rss

Bibirnya diketap tanda tak puas hati. Lambat-lambat dia mengatur langkah menuju ke pintu utama rumah. Setelah tiba, kasut ditanggalkan dan disepak hingga terpelanting entah ke mana. Stokin? Tak payah risaulah. Benda alah yang melecehkan itu tak pernah termasuk dalam agenda hariannya setiap kali pergi sekolah. Nak pakai kasut pun dah kira bagus.

Dia terus meluru masuk ke dalam rumah. Beg sekolah miliknya pula dijinjit pada hujung jari telunjuk. Memang itu caranya. Tak pernah menggalas beg sepanjang hampir empat tahun mengikuti pengajian peringkat sekolah menengah. Kalau masa sekolah rendah lainlah, zaman skema tak habis lagi. Sekarang dia dah besar, dan ada stail sendiri. Buat apa nak ikut-ikut orang.

Berulang kali dia menggigit bibir. Sesekali mengeluh apabila perlu memulas tombol pintu bilik bacaan. Lemah semangat bila melihat susuk tubuh lelaki yang sedia menanti kehadirannya di meja komputer. Dia tayang muka selamba. Lantas beg ringan yang tidak diketahui apa isinya dihempas ke meja. Encik Wafi segera bangun dari kerusi bila menyedari kedatangan anak sulungnya.

Tenang pandangan matanya menyorot setiap inci tubuh si sulung daripada empat beradik ini. Berbeza pula bagi anak remaja yang masih bergelodak jiwa mudanya itu. Jelingan tajam dan wajah masam mencuka diperlihatkan untuk tatapan walid. Saat terpandangkan beg anaknya, Encik Wafi mula mengesan sesuatu. Dia mula terfikir, apa yang sering dibawa oleh anaknya ke sekolah selama ini?

“Cuba buka beg tu.” Perlahan sahaja suara walid namun cukup tegas.

“Tak payahlah walid. Bukannya ada apa pun!” Bentak anak terunanya yang berusia enam belas tahun.

“Tolong buka. Walid nak tahu apa yang awak bawak kat dalam beg tu.” Encik Wafi berpaling seketika membelakangi anak sulungnya.

Sengaja hendak menguji reaksi si keras kepala itu sebentar lagi. Dia faham sangat kerenah anaknya yang degil. Tentu menggunakan kesempatan sewaktu dia berpaling untuk melarikan diri. Remaja yang masih memakai pakaian seragam sekolah ini terbongkok ke meja. Tangannya merayap untuk mencapai beg. Setelah berjaya, terhendap-hendap dia mengatur langkah. Hajatnya hampir terlaksana! Sebolehnya ingin melarikan beg itu daripada pemeriksaan walid. Dia tak rela tertangkap!

“Rayyan Idlan!” Tegak tubuh lampai itu terpacak bila mendengar jerkahan walid. Wajahnya cemberut. Mula pucat lesi. Bala dah datang! Nahaslah dia sekejap lagi. Perintah walid memang tak mungkin ditarik balik.

“Ke mana awak nak pergi? Walid belum tengok isi beg awak.” Nada Encik Wafi kembali tenang. Tadi sengaja menaikkan suara untuk menggertak anaknya. Jika tak buat begitu, rasanya Rayyan dah lepas lari.

“Ayan nak naik atas.” Selamba dia menjawab. Menutup gentar di dada. Sedangkan peluh sudah menyentuh pelipis.

“Bawak beg tu ke sini.”

“Tak ada apa-apa pun dalam beg ni.”

“Kalau tak ada apa, kenapa awak nak takut?” Erat beg galas berwarna hitam itu dalam pegangannya.

Namun walid tetap berkeras. Menarik beg itu dengan kuat sehingga tangan Rayyan naik lenguh. Tanpa kerelaan, beg itu telah pun bertukar tangan. Cepat-cepat walid membuka zip. Terbelalak biji mata Encik Wafi tatkala melihat ‘khazanah’ yang dimuatkan dalam beg anaknya.

“Satu buku pun takda?” Melengking suara walid.

Tergeleng kepala orang tua itu. Beristighfar panjang bila mendapati hanya beberapa helai kertas ada dalam kocek utama beg tersebut. Dibukanya satu persatu kertas yang berlipat-lipat. Alangkah terperanjat Encik Wafi bila mengamati markah yang tertulis. Kertas satu matematik, anaknya hanya betul sebanyak 19 soalan. Ini dah nazak! Serta merta raut wajahnya berubah.

 Rayyan membatu. Mulutnya terkunci. Dia tunduk ke bawah, mengira jari kaki sendiri. Tak sanggup melihat begnya digeledah oleh walid. Nafasnya bagai tersekat bila tangan walid makin ligat membuka satu-persatu kocek, tidak terkecuali ruangan berzip tersembunyi yang seringkali berjaya memperdayakan pengawas dan guru disiplin. Melopong mulutnya bila tangan papa memegang kotak yang masih berisi dengan beberapa batang rokok.

“Ini apa ni Ayan? Kenapa teruk sangat perangai awak? Buku tak pernah nak bukak, tapi rokok yang awak bawak ke sekolah! Kalau kena tangkap macam mana? Awak akan dibuang sekolah, tahu tak?” Lantang suara Encik Wafi menengking.

Terkedu Rayyan. Air liurnya tak mampu ditelan. Tiba-tiba, mulut terasa kelat. Dan ketika itu, tiada seorang pun yang mampu menyelamatkan Rayyan dari menghadapi amarah walid. Bagi Encik Wafi, anak sulungnya benar-benar keterlaluan. Jika sekarang mula pandai menghisap rokok, besar nanti nak jadi apa? Dia sudah tak boleh bertoleransi. Rayyan harus diajar sebelum merosakkan diri sendiri serta masa depan yang masih luas terbentang.

“Sampai hati abang nak pindahkan anak kita ke sekolah luar bandar. Siapa nak temankan saya kat sini. Ayan, janjilah dengan walid yang Ayan takkan buat perkara bukan-bukan lagi. Abang, tolonglah beri peluang pada anak kita.” Esakan Puan Suri makin menjadi-jadi.

Siap dengan nada suaranya yang kedengaran begitu sedih. Berhelai-helai tisu digunakan untuk menyapu pipi, namun tiada air mata yang mengalir. Naik geli hati Encik Wafi melihat drama ciptaan isterinya. Anak begitu, isteri begini. Umi dengan anak, sama sahaja. Rayyan turut menayang muka sedih. Berharap agar walid tersentuh dengan muka kasihannya.

“Sudahlah Suri. Tak payahlah awak nak bela anak kesayangan awak. Abang buat semua ni bukan untuk beri masalah pada dia. Takdanya abang nak susahkan anak sendiri. Abang cuma fikirkan kebaikan Ayan. Oh ya, Ayan hujung minggu nanti walid dan umi balik kampung. Walid amanahkan Pak Karim hantarkan awak dulu. Marahlah sekarang kalau itu yang awak nak. Sebab nanti awak akan tahu apa tujuan sebenar walid buat semua ni. Awak akan tahu juga suatu hari nanti bila awak dah pandai fikir.” Setelah mendengar kata muktamad walid, Rayyan memeluk ibunya. Wajah sugul usah dikata lagi. Cukup untuk menjelaskan betapa dia tidak suka pulang ke kampung.

“Umi janganlah sedih. Lakonan umi dah tak menjadi. Jangan risaulah. Ayan akan selamat kat sana. Bukannya Ayan nak pergi berperang.” Selamba dia berbisik ke telinga umi. Membulat mata Puan Suri dibuatnya.

Tanpa berkata sepatah pun Rayyan tunduk menyalami dan mencium tangan walidnya. Dia tetap beku, langsung tak mahu memandang wajah walid. Encik Wafi hanya tersenyum. Anaknya ini memang panas baran. Namun lazimnya kemarahan Rayyan tidak akan berlarutan. Jika dengan adik-adik, Rayyan sememangnya seorang abang yang amat penyayang.

Rayyan begitu berhati-hati merebahkan punggung. Seksanya hendak duduk! Dia terpaksa mengalaskan bantal lembut di tempat duduk belakang. Punggungnya masih berbirat akibat penangan libasan rotan walid semalam. Semuanya sebab rokok! Mengenang kembali kejadian semalam, walid bukan sahaja merotannya malah terus mencampakkan sekotak rokok itu ke dalam tong sampah. Padahal bukan dia yang merokok, cuma membekalkan rokok kepada ‘lanun’ tak bertauliah sekolah mereka dengan menetapkan bayaran dua ringgit sebatang.

Asalkan dapat buat duit, sudah cukup baginya. Bila diberitahu kepada walid, lagilah meledak amarah lelaki itu. Natijahnya, berjalurlah punggung Rayyan menjadi mangsa rotan walid. Secepat yang boleh juga walid selaku Guru Penolong Kanan memindahkan dia ke sekolah luar bandar. Tempat yang langsung tak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi destinasi menuntut ilmu. Mungkinkah sekolah itu bagaikan dunia gelap yang akan memusnahkan kehidupannya? Argh!

Yang pasti kampung bukanlah tempat yang serasi dengan jiwa budak bandar sepertinya. Lebih baik jika walid mencampakkan dia ke pulau, daripada menghantarnya ke kampung. Terlalu banyak perkara yang bertentangan dengan dirinya, dari pelbagai segi. Pergaulan dan makanan antaranya. Erk? Makanan? Dia terkernying sendiri. Dalam pada berfikir-fikir, matanya tak mampu bertahan lagi. Rayyan terlelap di sepanjang perjalanan.

Sesampainya di rumah kampung sederhana besar itu, Rayyan menonong masuk ke bilik setelah menyalami nenek tanpa mempedulikan ibu saudaranya yang terpacak di muka pintu. Dia malas hendak melayan Chek Su yang bermulut becok itu.

“Mak! Tengoklah budak tu. Kurang asam betul. Usah kata nak salam, pandang pun tidak. Kecik hati kita dibuatnya.” Bebel gadis bernama Najihah itu.

Memuncung wajahnya. Naik meluat dengan gelagat Rayyan. Harapkan muka sahaja tampan tapi perangai memang tak boleh dipuji. Anak saudaranya sulungnya itu memang perengus. Tapi perkara yang berlaku pada kali ini berpunca daripada kesalahannya, mengapa nak lepaskan geram pada orang lain? Itu yang Najihah sakit hati.

“Sudahlah, Jihah oi. Bukannya kamu tak tahu macam mana perangai si Ayan tu. Panas barannya tak boleh disekat. Biarlah dia reda dulu. Nanti eloklah tu.” Nasihat Adibah pada anak bongsunya.

“Lantak dialah mak. Malas saya nak ambil kisah.” Getus Najihah seraya melangkah masuk. Terkulat-kulat Adibah di muka pintu.

***

Waktu makan malam, Rayyan hanya termangu di meja makan. Dia memandang lauk pauk yang terhidang tanpa perasaan. Masak lemak ikan keli, ulam raja, ikan masin serta sambal petai ikan bilis tak mampu memancing selera budak bandar yang amat cerewet sepertinya. Seketika kemudian dia bangun. Mencerlung biji mata Najihah memerhati setiap tingkah laku Rayyan.

“Kau nak gi mana tu?” Rayyan terus bangun. Dia buat tak endah dengan teguran Chek Su.

“Hei! Wan masak penat-penat, kau boleh tak nak makan? Ingat senang ke nak dapat lauk macam ni? Berlambak lagi orang susah yang hari-hari makan nasi dengan garam. Cubalah belajar bersyukur. Tahulah tekak kau tu tekak orang bandar. Tak lalu makan makanan kampung macam ni.”

“Dahlah Jihah, biarkan dia.”

“Mana boleh biarkan mak. Geram fasal siang tadi pun tak habis lagi.  Mak tahu tak cucu kesayangan mak ni, bergaduh dengan budak kelas lain. Nyaris nak bertumbuk. Sekarang dah masuk seminggu dia duduk dengan kita. Tapi takda tanda langsung nak berubah. Semua nak kena ikut cara dia.” Ceramah Najihah tanpa mempedulikan ibunya yang mahu membela cucu kesayangan.

“Wan, maggi ada tak?” Dengan selamba badaknya, Rayyan bertanya. Najihah sudah bercekak pinggang. Ada jugak kena piat telinga budak ni.

“Ada. Ayyan ambillah dalam kabinet kat dapur.” Najihah hanya menggeleng. Anak saudaranya naik lemak kerana dimanjakan oleh mak.

“Maggi, maggi, maggi! Makanlah sampai terbuntang. Esok lusa kalau sakit, jangan salahkan kami pulak. Dahlah kena potong rambut kat depan perhimpunan.” Herdik Najihah lagi. Berdesing telinga Rayyan mendengar bebelan Chek Su. Wajahnya serta merta membahang.

“Chek Su jangan nak sebut-sebut fasal tu! Chek Su ingat Chek Su dah kerja jadi cikgu cukup bagus ke? Apa yang mulia kalau mulut tu asyik nak mengata budak-budak je? Chek Su jangan ingat, Ayan tak tahu. Kat sekolah tu ramai gila budak kutuk Chek Su. Cikgu mulut macam longkang. Tahu nak herdik orang je!” Najihah terpempan. Hebat sungguh anak saudaranya ini mereka cerita.

“Betul ke Jihah?” Dan dia hanya tunduk, menafi dalam gelengan. Tak sangka, bijak sungguh Rayyan memutar belitkan fakta.

Rayyan menghadap cermin. Hilang sudah gaya rambut yang menjadi identitinya sejak dulu lagi. Rambut ala-ala karakter Kagurazaka dalam drama Hanazakari no Kimitachi e telah dicukur oleh guru disiplin pada perhimpunan yang berlangsung dua hari lepas. Dia merasa amat malu. Sungguh, tinggal di kampung umpama dibelenggu dalam dunia gelap! Dia mahu lari! Tiada gunanya dia terus tinggal di sini. Kebosanan hanya dia sendiri yang tanggung. Hanya dia yang rasa betapa azabnya.

Setiap pagi terpaksa bangun seawal jam 5 pagi, pergi ke jeti untuk menunggu pengangkutan utama yang digunakan sekarang iaitu bot. Saban hari yang dilalui bagai mempertaruhkan nyawanya untuk menimba ilmu. Dia bencikan kesusahan! Sedangkan di bandar dia boleh sampai ke sekolah dengan dihantar oleh pemandu ataupun menaiki LRT. Cepat dan menjimatkan masa. Pakaian pun tidak basah. Berbeza sekali di sini, jika bot terlebih laju, air sungai akan merecik membasahkan lengan bajunya. Belum lagi tiba musim tengkujuh. Entah bagaimanalah keadaan ketika itu nanti? Hendak pitam setiap kali Rayyan memikir segala kemungkinan yang bakal berlaku.

“Hish! Lembap betul bot hari ni. Entah-entah dah bocor.” Rungut Rayyan.

Naik lenguh kakinya berdiri. Tercongok tanpa mempedulikan kehadiran budak-budak sekolah rendah yang turut serta menunggu berhampiran dengannya. Dan di sebelah kanan jeti, sekelompok murid sekolah menengah sedang berbual-bual. Sibuk bergelak ketawa. Macamlah seronok sangat menunggu macam ni! Buang masa je.

Kalau nasibnya baik, tak perlulah menunggu untuk giliran kedua menaiki bot. Tapi biasanya, melihat daripada keramaian orang yang sedang menunggu, dia harus bersedia untuk berdiri lebih lama. Jika terlebih seorang pun, terpaksa menunggu kedatangan kali kedua bot yang sama untuk sampai ke sekolah. Semua itu benar-benar merimaskan Rayyan Idlan.

***
“Ayan! Berdiri kat situ! Ingat Chek Su tak nampak apa yang dah berlaku tadi?” Jeritan ibu saudaranya mematikan langkah Rayyan. Najihah berlari ke arah Rayyan yang agak jauh di hadapan.

“Apa lagi Chek Su?” Lirih nada Rayyan. Dia sudah bersedia untuk mendengar segala hujahan ibu saudaranya.

“Ayan! Chek Su bersyukur sebab ada anak buah yang baik macam Rayyan. Anak buah yang tak pentingkan diri. Terima kasih sebab selamatkan anak murid Chek Su.” Rayyan hanya melemparkan senyuman.

“Dah jadi tanggungjawab Ayan, Chek Su. Takkan nak tengok dia terkapai-kapai macam tu je. Sekarang, Chek Su dah tahu kan, Ayan tak sejahat yang Chek Su sangka?” Najihah terangguk-angguk.

Mengakui betapa dia sering berkelahi mulut dengan Rayyan. Bukannya bermusuhan cuma mungkin itulah cara mereka mengeratkan hubungan. Bila salah seorang tiada, mulalah rasa sunyi. Sebenarnya dia amat gembira bila Rayyan akan berpindah ke sini, namun seperti biasa ragam mereka tak pernah berubah.

Nak peluk, anak saudaranya ini dah besar. Lain macam pula nanti kalau orang tengok. Akhirnya dia mengusap sahaja rambut Rayyan yang basah. Tak semena-mena, Rayyan bersin. Angin yang bertiup lembut pada waktu tengahari ini cukup mendinginkan seluruh tubuhnya. Manakan tidak, pakaian seragamnya sudah kuyup termasuklah kasut. Kecuali beg sekolah yang sempat dicampak sebelum terjun dari bot. Semuanya berlaku sungguh pantas hingga dia tak terfikir untuk menanggalkan kasut terlebih dahulu.

“Chek Su.” Panggil Rayyan perlahan.

“Ya Ayan.” Sahut Najihah lembut.

“Ayan rasa nak de...” Belum sempat dia menghabiskan ayat, Rayyan memegang kepalanya yang diserang pening. Lututnya terasa lembik, bagai tak mampu menampung tubuh. Pandangannya kelam dan rebah di situ juga. Panik Najihah dibuatnya.

***

“Terima kasih sebab abang selamatkan saya tempoh hari. Kalau tak mungkin saya dah jadi arwah.” Rayyan hanya tersenyum mendengar bicara Zahid. Pelajar tingkatan tiga itu menegurnya sewaktu dia melintasi pintu pagar sekolah. Setelah berjabat tangan, mereka beriringan pula menuju ke blok kelas.

“Sama-sama. Abang hanya membantu. Yang penting Zahid dah selamat. Allah panjangkan umur Zahid. Kebetulan abang ada kat situ. Kalau abang takda mesti orang lain akan ambil tindakan yang serupa.” Balas Rayyan merendah diri. Dia mengukir segarit senyuman ikhlas.

“Apa-apa pun terima kasih. Maaflah, saya sempat melawat abang kat rumah nenek abang sekali je. Sibuk dengan kelas tambahan.”

“Takda hal lah Zahid. Datang sekali pun dah seribu rahmat bagi abang. Abang tak harapkan balasan pada pertolongan yang abang bagi. Abang ikhlas. Kelmarin hari Zahid, mana tahu kalau esok lusa hari abang.” Ujar Rayyan jujur. Dia gembira melihat Zahid telah pulih dan tidak mengalami sebarang trauma ekoran kejadian lemas itu. Dan bila dia meneliti kembali pertuturannya, ternyata lebih bersopan berbanding dulu.

***

Persahabatan yang tercipta antara Rayyan dan Zahid semakin erat. Nyata setiap kejadian yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya. Melalui perkenalan itu, dia berpeluang melihat sendiri dan merasakan sedikit sebanyak hidup anak sulung dari lima beradik yang menjalani kehidupan daif dan susah. Ibaratnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bukan sahaja tidak mempunyai bilik belajar yang khusus, sumber air juga bergantung dengan perigi yang dibina oleh bapanya. Keadaan atap rumah yang bocor, menambahkan belas di hati Rayyan. Bersahabat dengan Zahid, membuatkan dia lebih memahami erti hidup yang sebenarnya.

Bila menjelang malam pula, peranan cahaya lilin membantu Zahid untuk mengulangkaji pelajaran. Rayyan sungguh kagum dengan iltizam remaja berusia 15 tahun ini. Meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan segala dugaan tak pernah melunturkan kecekalan Zahid sebaliknya, menambahkan lagi kekuatannya untuk berjaya dalam pelajaran. Buktinya, dia berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam keputusan UPSR tiga tahun lepas.

Rayyan masih melayan menungnya. Namun laungan Chek Su dari luar bilik membuatkan dia benar-benar teruja. Ada panggilan dari rumah! Tentu umi yang menelefon. Tanpa membuang masa Rayyan berkejar ke meja telefon.

“Assalamualaikum, Ayan.” Dadanya serta merta merasa sebak.

Entah mengapa, bila saja mendengar suara walid, dia jadi tersentuh. Terlalu banyak kesalahan yang telah dia lakukan terhadap walid. Sebagai guru, walid seringkali menebalkan muka tatkala dia membuat onar di sekolah dan sering masuk ke bilik disiplin.

“Waalaikumussalam walid. Walid, Ayan ada sesuatu nak cakap dengan walid. Pertama sekali, Ayan nak mintak maaf banyak-banyak pada walid. Ayan banyak buat salah kat walid. Ayan harap Ayan berpeluang untuk menebusnya.” Tiada lain mampu diucapkan oleh Encik Wafi melainkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah kerana membukakan hati anak sulungnya supaya menjadi insan yang lebih baik. Hampir setahun bersekolah di luar bandar, akhirnya persekitaran baru ini berjaya menerapkan nilai positif  ke dalam diri Rayyan.

“Ayan, walid dah lama maafkan anak walid. Walid sentiasa doakan agar Ayan diberikan kesempatan untuk menjadi yang terbaik. Berubahlah kerana diri sendiri, nak. Bukan kerana desakan. Walid ada berita gembira yang hendak diberitahu.” Rayyan tersenyum lebar sampai ke telinga mendengar bicara walid. Moga-moga berita gembira itu akan menyemarakkan lagi semangatnya untuk terus berusaha!

Zahid terkocoh-kocoh mengayuh basikal. Dia bergegas menuju ke rumah Wan Adibah, nenek Rayyan untuk berjumpa dengan abang angkatnya itu buat kali terakhir. Semoga sempatlah hendaknya! Rayyan berteleku di tangga. Meski Pak Kassim telah tiba lebih awal dari jangkaan, dia meminta agar pemandunya menunggu seketika. Dia mahu menemui Zahid. Ada sesuatu yang ingin diberikan.

“Abang Ayan!” Jeritan Zahid melebarkan senyuman Rayyan. Matanya bersinar kegembiraan.

“Zahid!” Sebaik sahaja mendengar laungan Rayyan dan ternampak kelibat abang angkatnya, Zahid melompat turun dari basikal tua yang masih bergerak. Erat mereka berpelukan.

“Terima kasih sebab datang. Abang ingat tak sempat nak jumpa Zahid. Terima kasih dik, kerana berikan abang persahabatan yang amat bermakna.” Zahid hanya mengangguk. Dia menahan sebak. Sebetulnya, mereka berdua sedang meladeni emosi masing-masing.

“Abang, terima kasih kerana jadi penyelamat saya. Abanglah sahabat saya dunia akhirat.” Semakin erat pelukan mereka.

Dan sebelum berpamitan, Rayyan menyerahkan beg kertas kepada Zahid yang berisi pakaian sekolahnya. Biarlah sedekahnya itu dimanfaatkan oleh Zahid. Dia tahu, keluarga adik angkatnya kurang berkemampuan. Berbeza dengan dirinya yang nyata lebih beruntung.

Hari ini, dengan berat hatinya Rayyan perlu kembali ke bandar. Dia akur dengan keputusan walid untuk menamatkan persekolahan di sekolah lama. Telah tersemat dalam hatinya, untuk pulang sebagai Rayyan yang baru. Tentang Rayyan yang dulu, cukuplah sekadar membawa ingatan terhadap perkara lepas dalam dakapan kenangan.

***

Hari ini, tugasnya yang dikira agak mencabar akan bermula. Perasaan teruja membuatkan dia tak sabar untuk melaksanakan tugas sebagai pendidik. Jejaka berkaca mata ini memastikan semua peralatan yang perlu dibawa telah lengkap sebelum masuk ke kelas. Pengalaman pertama beramah mesra dengan para pelajar, tentu sekali meninggalkan kemanisan buatnya.

“Assalamualaikum cikgu!” Suara memberi salam itu memberi seribu satu rasa yang sukar ditafsirkan pada pendengarannya.

“Waalaikumussalam semua. Sila duduk. Apa khabar?” Ramah dia bertanya. Senyuman tak lekang dari bibir.

“Sihat cikgu!” Jawab mereka mesra.

“Bagus kalau macam tu. Kedengaran sungguh bersemangat. Cikgu akan memperkenalkan diri terlebih dahulu. Pernah tengok cikgu tak? Tahu nama cikgu?”

“Tak!” Setelah seisi kelas memberikan jawapan yang sama, ada pula seorang murid mengangkat tangan.

“Ya kamu. Ada apa yang hendak diperkatakan?” Soal Rayyan teruja. Interaksi bersama pelajar amat penting baginya.

“Tak tahu nama cikgu. Tapi pagi tadi saya nampak cikgu kena denda sebab datang lambat kan? Tayar motor pancit ke cikgu?” Seloroh murid perempuan itu. Pelajar lain mula tergelak. Tersengih Rayyan dibuatnya.

“Pandai kamu kenakan cikgu ya. Baiklah, nama cikgu, Rayyan Idlan. Kamu boleh panggil Cikgu Rayyan.” Dia menyusun langkah menghampiri papan hitam. Dituliskan namanya dengan kapur berwarna biru sebesar mungkin.

“Cikgu akan ajar kamu subjek Sejarah. Kalau ada masalah berkaitan subjek ni, kamu boleh tanya cikgu. Oh ya, sebelum mulakan kelas apa kata kita berkenalan dulu? Kita mulakan dari kanan cikgu ni.” Lalu Rayyan bangun dan menghampiri meja anak muridnya.

Syukur, penat lelahnya tidak sia-sia. Rayyan berjaya melanjutkan pelajaran dan menjadi guru. Menuruti jejak langkah walid yang tak jemu menanam sikap optimis dalam dirinya. Dan yang paling bermakna adalah, dia kembali semula ke sekolah yang memberi berjuta erti kepada dirinya suatu masa dulu. Di sini, ada kenangan antara dia dan Zahid. Adik angkatnya itu masih meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, mengejar cita untuk bergelar peguam. Hubungan mereka tetap seperti dulu, malah lebih akrab direntangi kemudahan teknologi.

“Abang dah datang semula ke sekolah ni, Zahid. Tempat yang banyak menyimpan kenangan. Tempat di mana kita belajar untuk menebar seribu impian dan berusaha untuk merealisasikannya sebagai kenyataan.” Bisik Rayyan perlahan sebelum bangun untuk meninggalkan kelas setelah loceng berbunyi. 

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini