rss

Dada Pak Mud semakin bergelombang dek sesak nafas yang panjang. Ada kata yang mahu disampaikan. Dalam lelah itu, butiran tentang apa yang ingin di-
sampaikan itu tidak jelas. Bidin memandang seraut wajah tua itu dengan
penuh sayu. Kasihan abahnya. Terlalu seksa rasanya melihatkan dia mencungap
menahan nafasnya yang tidak reda-reda. Selama cungap itu juga, Bidin tidak
berganjak dari pembaringan ayahnya.

"Maafkan Bidin abah. Bidin mintak maaf banyak-banyak. Halalkan
makan minum Bidin abah.." Dalam tersekat-sekat Bidin bersuara.

Abahnya yang tercungap itu hanya mampu mengangguk mengiakan permintaan Bidin. Bidin sambil mengurut dada abahnya memandang seluruh inci tubuh yang telah bertahun menjaga dan menyara dia dan keluarganya dengan perasaan yang berbaur.


Tubuh kuat itu sudah lama berkorban untuk Bidin sekeluarga. Tulang empat
keratnya telah merasa semua pahit getir bagi memastikan seluruh isi rumah
itu tidak kelaparan. Kedut di setiap inci kulitnya menggambarkan kerja kerasnya
selama ini. Gelap kulit itu menceritakan peritnya dia menerima panahan
mentari demi Bidin sekeluarga. Tangannya yang kasar itulah yang merencahkan
segenap isi alam menyara hidup mereka anak-beranak. Begitu kasih seorang ayah,
sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga tercinta. Biar pahit di telan jua
asal manis penangannya buat keluarga. Namun tubuh itu kini bertarung hebat di
saat terakhir umurnya.

Pak Mud masih lagi mencungap. Bidin bersama kakak dan ibunya setia di sisinya.
Pak Mud memandang Mak Leha tanpa sebarang kata. Melihatkan
pandangan itu, Mak Leha terus menitiskan air matanya. Dia tahu suaminya itu
tidak akan lama lagi. Perasaan sayu yang lahir dari dalam hatinya itu
terbit bersama air mata yang bercucuran sambil pintanya diampunkan segala
salah dan silap serta dihalalkan segala-galanya. Mak Leha lalu merebahkan
dirinya memangku Pak Mud. Empat mata yang bertentang itu mengundang rasa pilu yang amat pada Bidin. Dua hati yang dulunya sama-sama bersengkang mata,
berpenat lelah dan juga meredah payah dan jerih bersama mungkin sahaja
berpisah hari itu. Bidin tidak lagi sanggup melihat kedua orang tuanya itu saling
berpandangan dan menatap satu sama lain. Begitu kuat ikatan yang dimeterai, hingga ke akhir hayat mereka menyatu. Berat di mata, berat lagi di hati Bidin
menyaksikan keakraban yang bakal berpisah itu. Tidak mampu menghadapi pandangan
itu, dia menunduk lalu berguguran lagi air matanya yang belum pernah semurah itu.

Adik beradik abahnya semuanya ada di situ. Bacaan Yassin tidak putus-putus
kedengaran. Air mata Pak Mud yang mengalir Bidin kesat. Wajah orang tua itu
dipandang penuh hiba dari hatinya yang meraung. Didakapnya penuh erat abahnya
itu menggambarkan kasihnya sebagai seorang anak melepaskan rasa kasihnya yang
membuak. Dalam pelukan penuh kesyahduan itu Bidin mula dibayangi peristiwa-
peristiwa lalu bersama abahnya. Abahnya itu seorang yang tegas. Setiap katanya
mana mungkin mampu disangkal mana-mana adik beradiknya. Terkadang dia tidak
senang dengan cara abahnya. Namun dia sedar kerana itulah dia mampu berjaya
melanjutkan pelajarannya dan kakak serta abangnya kini sudah berjaya.
Ketegasannya mendidik menjadikan Bidin dan adik beradiknya yang lain lebih
berdisiplin. Bidin amat bersyukur dan bangga mempunyai seorang ayah sepertinya
yang mampu mencongak masa depan yang lebih baik untuknya.


Subuh itu menjadi sangat sunyi. Kokokan ayam tidak seriuh biasanya.
Sesak nafas Pak Mud masih belum reda. Namun
Pak Mud masih cuba melafazkan kalimah suci Lailahaillallah.
Adik-beradik Bidin yang lain masih dalam perjalanan pulang. Bacaan Yassin silih
berganti. Bidin juga sempat menghabiskan beberapa kali surah itu biarpun
tersekat-sekat kerana tangisan yang ditahannya. Hari makin cerah mengganti
kegelapan sebelumnya dibayangi kabus pagi.

Seketika Nafas Pak Mud kelihatan semakin reda namun matanya layu. Air matanya  mengalir perlahan. Mak Leha cuba menggerakkan tubuh Pak Mud sambil mengajuknya mengucap kalimah syahadat. Namun tiada sebarang tindak balas. Matanya tidak lagi memandang mereka yang ada di situ. Mereka yang ada di situ saling berpandangan  sesama mereka. Mungkin mereka juga ada merasakan sesuatu.Sesuatu  yang pasti  akan berlaku. Bidin yang ada disisi abahnya menunduk  ke telinga sambil melafazkan kalimah syahadat. Namun tubuh yang telah  lama bergelombang tadi hanya tenang dengan nafas yang sangat perlahan. Mata Pak Mud tertutup rapat. Tiada lagi desakan nafas untuk dihembus. Bidin
merebahkan mukanya ke muka abahnya. Dikucupnya raut wajah abahnya yang kian  pergi itu. Dia pasrah dan redha akan ketentuan itu dan dia juga tahu tiada
sesiapa mampu menghalangnya. Air mata hibanya mengalir laju saat abahnya
menghembuskan nafas terakhir. Bidin memeluk erat sekujur tubuh itu. Jauh
di lubuk hatinya dia sedar bahawa ayahnya sudah jauh dan hanya jasadnya sahaja
yang tinggal. Tidak tergambar lagi kesedihan yang dirasainya ketika itu.
Seluruh jiwa raganya merintih dan rebah di situ. Pergi abahnya tiada gantinya.
Mak Leha juga tidak terkecuali. Pemergian Pak Mud satu turut membawa hatinya
yang telah dikongsi bersama sepanjang hidupnya. Mereka yang ada di situ turut
menitiskan air mata melihatkan mereka anak beranak meratapi pemergian orang
tersayang.


**Didedikasikan untuk abah..Semoga aman di sana dan ditempatkan di kalangan
orang yang beriman...Al Fatihah..






0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini