rss

Aku sedang menaip ketika sakit itu datang menyerang. Di abdomen kiri. Aku pegang. Keras. Kembung. Aku tarik nafas. Tunggu sakit itu hilang. Mahu diadukan pada mami, bimbang dileteri. Mesti dia kata sebab aku makan banyak. Padahal aku sudah hampir sebulan tidak makan. Cuma minum air. Jadi aku senyapkan saja.

Dan senyapku terbayar. Aku hilang sedar. Terasa diri melayang-layang dalam ruang hitam. Namun cuma sebentar. Aku terjaga ketika diusung masuk ke OT. Nampak muka bertopeng hijau, berkep kepala hijau ramai-ramai. Kemudian aku hilang semula.

Aku tak tahu berapa minit atau jam aku hilang. Yang pasti ketika aku sedar, tiada siapa disisi. Tapi aku terasa sakit itu sudah tiada. Badan lebih ringan. Aku cuba bangun. Boleh. Cuba duduk. Berjaya. Aku sengih. Mungkin aku boleh cuba berdiri? Perlahan aku juntaikan kaki. Tiada selipar. Tak mengapa. Lantai itu sejuk. Aku kuatkan otot kaki. Senang pula aku berdiri. Aku berjalan perlahan keluar dari wad. Aku lemas di situ. 

Pintu wad aku tolak perlahan. Berkeriut bunyinya. Aku hayun kaki ke kaunter di sebelah kanan. Sepi. Tiada orang. Pelik. Tapak kaki yang semakin berasa sejuk memaksa aku terus berjalan. Lampu suram disini buat aku takut. Takkanlah tiada orang? Aku buka mulut, cuba jerit helo. Tapi aku tergamam sebelum sempat menjerit. Nahu aku dipegang. Sejuk.

Aku pusing. Seorang doktor lengkap berkot putih bermuka serius merenung tepat anak mata aku.

"Kamu buat apa di luar?"

Aku lihat tag namanya. Ezraeil. Aku cuma boleh jawab pertanyaannya dengan geleng.
"Cari seseorang?"

Angguk. Cari nurse yang secara normalnya akan duduk di kaunter. Cari mami dan dedi yang seperlunya menunggu aku. Cari mesin automat yang jual kopi atau apa. Aku lapar.

"Tiada di sini. Mereka di luar." Dia pandang aku atas bawah. "Jadi kamu boleh berjalan? Mari ikut aku."

Aku yang keliru cuma menurut, membontoti dia melalui lorong wad yang kelam. Dinding lorong itu bertampal poster larangan  merokok. Ada poster kesedaran kanser. Ada poster iklan ubatan klinikal. Dia terus berjalan namun tidak seperti doktor biasa yang selalu terkejar-kejar. Dia nampak tenang dan melangkah perlahan. Bunyi kasutnya bergema di lorong itu.

"Aku jarang jumpa pesakit yang boleh berjalan macam kamu disini. Ada. Tapi amat jarang. Jadi kamu mesti tolong aku."

Tolong apa?

"Jadi pembantu aku."

Aku? Aku tidak terlatih!

"Jangan risau. Pesakit disini tidak perlu perawat terlatih. Cukup ada aku. Aku sudah berada di sini sejak 1902. Aku sudah lihat banyak."

Aku senyap. Biar betul doktor ni! Mukanya masih muda. Tiada garis sedikit pun. Rambutnya hitam. Badannya tegap seperti berumur awal 30an. Mustahil.

"Emili Adam, disini tiada apa yang mustahil." Dia berhenti di hadapan sebuah pintu bertulis 02-11. "Ini pesakit kanser. Baru saja dimasukkan ke sini beberapa hari lalu. Mari kita tengok progres kansernya."

Dia masuk. Aku turut masuk. Tapi aku terundur ke dinding. Terkejut melihat pesakit itu. Pucat terbaring, dadanya terkopak menampakkan paru-paru yang hitam dan berulat. Dr. Ezraeil menggeleng.

"Jiwa yang kasihan. Kamu tidak sayang diri kamu. Perlukah aku kasihankan kamu? Masa aku akan sampai seminit lagi. Jadi bersedialah. Aku akan keluarkan kesakitan kamu."
Dengan tangan tak bersarung, Dr. Ezraeil meraba paru-paru itu. Tanpa belas dia tarik saja. Meraung lelaki itu. Hingga tidak keluar suara. Gila! Dr. Ezraeil pandang aku, arahkan aku untuk pegang paru-paru itu. Aneh, aku pegang. Dia pula menarik lelaki itu, yang masih terkelip-kelip matanya dan ternganga itu di kolar baju. Dia heret selamba menuju ke pintu.

"Ikut aku."

Aku berjalan dibelakangnya. Lelaki yang dia heret itu tepat memandang aku, mungkin meminta tolong. Aku terus pandang depan. Paru-parunya yang aku pegang pun sudah cukup buat aku hampir muntah. Kami menuju ke sebuah bilik berpintu merah bertulis Checkout. Disitu ada sebuah bas. Belum penuh dengan penumpang tapi semua yang ada berwajah pucat lesi. Putih hampir kelabu.

"Berdiri. Dan naiklah bas ini." arah Dr. Ezraeil.

Pintu bas terbuka. Lelaki itu susah payah berdiri. Naik. Dan duduk di satu kerusi.
Aku pandang doktor itu.

"Jangan risau. Kamu belum sampai masanya lagi. Pergi rehat di bilik kamu."

Belum masa aku? Masa apa?

"Belum masa mati kamu lagi. Jika sampai nanti, kamu akan jumpa aku. Aku. Ezra. Dewa kematian."

Serentak itu aku aku terasa hangat seluruh tubuh. Aku hilang lagi dan sedar beberapa saat kemudia, melihat mami dan dedi di kiri kanan katil. Nampak nurse berbaju putih. Nampak doktor berkepala hampir licin.

"Emili! Kamu dah sedar!"

Sedar? Tadi kan aku sudah sedar?

Aku nampak dedi menelefon seseorang, mungkin jadda. "Emili sudah sedar dari koma!"
Koma? Oh. Tadi aku koma.


1 comments:

  1. ok.. takut sikit baca mende ni.. :)

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini