rss


Aku berjalan laju menuju ke kedai runcit milik Pak Mat di hadapan rumah aku. Kedai runcit yang ditubuhkan sejak aku dibangku sekolah lagi. Kedai runcit yang merupakan sumber makanan aku time lapar! Yeah, aku ni memang jenis perut belanga. Kuat makan. Maka, tidak hairanlah kalau sehari aku pergi kedai Pak Mat lima kali semata-mata beli roti, maggi, kerepek dan jajan.

“Leya.”

Kepala diangkat. “Eh, sis. Buat apa kat sini? Makan?”

Aku memuncungkan bibir aku. Lawa! Mataku meliar ke seluruh sudut kedai runcit itu. Leya, anak dara manis Pak Mat masih lagi tercegat di kaunter sambil jarinya ligat menekan kalkulator. Biasalah, kira keuntungan, kerugian hari ini.

“Maggi ada?”

Leya mengerutkan dahi. “Dah berapa kali akak beli maggi? Masuk kali ni, dah tiga kali kan? Are you sure? Tak takut cancer ke?”

Okey, anak dara seorang ni dah start kuliah dia. Ni perkara biasa yang terpaksa aku sabar saat bertembung dengan cik adik manis ni. Prihatin sangat dengan kesihatan aku. Bagi aku, makan banyak mana maggi, kalau Allah dah kata, ‘Okey, no cancer’ atau ‘tak bodorh’ maka tak jadilah. Kesihatan atau kepandaian kita bukan letak pada something yang kita eat..

“Erm, kalau dapat pun..nak buat macam mana. Kun faya kun lah dik.”

“Sekurangnya, kita try to avoid it. You know, cancer pembunuh utama kita..” Leya sudah bergerak ke sudut makanan ringan dalam kedai. Maggi sebungkus perasa kari dicapai. Sebungkus lagi diambil. Maka dualah jawabnya. Aku sudah tersenyum. Well, bebel-bebel dia pun, dia tetap akan bagi. Siapa tak nak kedai dia merundum begitu je kan?

“Ye lah doktor!” balasku. Aku tahu, gadis itu bercita-cita untuk menjadi doktor pakar sakit puan. Katanya, dia takkan biarkan pesakit perempuan dirawat oleh doktor lelaki. Sudahlah doktor pakar sakit puan dekat Malaysia ni sikit.

Leya tersenyum manis. “RM 2.80”

“Thanks.” Duit bertukar tangan.

Aku terus berpusing untuk keluar. Namun, boleh pula ada bala yang menimpa ke atas diriku ini. Saat aku mahu melangkah keluar dari kedai dan, seseorang telah melanggar tubuhku yang kecil ni. Terundur aku beberapa tapak ke belakang. Mahu jugak aku tersungkur ke belakang. Adui, terasa kerdil diri ini bila dilanggar oleh manusia yang berbadan...aku memandang ke arah insan yang melanggarku. Kenapa dia tak pergi?

Okey.

He’s boy.

Kalau dia perempuan, boleh juga aku sembur. Yelah, tak ada kesopanan dan kesusilaan ke dalam diri tu? Nama je perempuan tapi ganas nak mampus. Nasib baik lelaki. Tak ada lah aku nak komen apa-apa. Dah nama pun lelaki. Lelaki equal to violence. Right? HA-HA.

“Cik? Sorry..sorry. Saya tak sengaja.” Ucap lelaki itu. Oh, so, dia tak bergerak lagi sebab nak minta maaf dengan akulah ni? Good! Ni barulah senarai lelaki terakhir malaya. Nak letak dalam jejaka melayu terakhir, macam tak layak pulak. White shirt, cardigan dan jeans hitam.

Huh..sempat aku menilik mamat ni. “Oh, tak pe. Perkara yang sentiasa akan berlaku. Biasalah, kalau benda tu nak jadi, tetap akan jadi. Kun faya kun..”

Kelihatan lelaki di hadapanku mengerutkan dahinya. Huihh..berlapis dahinya yang licin tu. Tapi, pipi tak lah..bak kata lelaki kepada aweknya, awak cantik seperti bulan. Meaning, muka awek dia cantiklah macam permukaan bulan yang tak rata tu.

“Err..okey. Terima kasih.” Sebaik sahaja berkata ‘terima kasih’ lelaki itu terus berlalu. Aku memejamkan matanya. Urm, busuknya minyak wangi. Berapa tan dia letak ni? Ni mesti kes bau badan hamis tahap dewa kan? Thats why pakai minyak wangi setan. Err..se-tan ye. Bukan syaitan bahasa pasar setan.

^-^

Sabrina dan Adyba tiba-tiba muncul di hadapan rumah aku pagi ini. Entah apa mimpi diorang malam tadi sampai datang rumah aku dengan baju sukan bagai. Nak ajak aku pergi jogging ke? Fuhh..aku malas kot.

“Rindulah dengan rumah kau.” Sabrina memasang sengih. Jarinya ligat menekan punat Sony Ericsonnya. Berbalas mesej entah-siapa.

“Tak nak jamu kami dengan air ke? Haus ni..Eh, kau baru bangun tidur ye?” soal Adyba dengan matanya tepat ke arah mataku yang separuh terbuka ini. Tubuhku sudah selamat meniarap di atas sofa.

“Ye la. Korang datang awal tak berkhabar, terkejut aku.”

Adyba dan Sabrina berpandangan sebelum pandangan mereka ke arah jam Astro. “Kitaorang nak ajak kau pergi jogging. Nak follow?” soal Adyba setelah lama menyepi. Liyana memang! Pukul 8 pun dia kata awal pagi subuh!

“Tak nak. Malas. Ngantuk.”

“Jom lahh..” Sabrina memujuk.

“Malas..!”

“Jomlah..kau mesti suka. Kali ini, Fathien, Farzana, Nisa pun ada.”

Mataku terbuka luas. “ Are you sure?”

“Really sure.” Adyba mengenyitkan matanya.

Fikir lawalah tu?

^-^

Ini bukan jogging.

Ini..namanya..lepaking.

“Koranggggg! Aku datang sini dengan harapan dapatlah jogging dengan korang berlima, tapi lain pulak jadinya. Kalau aku tahu kita datang sini just melepak, baik aku sambung tidur!” Aku sudah rasa betapa ruginya aku follow dorang.

“Rileks. Kan tadi kita dah jogging?” Farzana – suaranya masih tiada tone.

“Ha’alah..kecohlah kau. Baru lepak dah kecoh. Dulu suka ajak kita lepak.” Fathien – nadanya masih tak berubah. Macam time zaman sekolah. Hailoh..nasib baik muka dia dah berubah dari penyu ke muka asal. Opss..aku dah janji dengan dia tak nak kutuk pasal tu..Eishhh, aku ni lahh kan. Nasib baik bermonolog dengan hati. Kalau aku cakap betul-betul memang dia humban aku dalam tasik buatan depan kami ni lah kan.

“Haha..Fathien suka ungkit cerita dulu..” Nisa – si gadis..err wanita yang masih lagi mengekalkan hidungnya yang sangat mancung. Bak kata Farzana with toneless, ’90 degree.’

Aku menarik muka lapan belas. Serius. Aku rasa menyesal gila follow Adyba ngan Sabrina. “Korang ni kan..tak faham aku kan. Tahu tak aku tidur pukul berapa malam tadi semata-mata siapkan tesis yang prof aku nak tengok next week. Tahu tak life aku tak macam korang. Freedom. Aku an architect – yang lifenya dengan model dan lukisan semata-mata. Pleaselah, jangan seksa aku. Kali ni I’m dead serious. Aku penat. Aku baru tidur pun after subuh tadi. Enoughlahh..aku nak balik.”

Aku terus meninggalkan mereka. Serius sangat. Aku tak ada mood nak buat aktiviti segala bagai. Aku datang pun sebab nak jogging dengan diaorang. Dengan harapan, mana tahu badan aku kembali cergas. Ini tak, jogging pun tak sampai setengah jam dah stop. Gara-gara Adyba yang letih sangat. Erghh..antara dia dengan aku, aku lagi letih! Jogging kalau tak sampai setengah jam seolah-olah tak buat apa.

Aku nak..

Bal..lik..

Argh..kenapa mata aku berpinar ni? Urm..kurang tidurlah kot..Tak pe, sikit lagi ni nak sampai kereta. Aku terus melangkah laju. Aku rasa sesuatu yang tidak kena dengan tubuh aku.

Langkahku makin longlai. Dunia seakan berputar maha hebat. Mulutku rasa mual.

“Ya Rabb..” aku rebah menyembah bumi.

Gelap!

^-^

Aku membuka mataku perlahan-lahan. Pandanganku kabur dan kekaburan itu kian hilang. Aku memandang sekeliling yang kelihatan agak suram. Kenapa suram? Bilik apa ni? Kenapa ..serba putih? Bilik aku kan warna warni. Noh Hujan pun ada.

Urm..aku kat mana ni?

“Awak dah okey?”

Bahuku terangkat ke atas. Mak oii..mahu jantung aku terkeluar bila dengar suara garau anak rimau ni. Aku mengangkat pandanganku ke arah pemilik suara.

Saraf mataku menghantar data imej yang aku terima. Fikiranku mula fokus terhadap apa yang aku lihat. Dan..4 saat kemudian, otakku mendapat isyarat.

A guy which is in the list of ‘ lelaki terakhir malaya list ‘ and a guy who is langgar me? English aku memang teruk.

“Err..”

“Ada sakit kat mana-mana ke?”

Arr..err..dia ni doktor ke? “Tak. Saya okey je.” Tapi, asal gaya dia macam nak pergi jamming?

Lelaki itu mengangguk kecil. “ Thats good. Nampaknya you getting better.” Tiba-tiba dia memanjangkan tangannya memetik suis merah di kepala katilku. Huii..mahu aku cabut lari. Takut dia buat something tak elok.

Rupanya this guy doctor. Aku tak expect lah yang dia ni doktor sebab muka pun macam...

“Assalamualaikum..” ucap satu suara. Langsir biru, [ biasalah dekat wad ] diselak.

...ex-penjenayah. Aku menjawab salam itu dalam hati. Ni baru doktor. Jubah putih tu memang doktor lah. Bukan macam mamat ex-penjenayah ni. Aku tersenyum ke arah si doktor ‘real’ yang baru masuk.

“So..awak Liyana kan? Perempuan yang adik saya jumpa rebah di sebelah kereta awak. Kan?”

Aku mengangguk. Bedal ajelah. Tanya gaya macam aku ni tahu menahu je apa yang berlaku time aku pengsan. Gila betul doktor ni..Tapi, nasib baik dia cute kan?

“Awak boleh keluar malam ni...”

“Bang..”

Doktor itu menghala matanya ke arah lelaki penjenayah itu dari menatap fail yang tergantung di hujung katilku. Abang-adik? Aku memandang ke arah kedua-dua insan itu. Jauh beza ohh. Sorang macam..WOW, perfect. Yang seorang lagi macam..ERR..sakai?

“Takkan nak suruh dia discharge malam ni kot? Siapa nak hantar dia?”

Aku mengerutkan dahiku. Apa..tadi aku datang dengan siapa sampai nak hantar aku ni?

Doktor bertag nama Azmeer itu terus menatap si adik yang aku tak tahu nama. “Tadi..dia pengsan kau yang bawak dia ke sini kan? So, dah pandai bawak sini..pandailah kau bawak dia balik. Tak gitu cik Liyana?”

Aku tercenggang.

^-^

“Saya, Anas.”

Ouh..Anas.

“Awak?”

“Liyana.” Mataku menyapa pandangan luar keretanya. Aku terpaksa menaiki keretanya tanpa kerelaanku kerana tadi dia menentang sekerasnya bila aku bertegas mengatakan ‘Saya tetap nak naik kereta saya! I can drive!’. Dia kata ‘ Awak tu perempuan. Dah lah baru lepas discharge. Kalau something bad happen on you siapa nak tanggung? Me?’

Dan..aku baru tahu dia ni doktor celop. Erm..dia rupanya doktor yang tahu asas je. Meaning dia tahu pasal medic ni sikit-sikit dari abang dia Azmeer. Padahal mamat ni ambil Graphic – bakal perintis multimedia lah kiranya.

“Awak..cam saya tak?”

Uh? Soalan apa ni? Cam apa? Cam kau? Entah lah..aku tak kenallah mana-mana penjenayah kat Malaysia ni. “Err..”

“SMKPP9(2).”

“Err..” Aku bingung sendirian. Apa kes bagi klu nama sekolah aku? Dia sekolah..a..ku..ke..Eh? Anas? A-na? Anas budak yang aku.. “You mean Anas 9(2)?” soalan aku tak boleh jalan sungguh. Ada ke tanya macam tu?

Dia kelihatan ceria. Senyuman dia tak payah cakaplah. Selebar highway. Okey, baru aku ingat wajah dia. Patutlah aku rasa macam familiar je dengan muka penjenayah ni. Hailahh..Sab lah punya pasal – hasut aku kata dia muka penjenayah time aku suka dia time zaman sekolah. AISH...berapa kali aku nak guna perkataan time ni. Opsss ... terlepas pulak kisah zaman sekolah.

“Good. Bagus.”

Ehee..aku cuba mengukir senyuman. “Dah good, bagus pula. Erm..”

Haha..dia ketawa. “Awak still macam dulu.”

“Huh?”

“Sorry to say lahh..dulu saya ni suka usha. Terutama awak. Sebab awak layback sangat. Kadang-kadang..selamba badak je buang hingus dalam kertas. Sumpah kelakar.”

Aku terasa muka aku setebal 8 inci. Mak aihhh..tak senonoh punya lelaki. Tak payah lah nak malukan aku dengan story yang hanya aku dan Allah je tau.

“Ohh..”

“Malulah tu..”

“Tak lahh..” Gila tak malu. “So, after SPM..buat apa je?” actually, he’s my senior. Time aku Form 3 dia dah ambil SPM.

“After SPM, kerja sambilan. Ambil result then buat SPM ulangan. Pass, masuk Lim Kok Wing.” Terangnya ringkas. Matanya tumpu pada pemanduannya. Bagus betul pemandu ni.

“SPM ulangan. Kenapa? Apa yang failed?”

“BM.”

Aku mahu je lambakkan tawaku. “BM punya bapak kacang senang boleh failed? Tipu lahh..” Aku menggeleng kepala. Merepek BM boleh failed. Aku punyalah suka BM.

“Hahaha. Budak Sains tulen tak tahu BM versi upper form.”

“Alasan tak munasabah.”

Dia ketawa. Dan aku rasa, hatiku telah berjaya membuatkan aku jatuh hati padanya...semula.

^-^

“Take care. Kalau dapat problem call. Terutama sekali pasal kesihatan.”

Aku mengangguk lemah. Ngantuk.

“Tidur elok-elok. Baca doa dulu.”

Aku angguk lagi. “Lagi..ada apa lagi tok?”

Dia tersengih. “Basuh kaki. Jangan mandi.”

Aku tersenyum. “Tahu je yang saya nak mandi.”

“Well..saya tahulah..”

Ayat malam tadi...huh, sumpah luar alam sungguh. Gaya nasihat macam aku awek dia. Tapi aku LIKE. Ehem, hati aku dah berbunga dah ni. Payah sungguh bila dia dah masuk balik ke dalam hati aku ni. Rasa nak gigit kusyen ni sebab rasa kenapa aku perlu bukak balik hati aku ni?

TRUTTTT !

Mata aku terbuka luas. Lekas aku mencapai telefon bimbitku yang sudah enam tahun aku tak tukar. Kata ayah aku, ‘Tukarlah sebelum kamu dah tak dengar suara pemanggil.’ Aku balas, ‘ Malas.’

Sesungguhnya aku mahu berjimat untuk kekenyangan perutku ini.

“Hello.” Nafas ditahan.

“Hai..err..Ni Liyana ke?” suara lelaki memasuki lubang telinga aku. Huh..tak pernah dengar pun suara mamat ini. Sesat nombor ke?

“Maaf, ini talian rumah mayat. Ye kenapa encik? Nak tempah keranda ke?” Aku mengerutkan dahiku sendiri. Mulut aku ni..memang tak boleh pakai lahh.

“Ouh..ye ke?” suara lelaki itu bernada innocent.

“Ye. Cik nak tempah keranda ke? Di sini kami tawarkan pakej harga yang mengikut saiz keranda dan mengikut jantina si mati.”

“Keranda Islam ada tak? ”

Aku terlopong. Dush kau! Nak sangat jadi agen keranda Kristian. Muahahaha. Kang jadi agen keranda Islam macam tak logik. Ada ke perempuan agen keranda ni sebenarnya?

“Sebenarnya kami tawarkan pakej keranda Islam. Bukan Kristian, India, Chinese, Buddha..and ..” Aku mahu menyambung lagi yelah, nak cover rasa malu tapi lelaki yang tak dikenali itu memotong lekas.

“Err cik, tak apalah. Saya call pun bukan nak tempah keranda. Saya cari tunang saya Liyana. Erm, mungkin salah nombor kot. Okeylah. Assalamm...”

“Eh kejap!” aku potong kata dia balik. “Tunang?”

Sepi. Lelaki itu tidak menjawab.

“Are you sure I’m your fiancee?” aku menyoal lagi.

Sudahnya, baru aku sedar aku dah terkantoi.

^-^

DSLR. Mak oii.. Sebenarnya aku dah usha dah camera dia ni sejak kat hospital tu. Macam mana tak usha kalau dia asyik berkepit dengan DSLR dia tu. Gaya macam couple la pulak.

“Hari ni saya belanja awak.”

Aku tersengih lebar. Orang belanja kat Secret Recipe. Siapa mahu menolakkan? Aku pun orderlah, dua potong kek coklat indulgence and strawberry shake. Memang padanan yang sangat tak matching. Dia order kek hazel cheese and dia dapat teh percuma.

“Saya tak sangka awak kerja kat tempat tempah keranda.”

Aku menjengilkan mataku yang masih terarah pada kek indulgence aku. Aku memotong berhati-hati sebelum dimasukkan ke dalam mulutku.

Fullamak. Sedap weh. “Dah, jangan nak rewind cerita tu banyak kali. Rasanya dah lima kali awak sebut benda tu since saya masuk dalam kereta awak.”

“Okey.”

“Dan saya tak sangka lah pulak saya ni fiancee awak secara tak langsung ye? Tak rasmi lagi dah pandai-pandai nak letak title saya tunang awak?”

Dia meneguk teh percuma tu. Dan aku melantak coklat indulgence aku. Bukan selalu aku makan. Bila orang belanja je aku mintak. Nak beli macam kejam pula aku keluarkan duit yang banyak untuk kek yang ala, so small lah kek ni.

“Kalau awak boleh main twist macam tu, saya pun boleh.”

“So awak dah tahulah yang saya main twist dengan awak?”

Dia mengangguk. Kemudian, dia mencapai DSLR nya lalu mengambil gambar aku dalam keadaan aku tak bersedia. Sedas jelingan maut aku bagi. Tapi, jelingan aku tak lah setajam jelingan Fathien.

“Boleh tak mintak izin dulu?”

“Okey. Sorry lah. Awak nampak cute dalam keadaan candid. Okey?”

Aku diam. Padahal dalam hati macam bunga api meletup ! Siapa tak suka dapat pujian dari kekasih gelap time zaman sekolah kan?

“Awak..” matanya masih melekat pada skrin DSLR nya. Payah sungguh nak sebut. Aku tak Menyahut. Strawberry shake aku sedut perlahan dengan sabar menanti apa yang dia nak cakapkan.

“Kita kahwin nak?”

Aku tersembur strawberry shake aku.

^-^

Takkan aku nak terima dia macam tu aje? Hati budi aku tak kenal lagi. Urghh...

“Kita bercinta after nikah.”

Words tu asyik bermain dalam minda aku. Dan buat aku teringat pada Sabrina. Katanya, ‘Couple after nikah is better than couple before nikah. Kalau kita couple before nikah then touch sini sana, bila dah kahwin feel tu tak rasa. Dan, Allah murka.’

Tu diaa ustazah bagi.

“Tapi..dulu awak tak suka saya?”

“Memang lah..habis tu diaorang yang kahwin ni memang terus suka dari baby ke? Tak kan? Mesti kena pupuk kan? Dan sekarang saya dah rasa sikit. So, nak banyakkan lagi rasa suka saya terhadap awak sehingga menimbulkan rasa cinta tu..kita kahwin lah. Bebas je.”

“Erk?” Muka aku dah merah padam.

“Otak kuning! Saya dulu..tak suka awak sebab saya rasa awak tak suka saya. Fullstop.”

Ehhh..mana ada..suka aje. Aku menyembunyikan senyumku.

^-^

Beberapa minggu aku sepi, aku dapat berita bahawa..jeng jeng jeng..Adyba dah jumpa jodoh dia dengan Justin Bieber. Monoxide sungguh dia tuh, dia jumpa Justin Bieber pun tak nak bagitahu. Share dengan Sabrina je. Ye lah, mana taknya, Sabrina bukan main bising lagi bila minah tu buat hal kat PWTC.

Dan dia contact aku, “Liyana mintak boyfiee kau jadi photographer aku.”

“Siapa boyfiee aku?” Time tu sumpah aku blur. Baru keluar dari tengok wayang cerita 7 Petala Cinta dan dapat call, memang otak tak dapat nak sambung fius dengan pantas dan kaliber.

“Anas.”

Diam. Anas boyfiee aku? Who Anas? “Err...”

“Tu la kau, dah tiga minggu kau tak reply text dia, called dia atau jumpa dia. Then sekarang dah lupa lah tu. Dalam otak duk fikir model ngan lukisan je!”

Aku menyuapkan sesudu maggi kari. “Habis buat apa aku nak fikir benda remeh macam Anas ni? Weh, takkanlah aku nak suka dia.” Aku admit, tiga minggu tak jumpa dia rasa macam..tak ada apa-apa effect. Rasanya ni lah kot mainan perasaan.

“Remeh tak remeh sampai kau memang tak nak ambil tahu kan? See, ayah kau dah terima pinangan dia. Siapa kau nak reject!”

“Siapa bagi alamat?”

“Both of us. Dia terserempak ngan kami after hantar kau dari Secret Recipe.”

Time tu aku rasa nak benamkan muka aku dalam kuah maggi.

^-^

Adyba dah selamat jadi isteri orang. Dan aku dan Anas, selamat jadi tunang. Lusa kami nikah. See..cepatkan? Katanya tunang ni adat melayu je. Kita follow the rules of Islam. Dan Sabrina kat belakang kami time berbincang ‘kenapa nikah awal sangat? Tak boleh tunggu lima tahun lagi ke?’ menyokong seratus peratus. Hampas punya kawan.

“Ouh..so sweet lah korang. Tahu tak, ni lah impian aku. Nak bercinta after kahwin. Tak sangka kau mendahului aku. Mengapa?” Sabrina bersuara sebak. Suapannya terhenti apabila melihat Anas mendekati kami. Terus dia merilekskan diri.

Farzana, Nisa, Fathien meneruskan suapan mereka seolah tiada apa yang berlaku.

“Awak, bila nak balik? Saya nak ajak awak cari giftdoor. Then nak balik cuci gambar. Next week diorang tuntut.”

“Ouh, awak baliklah. Saya tumpang Fathien.”

Fathien kaku. Dia mengangkat wajahnya, “Aku straight pergi Seremban. Ada meeting.”

Farzana dan Nisa lekas menyampuk nak cakap, “Aku dan Farzana nak balik kampung aku. Esok kami balik. Dengar cerita atuk aku tak sihat. Terpaksalah balik bertemankan Farzana. Sehari pun rasanya okey kot sebab lusa kau nikah.”

Aku mengerlipkan mataku beberapa kali. Helah semata? Sabrina...aku memandang Sabrina dengan raut wajah simpati.

“Err..aku nak ambil adik aku kat UTM Selangor. Dia tak sihat.”

Okey..korang memang kejam.

“Okey. Jom balik!”

^-^

Dan hari yang aku nantikan dah tiba. Berdebarnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Nak nikah weh, siapa tak cuak. Rasa macam dah nak tercabut jantung aku ni berdenyut. Adyba dengan JB alias Jamsyir entah kemana. Tadi datang bukan main awal. Farzana dengan Nisa tak datang lagi dan Sabrina tak habis-habis dengan iPad4 nya yang baru dibeli semalam.

Dan Fathien, dia tengah berbual rancak dengan sepupu sepapat aku. Ramah betul dia. Bukan nak tenangkan aku yang cuak gila ni.

Bilik beraroma terapi bunga ros ni tak mampu tenangkan aku. Aku rasa..dunia aku dah nak kelam. Lepas ni dah tak boleh sesuka hati nak terbaring kangkang ke. Nak makan tinggung ke. Semua kena jaga. Kang tak pasal-pasal dia cerai aku lepas tu aku jadi janda.

Egrhhh..takut Nauzubillah.

“Yana, dia dah sampai.” Beritahu Sabrina yang sedang berdiri di tingkap.

“Serius..Weh..matilah aku.”

“Rilekslah..tak mati pun. Kau nikah je.”

^-^

Alhamdulillah..Anas dah jadi suami Liyana. Farzana dan Nisa tersenyum lebar. Untunglah kahwin awal kan?

Farzana dan Nisa mempersilakan pengantin lelaki naik ke bilik pengantin perempuan untuk upacara pembatalan air sembahyang.

Aku terkejut bila pintu dipulas dari luar. Sabrina sudah menunduk. Pemalulah katakan. Tapi tunduk dia tu macam dia pula nikahnya.

Anas berjalan perlahan menuju ke arahku. Lembutnya sentuhan dia dan cincin yang aku tak tahu bila dia beli pun tersarung ke jari manisku. Aku pun bersalam dengan dan dia mencium dahiku. Err..perlu ke?

Lima minit diluangkan untuk sesi bergambar. Aku dan Anas disuruh mengulangi mencium dahi. Aku mahu saja marah mereka..apakehal nak suruh ulang banyak kali. Cukup lah tu.

Tapi Anas dengan senangnya mencium dahiku seraya berbisik, “Thanks jadi buah hati saya.”

Aku terkedu. Entah kenapa aku tiba-tiba rasa bahagia dapat suami macam dia. Ayah di satu sudut sempat mengalirkan air mata kerana salah satu anaknya telah menjadi milik orang. Ayah, ayah tempat no satu di hati. Dan kedudukan itu tak dapat digugat.

Tapi Anas tetap akan jadi buah hati saya.

 


(kesinambungan Violet)

Dr. Ubaid perlahan-lahan membuka balutan mata si gadis itu. Balutan putih itu kemudian digulung lembut ke tangannya sehingga ke semua lingkaran balutan terlerai dari menutup mata gadis itu.

Sama ada si doktor mahupun si pesakit, kedua-duanya berdebar-debar menanti keajaiban yang bakal berlaku nanti. Gadis yang bernama Fazira ini terasa lebih teruja. Inilah pertama kalinya bebola mata Violet miliknya bakal menerima pantulan cahaya yang bakal menerobos terus ke retina mata dan urat-urat di sebalik matanya. Pantulan tersebut bakal menyampaikan kod-kod imbasan yang bakal diterjemahkan dalam bentuk visual. Visual yang dia tidak pernah lihat sebelum ini sejak dari dia dilahirkan ke bumi.

Dr. Ubaid tersenyum. Dia bakal memberikan kehidupan baru kepada si gadis yang dia sudah mula jatuh hati sejak dari hari pertama mata mereka bertaut.

“Fazira… cuba awak buka mata awak sekarang..” arah Dr. Ubaid dengan lembut.

Pelepuk mata Fazira mula bergerak-gerak. Kemudian kelopak matanya terbuka sedikit demi sedikit.

“AHHH!” Fazira terjerit kecil. Cahaya yang menerobos ke dalam retina matanya sungguh terang dan begitu menyakitkan. Rasa pedihnya melingkar hingga ke urat-urat kepala.

“Fazira tutup mata awak semula… dan buka perlahan-lahan…” Dr Ubaid tetap bersabar. Dia tahu ia bukan suatu perkara yang mudah untuk sepasang mata milik Fazira menerima cahaya matahari. Tambahan pula apabila pesakitnya tidak pernah mempunyai keupayaan untuk melihat sebelum ini.

“Saya takut… tapi saya cuba lagi.” Fazira nekad. Sakit pun sakitlah. Kalau kesakitan itu dilayan, usaha Dr. Ubaid terhadap dirinya hanyalah sia-sia.

Ucapan Bismillahirmanirrahim bermain di lidahnya. Kemudian perlahan-lahan cahaya yang memasuki mata Fazira mula membentuk rupa dan visual yang sungguh asing baginya. Wajah seseorang memunculkan rupa. Seorang lelaki mungkin? Hatinya berbelah bahagi untuk melihat objek-objek lain yang terbentang kini pada pandangannya. Fazira lekas-lekas menutup matanya kembali.

“Fazira? Kenapa?” tanya Dr Ubaid. Dia keliru dengan kelakuan Fazira.

“Saya takut… saya tak tahu apa yang saya lihat tu betul ataupun tidak…” jawab Fazira yang masih mengatup matanya dari terus melihat.

“Fazira…. Awak jangan takut. Pegang tangan saya dan buka mata awak..”

Fazira mencuba sekali lagi. Kali ini dia berasa sedikit yakin oleh kerana Dr. Ubaid memberikan tangannya sebagai jaminan.

“Doktor…” Fazira tidak dapat menterjemahkan apa yang sedang diperlihatkan di matanya. Namun bagi dirinya, Dr Ubaid adalah manusia pertama yang pernah dia lihat. Doktor itu berwajah licin dan bebola matanya berwarna gelap. Mungkin dia juga seorang yang kacak kerana baginya senyuman Dr Ubaid menenangkan hatinya.

“Nampaknya, awak perlu belajar banyak perkara…” kata Dr Ubaid sambil tersenyum kecil.

***

HAMPIR setahun berlalu dan Fazira tidak pernah lagi bertemu dengan Nadim sejak dari pertemuan mereka yang terakhir di majlis hari lahir Tengku Azwiyah. Walaupun hati Fazira dibidik perasaan rindu, namun dia hanya mampu menelan semua yang kelat itu dalam-dalam. Tengku Nadim dan dirinya tidak mungkin bertaut kembali. Enggang dan pipit tidak mungkin bersama.

Kehilangan cinta Tengku Nadim membuka lembaran baru antara Fazira dan Dr Ubaid yang dia kenali di hospital sejak lima bulan yang lalu. Dr. Ubaid sangat prihatin ke atas Fazira sehinggakan dia sanggup membiayai kos pembedahan matanya. Kini Dr. Ubaid merancang untuk mengikat tali pertunangan dengannya dan dalam tempoh kurang dari setahun, mereka bakal berkahwin. Begitu pantas masa berlalu!

Lamunan Fazira terhenti secara tiba-tiba apabila Fatiha menjengah ke ruang kamar miliknya. Fatiha bingkas duduk di sisi Fazira sambil melentokkan kepalanya di bahu si kakak.

“Kakak termenung apa tu… teringat Dr. Ubaid?” usik Fatiha.

“Tak adelah!” Fazira cuba menyembunyikan perasaannya. Memang ya dia teringatkan jejaka itu tapi…

“Ke kakak teringatkan Abang Nadim?”

Pertanyaan Fatiha mengundang gelora di hati Fazira. Lalu dia mengutum senyuman kelat pada si adik.

“Macam mana agaknya wajah Nadim? Dia kacak macam Dr Ubaid ke?” tanya Fazira. Dia tidak dapat menilai apa yang cantik mahupun yang buruk. Baginya, jikalau perasaannya tenang apabila melihat sesuatu, maka indahlah perkara itu dan begitulah sebaliknya.

“Kakak tak payahlah nak tahu pasal dia… dah sejarah pun kan?” Fatiha mengelak dari menjawab persoalan Fazira. Dia tidak mahu Fazira terus terluka seperti dulu. Ditinggalkan… seperti manusia yang tidak langsung mempunyai harga diri. Walhal kakaknya itu manusia yang punya perasaan seperti orang lain walaupun dia cacat pancaindera penglihatannya.

“Tapi… kakak teringin Fatiha…”

Fatiha bangun dari birai katil milik kakaknya dan berlalu pergi. Fazira ditinggalkan tanpa jawapan.

****

“CEPATLAH Tasya! Nanti lambat pulak. I tak sukalah pergi majlis kawan baik I ni macam pergi shopping. Keluar masuk macam tu je!” omel Tengku Nadim. Tasya ni kalau bersolek memang berjam-jam lamanya.

“Kejapppp! Kejapp! Siapa suruh you datang ambil I lambat? Tunggulah!” jerit Tasya dari tingkat atas. Terkocoh-kocoh Tasya menuruni tangga yang melingkari bahagian ruang tamu rumahnya. Hampir-hampir saja dia terjelepok menyembah tanah oleh kerana ketirusan tumit tingginya yang tidak begitu stabil.

Mereka berdua tiba di majlis pertunangan rakan baik Nadim saat majlis sudah hampir selesai. Walaubagaimanapun, tuan rumah tetap menjemput tetamunya dengan hati yang terbuka. Tambahan pula tetamu tersebut adalah rakan baiknya sendiri.

“Nadim! Aku ingat kau tak datang tadi,” jemput rakan baiknya sambil berdakapan erat. Dakapan dilepaskan dan Nadim hanya mampu menggaru-garu kepalanya dan tersenyum sinis terhadap Tasya.

“Ubaid… sorrylah! Aku lambat sikit… tapi aku dah tunaikan janji yang aku datang kan??” kata Nadim. Sambil itu, kepalanya tertoleh-toleh mencari yang mana satukah gerangan pemilik hati rakan baikya, Ubaid.

“Kau cari apa tu? Tunang aku? Kejap aku bawa kau jumpa dia.. Anyway ni tunang kau kan?” Sempat juga Dr Ubaid mengerling dan bertanyakan mengenai Tasya yang sibuk mengendengkan dirinya berdekatan Nadim.

“Ni Tasya.. and yes dia tunangan aku…”

Belum sempat Nadim menyambung kata-katanya, Dr Ubaid dengan pantas meminta dirinya pergi tanpa memberikan sebarang penjelasan. Namun, beberapa minit kemudian dia kembali dengan seorang gadis yang berbaju kurung moden berwarna merah jambu cair. Gadis itu menundukkan wajahnya yang masih belum jelas kelihatan pada pandangan mata Tasya dan Nadim.

Dr Ubaid memegang erat tangan gadis itu lalu memperkenalkannya kepada Nadim dan Tasya.

“Aku perkenalkan… gadis yang telah menyimpan kunci hati aku kini… Fazira..”

Hampir-hampir saja luruh jantung milik Tengku Nadim apabila mendengarkan nama tersebut. Fazira… nama gadis yang sentiasa bersemadi di jiwanya.

Fazira memperlihatkan wajahnya. Irisnya yang berwarna Violet itu bersinar-sinar memancarkan cahaya yang menambahkan gelora di hati Nadim. Memang benar dialah Fazira… tapi dia boleh melihat? Tak mungkin!

“Saya Fazira…” Fazira menghulurkan tangannya tepat ke arah Tasya dan kemudian kepada Nadim yang masih teragak-agak untuk bersalaman dengan Fazira. Baginya, ia adalah suatu misteri dan keajaiban. Ubaid mencintai gadis yang dia cintai? Manakala Fazira pula tidak buta dan jauh sekali mengenali dirinya. Perkara ini semua tidak mungkin terjadi!

****

“SAYA nak berjumpa dengan Dr Ubaid, pakar sakit mata. Dia ada di biliknya tak?” tanya Nadim kepada jururawat yang berada berdekatan kaunter dispensari.

“Oh ada rasanya… biliknya yang hujung sana,” jawab jururawat tersebut.

Tanpa berlengah lagi, Tengku Nadim menuju terus ke bilik Dr Ubaid. Pintu bilik dikuak buka tanpa sebarang ucapan salam. Nadim berhajat untuk memberikan kejutan kecil pada Ubaid.

“Ubaid? Ubaid??” panggil Nadim.

Kosong. Ruangan bilik Dr Ubaid kelihatan sunyi namun kipas siling di biliknya masih lagi terpasang. Nadim menjengah masuk ke dalam bilik Dr Ubaid untuk memastikan bahawa rakannya benar-benar tiada di situ.

“Ubaid? Kau memang tak ada dalam bilik ke?” tanya Nadim.

“Encik?” Suara seorang gadis secara tiba-tiba timbul dari tandas kecil yang bercantum dengan bilik tersebut.

Gadis itu memunculkan dirinya kepada Tengku Nadim dengan senyuman manis dan seperti biasa panahan mata Violetnya yang bersinar-sinar.

“Fazira? Awak buat apa kat sini?” Nadim terkesima seketika. Fazira? Sungguh tak dijangka!

“Encik cari Dr Ubaid kan? Dia melawat pesakit dia sekejap. Duduklah dulu..” ajak Fazira. Tak semena-mena hati Fazira bercampur baur apabila terdengarkan suara jejaka di hadapannya ini. Dia rakan baik Ubaid bukan?

“Ya… terima kasih,” ucap Nadim sambil melabuhkan punggungnya ke kerusi tetamu di sudut kiri bilik tersebut.

“Encik ni kawan baik Dr Ubaid kan? Yang kat majlis pertunangan hari tu…?” Fazira masih lagi mengagak-agak. Mungkin mereka pernah bertemu sebelum ini. Sebab itulah suaranya biasa didengari.

“Ya..” jawab Nadim ringkas.

“Kita memang tak pernah jumpa kan sebelum ni? Hari tu pun jumpa sekejap je sebab encik dah tergesa-gesa nak balik…” tanya Fazira lagi. Sambil itu tangannya menyorokkan beberapa buah buku berwarna dan salah satunya bertajuk ‘Belajar Abjad’ di bawah timbunan fail milik Dr. Ubaid.

“Awak baca buku tu?” tanya Nadim tanpa menjawab pertanyaan Fazira.

“Emm…” Fazira tidak tahu bagaimana dia mahu menerangkan hal tersebut kepada Nadim. Namun dia hanya membalas, “Saya tak macam orang lain… saya tak sempurna.”

“Tak sempurna tak bermakna awak tidak seperti orang lain. Cumanya awak ada sesuatu perkara yang orang lain tak ada…” kata Nadim yang mulai bangun dari kerusi yang didudukinya.

“Ya.. betul…” Kata-kata Nadim menyentuh hujung hatinya. Lelaki ini siapa sebenarnya? Mengapa kata-katanya seperti dia pernah dengari sebelum ni?

Nadim mendekati Fazira dengan hanya membiarkan jarak tiga tapak di antara mereka. Jantung Fazira bertambah-tambah debarannya apabila bau wangian yang dipakai Nadim adalah seperti bau wangian lelaki yang dia amat rindui di kala ini.

“Kita pernah berjumpa ke sebelum ni?” tanya Fazira tanpa berdolak-dalih lagi. Hatinya tak sanggup menahan pertanyaan yang mencurah-curah dari akal rasionalnya.

“Mungkin. Mungkin juga awak dah lupa betapa pentingnya saya dalam hidup awak sebelum ni, Fazira.” Nadim bermain kata-kata. Dia tahu Fazira bakal mengetahui siapa dirinya yang sebenar.

“Tak mungkin..” Fazira berbisik perlahan. Dia… Perkara ini tak mungkin akan terjadi.

“Tutup mata awak dan awak akan dapat jawapannya..” ucap Nadim dengan nada lembut. Hanya dengan itu sajalah persoalan yang bermain di minda Fazira akan terjawab.

Fazira memgambil nafas dalam-dalam dan memejam rapat matanya. Hatinya terasa sedikit kosong dan pandangannya kembali gelap tak bercahaya. Apa yang ada cuma deria rasa dan pendengaran yang mula memainkan peranan mereka.

“Saya cintakan awak, Fazira,” ucap Nadim dengan nada perlahan. Kolam matanya mula bergenang. Fazira, saya Nadim yang awak cintai dulu. Ingatkah awak dengan saya?

Jantung Fazira bagaikan direntap kuat. Perasaan berkecamuk. Nadim! Nadim! Benarlah dia Nadim. Air matanya mula mengalir dengan deras. Kemudian Fazira membuka kelopak matanya. Iris Violet miliknya berkaca.

“Nadim..!” Fazira separuh menjerit dan membelakangkan langkahnya. “Tak mungkin!”

“Fazira… saya Nadim. Nadim yang telah melukakan hati awak. Nadim yang telah membiarkan awak pergi tanpa halangan. Maafkan saya Fazira.” Nadim menggenggam erat kedua-dua tangan Fazira. Dia tidak tahu dari mana dia ingin mulakan sebenarnya. Dia cuma mahu Fazira tahu yang dia tidak pernah mahu gadis itu pergi. Tidak pernah sekali pun!

“Tolong jangan dekati saya lagi.” Fazira melepaskan pegangan tangan Nadim darinya. “Saya milik Ubaid. Saya takkan mungkin bersama awak lagi. Pergi sekarang sebelum Ubaid balik. Pergi!”

“Fazira, beri saya peluang untuk menjelaskan segalanya….”

Fazira mengalihkan wajahnya dari Nadim dan mengelap pantas air matanya sebaik saja dia mendengar derap kaki yang berjalan ke arah bilik Dr Ubaid.

“Nadim… tolong jangan bagi tahu hal ini kepada Ubaid,” bisik Fazira dalam ketegasan tanpa memandang wajah Nadim. Manakala Nadim pula hanya mampu menggelengkan kepalanya.

Pintu bilik Dr Ubaid dikuak buka. Sekujur tubuh milik Dr Ubaid memasuki ruang pejabat miliknya.

“Nadim… Fazira? Awak berdua dah lama tunggu saya kat sini?”

****

“NADIM, aku dah tahu hal ni dah lama sebenarnya.”

“Maksud kau? Kau tahu yang aku kenal Fazira?” tanya Nadim dengan kerutan seribu di dahi. Ubaid dah tahu? Tapi kenapa dia rahsiakan?

“Ya… aku dah tahu. Aku juga tahu Fazira tak cintakan aku. Dia cuma terhutang budi dengan aku.” Dr Ubaid mengeluh berat. Hatinya juga terluka. Namun apakan daya, gadis bermata Violet itu tidak mencintai dirinya.

“Aku hanya bertepuk sebelah tangan,” sambung Ubaid lagi dengan dekahan ketawa dihujung kata.

“Ubaid… saya tak bermaksud nak sakitkan hati awak atau menipu awak. Saya…” Fazira menunduk dan menyambung kata-katanya, “Saya cintakan awak.”

“Fazira… tolong jangan ucapkan perkataan tu kalau awak tiada perasaan yang mendalam untuk menyatakannya,” jawab Ubaid. “Saya hanya nak awak bahagia dan… kebahagian awak ada bersama Nadim.”

Fazira sebak. Dia berasa bersalah dan pada masa yang sama dia tidak boleh mencintai Dr Ubaid seperti dia menyayangi dan mencintai Nadim dengan sepenuh hatinya.

“Ubaid… aku tak pun tak bermaksud juga untuk merosakkan hubungan kau dan Fazira. Kau kawan baik aku.” Nadim kini berbelah bahagi. Ubaid, hatinya sungguh mulia.

“Semua orang berhak untuk memiliki kebahagiaan. Begitu juga dengan kau, Nadim dan juga Fazira,” jawab Dr Ubaid. Dia redha dengan apa yang terhampar buat dirinya.

Nadim tersenyum kelat. Begitu juga dengan Fazira. Mungkin hari ini bahagia dan nasib menyebelahi mereka. Tapi esok lusa, siapa tahu apa yang terhampar buat cinta si gadis bermata Violet…

 


ANIM dongak ke langit. Awan sudah mula gelap. Daun yang luruh di laman rumah disapu cepat-cepat. Tadi selesai mengemas rumah, dia terus ke laman untuk membersihkan sekitar kawasan rumah. Bekas kosong dan pasu bunga yang tidak digunakan ditelangkupkan, bimbang menjadi tempat biakan nyamuk pembunuh. Daun yang disapu dilonggokkan di perdu pokok kelapa. Dia dongak lagi ke langit. Awan semakin hitam, bakal menurunkan titisan hujan ke bumi. Niat untuk membakar longgokan daun kering terpaksa dibatalkan bila melihat rintik hujan mula menitis.

Penyapu disandarkan di batang pokok kepala. Tergesa-gesa Anim berlari ke anjung rumah papan. Hujan sudah mula renyai. Pandangannya masih pada laman yang menghijau dengan rumput dan dihias indah dengan pokok bunga kertas dan bunga orkid hutan. Sesekali matanya menerjah ke jalan besar. Kelibat motosikal ayahnya masih belum kelihatan. Malam tadi dia sempat berpesan pada ayah. Entah ingat entah tidak. Anim mula berpeluk tubuh bila terasa semakin sejuk dengan angin sekali-sekala bertiup kuat dengan guruh berdentum-dentam tanda hujan akan semakin lebat.

“Anim! Dah la tu sapu daun. Masuk rumah! Kilat tu! Bahaya!” Ibu laung dari ruang tamu.

Anim segera menceduk air dari tempayan menggunakan gayung yang disangkut pada tiang tepi tangga dan mula membasuh kaki. Sebelum melangkah ke atas rumah, sempat dia menoleh ke arah jalan besar sekali lagi. Kelibat ayahnya masih belum kelihatan. Anim melemparkan keluhan kecil.

“Mak, ayah balik pukul berapa?” Anim duduk bersila di sebelah ibu yang sedang melipat kain yang diangkat dari jemuran tadi.

“Kenapa?”

“Tak ada apa..” Anim jeling jam di dinding. Sudah menghampiri enam petang. Selalunya waktu begini, ayah sudah sampai di rumah dari temat kerjanya di bandar.

“Kat dapur tu ada ubi kayu. Nanti Anim tolong rebuskan ya. Kejap lagi ayah balik. Ayah memang suka makan ubi rebus hujan-hujan macam ni. Mak nak habiskan lipat kain ni sekejap.” Ibu senyum.

Anim angguk dan mula melangkah ke dapur. “Err..mak, Akim mana?”

“Tu! Sedang tengok tv !” Ibu muncungkan mulutnya menghala ke arah Akim yang sedang asyik menonton rancangan kartun.

Akim hanya muda dua tahun dari Anim, yang kini belajar di darjah lima. Mereka hanya dua beradik sahaja. Akim, anak lelaki kesayangan ayah. Sejak kecil lagi Akim dimanjakan oleh ayah. Segala kemahuan Akim, ayah turuti. Terkadang Anim merasa dipinggirkan bila keinginannya ayah buat tidak endah. Malam tadi, dia pesan pada ayah untuk membeli biji gajus bakar. Entah beli entah tidak. Kalau Akim yang pesan, selalunya ayah akan tunaikan juga walaupun terpaksa mencari di bandar lain yang jauh dari rumah.

Di dapur, Anim mula mengupas kulit ubi kayu. Ubi kayu yang telah dibuang kulit dipotong pula kecil-kecil. Apabila direbus nanti, ubi kayu akan cepat empuk. Dia pandang keluar tingkap. Hujan semakin lebat menyimbah bumi. Sementara menunggu ubi kayu empuk, Anim mula membuat latihan matematik. Minggu depan ada ujian dari cikgu Ibrahim, guru matematik yang garang.

Sesekali dia jenguk ke luar tingkap. Hujan sudah mula renyai kembali. Tiada lagi bunyi guruh berdentum-dentam. Anim jenguk pula ubi rebus di dalam periuk. Dia mengambil lidi dan mula mencucuk ubi.

“Hmm..dah empuk..” Sedikit ubi dirasa di lidah. Api dipadamkan.

Anim kembali duduk di kerusi di meja makan. Dia menyambung membuat kerja sekolah. Sesekali matanya memandang ke arah jalan besar. Dia tersenyum melirik. Kelihatan ayah sudah memasuki laman rumah dengan motosikal tuanya. Anis segera ke anjung rumah.

“Ayah, ada tak?” Tidak sabar Anim bertanya ayah barang yang dipesan malam tadi.

“Maaf Anim, ayah tak sempat nak singgah di kedai tadi. Hujan lebat sangat.” Ayah menjawab sambil membuka topi keledar dan baju hujan kuning.

Anim mula sugul. Wajahnya muram. Dia segera mengambil beg kerja ayah dan melangkah longlai ke ruang tamu. Ibu sudah tercegat di muka pintu sambil tersenyum manis memandang ayah. Tangan ayah dicium lembut. Ibu sudah siap menghidangkan ubi kayu rebus bersama kopi o panas di ruang tamu. Petang itu mereka sekeluarga sama-sama menikmati juadah petang. Anim hanya diam mendengar celoteh ayah dan ibu bercerita. Akim turut mencelah sekali-skala.

Perasaannya kini berkecamuk. Sudah dua minggu dia kempunan biji gajus bakar. Kalau dulu, di kedai Pak Amat, ada dijual biji gajus bakar tetapi setelah Pak Amat meninggal, semua anak-anak Pak Amat tidak menyambung berniaga di situ. Kedai itu sudah dirobohkan.

“Anim, kenapa diam saja?” Ibu mula menjeling anak gadis suntinya yang kelihatan sugul.

“Tak ada apalah mak..” Anim mengunyah ubi kayu rebus perlahan-lahan.

“Malam tadi, Anim pesan kat abang, dia nak makan biji gajus bakar. Hujan lebat macam ni saya tak singgah la kat kedai di bandar tu. Jalan pun sesak semacam. Lagipun sekarang bukan musim pokok tu berbuah. Susah nak dapat biji gajus tu. Pucuk gajus pun susah nak dapat untuk buat ulam.” Ayah menyampuk sambil memandang Anim yang tunduk dari tadi. Sudah merajuk agaknya.

“Oo..patutlah muram je. Esok nanti ayah beli ya..dah tak usah sedih. Tak manis la anak mak buat muka macam tu!” Ibu cuba memujuk.

****************

ANIM mengayuh basikal dengan perlahan. Tadi habis sahaja kelas cikgu Ibrahim, dia terus menuju ke tempat letak basikal. Ingin pulang terus ke rumah. Ajakan kawan sekelas untuk menikmati pisang goreng panas di gerai Makcik Nab tidak dihiraukan. Perutnya lebih perlukan biji gajus bakar dari pisang goreng panas walaupun pisang goreng juga kegemarannya. Rajuknya sudah tepu. Hari ini ayah mungkin mengingkari janji lagi.

Dia mengayuh lagi. Dia dongak ke langit. Matahari memancar terik dari celah awan. Laju dia mengayuh basikal menuju ke jalan kecil. Dari jalan besar sebelum masuk ke simpang jalan kecil ke rumahnya terdapat jalan merah menuju ke sawah. Jelas dia melihat pokok-pokok gajus berbuah lebat di kelilingi pokok kelapa yang meliuk lentuk daunnya ditiup angin bendang. Anim berhenti di situ sambil memandang penuh minat ke arah pokok-pokok gajus itu.

“Hmm..ada pokok gajus rupanya di situ. Tapi setahu aku, itu jalan ke rumah Hana. “ Anim mula berkata sendiri. Dia senyum. Petang nanti dia akan ke rumah Hana dan melalui jalan itu untuk memastikan pokok gajus yang lebat berbuah itu benar-benar wujud. Dia tersenyum girang. Harapannya untuk makan biji gajus bakar kembali cerah. Jika benar, sudah semestinya dia akan mengambil seberapa banyak yang boleh untuk dibakar nanti. Dia mula menelan liur. Sepanjang perjalanan pulang, bibir Anim tidak lekang dari senyuman.

Tiba di rumah, Anim mula membantu ibu mengemas dan menyapu laman. Longgokan daun semalam terus dibakar. Selesai semua itu, Anim ke belakang rumah pula mencabut ubi kayu yang tumbuh subur di situ. Ubi kayu terus direbus tanpa disuruh. Dia tahu ayah akan makan juga nanti.

“Wah! Akak gembira nampak?” Akim tiba-tiba muncul di sebelah.

“Terkejut akak!” Anim senyum. Sempat menoleh Akim yang berpeluh. Mungkin baru lepas main bola di laman tadi. Dia buka tudung periuk melihat ubi yang direbus.

“Ubi dah masak. Nanti kita boleh makan.” Anim ambil seketul ubi kayu rebus dan cicah dengan kelapa parut yang digaul dengan gula. Dia hulur sedikit kepada Akim.

“Pergi mandi. Kejap lagi ayah balik!” Anim pandang Akim yang comot mulutnya makan ubi kayu rebus tadi.

“Hmm..dah masak ubi tu Anim?” Ibu muncul dari ruang tamu.

Anim angguk. Dia segera meminta izin ibu untuk ke rumah Hana mengulangkaji pelajaran bersama. Hana seorang yang pandai matematik. Gembiranya bukan kepalang bila ibu mengizinkannya ke rumah Hana. Bermakna harapannya untuk merasa biji gajus bakar akan tercapai.

PETANG itu, sekali lagi Anim mengayuh basikal ke rumah Hana. Buku latihan matematik dan kerja rumah cikgu Ibrahim turut dibawa bersama. Laju kakinya mengayuh. Tiba di simpang tiga, sekali lagi dia melihat pokok-pokok gajus yang berbuah lebat. Berkali-kali dia menelan liur.

“Tak apa..balik dari rumah Hana nanti, aku singgah kat situ.” Anim mula berkira-kira mengambil buah gajus.

Dari jauh dia melihat Hana sudah tersenyum kepadanya. Anim mengayuh semakin laju. Rumah Hana betul-betul terletak di tepi sawah dan di belakang rumah pula penuh dengan pokok kelapa dan pokok mangga.

“Anim! Ada apa kau datang sini?” Hana melaung dari pangkin.

“Aku nak belajar sekali dengan kau. Kau kan pandai matematik!” Anim sandar basikalnya di batang pokok kelapa. Buku dan nota dari dalam bakul basikal dikeluarkan dan diletak atas pangkin.

Petang itu, Anim dan Hana sama-sama belajar dan membuat latihan matematik yang diberi oleh cikgu Ibrahim. Ibu Hana sempat menghidangkan kuih lepat dan sirap limau. Hampir satu jam mereka belajar bersama. Anim jeling jam tangan pemberian ayah. Sudah menghampiri enam petang.

“Hana, aku balik dulu. Kejap lagi ayah aku balik dari kerja. Aku pergi dulu ya!” Anim mula mengemas buku dan nota dan dimasukkan semula ke dalam bakul basikal.

“Esok tak sekolah kan? Bolehlah kita belajar lagi.” Hana mengorak senyum.

Anim angguk. Dia terus mengayuh hingga ke jalan merah. Dalam hatinya sudah berkira untuk mengambil biji gajus yang dia nampak tadi.

Hana masih di pangkin sambil memerhati Anim mengayuh basikal menuju ke jalan besar.

“Eh, buat apa Anim masuk ke jalan tu?” Hana panjangkan tengkuknya melihat basikal Anim membelok ke arah kiri di simpang tiga. Dia menggaru kepala melihat Anim yang melalui jalan kecil itu seorang diri.

******

ANIM mengayuh perlahan memasuki kawasan yang penuh dengan pokok-pokok gajus. Dia sandarkan basikalnya di tepi pondok kecil di situ. Dia pandang pula langit. Awan kelihatan sudah mula gelap.

“Aku kena cepat ni! Hari pun dah nak gelap!” Anim masih mendongak ke langit.

Dia merapati pokok gajus yang berbuah lebat. Kecur melihat buah gajus yang berjuntai di hujung dahan. Beg plastik sudah siap dibawa semasa keluar dari rumah tadi. Dia segera mencari ranting kayu yang panjang untuk menjolok buah gajus.

“Huh! Kecik sangat pulak ranting ni! Macam mana buah tu nak jatuh?” Anim garu kepala. Dia pandang di sekitar tanah. Kelihatan semak sedikit dengan pokok menjalar.

“Wah! Banyak juga buah yang jatuh.” Anim mula mengutip buah yang sudah sedia ada di tanah. Hatinya cukup gembira mengutip biji gajus yang diasingkan dari buahnya dan disimpan dalam beg plastik.

“Hmm…tak cukup ni.” Anim dongak ke arah buah gajus di atas pokok.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi mendengus yang kuat. Perlahan Anim berpaling. Matanya membuntang melihat seekor babi hutan sedang merenung tajam ke arahnya. Anim diam terpaku di situ. Tidak berani berganjak. Dia terus memandang binatang itu yang semakin mendengus kuat. Sebaik melihat binatang itu mula menggerakkan kaki, Anim semakin gelisah. Kakinya turut bergerak ke belakang. Bersedia untuk lari. Tiba-tiba dia terpijak ranting. Babi hutan itu terus mengejar Anim yang sudah panik dan masih tidak berganjak dari situ.

Entah dari mana kekuatan yang dia dapat, dia terus memanjat pokok gajus sehingga ke dahan paling atas. Anim jenguk ke bawah. Babi hutan itu masih di perdu pokok. Anim pula memeluk kuat dahan pokok takut terjatuh dan dikejar babi hutan itu.

Dia lihat jam tangan. Sudah hampir pukul tujuh petang. Dia mula risau. Dipandang sekeliling. Hari semakin gelap. Sesekali dia menepis nyamuk yang mula menggigit kulitnya. Anis pandang lagi sekitar. Sudah tidak nampak apa-apa. Gelap pekat. Tanpa sedar air matanya mula jatuh. Kini dia terperangkap di atas pokok. Babi hutan masih menunggu di bawah sambil mendengus kuat. Tangisan Anim semakin kuat. Dia mula menyesal kerana terlalu ikutkan kata hati. Pesanan ayah tidak dihiraukan. Kedegilannya nyata menghukumnya sendiri. Anim terlelap di situ.

***********

“ABANG! Anim belum pulang lagi ni. Saya risau la bang!” Ibu mula gelisah. Matanya mula berair.

“Dia ke mana tadi?”

“Dia kata nak ke rumah Hana. Nak belajar sama-sama katanya!”

“Awak tunggu di sini. Kalau paksu datang, suruh dia cari saya di rumah pak Kob!” Ayah tersu capai lampu suluh dan menunggang motosikal menuju ke rumah Pak Kob, ayah Hana.

Tiba di rumah Hana, ayah segera bertanya kepada Pak Kob. Nyata Pak Kob juga tidak tahu ke mana Anim pergi. Sepanjang perjalanan tadi, dia sempat singgah di beberapa tempat mencari Anim. Anim masih belum dijumpai.

“Pakcik! Petang tadi saya nampak Anim masuk simpang tiga sana tu! Saya pun tak tahu dia buat apa kat situ!” Hana mula mencelah bila melihat ayah Anim mula putus asa.

“Simpang tiga?” Ayah Anim pandang Hana dengan mata terbeliak.

Hana angguk.

“Dia buat apa kat situ? Bukan ada apa-apa pun kat situ! Hish! Budak bertuah ni!” Ayah Anim mula geram.

“Entahlah..tapi saya dengar dia kata nak cari biji gajus!” Hana pula menyambung bicara.

“Biji gajus?? Biar betul! Simpang tiga tu kan tanah kubur!”

Ayah Anim bersama Pak Kob dan Pak Su segera menuju ke simpang tiga. Dengan cahaya lampu suluh yang mereka bawa, mereka mula mencari Anim. Kawasan di sekitar itu hanya semak dan pokok menjalar saja. Di sebelah kiri pula kawasan perkuburan lama.

“Along! Anim ada kat sini!” Pak Su menjerit.

Ayah Anim dan Pak Kob berlari ke arah Pak Su. Mereka terpaksa melangkah batu nisan yang tercacak di situ. Batu nisan yang ada di situ kebanyakannya sudah retak dan senget. Anim dijumpai tertidur di atas salah satu kubur di situ sambil memeluk biji gajus. Ayah Anim mengangkat Anim dan segera pulang ke rumah menaiki kereta Pak Akob.

Tiba di rumah, orang kampung sudah ramai berkumpul di rumahnya. Ustaz Halim turut dipanggil. Malam itu Anim tidak sedarkan diri. Ustaz mula membaca sesuatu dan menyapu air yang dibaca tadi ke muka Anim.

“Alhamdulillah..” Ustaz halim senyum bila melihat Anim sudah mula sedar. Air bacaan Yassin tadi diberi minum.

“Alhamdulillah Anim dah sedar!” Ibu memeluk Anim.

Anim masih kebingungan. Dia lihat sekeliling. Orang ramai mengerumuni dia yang berada di tengah-tengah ruang tamu. Dia pandang pula Ustaz Halim.

“Syukurlah Anim sudah sedar. Tempat tu keras.” Ustaz Halim senyum lagi.

Ayah Anim turut senyum sambil meraup muka. Dia pandang Anim yang masih terpinga-pinga. Ada sebungkus biji gajus di tepi.

“Mana Anim dapat biji gajus tu?” Ayah mula bertanya.

Anim pandang bungkusan plastik yang penuh dengan biji gajus. Dia pandang pula ayah dan ibunya.

“Dari pokok gajus la. Pokok tu lebat berbuah!” Anim mula bersuara.

Orang ramai yang datang masing-masing diam. Mereka berpandangan sesama sendiri. Setahu mereka kawasan tempat Anim dijumpai tiada sebatang pun pokok gajus. Malah kawasan itu adalah kawasan kubur lama yang dipenuhi dengan semak dan pokok menjalar. Biji gajus di dalam genggaman Anim dipandang tidak berkelip. Memang sah itu biji gajus. Biji gajus itu masih segar seolah-olah baru dipetik dari pokok. Penduduk kampung yang datang menziarah mula minta diri untuk pulang ke rumah masing-masing.

Anim pandang biji gajus sekali lagi. Dia senyum sendiri.

 


Mat Rock. Itulah gelarannya dari sekolah sampailah masuk ke alam pekerjaan. Sesuai dengan penampilannya. Dia belek album, terus tersenyum sebaik melihat foto-foto dalam album. Album yang banyak memberi kenangan suka duka seorang pelajar. Satu persatu foto di dalam album itu ditatap. Sesekali dia tergelak sendiri melihat foto yang diambil secara candid. Tanpa posing yang diada-adakan, tiada kontrol macho, tiada touch up rambut. Semuanya semula jadi.

Apa yang jelas, penampilannya dari dulu hingga kini seiring gelaran namanya, Mat Rock. Seluar jeans lusuh yang dipakai tidak sah kalau tidak koyak sana sini. Lengan baju pula disingsing sampai pangkal ketiak. Rambut ala-ala punk. Tercacak sana-sini. Cuma warna saja masih sama. Tidak berani mengubah warna itu ke warna merah atau yang sewaktu dengannya. Nanti tidak sah untuk buat perkara wajib.

Mat Rock tatap lagi. Kali ini foto yang diabadikan semasa belajar di universiti. Masih seakan sama seperti dulu, yang berubah hanyalah rambut sudah seperti gaya seorang askar. Sentiasa pendek dan kemas walaupun pakaian masih seperti dulu. Gara-gara minat penyanyi Mawi, rambut pun diubah sebiji macam stail Mawi. Dia senyum lagi. Betapa pengaruh sekeliling memainkan peranan besar dalam hidupnya. Tidak tahulah kehidupan orang lain. Apa yang nyata, dia menjadi begitu kerana pengaruh kawan, pengaruh media dan paling nyata, diri sendiri yang mudah terikut-ikut trend semasa. Ikut peredaran zaman kononnya.

Pernah satu hari, dia tidak dibenarkan masuk ke kelas kerana seluar jeans yang dipakai koyak rabak. Bukan kerana jatuh motosikal Suzuki miliknya, bukan kerana dia diserang mafia di jalanan. Tidak! Koyak rabak itu sendiri direka kononnya ada vogue! Akhirnya dia duduk di tepi pintu kelas demi sebuah ilmu yang diajar pensyarah. Terdengar kata-kata sindiran.

Rock macam kau pun ada hati nak belajar ke bro?”

Ah! Aku bukan kacau korang pun! Ada aku kisah! Getus hatinya tatkala mendengar sindiran dari rakan sekelas yang ketawa terbahak-bahak. Dia pandang pula pada pelajar perempuan yang tersengih-sengih turut menyindir.

Ah! Cantik sangat lah tu! Korang lagi berdosa! Dedah sana! Dedah sini! Berkepit dengan jantan ke sana ke mari! Mat Rock menjeling sekilas. Walaupun dia begitu, dia tidak pernah mengusik atau cuba mengurat pelajar perempuan. Tidak kira sekelas atau sekampus. Perempuan tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Dia dituduh kolot kerana tidak tahu bersosial dengan perempuan.

Begitulah setiap hari ke kelas. Sehinggalah dia berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan. Namun kuasa tuhan siapa yang tahu. Sedikit demi sedikit Mat Rock mula berubah. Bukan kerana teguran pensyarah atau sindiran teman sekuliah atau bebelan ibu di rumah. Semua itu terjadi kerana dia merasakan sudah tiba masanya untuk dirinya bernikah!

Kadang-kadang terasa hati dicuit geli hati memikirkan perubahan diri kerana ada rasa untuk menikah. Seru untuk menikah sudah sampai. Tidak boleh ditunda-tunda! Kuasa tuhan menghadirkan rasa itu dalam hatinya. Selama ini perkara itu terlalu jauh dari kotak fikirannya. Perempuan pun tidak pernah didekati apatah lagi ingin menikah!

Dia jeling jam di atas meja. Sudah menghampiri dua belas tengah hari. Hari itu dia sudah berjanji berjumpa dengan Ikram a.k.a King di kedai mamak tidak jauh dari rumahnya. Topi keledar bentuk tengkorak dicapai dari atas meja dan jaket hitam disarung kemas ke tubuh. Kunci motosikal pula diambil dari tepi pintu yang disangkut di situ. Motosikalnya dipecut laju menuju ke jalan besar.

Dari jauh Mat Rock sudah nampak King sudah tercongok di meja di kaki lima restoran mamak. King masih seperti dulu. Lagak seorang rock sepertinya dengan rokok di tangannya yang masih menyala. Kaki disilangkan sambil membaca berita di dada akhbar.

Mat rock mula menghampiri King. Sekitar restoran itu masih lengang. Mungkin hari minggu begini, tidak ramai yang keluar makan di luar. Bagi yang berkeluarga pula sudah tentu menjamu selera bersama keluarga di rumah. Tidak seperti dirinya yang bujang. Kedai mamak menjadi tempat lepak sambil mengisi perut kosong.

“Dah lama sampai?” Mat Rock sengih. Topi keledar diletak atas meja.

King angguk. Dia mula pesan kopi ais. Mat Rock pula pesan mi goreng mamak dan milo ais.

“Apa hal kau nak jumpa aku ni?” King mula bersuara.

Mat Rock sengih. Dia sebenarnya merasa agak malu untuk bercerita tujuannya berjumpa King, kawan satu universiti dulu yang kini sudah pun beristeri.

“King..kau rasa aku ni betul tak?”

Mat Rock mula bertanya King, kawan yang sama-sama belajar dan sama-sama bekerja di syarikat yang sama. King yang berbadan sasa lagak ahli bina badan. Dengan badan besar dan sasa begitu, tidak hairanlah dia digelar King oleh teman-teman lain. Lagak dan gaya pun senada. Cuma King lebih banyak mulut darinya yang tidak suka bercakap benda-benda yang sia-sia. Banyak diam dari berbual.

“Kenapa kau tanya macam tu? Apa selama ini kau tak betul ke?” King mula ketawa.

“Hoi! Aku serius ni! Kau sendiri nampak perubahan aku kan? Dulu aku lain. Pakai seluar koyak, rambut punk, baju pulak kalau boleh nak koyak rabak macam seluar jugak!”

“Baguslah kau dah sedar! Tengok aku ni..dah enam bulan aku kahwin!” King kenyit mata pada Mat Rock.

“Tapi kau masih pakai seluar rock koyak ni hah!” Mat Rock pandang seluar jeans yang dipakai oleh King. Di hujung kaki seluar sudah tidak berjahit. Benang terjuntai-juntai macam seluar yang tidak siap.

King sengih. “Ada nampak koyak tu kat paha? Takkan? Masih tutup aurat untuk aku solat. Jiwa rock aku masih ada bro!”

“Maksud kau?” Mat Rock garu kepala tidak faham.

King melepaskan pandangan ke arah sekumpulan budak lelaki yang berborak di depan restoran mamak. Pandangannya beralih pula kepada Mat Rock. Sempat mengukir senyuman sebelum mula melontar hujah. Memang dia seorang pencinta rock. Memang dari dulu dia minat muzik rock. Heavy metal. Iron Maiden! Ketika itu apa yang dibuat dirasakan untuk melepaskan tekanan. Menyanyi sambil memetik gitar. Dunia dirasakan sudah menjadi dunia sendiri. Tidak hirau apa yang berlaku sekeliling. Tetapi segala lirik lagu rock ditukar kepada lirik mengingati pencipta. Biarlah orang sekeliling mengata. Sedangkan Cat Steven juga penyanyi rock dan masih menyanyi lagu ketuhanan selepas memeluk Islam. Malah Cat Steven a.k.a Yusof Islam kini lebih dikenali setelah mengucap dua kalimah syahadah.

“Aku masih begini. Pada aku tak salah kita nak berfesyen tapi biar berpada. Maaf aku cakap. Dulu masa kau rock habis, kau solat macam mana? Seluar kau koyak di paha. Aurat terdedah. Kau kena bawa kain pelekatkan?” King pandang Mat Rock yang masih tidak mengerti.

Mat Rock angguk. Memang dia sentiasa bawa kain pelekat dalam beg sandang. Setiap kali masuk masjid, semua mata merenung ke arahnya yang berseluar koyak rabak begitu sedangkan dia sudah bersedia dengan kain pelekat di dalam beg untuk menunaikan solat.

“Jadi, kau telah menyusahkan diri sendiri. Allah dan Rasul mengajar kita untuk tidak bersusah dalam beramal. Kita nak rock boleh tapi biarlah segala rock tu tidak mengarah kepada jalan maksiat. Tidak menghala ke arah kepayahan atau alasan untuk tidak menunaikan suruhanNYA.” King jeling Mat Rock yang mula kelihatan berfikir.

Mat Rock pandang King yang petah melontar kata-kata. Memang dia akui dari dulu King seorang yang sukakan trend rock. Rock yang tidak hanyut ke dunia gila-gila. Dan sikap King jugalah telah mengheretnya untuk turut sama menjiwai trend begitu.

“Tapi satu aku respect pasal kau ni. Kau tak pernah tinggal solat dan rambut kau pulak sentiasa hitam. Tidak warna pelangi macam mat rock lain. Hahaha!!!” King ketawa lagi.

Mat Rock turut ketawa. Memang benar dia masih waras lagi dalam bab rambut.

“Err..macam mana pulak kau boleh ada hati nak kahwin? Bila masa kau bercinta?” Mat Rock mula berminat soal hati.

“Hahaha!!!” King semakin galak ketawa. Dia jeling Mat Rock di sebelah yang memandangnya tidak berkelip. Memang dia tahu Mat Rock tidak pernah ada perempuan. Tidak pernah hiraukan pasal perempuan. Adik-beradik pun semuanya lelaki!

“Kenapa kau ketawa? Kelakar sangat ke soalan aku?” Mat Rock mula sengih. Ada perasaan malu menerjah hatinya. Muka pula sudah kemerahan.

“Kau dah mula suka perempuan ke apa? Tiba-tiba tanya soalan emas macam tu? Mat Rock macam kau ni sukar untuk aku percaya kata-kata yang kau lontarkan tadi!” King masih gelak besar seolah soalan Mat Rock tidak relevan langsung.

“Aku serius ni! Entahlah sejak akhir-akhir ni, hati aku bagai ditarik-tarik untuk menikah! Aku bingung! Perempuan pun aku tak pernah berkawan! Macam mana nak cari bini?” Mat Rock garu kepala lagi.

“Baguslah kalau kau dah sampai seru macam tu! Nak kahwin tak semestinya kena bercinta bro! Pada aku cinta lepas kahwin tu lagi sweet! “ King sengih. Seketika kemudian dia mula melepaskan sebuah keluhan berat.

Mat Rock mendengar penuh minat. Keluhan King tadi seperti ada sesuatu yang dirahsiakan selama ini. Wajah King mula berubah rona. Mungkin ada sesuatu yang mengganggu fikiran. Terganggu dengan soalan yang dilontar sebentar tadi.

“Kau macam pernah bercinta je…” Mat Rock cuba mengorek rahsia.

King sedut lagi rokok yang sudah tinggal separuh. Berkepul-kepul asap keluar. Akhirnya sebuah keluhan panjang dilepaskan juga. Dia pandang ke arah Mat Rock yang masih merenungnya begitu. Milo ais sudah separuh diminum.

“Sebut pasal bercinta ni..sebenarnya aku dah serik. Untuk pengetahuan kau, masa aku bertunang dulu, aku tak tengok langsung wajah tunang aku. Biarlah begitu.” King mula bercerita.

“Jadi..pilihan keluarga la ni!” Mat Rock menarik kerusi semakin dekat dengan King.

“Tak jugak..”

“Maksud kau?”

“Dia pilihan bekas guru agama aku dulu masa sekolah menengah. Kebetulan masa aku balik kampung, ustaz tu datang ke rumah aku. Kami berbual panjang. Dia insan yang paling gembira melihat aku berubah. Maklumlah masa sekolah dulu, aku yang paling nakal! Saat dia tanya tentang jodoh, aku hanya senyum. Aku cerita segala-galanya kepada ustaz tu. Dia turut bersimpati. Sejak itu, kami saling berhubung sehinggalah satu hari dia kenalkan aku dengan seorang gadis. Gadis itu anak kenalannya masa mengajar dulu. Memang dia suruh aku berkawan dan melihat wajah gadis tu tapi aku menolak. Tak lama selepas tu, mak aku pergi meminang gadis itu.” Panjang lebar King memutarkan kembali kisah hidupnya bertemu jodoh.

“Ohh..macam tu rupanya. Err…boleh aku tahu kenapa kau tak nak tengok wajah tunang kau tu sebelum kau ambil dia sebagai isteri? Mana tahu dia tak cantik ke? Ada cacat ke apa ke?” Mat Rock semakin berminat.

King sedut lagi rokok sampai habis. Puntung rokok dipenyet dalam bekas habuk rokok atas meja. Sekali lagi dia melepaskan sebuah keluhan berat. Matanya tepat memandang Mat Rock yang masih memandangnya dari tadi.

“Dulu aku pernah bercinta. Masa tu aku di tingkatan lima. Kami bercinta sampai ke zaman universiti. Universiti kami berlainan. Dia memang cantik. Sangat cantik. Aku pernah ajak dia berkahwin tetapi dia menolak bila melihat aku berubah. Maksud aku…berubah menjadi seorang yang baik dan mula taat pada agama walaupun aku sebenarnya masih menimba ilmu. Dulu masa kami masih bercinta, dia senang dengan gaya aku yang rock tak ingat. Malah dia juga turut berpakaian macam tu. Waktu tu aku tidak kisah. Masih jahil. Tapi sampai bila nak jadi macam tu? Aku mula berubah perlahan-lahan. Aku masuk usrah. Rajin ke masjid. Seluar koyak di paha aku buang semuanya. Tinggal seluar macam yang aku pakai sekarang ni. Dan sejak itu juga, dia mula menjauhkan diri dari aku. Dia belum bersedia untuk berubah seperti aku. Tidak bebas katanya. Aku akur dengan pilihan dia. Itu hak dia. Aku bukan suami dia untuk marah dan memaksa dia berubah. Jadi kami putus. “ King ambil lagi sebatang rokok dari dalam poket seluar jeans lusuh.

“Isteri kau macam mana?” Mat Rock masih tidak puas hati.

“Aku tak nak tengok rupa isteri aku sebelum berkahwin dulu tu ada sebabnya. Kalau aku tengok, aku mungkin teringat bekas kekasih aku dulu. Dan mungkin aku akan mula membandingkan dia dengan bekas kekasih aku. Aku tak mahu. Aku tahu dalam Islam kita diharuskan untuk melihat wajah bakal isteri kita tapi dalam kes aku, aku memilih untuk tidak melihat. Biarlah aku tengok wajahnya selepas dia sah menjadi isteri aku.” King bertutur penuh makna.

Mat Rock mula faham. Dia angguk-angguk. Tidak sangka King mengalami kisah cinta yang penuh tragedi. Terkesima mendengar pengakuan berani King. Dari rupa paras King, memang patutlah bekas kekasihnya seorang yang cantik. King juga memiliki rupa kacak.

“Habis sekarang ni dia dah jadi isteri kau, takkan tak terdetik di hati kau pasal bekas kekasih kau dulu? Maksud aku bandingkan mereka berdua, mana lebih cantik?” Mat Rock sengih.

King jeling Mat Rock yang sudah seperti wartawan lagaknya.

“Kau ni aku tengok lebih memilih kecantikan! Hahaha! Tak pa..itu pilihan masing-masing. Entahlah, aku sendiri tidak terfikir soal tu. Sejak kahwin ni, perasaan kasih dan cinta aku pada isteri seperti busut. Makin lama makin tinggi. Bukan perasaan aku masa bercinta dulu dengan bekas kekasih, aku rasa macam bukit yang ditarah. Makin lama makin landai. Kadang-kadang perkara biasa akan jadi luar biasa. Lama-lama kita hidup bersama isteri, semakin cantik aku pandangnya. Entahlah, Allah beri hati untuk kita menilai. Mana yang Allah ubah? Wajah ke atau hati?” King pandang Mat Rock, menunggu jawapan dari teman seuniversitinya dulu.

“Apa kaitannya dengan hati? Aku cerita pasal cantik la!” Mat Rock tidak menjawab soalan King tadi sebaliknya soalan dijawab dengan soalan.

“Macam nilah..hati memainkan peranan penting dalam kehidupan suami isteri. Kalau hati kita indah, kita akan nampak keindahan sebaliknya jika hati kita rosak, apa pun kita akan nampak keburukan. Mula merasa benci dan mudah bosan pada pasangan kita dan kita mula mencari lagi. Orang yang rosak hatinya akan lebih utamakan kecantikan dan mula memburu ke arah itu yang hanya sementara. Macam kau ni..setahu aku, kau tak pernah keluar dengan mana-mana perempuan. Bermakna kau tak ada girlfriend. Hati kau belum terusik dengan perasaan kasih dan cinta pada perempuan.“ King pandang Mat Rock sekilas. Habuk rokok dijentik ke arah luar. Dia pandang sekeliling. Ramai pelanggan mula keluar masuk ke restoran mamak itu.

Mat Rock menelan liur. Kata-kata King tadi cukup pedas baginya. Terkena batang hidung sendiri. Selama ini dia memang tiada teman wanita. Mana mungkin dia akan berkahwin tanpa kenal perempuan itu dulu.

“Kalau kau dah rasa nak bernikah, kau cakap je pada mak kau! Habis cerita!” King teguk pula kopi ais yang dipesan tadi.

Mat Rock mula menikmati mi goreng dan milo ais yang sudah siap terhidang atas meja. Mamak itu tersenyum melihat penampilan mereka berdua.

Mat Rock pandang mamat Bangla yang menunjukkan ibu jari thumbs up! Boleh tahan mamat ni! Dia mula sengih sambil jeling King yang juga turut sengih. Mereka menyambung perbualan sambil menikmati makanan yang telah dipesan. Sesekali ketawa mereka berderai mengingati kembali zaman rock dulu-dulu.

“Sekarang aku pasti..tentu kau dah tahu mana lebih cantik. Apa perasaan kau?” Mat Rock mula menguji King.

King hanya senyum. Senyuman yang tidak dibuat-buat. Dia pandang Mat Rock yang begitu teruja ingin tahu kisah cintanya.

“Isteri aku biasa-biasa saja cantiknya tapi tak apa..biar tak cantik asalkan baik dan berakhlak. Pada aku cantik itu relatif dan sangat subjektif. Kecantikan seorang wanita itu tidak sama pada tafsirannya. Pada orang yang beriman dan budiman, mereka akan menilai kecantikan wanita itu pada budi dan akhlak. Pada pemuja hedonisme dan materialisme pula, mereka hanya fokus dan menilai pada paras rupa dan daya tarikan seksual.” King berhenti seketika sambil menyedut dan menghembus asap rokok.

“Relatif pula, semua inginkan kecantikan tapi buat apa! Cantik macam mana sekalipun kalau dia asyik membebel dan marah-marah akan nampak hodohnya dan membosankan. Cukuplah seorang wanita yang wajahnya sederhana saja cantiknya, yang selalu memberi senyuman manis, sedia membantu dan memahami hati suami. Tapi kalau dapat seorang isteri yang cantik dan berakhlak, itu satu bonus sebenarnya. Anugerah Allah untuk kita!” King mula tersenyum.

Mat Rock turut senyum. Nyata King sudah banyak berubah. Kata-katanya sudah menjadi satu tazkirah. Keluar semua falsafah yang tak pernah didengar sebelum ini. Kagum!

“Jodoh tu di tangan tuhan. Urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Kita hanya perlu berusaha mencari. Pilihlah jodoh dengan dua cara. Menjadi orang yang baik, insya-Allah kita akan mendapat pasangan yang baik juga. Atau terimalah jodoh dari pilihan orang yang baik, insya-Allah kita akan mendapat pasangan hidup yang baik. Kerana pilihan orang yang baik selalunya yang baik-baik.” King senyum lebar.

Mat Rock terkebil-kebil mendengar bicara King yang sudah dirasakan berbelit-belit. Namun cukup terkesima dengan pandangan yang dilontarkan tadi. Cukup terkesan di hati. Baru kini dia tahu betapa hati dan perasaan pada perempuan bukan sekadar suka-suka untuk berseronok sebaliknya rasa itu adalah ujian dalam menilai diri sendiri.

Azan zuhur sayup kedengaran dari masjid berdekatan. Mat rock habiskan mi goreng di pinggan. Dia pandang King yang mula bangun dari situ. Sebelum beredar, King sempat berpesan.

“Ingat, apabila wanita yang telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita jaga dan bimbing menuju ke syurga. Dialah jodoh yang ditakdirkan untuk kita. Kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita tapi ilmunya, akhlaknya, pengorbanannya dan kesetiaannya. Dan dengan isterilah nasib kita dunia akhirat berkait rapat. Waktu itu, walau macam mana pun wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua. Jadi, ingatlah sentiasa hal tu. Jadikan diri kita orang yang baik atau lebih baik dari itu.”

Mat Rock hanya memerhati King yang mula beredar ke masjid setelah membayar makanan dan minuman yang dipesan. Dia pun cepat-cepat mengekori King. Helmet dicapai dari atas meja sambil berlari ke arah King yang sudah ke depan.

***********

MALAM itu, Mat Rock termenung sendiri. Segala perbualannya dengan King siang tadi masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Begitu menusuk hati dan perasaannya. Nyata King kini sudah banyak berubah. Berlainan sama sekali. Kuasa Allah memberi hidayah kepada siapa saja Dia kehendaki. Kini dia mula rasa lega. Rupanya perasaan ingin bernikah yang dirasai sejak akhir-akhir ini adalah jalan untuknya berubah ke arah yang lebih baik.

Segala kata-kata King dicatat dalam diari merahnya. Selesai menulis, dia segera ke bilik air untuk mengambil wuduk sebaik azan selesai berkumandang.

Seusai solat Isyak, Mat Rock mula menatap dan memahami segala catatan yang ditulis tadi. Dia senyum sendiri. Seru untuknya bernikah semakin bersinar. Kini dia pasti apa yang harus dilakukan sebelum bernikah. Lafaz aku terima nikahnya tidak semudah yang diucap. Lafaz itu penuh dengan tanggungjawab dan dugaan. Sejak itu dia tidak lagi memakai jeans lusuh yang koyak.

************

PAGI lagi Mat Rock sudah ke tempat kerja. Terkocoh-kocoh dia menunggang motosikal menuju ke jalan Damansara. Tiba di simpang, motosikalnya tidak dapat dikawal bila tiba-tiba seekor kucing melintas di hadapan. Dia terjatuh ke dalam longkang besar.

“Encik tak apa-apa?”

Mat Rock mengaduh kesakitan. Seluarnya sudah koyak. Darah pekat mengalir dari luka di lutut sebelah kanan. Terhincut-hincut dia berjalan dan mula keluar dari longkang yang agak dalam itu. Sebaik melangkah ke atas, dia mendongak ke arah seorang gadis berbaju kurung dan bertudung.

“Encik tak apa-apa? Eh! Darah! Encik dah luka teruk ni! Mari saya hantar ke hospital.”

Mat Rock terpana memandang gadis yang tersenyum manis kepadanya. Dia lihat pula kereta Honda Civic di sebelah motosikalnya yang sudah terbalik di bahu jalan. Rupanya tadi dia tercampak masuk ke dalam longkang semata-mata ingin mengelak seekor kucing yang tiba-tiba melintas jalan.

“Err..tak apalah. Sikit saja ni. Saya boleh pergi sendiri.” Mat Rock memegang lututnya yang masih berdarah.

“Tapi luka encik ni agak dalam. Marilah saya hantar. Motor tu biar saya suruh orang bengkel ambilkan.”

Mat Rock pandang gadis itu yang mula mengambil beg kerjanya yang turut tercampak ke bahu jalan. Kali ini dia hanya menurut gadis itu ke kereta. Sepanjang perjalanan, dia hanya mendengar celoteh gadis itu yang memandu ke arah hospital. Matanya tidak berkelip memandang wajah ayu milik gadis itu yang nyata lembut dan mulus. Tutur katanya pula sopan.

Tiba di hospital, baru Mat Rock tahu, gadis itu sebenarnya seorang doktor. Lututnya dirawat dengan segera. Matanya tidak lekang dari memandang doktor muda itu yang cukup cekap membalut luka lututnya. Dia beralih pula melihat tag nama pada poket baju putih gadis itu yang disarung sebaik saja masuk ke hospital. Anis Soleha.

“Dah siap. Kalau encik rasa tak boleh jalan, saya boleh bagi mc. Encik kerja kat mana?” Anis mula menulis sesuatu di atas rekod kad pesakit.

“Nama encik?” Anis pandang Mat rock yang masih merenungnya dari tadi.

“Encik?” sekali lagi Anis memanggil Mat Rock.

Mat rock tersedar dari lamunan. “Ha..er..nama?”

“Ya! Nama encik siapa?” Anis Soleha mengorak senyum.

“Mat Rock…” Mat Rock masih tergamam.

“Mat Rock??”

“Hah? Err…maaf…nama saya Iman Haikal” Mat rock tersipu malu.

**************

Mat Rock masih termenung. Kali ini fikirannya melayang mengingati pertemuan yang tidak diduga. Hatinya berdegup kencang. Aku jatuh cinta ke ni?

Diari merah dicapai dan dibaca lagi catatan yang ditulis di situ. Kini dia pasti Anis Soleha itulah jodohnya. Senyuman dan tutur kata gadis itu cukup membuatnya terkesima. Terpegun. Telefon bimbitnya mula berbunyi. Dia melihat satu nombor yang tidak dikenali tertayang di skrin. Siapa pulak ni?

“Hello! Ya saya!”

Mat Rock terdiam mendengar suara dari hujung talian. Telefon bimbit diletak sebaik habis perbualan. Dia mula tersenyum. Tidak sangka doktor muda itu menelefon semata-mata bertanya khabar tentangnya. Hatinya berbunga seketika. Ah! Memang aku sudah jatuh cinta!

Telefon bimbitnya berdering lagi. Kali ini panggilan dari ibunya di kampung.

“Wa’alaikumussalam! Ya mak! Hujung minggu ni? Iman nak kena ikut sekali ke? Okey!” Mat Rock letak telefon.

Wajahnya mula muram. Panggilan dari ibunya tadi cukup membuatnya serba salah di saat dia mula sukakan doktor muda itu. Hujung minggu nanti, keluarganya akan pergi merisik seorang gadis. Itu sebenarnya atas permintaannya sendiri menyuruh keluarga mencarikan jodoh untuknya.

************

MAT ROCK pandang sekeliling. Agak cantik perhiasan dalam rumah itu. Dia pandang pula ibunya yang sedang berbual dengan kedua orang tua gadis yang ingin dirisik. Perbualan mereka cukup mesra. Seolah sudah kenal lama.

Matanya tertancap pada sekeping gambar yang dibingkai cantik di atas meja hiasan di sudut kiri dinding di ruang tamu itu. Dia menelan liur berkali-kali. Matanya turut digenyeh. Terkebil-kebil dia memandang foto yang tersenyum manis itu. Sekali lagi dia tergamam bila melihat seorang gadis keluar dari arah dapur membawa sedulang air dan kuih menuju ke ruang tamu sambil tersenyum. Senyuman yang pernah dilihat.

“Doktor Anis…” ternganga Mat Rock sebaik melihat Anis Soleha.

Anis pula tergamam bila melihat pemuda yang pernah ditolongnya dulu sedang duduk di sebelah tetamunya yang lain.

“Nilah anak gadis saya. Dia kerja di KL juga.”

Ibu Anis mula perkenalkan anak gadisnya kepada Puan Zainon, ibu Mat Rock. Masing-masing memandang ke arah gadis itu yang mula tunduk.

“Silakan!” Anis Soleha mempelawa tetamu menjamu selera sebelum melangkah ke dapur semula.

“Macam mana Iman?”

Mat Rock menoleh kepada ibunya. Matanya memandang pula ke arah pak Long yang turut hadir sama di situ. Dia hanya mampu senyum. Tiada kata-kata yang mampu diluahkan saat ini.

“Alhamdulillah!”

Semua yang ada di situ masing-masing senyum. Senyuman Mat Rock semakin lebar. Memang benar rasa hatinya selama ini. Doktor muda itu jodohnya. Fikirannya mula melayang kepada tulisan yang dicatat pada diari merah bertajuk ‘ Sebelum Aku Bernikah’. Nyata perubahan diri membawa seribu rahmat buat dirinya.

 

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini