ANIM dongak ke
langit. Awan sudah mula gelap. Daun yang luruh di laman rumah disapu
cepat-cepat. Tadi selesai mengemas rumah, dia terus ke laman untuk membersihkan
sekitar kawasan rumah. Bekas kosong dan pasu bunga yang tidak digunakan
ditelangkupkan, bimbang menjadi tempat biakan nyamuk pembunuh. Daun yang disapu
dilonggokkan di perdu pokok kelapa. Dia dongak lagi ke langit. Awan semakin
hitam, bakal menurunkan titisan hujan ke bumi. Niat untuk membakar longgokan
daun kering terpaksa dibatalkan bila melihat rintik hujan mula menitis.
Penyapu
disandarkan di batang pokok kepala. Tergesa-gesa Anim berlari ke anjung rumah
papan. Hujan sudah mula renyai. Pandangannya masih pada laman yang menghijau
dengan rumput dan dihias indah dengan pokok bunga kertas dan bunga orkid hutan.
Sesekali matanya menerjah ke jalan besar. Kelibat motosikal ayahnya masih belum
kelihatan. Malam tadi dia sempat berpesan pada ayah. Entah ingat entah tidak.
Anim mula berpeluk tubuh bila terasa semakin sejuk dengan angin sekali-sekala
bertiup kuat dengan guruh berdentum-dentam tanda hujan akan semakin lebat.
“Anim!
Dah la tu sapu daun. Masuk rumah! Kilat tu! Bahaya!” Ibu laung dari ruang tamu.
Anim
segera menceduk air dari tempayan menggunakan gayung yang disangkut pada tiang
tepi tangga dan mula membasuh kaki. Sebelum melangkah ke atas rumah, sempat dia
menoleh ke arah jalan besar sekali lagi. Kelibat ayahnya masih belum kelihatan.
Anim melemparkan keluhan kecil.
“Mak,
ayah balik pukul berapa?” Anim duduk bersila di sebelah ibu yang sedang melipat
kain yang diangkat dari jemuran tadi.
“Kenapa?”
“Tak
ada apa..” Anim jeling jam di dinding. Sudah menghampiri enam petang. Selalunya
waktu begini, ayah sudah sampai di rumah dari temat kerjanya di bandar.
“Kat
dapur tu ada ubi kayu. Nanti Anim tolong rebuskan ya. Kejap lagi ayah balik.
Ayah memang suka makan ubi rebus hujan-hujan macam ni. Mak nak habiskan lipat
kain ni sekejap.” Ibu senyum.
Anim
angguk dan mula melangkah ke dapur. “Err..mak, Akim mana?”
“Tu!
Sedang tengok tv !” Ibu muncungkan mulutnya menghala ke arah Akim yang sedang
asyik menonton rancangan kartun.
Akim
hanya muda dua tahun dari Anim, yang kini belajar di darjah lima. Mereka hanya
dua beradik sahaja. Akim, anak lelaki kesayangan ayah. Sejak kecil lagi Akim
dimanjakan oleh ayah. Segala kemahuan Akim, ayah turuti. Terkadang Anim merasa
dipinggirkan bila keinginannya ayah buat tidak endah. Malam tadi, dia pesan
pada ayah untuk membeli biji gajus bakar. Entah beli entah tidak. Kalau Akim yang
pesan, selalunya ayah akan tunaikan juga walaupun terpaksa mencari di bandar
lain yang jauh dari rumah.
Di
dapur, Anim mula mengupas kulit ubi kayu. Ubi kayu yang telah dibuang kulit
dipotong pula kecil-kecil. Apabila direbus nanti, ubi kayu akan cepat empuk.
Dia pandang keluar tingkap. Hujan semakin lebat menyimbah bumi. Sementara
menunggu ubi kayu empuk, Anim mula membuat latihan matematik. Minggu depan ada
ujian dari cikgu Ibrahim, guru matematik yang garang.
Sesekali
dia jenguk ke luar tingkap. Hujan sudah mula renyai kembali. Tiada lagi bunyi
guruh berdentum-dentam. Anim jenguk pula ubi rebus di dalam periuk. Dia
mengambil lidi dan mula mencucuk ubi.
“Hmm..dah
empuk..” Sedikit ubi dirasa di lidah. Api dipadamkan.
Anim
kembali duduk di kerusi di meja makan. Dia menyambung membuat kerja sekolah.
Sesekali matanya memandang ke arah jalan besar. Dia tersenyum melirik.
Kelihatan ayah sudah memasuki laman rumah dengan motosikal tuanya. Anis segera
ke anjung rumah.
“Ayah,
ada tak?” Tidak sabar Anim bertanya ayah barang yang dipesan malam tadi.
“Maaf
Anim, ayah tak sempat nak singgah di kedai tadi. Hujan lebat sangat.” Ayah
menjawab sambil membuka topi keledar dan baju hujan kuning.
Anim
mula sugul. Wajahnya muram. Dia segera mengambil beg kerja ayah dan melangkah
longlai ke ruang tamu. Ibu sudah tercegat di muka pintu sambil tersenyum manis
memandang ayah. Tangan ayah dicium lembut. Ibu sudah siap menghidangkan ubi
kayu rebus bersama kopi o panas di ruang tamu. Petang itu mereka sekeluarga
sama-sama menikmati juadah petang. Anim hanya diam mendengar celoteh ayah dan
ibu bercerita. Akim turut mencelah sekali-skala.
Perasaannya
kini berkecamuk. Sudah dua minggu dia kempunan biji gajus bakar. Kalau dulu, di
kedai Pak Amat, ada dijual biji gajus bakar tetapi setelah Pak Amat meninggal,
semua anak-anak Pak Amat tidak menyambung berniaga di situ. Kedai itu sudah
dirobohkan.
“Anim,
kenapa diam saja?” Ibu mula menjeling anak gadis suntinya yang kelihatan sugul.
“Tak
ada apalah mak..” Anim mengunyah ubi kayu rebus perlahan-lahan.
“Malam
tadi, Anim pesan kat abang, dia nak makan biji gajus bakar. Hujan lebat macam
ni saya tak singgah la kat kedai di bandar tu. Jalan pun sesak semacam. Lagipun
sekarang bukan musim pokok tu berbuah. Susah nak dapat biji gajus tu. Pucuk
gajus pun susah nak dapat untuk buat ulam.” Ayah menyampuk sambil memandang
Anim yang tunduk dari tadi. Sudah merajuk agaknya.
“Oo..patutlah
muram je. Esok nanti ayah beli ya..dah tak usah sedih. Tak manis la anak mak
buat muka macam tu!” Ibu cuba memujuk.
****************
ANIM
mengayuh basikal dengan perlahan. Tadi habis sahaja kelas cikgu Ibrahim, dia
terus menuju ke tempat letak basikal. Ingin pulang terus ke rumah. Ajakan kawan
sekelas untuk menikmati pisang goreng panas di gerai Makcik Nab tidak
dihiraukan. Perutnya lebih perlukan biji gajus bakar dari pisang goreng panas
walaupun pisang goreng juga kegemarannya. Rajuknya sudah tepu. Hari ini ayah
mungkin mengingkari janji lagi.
Dia
mengayuh lagi. Dia dongak ke langit. Matahari memancar terik dari celah awan. Laju
dia mengayuh basikal menuju ke jalan kecil. Dari jalan besar sebelum masuk ke
simpang jalan kecil ke rumahnya terdapat jalan merah menuju ke sawah. Jelas dia
melihat pokok-pokok gajus berbuah lebat di kelilingi pokok kelapa yang meliuk
lentuk daunnya ditiup angin bendang. Anim berhenti di situ sambil memandang
penuh minat ke arah pokok-pokok gajus itu.
“Hmm..ada
pokok gajus rupanya di situ. Tapi setahu aku, itu jalan ke rumah Hana. “ Anim
mula berkata sendiri. Dia senyum. Petang nanti dia akan ke rumah Hana dan
melalui jalan itu untuk memastikan pokok gajus yang lebat berbuah itu
benar-benar wujud. Dia tersenyum girang. Harapannya untuk makan biji gajus
bakar kembali cerah. Jika benar, sudah semestinya dia akan mengambil seberapa
banyak yang boleh untuk dibakar nanti. Dia mula menelan liur. Sepanjang
perjalanan pulang, bibir Anim tidak lekang dari senyuman.
Tiba
di rumah, Anim mula membantu ibu mengemas dan menyapu laman. Longgokan daun
semalam terus dibakar. Selesai semua itu, Anim ke belakang rumah pula mencabut
ubi kayu yang tumbuh subur di situ. Ubi kayu terus direbus tanpa disuruh. Dia
tahu ayah akan makan juga nanti.
“Wah!
Akak gembira nampak?” Akim tiba-tiba muncul di sebelah.
“Terkejut
akak!” Anim senyum. Sempat menoleh Akim yang berpeluh. Mungkin baru lepas main
bola di laman tadi. Dia buka tudung periuk melihat ubi yang direbus.
“Ubi
dah masak. Nanti kita boleh makan.” Anim ambil seketul ubi kayu rebus dan cicah
dengan kelapa parut yang digaul dengan gula. Dia hulur sedikit kepada Akim.
“Pergi
mandi. Kejap lagi ayah balik!” Anim pandang Akim yang comot mulutnya makan ubi
kayu rebus tadi.
“Hmm..dah
masak ubi tu Anim?” Ibu muncul dari ruang tamu.
Anim
angguk. Dia segera meminta izin ibu untuk ke rumah Hana mengulangkaji pelajaran
bersama. Hana seorang yang pandai matematik. Gembiranya bukan kepalang bila ibu
mengizinkannya ke rumah Hana. Bermakna harapannya untuk merasa biji gajus bakar
akan tercapai.
PETANG
itu, sekali lagi Anim mengayuh basikal ke rumah Hana. Buku latihan matematik
dan kerja rumah cikgu Ibrahim turut dibawa bersama. Laju kakinya mengayuh. Tiba
di simpang tiga, sekali lagi dia melihat pokok-pokok gajus yang berbuah lebat.
Berkali-kali dia menelan liur.
“Tak
apa..balik dari rumah Hana nanti, aku singgah kat situ.” Anim mula berkira-kira
mengambil buah gajus.
Dari
jauh dia melihat Hana sudah tersenyum kepadanya. Anim mengayuh semakin laju.
Rumah Hana betul-betul terletak di tepi sawah dan di belakang rumah pula penuh
dengan pokok kelapa dan pokok mangga.
“Anim!
Ada apa kau datang sini?” Hana melaung dari pangkin.
“Aku
nak belajar sekali dengan kau. Kau kan pandai matematik!” Anim sandar
basikalnya di batang pokok kelapa. Buku dan nota dari dalam bakul basikal
dikeluarkan dan diletak atas pangkin.
Petang
itu, Anim dan Hana sama-sama belajar dan membuat latihan matematik yang diberi
oleh cikgu Ibrahim. Ibu Hana sempat menghidangkan kuih lepat dan sirap limau.
Hampir satu jam mereka belajar bersama. Anim jeling jam tangan pemberian ayah.
Sudah menghampiri enam petang.
“Hana,
aku balik dulu. Kejap lagi ayah aku balik dari kerja. Aku pergi dulu ya!” Anim
mula mengemas buku dan nota dan dimasukkan semula ke dalam bakul basikal.
“Esok
tak sekolah kan? Bolehlah kita belajar lagi.” Hana mengorak senyum.
Anim
angguk. Dia terus mengayuh hingga ke jalan merah. Dalam hatinya sudah berkira
untuk mengambil biji gajus yang dia nampak tadi.
Hana
masih di pangkin sambil memerhati Anim mengayuh basikal menuju ke jalan besar.
“Eh,
buat apa Anim masuk ke jalan tu?” Hana panjangkan tengkuknya melihat basikal
Anim membelok ke arah kiri di simpang tiga. Dia menggaru kepala melihat Anim
yang melalui jalan kecil itu seorang diri.
******
ANIM
mengayuh perlahan memasuki kawasan yang penuh dengan pokok-pokok gajus. Dia
sandarkan basikalnya di tepi pondok kecil di situ. Dia pandang pula langit.
Awan kelihatan sudah mula gelap.
“Aku
kena cepat ni! Hari pun dah nak gelap!” Anim masih mendongak ke langit.
Dia
merapati pokok gajus yang berbuah lebat. Kecur melihat buah gajus yang berjuntai
di hujung dahan. Beg plastik sudah siap dibawa semasa keluar dari rumah tadi.
Dia segera mencari ranting kayu yang panjang untuk menjolok buah gajus.
“Huh!
Kecik sangat pulak ranting ni! Macam mana buah tu nak jatuh?” Anim garu kepala.
Dia pandang di sekitar tanah. Kelihatan semak sedikit dengan pokok menjalar.
“Wah!
Banyak juga buah yang jatuh.” Anim mula mengutip buah yang sudah sedia ada di
tanah. Hatinya cukup gembira mengutip biji gajus yang diasingkan dari buahnya
dan disimpan dalam beg plastik.
“Hmm…tak
cukup ni.” Anim dongak ke arah buah gajus di atas pokok.
Tiba-tiba
dia terdengar bunyi mendengus yang kuat. Perlahan Anim berpaling. Matanya
membuntang melihat seekor babi hutan sedang merenung tajam ke arahnya. Anim
diam terpaku di situ. Tidak berani berganjak. Dia terus memandang binatang itu
yang semakin mendengus kuat. Sebaik melihat binatang itu mula menggerakkan
kaki, Anim semakin gelisah. Kakinya turut bergerak ke belakang. Bersedia untuk
lari. Tiba-tiba dia terpijak ranting. Babi hutan itu terus mengejar Anim yang
sudah panik dan masih tidak berganjak dari situ.
Entah
dari mana kekuatan yang dia dapat, dia terus memanjat pokok gajus sehingga ke
dahan paling atas. Anim jenguk ke bawah. Babi hutan itu masih di perdu pokok.
Anim pula memeluk kuat dahan pokok takut terjatuh dan dikejar babi hutan itu.
Dia
lihat jam tangan. Sudah hampir pukul tujuh petang. Dia mula risau. Dipandang
sekeliling. Hari semakin gelap. Sesekali dia menepis nyamuk yang mula menggigit
kulitnya. Anis pandang lagi sekitar. Sudah tidak nampak apa-apa. Gelap pekat.
Tanpa sedar air matanya mula jatuh. Kini dia terperangkap di atas pokok. Babi
hutan masih menunggu di bawah sambil mendengus kuat. Tangisan Anim semakin
kuat. Dia mula menyesal kerana terlalu ikutkan kata hati. Pesanan ayah tidak
dihiraukan. Kedegilannya nyata menghukumnya sendiri. Anim terlelap di situ.
***********
“ABANG!
Anim belum pulang lagi ni. Saya risau la bang!” Ibu mula gelisah. Matanya mula
berair.
“Dia
ke mana tadi?”
“Dia
kata nak ke rumah Hana. Nak belajar sama-sama katanya!”
“Awak
tunggu di sini. Kalau paksu datang, suruh dia cari saya di rumah pak Kob!” Ayah
tersu capai lampu suluh dan menunggang motosikal menuju ke rumah Pak Kob, ayah
Hana.
Tiba
di rumah Hana, ayah segera bertanya kepada Pak Kob. Nyata Pak Kob juga tidak
tahu ke mana Anim pergi. Sepanjang perjalanan tadi, dia sempat singgah di
beberapa tempat mencari Anim. Anim masih belum dijumpai.
“Pakcik!
Petang tadi saya nampak Anim masuk simpang tiga sana tu! Saya pun tak tahu dia
buat apa kat situ!” Hana mula mencelah bila melihat ayah Anim mula putus asa.
“Simpang
tiga?” Ayah Anim pandang Hana dengan mata terbeliak.
Hana
angguk.
“Dia
buat apa kat situ? Bukan ada apa-apa pun kat situ! Hish! Budak bertuah ni!”
Ayah Anim mula geram.
“Entahlah..tapi
saya dengar dia kata nak cari biji gajus!” Hana pula menyambung bicara.
“Biji
gajus?? Biar betul! Simpang tiga tu kan tanah kubur!”
Ayah
Anim bersama Pak Kob dan Pak Su segera menuju ke simpang tiga. Dengan cahaya
lampu suluh yang mereka bawa, mereka mula mencari Anim. Kawasan di sekitar itu
hanya semak dan pokok menjalar saja. Di sebelah kiri pula kawasan perkuburan
lama.
“Along!
Anim ada kat sini!” Pak Su menjerit.
Ayah
Anim dan Pak Kob berlari ke arah Pak Su. Mereka terpaksa melangkah batu nisan
yang tercacak di situ. Batu nisan yang ada di situ kebanyakannya sudah retak
dan senget. Anim dijumpai tertidur di atas salah satu kubur di situ sambil
memeluk biji gajus. Ayah Anim mengangkat Anim dan segera pulang ke rumah
menaiki kereta Pak Akob.
Tiba
di rumah, orang kampung sudah ramai berkumpul di rumahnya. Ustaz Halim turut
dipanggil. Malam itu Anim tidak sedarkan diri. Ustaz mula membaca sesuatu dan
menyapu air yang dibaca tadi ke muka Anim.
“Alhamdulillah..”
Ustaz halim senyum bila melihat Anim sudah mula sedar. Air bacaan Yassin tadi
diberi minum.
“Alhamdulillah
Anim dah sedar!” Ibu memeluk Anim.
Anim
masih kebingungan. Dia lihat sekeliling. Orang ramai mengerumuni dia yang
berada di tengah-tengah ruang tamu. Dia pandang pula Ustaz Halim.
“Syukurlah
Anim sudah sedar. Tempat tu keras.” Ustaz Halim senyum lagi.
Ayah
Anim turut senyum sambil meraup muka. Dia pandang Anim yang masih terpinga-pinga.
Ada sebungkus biji gajus di tepi.
“Mana
Anim dapat biji gajus tu?” Ayah mula bertanya.
Anim
pandang bungkusan plastik yang penuh dengan biji gajus. Dia pandang pula ayah
dan ibunya.
“Dari
pokok gajus la. Pokok tu lebat berbuah!” Anim mula bersuara.
Orang
ramai yang datang masing-masing diam. Mereka berpandangan sesama sendiri.
Setahu mereka kawasan tempat Anim dijumpai tiada sebatang pun pokok gajus.
Malah kawasan itu adalah kawasan kubur lama yang dipenuhi dengan semak dan
pokok menjalar. Biji gajus di dalam genggaman Anim dipandang tidak berkelip.
Memang sah itu biji gajus. Biji gajus itu masih segar seolah-olah baru dipetik
dari pokok. Penduduk kampung yang datang menziarah mula minta diri untuk pulang
ke rumah masing-masing.
Anim
pandang biji gajus sekali lagi. Dia senyum sendiri.
December 8, 2012 at 10:45 PM
huhu.. kesian Anim... dia mmg teringin giler nak makan biji gajus bakar...