Mat Rock. Itulah
gelarannya dari sekolah sampailah masuk ke alam pekerjaan. Sesuai dengan
penampilannya. Dia belek album, terus tersenyum sebaik melihat foto-foto dalam
album. Album yang banyak memberi kenangan suka duka seorang pelajar. Satu
persatu foto di dalam album itu ditatap. Sesekali dia tergelak sendiri melihat
foto yang diambil secara candid. Tanpa posing yang diada-adakan, tiada
kontrol macho, tiada touch up rambut. Semuanya semula jadi.
Apa yang jelas,
penampilannya dari dulu hingga kini seiring gelaran namanya, Mat Rock. Seluar
jeans lusuh yang dipakai tidak sah kalau tidak koyak sana sini. Lengan baju
pula disingsing sampai pangkal ketiak. Rambut ala-ala punk. Tercacak sana-sini.
Cuma warna saja masih sama. Tidak berani mengubah warna itu ke warna merah atau
yang sewaktu dengannya. Nanti tidak sah untuk buat perkara wajib.
Mat Rock tatap
lagi. Kali ini foto yang diabadikan semasa belajar di universiti. Masih seakan
sama seperti dulu, yang berubah hanyalah rambut sudah seperti gaya seorang
askar. Sentiasa pendek dan kemas walaupun pakaian masih seperti dulu. Gara-gara
minat penyanyi Mawi, rambut pun diubah sebiji macam stail Mawi. Dia senyum
lagi. Betapa pengaruh sekeliling memainkan peranan besar dalam hidupnya. Tidak
tahulah kehidupan orang lain. Apa yang nyata, dia menjadi begitu kerana
pengaruh kawan, pengaruh media dan paling nyata, diri sendiri yang mudah
terikut-ikut trend semasa. Ikut peredaran zaman kononnya.
Pernah satu hari,
dia tidak dibenarkan masuk ke kelas kerana seluar jeans yang dipakai koyak
rabak. Bukan kerana jatuh motosikal Suzuki miliknya, bukan kerana dia diserang
mafia di jalanan. Tidak! Koyak rabak itu sendiri direka kononnya ada vogue!
Akhirnya dia duduk di tepi pintu kelas demi sebuah ilmu yang diajar pensyarah.
Terdengar kata-kata sindiran.
“Rock
macam kau pun ada hati nak belajar ke bro?”
Ah! Aku bukan
kacau korang pun! Ada aku kisah!
Getus hatinya tatkala mendengar sindiran dari rakan sekelas yang ketawa
terbahak-bahak. Dia pandang pula pada pelajar perempuan yang tersengih-sengih
turut menyindir.
Ah! Cantik
sangat lah tu! Korang lagi berdosa! Dedah sana! Dedah sini! Berkepit dengan
jantan ke sana ke mari! Mat Rock
menjeling sekilas. Walaupun dia begitu, dia tidak pernah mengusik atau cuba
mengurat pelajar perempuan. Tidak kira sekelas atau sekampus. Perempuan tidak
pernah ada dalam kamus hidupnya. Dia dituduh kolot kerana tidak tahu bersosial
dengan perempuan.
Begitulah setiap
hari ke kelas. Sehinggalah dia berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang
kejuruteraan. Namun kuasa tuhan siapa yang tahu. Sedikit demi sedikit Mat Rock
mula berubah. Bukan kerana teguran pensyarah atau sindiran teman sekuliah atau
bebelan ibu di rumah. Semua itu terjadi kerana dia merasakan sudah tiba masanya
untuk dirinya bernikah!
Kadang-kadang
terasa hati dicuit geli hati memikirkan perubahan diri kerana ada rasa untuk menikah.
Seru untuk menikah sudah sampai. Tidak boleh ditunda-tunda! Kuasa tuhan
menghadirkan rasa itu dalam hatinya. Selama ini perkara itu terlalu jauh dari
kotak fikirannya. Perempuan pun tidak pernah didekati apatah lagi ingin
menikah!
Dia jeling jam di
atas meja. Sudah menghampiri dua belas tengah hari. Hari itu dia sudah berjanji
berjumpa dengan Ikram a.k.a King di kedai mamak tidak jauh dari rumahnya. Topi
keledar bentuk tengkorak dicapai dari atas meja dan jaket hitam disarung kemas ke
tubuh. Kunci motosikal pula diambil dari tepi pintu yang disangkut di situ.
Motosikalnya dipecut laju menuju ke jalan besar.
Dari jauh Mat Rock
sudah nampak King sudah tercongok di meja di kaki lima restoran mamak. King
masih seperti dulu. Lagak seorang rock sepertinya dengan rokok di tangannya
yang masih menyala. Kaki disilangkan sambil membaca berita di dada akhbar.
Mat rock mula
menghampiri King. Sekitar restoran itu masih lengang. Mungkin hari minggu
begini, tidak ramai yang keluar makan di luar. Bagi yang berkeluarga pula sudah
tentu menjamu selera bersama keluarga di rumah. Tidak seperti dirinya yang
bujang. Kedai mamak menjadi tempat lepak sambil mengisi perut kosong.
“Dah lama sampai?”
Mat Rock sengih. Topi keledar diletak atas meja.
King angguk. Dia
mula pesan kopi ais. Mat Rock pula pesan mi goreng mamak dan milo ais.
“Apa hal kau nak
jumpa aku ni?” King mula bersuara.
Mat Rock sengih.
Dia sebenarnya merasa agak malu untuk bercerita tujuannya berjumpa King, kawan
satu universiti dulu yang kini sudah pun beristeri.
“King..kau rasa
aku ni betul tak?”
Mat Rock mula
bertanya King, kawan yang sama-sama belajar dan sama-sama bekerja di syarikat
yang sama. King yang berbadan sasa lagak ahli bina badan. Dengan badan besar
dan sasa begitu, tidak hairanlah dia digelar King oleh teman-teman lain. Lagak
dan gaya pun senada. Cuma King lebih banyak mulut darinya yang tidak suka
bercakap benda-benda yang sia-sia. Banyak diam dari berbual.
“Kenapa kau tanya
macam tu? Apa selama ini kau tak betul ke?” King mula ketawa.
“Hoi! Aku serius
ni! Kau sendiri nampak perubahan aku kan? Dulu aku lain. Pakai seluar koyak,
rambut punk, baju pulak kalau boleh nak koyak rabak macam seluar jugak!”
“Baguslah kau dah
sedar! Tengok aku ni..dah enam bulan aku kahwin!” King kenyit mata pada Mat
Rock.
“Tapi kau masih
pakai seluar rock koyak ni hah!” Mat Rock pandang seluar jeans yang dipakai
oleh King. Di hujung kaki seluar sudah tidak berjahit. Benang terjuntai-juntai
macam seluar yang tidak siap.
King sengih. “Ada
nampak koyak tu kat paha? Takkan? Masih tutup aurat untuk aku solat. Jiwa rock
aku masih ada bro!”
“Maksud kau?” Mat
Rock garu kepala tidak faham.
King melepaskan
pandangan ke arah sekumpulan budak lelaki yang berborak di depan restoran
mamak. Pandangannya beralih pula kepada Mat Rock. Sempat mengukir senyuman
sebelum mula melontar hujah. Memang dia seorang pencinta rock. Memang dari dulu
dia minat muzik rock. Heavy metal. Iron Maiden! Ketika itu apa yang dibuat
dirasakan untuk melepaskan tekanan. Menyanyi sambil memetik gitar. Dunia
dirasakan sudah menjadi dunia sendiri. Tidak hirau apa yang berlaku sekeliling.
Tetapi segala lirik lagu rock ditukar kepada lirik mengingati pencipta. Biarlah
orang sekeliling mengata. Sedangkan Cat Steven juga penyanyi rock dan masih
menyanyi lagu ketuhanan selepas memeluk Islam. Malah Cat Steven a.k.a Yusof
Islam kini lebih dikenali setelah mengucap dua kalimah syahadah.
“Aku masih begini.
Pada aku tak salah kita nak berfesyen tapi biar berpada. Maaf aku cakap. Dulu
masa kau rock habis, kau solat macam mana? Seluar kau koyak di paha. Aurat
terdedah. Kau kena bawa kain pelekatkan?” King pandang Mat Rock yang masih
tidak mengerti.
Mat Rock angguk.
Memang dia sentiasa bawa kain pelekat dalam beg sandang. Setiap kali masuk
masjid, semua mata merenung ke arahnya yang berseluar koyak rabak begitu
sedangkan dia sudah bersedia dengan kain pelekat di dalam beg untuk menunaikan
solat.
“Jadi, kau telah
menyusahkan diri sendiri. Allah dan Rasul mengajar kita untuk tidak bersusah
dalam beramal. Kita nak rock boleh tapi biarlah segala rock tu tidak mengarah
kepada jalan maksiat. Tidak menghala ke arah kepayahan atau alasan untuk tidak
menunaikan suruhanNYA.” King jeling Mat Rock yang mula kelihatan berfikir.
Mat Rock pandang
King yang petah melontar kata-kata. Memang dia akui dari dulu King seorang yang
sukakan trend rock. Rock yang tidak hanyut ke dunia gila-gila. Dan sikap King
jugalah telah mengheretnya untuk turut sama menjiwai trend begitu.
“Tapi satu aku respect
pasal kau ni. Kau tak pernah tinggal solat dan rambut kau pulak sentiasa hitam.
Tidak warna pelangi macam mat rock lain. Hahaha!!!” King ketawa lagi.
Mat Rock turut
ketawa. Memang benar dia masih waras lagi dalam bab rambut.
“Err..macam mana
pulak kau boleh ada hati nak kahwin? Bila masa kau bercinta?” Mat Rock mula
berminat soal hati.
“Hahaha!!!” King
semakin galak ketawa. Dia jeling Mat Rock di sebelah yang memandangnya tidak
berkelip. Memang dia tahu Mat Rock tidak pernah ada perempuan. Tidak pernah
hiraukan pasal perempuan. Adik-beradik pun semuanya lelaki!
“Kenapa kau
ketawa? Kelakar sangat ke soalan aku?” Mat Rock mula sengih. Ada perasaan malu
menerjah hatinya. Muka pula sudah kemerahan.
“Kau dah mula suka
perempuan ke apa? Tiba-tiba tanya soalan emas macam tu? Mat Rock macam kau ni
sukar untuk aku percaya kata-kata yang kau lontarkan tadi!” King masih gelak
besar seolah soalan Mat Rock tidak relevan langsung.
“Aku serius ni!
Entahlah sejak akhir-akhir ni, hati aku bagai ditarik-tarik untuk menikah! Aku
bingung! Perempuan pun aku tak pernah berkawan! Macam mana nak cari bini?” Mat
Rock garu kepala lagi.
“Baguslah kalau
kau dah sampai seru macam tu! Nak kahwin tak semestinya kena bercinta bro! Pada
aku cinta lepas kahwin tu lagi sweet! “ King sengih. Seketika kemudian
dia mula melepaskan sebuah keluhan berat.
Mat Rock mendengar
penuh minat. Keluhan King tadi seperti ada sesuatu yang dirahsiakan selama ini.
Wajah King mula berubah rona. Mungkin ada sesuatu yang mengganggu fikiran.
Terganggu dengan soalan yang dilontar sebentar tadi.
“Kau macam pernah
bercinta je…” Mat Rock cuba mengorek rahsia.
King sedut lagi
rokok yang sudah tinggal separuh. Berkepul-kepul asap keluar. Akhirnya sebuah
keluhan panjang dilepaskan juga. Dia pandang ke arah Mat Rock yang masih
merenungnya begitu. Milo ais sudah separuh diminum.
“Sebut pasal
bercinta ni..sebenarnya aku dah serik. Untuk pengetahuan kau, masa aku
bertunang dulu, aku tak tengok langsung wajah tunang aku. Biarlah begitu.” King
mula bercerita.
“Jadi..pilihan
keluarga la ni!” Mat Rock menarik kerusi semakin dekat dengan King.
“Tak jugak..”
“Maksud kau?”
“Dia pilihan bekas
guru agama aku dulu masa sekolah menengah. Kebetulan masa aku balik kampung,
ustaz tu datang ke rumah aku. Kami berbual panjang. Dia insan yang paling
gembira melihat aku berubah. Maklumlah masa sekolah dulu, aku yang paling
nakal! Saat dia tanya tentang jodoh, aku hanya senyum. Aku cerita
segala-galanya kepada ustaz tu. Dia turut bersimpati. Sejak itu, kami saling
berhubung sehinggalah satu hari dia kenalkan aku dengan seorang gadis. Gadis
itu anak kenalannya masa mengajar dulu. Memang dia suruh aku berkawan dan
melihat wajah gadis tu tapi aku menolak. Tak lama selepas tu, mak aku pergi
meminang gadis itu.” Panjang lebar King memutarkan kembali kisah hidupnya
bertemu jodoh.
“Ohh..macam tu
rupanya. Err…boleh aku tahu kenapa kau tak nak tengok wajah tunang kau tu
sebelum kau ambil dia sebagai isteri? Mana tahu dia tak cantik ke? Ada cacat ke
apa ke?” Mat Rock semakin berminat.
King sedut lagi
rokok sampai habis. Puntung rokok dipenyet dalam bekas habuk rokok atas meja.
Sekali lagi dia melepaskan sebuah keluhan berat. Matanya tepat memandang Mat
Rock yang masih memandangnya dari tadi.
“Dulu aku pernah
bercinta. Masa tu aku di tingkatan lima. Kami bercinta sampai ke zaman
universiti. Universiti kami berlainan. Dia memang cantik. Sangat cantik. Aku
pernah ajak dia berkahwin tetapi dia menolak bila melihat aku berubah. Maksud
aku…berubah menjadi seorang yang baik dan mula taat pada agama walaupun aku
sebenarnya masih menimba ilmu. Dulu masa kami masih bercinta, dia senang dengan
gaya aku yang rock tak ingat. Malah dia juga turut berpakaian macam tu. Waktu
tu aku tidak kisah. Masih jahil. Tapi sampai bila nak jadi macam tu? Aku mula
berubah perlahan-lahan. Aku masuk usrah. Rajin ke masjid. Seluar koyak di paha
aku buang semuanya. Tinggal seluar macam yang aku pakai sekarang ni. Dan sejak
itu juga, dia mula menjauhkan diri dari aku. Dia belum bersedia untuk berubah
seperti aku. Tidak bebas katanya. Aku akur dengan pilihan dia. Itu hak dia. Aku
bukan suami dia untuk marah dan memaksa dia berubah. Jadi kami putus. “ King
ambil lagi sebatang rokok dari dalam poket seluar jeans lusuh.
“Isteri kau macam
mana?” Mat Rock masih tidak puas hati.
“Aku tak nak
tengok rupa isteri aku sebelum berkahwin dulu tu ada sebabnya. Kalau aku
tengok, aku mungkin teringat bekas kekasih aku dulu. Dan mungkin aku akan mula
membandingkan dia dengan bekas kekasih aku. Aku tak mahu. Aku tahu dalam Islam
kita diharuskan untuk melihat wajah bakal isteri kita tapi dalam kes aku, aku
memilih untuk tidak melihat. Biarlah aku tengok wajahnya selepas dia sah
menjadi isteri aku.” King bertutur penuh makna.
Mat Rock mula
faham. Dia angguk-angguk. Tidak sangka King mengalami kisah cinta yang penuh
tragedi. Terkesima mendengar pengakuan berani King. Dari rupa paras King,
memang patutlah bekas kekasihnya seorang yang cantik. King juga memiliki rupa
kacak.
“Habis sekarang ni
dia dah jadi isteri kau, takkan tak terdetik di hati kau pasal bekas kekasih
kau dulu? Maksud aku bandingkan mereka berdua, mana lebih cantik?” Mat Rock
sengih.
King jeling Mat
Rock yang sudah seperti wartawan lagaknya.
“Kau ni aku tengok
lebih memilih kecantikan! Hahaha! Tak pa..itu pilihan masing-masing. Entahlah,
aku sendiri tidak terfikir soal tu. Sejak kahwin ni, perasaan kasih dan cinta
aku pada isteri seperti busut. Makin lama makin tinggi. Bukan perasaan aku masa
bercinta dulu dengan bekas kekasih, aku rasa macam bukit yang ditarah. Makin
lama makin landai. Kadang-kadang perkara biasa akan jadi luar biasa. Lama-lama
kita hidup bersama isteri, semakin cantik aku pandangnya. Entahlah, Allah beri
hati untuk kita menilai. Mana yang Allah ubah? Wajah ke atau hati?” King
pandang Mat Rock, menunggu jawapan dari teman seuniversitinya dulu.
“Apa kaitannya
dengan hati? Aku cerita pasal cantik la!” Mat Rock tidak menjawab soalan King
tadi sebaliknya soalan dijawab dengan soalan.
“Macam nilah..hati
memainkan peranan penting dalam kehidupan suami isteri. Kalau hati kita indah,
kita akan nampak keindahan sebaliknya jika hati kita rosak, apa pun kita akan
nampak keburukan. Mula merasa benci dan mudah bosan pada pasangan kita dan kita
mula mencari lagi. Orang yang rosak hatinya akan lebih utamakan kecantikan dan
mula memburu ke arah itu yang hanya sementara. Macam kau ni..setahu aku, kau
tak pernah keluar dengan mana-mana perempuan. Bermakna kau tak ada girlfriend.
Hati kau belum terusik dengan perasaan kasih dan cinta pada perempuan.“ King
pandang Mat Rock sekilas. Habuk rokok dijentik ke arah luar. Dia pandang
sekeliling. Ramai pelanggan mula keluar masuk ke restoran mamak itu.
Mat Rock menelan
liur. Kata-kata King tadi cukup pedas baginya. Terkena batang hidung sendiri.
Selama ini dia memang tiada teman wanita. Mana mungkin dia akan berkahwin tanpa
kenal perempuan itu dulu.
“Kalau kau dah
rasa nak bernikah, kau cakap je pada mak kau! Habis cerita!” King teguk pula
kopi ais yang dipesan tadi.
Mat Rock mula
menikmati mi goreng dan milo ais yang sudah siap terhidang atas meja. Mamak itu
tersenyum melihat penampilan mereka berdua.
Mat Rock pandang
mamat Bangla yang menunjukkan ibu jari thumbs up! Boleh tahan
mamat ni! Dia mula sengih sambil jeling King yang juga turut sengih.
Mereka menyambung perbualan sambil menikmati makanan yang telah dipesan.
Sesekali ketawa mereka berderai mengingati kembali zaman rock dulu-dulu.
“Sekarang aku
pasti..tentu kau dah tahu mana lebih cantik. Apa perasaan kau?” Mat Rock mula
menguji King.
King hanya senyum.
Senyuman yang tidak dibuat-buat. Dia pandang Mat Rock yang begitu teruja ingin
tahu kisah cintanya.
“Isteri aku
biasa-biasa saja cantiknya tapi tak apa..biar tak cantik asalkan baik dan
berakhlak. Pada aku cantik itu relatif dan sangat subjektif. Kecantikan seorang
wanita itu tidak sama pada tafsirannya. Pada orang yang beriman dan budiman,
mereka akan menilai kecantikan wanita itu pada budi dan akhlak. Pada pemuja
hedonisme dan materialisme pula, mereka hanya fokus dan menilai pada paras rupa
dan daya tarikan seksual.” King berhenti seketika sambil menyedut dan
menghembus asap rokok.
“Relatif pula,
semua inginkan kecantikan tapi buat apa! Cantik macam mana sekalipun kalau dia
asyik membebel dan marah-marah akan nampak hodohnya dan membosankan. Cukuplah
seorang wanita yang wajahnya sederhana saja cantiknya, yang selalu memberi
senyuman manis, sedia membantu dan memahami hati suami. Tapi kalau dapat
seorang isteri yang cantik dan berakhlak, itu satu bonus sebenarnya. Anugerah
Allah untuk kita!” King mula tersenyum.
Mat Rock turut
senyum. Nyata King sudah banyak berubah. Kata-katanya sudah menjadi satu
tazkirah. Keluar semua falsafah yang tak pernah didengar sebelum ini. Kagum!
“Jodoh tu di
tangan tuhan. Urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Kita hanya perlu
berusaha mencari. Pilihlah jodoh dengan dua cara. Menjadi orang yang baik,
insya-Allah kita akan mendapat pasangan yang baik juga. Atau terimalah jodoh
dari pilihan orang yang baik, insya-Allah kita akan mendapat pasangan hidup
yang baik. Kerana pilihan orang yang baik selalunya yang baik-baik.” King
senyum lebar.
Mat Rock
terkebil-kebil mendengar bicara King yang sudah dirasakan berbelit-belit. Namun
cukup terkesima dengan pandangan yang dilontarkan tadi. Cukup terkesan di hati.
Baru kini dia tahu betapa hati dan perasaan pada perempuan bukan sekadar
suka-suka untuk berseronok sebaliknya rasa itu adalah ujian dalam menilai diri
sendiri.
Azan zuhur sayup
kedengaran dari masjid berdekatan. Mat rock habiskan mi goreng di pinggan. Dia
pandang King yang mula bangun dari situ. Sebelum beredar, King sempat berpesan.
“Ingat, apabila
wanita yang telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh
Allah untuk kita jaga dan bimbing menuju ke syurga. Dialah jodoh yang
ditakdirkan untuk kita. Kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita
tapi ilmunya, akhlaknya, pengorbanannya dan kesetiaannya. Dan dengan isterilah
nasib kita dunia akhirat berkait rapat. Waktu itu, walau macam mana pun
wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua. Jadi, ingatlah sentiasa hal
tu. Jadikan diri kita orang yang baik atau lebih baik dari itu.”
Mat Rock hanya
memerhati King yang mula beredar ke masjid setelah membayar makanan dan minuman
yang dipesan. Dia pun cepat-cepat mengekori King. Helmet dicapai dari atas meja
sambil berlari ke arah King yang sudah ke depan.
***********
MALAM itu, Mat
Rock termenung sendiri. Segala perbualannya dengan King siang tadi masih
terngiang-ngiang di cuping telinga. Begitu menusuk hati dan perasaannya. Nyata
King kini sudah banyak berubah. Berlainan sama sekali. Kuasa Allah memberi
hidayah kepada siapa saja Dia kehendaki. Kini dia mula rasa lega. Rupanya
perasaan ingin bernikah yang dirasai sejak akhir-akhir ini adalah jalan
untuknya berubah ke arah yang lebih baik.
Segala kata-kata
King dicatat dalam diari merahnya. Selesai menulis, dia segera ke bilik air
untuk mengambil wuduk sebaik azan selesai berkumandang.
Seusai solat
Isyak, Mat Rock mula menatap dan memahami segala catatan yang ditulis tadi. Dia
senyum sendiri. Seru untuknya bernikah semakin bersinar. Kini dia pasti apa
yang harus dilakukan sebelum bernikah. Lafaz aku terima nikahnya tidak semudah
yang diucap. Lafaz itu penuh dengan tanggungjawab dan dugaan. Sejak itu dia
tidak lagi memakai jeans lusuh yang koyak.
************
PAGI lagi Mat Rock
sudah ke tempat kerja. Terkocoh-kocoh dia menunggang motosikal menuju ke jalan
Damansara. Tiba di simpang, motosikalnya tidak dapat dikawal bila tiba-tiba
seekor kucing melintas di hadapan. Dia terjatuh ke dalam longkang besar.
“Encik tak
apa-apa?”
Mat Rock mengaduh
kesakitan. Seluarnya sudah koyak. Darah pekat mengalir dari luka di lutut
sebelah kanan. Terhincut-hincut dia berjalan dan mula keluar dari longkang yang
agak dalam itu. Sebaik melangkah ke atas, dia mendongak ke arah seorang gadis
berbaju kurung dan bertudung.
“Encik tak
apa-apa? Eh! Darah! Encik dah luka teruk ni! Mari saya hantar ke hospital.”
Mat Rock terpana
memandang gadis yang tersenyum manis kepadanya. Dia lihat pula kereta Honda
Civic di sebelah motosikalnya yang sudah terbalik di bahu jalan. Rupanya tadi
dia tercampak masuk ke dalam longkang semata-mata ingin mengelak seekor kucing
yang tiba-tiba melintas jalan.
“Err..tak apalah.
Sikit saja ni. Saya boleh pergi sendiri.” Mat Rock memegang lututnya yang masih
berdarah.
“Tapi luka encik
ni agak dalam. Marilah saya hantar. Motor tu biar saya suruh orang bengkel
ambilkan.”
Mat Rock pandang
gadis itu yang mula mengambil beg kerjanya yang turut tercampak ke bahu jalan.
Kali ini dia hanya menurut gadis itu ke kereta. Sepanjang perjalanan, dia hanya
mendengar celoteh gadis itu yang memandu ke arah hospital. Matanya tidak
berkelip memandang wajah ayu milik gadis itu yang nyata lembut dan mulus. Tutur
katanya pula sopan.
Tiba di hospital,
baru Mat Rock tahu, gadis itu sebenarnya seorang doktor. Lututnya dirawat
dengan segera. Matanya tidak lekang dari memandang doktor muda itu yang cukup
cekap membalut luka lututnya. Dia beralih pula melihat tag nama pada poket baju
putih gadis itu yang disarung sebaik saja masuk ke hospital. Anis Soleha.
“Dah siap. Kalau
encik rasa tak boleh jalan, saya boleh bagi mc. Encik kerja kat mana?” Anis
mula menulis sesuatu di atas rekod kad pesakit.
“Nama encik?” Anis
pandang Mat rock yang masih merenungnya dari tadi.
“Encik?” sekali
lagi Anis memanggil Mat Rock.
Mat rock tersedar
dari lamunan. “Ha..er..nama?”
“Ya! Nama encik
siapa?” Anis Soleha mengorak senyum.
“Mat Rock…” Mat
Rock masih tergamam.
“Mat Rock??”
“Hah?
Err…maaf…nama saya Iman Haikal” Mat rock tersipu malu.
**************
Mat Rock masih
termenung. Kali ini fikirannya melayang mengingati pertemuan yang tidak diduga.
Hatinya berdegup kencang. Aku jatuh cinta ke ni?
Diari merah
dicapai dan dibaca lagi catatan yang ditulis di situ. Kini dia pasti Anis
Soleha itulah jodohnya. Senyuman dan tutur kata gadis itu cukup membuatnya
terkesima. Terpegun. Telefon bimbitnya mula berbunyi. Dia melihat satu nombor
yang tidak dikenali tertayang di skrin. Siapa pulak ni?
“Hello! Ya saya!”
Mat Rock terdiam
mendengar suara dari hujung talian. Telefon bimbit diletak sebaik habis
perbualan. Dia mula tersenyum. Tidak sangka doktor muda itu menelefon
semata-mata bertanya khabar tentangnya. Hatinya berbunga seketika. Ah!
Memang aku sudah jatuh cinta!
Telefon bimbitnya
berdering lagi. Kali ini panggilan dari ibunya di kampung.
“Wa’alaikumussalam!
Ya mak! Hujung minggu ni? Iman nak kena ikut sekali ke? Okey!” Mat Rock letak
telefon.
Wajahnya mula
muram. Panggilan dari ibunya tadi cukup membuatnya serba salah di saat dia mula
sukakan doktor muda itu. Hujung minggu nanti, keluarganya akan pergi merisik
seorang gadis. Itu sebenarnya atas permintaannya sendiri menyuruh keluarga
mencarikan jodoh untuknya.
************
MAT ROCK pandang
sekeliling. Agak cantik perhiasan dalam rumah itu. Dia pandang pula ibunya yang
sedang berbual dengan kedua orang tua gadis yang ingin dirisik. Perbualan
mereka cukup mesra. Seolah sudah kenal lama.
Matanya tertancap
pada sekeping gambar yang dibingkai cantik di atas meja hiasan di sudut kiri
dinding di ruang tamu itu. Dia menelan liur berkali-kali. Matanya turut
digenyeh. Terkebil-kebil dia memandang foto yang tersenyum manis itu. Sekali
lagi dia tergamam bila melihat seorang gadis keluar dari arah dapur membawa
sedulang air dan kuih menuju ke ruang tamu sambil tersenyum. Senyuman yang
pernah dilihat.
“Doktor Anis…”
ternganga Mat Rock sebaik melihat Anis Soleha.
Anis pula tergamam
bila melihat pemuda yang pernah ditolongnya dulu sedang duduk di sebelah
tetamunya yang lain.
“Nilah anak gadis
saya. Dia kerja di KL juga.”
Ibu Anis mula
perkenalkan anak gadisnya kepada Puan Zainon, ibu Mat Rock. Masing-masing
memandang ke arah gadis itu yang mula tunduk.
“Silakan!” Anis
Soleha mempelawa tetamu menjamu selera sebelum melangkah ke dapur semula.
“Macam mana Iman?”
Mat Rock menoleh
kepada ibunya. Matanya memandang pula ke arah pak Long yang turut hadir sama di
situ. Dia hanya mampu senyum. Tiada kata-kata yang mampu diluahkan saat ini.
“Alhamdulillah!”
Semua yang ada di
situ masing-masing senyum. Senyuman Mat Rock semakin lebar. Memang benar rasa
hatinya selama ini. Doktor muda itu jodohnya. Fikirannya mula melayang kepada
tulisan yang dicatat pada diari merah bertajuk ‘ Sebelum Aku Bernikah’. Nyata
perubahan diri membawa seribu rahmat buat dirinya.
October 12, 2012 at 3:57 PM
jodoh pertemuan di tangan Allah.. kita hanya mampu merancang tapi Allah jugalah yang menentukan. ingatlah peringatan Allah, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan begitu juga sebaliknya. so, kalau nak dapat jodoh yg baik kena baiki diri untuk turut jadi org yang baik,soleh/solehah. cerita yg sgt menarik! ^__^