rss

Yuzila melangkai longlai menuju ke kafeteria. Perut yang tadi berdondang sayang, kini sunyi, menemani perasaannya yang kosong saat ini. Pejumpaan tidak terancang dengan coursematenya, Syarifah sebentar tadi benar-benar menyesakkan fikirannya.

Saat kaki melangkah masuk ke kafeteria, matanya melilau mencari kelibat lelaki yang berjaya mencuri hatinya setahun lalu. Akhirnya, matanya tertancap pada seorang lelaki yang ringkas berbaju biru langit dengan seluar track hitam. Dia tersenyum kecil.

“Lama sampai?” sapa Yuzila sambil menarik kerusi untuk sama-sama duduk di sisi Amerul.

“Tumbuhlah juga misai, sehelai dua,” jawab Amerul sambil tersenyum. Yuzila cuma tersengih pendek.

“Kenapa lambat?” Tanya Amerul lantas memaksa Yuzila mengenang kembali pertemuannya dengan Syarifah tadi. Dia tersenyum kelat sambil melepaskan keluhan kecil.

“Terserempak dengan Sarip tadi. Ada bincang something,” jawab Yuzila ringkas, malas mahu memanjangkan cerita. Amerul cuma mengangguk, kenal dengan sikap Yuzila yang kadangkala agak berahsia.

“Dah order makanan dah? Laparlah,” sengaja Yuzila mengalihkan topik perbualan.

“Dah. Kejap lagi dapatlah kot,” jawab Amerul. Mereka meneruskan perbualan seperti biasa. Sedikit terlupa Yuzila dengan pertemuannya dengan Syarifah sebentar tadi.

Yuzila tekun melihat skrin monitor notebooknya. Tugasan yang diberikan perlu dihantar esok. Walaupun sudah bertungkus lumus sejak seminggu lalu, tugasannya masih perlu diperbaiki lagi.

Fokusnya terhenti saat nada dering ‘Realize’ nyanyian Colbie Caillat mematikan gerak tangannya yang ligat menaip. Matanya tertancap pada nama yang tertera pada skrin telefon bimbitnya yang tertera nama ‘Sarip’. Dia menelan air liurnya berkali-kali mengenangkan pertemuan mereka siang tadi.

“Oi Yuz! Kau dah buat belum benda yang aku minta tolong tu?” begitu teruja Syarifah bertanya sejurus selepas Yuzila menjawab panggilannya, langsung tiada mukadimah.

“Belum lagi. Esoklah,” Yuzila menjawab malas. Mendengarkan jawapan ringkas Yuzila, Syarifah mengomel panjang. Sepatah perkataan pun tidak dapat di fahami oleh Yuzila.

“Oi dude. Kau serius ke? Rasionallah sikit. Mengarutlah kau nak suruh aku buat macam tu,” Yuzila berkata perlahan, mematikan omelan Syarifah.

“Seriuslah babe. Aku tak mainlah cikai-cikai bab ni duh!” sedikit kasar kata-kata Syarifah di telinga Yuzila. Namun, mengenangkan Syarifah yang memang tomboy, Yuzila cuma diam.

“Tapi, benda ni mengarutlah,” Yuzila masih mencuba nasib untuk memujuk Syarifah.

“Oi dude. Kalau kau buat, tak mengarut. Kalau aku yang buat, confirm budak-budak pandang senget habis duh! Kau ni kepohlah. Benda kecil pun nak gelabah,” Syarifah sudah malas mahu melayan kerenah Yuzila yang di anggapnya remeh sungguh. Yuzila cuma terkulat-kulat, tidak tahu bagaimana ayat yang sesuai untuk di tuturkan.

“Sarip, dia perempuan. Kau pun perempuan. Kau nak nombor telefon dia buat apa? Jangan nak cakapyang kau nak ambik dia jadi adik angkat! Blah aku nak percaya,” Yuzila akhirnya berjaya meluahkan kata-kata yang di simpan sejak tadi. Syarifah di talian tergelak kuat.

“Dude, come on la. Zaman ni modenlah. Sekarang ni, aku minta tolong kau dapatkan nombor telefon dia je. Lepas tu, aku carry on ok? Dia kan budak team teater kau. Bukan payah sangat pun,” Syarifah cuba berlembut tapi langsung tak termakan dek Yuzila yang masih tak mempercayai permintaan Syarifah.

“Tengoklah nanti,” akhirnya Yuzila membuat kata putus.

“Esoklah babe. Esok kau bagi aku ye? Thanks babe!” Syarifah memutuskan talian, meninggalkan Yuzila dalam keadaan terdesak. Mahu membantu kawannya berlaku ‘sedikit songsang’ atau tidak.

Yuzila cuba menumpukan perhatiannya pada tugasan yang tergendala tadi. Puas dia cuba untuk focus, tapi fikirannya masih enggan melepaskan permintaan Syarifah.

‘Nombor telefon je kan? No big deal. Maybe dia nak kawan-kawan je. Kalau dia nak lebih pun, tak semestinya budak tu nak’. Yuzila cuba menyedapkan hatinya sendiri. Akhirnya, dia mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi rakannya yang diyakini mempunyai nombor telefon pelajar tahun satu yang diminta Syarifah.

“Thanks babe! Kaulah member aku seumur hidup ini!” begitu gembira Syarifah saat Yuzila menghulurkan secebis kertas tertulis nombor telefon Munirah, pelajar tahu satu itu. Dia menepuk-nepuk badan Yuzila sambil mencium kertas itu.

“Don’t go too far,” sempat Yuzila berpesan.

“Too far? Pergi mana babe?” sengaja Syarifah membakar hati Yuzila. Tergelak besar Syarifah dengan kata-katanya sendiri. Yuzila di sisinya cuma membatu, tidak pasti dengan keputusannya itu.

“Kau ni, modenlah sikit. Kuno sangat. Jom aku belanja kau makan!” Yuzila tergelak lagi sambil mengambil begnya untuk keluar daripada kelas.

“Moden kau! Ovum plus ovum won’t do. You still need a sperm to get a zygote,” sempat Yuzila mencebik kasar. Entah falsafah apa yang dia utarakan, asalkan Syarifah faham. Langsung tak di anggap kata-kata itu sebagai gurauan.

Sudah hampir 3 bulan sejak peristiwa itu berlaku dan kini, Yuzila cuma tahu yang mereka masih lagi berhubung. Menurut kata Munirah, hubungannya dengan Syarifah seperti adik dan kakak. Tidak pula pada Syarifah. Katanya, dia ingin mengambil tindakan seterusnya. Yuzila tidak mahu masuk campur. Dia cuma mampu menasihati Syarifah agar rakan karibnya itu tidak terlalu songsang.

Yuzila sedar, perkara ini bukan sengaja di buat-buat. Naluri Syarifah yang menyukai kaum sejenis bukanlah sesuatu yang di pinta Syarifah sendiri. Cuma, Yuzila berharap agar suatu hari nanti Syarifah akan berjaya mengawal nafsunya serta berusaha untuk membuka pintu hatinya pada insan bergelar lelaki. Itu doanya.

“Yuz, esok aku keluar dengan Mun. Smart tak?” Syarifah mula membuka ceritanya. Yuzila sedikit tergamam. Selama ini, mereka pernah juga keluar berdua, tapi kenapa Syarifah nampak lain hari ni?

“So?” Yuzila buat-buat bodoh.

“Aku nak confess!” tercekik Yuzila dibuatnya saat itu. Dia berdehem beberapa kali sambil mencari ayat yang sesuai untuk di tuturkan.

“Kau kata, dia dah ada pakwe,” Yuzila sengaja memburukkan mood Syarifah ketika itu dan dia ternyata berjaya. Syarifah mendengus kasar.

“Baru pakwe, bukan laki dia. Even laki bini pun boleh cerai, ini setakat couple. Blah lah. Lagipun, budak-budak ni asyik gaduh, babe. Dia sendiri cerita kat aku. Lama-lama putuslah tu,” kata Syarifah yakin. Lain yang diharapkan, lain pula yang jadi. Yuzila cuma membisu, hilang kata-kata yang bernas.

“Whatever,” balas Yuzila malas. Sungguh dia mula penat dengan Syarifah. Sudah berbuih mulutnya memberi nasihat, tapi apakan daya. Bukan sukar untuk menutup pintu hati seseorang yang kemaruk cinta. Sebagaimana dia jatuh cinta pada Amerul, begitu juga perasaan Syarifah yang jatuh sayang pada Munirah.

“Yuz, takkanlah pasal Mun kau nak gaduh dengan aku? Come on la dude. Kita kawan. Aku tahu, kau benci sangat bila aku cerita pasal Mun kan? Tapi, aku pun nak juga share dengan someone yang aku percaya. Aku sedar, benda ni mengarut. Tapi….” Syarifah terdiam dengan kata-katanya sendiri. Begitu juga Yuzila. Dia sendiri tak tahu bagaimana dia mampu merungkaikan soal hati dan perasaan sedangkan dia sendiri pernah jatuh cinta. Bezanya di sini, Amerul ialah lelaki dan Munirah ialah perempuan. Yuzila sering terfikir untuk membantu Syarifah, tapi dia tak mampu.

“Aku cuma harap, suatu hari nanti kau akan jumpa Mr. Right kau. Mr.!” sengaja Yuzila menekankan kata-kata Mr. tadi. Lagaknya seolah-olah menyokong, tapi dalam hatinya tak henti-henti berdoa.

“Dude, semalam memang bestlah,” sekali lagi Syarifah membuka cerita ketika mereka sedang menikmati makan malam. Semalam, mereka keluar berdua dan bak kata Syarifah, dia ingin meluahkan perasaannya pada Munirah. Entah apa yang terjadi, Yuzila pun tak tahu.

“Ye ke?” Yuzila berbasa basi. Syarifah cuma tersengih. Makin lama dia bercerita, makin lebar sengihannya.

“Dia senyum time aku confess,” Syarifah mengangkat keningnya, cuma sebelah. Yuzila diam.

“Dia tak jawab, tapi ada harapan kot?” Syarifah mula berbunga-bunga. Melihatkan Yuzila yang cuma diam, dia cuma tersenyum kecil.

“Sarip,” Yuzila memanggilnya tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya. Terhenti suapan Syarifah saat itu.

“Korang dua ni serius ke?” perlahan Yuzila bertanya sambil memandang tepat ke anak mata Syarifah yang bundar itu. Syarifah diam. Dia tunduk menguis-nguis makanan di pinggannya. Dia menggerakkan bibir dan pipinya seolah-olah ingin bertutur, tapi sepatah perkataan pun tidak terkeluar. Lama mereka terdiam.

“Sekarang ni, aku seriuslah,” ringkas jawapan Syarifah membuatkan Yuzila memejamkan matanya rapat sambil mengetap bibirnya.

“Tapi, esok lusa siapa tahu. Kot-kot, aku suka kat jantan pula,” sambung Syarifah lagi. Kali ini, Yuzila mengangkat mukanya, sedikit terbeliak matanya. Terkejut dengan pengakuan Syarifah yang langsung tidak memandangnya saat itu. Nasi yang di kuis, di pandang sepi.

“Dude, aku blah dulu. Kenyang dah,” kata Syarifah sambil mengangkat punggungnya untuk berlalu. Yuzila cuma menghantarnya pergi dengan pandangan sepi. Namun, dalam hatinya tidak sudah-sudah bersyukur. Sekurang-kurangnya, Syarifah ada memikirkan ‘Adamnya’.

Sejak kejadian di cafeteria malam itu, tiada lagi cerita mengenai Munirah yang di dengar oleh Yuzila. Munirah ada juga menegurnya jika terserempak. Yuzila pun langsung tidak bertanya walaupun hatinya begitu memberontak untuk mengetahui status hubungan mereka.

Persahabatannya dengan Syarifah berjalan seperti biasa. Langsung tisada tanda-tanda pergaduhan atau perselisihan faham dan kerana itulah, Yuzila mengambil langkah untuk berdiam. Malas mahu mengungkit perkara yang lepas. Begitulah keadaannya sehinggalah mereka graduasi dan mula bekerja di kampung halaman masing-masing.

Hari-hari Yuzila berjalan seperti biasa. Hubungannya dengan Amerul juga lancar setakat ini. Malah, mereka akan melangsungkan pertunangan pada hujung tahun ini. Yuzila dan Syarifah sudang jarang berhubung. Kadangkala, ada juga mereka berbalas sms atau berchatting di ruang siber tapi tidaklah serapat dahulu.

Pada suatu hari, ketenangan Yuzila di ragut dengan kehadiran sekeping kad jemputan perkahwinan. Melihatkan nama ‘Syarifah & Badrul’ membuatkan jantungnya sedikit tersentak. Tanpa berfikir panjang, dia terus menghubungi Syarifah.

“Sarip! Kau nak kahwin?!” tanpa mukadimah, habis Syarifah disergahnya. Syarifah cuma tergelak besar di hujung sana.

“Aku nak offer kau jadi pengapit ni dengan syarat, kau kena nampak buruk time aku sanding. Kalau tak, aku tenggelam,” Yuzila melopong. Masih terbuka mulutnya walaupun tiada ayat yang dia keluarkan. Dia cuma tergamam tidak sudah-sudah. Syarifah cuma ketawa berdekah-dekah dengan kata-katanya sendiri.

“Betul ke ni?” Yuzila masih mahu mendapatkan kata putus. Tawa Syarifah bertukar nada. Dia tidak lagi ketawa tapi bibirnya mengukir senyuman panjang. Dia mengangguk kecil. Walaupun, Yuzila tidak mungkin melihat anggukannya, Yuzila tiba-tiba mengucapkan Alhamdulillah di dalam hatinya.

“Thanks to you, Yuz,” kata Syarifah tiba-tiba.

“Aku?”

“Soalan kau masa tanya aku serius ke tak dengan Mun buat aku sentap jugalah! Menusuk kalbu gila time tu,” Yuzila tersenyum lebar, gembira dengan kata-kata Syarifah. Terharu dia saat itu.

“Thanks to Badrul juga sebab hensem dan kaya! Berjaya memikat aku,” Syarifah ketawa lagi. Kali ni, Yuzila sama-sama menyertai gelaknya. Mereka terus berbual panjang, mengenai Badrul, perkahwinan mereka, Amerul dan macam-macam lagi. Walaupun Yuzila sudah lama ingin bertanyakan Munirah, tapi niatnya serta merta mati mendengarkan suara Syarifah bercerita kerana dia dapat merasakan bahang percintaan Syarifah dengan Badrul, Adamnya.

“Thanks…. sebab support aku dan dalam masa yang sama, advice aku. Walaupun nasihat kau buat aku sakit hati je, sometimes it is… just work,” mendalam maksud kata-kata Syarifah di telinga Yuzila saat itu. Dia cuma mampu tersenyum dan memanjat syukur.


“Kamu, kalau rasa gatal sangat nak berboyfriend, don’t you dare let your boyfriend hold your hand or else, he’ll be brave enough to touch places he shouldn’t. Is that understood?” lantang Miss Elly bersuara memberi peringatan kepada 32 orang pelajar di hadapannya kerana dia terserempak dengan seorang pelajar kelas itu di bandar berpeluk sakan dengan seorang pelajar lelaki sekolah sebelah. Budak lelaki tersebut memang handsome. Sayangnya budak tersebut masih budak hingusan.

‘Mentang-mentang dia cikgu, suka hati dia aje nak understood, understood orang!’ gumam Lil dalam hati, tidak berani menyuarakannya. Bimbang juga nanti kena denda jadi Personal Assistant Miss Elly macam si Jeriko Tomboy pada Khamis lepas. Kesalahan Jeriko ialah dia baling pen marker dari belakang kelas, konon-konon sasarannya Lil yang sedang buat gelek gerudi ala-ala Inul di depan kelas, sekali tersasar dan terkena tepat di dahi Miss Elly yang meluru masuk ke dalam kelas. Sudahnya, setiap kelas Miss Elly masuk, Jeriko wajib ikut. Gerunlah kalau sepanjang hari kena ikut Miss Elly si andartu tu. Sudahlah mood tak menentu, sepanjang masa dibantainya speaking macamlah dia orang putih, padahal orang Batang Berjuntai je. Pelajar yang hendak bercakap dengan Miss Elly perlu speaking juga. Kalau tak, mulalah dia pura-pura tak faham. Whatever!

Lil sengih-sengih teringatkan muka Jeriko waktu pen marker terkena dahi Miss Elly. Jeriko gamam. Matanya yang kuyu jadi bulat dek terkejut. Perkataan yang terkeluar dari mulutnya cuma ‘alamakkkkkkkkk!’ tapi waktu itu nasi sudah jadi tahi, apa boleh buat lagi. Muka Miss Elly, tak payah cakaplah, merah padam dan terus menyinga apabila dilihatnya melalui cermin bedak kompak ada kesan merah tertinggal di dahi. Selepas itu bermulalah sesi khas ‘Pok Pek Bersama Elly’ dan seperti biasa, semua 32 orang pelajar perlu menjadi pendengar setia. Setiap kali teringat saat itu, mesti Lil senyum, tapi entahlah mengapa kali ini dia ketawa. Mungkin kerana Miss Elly ada di depan dan Jeriko di sebelah Lil – mangsa dan pesalah, kedua-dua ada di dalam ruang yang sama.

You at the back, I’m trying to give you a lesson about life and you’re laughing at me?” dengan jarinya menunding ke arah Lil dan tangan sebelah kanan mencekak pinggang, mata buntang, suara Miss Elly kuat kedengaran. Memang pandai multi-tasking Miss Elly ni.

Betul, Lil sudah tersalah langkah. Dia seperti mahu ketuk-ketuk kepala dia ke meja guru tanda menyesal tidak berjaya mengawal dirinya dari ketawa sebentar tadi. Entah-entah dia juga akan menerima hukuman seperti Jeriko atau mungkin lebih teruk dari itu. Oh tidak!

Errr…I… I… I remember story yesterday. Err… story Raja Lawak at Astro. Very good one. I laugh until I feel I want to guling-guling on the floor…” tergagap-gagap Lil menjawab. Begitulah apabila orang yang tidak reti speaking terpaksa speaking ketika sedang cuak. Sekali lagi Lil rasa hendak hantuk kepala ke meja guru. Macam tiada modal lain! Lil sekadar memandang lantai sambil menguis debu di lantai kelas, menunggu dijatuhi hukuman.

Satu minit.

Dua minit.

Lil masih menunggu hukuman yang bakal dikenakan. Dia tidak berani memandang Miss Elly.

Tiga minit.

Lil rasa sudah lama dia menunggu. Biasa Miss Elly cepat menghukum. Lil angkat muka. Dia pandang Jeriko di sebelah. Muka Jeriko memandang ke depan, wajahnya suspense macam ada yang tak kena. Dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak, Lil memberanikan diri memandang ke arah Miss Elly.

Miss Elly sedang berdiri tegak. Matanya dipejamkan. Turun naik nafas Miss Elly cuba dikawal perlahan. Eh, si andartu ni buat senaman yoga dalam kelas Bahasa Inggeris ke? Ini bukan waktu Pendidikan Jasmani! Lil pandang kawan-kawan sekelasnya yang lain. Semua mata tertumpu ke arah Miss Elly. Mungkin dalam benak masing-masing sama macam Lil, pelik dan tertanya-tanya apa yang terjadi sebenarnya.

Tatkala kelas 4 Cun senyap sunyi seolah-olah semua orang baru sudah dilempang guru Bahasa Inggeris mereka, tiba-tiba Miss Elly duduk di atas kerusi yang warna birunya sudah luntur. Kerusi itu sebenarnya khas untuk guru-guru yang suka mengajar dengan gaya seorang pemalas. Miss Elly jarang duduk di atas kerusi tersebut sebab Miss Elly tahu reputasinya akan jatuh jika dia suka duduk di situ walaupun setiap kali mengajar kelas 4 Cun, geram sungguh dia melihat kerusi biru itu. Pernah Miss Elly ketap bibir sebab sangat mahu duduk tapi dia bimbang pelajar-pelajar akan mengutuk cikgu mereka yang anggun jelita itu lenguh memakai kasut bertumit tinggi. Sewaktu Miss Elly duduk satu kelas secara automatik duduk dengan sangat tegak macam tentera yang sedang berbaris, takut jadi mangsa seterusnya mungkin.

I need to go,” kata Miss Elly sambil menulis sesuatu di atas papan putih.

RAJA LAWAK.

Hanya perkataan itu tertera. Miss Elly meninggalkan kelas dengan tugasan buat 32 orang pelajar kelas 4 Cun yang sangat disayangi. Mereka wajib menulis tentang Raja Lawak sekurang-kurangnya 350 patah perkataan dalam Bahasa Inggeris.

Semua dalam kelas tersebut gelabah. Tentang kekasih hati pun mereka tidak pandai tulis sehingga 350 patah perkataan dalam Bahasa Inggeris, apa lagi tentang Raja Lawak. Jika mereka gagal menulis sepanjang 350 patah perkataan, alamatnya semua mereka kena jemur di padang sekolah sebelah. Sahlah mereka akan malu besar sebab boyfriend mereka semua bersekolah di sana. Jatuh reputasi nanti!

Semua geram. Muka masing-masing sudah merah menahan marah. Semua sudah lipat lengan baju seragam mereka, ada juga yang menyelak tudung. Jeriko selak kain. Dalam kain Jeriko ada seluar skinny jean yang memang dipakai khas untuk memudahkannya membelasah siapa-siapa yang membuatnya tidak selesa. Kelas 4 Cun sangat marah kepada Lil kerana disebabkan Lil, mereka perlu menulis tentang Raja Lawak dalam Bahasa Inggeris sekurang-kurangnya 350 patah perkataan.

“Apa lagi, serangggggggggggggggggg…!”

Sepantas mungkin Lil berlari. Sambil berlari dia berharap dia boleh lari selaju cahaya. Sambil berlari, Lil toleh ke belakang. Jeriko pun turut mengejar Lil. Sambil berlari, Lil menyumpah Jeriko. Dia merasakan Jeriko sebenarnya yang salah sebab Lil ketawa kerana Jeriko.

Di sebalik tangga bersebelahan kelas 4 Cun, Miss Elly menjenguk. Dia melihat Lil dikejar oleh pelajar-pelajar lain sambil tergelak besar.

“Padan muka! Lain kali, main-mainlah lagi dengan aku.”

Miss Elly berlalu ke bilik guru. Hatinya senang.


Aku segan. Seriously speaking. Tak tipu langsung. Pandanganku hanya mampu ditalakan ke lantai simen. Berdiri di sini lama-lama mampu membuatkan aku sesak nafas. Pandangan itu. Aku takut. Pandanganku beralih ke arah bangunan usang di sebelah kanan. Tidak semena-mena langkah kakinya menuju ke arah itu. Aku gusar. Tidak tentu arah dibuatnya.

Kenapa perasaan ini mesti hadir? Pada saat aku cuba untuk lari jauh daripadanya.

Pantas kupalingkan wajahku ke kiri. Lagak yang tidak ubah bagai anak sekolah yang mahu melintas jalan. Tertoleh-toleh ke kiri dan ke kanan. Sungguh. Aku tidak mengerti makna di sebalik semua ini. Dia kembali ke posisi asal. Di sebelah kiriku. Tidak larat untuk bermain permainan bisu seperti ini lagi,aku pula yang mundar-mandir di situ. Sikapnya yang aneh tanpa apa-apa bicara membuatkan aku takut untuk beranggapan. Takut salah faham.

Memang selama ini aku dan dia tak pernah buka mulut setiap kali kami bersua. Meskipun dalam kelas yang sama. Dengan orang lain tidak pula begitu. Ah! Aku juga sama sebenarnya.

“Dya!” Laungan dari kejauhan itu membuatkan aku tersentak.

Hampir tersembur susu coklat yang baru sahaja berura-ura mahu sampai ke trachea. Pantas aku mengelap saki baki susu di pinggir bibir. Saat aku ingin membuka penutup tong sampah, tangannya terlebih dahulu mencapainya.

“Bagi sini kotak kemik tu,” Tegas suaranya membuatkan mataku bergenang. Sedaya upaya aku cuba mengawal perasaan.

Untuk apa dia melakukan semua ini? Membantu?

“Tak apa. Saya ada tangan sendiri.” Balasku. Mendatar. Tidak beriak.

Aku perhatikan riak wajahnya yang berubah tiba-tiba. Perasaan bersalah mula menerpa.

Salahkah aku?

Terasakah dia?

“Err…terima kasih. Tapi, saya boleh buat sendiri.” Aku cuba membetulkan keadaan. Berharap agar dia terpujuk.

Kotak minuman di tanganku direnggut kasar. Dibuangnya ke dalam tong sampah. ‘Huh! Ada jugak manusia macam ni’ dengusku. Mengeluh kecil. Pantas langkah kakiku terarah ke dalam dewan kuliah yang baru sahaja kosong. Dia sekadar memandangku dengan pandangan kosong. Mengharapkan aku mengucapkan terima kasih buat kali kedua? Boleh jalan daa.. Bukan aku yang mintak tolong pun?

Hisy, tak pernah dibuat dek orang mintak tolong buang sampah yang seciput itu.

Ikutkan hati,mahu sahaja aku suruh dia tolong mak cik cleaner buangkan sampah kat kolej aku tu. Baik sangat nak tolong orang tak bertempat. Tapi, tak terluah.

“Dya, kau pergi mana tadi?” Soal Lyn,teman kuliahku merangkap roommate aku. Lyn a.k.a Cik Chumeyl. Nama gelaran paling sweet yang abang ‘terchenta’ dia hadiahkan sebab kecomelan dia yang dah sampai tahap maksimum. Aku tergelak sendiri. Irsalina. Sahabat pertama yang aku kenal di kampus ini.

Lamunanku terhenti tatkala terdengar garau suara milik Prof. Akmal memberi salam. Cuak.

“Okay, class. I’ll revise on the previous topic about Legal maxims. Definition of legal maxims, please?” Aku sudah tertunduk. Mana tidaknya, semalam Prof. dah pesan supaya baca pasal topik ni, aku sahaja yang lupa. Konon-konon nak layan cerita korea sekejap. Akhirnya, terlena mimpikan mamat korea tu.

Lyn menyiku lenganku. “Dya, Prof. tanya kau la…” Perlahan tuturnya.

Mulutnya terkumat-kamit mengatakan sesuatu yang kurang jelas di pendengaranku. Wajah Lyn yang gelisah itu sudah cukup membuatkan aku faham. Seisi dewan kuliah sedang memandangku.

“Sorry, Prof. What’s the question again?” Lyn sudah menepuk dahi. Aku mengetap bibir. Malu.

Sebaik sahaja soalan itu selesai diutarakan kembali kepadaku, aku sudah tertunduk tanda tidak tahu. Itulah yang sering kali aku lakukan. Tiba-tiba, segumpal kertas dari belakang terkena kepalaku. ‘Untung stickpad, kalau tidak memang dah benjol kepala geliga aku ni’. Aku mengomel sendirian. Perlahan-lahan aku buka gumpalan kertas itu.

maxims = principles

Tertera tulisan tangan yang tercoret kemas di atas kertas kumal itu. Aku meninjau keadaan di belakang. Tertanya-tanya gerangan arjuna yang sanggup membantu aku. Betul ke lelaki? Entah-entah member perempuan yang baik hati.

Ya! Baru aku teringat akan tajuk yang Prof. sebutkan tadi . “Prof?” Aku melambai-lambai tatkala melihat Prof. Akmal sudah tidak lagi fokus kepada aku. Dengan penuh semangat, aku menerangkan definisi legal maxims kepada lelaki separuh abad itu. Usai kelas, aku tersenyum puas.

“Nasib baik ada stickpad yang entah dari mana datangnya tadi. At least, tak adalah aku ‘goreng dengan kuali tak berisi’, kan?” Ujarku kepada Lyn sambil tanganku pantas mengemas buku dan nota-nota di meja.

Dewan kuliah sudah hampir kosong. Nota kecil yang bergumpal itu melayang-layang di hadapanku tatkala terjatuh dari meja. Cepat-cepat aku selitkan ke dalam buku rujukan.

Lyn masih terpinga-pinga dengan frasa ‘goreng dengan kuali tak berisi’ yang aku sebutkan barangkali. Dahinya berkerut-kerut.

“Apa lagi yang kau fikir tu, Lyn?” Aku sekadar berbasa-basi meskipun sudah jelas. Sengaja.

“Apa maksud kau, goreng dengan kuali tak berisi tu? Tak faham. Tak pernah jumpa pun dalam peribahasa.” Omel Lyn. Budak sastera. Semua peribahasa dia hafal.

“Cik Chumeyl yang comel, maksud aku tadi, aku jawab tu dengan fakta bukan dengan auta semata-mata la. Susah sangat ke nak faham?” Aku mengusik. Dia mengangguk.

“Baru faham. Ya, aku tahu lah aku ni ‘lampi’. Tak macam kau, senang pick-up.” Hatinya mudah benar terasa. Sensitif. Kalau dah namanya perempuan, memang lumrah. Aku memujuk. Menceriakan hatinya agar berbunga kembali.

“Ala, Lyn. Aku gurau. Saja nak manja-manja dengan kau. Janganlah ambik hati ya? Jom aku belanja kau bola-bola api. Nak?” Pantas senyumannya kembali mekar.

Bola-bola api. Bebola ikan yang berwarna oren. Tunang merangkap cik abang tersayang selalu belikannya bebola untuk memujuk. Sebab itu lah aku gelarkan bebola itu bola-bola api. Asal Lyn marah atau merajuk, bebola itu yang memujuk. Memang rajuknya tidak mampu berpanjangan.

Langkah kami seiringan menuju ke kafeteria.

Hadwan Qayyum. Tag nama di lab coat itu mengganggu tumpuanku. Peristiwa petang tadi menyerbu fikiranku yang sedia kusut.

Kuliah yang bermula jam dua petang membuatkan aku kalut. Mana tidaknya, usai solat Zuhur, aku bercadang untuk baring seketika tapi terlelap sehingga jam 2.10 minit petang. Laju sahaja langkahku tanpa menghiraukan orang sekeliling. Sudahlah petang itu ada trial di moot court lagi.

‘Nur Damia. Relax. Jangan gelabah. Lecturer masuk lambat hari ni.’ Aku cuba menenangkan perasaan sendiri. Buat masa ini, itu yang terbaik.

“Aduh!” Aku terjerit kecil tatkala bahuku dirempuh seseorang. Dari arah bertentangan. Sama kalut seperti aku lagaknya.

“Sorry.Sorry.” Hanya itu yang mampu aku ucapkan sambil mengutip segala barang yang berselerakan di atas lantai.

Laju sahaja kau menghayun langkah pergi. Dia pun sama.

Sewaktu masuk ke dewan kuliah, beberapa pasang mata memandangku aneh. Meskipun aku lewat, itu bukan persoalannya kerana lecturer masih belum tiba. Ada sesuatu yang mereka lihat padaku.

Comot lipstick? Tidak sempat langsung untuk aku calitkan tadi.

Bedak tebal? Tidak juga.

Baju terbalik? Aku memeriksa segenap inci pakaianku. Tiada yang pelik.

Sudah itu, apa yang mereka pandangkan? Lyn pantas melambai-lambai ke arahku. Sebaik sahaja aku duduk, teguran Lyn membuatkan aku terkedu.

Diam seribu bahasa.

“Cantik robes nak masuk moot court? Dah tukar dengan doktor mana ni? Tiba-tiba je jadi lab coat.” Aku menepuk dahi. Alamak! Macam mana boleh tertukar?

Aku memeriksa segenap poket lab coat milik lelaki itu. Tiada apa-apa dokumen berkaitan melainkan bungkusan NIPS yang kosong.

Aku mengeluh. Bagaimana nak pulangkan kalau tak kenal?

Malam semakin larut. Mataku masih tidak dapat lelap. Semuanya gara-gara khuatirkan robes kesayanganku itu. Satu-satunya. Hadiah pemberian arwah ibu yang merupakan bekas hakim mahkamah syariah. Aku mampu tersenyum bangga tatkala pakaian itu disarungkan ke tubuh.

Hadwan Qayyum. Nama itu berlegar-legar di fikiranku. Mustahil untuk aku mencarinya dalam puluhan ribu manusia di sini. Argh! Makin difikirkan, makin stress aku dibuatnya. Sudahnya, aku tertidur entah jam berapa malam itu.

“Lain kali jangan lewat. Nanti semua orang kau langgar.” Omel lelaki itu sambil menghulurkan robes yang tertukar semalam.

Khairul Anam. Nama itu yang sering kali melewati bibir setiap lecturer kerana kepetahannya berbicara. Seolah-olah segalanya dibaca.

Hebat. Aku kagum dengannya tapi, sikapnya terkadang membuat aku menyampah.

Aku masih terpinga-pinga.

“Macam mana boleh ada pada kau?” Soalku tanpa sempat mengucapkan terima kasih atas bantuannya.

Seandainya dia tahu, pakaian itu bagaikan nyawa buatku. Dia diam buat seketika. Masih berkira-kira untuk membuka cerita. Sedetik kemudian, dia melangkah pergi. Aku cuma mampu ternganga.

Bengang.

Dia memang tak ada perasaan. Kalau boleh digambarkan dalam matematik, dia adalah linear graph, barangkali.

Aku tersenyum senang. Hatiku berbunga riang. Siang tadi, aku terima chocolates bar. Kiriman Hadwan, sebagai tanda maafnya kepadaku.

Khairul Anam yang menjadi pak cik posmen.

Nota sisipannya tidak bermadah, sekadar sepatah tulisan berangkai indah menyatakan maaf. Tetapi, jiwaku terasa lapang. Minda yang kusut dengan masalah seolah dileraikan.

Lab coat miliknya masih dalam simpananku. Aku berura-ura untuk menyerahkannya sendiri.

“Bagi sini lab coat tu. Nanti aku pulangkan pada tuan dia,” Mendatar nada suaranya. Sudahlah bercakap tidak pandang orang. Seolah-olah aku ini tunggul kayu pula tercegat di situ.

“Aku nak bagi sendiri. Kau cakap pada dia, aku jumpa kat kafe pukul 3 petang nanti.” Dia sekadar mengangguk lemah. Pantas tangannya menghantar SMS kepada Hadwan. Sempat juga aku curi-curi tengok.

Minah senget tu nak jumpa kau pukul 3 petang kat kafe

Minah senget? Suka hati dia kutuk aku. Apa dia ingat, dia tu betul sangat?

Kurang asam jawa, asam boi, asam masin punya mamat.” Aku mengomel sendirian sambil mengemas nota-nota yang baru selesai difotostat petang itu.

Tiba-tiba terdengar suara orang berdehem. Aku tersentak. Telan liur.

“Banyak asam yang awak sebut. Nak beli buat aiskrim ke, Damia?” perli suara itu. Aku buat muka kosong. Segan. Mamat yang kerja di kedai fotostat ini tak pernah pula aku lihat. Mungkin baru.

“Boleh minta pulangkan lab coat saya? Esok saya nak guna. Ada eksperimen,” ujarnya sambil membetulkan kaca mata. Sesekali dia tersenyum manis. Ini Hadwan rupanya. Secara kebetulan pula. Matanya yang kuyu dan pandangannya yang redup membuatkan aku terpesona. Lab coat sudah bertukar tangan.

“Dari mana awak kenal Khai? Maksud saya Khairul Anam.” Kali ini not berwarna merah kuberikan kepadanya. “Baki awak RM 4. Erul maksud awak? Saya pun tak berapa kenal dia, tapi sejak kejadian dia datang bilik ke bilik cari robes yang tertukar dengan lab coat, keadaan kecoh sekejap.” Aku ternganga. Namun cepat-cepat aku hentikan tindakan di luar sedar itu.

“Dia tanya semua orang dalam satu malam?” Pertanyaanku itu sekadar dibalas dengan anggukan Hadwan. Ternyata tanggapanku terhadapnya selama ini khilaf. Terlalu banyak aku berprasangka yang bukan-bukan. Istighfar sejenak.

Tetapi, entah mengapa hati ini sukar untuk menerima hakikat itu. Dalam bayanganku kini, Hadwan hanya mangsa keadaan. Malah, pertemuan singkat itu sememangnya aturan Tuhan. “Saya ada cuba cari awak, dan kebetulan masa tu, dia datang bilik saya. Terus saya serahkan robes itu kepada dia.”

“Tapi, thanks juga sebab dah bagi saya coklat and sorry note tu. Black forest memang saya punya fevret.” Aku tersenyum simpul.

Tindakan Hadwan sebaliknya mengejutkan aku.

“Coklat black forest? Nota? Saya tak faham.” Dia terpinga-pinga. Dahinya berkerut-kerut. Membuatkan aku bertambah hairan. “Bukan awak ke yang bagi saya coklat dan nota tu? Ada lagi saya simpan nota tu.” Aku hulurkan nota bertinta kata maaf itu kepadanya. Ternyata itu bukan tulisannya. Dia mengakui bahawa pertemuan antara mereka cuma sekali.

Maknanya selama ini aku ditipu hidup-hidup oleh dia? Bodohnya. Mengapa dia lakukan semua ini tanpa pengetahuanku? Egonya terlalu tinggi!

Aku dah tahu segala-galanya. Kau reka semua cerita, kan? Kenapa kau buat macam tu?” Aku menghampirinya lewat tengahari itu dengan soalan bertubi-tubi sewaktu dia sedang menikmati makan tengahari. Aku sudah tidak kisah pada mata-mata yang memandang. Dia sudah keterlaluan.

Kafeteria yang kebiasaannya riuh-rendah, tiba-tiba sunyi sepi. Tubir mataku sudah digenangi dengan air mata.

“Ya, aku buat semua tu sebab aku sayangkan kau.” Buat kali yang kedua dia mengulangi kata-katanya. Aku kelu. Mahasisiwi di kafe sudah berteriak tidak tentu arah. Mana tidaknya, hero pujaan mereka jatuh hati pada gadis kampung sepertiku.

“Aku tak ditakdirkan untuk kau. Carilah gadis lain yang boleh buat kau bahagia,” perlahan tuturku antara dengar dan tidak. Langkahku diteruskan seiring dengan keluhan dan air mata.

“Tak. Aku tahu di Luh Mahfuz, telah tercatat nama kau untuk aku. Cincin di jari kau itu membuktikannya.”

Langkahku terhenti. Cincin di jari manisku dipandang sekilas. Patutlah ibu beria-ia mahu aku menyarungkannya sewaktu pulang bercuti semester lalu. Katanya sebagai hadiah. Rupa-rupanya ini cincin tanda. Ya, tanda dia nekad mahu menjadikan aku suri hidupnya.

Andai ini ketentuan-Nya, aku reda. Jika ini jawapan kepada doa-doaku, aku terima. Kiranya ini petunjuk setelah istikharahku, aku rela.

“Adam dan Hawa saling melengkapi. Khai cuma minta kehadiran Dya untuk mengisi kekurangan diri, membuat Khai lebih berani untuk terus berjuang di jalan-Nya.” Tenang suara itu membuatkan aku tersentuh. Ijab dan kabul yang termeterai membuka tirai kehidupan baru. Semoga Allah merahmati. Insya-Allah.


Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini