rss


SUASANA semakin gelap. Kiri kanan sudah berubah. Tiada lagi lampu jalan yang menerangi . Hanya pokok-pokok tinggi yang kelihatan di kiri kanan jalan. Jalan pula semakin sempit, cukup-cukup untuk sebuah kenderaan saja. Entah kenapa kali ini dia mengambil jalan lama. Dari lebuh raya tadi, tergerak hatinya untuk melalui jalan lama menuju ke destinasi. Jam sudah menghampiri sembilan setengah malam.

Ali meneruskan juga perjalanan. Tidak dihiraukan segala apa yang terfikir di benak. Panggilan dari isteri tersayang siang tadi cukup merentap hatinya untuk pulang segera. Ah! Beginilah rutin hidup bila sudah berjauhan. Dia di KL, isteri pula di bandar KT. Terpaksa berjauhan demi mencari sesuap nasi . Teringat wajah isteri yang setia menunggu kepulangannya setiap hujung minggu. Usai kerja, dia terus memecut laju ke lebuh raya. Walaupun penat, demi isteri dia rela memandu pulang walaupun jauh. Jarak yang jauh sudah tidak ada dalam kamus hidupnya. Semuanya terasa dekat. Sesekali dia menguap.

Pemanduannya masih diteruskan meredah kegelapan malam. Jam sudah melebihi sepuluh malam. Matanya melilau mencari surau atau masjid. Masuk waktu maghrib tadi dia sudah berniat untuk jamak takhir. Kali ini keretanya dipandu perlahan. Sekeliling masih gelap. Kiri kanan pula kini dipenuhi hutan tebal. Hanya cahaya lampu keretanya saja yang menerangi sepanjang jalan yang dilalui.

“Mana pulak surau ni..”

Ali memandu perlahan. Kali ini dia amati betul-betul di kiri kanan jalan. Nun jauh di depan kelihatan cahaya berbalam-balam. Dia mula senyum. Mungkin dia sudah sampai di sebuah kampung. Lega. Pedal minyak ditekan kuat. Tiba di simpang jalan, kelihatan di kiri jalan sebuah rumah kecil. Cahaya berbalam tadi rupanya datang dari arah rumah tersebut. Keretanya segera membelok ke kiri.

Ali masih lagi dalam kereta. Masih memerhati. Perlahan dia keluar dari kereta dan mula melangkah ke arah rumah itu. Pintu diketuk beberapa kali sambil memberi salam. Senyap. Sekali lagi dia memberi salam. Masih senyap. Angin mula bertiup perlahan. Dia intai melalui celah lubang di pintu. Memang tepat jangkaannya, cahaya berbalam tadi datang dari sebuah pelita usang dalam rumah itu. Daun pintu ditolak perlahan. Kelihatan seorang lelaki tua berkain pelekat dan berbaju melayu sedang duduk bersila. Kopiah atas kepala sudah senget, hampir melurut. Lagaknya seakan menahan lelah. Mulutnya bergerak-gerak membaca sesuatu. Dia perhati lagi. Di tepi dinding ada sebuah rak lama. Hanya ada beberapa buah kitab lama disusun atas rak itu. Sehelai sejadah lusuh dilipat kemas atas lantai yang dialas dengan tikar getah kusam.

“Assalamualaikum.”

Lelaki itu masih kumat kamit membaca sesuatu. Mungkin berwirid bila melihat ada seutas tasbih di tangannya. Sekali lagi Ali memberi salam. Lelaki tua itu mendongak sambil tersenyum. Muka lelaki tua itu dipenuhi peluh.

Ali pandang sekitar rumah itu. Tiada tanda-tanda bahang dari situ malah angin luar menyapa lembut ke dalam rumah itu. Macam mana pula pakcik ni boleh berpeluh begitu???

“Err..boleh saya tumpang solat?”

Agak gementar suara Ali memulakan bicara. Dia senyum kepada lelaki tua itu. Tanpa sepatah kata, lelaki tua itu hanya mengangguk.

Ali segera mendekati tempayan besar yang terletak di depan rumah. Gayung yang memang telah tersedia di tepi tempayan itu dicapai dan mula mengambil wuduk. Dia mula masuk ke rumah. Lelaki tua itu mula memberi ruang kepada Ali. Dia undur ke belakang supaya Ali boleh menunaikan solat di bahagian hadapan.

Selesai solat, Ali sempat berdoa. Tangan ditadah sambil mulut kumat kamit membaca doa. Usai berdoa, dia menoleh ke arah lelaki tua itu dengan niat ingin bersalam dan mengucap terima kasih kerana sudi mempelawanya menunaikan solat di situ. Dilihatnya lelaki itu sudah tiada.

“Mana pulak orang tua ni..”

Ali pandang pula ke arah pintu. Angin dari luar semakin kuat menerpa masuk ke dalam. Kesejukan angin itu terasa hingga menusuk tulang. Dia bersandar sekejap di tepi dinding melepaskan penat memandu. Melunjurkan kaki bagi menghilangkan lenguh.

ALI mula bangun dan menuju ke arah keretanya. Dalam hatinya tertanya-tanya siapa gerangan lelaki tua tadi. Sekelip mata lelaki itu hilang dari pandangan.

“Ah..janji aku sudah selesai melaksanakan suruhan Tuhan.”

Kini perasaannya mula lega. Urusannya sudah ditunaikan. Dia meneruskan perjalanan. Tiba di simpang jalan tadi, Ali mula bingung. Seingatnya tadi jalan itu bersimpang tiga. Kali ini, simpang itu telah menjadi empat. Dia menggaru kepala memikirkan simpang mana yang harus diambil. Jenuh dia mengingati arah asal di mana dia membelok ke arah rumah tadi.

“Agaknya simpang ni kut..”

Ali mengagak sendiri jalan yang dilalui tadi. Keretanya perlahan meredah jalan kecil. Kali ini dia terpaksa menggunakan lampu tinggi untuk melihat jalan di depan. Kiri kanan masih dipenuhi dengan semak dan pokok-pokok besar. Gelap pekat.

Dia memandu lagi. Dari jauh dia nampak seakan sebuah perkampungan. Cahaya malap kelihatan di kiri dan kanan jalan. Lega. Ada juga kampung di laluanini.

“Eh! Apa pula tu?”

Kening Ali berkerut. Dari cahaya lampu kereta, dia dapat melihat dengan jelas ada sesuatu di hadapannya. Dia beranikan diri memandu ke depan. Jalan itu yang dipilih tadi. Dalam hatinya mula gementar. Otaknya mula berfikir pelik. Terkumat kamit dia membaca ayat Kursi. Terasa lidahnya sudah keras.

Ali masih memerhati kelibat itu. Kali ini semakin jelas. Dari dalam kereta dia dapat melihat satu susuk tubuh sedang berdiri di tengah-tengah jalan. Dia semakin berdebar bila lembaga itu mula menghampiri keretanya. Dari cahaya lampu kereta, lembaga itu masih kelihatan samar.

“Alamak! Benda apa pulak ni!!”

Ali pasang CD bacaan Al Quran dan terus tekan volume hingga ke maksimum. Dia mula panik. Matanya bulat memandang ke arah lembaga itu. Kereta dikunci cepat-cepat. Lembaga itu kini sudah berada di depan keretanya.

“Makhluk apa ni???”

Ali mula berpeluh. Ayat Quran yang dipasang tadi tiba-tiba terhenti. Dia semakin panik. Digagahi juga membaca segala apa ayat yang diingati. Segala-galanya terasa lintang pukang. Makhluk di depannya sudah menampakkan giginya. Dia dapat melihat dengan jelas rupa makhluk itu. Jelas gigi tajam dengan tanduk dua yang melengkung ke atas, berbulu hitam lebat. Mata merah menyala! Pada firasatnya, ia bukan kerbau..bukan lembu dan tak mungkin kambing. Kerana ia lebih besar dari kambing yang selalu dilihat. Ah! Takkan gajah pulak?? Makhluk itu merenungnya tidak berkelip. Ali masih diam kaku di dalam kereta.

“Ah! Baik aku langgar je benda ni! Kalau aku macam ni..bila aku nak sampai rumah??”

Ali terus menekan pedal minyak dan mula memecut melanggar makhluk di depannya. Dari cermin belakang, dia dapat melihat makhluk itu terpelanting dan terus hilang. Keretanya dipandu laju membelah kegelapan malam. Dalam hatinya mula merasa menyesal. Menyesal kerana melalui jalan lama itu. Kononnya jalan itu jalan pintas.

Sekali lagi dia sampai di simpang empat. Setahunya hanya satu saja simpang empat di jalan itu. Sudah dua kali dia melalui jalan lama itu. Dilihat kiri kanan jalan. Suasana seakan sama dengan simpang yang mula-mula tadi. Dia mula pening. Bingung.

“Nak pergi arah mana ni..kalau dulu aku terus je..”

Ali mula tidak peduli pada simpang itu. Dia terus memandu tanpa membelok mana-mana arah. Terasa masa begitu lambat. Dia jeling jam. Sudah melebihi dua belas tengah malam. Kiri kanan jalan masih gelap.

Tiba-tiba dia menekan brek bila melihat satu kelibat mula melintas di depan. Jantungnya berdegup kencang. Dia mengurut dada. Kuuss! Semangat! Hampir-hampir dia terlanggar! Dia terus berpaling ke kiri. Matanya terbeliak. Mulutnya ternganga.

“Macam mana pulak pakcik ni boleh ada kat sini???”

Ali mula bingung. Lelaki tua dari surau yang tak macam surau tadi sudah tercegat di bahu jalan. Dari sinaran cahaya lampu keretanya dia dapat melihat dengan jelas di tangan lelaki tua itu ada sebuah mangkuk yang berasap. Bau kemenyan menusuk hidung. Lelaki itu masih merenungnya. Kali ini bukan dengan senyuman tapi riak wajah lelaki tua itu nyata berlainan.

Ali segera keluar dari kereta dan mendekati lelaki tua itu. Dirinya merasa bersalah. Teringat kebaikan lelaki tua itu yang telah memberinya ruang untuk solat tadi.

“Err..assalamualaikum pakcik..terima kasih kerana sudi benarkan saya solat tadi. Tapi macam mana pulak pakcik boleh ada kat sini?” Ali memberanikan diri bersuara.

Lelaki tua itu masih diam. Wajahnya mula berubah. Dia pandang Ali dengan riak bengis. Ali mula kecut. Apa kena pulak orang tua ni?? Salah ke aku tanya tadi??

“Kau buat apa lalu jalan ni?”

Ali tersentak mendengar suara garau lelaki tua itu. Ada nada marah.

“Err..saya sebenarnya nak balik ke rumah saya di bandar KT. Selalu juga saya lalu jalan ni..shortcut! Kenapa pakcik?” Ali garu kepala. Masih keliru dengan pertanyaan lelaki tua itu.

Lelaki tua itu masih merenung tajam ke arah Ali. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak membaca sesuatu. Ali hanya memerhati tingkah lelaki tua itu. Seolah-olah lelaki tua itu sedang membaca mantera.

“Mana benda tu?”

Ali masih bingung bila lelaki tua itu mula bertanya soalan yang pelik. Dia pandang lelaki tua itu dengan pandangan keliru.

“Benda apa pakcik?”

“Benda yang kau langgar tadi! Mana dia??!!”

Lelaki tua itu mula meninggikan suara. Matanya tepat memandang Ali yang masih berdiri di depannya. Tangannya mengipas-ngipas asap kemenyan menghala ke arah kiri dan kanan. Sesekali dia tiup bara kemenyan dan menghembus perlahan.

Ali semakin bingung dengan lagak lelaki tua itu. Bingung bila melihat di tengah-tengah hutan dan lorong jalan yang sempit pada waktu malam begitu tiba-tiba ada seorang lelaki tua bersama kemenyan berasap. Siapa gerangan lelaki tua itu?? Pening!

“Err…saya tak faham..benda apa pakcik?”

Ali masih bingung. Dia pandang pula ke arah jalan di depannya. Ada cahaya dari beberapa buah rumah tidak jauh dari situ. Bermakna sudah dekat dengan kawasan kampung. Kalau lelaki tua itu cuba berbuat sesuatu, dia akan terus berlari ke arah kampung. Dia berkira sendiri.

“Kau langgar benda tu! Mana dia???!!” Lelaki tua itu mula marah-marah.

Ali mula teringat makhluk yang dilanggar tadi. Makhluk itu telah terpelanting jatuh entah ke mana. Tiada kesan. Hilang begitu saja. Dia pandang pula lelaki tua itu. Apa kena mengena makhluk tu dengan lelaki tua ni? Siapa sebenarnya lelaki tua ini? Semuanya bermain di benak. Dan…asap kemenyan itu pula…untuk apa???

“Err..benda tu..sebenarnya apa pakcik?” Ali memberanikan diri bertanya.

Lelaki tua itu masih merenung Ali. Matanya mula merah. Kali ini bekas kemenyan diletak atas tanah. Kedua tangannya mula cekak pinggang.

Ali mula takut. Lagak lelaki tua itu tidak ubah seperti seorang pendekar yang bila-bila masa bersedia untuk bertempur. Gelanggang sudah ada.

“Kenapa kau langgar benda tu?”

Ali pandang lagi lelaki tua itu. Pening. Jelas benda yang dilanggarnya tadi begitu bermakna buat lelaki tua itu!

“Err..saya tak sengaja..” Ali bersuara tersekat-sekat. Bimbang sebiji penumbuk singgah di pipinya nanti.

“Tak sengaja??? Aku nampak kau sengaja langgar! Sekarang kau kena cari balik benda tu! Aku tak peduli!”

Ali tercengang. Bingung dengan sikap lelaki tua itu. Cari??? Mana nak cari?? Rupa benda tu pun tak berapa pasti! Adoi!!!

Ali jeling jam di tangannya. Sudah hampir satu pagi! Pukul berapa aku nak sampai kalau macam ni??? Dia garu kepala lagi.

“Err..nak cari kat mana pakcik?” Ali sengih. Dia sendiri pun pening. Makhluk itu sudah hilang entah ke mana!

Lelaki tua itu terus mencapai bekas kemenyan yang diletak atas tanah tadi. Dia mula mengipas dengan tangan sambil kumat kamit. Ali hanya mengikut rentak lelaki tua itu. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Lelaki itu undur beberapa langkah, Ali juga turut mengikut. Seketika kemudian lelaki tua itu tersenyum. Ali turut senyum macam orang bodoh.

“Aku dah hampir dapat!” Lelaki tua itu senyum lagi. Semakin lebar.

Ali pandang lelaki tua itu dengan muka berkerut. Hampir dapat?? Apa yang dapat???

Lelaki tua itu meneruskan apa yang dibuat sebentar tadi dan mengulanginya semula.

Tuih! Tuih! Tuih! Puhhh!!!

Ali melompat bila lelaki tua itu mula meludah ke sekitar tempat itu. Dari cahaya lampu kereta, dia dapat melihat dengan jelas. Tersembur air warna merah pekat dari mulut lelaki tua itu. Dia tergamam. Darah ke??

Lelaki tua itu senyum. Cebisan sirih yang melekat di celah giginya ditenyeh dengan hujung jari telunjuk. Warna merah sirih masih melekat di gigi lelaki tua itu.

Ali lega. Nasib baik sirih…dalam otaknya mula membayangkan yang warna merah itu adalah darah yang dicarik dari daging! Mula terbayang lelaki tua itu seorang cannibal! Selamat aku! Fuuuuhhhhh……dia mengesat peluh di dahi.

“Syyy!!!”

Ali jeling lelaki tua itu. Hujung jari telunjuk diletakkan atas mulut yang dimuncungkan, terjuih ke depan! Dia mula diam. Kemudian lelaki tua itu letak pula tangannya di sebelah telinga kanannya. Tangan kiri masih memegang tempat bara kemenyan. Badannya dibongkokkan sedikit sambil cuba mendengar sesuatu dari arah kanan.

“Kau dengar tak?” lelaki tua itu berbisik.

Ali turut membongkokkan badannya dan mula memasang telinga. Tiada sebarang bunyi. Dia pandang pula lelaki tua itu. Dia hanya geleng.

“Sah kau pekak!”

Ali mula bengang. Betul ke tak betul pakcik ni?? Aku tak dengar apa-apa pun!

Lelaki itu masih begitu. Cuba mengamati suara dari arah kanan. Dia senyum lagi.

“Dah dapat! Aku dah dapat!”

“Err..dapat apa pakcik?” Ali masih bingung.

Tanpa menghiraukan Ali, lelaki tua itu segera ke arah suara yang didengar tadi. Tempat bara kemenyan diletak atas tanah semula. Dia tarik hujung kain pelekat dan diselitkan pada pinggang. Lengan baju Melayu pula disingsing tinggi. Dia terhendap-hendap ke arah semak di malam gelap begitu.

Ali hanya mengikut dari belakang. Nak tak nak dia terpaksa mengikut mencari makhluk itu. Bulu roma sudah mula meremang bila ternampak pokok-pokok kecil berkocak-kocak sendiri. Semakin lama semakin kuat. Pantas saja tangan Ali pegang bahu lelaki tua itu.

“Kau takut apa?”

Ali pandang lelaki tua itu. Sengih.

“Err…sa..saya tak biasa tempat ma..macam ni..” Ali pandang sekitar hutan yang gelap. Angin kuat menerpa pipinya. Meremang tengkuknya bila membayangkan suasana di situ. Hanya orang gila saja yang akan berada di situ pada waktu begitu. Peluh menitik laju di seluruh badan.

Lelaki tua itu meneruskan misinya. Terhendap-hendap meredah semak tebal di depannya. Tiba-tiba lelaki tua itu berhenti. Diam.

“Kau tunggu di sini! Nanti isyarat dari aku! Kalau aku jerit, kau bertindak cepat. Faham!”

Ali bingung. Tunggu? Isyarat? Bertindak???? Argghh!!! Apa ke benda semua ni????

Lelaki tua itu membaca sesuatu.

Tuih! Tuih! Tuih!! Puhhh!!!

Secepat kilat dia melompat ke dalam semak. Hilang! Ali mula panik. Mana pakcik ni? Apa yang harus aku buat??? Adoiii!!!!

“Cepat!!! Tangkap!!!”

Tiba-tiba dia mendengar sayup dari dalam semak suara lelaki tua tadi. Ali makin panik. Tangkap?? Nak tangkap apa???

“Tangkap!!!!”

Sekali lagi suara lelaki tua itu bergema kuat. Ali kelam kabut. Tangannya mendepa luas. Kakinya melangkah ke kiri dan ke kanan, lagak ingin menangkap seekor ayam jantan! Mengepung kawasan! Tak tahu apa yang hendak ditangkap. Bingung!!

Tak semena-mena tiba-tiba muncul di depannya makhluk dari celah semak. Makhluk sama yang dilihat tadi. Lelaki tua itu masih hilang. Kini hanya makhluk berbulu hitam saja berdiri di depannya. Matanya galak memandang Ali dengan dengusan kuat. Ali terdiam. Kakinya menggeletar.

“Mengapa kau langgar aku??”

Ali tercengang. Tiba-tiba makhluk itu bersuara. Matanya bulat memandang makhluk itu yang masih tercegat di depannya. Di mulut makhluk itu penuh dengan darah! Ah..mana pulak pakcik ni???? Haru betul la!!

“Mengapa kau langgar aku????!!!”

Sekali lagi makhluk itu bersuara mengulangi soalan tadi. Ali semakin panik. Takkan binatang boleh bercakap? Alien ke apa ni???Entah-entah pakcik tadi menjelma sebagai makhluk ni! Atau..entah-entah makhluk ni telah makan lelaki tua tadi!!

Ali semakin takut. Semua persoalan mengacau mindanya tika ini.

“Haa…er..er…ma..macam mana kau boleh bercakap?” Ali garu kepala. Kakinya perlahan melangkah ke belakang beberapa tapak. Bersedia untuk lari.

Makhluk itu semakin dekat. Ali pula mula mengatur langkah berundur . Matanya tepat memandang makhluk itu.

“Hahahahaaaa!!! Aku tahu apa kau fikir! Lelaki tua bodoh tu telah mati kena siat! Aku sudah makan dagingnya! Lazat! Kini giliran kau pula!!”

Ali panik. Tekaannya benar! Makhluk itu telah membunuh lelaki tua itu. Kini dirasakan seluruh anggotanya lemah. Kakinya pula sudah kaku. Keras. Peluh memercik laju.

Makhluk itu terus menerkam Ali. Belum sempat Ali mengatur langkah, badan makhluk itu sudah jatuh ke atas badannya. Ali rebah. Bulu lebat yang berwarna hitam mula menutupi mukanya. Sesekali di bersin bila bulu makhluk itu mula menyentuh hidungnya.

Ali meronta dan cuba melawan. Nyata kudratnya tidak setanding makhluk itu. Terasa nyawanya sudah di hujung tanduk! Pedih mula terasa. Ali lihat tangannya diratah rakus! Dia lihat pula kakinya disiat dengan lahap oleh makhluk itu.

Arggghhh!!!!! Tolong!!!!! Jangan bunuh aku!!!!! Aku nak hidup lagi! Aku baru kahwin!!!!!

“NAK!!! NAK!!!”

Ali pandang sekitar rumah itu. Matanya tertancap pada lelaki tua tadi. Seluruh badannya berpeluh! Lelaki tua itu tersenyum. Masih dengan kain pelekat, baju Melayu dan berkopiah. Tiada bara kemenyan.

“Err..pakcik tak mati ke?”

“Mati???” lelaki tua itu keliru.

Ali angguk.“Pakcik mati dibaham oleh makhluk hitam tadi.” Mukanya pucat.

“Makhluk hitam? Anak ni bermimpi agaknya!” Lelaki tua itu senyum lagi. Pengantin baru rupanya anak muda di sebelahnya. Teringat kata-kata anak muda itu yang menjerit tadi.

Ali pandang pula tubuhnya. Dia raba. Tangannya tidak putus! Kakinya tidak koyak! Semuanya normal. Dia pandang pula lelaki tua itu. Jelas muka lelaki tua itu berpeluh seolah habis berlari pecut!

“Anak ni tertidur tadi. Lepas solat tadi, pakcik tengok anak bersandar di tepi dinding dan terus terlelap. Penat sangat agaknya.” Lelaki tua itu senyum lagi.

Ali diam. Dia pandang lelaki tua yang masih berada di sebelah. Di fikirannya terasa bukan satu mimpi. Tapi mengapa tangan dan kakinya tidak luka??

“Err..mungkin kut..” Ali bersuara perlahan. Dia sendiri masih keliru.

“Anak ni nak ke mana malam-malam ni?”

“Saya nak balik bandar KT. Habis kerja tadi saya terus balik. Saja ikut jalan sini ingat nak cepat. Singgah kejap nak solat kat rumah ni..” Ali pandang lagi sekitar rumah.

“Ohh…sebenarnya rumah ni rumah lama pakcik. Jadi pakcik jadikan tempat persinggahan untuk orang macam anak ni..”

Ali mula keliru dengan kata-kata lelaki tua itu.

“Maksud pakcik..rumah ni dijadikan tempat berhenti rehat?”

Lelaki tua itu angguk.

“Err..boleh saya tanya sikit..mengapa pakcik berpeluh?” Ali masih tidak faham dengan kejadian tadi.

“Oh..sebenarnya dari siang lagi pakcik cari kambing pakcik yang hilang. Jenuh cari tapi tak jumpa! Jadi pakcik berehat sekejap kat sini. Kambing tu kena cari sampai dapat. Pakcik sayang kat kambing tu!”

Ali tercengang. Kambing??

“Err..rupa kambing tu..besar, ada tanduk melengkung ke atas, berbulu tebal warna hitam dan mata merah kan?”

Lelaki tua itu pula tercengang. “Anak ada jumpa ke?”

Ali terdiam. Dia menepuk berkali-kali pipinya. Mimpi ke realiti??? Dia mula bingung.

“Err..saya bermimpi agaknya..” Ali garu kepala.

Lelaki tua itu pandang Ali. Kali ini pandangannya lain. Dia tenung Ali.

“Mimpi?”

Ali angguk.

Lelaki tua itu pula garu kepala. Kalau mimpi.. macam mana pula ciri-ciri kambing tu tepat?

Ali mula minta diri bila melihat jam di tangannya sudah melebihi dua belas tengah malam. Perjalanannya masih jauh. Malam semakin larut. Dia bersalam dengan lelaki tua yang masih tercengang.

Lelaki tua itu hanya memerhati dengan ekor mata. Dia masih keliru. Macam mana anak muda itu boleh tahu dengan tepat ciri-ciri kambing kesayangannya. Dagunya diusap perlahan. Ada sesuatu yang dia perlu tahu….

ALI termenung dalam kereta. Dia masih memikirkan kejadian tadi dan mimpi itu..mimpi??? Semua nya masih menjadi tanda tanya. Macam mana aku boleh mimpi kambing pakcik tu???

Enjin kereta dihidupkan. Perlahan keretanya membelok ke arah jalan tadi. Kali ini dia perlu berhati-hati. Jelingan lelaki tua tadi seolah ada sesuatu yang terbuku di hatinya. Dia memandu perlahan sambil menjeling kiri kanan jalan. Matanya mula bulat. Terbuka luas. Sekitar kiri kanan jalan sama dengan apa yang dilihat dalam mimpi. Dari jauh dia sudah nampak cahaya berbalam dari beberapa buah rumah. Serupa dalam mimpi. Kereta dipandu lagi. Masih perlahan. Jam menunjukkan hampir pukul satu pagi.

“Alamak!”

Ali tekan brek. Matanya terbeliak. Di depan keretanya kini ada satu susuk tubuh berbulu hitam sama seperti dalam mimpinya. Dia mula gelisah. Perasaan takut mula menyelubungi diri. Kini Ali dan makhluk itu saling berpandangan. Nyata dengusan makhluk itu sama!

Tak berani dia keluar dari kereta. Makhluk itu berdiri betul-betul di tengah jalan laluannya. Mata merahnya semakin galak memandang.

“Mana dia???”

Ali tersentak. "Hah! Kambing tu..bo..boleh bercakap!”

Dia mula mengesat peluh di dahi. Teringat dalam mimpinya tadi, makhluk itu juga boleh bercakap. Terbayang tindakan makhluk itu yang menerkam dan membaham tubuhnya. Tangannya masih melekat pada stereng.

“Mana dia??”

Sekali lagi Ali tersentak. Dia pandang makhluk itu tidak berkelip. Makhluk ni nak apa sebenarnya?

“Maaaaakkkkk!! Hantuuuu!!”

Ali melompat keluar dari kereta bila terasa bahunya disentuh dari belakang. Mukanya pucat. Kalau ditoreh pun tidak akan keluar darah. Dia berdiri kaku di tepi kereta sambil melilau mencari apa yang menyentuh bahunya tadi. Sesekali dia jeling makhluk yang masih tercegat di depan keretanya.

Tiba-tiba lelaki tua tadi buka pintu kereta dan berjalan ke arah Ali.

“Mana kambing aku?”

Ali ternganga! Bila masa pakcik ni masuk kereta aku???

Lelaki tua itu berpaling pula ke arah makhluk yang masih terpacak depan kereta Ali.

“Mana kau pergi sayang? Dari pagi aku cari tau tak? Dah! Mari balik sayang!”

Lelaki tua itu tarik tanduk makhluk itu sambil menggosok-gosok badannya yang berbulu hitam itu. Dia mencium berkali-kali.

Lelaki itu mula bernyanyi-nyanyi riang sambil mencium makhluk itu.

♪Di mana dia..kambing hitam saya..

Kambing hitam saya ada di depan kereta….

Di mana dia cinta hati saya..

Cinta hati saya kini di depan mata♪

Ali terdiam. Kaku. Tiada kata-kata.



HAWA merenung ikan kelisa dalam kolam. Begitu seronok ikan-ikan itu berenang ke sana ke mari. Lama dia merenung ikan-ikan peliharaannya bermain sesama sendiri. Namun hatinya masih resah. Tidak seperti ikan kelisa itu yang seronok berenang. Sesekali muncul di permukaan air menangkap butiran makanan yang ditabur tadi.

Wajah Hadi mula bermain di ruang mata. Mungkin hidupnya tidak seperti sekarang jika Hadi menjadi suaminya. Dia begitu mengharapkan lelaki seperti Hadi menjadi suaminya. Wanita baik untuk lelaki baik. Namun dia perlu akur ketentuan Tuhan. Jodoh pertemuan adalah di tanganNya.

'Wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik pula.'

(An Nur: 26)

Fikirannya melayang jauh mengenangkan kehidupan yang dilalui tidak seperti orang lain. Kehidupan yang dirasakan sungguh jijik. Sungguh hina. Namun tiada siapa yang tahu gejolak jiwa, hati dan perasaannya.

Tiga tahun dia melayari bahtera bersama Adam. Tiga tahun juga dirasakan dia berada di alam yang sukar baginya. Kehidupannya bagaikan berada di dalam sebuah alam lain, alam menakutkan..alam neraka!

Hawa kesat air mata dengan hujung jari. Matanya melirik ke arah anak kecil yang bertatih riang bermain di sebalik pokok-pokok bunga yang menghijau di laman. Jika bukan kerana Alisha, sudah lama dia tinggalkan tempat neraka itu. Jiwanya terseksa.

“Hawa! Mari makan nak!”

Hawa menoleh. Ibunya sudah tercegat depan anjung rumah. Di tangannya ada dulang berisi sepinggan kuih dan teko. Dia terus mendekati Alisha dan tangan kecil anak itu memaut jari Hawa berjalan terkedek-kedek menuju ke anjung.

Datin Robiah senyum. Alisha didukung penuh sayang. Dicium pipi kiri kanan. Satu-satunya cucu yang dia ada. Hawa senyum. Kasih benar ibunya dengan Alisha.

“Hawa..sudahlah. Mari makan.”

Hawa pandang lagi ibu tua itu yang entah ke berapa kali meluahkan rasa kesal. Kesal kerana memaksa Hawa bernikah dengan Adam. Kesal kerana tidak pernah tanya hati dan perasaannya dulu sebelum mengambil Adam sebagai menantu.

“Hawa..maafkan mama. Tak sangka begini kesudahan rumah tangga kamu.”

Entah buat ke berapa kali ibunya memohon maaf. Hawa senyum. Bukan salah ibunya. Setiap ibu inginkan kebahagiaan untuk anaknya. Cuma setiap manusia tidak boleh meramal masa akan datang. Adakah sama seperti hari ini, atau lebih baik dari semalam. Itu semua kerja Tuhan. Manusia hanya merancang yang terbaik.

“Mama..bukan salah mama. Bukan juga salah Hawa.”

Datin Robiah senyum tapi hambar.

Hawa pandang Alisha yang manja atas riba neneknya. Alisha galak menepuk meja. Anak sekecil itu hanya tahu seronok. Bermain. Bergurau. Menangis. ..

“Jadi..sekarang macam mana?”

Hawa pandang pula ibunya.

“Mama..Hawa tak akan balik lagi ke rumah tu. Rumah tu sudah seperti neraka. Esok, Hawa akan memohon cerai di mahkamah.”

Datin Robiah hanya diam. Perasaan bersalah masih menebal. Tidak sangka pilihannya sendiri membuat onar begitu. Dia sendiri tidak percaya. Berbuih mulut Hawa bercerita tapi semuanya dianggap seperti angin yang membawa cerita palsu. Cerita yang tidak masuk akal.

“Hawa dah fikir masak-masak?”

Hawa angguk. “Hawa dah nekad!”

Kopi panas dihirup perlahan. Alisha masih menepuk meja sambil tersenyum. Alisha satu-satunya zuriat yang ada. Kenangan melahirkan Alisha seorang diri. Menahan sakit seorang diri. Semuanya masih segar di ingatan. Kenangan bersama Adam pula terasa seperti sembilu tajam. Pedih! Wajah kacak Adam ternyata palsu. Palsu segala-galanya. Nyata Hawa tidak boleh terima Adam lagi.

*************

TIGA tahun yang lalu..

“Hawa, mama tak suka Hadi tu. Kerja apa yang dia ada! Hanya pegawai biasa. Apa yang dia boleh bagi nanti?” Datin Robiah jeling Hawa yang tunduk membisu di sofa.

Hawa dongak. “Mama..walaupun Hadi kerja biasa tapi dia padat dengan ilmu agama. Itu yang hawa cari dari calon suami Hawa.”

Datin Robiah berdiri depan Hawa yang masih duduk di sofa.

Hawa dongak lagi. Kali ini ibunya sudah bercekak pinggang. Drama mereka tak ubah seperti babak Ibu MertuaKu. Terasa diri berada pada watak Sabariah.

“Mama tak setuju! Tak ada lagi keturunan kita berkahwin dengan anak petani! Bulan depan Hawa akan dinikahkan dengan Adam. Anak Tan Sri S. Titik!”

Begitu tegas kata-kata Datin Robiah.

Hawa hanya mampu menangis. Memang dia tidak pernah kenal siapa Adam. Seminggu dia berkurung dalam bilik. Setiap kali lepas solat dia menadah memohon dilembutkan hati ibunya.

******************************

HAWA pandang Adam yang tersenyum padanya. Dia akui Adam memang kacak. Tinggi, putih, badan sasa. Semua lengkap. Persis seorang model kacak. Ada syarikat sendiri. Segala-galanya sempurna. Nyata pilihan ibunya cukup sempurna. Tiada cacat celanya.

“You Hawa kan?” Adam hulurkan tangan untuk bersalam.

Hawa hanya jeling. Salam tidak bersambut. Bukan dirinya untuk bersentuhan dengan bukan muhrim.

“Ok! Fine! So, you buat apa sekarang?” Adam masih tercegat di depan Hawa.

“Nothing to do with you!” Hawa malas layan.

“Hmm…ok!” Adam senyum. Dia pandang Hawa atas bawah. Gadis itu diamati. Baju kurung biru gelap dan bertudung biru muda. Huh! Kolot! Desis hatinya.

Hawa jeling lagi Adam yang merenungnya tidak berkelip. Faham dengan riak Adam begitu. Adam dikelilingi gadis-gadis seksi dan moden. Memang jauh beza gadis-gadis itu jika dibandingkan dengannya. Setiap kali Tan Sri S buat majlis, Adam begitu leka melayan gadis-gadis seksi itu dan juga kawan lelakinya yang dirasakan sepadan dengannya. Serasi dengannya. Rentak mereka sama. Adam ralit dengan teman-temannya. Namun tidak sedikit pun dia cemburu. Kalau boleh masa itu juga dia ingin meninggalkan tempat itu.

Adam mula pegang tangan Hawa bila melihat Datin Robiah melangkah ke arah Hawa. Senyum.

Datin Robiah bangga melihat Adam mudah bergaul dengan anaknya. Memang sudah kena dengan nama mereka berdua. Adam Hawa!

“So, It’s good.. to know each other.” Datin Robiah senyum lagi. Dia berlalu pergi.

Hawa hanya jeling ibunya yang tersenyum bangga dengan Adam. Adam kenyit mata padanya. Hawa pandang lain. Tangannya direntap kuat. Terasa sakit digenggam tiba-tiba oleh Adam tadi. Huh! Nak muntah!

Adam hulur segelas jus guava kepada Hawa. “Come on! Take this!”

Hawa masih diam kaku. Tidak berani dia mengambil minuman itu. Entah dadah apa yang dibubuh. Bukan boleh percaya. Nanti tak fasal aku terjaga kat bilik hotel! Tergadai body!

Adam hanya senyum. Dia meneguk jus itu sampai habis. “See? Nothing happen!”

Hawa tenung Adam. Adam seolah-olah dapat meneka apa yang ada dalam fikirannya sebentar tadi.

“Sooner or later, you will be mine!” Adam mula berlalu pergi sambil tersenyum.

SEBULAN berlalu. Hawa terpaksa mengikut kehendak ibunya. Dia selamat dinikahkan dengan Adam siang tadi. Dia pandang sekeliling. Ramai kawan Adam yang hadir. Lelaki perempuan, semuanya dengan perangai gila-gila. Bertepuk bertampar sesuka hati. Memang dia akui, yang perempuan cantik-cantik dan lelaki pula tampan lagak model iklan. Namun sedikit pun dia tidak bangga bila melihat perangai dan sikap begitu. Dia terus berkurung dalam bilik. Tidak kuasa melayan manusia hipokrit begitu.

Dan buat pertama kalinya dia berada di bilik itu, dia dapat merasakan satu perasaan takut. Mahu saja dia terjun dari tingkap rumah dua tingkat itu. Lari sejauh mungkin. Tidak seperti di Jabal Rahmah, Nabi Adam memohon doa bertahun untuk bertemu kembali dengan isterinya Hawa. Pertemuan yang begitu dinantikan. Padanya pula, biar Adam tidak bertemu dirinya, Hawa. Tapi itu hanya ilusi saja. Realitinya dia masih duduk termangu atas katil. Tudung masih tersarung indah di kepala. Dirinya kini seperti tidak keruan.

Jam di dinding sudah dua belas tengah malam. Dia ambil bantal dan terus tidur di sofa sebelah katil pengantin. Adam dan kawan-kawannya masih bersuka ria di bawah.

Entah bila dia terlelap bila tersedar bahunya disentuh seseorang. Dia genyeh mata. Adam sudah tersengih di depannya.

“Kenapa tidur kat sini?”

Hawa mula takut. Adam semakin dekat. “ Kau jangan rapat dengan aku!”

Adam senyum lagi. “Rapat? Buat apa I nak rapat?”

Secepat itu juga Adam tarik tangan Hawa. Dihempasnya Hawa kuat ke atas katil. Malam itu Hawa menangis semahunya. Dan bermula saat itulah kehidupannya berubah.

KINI Hawa dibawa tinggal bersama di sebuah banglo di Damansara Heights. Rumah besar tiga tingkat lengkap dengan perabot mewah dan orang gaji. Kehidupannya lengkap. Segala-galanya tersedia. Tukang masak, pemandu dan tukang kebun semua nya tersedia. Dirinya ditabur dengan wang ringgit. Namun hatinya pedih. Jiwanya terkurung.

“Kak Kiah, dah lama kerja sini?”Hawa pandang tukang masak.

Kak Kiah angguk. “Dah setahun, err..kenapa dengan lengan Cik Hawa?”

Cepat-cepat Hawa labuhkan lengan baju kurungnya yang terselak tadi. Dia mula tunduk. Menggelabah.

“Tak ada apa..semalam terjatuh dalam bilik air.”

Hawa terus ke bilik. Sakitnya masih terasa. Dia perhati dirinya sendiri di cermin besar. Perlahan dia selak kain baju kurungnya hingga menampakkan pahanya yang putih melepak. Sekali lagi dia menyapu ubat. Giginya diketap kuat menahan pedih. Itulah hadiah yang selalu dia dapat setiap kali Adam ingin bersamanya.

“Kau kejam Adam!” Hawa mengetap bibir.

Kini hidupnya terasa seperti seekor burung yang dikurung dalam sangkar emas. Tak boleh terbang sesuka hati. Sudah enam bulan dia hidup menderita begitu. Hari-hari yang dilalui terasa seperti hidup dalam sebuah penjara walaupun segala-galanya tersedia. Siang Adam bersikap biasa, sama seperti seorang suami yang lain, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Namun bila malam menjelma, sikap Adam akan berubah. Dia seperti singa lapar yang rakus menerkam mangsanya. Tidak pernah dia mengecap kasih sayang seorang suami.

“Sesungguhnya, apabila seorang suami memandang isterinya (dengan kasih & sayang) dan isterinya juga memandang suaminya (dengan kasih & sayang), maka Allah akan memandang keduanya dengan pandangan kasih & sayang. Dan apabila seorang suami memegang jemari isterinya (dengan kasih & sayang) maka berjatuhanlah dosa-dosa dari segala jemari keduanya”

(HR. Abu Sa’id)

Hawa menangis semahunya. Hingga terasa tiada lagi air mata yang tumpah. Diperhatikan lagi seluruh badannya. Berbirat, Sakitnya tuhan saja yang tahu. Namun dia takut pada Allah jika hak suami ditidakkan. Teringat satu hadis yang pernah dibacanya dulu..

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Hak suami atas isterinya (tanggungjawab isteri terhadap suaminya), bahawa isteri tidak boleh meninggalkan hamparan (tilam) suaminya, hendaklah menerima dengan baik pemberian suaminya, hendaklah taat pada perintah suaminya, tidak boleh keluar dari rumahnya kecuali dengan izin suaminya, dan tidak boleh membawa (membenarkan) orang yang dibenci oleh suaminya masuk ke dalam rumahnya.”

(riwayat Al-Tabrani)

Hawa menangis lagi. Dari dulu lagi dia mendambakan rumah tangga yang aman dan membina impian untuk menjadi seorang isteri yang boleh dibanggakan suami.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga."

(riwayat Abu Hurairah)

ADAM mula berubah bila mengetahui Hawa hamil tiga bulan. Dia tidak lagi seperti singa lapar. Hawa menarik nafas lega. Hidupnya mula terasa aman. Namun itu semua tidak lama. Adam mula mengulangi sikapnya. Hawa hanya mampu menangis bila diperlakukan begitu. Nyaris kandungannya hampir gugur. Nyata Adam bukan manusia!

Hawa mula tidur di bilik berasingan. Dia tidak mahu membahayakan anak dalam kandungannya. Dengan sikap Adam begitu, tidak mustahil dia akan kehilangan anaknya. Kali ini dia nekad.

“Kenapa you tidur bilik lain?” Sergah Adam.

“Adam..please..kali ini aku merayu. Kesian anak kita. Please..” Hawa merayu sambil menangis teresak-esak.

Sekali lagi Adam tarik tangan Hawa ke biliknya. Hawa meraung kesakitan.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Takutlah kepada Allah, di dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang ada disampingmu, barangsiapa tidak memerintahkan agar isterinya mengerjakan solat, dan mengerjakan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya.

HAWA lega. Anaknya selamat lahir ke dunia. Tiada cacat cela. Dia cium Alisha berkali-kali. Air matanya jatuh lagi. Dua bulan dia berpantang di rumah ibunya. Hidupnya terasa aman. Jiwanya mula tenang.

“Tulah..mama dah cakap. Adam tu baik orangnya. Segala-galanya tersedia. Hawa cuci kaki saja. Sekarang ni Hawa dah ada anak. Mama gembira sangat dapat cucu.”

Hawa pandang ibunya. Betapa ibunya begitu bangga dengan Adam. Tidak sampai hati dia beritahu ibunya tentang sikap Adam. Mati hidup semula ibunya tidak akan percaya. Luka-luka di badannya yang jelas kelihatan pun dikatanya dia sendiri sengaja menolak ajakan Adam. Sebab itu Adam beri pengajaran begitu. Air matanya tumpah lagi. Biarlah. Suatu hari nanti ibunya akan tahu juga siapa Adam sebenarnya.

Sepanjang dia berpantang, hanya beberapa kali saja Adam datang menjenguk mereka dua beranak. Sibuk katanya. Ah! Dia pun tidak kisah. Tak datang langsung pun tak apa. Sakit hati. Nyata Adam pandai berlakon depan ibunya. Dia berubah sekelip mata menjadi seorang suami penyayang. Lembut dengan isteri. Dengan lakonan itulah ibunya tidak pernah percaya kata-katanya. Adam dipuji melambung.

“Habis pantang nanti, Adam nak bawa Hawa balik semula ke rumah.” Adam senyum sambil memandang Datin Robiah di sebelah Hawa.

Hawa mula gementar. Bermakna hidupnya kembali ke alam neraka. Jelas di wajah Adam senyuman yang diukir hanya pura-pura. Terbayang pula tubuhnya yang akan menjadi mangsa Adam.

“Eloklah tu Adam. Tempat seorang isteri di sisi suami.” Datin Robiah senyum.

Hawa tunduk. Nyata ibunya begitu menyayangi Adam. Baginya Adam cukup sempurna sebagai seorang suami.

HAWA terpaksa mengikut kehendak Adam dan ibunya. Ibunya mula mengemas barang-barangnya. Petang itu mereka mula berkemas. Sejak pagi lagi, Datin Robiah mengharapkan Adam datang menjemput Hawa. Namun kelibat Adam tidak kelihatan. Datin Robiah terpaksa menyuruh pemandunya menghantar Hawa. Dia turut sama menemani Hawa sambil mendukung Alisha.

“Tak apa..Adam sibuk kat ofis tu agaknya.”

Hawa pandang ibunya yang masih mempertahankan Adam. Dari mula lagi, ibunya selalu menyebelahi Adam. Hawa mengeluh. Terasa dirinya pula seperti menantu dan Adam pula anak kandung Datin Robiah. Terkadang ingin saja dia menyuruh ibunya tinggal sekali dengannya di rumah neraka itu. Biar ibunya tahu siapa Adam sebenarnya. Ingin saja dia luahkan apa yang sebenarnya berlaku di rumah itu. Namun ternyata semuanya bagaikan tersekat di anak tekak. Orang gaji semuanya tidak berani angkat muka dengan Adam. Masing-masing kunci mulut.

Seminggu sekali Adam akan membawa kawan lelakinya bermalam di rumah itu. Setiap malam minggu, mereka akan menonton bersama di ruang tamu sehingga tertidur di situ. Itulah yang selalu Adam lakukan setiap hujung minggu. Kadang-kadang sampai penuh di ruang tamu dengan botol arak. Baunya sungguh meloyakan. Sepanjang dia menjadi isteri Adam, tidak pernah sekalipun dia melihat Adam solat. Bila diungkit, ringan saja penampar singgah di pipinya. Sejak itu dia tidak lagi menegur Adam. .

“You jangan nak memandai suruh itu ini!”

Hawa diam. Dia tidak berani bila melihat Adam mula menyinga begitu sedangkan masa Adam inginkannya pun dia sudah pucat muka.

“SENYAP je rumah ni. Adam kat ofis kut..” Datin Robiah mula melangkah masuk bersama Hawa.

Hawa tidak hiraukan kata-kata ibunya. Baginya Adam hanyalah seorang suami di atas sekeping kertas yang menghalalkan perhubungan antara Adam dan Hawa. Sama sepertinya…Adam…Hawa. Namun untuk menghormati Adam sebagai suami jauh sekali. Dulu masa mula-mula menerima lamaran Adam, dia nekad untuk menjadi seorang isteri yang taat pada suami dan cuba melupakan Hadi. Tapi ternyata Adam tidak layak untuk digelar suami apatah lagi dihormati.

“Apa yang bersepah ni?” Datin Robiah pandang sekitar ruang tamu.

Hawa hanya pandang sepi. Dia sudah biasa dengan pemandangan begitu. Kini giliran ibunya sendiri melihat dengan mata kepalanya sendiri keadaan rumah neraka itu.

“Mama..inilah yang Hawa lalui sepanjang Hawa berada di sini..” Hawa akhirnya bersuara.

Datin Robiah mula tidak selesa. Dia pandang lagi sekitar rumah. Alisha diletakkan dalam bilik atas yang sudah dihias indah dengan barangan mainan.

“Adam mana?”

Hawa hanya diam. Waktu begini Adam bukan ada di pejabat. Dia sudah hafal jadual harian Adam. Adam akan masuk ofis pukul sepuluh pagi. Tengah hari pula pulang ke rumah. Petang sambung semula ke ofis sampai pukul empat. Dia jeling jam di dinding. Sudah lima setengah petang.

Rumah besar itu ada enam buah bilik. Dua bilik di tingkat bawah. Tiga bilik di tingkat dua dan satu bilik di tingkat paling atas. Dia dan Adam tidur di bilik utama di tingkat dua. Bilik bawah, kak Kiah dan tukang kebun yang duduk di situ. Masih ada tiga bilik kosong.

“Mama..tidur sini ya malam ni.” Pujuk Hawa.

Dia sebenarnya tidak sanggup lagi tidur sebilik dengan Adam. Malam begitu gerun baginya.

“Hmm..baiklah. Malam ni mama tidur sini. Err..yang mana satu bilik mama?”

Hawa senyum. Lega. Akhirnya ibunya sudi bermalam di situ. Dia segera menarik tangan ibunya ke bilik kosong di tingkat dua.

“Ni bilik mama!” Hawa senyum.

Tombol pintu dipulas perlahan. Sebaik saja pintu terbuka, Hawa terkedu. Tergamam. Tidak sanggup melihat. Wajahnya dipalingkan ke arah lain. Dia pandang pula ibunya yang masih terdiam di situ. Mata ibunya terbuka luas. Mulutnya ternganga. Tidak percaya.

Hawa terus menarik tangan ibunya. Mereka terus masuk ke bilik utama. Pintu ditutup rapat. Datin Robiah hanya mengikut rentak Hawa.

Hawa mula mengeluarkan baju dalam almari dan dimasukkan ke dalam beg besar. Tidak sanggup lagi berada di situ.

“Hawa..betul ke apa yang mama nampak tadi?” Datin Robiah menepuk pipinya berkali-kali.

Hawa diam. Dia juga tidak sangka begitu keji sikap Adam. Jijik!

“Hawa! Cakap dengan mama! Alisha ni anak Hawa dengan siapa???” Datin Robiah mula curiga. Bahu Hawa digoncang kuat.

Hawa hanya mampu menangis. Sampai begitu sekali ibunya menuduh dirinya.

“Cakap Hawa!!”

“Mama! Alisha tu anak Hawa dengan Adam! Sampai hati mama tuduh Hawa curang!” Makin laju air mata Hawa menitis. Dalam keadaan begitu pun ibunya masih menyalahkan dirinya.

Datin Robiah mula keliru. “Kalau Adam macam tu..takkan dia ada nafsu nak sentuh Hawa!”

Hawa tidak menghiraukan kata-kata ibunya. Tangannya laju mengeluarkan semua baju dari almari. Segugus kain jatuh berselerak atas lantai. Dia pandang ibunya yang duduk di birai katil.

Datin Robiah melangkah perlahan ke arah Hawa. Dia mengambil baju yang berselerak atas lantai. Satu persatu baju itu diamati.

“Hawa..kenapa semuanya koyak sampai macam ni sekali?” Datin Robiah bingung.

Hawa masih tidak menghiraukan kata-kata ibunya. Dia cepat-cepat mengemas.

“Hawa! Bagi tahu mama!”

“Kalau mama nak tahu..itulah yang selalu terjadi bila Adam ingin bersama Hawa. Hawa dilayan dengan kasar mama!” Hawa mula menangis. Dia duduk semula di birai katil sambil menekup muka.

“Ya Allah! Jadi selama ini..Hawa..” Kata-kata Datin Robiah terhenti. Dia beristighfar panjang.

Hawa masih menangis. Biarlah ibunya tahu. Kali ini dia tidak boleh berselindung lagi. Bukti sudah ada depan mata. Dan tadi…ibunya nampak sendiri kecurangan Adam. Kecurangan yang paling jijik!

Perlahan Datin Robiah mendekati Hawa. Lengan baju kurung Hawa diselak. Kain yang dipakai Hawa pula diselak. Dia menekup muka. Lama. Kesan lebam dan luka di merata tempat.

“Hawa..maafkan mama.”

**************

HAWA terkejut bila bahunya disentuh. Dia pandang ke arah ibunya yang masih meriba Alisha.

“Hawa..apa yang Hawa fikirkan. Lama termenung tadi.”

Hawa mula tersedar dari lamunan. Kini dia yakin dengan keputusannya. Adam bukan lagi suaminya! Sikap Adam nyata membunuh jiwanya. Selama ini dia boleh terima layanan kasar Adam terhadapnya tapi dia tak boleh terima nafsu songsang Adam, hatinya telah mati untuk Adam. Untuk semua lelaki!!

Nyata Adam bukan hanya bernafsu pada perempuan. Kejadian di bilik itu yang membuktikan segala-galanya kehidupan songsang Adam.

Selamat tinggal Adam. Hawa takkan bertemu Adam lagi.

-

-

-

-

Note: Semoga mendapat pengajaran dari kisah benar ini....



Mawaddah berjalan perlahan sambil mengheret basikal. Pulang dari sekolah tadi, tayar basikalnya pancit lagi. Terpaksa dia mengheret sejauh satu kilometer untuk sampai ke rumah. Beg sekolah diletak dalam bakul depan basikal.

Matahari memancar terik atas kepala. Mawaddah berjalan ke arah bahu jalan di bawah pohon kayu yang rendang. Terasa sejuk sedikit bila terkena hembusan angin yang sekali sekala menyapa. Kakinya sudah terasa lenguh. Sudah hampir dua puluh minit dia mengheret basikal. Tudung yang dipakai mula basah di tepi muka. Baju sekolah pula sudah mula basah dengan peluh yang semakin menitik dalam cuaca panas begitu.

Dia jeling ke arah kanan. Sebuah patung besar sedang baring di sebuah tokong siam tetapi bukan itu yang menarik perhatiannya. Selama ini jalan itulah yang selalu dilaluinya. Hari-hari dia melihat patung besar yang dalam keadaan berbaring. Kalau diukur, panjangnya mungkin seperti sebuah rumah panjang di Sarawak.

Mawaddah mula berhenti. Pokok-pokok yang menghijau dalam kawasan tokong siam itu cukup membuatkan dia kecur liur. Sudah musim ke??

Basikal disandarkan di tepi pagar simen yang mengelilingi kawasan tokong siam. Mawaddah terjenguk-jenguk melihat keadaan sekitar dalam kawasan tokong itu. Sekejap dia melompat bila terasa paras pagar itu sama paras dengan kepalanya. Terloncat-loncat Mawaddah menjenguk pokok-pokok yang lebat dengan buah.

“Sedapnya..” Mawaddah berkata sendiri.

Mawaddah mula melangkah ke arah pintu pagar yang terbuka luas. Dia melangkah perlahan memasuki kawasan tokong yang bersih tanpa sehelai daun gugur. Tanah berpasir di sekitar kawasan tokong cukup cantik.

“Hmm…mana tak bersihnya, hari-hari dia orang ni sapu!” Mawaddah senyum sendiri. Memang setiap pagi dia nampak Sami-sami di situ selalu menyapu daun-daun yang gugur.

Kakinya semakin galak melangkah ke arah sebatang pokok yang begitu rendang dan lebat dengan buah. Mawaddah mendongak melihat buah-buah yang bergayut di hujung dahan. Bulat-bulat! Sekali lagi dia menelan liur. Terasa air liur sudah meleleh keluar.

“Sawadikaa…”

Mawaddah terperanjat. Dia segera menyorok di belakang pokok. Perlahan kepalanya dihulur keluar,melihat siapa yang menegurnya tadi. Kelihatan seorang lelaki muda berpakaian seperti tok sami berwarna jingga sedang tersenyum kepadanya. Kepalanya botak.

“Sawadikaa..” Sekali lagi sami muda itu menyusun sepuluh jarinya sambil tunduk.

Mawaddah segera keluar dari belakang pokok dan berdiri di depan sami muda itu. Dia perhatikan lelaki muda itu yang masih tersenyum kepadanya.

“Hmm..macam sebaya je dengan aku..dah jadi sami budak ni??” Mawaddah berfikir sendiri.

“Sawadikaa..awok nok gapo?” Sami muda itu mula bersuara loghat Kelantan pelat Siam.

“Err…saya nak ambik buah tu..boleh?” Tergagap-gagap Mawaddah menjawab sambil menuding ke arah pokok.

“Ooo..buoh tu..Dai..dai..tapi putik(muda) lagi. Mase (masam) lagi.” Sami muda itu pandang buah yang terjuntai di dahan pokok.

“Tak po..sayo suko make (makan) hok(yang) putik(muda)!” Mawaddah sengih, cuba bercakap loghat Kelantan.

“Err.. dai tu apa?” Mawaddah mula tak faham.

“Dai tu..maknonyo..bulih! Medai pulok ..tok bulih!” Sami muda itu senyum lagi.

“ooo..hihihi”Mawaddah sengih lagi. Hari ini dia belajar dua patah perkataan Siam.

Sejak keluarganya berpindah ke situ, banyak perkataan yang dia belajar tapi masih belum fasih.

Sami muda itu senyum. Dia segera mengambil galah panjang dan menjolok buah yang melekat atas dahan. Ada yang berangkai, satu tangkai sampai ada lima biji. Mawaddah segera mengutip buah yang jatuh ke tanah. Tidak susah untuk mencari sebab kawasan di sekitar pokok itu bersih. Tiada rumput. Hanya pasir putih yang landai. Dia senyum.

“Cukop ko?”Sami muda itu pandang Mawaddah yang beria mengutip buah yang jatuh.

Mawaddah angguk.“Timo kasih deh!”

Sami muda itu senyum lagi. “Awok ni buke (bukan) oghe (orang) sini ko?”

Mawaddah terasa malu bila sami muda itu perasan lidah pelatnya yang bercakap slang Kelantan.

“Err..sapo namo awok?” Mawaddah letak semua buah yang dikutip tadi dalam baju yang diangkat membentuk sebuah bakul.

“Sayo Phat! Awok?”

“Sayo Mawaddah..panggil Awa.”Mawaddah senyum.

Phat mula mencari plastik bila melihat Mawaddah menggunakan hujung baju sekolahnya untuk menampung buah tadi.

“Timo kasih deh!” Mawaddah senyum lagi.

********************

MAWADDAH senyum. Hari itu dia gembira mendapat lima biji buah pauh yang bulat-bulat. Sampai saja di rumah, selepas solat Zuhur, dia segera mengupas buah pauh. Dapat satu pinggan besar. Dia segera makan sambil cicah dengan kicap yang digaulkan dengan garam, gula, belacan dan cili padi.

“Awa..tak nak makan nasi ke? Pedih perut tu nanti..” Puan Zaharah geleng bila melihat anak daranya mengadap buah pauh muda dengan begitu selera.

“Lepas ni lah mak..Awa nak habiskan buah ni dulu!”Mawaddah senyum. Sudah tiga biji dia bedal.

“Eh..mana Awa dapat buah ni? Awa curi eh?” Tiba-tiba Iqbal muncul di dapur.

Iqbal abang sulung Mawaddah yang hanya tua tiga tahun dan juga bersekolah di tempat yang sama dengannya.

“Mana ada? Tak baik tau tuduh Awa macam tu! Pauh ni budak sami tu yang bagi!” Mawaddah kupas lagi sebiji.

“Hah! Sami! Kau biar betul Awa!”Iqbal luku kepala adiknya.

“Kenapa? Tak boleh ke?”Mawaddah gosok kepala yang terasa sakit.

“Mak..tengok Awa ni! Tak malu minta dengan orang! Sami pulak tu!”Iqbal mula marah-marah.

“Dahlah tu…bukannya dia curi. Tak salah makan buah tu walaupun dari Sami. Bukannya dia jampi apa ke!”Puan Zaharah cuba memujuk Mawaddah.

Mawaddah senyum. Dia jelir ke arah abangnya. Nyata mak menyokongnya seratus peratus.

*************************

HARI-HARI bila balik dari sekolah Mawaddah akan singgah di pangkin dalam kawasan tokong siam itu sambil menikmati buah pauh muda bersama Phat. Phat pula senang berkawan dengan Mawaddah.

Dari cerita Phat, rupanya Phat adalah seorang anak yatim piatu yang dibela oleh Tok Sami di situ sejak dia berumur tiga tahun lagi. Sejak itu, Phat dilatih sebagai seorang sami yang menjaga kawasan tokong siam di situ.

“Awok kenal ko mok ayoh awok?” Mawaddah pandang Phat sambil mengunyah pauh muda.

“Dok kenal..tapi sayo ado gambar !”Phat keluarkan sekeping gambar dari simpulan hujung baju sami yang dipakainya.

Mawaddah ambil foto dari tangan Phat. Lama dia merenung gambar itu. Sepasang suami isteri bersama seorang anak kecil di pangkuan si isteri.

“Eh! Ado tulisan kat belake (belakang) gambar ni!” Mawaddah baca tulisan di belakang gambar.

Nama Ayah: Eh Dau a/l Eh Put

Nama Ibu: Mek Pla a/p Eh Dong

Nama Anak: Phat a/l Eh Dau

“Bakpo (kenapa) namo awok tak dok Eh kat depan?”Mawaddah garu kepala.

Phat sengih sambil mengusap kepalanya yang botak. “Tok tahu la sayo!”

Mawaddah dan Phat sama-sama ketawa.

*************************

SEJAK itu Mawaddah dan Phat berkawan baik sehinggalah Mawaddah menamatkan persekolahannya. Sebaik tamat SPM, Mawaddah sempat memberi hadiah kepada Phat . Mereka berdua hanya berjumpa di pangkin dalam kawasan tokong siam itu saja. Ada dua tiga orang toksami yang menjaga tokong itu.

“Phat, nanti aku keno pindoh doh! Keluarga aku pindoh ke KL.” Mawaddah berkata dengan nada sedih.

“Pindoh? Hmm…yo la..awok tu pandai! Sayo ni tak dok pelajaran.” Phat mula merasa rendah diri.

“Phat..awok janganlah kato gitu..awok pandai sebenarnya..”Mawaddah pandang Phat yang mula sugul.

“Awok..sayo tengok awok ni cerio sokmo. Ado rahsio ko?” Phat mula ubah topik bila terasa dia tidak setanding Mawaddah.

“Ceria? Hahahaha!!” Mawaddah mula ketawa.

“Yo la…sayo tengok awok ni sengih sokmo. Senyum dua puluh empat jam!”Phat senyum.

“Oo..tak dok rahsio gapo ehh..sayo tok pernah tinggal solat. Isnin Khamis pulok poso sunat! Kalu ado pitih lebih, sayo sedekoh! Banyak bulih pahalo! Hati pun tenang!” Mawaddah senyum sambil melihat reaksi Phat. Terkial-kial dia bercakap slang Kelantan. Jauh di sudut hatinya ingin melihat Phat memeluk Islam. Sama-sama menghayati keindahan Islam. Ah! Bahagianya jika ianya benar-benar menjadi kenyataan.

“Ooo…” Phat tunduk.

Mawaddah minta diri dan mengucapkan salam terkahir kepada Phat, sahabat yang tidak akan pernah dilupakan. Sekeping kertas dan senaskhah terjemahan Al Quran dihulur kepada Phat.

“Awok baco maso sayo pindoh nanti deh!”Mawaddah melompat dari pangkin dan terus mengayuh basikal.

Phat hanya memerhati Mawaddah berlalu pergi. Entah kenapa bila berbual dengan gadis yang sebaya dengannya itu cukup menghiburkan hatinya. Hatinya mula tenang melihat wajah mulus Mawaddah dan tenang mendengar setiap tutur kata lembut gadis itu.

*********************

DUA tahun berlalu. Mawaddah masih menyimpan semua surat yang dihantar Phat kepadanya. Boleh dikatakan setiap bulan Phat akan menitip surat kepadanya menceritakan kisah hidupnya di Kelantan. Tetapi sejak ke belakangan ini Phat sudah jarang menulis. Kadang-kadang tiga bulan sekali baru dia terima surat dari Phat.

“Mungkin dia sibuk…tak apalah..”Mawaddah simpan semua surat Phat di dalam kotak dan disimpan bawah katil.

Dia baring di katil sambil memandang siling. Fikirannya menerawang jauh ke zaman sekolahnya di sebuah pekan kecil di bandar Tumpat. Di situlah juga dia berkenalan dengan Phat secara tak sengaja. Pemuda siam yang sangat ramah dan baik hati. Walaupun rupanya tidak berapa kacak tapi cukup untuk meruntun jiwa bila mendengar setiap tutur kata. Kulitnya yang sawa matang lebih menyerlahkan lagi kelelakian pemuda itu.

“Kenapa dengan aku ni?? Asyik fikir Phat je..mana boleh..dia Buddha, aku Islam..tak mungkin…”Mawaddah luku kepalanya sendiri.

Dia terus matikan suis lampu dan mula pejam mata.

KINI sudah empat tahun lebih dia belajar di UM, selama itulah dia tak pernah lupa pada Phat. Entah kenapa dia tidak dapat melupakan Sami muda itu. Dalam surat, dia selalu menulis kisah-kisah nabi untuk menghiburkan sami muda itu. Biar Phat tahu kebenaran al Quran. Setiap kali lepas solat, Mawaddah tidak pernah putus berdoa semoga Allah buka pintu hati Phat untuk menerima Islam.

“Awa..kenapa kau tolak cinta Sufian?” Ani teman sebilik di asrama menegur.

“Sufian?” Mawaddah mula teringat Sufian pelajar jurusan Kejuruteraan yang sering kirim salam padanya.

“Ya! Dia cintakan kau setengah mati tau tak..kau pulak buat tak tau je..” Ani duduk bersila atas katil Mawaddah.

“Maaf la..aku tak ada hati nak bercinta sekarang ni..” Mawaddah berkata tanpa nada perasaan.

“Sufian tu handsome tau tak. Ramai siswi kat U ni nak jadi steady dia. Kau pulak..nak jauhkan diri. Kenapa?” Ani seperti tidak puas hati dengan sikap Mawaddah.

“Bukan ke dia tu kaki perempuan?” Mawaddah pandang Ani dengan muka berkerut.

“Kaki perempuan?..hmm..ala..lelaki ni walaupun kaki perempuan tapi bila bab nak cari isteri, dia akan cari yang solehah!” Ani sengih.

“Huh! Tahu pun! Kalau dah tahu nak cari perempuan solehah..jadikanlah diri sendiri tu soleh dulu!” Mawaddah cukup tidak setuju dengan ayat yang keluar dari mulut Ani tadi.

“Dahlah..pening otak aku kalau bercakap dengan kau ni!”Ani mula tidur di katilnya.

Mawaddah hanya pandang Ani yang mula berdengkur. Dia tatap lagi surat dari Phat. Surat yang baru diterima setelah hampir empat bulan Phat menyepi.

“Hmm…rahsia apa pulak yang dia nak bagi tahu kat aku ni..” Mawaddah perhatikan betul-betul ayat demi ayat dalam surat itu.

*************************

SUDAH hampir empat bulan Phat tidakmengutus surat. Surat itu dilipat kemas. Surat yang baru dua hari lepas di terima dari Phat. Kali ini berlainan benar isi surat yang dikirim.

“Phat nak jumpa aku? Biar betul? Tahu ke dia datang ke KL ni..”Mawaddah mula berfikir sendiri.

Seingatnya sudah hampir lima tahun dia tidak berjumpa Phat. Bagaimana agaknya rupa Phat sekarang ini. Dalam setiap suratnya, Phat tidak pernah sertakan gambar. Mawaddah mula tertanya-tanya.

Surat dimasukkan ke dalam poket jubah berwarna ungu gelap. Sesekali dia memandang keluar pintu utama. Kelihatan ramai pengunjung yang datang bersama keluarga masing-masing di hari minggu begitu. Mawaddah mula gementar. Phat sudah berjanji dengannya untuk berjumpa di situ. Buat pertama kalinya selepas hampir lima tahun tidak bersua. Kedua tangannya dirasakan sudah sejuk. Jantungnya mula berdegup kencang.

“Ya Allah! kau berilah kepadaku kekuatan! Jika dia benar untukku, maka dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku, damaikanlah hatiku dengan ketentuanMu! ”Mawaddah mula menadah tangan dan meraup muka.

Dia menanti dengan penuh sabar pemuda yang mula menapak dalam hatinya. Dia pasrah sekiranya Phat tidak membalas perasaannya kerana dia sedar mereka berlainan fahaman.

“Assalamualaikum!”

Mawaddah dongak. Seorang pemuda tersenyum manis kepadanya. Pemuda itu segak dalam jubah putih dan berketayap. Jelas wajah bersihnya terserlah. Begitu mendamaikan.

“Wa…wa’alaikumussalam..”Mawaddah tersentak. Matanya digenyeh berkali-kali. Tidak percaya. Phat bagi salam??

“Awa..apa khabar?”Phat mula duduk berhadapan dengan Mawaddah di sebuah meja makan di sebuah restoran di Bangsar.

“Ba..baik.Awak..Phat ke?”Mawaddah sudah pening. Dia keliru. Tiada lagi loghat Kelantan Siam dari mulut Phat. Phat sudah fasih berbahasa Melayu.

Phat angguk.

“Nama Islam saya Muhamad Phat Abdullah.” Phat senyum lagi.

Mereka berpandangan seketika. Tanpa sedar, air mata Mawaddah tumpah.

“Ya Allah! Syukur kepadaMu. Akhirnya doakan dimakbulkan! Amin..”Mawaddah menadah tangan sekali lagi sambil meraup muka.

“Saya tahu..awak selalu berdoa supaya saya diberi hidayah oleh Allah, kan?” Phat senyum lebar.

Mawaddah senyum. Dia mula tunduk.

Sekali lagi Phat bercerita kisah hidupnya. Kali ini penghijrahannya kepada agama Islam. Perjalanan hidupnya menempuh kepayahan mencari ilmu Allah. Dia dihalau oleh ayah angkatnya di tokong siam itu. Tiada tempat berpaut, dia kemudian membawa diri ke sebuah masjid di pekan Tak Bai di selatan Thailand. Dari situ, dia menjaga masjid dan menjadi bilal. Makan minumnya hanya simpati dari jemaah masjid. Namun, kehidupannya tidak lama di situ setelah ada serangan hendap dari puak militan yang berperang. Dia melarikan diri ke sebuah kampung di daerah Pattani. Di situlah dia mula berjinak dengan pelajar pondok. Dia belajar semua ilmu agama di situ sehingga berjaya menjadi seorang hafiz dan diberi tawaran melanjutkan pelajaran ke Jordan. Dan kini dia salah seorang tenaga pengajar di masjid Bangsar.

Mawaddah mendengar penuh khusyuk. Semua cerita dalam suratnya berlainan dari apa yang diceritakan tadi. Kandungan surat Phat hanya berkisar kisah hidupnya sebagai seorang penganut agama Buddha dan kajiannya ke atas agama lain termasuk Islam. Tidak ada tanda yang Phat memeluk Islam dan melalui keperitan hidup begitu.

“Ni..saya ada bawa buah pauh muda kegemaran awak.”Phat hulur sebungkus beg plastik.

Mawaddah senyum. “Awak masih ingat?”

Phat angguk. Kerana masam pauh muda itulah dia ditemukan dengan Mawaddah dan jalan kebenaran dari gadis kecil molek itu.

“Saya datang ke sini bersama satu hajat. Itu pun jika awak sudi.”Phat pandang lagi Mawaddah yang cantik dalam jubah ungu gelap dan tudung putih. Cukup untuk menyerlahkan wajah ayu Mawaddah.

“A..apa dia?”Mawaddah mula pandang Phat.

“Saya ingin mengambil awak sebagai isteri saya. Saya tak ada sesiapa di dunia ni. Kalau awak setuju, minggu depan saya hantar rombongan meminang. “ Phat masih menunggu kata-kata Mawaddah bila melihat Mawaddah hanya diam mendengar kata-katanya.

Mawaddah tulis sesuatu di atas kertas dan dihulur kepada Phat. Dia terus minta diri dan berlalu pergi.

Phat senyum melihat tulisan di atas kertas itu.

‘Saya sudah lama tunggu awak’

************************

KINI Mawaddah sah menjadi tunang Phat. Mereka hanya bertunang tiga bulan saja. Bulan depan, mereka berdua bakal disatukan.Dia bersyukur kerana orang tuanya terima Phat seadanya.

Malam itu, Mawaddah tidur dengan senyuman lebar. Sebulan lagi dia akan sah bergelar isteri Phat.

**********

“Abang..kenapa pauh ni manis? Bukan ke masih muda?” Mawaddah makan lagi buah pauh. Pelik.

Phat hanya senyum melihat isterinya begitu berselera makan buah pauh muda.

“Abang…kenapa abang senyum je..pelik la..Awa suka pauh yang masam. Kenapa pauh ni manis?” Mawaddah mula tidak faham.

“Awa..kadang-kadang buah yang kita sangka masam tak selalunya masam. Ada masanya ia boleh jadi manis. Macam hubungan kita, bermula sebiji pauh yang masam, lama-lama rasa masam itu tak terasa lagi..hanya manis yang melekat di lidah. itulah Kuasa Allah.” Phat menutur lembut.

“Tapi bang..selalunya pauh muda masam..” Mawaddah cuba pegang tangan Phat.

Phat semakin menjauhkan diri.

“Abang….Awa nak pauh masam!” Mawaddah mengejar Phat yang semakin jauh.

“Biarlah pauh itu manis..kerana masamnya pauh itu boleh menjauhkan hubungan kita. Biarlah pauh itu manis..kita boleh bersatu di syurga nanti..”

Kelibat Phat mula hilang ditelan kabus putih.

“Abang! Jangan tinggalkan Awa!!Abang!!”

****************

“AWA! Bangun nak!”

Mawaddah tersedar dari tidur. Seluruh tubuhnya berpeluh. Dia pandang di sebelah. Kelihatan ibunya sudah tercegat di situ.

“Tu la..mak dah pesan. Baca tiga Qul dulu sebelum tidur, ni tidak..basuh kaki pun tidak!” Puan Zaharah mula membebel. Di terus berlalu pergi setelah Mawaddah pergi ke bilik air mengambil wuduk.

Sejak mimpi itu Mawaddah mula tidak sedap hati. Hanya tinggal dua hari lagi dia akan disatukan dengan Phat.

‘Ya Allah, selamatkanlah Phat. Biarlah kami selamat diijabkabulkan.”

*****************

KINI tiba hari bahagia yang dinanti-nantikan. Phat dan Mawaddah selamat diijabkabulkan oleh ayah Mawaddah sendiri. Manakala Phat pula diwakili oleh rakan-rakan dari masjid dan juga teman satu kuliah dari pondok.

Seharian mereka melayan tetamu yang datang. Mawaddah senyum. Nyata Phat sungguh gembira dikelilingi sanak saudara. Selama ini dia tidak pernah merasa kebahagiaan hidup dalam satu keluarga yang besar.

“Awa…abang sangat bahagia. Awa sudi terima abang sebagai suami.” Phat peluk Mawaddah dengan erat.

Mawaddah hanya senyum. Tika ini tiada ucapan yang mampu diluahkan. Kasihnya terhadap Phat sudah lama bertapak. Kerana pauh, hatinya terpaut.

“Awa..esok abang kena menghadiri satu ceramah di Gombak. Awa nak ikut tak?” Phat cium pipi Mawaddah.

“Tak apalah bang..Awa tolong mak mengemas rumah. Abang bermalam kat sana ke?” Mawaddah dongak. Ketinggiannya hanya setakat paras bahu Phat.

“Malam esok abang balik. “ Phat senyum.

Lampu ditutup.

********************

“AWA..ni ada panggilan telefon.” Puan Zaharah menghulurkan telefon bimbit Mawaddah yang tertinggal di ruang tamu.

“Assalamualaikum!”

Mawaddah senyum bila melihat nama Phat di skrin

“Err..awak Mawaddah ke?” Satu suara asing bersuara di hujung talian.

“Ya, saya…mana Phat? Awak siapa?” Mawaddah mula keliru.

“Maaf, harap cik Mawaddah bersabar. Phat kemalangan tadi. Dia meninggal di tempat kejadian. Cik Mawaddah boleh tuntut mayat di bilik mayat PPUM.”

Talian putus.

Mawaddah kelu. Telefon bimbitnya jatuh ke lantai. Air matanya seolah tersekat di kelopak mata. Mimpinya benar-benar menjadi kenyataan. Dia jeling pauh yang sempat dibeli oleh Phat sebelum bertolak pergi. Sebiji pauh muda diambil dan mula mengupas. Kini hanya ada rasa masam. Manisnya sudah hilang.

Perlahan dia melangkah ke bilik air dan mengambil wuduk. Sejadah dibentang. Selesai solat Isyak, dia menadah tangan.

‘Ya Allah! Kau tempatkanlah suamiku di kalangan orang yang beriman…”


Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini