rss

Jari jemarinya menggeletar menahan sejuk dan dingin yang merembes. Ada titis-titis air di hujung rambut, jatuh lalu mengelungsur laju ke lehernya yang tebal dengan daging. Tangannya yang basah, di sapukan ke baju, walaupun tidak berhasil mengeringkan keseluruhannya. Dia mengambil kotak rokok yang tersorok dalam beg galas, dan membakar sebatang barah dunia demi cuba menghangatkan tubuhnya yang hampir membeku ditelan dingin hujan.

Air dari langit tidak henti-henti turun membasah tanah. Tidak terlalu lebat, tapi terus menerus tidak henti-henti mengalir air. Awan berteriak semahunya seperti belum mampu untuk mengunci bibirnya sendiri.

Dia bersandar di sebatang tiang yang tidak jauh dari sebuah restoran. Berteduh di situ dan merehatkan tulang belakangnya di persandaran yang molek adalah pilihan yang tepat dalam keletihan yang merasukkan itu. Dan sebelum rokok di jarinya sempat membakar ke puntung, dia melihat Azrul sedang berjalan laju-laju sambil menutup kepala dengan tapak tangannya.

Dia memanggil Azrul berkali-kali, dan langkahnya besar mengejar rakannya yang masih tercari-cari dari mana suara itu terhasil. Lima puluh langkah kaki yang meraih syukur dari nikmat-Nya, mereka sama-sama bersalam dalam keriuhan hujan dan berjalan perlahan pula masuk ke restoran yang agak ramai dengan manusia-manusia, seperti mereka.

Seorang lelaki berkulit gelap dengan tangannya terisi sebatang pen dan sehelai kertas berwarna kuning datang menghampiri mereka dengan wajah yang tenang. Sesekali lelaki berkulit gelap itu tersenyum dan menggosok kumisnya yang halus, anak matanya akan dibesarkan sedikit dan jelas nyatanya kita akan merasai mesranya ramah lelaki itu.

"Teh tarik," kata Azrul.

"Sama," ujarnya, seorang lelaki yang lebih muda dari Azrul, dan masih seorang manusia yang sangat kecundang dalam hidupnya, Akif.

"Sama?" lelaki berkulit gelap itu bertanya lagi.

"Ya. Teh tarik," dan selepas menulis sesuatu di atas kertas berwarna kuningnya, lelaki berkulit gelap itu melangkah pergi ke dapur dan meletakkan kertas kecil yang dipegangnya sebentar tadi di depan seorang pembancuh air yang juga gelap kulitnya. Mungkin dari peristiwa kehidupan yang sama.

Akif memandang Azrul, dan memulakan perbualan mereka. Seperti petang-petang sebelumnya, mereka bercerita tentang apa yang terjadi pada hari-hari mereka itu. Akif bercerita tentang masaalah-masaalahnya sebagai remaja yang tak pernah sudah. Tentang perasaan jiwanya yang tak pernah merasa senang hidup di dunia dengan tohmahan-tohmahan manusia. Tentang parasit-parasit yang hanya tahu menghisap hasil dari setiap titik peluh dari setiap hasil kerja buruh.

Azrul pula hanya akan mendengar. Meneliti setiap butir kata yang terpancul terus dari bibir jujur Akif. Merasai setiap getar nada suara Akif yang kadang-kadang terhambur gelak tawa dan teransur sedih duka. Dan apabila sudah sampai waktunya Akif berhenti dari berbicara, Azrul akan menyenangkan duduknya, dan mula bercerita pula bagi menyapu garam di luka Akif dan menarik mereka berdua ke dalam dunia yang lebih istimewa.

Petang itu, mereka berbicara lagi, bercerita lagi, dan berbual lagi. Kadang-kala, suara mereka terlalu rendah sehingga bunyi air hujan menghempas ke bumbung zink lebih kuat dan lebih bernyawa. Dan kadang-kala pula, suara mereka meletup dengan segala ceria sehingga pelanggan-pelanggan di sekeliling mereka memandang dengan penuh rasa curiga. Tapi mereka, Akif dan Azrul, masih tetap di situ, untuk menggembirakan jiwa-jiwa yang sengsara.

"Aku ingat nak pergi Kinabalu, bulan depan," kata Azrul.

"Baguslah. Dengan siapa?" tanya Akif.

"Tu lah. Tak tahu lagi. Aku ingat nak ajak Aida,"

"Pergh. Bahaya kau ni," kata Akif dengan kerut-kerut di dahinya.

"Apa pasal?"

"Nanti keluar video lucah kau dengan Aida nanti," balas Akif. Dia dan Azrul sama-sama menghempas anak tekak dan melepas ketawa. Orang di sekeliling memandang mereka berdua dengan anak mata yang dikecilkan. Akif memandang Azrul, menahan ketawa, dan meletakkan jari telunjuknya di bibirnya sendiri sambil mengarah anak matanya ke arah pelanggan-pelanggan lain.

"Alaaa. Biar lah. Kita pun boleh gelak juga. Dia orang pun boleh gelak dan aku tak akan marah dia orang pun kalau nak buat bising. Sebab masing-masing ada hak," kata Azrul sambil masih berbaki gelak-gelaknya di hujung perkataan.

"Kita ada hak untuk gelak, beb," balas Akif pula, juga seperti Azrul, masih ketawa dengan perlahan.

"Tapi ada juga hak kita dah habis di mamah kuasa," Akif membilang lagi.

"Kalau kau ada kuasa, semua benda kau boleh buat," Azrul bersuara pula.

"Kalau aku ada kuasa, aku nak bom orang sesuka hati. Bukannya aku kena tangkap pun. Sebab aku ada kuasa. Ada duit," Akif berseloroh, sarkastik. Mereka berdua ketawa lagi, dengan jenaka sendiri. Tapi, kali ini lebih perlahan kerana masih ada pelanggan yang memandang-mandang mereka berdua.

Tiba-tiba, Akif diam. Matanya sedikit mengecil, seperti sedang memikirkan sesuatu. Azrul yang perasan akan perubahan pada Akif itu segera menegur.

"Kif. Asal?"

"Deja vu,"

"Ha? Deja vu?"

"A,ah. Deja vu. Aku rasa macam aku pernah lalui benda ni. Kau gelak, aku gelak, dan mamak tadi tu lalu belakang kau, makcik sebelah sana pandang-pandang kita, aku rasa macam aku pernah lalui benda ni,"

"Ohhh ya lah. Kau pernah mimpi benda tu kot. Fenomena tu orang panggil deja vu lah,"

"A,ah deja vu. Kau pernah rasa?" tanya Akif kepada Azrul.

"Alaaa. Banyak kali dah. Bila aku rasa deja vu, aku rasa macam aku bukan berada dekat dalam dunia realiti. Tiba-tiba rasa lain,"

"A,ah. Sama lah. Rasa macam, aneh sikit. Pelik sikit. Hehe," kata Akif. Dan selepas itu, dia menyambung kata-katanya lagi.

"Kadang-kadang bila dah fikir terlampau jauh tentang benda yang kita rasa kita dah alami tu, rasa takut pun ada. Takut macam, lepas-lepas tu, ada benda buruk atau benda baik yang berlaku,"

"Itu takpa lagi," kata Azrul, "aku lagi takut dengan realiti yang ilusi,"

"Macamana tu? Aku tak faham," tanya Akif.

"Kau tahu realiti tak?" tanya Azrul kepada Akif semula.

"Tahu. Realiti, yang sedang kita hadapi sekarang,"

"Betul. Kalau ilusi?"

"Ilusi, benda yang di luar kawalan minda kita. Yang hanya seseorang yang berilusi itu saja yang tahu akan apa yang dia ilusi-kan,"

"Haa. Lebih kurang gitu lah," kata Azrul. Dan selepas itu, dia menambah lagi ;

"Kau faham tak, ilusi dalam realiti?"

"Erk. Macamana tu? Bagi contoh," kata Akif, dan menghirup teh tariknya yang masih penuh di dalam gelas.

"Ok macam ni," Azrul memulakan kata-kata. "Dulu, aku pernah hisap ganja dekat asrama. Bila dah high, aku langsung lupa semua benda. Aku lupa apa aku buat, aku lupa mana aku lalu. Aku lupa apa aku cakap. Tapi, yang aku ingat, tapi kabur-kabur, aku rasa, aku ada main bola petang tu. Lepas tu, aku jatuh pengsan. Dan orang ramai angkat aku, baringkan aku kat tepi. Dan bila aku dah terjaga dari 'high' aku, aku tanya sorang kawan aku - ada tak aku main bola petang tu. Dan dia kata - tak. Tapi, aku rasa benda tu betul-betul berlaku. Itu adalah ilusi. Dan ilusi dalam realiti tu pula, macam..," Azrul meletupkan ke semua jari-jemarinya, dan menyambung,

"Ilusi dalam realiti tu macam, kau macam ingat kau tengah buat sesuatu perkara. Tapi, sebenarnya, tak. Lebih kurang macam ilusi. Tapi, sebagai contoh yang lain ; kau macam tengah jalan di satu tempat, dan kau terasa macam kau ada kutip sampah kat tepi jalan tu. Tapi, sebenarnya, tak. Kau tak kutip pun sampah tu. Tapi kau rasa macam kau ada kutip. Tapi, sebenarnya tak. Ha. Faham tak?"

"Ok. Aku faham sikit," balas Akif, ringkas.

"Dan aku selalu takut, aku selalu bimbang, aku selalu risau, kalau-kalau apa yang aku tengah buat, atau apa yang aku tengah borak, adalah ilusi semata-mata di dalam realiti yang sedang aku jalankan. Macam sekarang ni, aku tengah borak dengan kau. Aku takut, kalau tiba-tiba, sebenarnya, aku tengah borak sorang-sorang. Dan sebenarnya, kau tak ada pun dekat depan aku," kata Azrul, lagi.

"Atau sebenarnya, kau tak pernah wujud," sambung Azrul lagi, perlahan.

"Azrul," Akif bersuara.

"Azrul, kau rasa, perbualan kita ni, realiti kita ni, benar-benar realiti, atau ilusi?"

Azrul diam. Dia memandang Akif. Anak mata Azrul menatap benar-benar dalam ke mata Akif. Dia tidak bereaksi apa-apa. Mukanya tidak tercarik apa-apa perasan. Dan sekejap pula selepas itu, Azrul tersenyum. Dia memandang Akif, tidak berkelip.

"Kau rasa?" kata Azrul, dengan senyum yang memanjang.

"Aku rasa?" Akif bertanya pada dirinya sendiri, pada Azrul semula, dan pada segala-galanya. Mindanya tiba-tiba terasa ringan, mencari jawapan, pada, rasa. Akif tiba-tiba terasa aneh. Seperti anak kecil yang dijagakan dari tidur, begitulah Akif. Dia tidak mampu merasa apa yang dirasanya.

"Aku rasa?" katanya, lagi.

"Mak rasa, dia gila lah," kata seorang perempuan tua kepada anaknya, sambil memandang Akif yang sedang diam mengetap bibir, seorang diri.

Berbaloikah apa yang dia lakukan?

            “In nak bebas?” dia menyoal gadis yang langsung tidak memandangnya meskipun sudah hampir setengah jam mereka duduk berhadapan. Insyirah sekadar memandang gelas yang berisi minuman sejuk kegemarannya.

            “Bukan tentang nak bebas. In tak pernah terfikir nak bebas. Malah, abang patut tahu, hidup In tak pernah ada kebebasan yang abang maksudkan. In perlukan ruang untuk diri sendiri,” jawab Insyirah, masih tidak memandang Fadli.

            “Itulah yang abang maksudkan. In nak bebas daripada abang kan?”

            “Abang!” baru kali ini Insyirah memandang Fadli.

            “Insyirah, abang cuma nak In beritahu abang perkara sebenar. In bosan dengan abang?” Fadli cuba mengawal keadaan. Dia tahu Insyirah sedang marah. Dia sedar kata-katanya membuatkan hati gadis itu tersiat. Tapi, dia juga keliru. Kalau bukan ingin bebas dari dirinya, kenapa Insyirah memohon perpisahan?

            “Abang, tolonglah. Berapa kali perlu In beritahu abang? Dari dulu sampai sekarang, In tak pernah bosan dengan abang. In gembira dengan abang.In sayangkan abang. Sampai bila-bila pun In tetap akan sayangkan abang. Cuma kali ini saja, In mohon kita bawa haluan masing-masing. Andai betul abang berhasrat untuk jadikan In suri hidup abang, walau jauh mana pun In bawa diri, lama mana pun In merantau di tempat orang, In percaya abang tahu macam mana nak cari In nanti,” Insyirah meluahkan isi hatinya. Fadli masih tidak berpuas hati.

            Dia membetulkan duduknya. Fadli terus memandang Insyirah. Wajah mulus gadis itu membuatkan tidurnya tidak lena. Segala yang dilakukan selama ini hanyalah berteraskan kasih sayangnya terhadap Insyirah, gadis yang dikenali setahun yang lalu.

            “In... abang tak tahu nak cakap apa lagi. Abang tak faham apa sebenarnya yang In mahukan. In sayangkan abang, tapi In nak putuskan juga hubungan kita. In tahu abang serius untuk jadikan In sebagai isteri abang yang sah. Tapi, In tetap juga dengan pendirian In untuk terus berada di sana. Apa sebenarnya ni In?” giliran Fadli pula meluahkan isi hatinya.

            “In cuma mahu ruang untuk diri sendiri. Abang tahu kan, banyak beban yang tergalas di bahu In. Sebab tu In perlukan ruang. In tak mahu fikirkan tentang orang lain selain diri In sendiri. In tak mahu fikirkan tentang kisah cinta kita kerana In perlu fikirkan tentang kisah hidup In sendiri.”

            “Biar abang tolong In! Abang sayangkan In dan abang tak mahu In pikul beban tu sendiri!” Fadli berkeras untuk terus bersama gadis yang dicintainya. Betapa keras hati In, keras lagi hati Fadli untuk mengukuhkan cinta mereka. Dia tahu sangat In sendiri tidak rela untuk memutuskan hubungan mereka.

            “Itu yang In tak mahu! In tak mahu abang susahkan diri kerana In! Ini hal In. Masa depan In. Biar In sendiri yang tanggung!” Insyirah sama seperti Fadli. Tetap berkeras.

 Tanpa mahu melanjutkan cerita, Insyirah bangkit dan berlalu dari situ. Fadli tidak menghalang. Dia masih ada masa sehingga hujung minggu ini. Itu janji Insyirah. Untuk bertemu dengannya sepanjang keberadaan di kota besar itu.

***
            Insyirah merenung jauh ke luar jendela. Langsir merah tua yang menutup tingkap gelongsor di tingkat 10 itu diselak sedikit bagi membolehkannya merenung telus ke langit gelap. Bintang-bintang yang bertaburan malam itu tidak sedikit pun dapat mencuri hatinya seperti selalu. Begitu juga dengan deretan neon yang menghiasi tepi-tepi jalan.

            Insyirah berpaling meninggalkan jendela lalu merebahkan diri ke katil empuk. Rancangan yang bersiaran juga tidak dapat mengusik hatinya yang tengah lara. Lalu, tangannya mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja. Diperhatikan skrin telefon berkenaan, dicari nama Fadli. Fikirannya berputar-putar mereka cerita yang ingin direalisasikan.

            Tidak lama, Insyirah menekan butang kembali dan meletakkan semula telefonnya ke atas meja sisi. Dia mengeluh entah untuk kali yang ke-berapa. Gebar putih tebal ditarik lalu menutupi tubuhnya. Seketika, dia keluar dari gebar lalu menutup televisyen dan memadamkan lampu.

            Biarpun sudah berada di dalam bilik yang gelap, pandangannya masih cerah menayangkan wajah-wajah Fadli yang menjadi kesayangan hatinya. Insyirah membuka gebar kembali. Dia bersandar pada kepala katil dan terus merenung ke dinding seakan-akan ditayangkan satu ceritera.

            Berbaloikah? Berbaloikah pengorbanan yang cuba dilakukannya? Diikutkan rasa, dia tidak mahu mengorbankan rasa cinta dan sayangnya pada Fadli. Memang dia ingin terus bersama dengan lelaki itu. Menyemai cinta dan membina mahligai bahagia... Mimpi mungkin, kerana yang benarnya dia dan Fadli berbeza pandangan. Dia dan Fadli berbeza impian.

            Namun dari sudut yang lain, perbezaan mereka itulah yang menguatkan lagi kisah cinta mereka. Impian yang berlainan menjadikan warna-warna cerita mereka lebih ceria, juga membuatkan hati Insyirah terbahagi dua.

            Mengejar impian sendirian di tempat orang atau berdua dengan Fadli dan melupakan separuh daripada impian juga harapannya?

***
            Kesibukan orang yang melintas di antara mereka langsung tidak dihiraukan. Mereka berdiri menghadap antara satu sama lain namun kedua-duanya kaku tidak bersuara. Insyirah hanya menundukkan kepala. Fadli tidak pernah jemu memandang wajah gadis yang disayang. Riuh rendah di lobi lapangan terbang langsung tidak diendahkan.

            “In, kahwin dengan abang,” pinta Fadli. Insyirah mengangkat wajahnya dan tersenyum memandang Fadli. Fadli turut membalas senyuman itu. Kalau dapat, mahu disentuh senyuman yang membuatkan hatinya luluh.

            “Abang, In memang nak kahwin dengan abang. In sayangkan abang. In nak hidup dengan abang. Tapi bukan sekarang. In nak kita bawa haluan sendiri dulu. In tahu abang pun ada hal sendiri yang nak diselesaikan tanpa In. Bila semuanya dah selesai, In akan pulang dan In janji In akan cari abang,” ujar Insyirah. Senyuman Fadli serta merta pudar.

            “Berapa lama, In? Abang tak mahu berpisah lama-lama dengan In.Cukuplah kita berjauhan, takkan In sanggup lupakan abang begitu saja,” Fadli masih cuba untuk memujuk buah hatinya agar tidak membawa diri begitu.

            “In tak lupakan abang dan In tak minta abang lupakan In. In cuma nak berikan lebih masa untuk diri sendiri. Tak lama abang, sekejap saja. Kita dah berjauhan sejak dari dulu lagi, kenapa sekarang tidak boleh?”

            “Entahlah, In. Abang penat begini,” ada nada mengalah.

            “Sebab tu In minta kita bawa haluan masing-masing. Abang dengan kehidupan abang, In dengan kehidupan In. Jangan fikirkan tentang hubungan kita... In pun penat. Fikirkan abang, fikirkan kita tapi kesudahannya entah ke mana kerana ada halangan yang tak mampu kita rempuh...” 

            “In...”

            “In dah lambat. Insya Allah, bila dah selesai semua tugas, In akan pulang. In akan cari abang. Masa tu, In dah bersedia untuk jadi suri abang,” itu kata putus daripada Insyirah. Fadli mengeluh. Dia sudah kehabisan kata-kata untuk membalas kata nekad Insyirah. Insyirah terlalu degil dan sukar untuk difahami. Walaupun dia berusaha untuk memahami hati gadis itu.

***
            Seminggu sudah Insyirah pergi. Seminggu itu cukup seksa untuk dirinya. Dia terlalu merindui Insyirah. Segala gerak lakunya, pasti wajah Insyirah muncul mengganggu. Pun begitu, dia harus hormat akan keputusan Insyirah kerana dia begitu menyayangi gadis tersebut. Tidak menghormati Insyirah sama seperti dia tidak sanggup menjaga hati Insyirah. Tapi, bagaimana pula dengan hati dan perasaan dia sendiri? Dia terlalu merindui dan rindunya itu begitu tebal sehingga dia sanggup melakukan sesuatu yang tidak pernah diduga oleh dirinya sendiri, apatah orang lain. Berbaloikah?

            “Kenapa dengan kau ni? Kau tahu tak, apa yang kau nak buat ni kerja bodoh? Hanya kerana seorang perempuan,” tegur Amirul, teman yang sentiasa menjadi tempat dia melepaskan segala rasa. Amirul tidak senang dengan keputusan Fadli untuk berhenti kerja yang dia ada sekarang kerana mahu dekat dengan Insyirah yang jauh di mata.

            “Kau tak faham,” mudah sekali tuturnya. Amirul menggelengkan kepala tanda protes.

            “Ya, aku tak faham kenapa kau bodoh sangat. Fadli, dia bukannya isteri, cuma kekasih. Kalau dia isteri kau sekali pun, dia yang kena ikut kau.”

            “Kau takkan faham,” sekali lagi Fadli menuturkan kata-kata yang sama. Amirul mengalah.

            Fadli tidak sabar untuk memberitahu Insyirah akan berita yang dirasakannya berita gembira untuk mereka berdua. Untuk kali pertama dalam tempoh seminggu usia ‘perpisahan’ mereka, Fadli mendail nombor telefon Insyirah. Kali pertama, panggilannya tidak bersambut. Fadli mencuba sekali lagi. Panggilannya sekali lagi tidak berjawab. Fadli jadi tidak senang duduk.

            Kalau diikutkan, itu bukan kali pertama panggilannya tidak bersambut. Selalu sangat lantaran tugasan Insyirah membuatkan dia tidak dapat menyambut panggilan dengan segera. Fadli tahu itu, tapi hari ini dia gelisah tidak menentu. Seolahnya dia tidak dapat memahami dan tidak mahu faham akan kerja Insyirah. Dia cuba mendail sekali lagi.

***
            Insyirah marah. Marah dengan tindakan Fadli. Marah dengan diri sendiri. Marah dengan keadaan. Tapi, berbaloikah dia marah? Siapa sebenarnya yang perlu dipersalahkan?

            “In tak minta abang buat kerja bodoh macam ni! Bukan ini yang In mahukan. Apa yang buatkan abang fikir sampai macam tu? In bukan sesiapa untuk abang korbankan segala-galanya. In dah cakap, ada rezeki kita pasti bersama... abang cuma perlu bersabar,” pertama kali Insyirah meninggikan suara kepada lelaki yang tiga tahun lebih tua daripadanya.

            “In tak faham ke? Abang terlalu sayangkan In, abang rindukan In. Abang tak sanggup berpisah dengan In. Kalau inilah pengorbanan yang perlu abang buat supaya kita dapat bersama, abang sanggup In,” Fadli seakan sebak. Tidak terduga Insyirah tidak menganggap hubungan mereka begitu penting. Dia tidak mengharapkan penghargaan yang besar namun tidak pernah menduga Insyirah akan meninggikan suara.

            “In tak perlukan pengorbanan abang, sebab In sendiri tak sanggup korbankan masa depan In. Kalau inilah cara abang, In rasa ada baiknya kita terus tidak bersama. Abang tak boleh nak hormat cara hidup In,” Insyirah juga sebak kerana dalam hatinya dia ikhlas menyayangi Fadli.

Tapi prinsip dan cita-cita yang dipegangnya dari dulu tidak mungkin berkubur begitu sahaja. Jauh lagi jalan yang ingin ditempuhnya dan sokongan Fadli amat diharapkan. Bukannya bertindak mengikut rasa.

            “In terlalu ego, pentingkan diri sendiri.”

             Panggilan itu putus begitu saja. Putus. Berbaloikah? Insyirah tiada jawapan. Fadli juga tiada jawapan.     

Sham menghempaskan badannya ke atas katil, melepaskan keletihan. Dia menutup matanya untuk cuba mencari ketenangan. Membiarkan kosong. Membiarkan hitam. Tetapi, ketenangan yang dicarinya sia-sia sahaja. Ada bayangan-bayangan yang dating mengganggu. Sham membuka mata dan ditutup sekali lagi. Bayangan-bayangan itu tetap tidak mahu pergi. Dia memicit-micit ubun kepalanya yang tidak sakit,

“Pergilah Edza,” bisiknya pada diri sendiri. Ya, Edza! Dewasa ini, Edza ada di mana-mana sahaja anak matanya berlabuh. Dalam bilik air, dalam bilik tidur, pada traffic light, dalam pinggan pun ada. Mengapakah?

Sham sendiri pun tak tahu. Bukannya dia baru sahaja kenal pada perempuan yang satu itu. Dah lama dah. Sejak tingkatan satu lagi. Tetapi sepanjang perkenalan itu, sebelah mata pun dia tidak pernah pandang pada Edza. Mungkin juga, sejak hal itu perasaan ini semua datang. Ya, tentu sekali sejak hal itu, Sham yakin. Kalau tidak, manakan bisa dia terpaut pada gadis yang dianggap racun oleh orang lain itu. Racun... yang bisanya boleh bawa maut. Itulah Edza.


* * * * *


Syafiq menanti dengan penuh sabar di tangga sebuah kompleks membeli-belah , tempat di mana dia selalu sahaja membuang masa bersama Edza. Selalunya, dia akan datang beberapa minit lambat dari masa yang ditetapkan sebab dia memang tidak suka menunggu. Dan biasanya, Edza akan sampai dahulu (dan kemudian membebel kepadanya sebab selalu sahaja lambat). Tapi hari ini, bayang Edza pun masih tidak kelihatan walau pun Syafiq sendiri dah hamper setengah jam lambat. Syafiq menghembuskan nafas, menahan sabar. Tak apa... mungkin ada sesuatu yang membuatkan dia lambat.

Sambil menyepak batu-batu kecil di hadapannya, Syafiq mengupas semula memori-memorinya bersama Edza untuk menghilangkan kebosanan. Memori pertama yang mengetuk adalah memori pada hari pertama dia keluar dengan Edza. Waktu itu dia dikatakan ‘menang’ Edza daripada Ridzwan. Ketawa besar dia melihat muka Ridzwan hari itu, walau jauh di dalam hatinya terasa menggunung bersalah. Satu masa dahulu, dia pernah berkawan rapat dengan Ridzwan. Tetapi, sejak dari hari itu, dia tidak pernah nampak Ridzwan lagi. Khabar-khabar angin, Ridzwan dah jadi penagih dadah. Biarlah. Demi cinta, apa sahaja dia sanggup lakukan.

Apa-apa pun, sekarang Edza dah jadi miliknya. Syafiq tahu Edza itu racun. Tahu sangat. Tetapi mukanya yang cun gila dan gerak lentok tubuh badan yang menggoda itu, tak lena malam Syafiq dibuatnya. Lagi pun, Syafiq yakin yang dia dapat mengubah Edza. Bagaimana... dia tak tahu, tapi dia amat yakin. Kemegahan yang dirasai setiap kali berdiri di sebelah Edza membuatkan dia bertambah yakin. Dan masa yang beransur tiga minggu pertaliannya dengan Edza membunuh semua ragunya.

‘Tapi... mana pulak la minah ni pergi?’ ngomel Syafiq sendirian di dalam hati. Geram, ‘Aku blah dulu la macam ni. Lantak dialah. Perut pun dah lapar gila ni.’

Syafiq bangun berdiri dan mengebas-ngebaskan seluarnya. Baru sahaja dia hendak berlalu pergi, kelibat seakan-akan Edza melintas di hadapannya. Dia mengamati betul-betul. Pasti. Memang Edza. ‘Apa pulak dia buat kat situ? Apsal dia buat-buat tak nampak aku je? Penat aku tunggu kat sini. Saper pulak laki kat sebelah dia tu?’ Berputar-putar soalan menerjah ke otak Syafiq.

Tanpa membuang masa, Syafiq mendekati Edza. Jarak yang beberapa langkah itu terasa seperti beberapa batu jauhnya. Degup jantungnya makin laju, ingin tahu siapa yang bersama dengan teman wanitanya itu. Setelah berada betul-betul di hadapan Edza, barulah Syafiq berani menarik nafas lega. Lelaki itu hanyalah Sham, salah seorang teman baiknya. Dia mencemuh kuman-kuman cemburu yang mula bersarang di hatinya. Kepercayaannya pada Edza kembali memuncak.

“Hai! Kenapa lambat yang? Lama I tunggu,” tegur Syafiq, bersahaja. Edza memandang Syafiq sekilas sebelum menarik tangan Sham, “Jom pergi tempat lain sayang.” Sham hanya menurut. Dia memimpin tangan Edza dan menuntunnya pergi, membuatkan Syafiq bertambah bingung, “Apa ni?” soalnya, kasar, sambil menarik tangan Edza. Edza mengaduh kecil dan cuba melepaskan tangannya dari cengkaman Syafiq.

“Woi! Dah dia tak nak tu blah je la. Takkan nak terhegeh-hegeh lagi!!” tengking Sham tiba-tiba. Dia cuba meleraikan tangan Syafiq. Syafiq tetap tidak mahu mengalah, “Kau apesal nak menyebok ni? Dia awek aku lah.”

“Awek kau? Okay. Kita tanya tuan punya badan sendiri,” Sham tersengih sinis sambil menjeling penuh makna pada Edza, “Who’s yours, babe?” tanyanya lembut. Edza mengetap bibir, diam. Dia menarik tangan Sham dan mereka berlalu pergi, meninggalkan Syafiq yang masih ternganga.


* * * * *


Edza memintal-mintal hujung rambutnya sambil menjentik-jentik botol-botol minyak wangi di atas meja soleknya. Fikirannya melayang, memikirkan kosong. Dia terfikirkan semula peristiwa itu. Oh, ya! Peristiwa itulah yang menyebabkan dia berubah arah haluan kepada Sham...


* * * * *


“Apa kau buat kat sini? Pergi. Aku tak nak tengok muka kau lagi,” jerit Edza sekuat hati pada lelaki di depannya itu.

“Kau jangan nak kurang ajar dengan aku. Aku ni bapak kau!” lelaki itu membalas dengan nada suara yang sama.

“Bapak? Kau tak layak gelar diri kau tu bapak. Bapak ayam mungkin!” serentak dengan pernyataan berani itu satu tamparan hebat singgah di pipi Edza, “Perempuan jalang,” cemuh lelaki itu. Edza hanya merenungnya dengan satu pandangan yang penuh kebencian.

“Kau yang jadikan aku jalang! Perogol!” dia meludah lelaki itu dan terus berlalu pergi.

Tidak sampai lima tapak dia melangkah, dia terserempak dengan Sham yang masih lagi ternganga dengan kekecohan sebentar tadi. Jantung Edza terus berdegup lebih laju. Dia meneka-neka sendiri, adakah Sham ternampak kejadian tadi atau pun tidak. Akhirnya dibiarkan sahaja.


* * * * *


Tetapi ternyata Sham mengetahui rahsia kecilnya itu. Sham tahu punca hidupnya porak-peranda kini. Tahu kenapa dia menganggap semua lelaki seperti sampah. Hanya kerana itulah dia kini bersama dengan Sham. Untuk menutup mulutnya. Tapi sebahagian daripada dirinya tidak dapat menipu yang kadang-kadang dia terasa elok bersama Sham.

Entahlah kenapa. Mungkin kerana layanannya lain. Sham tidak melayan dirinya seperti trofi yang dimenangi tetapi seperti kawan atau teman yang perlu dijaga. Mungkin juga kerana pandangan lelaki itu. Sham selalu sahaja merenungnya dengan pandangan yang lain daripada lelaki biasa. Adakah itu sayang? atau sekadar simpati?

Edza mengeluh. Biarlah bagaimanapun caranya. Sekarang ini biar dia bersama dengan Sham. Biar rahsianya tidak jadi bualan. Nanti kalau sudah elok cara untuk melepaskan lelaki itu, dia tinggalkan saja.


* * * * *


“Woi! Takde mata ke?” Amir menjerit sambil mengurut bahunya yang sengal dilanggar. Tumpuan seluruh kantin itu terus terarah pada jeritannya. Edza hanya mengangkat sebelah keningnya, ‘Laki ni budak baru ke? Dia tak kenal ke siapa aku?’ dia kagum sendiri dengan kelancangan lelaki itu.

“Aku tengah jalan kat sini kan. Yang kau menyebok tu kenapa?”

“Hei, perempuan! Tak ada pun nama kau kat jalan tu. Yang kau langgar aku kenapa? Tak ada bahasa punya perempuan. Mintak maaf pun tidak.” Amir terus-terusan menguji kesabaran Edza. Memang sengaja dibakar-bakar.

Edza mengetap bibir. Mukanya mula memerah sendiri. Dia tidak pernah diherdik begitu, lebih-lebih lagi daripada kaum lelaki yang padanya hanya sampah. Secara automatik, tangannya terus diangkat, mahu sahaja menampar lelaki itu. Tetapi baru separuh tangannya diangkat di udara, Sham menghalang, “Sudahlah tu Edza. Jom!” dia memujuk dan menarik Edza pergi dari situ.


* * * * *


Sejak dari peristiwa terlanggar itu, nama Amir terus melonjak naik di SK Salehuddin Shah walaupun dia baru seminggu bersekolah di situ. Manakan tidak, hanya dialah satu-satunya lelaki yang memandang enteng pada Edza. Ya, semua orang tahu Edza itu racun. Tapi semua orang tahu juga yang dia adalah berlian. Kehebatan jelitanya memang tidak disangkal. Seperti berlian beracun.

Yang perempuan di sekolah itu memandang tinggi pada Amir kerana tidak memandang luaran saja. Yang lelaki di sekolah itu pun memandang tinggi pada Amir, tapi entahlah kenapa. Mungkin mereka sendiri tidak dapat menolak tarikan dari Edza.

Edza pula hanya duduk membungkam hati sendirian apabila menyedari tentang populariti Amir yang makin melonjak naik. Tidak pernah dalam sejarah di sekolah itu, ada lelaki yang berani melawannya. ‘Ini tak boleh jadik,’ fikirnya. Serentak dengan itu jugalah, keinginannya untuk membalas dendam meluap-luap. Biar mereka tahu siapa Edza yang sebenar.


* * * * *


“Hey Edza, kau carik saper tu? Ke hulu ke hilir dari tadi. Kau carik Sham ek?” Salman, salah seorang pelajar ‘patah’ di situ menegur.

“Sal... you nampak Amir tak?”

“Amir?” Salman menggeleng-gelengkan kepala, “Nak mintak maaf ke?” perlinya, “Ke you nak kat dia pulak sekarang? You ni apalah... Sebagai perempuan macam kita ni (Salman, ataupun nama gelarannya Sal, sudah memang dikenali di sekolah itu sebagai perempuan), kita tak boleh la asik tukar-tukar laki je you. Kita kenalah setia pada yang satu gitu. Barulah...”

Edza melarikan bola matanya mendengar bebelan itu. Bosan. Sebelum sempat Salman membebel dengan lebih panjang lagi, dia mencelah, “Stop! Stop! Kau nampak dia ke tak sekarang ni? Itu je yang aku tanya, tak payah lah nak cakap lebih-lebih.”

“Nampak!” jawab Salman, cepat, “Nampak jelas. Tapi...”

“Tapi apa?”

“I nampak dia dengan jelas semalam je. Hari ni tak nampak lagi.”

“Hey! Cakap la betul-betul. Aku sekeh kang!”

“Ha! Tu, tu! Kat tepi court basketball tu,” Salman menuding jarinya ke arah yang membelakangi Edza. Edza terus berpusing. Dari jauh dia ternampak Amir duduk seorang diri di situ. Tanpa berfikir dua kali, dia terus berjalan ke arah itu. Di belakangnya, Salman membebel, “Tak cakap thank you pun kat I. Aih... perempuan, perempuan.”

Sementara itu, Edza yang sudah pun berada dua tapak jauhnya dari Amir ‘menegur’, “Woi Amir!” jeritnya. Amir hanya mengangkat muka bersahaja. Dia terus berdiri perlahan-lahan, dengan gaya malas, “Apa kau nak? Nak cakap minta maaf?”

Edza mengepal-ngepal buku limanya, geram dengan perlakuan Amir itu. Mahu sahaja lelaki itu ditumbuknya. Tetapi, belum sempat otaknya habis memberi arahan kepada tangan untuk menumbuk, Amir yang seperti dapat membaca fikirannya terus menahan kedua belah tangannya dan memulaskan ke belakang, “Hey! Dayus! Tak malu ke serang perempuan?”

“Hurm... nampak gayanya kau still tak nak mintak maaf. Aku dayus? Ini bukan serang la cik adik, ini pertahanan. Ini baru serang,” serentak dengan itu Amir merangkul pinggang kecil milik Edza dan mencium pipinya.

Edza terus tergamam dengan serangan itu. Walau pun Amir telah lima minit berlalu meninggalkannya, dia masih tidak dapat percaya apa yang telah dilakukan itu. Dia meraba-raba pipinya yang dicium Amir dalam keadaan separuh sedar. Dan tanpa disedarinya juga, adegan itu diperhatikan Sham dari jauh.


* * * * *


“You jangan nak tipu I. I nampak dia cium you.”

“You pun tahu dia yang cium I kan. Bukan salah I. Mana I nak tau it’s coming.”

“Eleh... Semua orang pun kenal you la, Edza. Entah-entah you sendiri yang pergi ngorat dia.”

“Tak semua orang kenal I macam you kenal I kan. Yang you nak jeles-jeles sekarang ni kenapa?”

Suara Sham dan Edza itu melantun-lantun kuatnya, berlawan sesama sendiri. Habis seluruh koridor apartmen tempat tinggal Edza dan ibunya itu diisi dengan suara mereka. Edza mencekak pinggang, kebuntuan akal tentang cara untuk meyakinkan yang ciuman itu bukan salahnya.

“I nampak cara you pegang pipi you lepas dia cium you, Edza. You like it, right? The kiss,” Sham menyerang-nyerang lagi. Edza baru sahaja hendak membuka mulut menjawab, tetapi kemudian ditutupnya semula. Entah kenapa dia merasakan pernyataan itu seperti benar. Sejak ciuman itu, dia tak dapat lena memikirkan Amir.

Luluh hati Sham melihatkan Edza yang berkira-kira untuk memberikan jawapan. Kini dia tahu di mana letak dirinya, “Sudahlah Edza. I ingatkan kalau I kenal you lebih, I boleh ubah you. Tapi Edza tetap Edza kan. Tak ada sesiapa yang boleh ubah perangai you.” Sham terus berpusing dari birai pintu apartmen itu. Sebaik sahaja dia mengangkat muka, ingin memulakan langkah seterusnya, tiba-tiba muka Amir muncul di belakangnya. Entah kenapa, wajah itu membuatkan hati Sham makin bertambah geram, “Apa kau buat kat sini?” soalnya.

“Aku datang nak jumpa dia,” jawab Amir bersahaja sambil memuncungkan mulutnya menunjuk pada Edza. Sham berpaling semula, menghadap Edza, “Betul tekaan I kan Edza. You ni memang... memang... argh!!!” tanpa menghabiskan ayatnya, Sham terus pergi.

“Memang apa awak?” tanya Amir seperti orang tidak bersalah. Edza mengalihkan pandangannya dari bayangan Sham yang telah pergi itu kepada Amir pula, “Apa kau buat kat sini?”

“Saja je datang sini, nak dengar awak mintak maaf, tak boleh?”

“Hei, awak yang patut mintak maaf dari saya,” tegas Edza.

Amir tersengih sendiri, mendengarkan pernyataan itu, “Hurm... kalau ikutkan dari awak dengan lelaki tadi tu menjerit-jerit, nampaknya macam saya tak salah apa-apa.”

Muka Edza memerah mendengarkan itu. Dia hanya mendiamkan diri. Melihatkan Edza yang terus berdiam itu, Amir menyambung lagi, “Saya still nak dengar awak mintak maaf...”

Edza mendiamkan diri sahaja.

“Still waiting...” gesa Amir lagi.

Masih lagi diam. Seketika kemudian, Edza menjingkitkan kakinya dan mencium Amir tepat di mana Amir sendiri menciumnya. Sejurus selepas itu, dia terus berpusing memasuki rumahnya dengan muka yang bertambah merah.


* * * * *


Sekian daripada hari itu, Edza dan Amir terus berubah menjadi seperti belangkas. Ke mana sahaja berdua. Tak dapat direnggangkan. Tetapi yang lebih menariknya, perangai Edza yang terkenal racun itu terus berubah. Sifat ‘jalang’nya ditinggalkan. Kasar bahasanya dilupakan. Edza seperti bersalin kulit baru, bertukar serba-serbi. Mungkin benar cinta boleh merubah segalanya. Sedangkan racun pun boleh jadi berlian asli. Kata orang, kuasa cinta.

Sekurang-kurangnya dari pandangan kaca mata Edza, kuasa cinta. Dari pandangan kaca mata Amir? Entah. Tak ada siapa pun tahu. Tak ada pun di sekolah itu tahu dari mana asal Amir, di mana sekolahnya dulu dan kenapa dia berpindah. Dia tidak mahu langsung bercerita.


* * * * *


“Edza! I kena jumpa you. Ada perkara penting I nak cakap.”

“Apa?” Edza mengerutkan keningnya, hairan. Sudah hampir enam bulan dia tidak bertegur dengan Sham, sejak pertengkaran mereka hari itu. Kenapa tiba-tiba Sham menghubunginya? Ada apa lagi?

“I tak boleh cakap on the phone. Kita kena jumpa. Benda ni penting,” ujar Sham bersungguh-sungguh dari talian sebelah sana, cuba meyakinkan.

“Cakap je lah, apa yang penting sangat?” Edza berkira-kira sendiri di dalam hati, adakah ini gurauan semata-mata atau pun memang ada hal yang penting, atau pun Sham berniat buruk?

“Please... Please... I kena jumpa you. Kat taman, sejam dari sekarang, okey. Benda ni penting, kalau tak hidup you akan jadik lagi teruk daripada apa yang ayah you buat dekat you,” Sham terus meletakkan telefon selepas mengeluarkan kata-kata itu. Edza bertambah pelik. Kenapa libatkan ayahnya? Tentang apa?


* * * * *


Sejam kemudian, Edza telah pun terpacak di taman depan rumahnya. Dia tahu benar, taman itu yang dimaksudkan Sham. Ya, di taman itu jugalah Sham melihat aksi pergaduhannya dengan ayah yang tidak serupa ayah itu. Tapi, kelibat Sham tidak terlihat di mana-mana. Edza mula meragui keputusannya untuk datang itu. Dia berjalan mundar-mandir, ke sini dan ke sana.

Tanpa disedari, sesusuk bayang hitam menyelinap di belakangnya. Seketika kemudian lembaga hitam itu terus menekup mulut Edza dengan sehelai kain putih. Dunia Edza terus tunggang-terbalik serentak dengan tekupan itu. Dunia yang tunggang-terbalik akibat haruman yang mencucuk hidung itu seketika kemudian terus menjadi hitam.

Dari jauh, Sham menyaksikan babak penculikan itu. Dia melihat saja tubuh kaku Edza dibawa masuk ke dalam sebuah van biru, dan dibawa pergi. Tanpa berlengah-lengah lagi, dia terus menghidupkan motornya dan mengejar dengan penuh hati-hati.


* * * * *


“Kat mana aku ni?” soal Edza entah kepada siapa selepas dia membuka matanya perlahan-lahan. Kepalanya masih pusing akibat dari klorofom tadi. Dia memerhatikan sekeliling. Bilik kecil yang hanya terdapat satu tilam lusuh dan kipas angin itu dirasakan amat merimaskan. Dari jauh dia terdengar ada orang lain sedang berbual, “Dia dah jaga.”

“Tinggalkan kitorang,” jawab lagi satu suara yang Edza rasa seperti dikenali. Seketika kemudian, pintu bilik itu terbuka. Amir melangkah masuk, “Hai Edza!” ujarnya bersahaja. Edza menarik nafas lega sebaik sahaja dia ternampak wajah Amir, “Apa kita buat kat sini? Kat mana tempat ni?”

Amir kelihatan lebih garang daripada biasa, “Sebelum tu aku nak tanya kau something. Kau kenal Akmal Mustapha?” tanyanya dengan bengis. Edza bingung melihat perubahan Amir. Dia menggeleng-geleng mendengar nama itu. Asing baginya. Sudahlah kepalanya masih terasa berat.

Tiba-tiba Amir ketawa sendirian, “Tentulah kau tak ingat kan. Bodohnya aku pergi tanya. Itu salah satu daripada lelaki-lelaki yang kau mainkan, bodoh. Yang konon-kononnya kau beri cinta. Sampai dia tinggalkan keluarga, habiskan harta, semua untuk kau, kau tahu tak?”

“Itu dulu la Amir. You pun tahu perangai I dulu. Sekarang I dah berubah.”

“Tak guna kau berubah sekarang. Kau tahu tak siapa isteri yang dia tinggalkan tu?” soal Amir lagi sambil menujah-nujah kepala Edza. Tanpa menunggu jawapan, dia terus menyambung, “Isteri dia kakak aku! Kakak aku yang dah pun meninggal, bunuh diri. Semua sebab kau, kau tahu tak.” Amir menjerit-jerit seperti orang gila. Api dendam membara dalam anak matanya. Tak semena-mena dia menampar Edza.

“Kau memang suka kan, tukar-tukar lelaki. Nah! Sekarang kau duduk kat sini, kau boleh tukar laki tiap-tiap malam,” Edza yang masih terkejut dengan tamparan itu hanya tersedu-sedu mengalirkan air mata. Dia kurang tangkap maksud Amir itu dan lebih selesa menunduk memandang lantai, memikirkan bagaimana orang yang paling dia sayang boleh jadi begitu. Amir tidak puas hati dengan kelakuan Edza yang seperti tidak mendengar, “Kau dengar tak apa aku cakap ni, perempuan? Ah Kuat tu nak bayar 2000 untuk kau. Tapi sebelum aku bagi kau kat dia, baik aku ‘rasa’ dulu kan? Dia pun tak kesah!”

Edza mengerutkan keningnya, ‘rasa’? Cemas mula muncul dalam dirinya. Semua kenangan hitam yang ditinggalkan ayahnya kini datang semula. Dia menutup mata cuba menghilangkan semuanya. Tiba-tiba dia terdengar bunyi benda dipukul, dan ada orang mengaduh kesakitan, sebelum bunyi seperti ada benda yang terjatuh.

Edza cepat-cepat membuka mata matanya. Amir telah pun jatuh terjelepuk di atas lantai. Sham berdiri tidak berapa jauh dari situ sambil memegang sebatang kayu, “Jom Edza. Kita kena lari sebelum yang lain datang,” katanya. Edza hanya mengangguk menurut. Entah dari mana datang kekuatan baru baginya.

Sambil mereka terhendap-hendap cuba melarikan diri, Edza bertanya, “Camne you tau I ada kat sini?”

“I terdengar Amir macam cakap dengan anak kawan-kawan dia hari tu pasal nak culik you. Tu yang I kata ada benda nak cakap dengan you. Pastu tadi I sampai-sampai je kat taman, I nampak diorang angkat you masuk dalam van. I ikut je lah diorang.”

Tak lama selepas itu, mereka tiba di tempat Sham menyorokkan motornya. Motor itu terus dihidupkan, dan sebaik sahaja mereka bergerak meninggalkan kawasan itu, ada suara-suara yang menjerit dari belakang. Edza dan Sham tidak berani menoleh ke belakang. Mereka hanya mahu cepat-cepat berlalu pergi.

Dalam perjalanan pulang,
“Sham... thanks. I tak tau apa I nak buat kalau tak ada you.”

“Tak apa. I dah agak dah Amir tu sure ada hidden agenda. Mula-mula bergaduh ngan you, lepas tu tiba-tiba nak baik-baik pulak.”

Saat itu, Edza baru sedar yang cinta yang sekian lama dicarinya itu, rupanya ada di depan mata. Dia sahaja yang tidak sedar. Dengan itu, dia terus memeluk pinggang Sham dengan lebih rapat.

Sekian lama aku memperhatikan gelagatnya, gadis itu masih juga di situ, tidak ada tanda-tanda untuk dia beranjak pergi. Sesekali aku mencuri pandang rintik putih yang gugur menuruni lurah pipi yang gebu itu. Tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang, gadis itu terus menangis. Cantik juga, ada gelombang merambat di dalam dadaku. Namun kecantikannya pudar dihanyutkan oleh airmata.

Aku terasa ada getaran halus menyentuh dawai-dawai hatiku. Lantas, gadis manis itu kuhampiri.

Sedikit tersentak gadis itu, bila menyedari kehadiranku. Seperti seorang kakak yang mengerti naluri adik kecintaannya, aku membelai rambut gadis itu. Tiba-tiba dia menghantar sendu yang semakin dalam ke ruang dada.

“Mengapa menangis dik? Apakah yang telah membuat hatimu tercalar begini?” Gadis itu mengangkat mukanya perlahan-lahan. Jelas memperlihatkan wajah yang cukup muda untuk menanggung penderitaan yang cukup berat. Matanya yang comel seperti mata kelinci itu juga mula membengkak. Gadis itu menjawab dengan suara perlahan namun dapat juga kutangkap kata-katanya.

“Adik, telah putus cinta kak.” Jawapan yang telah kusedia maklum dari awal walau intipati ceritanya belum aku ketahui

“Adik amat mencintai dia. Dia adalah cinta pertama adik. Namun akhirnya adik terpaksa meninggalkan dia. Adik tinggalkan dia kak.”

“Mengapa begitu dik? Mengapa membiarkan sahaja cinta itu berlalu sedangkan hati merasa amat sakit sekali.” Gadis itu memandang jauh ke depan seperti ada jawapan pada lantera di hujung kaki langit. Lama dia berdiam dengan ekor mata yang amat redup. Aku tetap tidak beranjak dari tangga batu itu. Inginku selongkar selingkar kisah yang menjerut tangkai hati gadis ini. Akhirnya dia kembali bercerita kisah dukanya.

“Kak, adik tinggalkan dia kerana adik merasakan usia adik terlalu mentah untuk bercinta. Adik takut juga jika dia tidak mampu membahagiakan adik. Maka atas alasan kosong itu adik tinggalkan dia. Mulanya adik fikir adik kuat menghadapi perpisahan ini. Adik ingat adik boleh hidup tanpa rasa cinta. Tapi lihatlah apa yang terjadi, adik menyesali perpisahan dan mula kenal erti rindu. Alangkah egonya diri adik ini.” Aku mendengar dengan teliti butir bicara gadis itu. Aku mengerti dia sebenarnya berada di hujung kekeliruan. Masih belum cukup kenal apa maknanya cinta.

“Dik, mahukah adik mendengar satu kisah cinta tak berwajah?" Aku bertanya.

“Kisah apakah itu kak? Ya, adik ingin mendengarnya.” Gadis itu mengiyakan.

"Beberapa tahun lalu ada seorang gadis bernama Farisha. Dia telah berkenalan dengan Fikri, seorang yang menarik dan unik sifatnya melalui chatting dalam internet. Mereka sama-sama gemar berpuisi, menulis dan suka bergurau . Mereka menjadi sahabat yang sedia berkongsi apa juga masalah."

“Kemudian bagaimana kak? Bercintakah si Farisha itu dengan Fikri?” Gadis itu tiba-tiba menyampuk kerancakanku bercerita. Kulihat matanya tidak lagi banjir oleh manik putih. Malah penuh tanda tanya dan sifat ingin tahu yang memuncak. Seketika, aku biarkan gadis itu dengan persoalannya. Kusambung kembali kisah cinta ini.

"Kian tahun persahabatan mereka kian akrab. Segala cerita suka dan duka dikongsi bersama. Namun dalam tempoh itu, mereka tidak pernah bertemu walau sekali. Sekadar berhubung melalui sms, email atau chating. Mereka sama-sama memutuskan untuk tidak ingin berjumpa. Kerana pertemuan hanyalah mengundang sakit hati saat masing-masing ingin pamitan. Namun rupanya persahabatan itu bertukar menjadi cerita lain pula."

Aku menghela nafas dan meneguk sisa air liur yang tertakung. Kulihat gadis itu tidak berpuas hati dan meminta aku menyambung cerita lagi.

“Kak, teruskan bercerita. Adik ingin tahu apa yang terjadi pada mereka.”

"Persahabatan itu telah mengundang rasa cinta pada diri Fikri. Dia tenggelam timbul dalam lautan asmara yang memanah naluri lelakinya. Rasa cinta itu membuat dia berani menyuarakan hasrat menyunting bunga bernama Farisha. Lalu petang yang sepi itu dia menghubungi Farisha."

“Farisha, aku ingin bersemuka denganmu, kita jumpa.” Fikri meluahkan hasratnya.

“Untuk apa Fikri? Bukankah kita telah memutuskan untuk tidak bertemu. Kau juga pernah mengatakan bahawa persahabatan boleh hidup tanpa pertemuan.” Kata Farisha.

"Maafkan aku. Tapi kali ini aku merasakan amat perlu menemuimu. Ada sesuatu yang ingin kuluahkan.” kata Fikri terus dengan hasratnya.

“Luahkan saja di sini. Selama ini pun kita hanya berbicara di sini." Tegas Farisha.

Aku meneguk air mineral yang masih berbaki di dalam botol. Aku jadi dahaga pula setelah kian banyak berbicara. Kali ini gadis itu lebih sabar menunggu kisah itu disambung. Aku menarik nafas cukup panjang sekadar untuk mencari kekuatan. Sesaat kemudian kisah itu kusambung lagi.

“Farisha aku jatuh cinta padamu. Jatuh cinta pada ketinggian budimu. Kau banyak memberikan aku semangat setelah percintaanku dulu lebur. Kau katakan padaku bahawa hidup bukan sekadar untuk diteruskan tapi harus diperjuangkan. Katamu, relakan saja jika cinta itu memilih untuk pergi. Kerana cinta yang ikhlas tidak akan membuat jiwa merasa menangis dan terhiris. Cinta adalah untuk membangkitkan kekuatan dan bukan untuk menghinakan diri sendiri. Itu yang kau katakan Farisha, saat aku berduka ketika orang yang aku cintai mengikut lelaki lain. Akhirnya aku mengerti, Tuhan telah sembunyikan mentari semata-mata untuk menghadiahkanku pelangi. Kaulah pelangi itu Farisha.” Fikri terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

“Wah, Fikri seorang yang sangat romatik kak. Pasti Farisha menerimanya kan.” Belum sempat aku menyambung cerita, gadis itu lebih dulu memotong dengan senyum di bibir. Mungkin dia terbayang cerita Hindustan yang bermula dengan persengketaan dan berakhir dengan peleraian yang cukup manis. Menari dari satu lembah ke satu lembah dengan ratusan gubahan lagu yang asyik.

“Tidak dik. Farisha menolak cintanya mentah-mentah. Seperti dirimu juga, dia terlalu egois kerana dia menyangka dia boleh hidup tanpa cinta. Dia takut bercinta, takut jika tidak menemukan kebahagiaan. Maka atas alasan remeh itu dia tinggalkan saja ikatan itu tanpa bersambut.

Hari demi hari persahabatan mereka kian renggang. Farisha tidak pernah lagi menyambut panggilan, membalas sms dan juga email dari Fikri. Dia biarkan saja lelaki itu terkapai-kapai dihanyutkan gelombang emosi yang sakit. Dia nekad memutuskan persahabatan itu. Akhirnya persahabatan itu lenyap sama sekali dari muka bumi.

Tahun demi tahun berlalu dengan usia yang kian beranjak. Esok genap tiga tahun perpisahan antara mereka. Setelah Fikri pergi dari hidupnya, Farisha merasa sunyi sekali. Dia merasa rindu yang teramat hingga membuat batinnya menangis. Siang malam dia berdoa semoga persahabatan itu kembali terjalin. Kini, dia pula benar-benar jatuh cinta pada Fikri."

“Benarkah Farisha jatuh cinta? Kalau begitu, kenapa dia tidak menghubungi Fikri saja kak?" Soal gadis itu.

“Sudah dik, berkali-kali dia menghubungi Fikri namun gagal. Nombor telefonnya tidak aktif lagi.” Kataku.

“Kan dia punya alamat email Fikri kak. Kenapa dia tidak mengirim email saja?” Soal gadis itu lagi.

“Farisha telah memadam semua email Fikri yang tersimpan di dalam emailnya termasuk alamat email Fikri juga.” Aku menjawab.

“Lantas kisah ini tamat di sini saja?” Gadis itu menyoal seolah-olah tidak berpuas hati dengan peleraian cerita tersebut.

“Tidak dik, kisah ini belum tamat.” Kulihat mata gadis itu kembali bersinar seperti cahaya mentari yang sedang tegak di atas kepala dan mengundang banjir peluh yang cukup banyak. Aku meneruskan cerita.

"Tiga tahun Farisha mencari Fikri namun pencariannya gagal. Akhirnya pada saat dia benar-benar putus asa, dia mendapat sebuah hadiah yang tak ternilai harganya. Pagi itu Farisha membuka kotak emailnya. Tertera nama pengirim yang pernah sebati dalam hidupnya. Email itu dibuka dengan penuh debaran.

Farisha, maafkan aku kerana tiba-tiba sahaja mengirim email ini buatmu. Aku merinduimu Farisha. Tiga tahun aku belajar untuk melupakanmu dengan mengembara ke negara asing, namun aku gagal. Ingatan dan rindu itu menjadi satu hingga membuat aku kaku untuk melangkah. Sudah berumah tanggakah kau Farisha? Semoga sahaja kau bahagia dan ceria menghadapi hidup ini. Aku masih seperti dulu. Masih Fikri yang sama dengan impian dan cita-cita melangit untuk memiliki seorang gadis bernama Farisha. Balaslah email ini Farisha, walau hanya sepatah perkataan kau tulis aku cukup bahagia.”

Gadis itu tergelak. Aku hampir terlupa bahawa ada gadis manis yang duduk di sisiku kerana terlalu asyik bercerita.

“Teruskan ceritanya kak.” Pinta gadis manja itu.

"Email itu membuat hati Farisha kembali berbunga mekar dan mewangi. Kali ini dia tidak berfikir lama untuk meluahkan isi hatinya. Penantian selama tiga tahun itu membuahkan hasil yang cukup manis. Dia menerima kehadiran Fikri dengan seluruh rasa syukur dan gembira. Bermula episod baru, dengan ikatan cinta yang kian mendalam. Kemudian mereka memutuskan untuk mengatur pertemuan pertama hujung bulan tersebut.

Cinta telah membuat hidup Farisha berubah. Dia menjadi ceria dan ringan mulut untuk bertegur sapa dengan semua orang walaupun ada di antaranya yang tidak dia kenali sama sekali. Seperti ingin dia jeritkan di telinga mereka tentang kebahagiaan yang dia rasakan. Dia ingin berkongsi tentang rasa itu pada semua orang. Tidurnya tidak pernah lena kerana ada saja khayalan indah yang datang menyucuk-nyucuk akalnya.

Alangkah bahagianya Farisha saat itu. Sebolehnya dia ingin memiliki sepasang sayap yang boleh membawanya terbang menemui teruna hatinya. Menghantar rindu yang kian kuat bertamu. Memuntahkan lahar sayang disulami mutiara-mutiara cinta yang akhirnya menjelmakan sebuah kenangan manis. Namun impian hanya impian belaka jika takdir memintas segalanya.

Malam itu Farisha menerima sebuah panggilan kecemasan dari seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai sepupu Fikri.

“Fikri ditimpa kemalangan jalan raya. Sekarang dia dalam keadaan kritikal.” Kedengaran suara seorang lelaki dalam telepon.

Malam itu juga Farisha mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur dengan doa yang tak putus semoga Fikri melepasi saat-saat kritikal.

“Ya Tuhan, ini adalah pertemuan kami yang pertama, jangan jadikannya yang terakhir.” Air matanya kian deras dan sendu yang kian meninggi.

Kaku, bisu dan cedera parah hanya itu gambaran yang dapat dia berikan sesaat melihat tubuh Fikri. Amat lemah sekali hinggakan dia tidak segan menangis, teresak-esak. Jari-jari Fikri digenggam erat. Dikucupnya jemari itu dengan harapan Fikri menyedari kehadirannya. Namun, tubuh yang tak berdaya itu akhirnya akur dan menyerah pada suratan azali menyahut panggilan kubur. Fikri telah pergi dengan membawa cintanya."

“Dik, kisah ini sudah tamat. Maafkan kakak kerana membuatmu sedih. Ambillah iktibar dari cerita ini dik. Jangan menolak jika cinta itu memilih untuk singgah di hatimu jika sesungguhnya jiwamu tidak merelakan cinta itu pergi. Terimalah dia seadanya.” Seperti tersekat-sekat suaraku berkata.

Aku lihat gadis itu menangis dengan penuh dramatik. Dia merenungku cukup dalam dan kemudian memelukku erat. Aku membalas pelukannya.

"Terima kasih kak kerana menceritakan sebuah kisah yang memberikan kesan abadi dalam diri adik.” Gadis itu menghulur tangan untuk bersalaman. Aku menggangguk dan meminta izin untuk pergi setelah kisah itu tamat kuhikayatkan. Aku melangkah menuruni tangga batu itu dengan hadirnya suara di hujung kuping telingaku. Cukup jelas pengucapannya.

“Kau kisahkan lagi cerita kita pada gadis itu Farisha?”

“Ya Fikri, aku akan terus menceritakan kisah kita itu pada sesiapapun juga yang sudi mendengarnya."

Angin bertiup membelai tubuhku dan aku menikmatinya seolah-olah itu adalah dakapan dari seorang lelaki yang mengajar aku menulis puisi dan mengenalkan aku makna rindu. Fikri, semoga damai menemani kau di sana. Aku berganjak pergi, lantas airmataku gugur satu satu.



TAMAT.

*Kisah benar....

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini