BAYAR LAGI!
Sejak menjadi mahasiswa di
salah sebuah universiti di ibu kota, aku teruja menjalani kehidupan di kampus.
Jarak antara kolej kediaman dan fakulti tempat aku belajar agak jauh. Nak tak
nak aku terpaksa menunggang motosikal meredah kawasan kampus yang luas. Namun
ketika itu aku hanya berani bawa motor dalam kawasan kampus saja.
Hujung minggu pula aku memerap
di bilik. Tiada aktiviti menarik untuk aku ikuti. Teman satu asrama pernah ajak
aku meronda-ronda sekitar bandar KL. Aku tak yakin. Maklumlah anak kampung.
Takut terpengaruh benda-benda tak elok. Banyak cerita aku dengar tentang KL.
Masa itu, telinga aku disumbat dengan cerita buruk tentang KL. Jadi atas
dasar itu aku takut untuk keluar berjalan-jalan hatta bersama teman.
Tapi perasaan ingin tahu dunia
luar kampus mula membuak-buak. Teman sekolej ramai yang keluar berseronok di
bandar KL bila tiba saja hari minggu. Bukan berseronok apa, hanya pusing-pusing
bandar KL dan jika ada duit lebih, singgah membeli belah di Kota Raya, Petaling
Street atau Jalan TAR. Bosan duduk di asrama akhirnya aku terpengaruh juga
dengan ajakan teman.
“Alah..bukannya kita buat apa
pun..kalau takut naik motor, kita naik je la BMW. Apa susah! Rugi kau tak
tengok bandar KL ni!”
Itulah kata-kata yang selalu
teman sekolej aku war-warkan. Canang-canangkan. Aku pun mula berfikir.
Mengiakan kata-kata itu.
“Betul juga..takkan nak
terperap je kat asrama ni..” Hati aku mula berbisik.
Maka, buat pertama kali aku
mula keluar bersiar-siar dengan teman sebilik meronda sekitar KL. Aku hanya
ikut saja. Dengan hati berdebar, aku mula menunggu BMW bersama teman aku di
luar kawasan universiti. BMW itulah yang menjadi pengangkutan utama pelajar
universiti macam aku di bandar KL waktu tu. Murah untuk seorang bergelar
pelajar.
BMW tiba. Aku ikut belakang
teman ku menaiki BMW.
“Berapa?” Aku mula bertanya
kepada seorang konduktor berbangsa Cina yang siap dengan tas duit yang kemas di
pinggang.
“Enam puluh sen!”
Aku hulur duit syiling dan
terus ikut teman aku mencari tempat duduk. Kebetulan hari itu tidak ramai
penumpang. Aku dan teman aku duduk di bahagian tengah. Hajat kami hendak ke
stadium. Teman aku dengan yakin menaiki BMW itu. Jadi aku pun turut yakin
dengan keyakinan teman aku. Aku pandang teman aku. Dia senyum.
“Jangan bimbang, aku tahu kat
mana. Bila dah dekat nak sampai nanti, aku tekan loceng.”
Aku senyum bila teman aku
berbicara dengan penuh yakin. BMW itu terus meluncur laju dan beberapa
kali berhenti mengambil penumpang. Aku yang tidak tahu sekitar bandar KL
bergantung seratus peratus kepada teman aku. Aku memang tidak tahu di mana
stadium merdeka. Aku mula menikmati pemandangan bandar KL yang sibuk
dengan hiruk pikuk kenderaan yang tak henti-henti menjalar di jalan. Dengan
bunyi hon yang bingit, cukup membuka minda aku mengatakan KL adalah memang
bandar sibuk! Aku jeling teman aku di sebelah. Sudah berdengkur. Aku mula
menggelabah bila melihat penumpang mula semakin kurang. Aku cuba kejutkan teman
aku. Dia tidur mati!
“Adoi! Macam mana ni? Aku
dahlah tak tahu KL ni!” Aku merungut sendiri.
Aku pandang keluar tingkap yang
terbuka separuh. Angin kuat menerpa akibat BMW yang dibawa laju begitu
mendamaikan dalam keadaan cuaca panas di KL. Aku mula panik bila melihat
bangunan di sekeliling aku. Aku kejutkan lagi teman aku. Aku goncang kuat.
Tiba-tiba..
“Aku tidur la bongok!”
Aku pandang teman aku yang
masih berdengkur. Tidur ke mimpi??? Aku bingung. Aku pandang lagi keluar
tingkap. Alamak!
“Ha! Mana mahu pigi? Semua
olang sudah tulun ma! Bayar lagi sekali lo!”
Perempuan Cina tadi sengih. Aku
pandang sekeliling dalam BMW. Tinggal aku dan teman aku saja. Aku pandang
pula keluar tingkap. Rupanya tempat itu tempat yang sama kami mula-mula naik
tadi. Maknanya kami dah naik BMW itu satu pusingan.
Aku tepuk dahi! Sekali lagi aku
kejut teman aku.
“Hoi! Bangunlah! Kita dah
sampai!”
Teman aku terpinga-pinga. Dia
cepat-cepat tekan loceng. Aku gelak sendiri.
“Amoi aa! Ini tempat sama jugak
! Mahu tulun ka mahu naik? Bayar lagi kalau mahu naik!”
Konduktor itu mula pandang
teman aku yang termangu-mangu. Mimpi agaknya!
“Hah?? Ni tempat aku naik tadi
ni! Apasal kau tak kejut aku?”
Aku sengih. Agaknya teman aku
lupa yang aku tak tahu sangat bandar KL ni.
“Err..ni BMW no berapa?”
Tiba-tiba teman aku tanya pada konduktor itu.
“Nombor sebelas maa!”
Teman aku tepuk dahi. Rupanya
dia tersalah naik BMW. Tak fasal-fasal hari tu kami bayar lagi sekali.
*****************
U TURN
Aku mula biasa dengan BMW. Tapi
aku masih ingin berteman jika keluar bersiar atau ada kerja di luar kampus.
Kadang-kadang aku terpaksa keluar seorang diri bila teman aku ada hal. Hujung
minggu itu pula aku ada hal penting di bandar KL. Aku kena pergi kedai
cenderahati untuk menempah medal buat hadiah pertandingan sketsa pada malam
kesenian Islam minggu depan. Nak tak nak aku sebagai AJK cenderahati, aku kena
bereskan segala kerja yang diberi.
Tak berani aku bawa motor
kapcai aku meredah hutan KL yang berliku. Maka dengan penuh yakin aku beranikan
diri menaiki BMW seorang diri. Masa sudah semakin suntuk. Aku perlu tempah pada
hari itu juga.
Aku menunggu BMW dengan penuh
sabar. BMW akan datang setiap setengah jam sekali. Aku pandang ke kiri. Dari
jauh aku sudah nampak warna merah jambu pudar mula mendekati aku. Aku angkat
tangan. BMW betul-betul berhenti di hadapan aku.
“Ada lalu itu jalan raja laut
ka?”
Perempuan yang agak gemuk
dengan seluar legging hanya angguk.
“Kompleks pertama!” Aku hulur
enam puluh sen sambil menaiki BMW.
BMW meluncur laju melalui jalan
Bangsar menuju ke Jalan Raja Laut. Kali ini aku sudah hafal laluan BMW. Aku
sudah periksa betul-betul nombor BMW tadi sebelum naik. Aku lihat jam tangan.
Sudah hampir pukul sebelas pagi. Ngam-ngam dengan waktu kedai dibuka nanti. Aku
lihat semua tempat duduk di bahagian hadapan sudah penuh. Terpaksa aku duduk di
tempat duduk belakang. Tempat duduk panjang. Aku terus duduk di sebelah kanan
dekat dengan tingkap. Tingkap yang separuh terbuka menyebabkan angin meniup
kuat ke arah aku. Tudung yang aku pakai terangkat. Aku terpaksa pegang supaya
tidak menggerbang. Beg sandang pula aku letak atas riba. Aku pandang lelaki
yang duduk di hujung kerusi sebelah kiri. Dia senyum. Aku agak dia juga
seorang pelajar macam aku memandangkan gaya dan lagaknya begitu. Aku pandang
pula keluar tingkap. Baru sampai di Bangsar. Aku panjangkan tengkuk melihat
arah depan. Jalan sesak teruk.
Bunyi hon mula bertalu-talu
melantun dari kenderaan yang mula tidak sabar. Aku mula berfikir. Inilah
yang dinamakan kehidupan KL. Bingit! BMW bergerak perlahan. Aku dengar dengan
jelas suara pemandu yang membebel dalam bahasa Cina. Satu apa pun aku tak
faham. Yang pasti, dia marah-marah. Aku pula hanya duduk sambil memegang beg
sandang aku dengan erat. Bimbang dalam keadaan sesak begitu, tiba-tiba ada
perompak masuk dan merompak. Aku kena berhati-hati. Aku jeling lelaki di hujung
kiri tempat kerusi panjang yang aku duduk. Dia juga mula rimas bila keadaan
jalan semakin sesak. Dari bergerak perlahan yang aku agak 20km/j, kini sudah
jadi statik. Sesekali lelaki itu melihat jam rolex yang dipakai di tangan
kirinya. Aku senyum. Mungkin beli di Petaling Street. Aku gelak sendiri. Begitu
jahat fikiran aku menuduh mamat itu. Setahu aku, jenama rolex mahunya dalam
lima ribu ke atas. Aku fikir lagi, kalau lelaki itu anak orang kaya takkan dia
naik BMW macam aku ni. BMW nya jauh lebih baik.
“Er..saudari senyum-senyum ni
kenapa?”
Aku tersedak kecil. Rupanya dia
perasan yang aku curi-curi tengok jam yang dipakainya. Aku mula pandang keluar
tingkap. Tidak hiraukan tegurannya tadi. Tapi dalam hati aku mula rasa
bersalah. Menganggap lelaki itu begitu. Aku diam tanpa apa-apa jawapan.
Tiba-tiba BMW itu mula buat U
Turn. Aku tak sempat berpaut pada tingkap. Mata aku pejam rapat-rapat. Takut
dengan tindakan pemandu brutal itu. Aku masih pejam mata. BMW masih bergerak
laju. Aku terasa ada sesuatu yang tidak kena. Kali ini tangan aku memeluk erat
sesuatu. Takut aku jatuh terjelepok bawah kerusi. Aku mula buka mata
perlahan-lahan bila terasa benda yang aku peluk tadi seperti tubuh seseorang.
Tiba-tiba aku dengar suara lelaki berdehem. Dekat dengan cuping
telinga aku. Sah! Aku terpeluk lelaki di hujung kiri aku.
“Mak!” Aku menjerit kuat.
Penumpang lain semua memandang ke arah aku. Mereka senyum-senyum. Ah! Mungkin
mereka ingat aku menggatal dengan lelaki itu atau lelaki itu memang pakwe aku!
Rupanya masa BMW buat U Turn
tadi, aku juga turut sama bergerak laju membuat U Turn. Sedar-sedar saja, aku
sudah rapat dengan lelaki tadi. Perkara yang tidak diingini berlaku juga pada
aku. Kali ini lain. Aku lihat dia hanya senyum. Senyum yang pada tafsiran
aku, senyum seorang yang gatal. Seolah aku sengaja datang merapati dan memeluk
dia. Argghh!!!!
Perlahan aku bangun sambil
memegang kerusi hadapan untuk berpaut. Aku duduk semula di hujung kanan. Kali
ini aku pegang dengan kuat tingkap di sebelah aku. Aku jeling lelaki di
sebelah. Dia masih senyum. Malunya tuhan saja yang tahu. Jelas yang aku
terpeluk dia tadi. Bukan sengaja!
BMW meluncur laju ke arah pusat
bandar. Tiba di jalan Raja Laut, aku mula tekan loceng. Aku segera turun tanpa
memandang ke arah lelaki tadi. Malu!
Tergopoh-gopoh aku menuju ke
kedai cenderahati yang terletak di aras satu Kompleks Pertama. Aku segera
mengeluarkan contoh cenderahati yang aku nak tempah nanti. Aku lihat jam, sudah
hampir satu tengah hari. Aku bergegas semula ke tempat menunggu BMW.
“Hah! Mamat ni lagi! Adoi! …”
Aku masuk semula ke dalam
Kompleks pertama. Tidak sanggup bertembung dengan lelaki itu lagi. Tidak!!
*****************
ORANG GILA
Aku sudah berjanji dengan teman
serumah untuk membantunya mencari bahan-bahan untuk tesisnya nati. Aku
mula mengemas beberapa nota dan mula melangkah ke arah tempat menunggu BMW.
Teman aku sudah menunggu aku di AU Keramat. Sebelum bertolak tadi, aku telah
tanya nombor BMW yang lalu di AU Keramat. Aku menunggu penuh sabar.
Sebaik BMW tiba, aku terus naik
dan membayar tambang. Aku jenguk tempat duduk kosong. H anya tempat duduk di
bahagian hadapan saja yang kosong. Nak tak nak, aku duduk juga di belakang
pemandu. BMW mula bergerak semula. Tiba di perhentian Pasar Seni, aku lihat
ramai yang sudah menunggu di situ. Masing-masing berebut menaiki BMW. Penuh.
BMW menuju pula ke arah Jalan
Bangkok Bank. Penumpang yang ramai tadi mula turun. Aku lihat ada yang bertukar
ke BMW lain yang menuju ke Bukit Bintang. Aku masih di tempat duduk. Penumpang
baru mula naik.
“Err..cik..ada orang kat sini?”
Aku pandang seorang lelaki agak
muda bertanya teragak-agak kepada aku tempat duduk sebelah aku yang sudah
kosong.
Aku senyum. Kalau
nampak ada orang tu..bukan manusia la namanya! Aku sengih sendiri. Aku lihat lelaki
itu duduk setelah melihat aku sengih begitu.
BMW bergerak laju. Seperti
biasa, lajunya mengalahkan kereta sport! Aku dah bersedia dengan memegang pada
tingkap. Takut pisang berbuah dua kali! Mana tahu tiba-tiba pemandu buat lagi U
Turn!
“Err..cik ni tak pernah naik
ke?” Lelaki itu pandang aku yang berpaut kuat pada tingkap.
Aku pandang sekilas. Hanya
senyum, malas nak jawab. Nanti banyak pula soalnya. Lelaki itu mula diam bila
soalannya tidak berjawab.
Tiba-tiba BMW berhenti
mengejut. Pemandu brek dengan kuat. Hampir tersondol kena tiang di belakang pemandu.
Lelaki itu sengih. Aku ketap bibir. Aku panjangkan tengkuk melihat ke arah
depan. Rupanya seorang lelaki tua dengan kemeja lusuh dan berseluar hitam mula
menaiki BMW yang aku naik.
Lelaki tua itu pandang ke arah
penumpang lain sambil tersenyum. Agaknya mengintai tempat duduk kosong. Aku
turut berpaling ke belakang. Semua penuh! Aku jeling lelaki sebelah aku dengan
harapan dia bagi ruang tempat duduk kepada lelaki tua itu.
“Encik..kesian pakcik tu.
Bagilah kat dia duduk.” Aku mula senyum terpaksa.
Lelaki itu turut senyum. Dia
mula bangun dan mengajak lelaki tua itu duduk. Lelaki tua itu mula duduk di
sebelah aku dan lelaki tadi mula berdiri di hadapan dekat dengan pemandu. Aku
sedikit lega sambil tersenyum kepada pakcik yang baru duduk sebelah aku.
“Anak dah kahwin?”
Tiba-tiba pakcik itu bertanya.
Aku geleng. “Saya masih belajar
lagi pakcik.”
Aku perasan lelaki tadi
merenung dan mendengar perbualan aku dengan pakcik. Dia kelihatan
tersenyum-senyum.
“Kenapa tak kahwin?”
Aku mula pening. “Pakcik..saya masih
belajar..baru 21 tahun.”
“Yalah..tapi kenapa tak
kahwin??”
Aku mula menggelabah. Pakcik
tua itu asyik bertanya soalan yang sama. Aku semakin gelisah. Nak lari dari
lelaki tadi, dapat pula pakcik tua yang banyak tanya.. soalan yang sama!
“Nanti saya kahwin.” Aku
akhirnya menjawab selamba.
“Dengan sapa?”
La…pulak dah! Aku semakin
pening. Pakcik tua itu tidak berkelip memandang aku.
“Err..” Aku tak tahu nak jawab
apa.
“Dengan saya pakcik!”
Aku dongak kepada lelaki yang
berdiri tadi. Tergamam dengan kata-kata lelaki itu. Adoi!!! Haru!!!
“Ohh…” Panjang pakcik itu
berkata sambil mengangguk-angguk.
Tiba-tiba pakcik tua itu
berdiri dan menyuruh lelaki tadi duduk semula di sebelah aku. Pakcik itu mula
berdiri di depan dekat dengan pemandu sambil memandang ke arah semua
penumpang.
“Selamat bersanding…pengantin
baru!!”
Aku terkejut. Tiba-tiba saja
pakcik tua itu menyanyi lagu pengantin baru! Siap berjoget lagi! Aku pandang
lelaki sebelah aku. Dia juga turut tercengang dengan gelagat pakcik tua itu
yang tiba-tiba menyanyi lagu pengantin baru.
“Selamat pengantin baru..semoga
berkekalan…lalalala…”
Pakcik itu masih menyanyi
dengan nyaring. Penumpang di bahagian belakang mula bersorak dan bertepuk
tangan, menggalakkan pakcik itu meneruskan nyanyiannya. Aku mula menggelabah.
Aku jeling pula lelaki sebelah. Dia turut menggelabah.
“Pakcik! Dah sampai rumah
pengantin baru!”
Tiba-tiba pemandu berhenti dan
menyuruh pakcik tua itu turun sambil tersenyum. Pakcik itu terus turun sambil
melambai-lambai ke arah pemandu dan kepada aku dan lelaki itu. Sempat dia
membuat ‘flying kiss’.
“Jangan takut. Pakcik tu memang
begitu. Dia suka tengok amoi cantik! Mesti dia tanya fasal kahwin!” Pemandu itu
menoleh ke arah aku dan tersenyum.
Aku terdiam. Rupanya pakcik tua
itu penumpang tetap BMW itu.
Tiba di kawasan AU Keramat, aku
terus tekan loceng dan cepat-cepat turun. Aku lihat lelaki tadi juga turut
turun di situ.
“Cik..maafkan saya ya. Tak
sangka pulak pakcik tu buat macam tu! Saya melawak je tadi fasal awak kahwin
dengan saya tu!”
Lelaki itu beria meminta maaf.
“Tak pa..” Aku tergopoh-gopoh
berjalan laju menuju ke tempat teman aku menunggu di seberang jalan.
-
-
-
-
Bas Mini Wilayah...kini hanya
tinggal kenangan