Termenungku bersendiri di jendela kamar. Merenung bintang yang bergemerlapan di angkasa raya, menemani sang bulan yang memantulkan sinar sang matahari hai sahabatnya. Indah sungguh alam ciptaan Ilahi. Sesungguhnya aku bersyukur dikurniakan hayat untuk menghirup oksigen dan menghembuskan karbon dioksida di muka bumi ini. Hidup bukanlah satu pekerjaan tetapi bagiku hidup ini peluang yang hadir sekali untuk diriku menghayati kebesaran yang Maha Esa. Aku tersenyum sendirian.
Kugenggam kemas tangan insan separuh abad di hadapanku. Kerutan usia di wajahnya bagai menceritakan pahit dan manis meniti hayat di dunia. Tanpa kusedari, peluh dingin mula merecik di dahiku, meluahkan debaran di hati. Dada ini bagaikan mahu pecah menahan degupan jantung yang kian kencang. Kutoleh wajahku ke arah si dia yang menemaniku membaja benih cinta di hati. Gadis berwajah manis bermata sepet ini tunduk sambil tersipu malu. Kutarik nafas dalam-dalam yang beserta harapan agar aku mampu menyembunyikan gugup di hati ini. Lantaran itu, lafaz jurunikah kusambut pantas penuh yakin. Kata-kata lancar meluncur keluar dari mulut ini. Kini, kau isteriku.
Paluan kompang bersoral riang bersama kegirangan hatiku. Aku bersyukur, benih cinta kami telah disatukan. Pautan tangan si dia membuatkan jiwaku tenang. Kujeling manja si dia yang manis dan bermulut comel. Senyuman ayu terukir di bibir si dia. Hari ini, seluruh warga kampung menjadi saksi cinta si dia yang menjadi hak mutlak diriku. Akan kupastikan rumahtangga ini subur dan mekar dibajai belaian kasih hari demi hari.
Hidangan istimewa tersedia tidak kuhiraukan. Biarlah garam berkuahkan cuka pastikan kutelan asalkan cinta ini mampu dipertahankan. Asalkan dirimu milikku, sayang. Aku tersenyum menyuapkan nasi hari berbahagia ini ke mulut comel si dia. Tergelak kecil memikirkan andai si dia tergigit jariku. Terserlah keayuan si dia bertemankan lesung pipit di pipi gebunya.
"Amboi, anak mama ni! Bukan main lagi sengihnya, sampai ke telinga. Yang kamu dok sengih-sengih ni ada apa? Karangan yang Cikgu Zulaikha nak esok dah siap?" Aku masih lagi tersengih mendengar kata mama.
"Belum, ma," jawabku ringkas.
"Laa. Tadi kamu buat karangan ke berangan? Dahlah, Meon, asyik tak serius je kamu ni. Cepat siapkan. Lepas itu, tidur jangan lupa gosok gigi, basuh muka. Kang mimpi lagi bende yang kamu berangankan tadi," ujar mama sambil berlalu melewati pintu bilikku.
Lagi seronok kalau sambung angan tadi dalam mimpi. Tertawa sendirian. Aku tunduk tersipu malu. Yang pasti, esok aku akan tertidur lagi dalam kelas Cikgu Zulaikha. Tak kisahlah!