Pagi. Pagi macam biasa. Tak ada sms dari Cristy. Maknanya dia tak mahu aku belikan dia sarapan. Keluar rumah pun macam biasa. Walaupun plastik sampah dah penuh aku tak kuasa nak pergi buang. Aku sebenarnya geli nak pegang plastik sampah. Tapi aku bukan germophobic. Aku bukan macam Monk. Aku cuma seorang lelaki yang tahu aku punya pilihan untuk buat atau tak buat sesuatu. Kebiasaannya, aku pilih untuk tak buang sampah. Tapi memandangkan mulut budak rumah aku macam puaka, kadang-kadang aku gagahkan melawan perasaan geli aku.
LRT. Naik LRT macam biasa dari Universiti. Hari ni aku rasa muka aku lebih sembab dari biasa. Tapi semua orang dalam LRT takkan perasan ini semua. Dalam LRT, aku terasa macam semua orang seperti lembu matador di Sepanyol. Teruja nak keluar dari LRT untuk ke tempat kerja. Terbuka saja pintu LRT, lagu El Matador seolah-olah bermain-main di telinga aku melihat mereka semua berasak-asak keluar dari pintu LRT.
Zoooommmmmmm…..
Lrt dah hilang dari pandangan, aku masih berdiri di atas platform ni. Kerinchi yang kosong. Aku keluarkan pen marker dari poket kemejaku dan berjalan perlahan menuju ke dinding yang terletak paling hujung di platform ni. Aku berdiri lama-lama menatap lakaran seorang budak lelaki seorang duduk di atas kerusi batu dengan raut wajah yang keliru. Tangan kanannya sedang menggaru kepala. Tapi budak lelaki ini tak berkaki. Cuma kepala, dengan rambut ala James Dean, cermin mata rangka besar kaki seni, dan berbaju t-shirt dengan tulisan The Beatles. Tapi tak ada kaki. Aku tak ada idea, seluar apa yang patut aku pakaikan si Tommy ni. Apatah lagi kasut apa yang paling sesuai dengan personaliti pop-nya. Onizuka? Vans? Over-rated! Walaupun aku pun pakai kasut-kasut itu, aku bukan mahu melakar aku, aku melakar Tommy. Tommy is having a Bad Day.
Tapi hari ini, langit cerah Tommy tercemar dengan tertampalnya sebuah notis betul-betul di sebelah kanan kepalanya. ‘Jangan conteng di sini lagi. Jika anda ditangkap, tindakan akan diambil’. Aku tersengih berlagak. Bodoh. Tindakan apa? Kau cat balik dinding di saja dah mencukupi sebagai tindakan. Tetap nak menakutkan aku dengan notis-notis picisan macam ni. Aku lakarkan bulatan di sekeliling notis itu dan terungkaplah kata-kata pertama Tommy. Sebuah amaran dalam buih kata-kata. Oh, aku memang puitis.
Hoiiii!!!!
Tiba-tiba kedengaran suara agak jauh dari belakangku. Aku nampak seorang pekerja RapidKL yang selalu memegang walkie-talkie memandang aku dengan geram. Aku cepat-cepat masukkan pen marker dalam poket semula dan berlari pantas menuruni anak tangga. Baiklah, aku akui. Lepas baca notis amaran tu, aku takut. Tapi tak setakut sekarang! Celakalah! Esok mesti aku takkan jumpa Tommy lagi. Mesti Tommy akan kena padam. Kesian Tommy.
Bammm!!!
Dalam kelam kabut, aku terlanggar seorang gadis sedang aku sibuk menoleh ke belakang memandang kalau-kalau aku sedang dikejar. Kedua-dua kami jatuh terduduk dan saling menghadap satu sama lain. Another day in Paradise berkumandang dalam kepala aku. Mata kami saling bertentang.Gadis berambut pendek paras bahu itu tak berkata apa-apa. Tapi decitan suaranya sewaktu mula-mula dilanggar aku masih terngiang-ngiang di telinga. Gadis itu tak henti-henti memandang muka aku. Terasa macam filem Hollywood dalam gerak perlahan. Seolah-olah langkahan kaki orang ramai di sekeliling kami dikurangkan sebanyak empat kali ganda. Jeritan mamak di kedai tepi kami kedengaran sayup-sayup. Rambut ikalnya berayun perlahan ditiup angin yang sepoi-sepoi bahasa. Itu semua sebelum aku berkata,
‘Cik, skirt cik’ Wajah gadis itu mula merah padam bila dia pandang ke bawah dan perasan yang skirtnya sedang terselak mendedahkan paha putih mulusnya pada aku. Kami sama-sama bangun. Gadis itu cuba menyeimbangkan badan dengan kasut tumit tinggi empat inci-nya.
‘Saya kena cepat’ aku sambung berlari meninggalkan gadis itu terpinga-pinga.
Sampai saja di pejabat, aku terasa bersemangat sedikit. Hari ni, aku jadi budak jahat. Conteng dinding, kena amaran, kena kejar, langgar awek cun! Eh, awek cun.. yang aku tak mintak nombor telefon dia! Aduh, aku memang bukan budak jahat. Aku cuma budak praktikal yang selalu kena buli. Semangat terus luntur bila tengok fail-fail berisi kertas kerja yang berlambak-lambak atas meja aku. Mesti si babi hutan ni tinggalkan kerja-kerja ni atas meja aku semalam sebelum dia balik. Babi hutan, balaci bos aku. Suka datang lambat (sebab bos pun datang lambat) dan balik lambat, sebab nak tunjuk dia baik sangat depan bos. Aku? Aku yang datang awal dan balik mengikut waktunya pula selalu kena anggap pemalas dengan bos aku. Aku jugalah yang selalu kena selesaikan kerja-kerja babi hutan ni sebelum dia masuk ke ofis. Lepas tu, babi hutan yang dapat pujian kalau kerja aku bagus. Babi punya babi hutan. Kaulah eksekutif paling bodoh aku pernah jumpa dalam dunia ni.
Aku duduk dan tolak fail-fail tu ke tepi di antara meja aku dan babi hutan yang suka bagi alasan anak sakit kalau nak cuti kecemasan. Aku letakkan beg aku di bawah meja, hidupkan komputer dan terus bergerak ke pantry. Macam hati si Adnan, pantry kami ada taman. Taman tempat aku dan Cristy selalu lepak hisap rokok dan mengumpat bos masing-masing. Aku letakkan sarapan aku atas meja. Macam biasa, walaupun hari ini bukan hari biasa, aku masih menanti Cristy. Cristy yang suka datang lambat ke tempat kerja.
Mengikut hikayat sejarah, sebulan selepas aku diterima masuk ke syarikat ni, Cristy pun masuk. Aku dalam Pemasaran dan dia dalam Akaun. Masuk-masuk sahaja, aku dah perasan Cristy ni lain. Kasar tapi seksi. Cantik tapi gila. Rambut panjang, ikal mayang, badan macam Beyonce dalam video klip Baby Boy. Perkenalan kami bermula di taman pantry ini lah. Merokok sama-sama. Sekarang dah tiga bulan bersama-sama. Cristy dan aku macam punya nasib yang sama. Aku pekerja terbuang, dia pekerja yang dibenci. Hanya kerana pergi makan tengah hari dengan aku dan bukan dengan eksekutif-eksekutifnya yang lain, Cristy dikatakan jenis yang tak mahu bercampur gaul dengan orang. Skirt pendek Cristy, kasut tinggi sehingga lima inci-nya pun jadi bahan umpat keji. Sampai salah seorang eksekutif-nya hantar emel tentang bahaya memakai kasut tinggi kepada Cristy. Emel? Kenapa tak hantar notis amaran macam RapidKL? Bos Cristy tak usah cakaplah. Langsung tak pernah mahu bercakap dengan Cristy. Kalau ada sebarang teguran, cuma akan disampaikan melalui balaci-balacinya, eksekutif-eksekutif yang tak guna tu. Lagipun, jabatan Cristy semua perempuan. Banyak sangat drama!
Pada Cristy-lah aku mengadu nasib aku yang selalu ditinggalkan bos kalau dia outstation sebab dia cuma bawak babi hutan tu. Aku tak hadap sangat pun nak ikut bos aku, Cuma kalau dapat keluar dari ofis yang sejuk dan penuh dengan zombie ni, lapanglah jugak hati aku. Tapi, bila aku fikirkan balik, nasib aku lebih baik dari Cristy kot. Semalang-malang aku, sekurang-kurangnya bos aku masih nak bercakap dan bergurau dengan aku. Cristy langsung tak ada peluang macam tu.
Persahabatan aku dengan Cristy bukan macam kawan ofis biasa. Memandangkan kami sama-sama bukan dari Kuala Lumpur, kami banyak habiskan masa di luar ofis pun sama-sama. Balik saja dari ofis aku akan ikut dia balik ke kondo sewa Cristy dan kami akan berenang bersama-sama. Cristy tak tahu berenang sebenarnya. Tapi aku gigih ajar juga dia berenang. Aku ingat lagi ayat Cristy waktu hampit-hampir dia putus asa untuk belajar berenang,
‘Aku ni dahlah tak cantik, tak pandai, tak ada bakat, berenang pun tak tahu’ yang menyebabkan aku gelak besar dalam kolam renang tu. Orang yang suka sangat rendahkan diri sendiri ni, kita patut iyakan saja. Vanity is so not my cup of tea. Sekarang, Cristy dah boleh berenang sikit-sikit, walaupun tak sehandal aku.
‘Lemas tak lemas, kau tenggelamkan juga kepala kau tu!’ Itulah kata-kata aku yang telah menghilangkan rasa takut Cristy dalam air sebab dia pernah lemas satu masa dulu. Sama macam aku.
Senang saja nak berenang ni, it’s all about the zen. Kalau kau gelabah tupai macam mula-mula Cristy belajar berenang, sampai matilah (harap-harap bukan sebab lemas) kau takkan jadi duyung. Hebat kan aku buat peribahasa baru?
Dalam masa tiga bulan, persahabatan aku dengan Cristy serasa seperti tiga tahun. Macam-macam perkara peribadi masing-masing yang telah kami kongsi bersama. Masing-masing rasa selesa untuk bercakap apa saja. Cristy dengan skandal-skandalnya, aku dengan skandal-skandal aku. Orang lain dengan skandal-skandal mereka. Yang penting, nasib kami dalam cinta pun sama. Sentiasa malang sahaja. Tapi, kami gembira. Sebab sekurang-kurangnya, tanpa cinta, masa banyak menyebelahi kami berdua untuk sentiasa bersama-sama. Siapa yang tak pernah ada kawan baik yang terus hilang bila dah ada teman hidup sendiri, kan?
Pagi ni, aku makan bihun goreng, telur mata dengan sambal yang aku bungkus dari depan rumah sewa aku. Ini sarapan kegemaran Cristy, tapi kalau aku bungkuskan untuk dia pun, dia takkan sempat untuk makan. Menurut perintah bosnya, Cristy perlu ada di meja kerjanya tepat jam sembilan - walaupun syarikat kami mengamalkan masa fleksibel. Bodoh punya bos. Polisi mudah macam tu pun tak boleh nak faham. Kalau orang masuk lambat sekalipun, boleh saja balik lambat. Ofis ni bukannya macam Korea Utara ataupun Cuba, tak payah nak kejam sangat. Kopi aku makin sejuk, tapi Cristy tak sampai-sampai juga lagi. Risau juga aku kalau hari ini, yang bukan macam hari biasa, Cristy buat keputusan untuk tak datang. Walaupun…
Bunyi pintu cermin di belakang aku terbuka. Cristy masuk dengan muka senyum sembabnya.
‘Kau bangun lambat lagi kan?’ Cristy terus duduk di sebelah aku tanpa menjawab apa-apa.
‘Rokok?’ aku hulurkan Winston aku pada Cristy sebelum dia keluarkan Marlboro Lights-nya sendiri.
‘So, apa yang kau mahu buat hari ini?’ Cristy hembus asap rokok banyak-banyak sebelum memandang aku.
‘Kemas meja?’ jawapan Cristy selamba sebelum kami sama-sama tertawa.
Aku alihkan pandangan ke arah awan putih yang sedang melindungi matahari pagi. Langit memang nampak indah dari tingkat empat puluh lapan. Langit cerah. Aku sangkakan hari ini akan mendung. Tapi tak. Langit ikut lapang hati Cristy. Sebab hari ini bukan macam hari biasa.
Hari ini hari terakhir Cristy di sini.
Aku tak perlu nak rasa sentimental sebab keputusan ini dah pun Cristy buat dua minggu sebelum hari ini tiba. Hari waktu aku teman Cristy mengadu nasib pada jabatan Sumber Manusia. Hari Cristy mahu pastikan kalan-kalau dia perlu bayar apa-apa jika mahu berhenti awal tiga bulan dari enam bulan jangka masa praktikal yang sepatutnya. Pengurus HR suruh Cristy hantar notis. Kalau bosnya tak ada masalah, jadi tak perlu bayar. Seperti dijangka, bos ibu setan Cristy dengan berbesar hati menerima notis letak jawatannya. We should not stay at a place where people simply don’t appreciate us.
‘Kau menangis kah?’
‘Bodoh, tak ada makna aku nak menangis. Bukannya kau nak balik Sabah!’ aku tergelak sendiri mendengar soalan dari Cristy.
‘Bagus. Pejabat baru aku dekat saja dari sini. Nanti kita masih boleh lunch sama, okay!’ aku cuma mengangguk.
Cristy bertuah kerana universiti-nya mewajibkan dia untuk praktikal selama tiga bulan saja, sedangkan tujuh bulan untuk universiti aku. Maknanya, aku kena bertahan selama tiga bulan lagi, tanpa Cristy dengan aku di ofis keparat ini. Aku tak kisah tentang tiga bulan itu, aku cuma kisah bahagian ‘tanpa Cristy’ itu. Selepas ini, tak ada lagi orang yang akan teman aku bersarapan, tak ada lagi orang nak mengumpat dengan aku dan tak ada lagi orang nak temankan aku merokok. Mungkin aku terlebih dramatik, tapi Cristy macam talian nyawa aku di ofis ini. Sekarang tinggal aku sahaja. Babi hutan dan eksekutif-eksekutif Cristy mesti gembira aku dah tak ada sidekick. Mesti bayangan mereka melihat aku merana akan tercapai.
‘Aku ni memang tak bagus kan? Sebab tu bos aku tak suka aku bawa ke mana-mana. Sebab dia takut dia malu,’ aku tersenyum segan ketika meluahkan perasaan aku pada Cristy.
‘We are what who we think we are,’ ringkas saja jawapan Cristy. ‘I never will let those bitches define how I should act, who I should be. So kau pun jangan sekali-kali jadi macam babi hutan, ok?’ aku mengangguk-angguk tanda setuju.
‘Aku nak jadi Yasmin Ahmad.’
‘Good! You’ll be even better than her. The best ad-man in Malaysia if not the world! Aish, takut kau lupa aku saja nanti!’ Cristy menepuk-nepuk bahu aku sambil menghembuskan asap rokoknya ke muka aku saat dia mengucapkan kata-kata perangsangnya. Tak ada sivik betul budak ni. Tapi, macam kabus, aku tahu ada cahaya di sebalik asap rokok itu.
‘OK-lah, aku nak kemas-kemas barang-barang aku. I’m taking half-day today. Tak larat aku nak tengok muka babi-babi hutan jabatan aku lama-lama. I see you after work?’ Tak seperti soalan, tapi lebih kepada arahan, Cristy terus sahaja berlalu sebaik sahaja mengungkapkan ayat terakhirnya. Aku ingin duduk saja seorang di pantry lama-lama. Kosong…
Hari ini, perjalanan pulang ke stesen LRT Kerinchi serasa macam aku tengah memikul batu besar di atas bahu. Berat dengan karenah babi hutan tadi di pejabat, hati pula penuh takut kalau-kalau orang-orang RapidKL dah sedia ramai-ramai nak tangkap aku. Tapi yang paling berat, memikirkan esok aku tak perlu lagi menunggu Cristy. Siapa kata penantian satu seksaan? Tanpa penantian, tiadalah harapan.
Kerinchi clear! Mamat yang kejar aku pagi tadi pun tak ada. Aku terus saja naik ke platform tadi untuk bertemu Tommy. Aku rasa aku ada idea seterusnya untuk menyempurnakan Tommy walaupun aku tak pasti samada Tommy masih ada atau tidak. Berdiri setentang dengan dinding di mana Tommy berada, bait-bait puisi Rumi bagai bergema dalam ruang minda aku.
There is a candle in the heart of man, waiting to be kindled.
In separation from the Friend, there is a cut waiting to be stitched.
O, you who are ignorant of endurance and the burning fire of love----
Love comes of its own free will, it can't be learned in any school.
In separation from the Friend, there is a cut waiting to be stitched.
O, you who are ignorant of endurance and the burning fire of love----
Love comes of its own free will, it can't be learned in any school.
- Rumi, Thief of Sleep
Di sebelah Tommy, di atas kerusi yang sama, siap terlukis seorang gadis duduk dengan rambut pendek paras bahu, skirt pendek, dan kasut tumit tinggi empat inci. Riak wajahnya yang comel bak manga Jepun seperti sedang menahan sakit.
‘You didn’t say sorry,’ sebuah pesanan dalam buih kata-katanya.
Saat ini, Tommy tidak perlukan kaki, atau perlu menanti Cristy. Tommy is having Another Day in Paradise.