rss

Bilik 1704. Hotel Double Tree, Jalan Ampang. Megah bergemerlapan hiasi latar suram malam bandaraya yang tidak pernah tidur.

Udara sejuk dari penyaman udara mencengkam tubuh halus mulus Rika. Di luarnya hujan mencurah-curah, Rika menyumpah-nyumpah di dalam hatinya sendiri terlupa membawa jaket denimnya. Kini, dia mengongkol kesejukan sementara menanti pintu bilik dibuka oleh pemiliknya. Maya bersama dengannya cuma diam, barangkali memikirkan bagaimana malam ini bakal berlalu.

Setiap malam bagai satu pengembaraan, dari satu katil ke katil lainnya, dari satu bangsa ke satu bangsa lainnya. Lain situasi, lain tempat, lain warna kulit, sama sahaja permintaannya. Pinta berteman, pinta kenikmatan. Ada malam buat dirinya dicintai, disanjung seperti puteri, ada malam buat dirinya dicaci maki, diseksa seperti abdi.

Pintu bilik 1704 terbuka. Lelaki berusia lewat 30-an membuka pintu sambil menguntum senyum manis.

- Masuk.

Rika dan Maya melangkah masuk. Katil saiz sederhana besar bersalut cadar putih kemas terhampar. Rika dan Maya cuma membatu di kepala katil berdiri menantikan arahan.

- Pusing.

Rika dan Maya berpusing. Lelaki tadi Cuma diam memerhati. Sesekali tekun dia merenung, sesekali dia tersenyum. Rika dan Maya Cuma menguntum senyum.

- Siapa nama kau?

Rika menjawab, “Rika.”

- Kau?

“Maya.” Maya pula menjawab ringkas.

Lelaki berkenaan memandang Rika dan tersenyum.

- Aku pilih Rika.

Beberapa keping not kertas berwarna kelabu biru bertukar tangan. Maya membawa diri keluar meninggalkan Rika bersama lelaki berkenaan.

Rika terus senyum. Malamnya bakal bermula sebentar lagi.

-------

Asap berbau tembakau bersalut cengkih mengisi ruang bilik. Kotak rokok putih berhuruf merah separuh terbuka.

- Kau hisap kretek?

“Kretek murah, bang.” Rika membalas ringkas lalu pantas bangun mengemas katil yang bersepah. Lelaki itu cuma tersenyum kepenatan. Kepalanya disandarkan ke kepala katil. Perempuan dan tenaga selepas seks, mengingatkan dia kepada Charlie Wilson’s War.

- Kenapa kau jadi pelacur?

Rika cuma tersenyum. Bukan orang pertama mengunjurkan soalan begitu kepadanya. Sudah lali mendengar soalan yang sama berkali.

“Sistem kapitalis, bang.”

-Apa maksud kau sistem kapitalis?

Lelaki itu tertawa kecil. Mungkin bukan jawapan yang dicarinya dari seorang perempuan seperti Rika.

“Dunia perlu duit untuk semua perkara. Ke tandas pun pakai duit, bang. Mahu makan, minum, bela ibu bapa dan anak juga perlu duit. Kalau dunia tanpa kapitalis, tak perlu manusia berlebihan berbelanja, berlebihan memiliki bahagian orang lain yang seharusnya dikongsi sesama manusia. Ketamakan hasil sistem kapitalis.”

Muka lelaki itu sedikit berubah. Rika cuba meneka, barangkali lelaki ini sudah bekeluarga ataupun kepetahan Rika berkata-kata barangkali merubah air muka lelaki itu.

- Kau ada anak?

“Iya bang. Anak sorang. Umur 4 tahun, perempuan.”

Rika menggigit sedikit bibirnya. Rindu menusuk hatinya teringatkan anaknya. Wajah si kecil bermain di kotak minda Rika.

- Kau tak rindu anak kau?

Lelaki tadi cuma memerhati reaksi Rika. Rika sepi seketika. Menarik nafas panjang-panjang dia membalas.

“Rindu bang. Aku rindu anak aku. Sudah 2 bulan tak jumpa.”

- Kenapa kau tak pulang? Suami kau tak tanggung kau?

Hatinya bagai dicarik-carik. Lelaki yang seharusnya melindungi dan menyayanginya menjadi tidak lebih mahal harga dirinya dari sebiji batu tenggelam ke dasar tasik.

“Suami aku tak kerja, bang. Kerjanya cuma minum, main perempuan dan pukul aku. Pernah sekali….”

Rika menelan liurnya. Bagai tersekat di kerongkongnya, kata-kata yang bakal diluahkan sangkut di kotak memorinya. Kolam air matanya bertakung, bakal terhambur bila-bila masa sahaja.

“Pernah sekali aku dipukul, 16 jahitan dan seminggu aku koma di hospital.”

Lelaki tadi tersentak. Segera dia membetulkan duduknya dan mendengar dengan tekun kisah Rika.

Rika menyapu air matanya.

“Suami aku tak berguna, bang. Aku tak larat dipukul, aku mohon cerai. Dia datang melutut minta ruju’ dengan aku. Aku tak layan, bang. Aku tak gila, aku tak mahu hilang nyawa kerana seorang jantan. Anak, ibu bapa aku siapa mahu bagi makan?”

Lelaki tadi tersentak lagi. Dalam tubuh halus mulus, senyum manis Rika, kisah Rika bagai menarik lelaki itu mendengar dengan lebih tekun. Di sebalik tubuh halus mulus, senyum manis Rika terselindung kisah duka lara.

Rika terus menyeka air matanya. Memori dukanya bukanlah sesuatu yang mahu Rika ingati tetapi disaat ini, serasa mahu saja diluahkan semuanya. Jarang benar dia berasa emosinya meruap-ruap ke kepalanya tetapi malam dingin di bilik 1704 itu seakan membuka sehelai demi sehelai dedaun kisah hidupnya. Kisah yang rela sahaja dibakar, dicincang, dihanyutkan ke sungai, dibenamkan ke dasar laut kerana parutnya masih berdarah, kerana sakitnya masih berkesan di jiwa.

Rika menyambung kisahnya tapi suaranya bergetar. Wujud rasa ragu dihatinya, adakah berbaloi luahannya?

“Ibu bapa aku tak tahu aku bekerja sebagai pelacur bang. Aku kata pada mereka aku kerja di restoran. Tiap-tiap bulan aku hantar duit pada mereka. Ibu aku suri rumah, bapa aku sudah pencen. Anak aku ibu bapa aku jaga.”

Rika terhenti sebentar. Air matanya mengalir lagi. Wajah anak kecilnya bermain di mata Rika.

“Aku kerja di sini kerana bayarnya mahal bang. Aku tak mahu anak aku jadi seperti aku. Aku mahu bagi dia pelajaran, aku mahu dia pergi jauh di dunia ni.”

- Tapi kau sendiri lagi pandai dari ramai perempuan yang aku pernah jumpa.

Lelaki itu yang diam sekiannya akhirnya bersuara.

Rika cuma senyum.

“Di sana hidupnya susah, bang. Sekalipun kau pandai tapi kalau kau tak mampu, kau tak ke mana-mana. Sebab itu aku mahu cari duit untuk anak aku belajar. Tapi tak mampu bukan bererti tidak berfikir, tidak mencari, tidak mengerti.”

Wajah anaknya menerpa ke kotak fikiran Rika. Dadanya kembali sebak. Rindu ini bakal membunuhnya.

Maafkan ibu.

Perasaan itu dibiarkan membunuh jiwanya. Biarlah jiwanya mati, asal anaknya riang gembira. Air matanya tidak dapat ditahan-tahan lagi, mengalir pantas. Senyum manis anaknya, riang ketawa, pujuk rayu, rajuknya berkocak di tasik minda Rika.

- Jom.

Lelaki itu bersuara. Rika mengesat air matanya dan cuba untuk senyum. Mindanya hilang dibawa angin dingin malam pulang ke Jogja.

------

Lelaki itu berdiri di muka pintu biliknya. Rika bersiap-siap mahu pulang ke pengkalan operasi syarikatnya.

- Kau pandai, aku suka dengan kau.

Rika hanya senyum.

- Dimana kau belajar?

“Universiti jalanan, bang.”

Lelaki itu terus-terusan terkesima. Tubuh halus mulus, senyum manis ini mengujakannya. Benar-benar mengujakanya.

----------

Ucapan perpisahan bertingkah dan Rika undur diri pulang ke sarang.

Di benaknya cuma rindu yang menikam hati, wajah si kecil bermain-main. Dan kisah duka lara yang tempiasnya berhamburan di bilik 1704.

Nasib adalah kesunyian masing-masing. Kata-kata Cairil Anwar ada benarnya.

Esok, jasad dan hatinya pulang ke Jogja.


0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini