, aku menyuluh
jalan yang gelap menuju ke arah rumahnya. Dari jauh aku lihat, rumah Wak Leman
terang dengan cahaya lampu gasolin. Aku mesti buat perhitungan. Tiba di laman
rumah Wak Leman, aku masih tercegat kaku di situ. Masih memikirkan apa yang
perlu aku lakukan. Tiba-tiba pintu rumah berkeriuk. Terbuka perlahan. Cik Leha
dengan kebaya merah tersenyum manis di muka pintu. Aku terkedu. Senyumannya
sungguh memukau. Berkali-kali aku genyeh mata. Pipi aku tampar kuat.
“Wak ada?” Aku
mula bersuara.
Cik Leha masih
senyum. “Ada. Masuklah!”
Aku melangkah
perlahan masuk ke rumah. Ruang tamu rumah itu masih seperti dua bulan yang
lalu. Tiada satu pun berubah. Aku masih berdiri di muka pintu sementara Cik
Leha memanggil suaminya.
“Ada apa Samdol?”
“Apa yang Wak
telah buat pada kawan saya Mat?” Aku tidak menjawab soalan Wak Leman sebaliknya
aku pula yang menyoal.
“Kalau ya pun
duduklah dulu. Leha! Buatkan air dan hidangkan pulut kuning pada abang Samdol
ni!” Wak Leman melaung dari ruang tamu. Cik Leha sudah ke dapur menyediakan
kopi panas.
Pulut kuning lagi?
Biar betul! Aku memerhati sekeliling. Mana tahu ada benda pelik dalam rumah itu
yang boleh dikaitkan dengan kematian Mat Kepoh. Nyata tiada apa-apa pun yang
pelik. Semuanya seperti biasa.
“Malam tu, apa
yang Wak telah buat pada Mat?” Sekali lagi aku menyoal. Tidak puas hati dengan
tindakan Wak Leman yang tidak mengendahkan pertanyaan aku tadi.
“Jemputlah minum
dulu. Ni pulut kuning yang Leha buat. Sedap. Rasalah!” Wak Leman menghulurkan
sepiring pulut yang dikepal bulat-bulat kepada aku sebaik sahaja Cik Leha
keluar dari dapur membawa dulang berisi pulut dan air kopi.
“Wak jangan nak
naikkan darah saya! Wak yang bunuh Mat!!” Darah aku mula menggelegak. Tangan
aku genggam kuat.
“Abang…suami Leha
tak bersalah. Sebenarnya Leha yang bersalah. Malam tu, Mat datang. Dia merayu
pada Leha agar cintanya dibalas dan jadikan dia suami Leha. Leha serba salah.
Lalu dia…” Kata-kata Cik leha terhenti di situ. Dia menjeling pada Wak Leman di
sebelah.
“Dia apa??” Aku
mendesak.
“Samdol..Mat cuba
buat benda tak baik pada Leha. Dia cuba ambil kesempatan pada Leha yang sakit.
Masa tu Wak tak ada di rumah mencari ubat untuk Leha. Penyakit Leha susah
diubatkan kalau dah sakit. Nasib baik Wak sempat sampai rumah.” Wak Leman
berkata sambil menundukkan wajah.
“Habis? Macam mana
dia boleh mati?” Aku semakin keliru.
“Entahlah! Wak tak
buat apa-apa pun. Lepas Wak marahkan dia, dia terus pulang ke rumah.” Wak Leman
pandang aku dengan riak bersahaja.
Aku semakin
bingung. Jalan penyelesaian masih belum jumpa. Kematian Mat Kepoh seperti
misteri. Aku mula minta diri untuk pulang tetapi dihalang oleh Cik Leha. Aku
mula tergamam bila Cik Leha tiba-tiba memeluk aku dengan kuat sambil menangis.
“Err..apa yang Cik
Leha buat ni?” Aku tolak Cik Leha dengan kuat. Terkejut dengan tindakannya.
“Abang…Leha
cintakan abang.” Cik Leha ingin memeluk aku lagi tapi aku mengelak.
“Samdol..Leha
asyik meracau teringatkan kamu. Penyakitnya belum sembuh betul lagi. Kamu
lihat, wajahnya mula ceria bila kamu datang. Bermalamlah di sini. Untuk malam
ni je. Sudah puas Wak cari ubat.” Wak Leman mula merayu.
Aku semakin
tercengang. Biar betul!! Takkan semudah itu Wak membenarkan isterinya mencintai
orang lain. Dan takkan semudah itu Wak Leman mengikut kehendak isterinya. Ini
sudah gila namanya!!!
“Tapi..saya tak
pernah cintakan Cik Leha. Dia isteri Wak!” Aku pandang Cik Leha yang masih
merenung ke arah aku.
“Abang! Sampai
hati abang cakap macam tu! Leha tahu abang pun cintakan Lehakan?” Cik Leha mula
meraung.
Ah! Kalut!
Bingung! Pening! Semuanya berserabut! Drama apakah yang sedang aku berlakon
ni??
“Maaf! Saya nak
minta diri dulu!” Aku segera melangkah keluar dari rumah Wak Leman. Sebaik
turun dari rumah, aku terhidu bau hanyir yang kuat. Aku berpaling ke arah bawah
rumah. Beberapa ekor ayam hutan sudah bergelimpangan mati di situ. Baldi yang
diletak di tepi tangga dipenuhi dengan darah. Aku terus menutup hidung. Bau
hanyir darah begitu kuat.
“Samdol!!! Kau
telah mengkhianati permintaan Leha!!” Wak Leman menjerit sambil bercekak
pinggang. Wajahnya bertukar bengis.
“Saya masih waras
Wak!! Cik Leha isteri Wak!! Apa Wak tak takut Tuhan?” Aku menoleh seraya
berkata.
“Tuhan?
Hahahaha!!!”
Aku terkejut. Wak
Leman sudah seperti orang gila. Rasanya aku juga sudah mula nak jadi gila
dengan semua kejadian ini.
“Sebenarnya Leha
tu…”
“Leha apa??” Aku
mengherdik Wak Leman.
Belum sempat Wak
Leman bersuara, satu suara nyaring mula kedengaran di atas bumbung. Aku
mendongak. Cik Leha sudah terpacak di situ. Aku menggigil ketakutan.
“Sekarang tak
perlu aku bagi tahu siapa Leha! Kau sendiri sudah nampak!” Wak Leman ketawa
lagi. Kali ini semakin nyaring.
“Ja..jadi..Cik
Leha tu…” Aku pandang pula Wak Leman.
“Ya!! Aku
kehabisan makanan. Dia nakkan darah manusia tapi aku terpaksa ambil darah ayam
hutan. Kebetulan Mat datang, aku suruh Leha hisap darah Mat!” Wak Leman mula
buka rahsia.
“Apa???” Aku
terduduk. Lampu suluh di tangan jatuh tergolek atas tanah. Cik Leha masih
bertenggek atas bumbung. Rambutnya sudah bertukar menjadi serabai dan
menggerbang. Tika itu, aku rasa kaki aku seperti dihempap batu. Tidak bergerak.
“Sekarang giliran
kau pula!!” Wak Leman mula menyeru Cik Leha. Dia sudah tahu dari dulu, darah
orang muda akan membuatkan Cik Leha sentiasa kelihatan muda dan cantik walaupun
sebenarnya dia sudah lama meninggal dunia.
Aku mula tersedar
bila mendengar suara azan dari masjid berhampiran. Sempat aku lihat jam tangan.
Waktu Isyak sudah masuk. Cik Leha sudah terbang meninggalkan rumah Wak Leman.
Aku pula segera berlari dari situ sambil mulut kumat kamit membaca ayat-ayat
suci Al-Quran.
********
DUA tahun sudah
berlalu. Kampung Kelapa Tua masih seperti dulu. Aku termenung di jendela.
Teringat kejadian yang tidak pernah diduga oleh akal aku. Zaman moden sebegini
masih ada benda-benda seperti itu. Selepas aku lari tidak cukup kaki malam itu,
aku segera ke rumah tok imam. Lalu segala-galanya aku ceritakan kepada tok
imam. Dan malam itu juga tok imam dan semua penduduk berpakat mengadakan solat
hajat dan menyerbu rumah Wak Leman. Wak Leman dipaksa menceritakan siapa
sebenarnya Cik Leha. Rupanya Cik Leha adalah gadis sekampungnya dan menolak
cintanya waktu zaman muda dulu. Dia mula mengenakan ilmu hitam supaya Cik Leha
gilakannya. Nyata Cik Leha lari tinggalkan keluarga dan mengikut Wak Leman dan
berpindah ke Kampung Kelapa Tua sehinggalah Cik Leha meninggal dunia. Kerana
terlalu sayang, Wak Leman mula puja mayat Cik Leha melalui hantu raya. Selama
ini hantu raya yang menghuni badan Cik Leha. Tok imam dan penduduk kampung mula
mencari mayat Cik leha yang disimpan dalam sebuah bilik kecil di rumah itu.
Mayat Cik Leha dimandikan dan dikapankan dengan sempurna sebelum ditanam semula
di tanah perkuburan berhampiran.
“Abang! Kopi dah
siap. Minumlah!”
Aku berpaling dan
tersenyum memandang isteri kesayangan. Aku mula duduk di sebelah isteri. Cawan
kopi aku ambil dan meneguk perlahan sambil merenung wajah ayu itu.
“Leha cintakan
abang…”
Aku tersedak. Kopi
yang aku minum tersembur. Aku pandang isteriku dengan tajam. Mata pula aku
genyeh berkali-kali.
“Kenapa bang?”
“Err..apa Seri
cakap tadi?” Hati aku berdegup kencang. Seri yang aku nikahi dua hari lepas
masih memandang aku tidak berkelip. Air kopi yang tumpah dilap dengan tisu.
“Cakap apa?” Seri
pula bingung melihat suaminya bertanya begitu.
“Tadi…Seri
cakap..…nama Seri..Leha..” Tergagap-gagap aku memberitahu apa yang aku dengar
tadi.
“Mana ada? Tu la..asyik
termenung dari tadi…” Seri senyum. Dia menghulurkan pula kuih lepat pisang
kepada suaminya.
Selesai makan,
Seri mula mengemas. Ada riak cemburu di wajahnya. Sebelum ke dapur, Seri sempat
bertanya. “Leha tu siapa?”
Aku pandang wajah
Seri yang mula bertanyakan gadis misteri itu. Diam. Wajah Seri tadi seperti
berubah wajah. Cik Leha….