rss

MENTARI senja memancar lembut.  Melempiaskan warna jingganya ke lembah dan lurah.  Simbahan kasihnya turut dirasai unggas dan agas.  Malam akan segera menjengah.  Sinar lembayung akan hilang beransur-ansur dan kegelapan akan mengambil alih.
            Nun di hujung permatang kelihatan berbalam-balam kelibat sepasang kekasih berjalan berpimpinan meniti batas yang selebar dua kaki itu.  Si dara berwajah duka dan sang teruna hanya menjeling tawar.  Relung sawah dan permatang menjadi saksi pertemuan mereka. 
Di tengah anjung, Mek Senah terbongkok-bongkok dengan jari tua melatah gementar menganyam sebidang tikar yang entah bila akan siapnya.  Ini bukanlah kali pertama Mek Senah singgah di bidang tikar yang baru sekangkang kera dianyamnya. Malam mengesot amat perlahan persis esotan malas sang siput yang laparkan pucuk muda di kebun sayur Ngah Seman. 
Di kaki tangga pondok tua yang sudah senget ke barat itu, Ngah Seman leka duduk menggosok sisa daki kering yang menambah legam lagi kulit keriput itu sambil menyedut dalam-dalam asap rokok daunnya.  Bau segar dari asap rokok daun Ngah Seman mencuit hidung pesek Mek Senah di anjung.
”Bang, ada lagi rokok daun awak tu?  Haus pula rasanya nak isap rokok daun tu”.  Sapa  Mek Senah dari anjung yang jaraknya hanya beberapa kaki.
”Ada”, jawab Ngah Seman sepatah sambil kembali menyedut asap rokok daunnya.  Mek Senah bangun terbongkok-bongkok meneleku kedua tangannya ke pinggang yang terasa lenguh menapak perlahan ke muka tangga.  Satu persatu anak tangga berkeriut dipijaknya sambil tangan kanannya menjinjing bakul bekas sirih beranyam cantik mendekati Ngah Seman yang sedang khusyuk menikmati sisa rokok daunnya.
”Eh, Idah mana?  Tak nampak-nampak dari tadi, dah senja ni”, Ngah Seman mula bersuara sambil menghulur kotak mancis Cap King Kong dan celapa tembakau yang diperbuat dari buluh kepada Mek Senah.  Mek Senah membuka celapa buluh dan menggentel secubit tembakau kering sambil memasukkannya dalam gelungan rokok daun. 
”Ke mana lagi kalau bukan jumpa Zainal tu.  Budak sekarang bang...”, jawapan Mek Senah penuh bermakna.
”Biarkanlah.  Minggu depan Idah nak ke Miri. Eh, Syitah kawan Idah tu jadi sambung Tingkatan Enam ke Miri?  Semalam abang dengar Haji Rosli kata Syitah tak mau sekolah lagi, betul?” pertanyaan Ngah Seman tu menimbulkan banyak persoalan di benak Mek Senah.  Namun pertanyaan Ngah Seman tadi tidak mendapat jawapan malah ditokok Mek Senah dengan pertanyaan dan hujah lanjutan.
”Abang tau naper Syitah tak mahu sambung sekolah lagi?  Rugi ’kan bang. Dari kampung kita ni cuma Idah dan Masyitah yang berjaya ke Tingkatan Enam. Dua tahun lepas hanya Kesuma, anak Brahim tu yang terpilih.  Tahun lepas tak ada langsung”, panjang lebar penjelasan Mek Senah.  Ngah Seman angguk tanda setuju.  ”Kak Sabar ada gak cerita kat saya pasal Syitah tu.  Katanya Syitah mau nikah”, sambung Mek Senah bila Ngah Seman diam saja.
”Apa, Syitah mau nikah?  Awak biar betul Senah.  Awak salah dengar tak?”
”Eh, bang!  Telinga saya ni masih elok lagi tau.  Kak Sabar sendiri yang cerita tadi, Idah pun ada sama.  Dia minta Idah pujuk Syitah tu.  Idah dah janji mau tolong pujuk Syitah kat Kak Sabar.  Harap-harap Idah berjaya pujuk budak tu nanti”. Kata-kata Mek Senah mengandungi pengharapan.  Dalam hatinya walau apa pun terjadi, budak-budak berdua tu mesti sambung sekolah lagi.  Budak-budak berdua itu adalah kebanggaan kampung.  Sejarah bagi Kampung Jepak terukir bila Kesuma menjadi budak lelaki pertama menjejak kaki ke Tingkatan Enam dua tahun lalu.  Tahun ini sejarah  berulang kembali, bila Syidah dan Masyitah terpilih ke Tingkatan Enam ke Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang di Miri.
” Senah, cerita pasal nikah ni kan, abang rasa..”
”Abang nak nikah lagi satu?  Abang jangan... Sedar ler diri tu dah tua gayut.  Tu hah, Bukit Kemunting dah melambai-lambai bang.  Geram nak menelan jasad abang tu”, pintas Mek Senah segera dengan wajah mencuka.
”Hish.. awak ni, ke situ pula difikirnya.  Abang cadangkan, apa kata kita tunangkan Idah dan Zainal tu sebelum Idah ke Miri?  Mereka berdua tu makin rapat abang tengok.  Kalau awak setuju nanti abang rundingkan dengan ayah Zainal tu, Haji Assan”.
”Eh, abang ni!  Kita kan pihak perempuan.  Takkan perigi mencari timba, nanti apa pula kata orang kampung?  Kita hidup bermasyarakat bang.  Apa yang kita buat akan jadi buah mulut orang”.
”Awak jangan dengar sangat kata orang Senah.  Hal ni Haji Assan dan Hajah Biah yang cadangkan dulu.  Abang cuma tunggu persetujuan awak saja.  Kalau awak setuju, kita teruskan. Macam mana Senah, awak setuju ker?” pertanyaan Ngah Seman seakan memancing persetujuan Mek Senah.  Mek Senah diam sahaja.  Namun  dari senyum yang terukir di bibirnya sudah cukup bagi Ngah Seman untuk mengatur langkah seterusnya.
”Nak ke mana pula tu bang?” tanya Mek senah kehairanan.
”Mandi. Lepas tu ke rumah Haji Assan tu.  Nak sampaikan berita baik ni”, jawab Ngah Seman sambil mencapai pelikat lusuh di hujung serambi.  Mek Senah tidak berkata apa-apa lagi, hanya menghantar suaminya lewat pandangan sambil menyucuh rokok daun yang telah lama digentelnya.
*  *  *  *  *  *
Dalam saat yang sarat dan berselirat dengan masalah yang berbirat, Syidah terkapar sendirian.  Mahu saja dibunuhinya kerinduan yang selama ini mengekang jiwa.  Rindu yang tercalar di dinding kenangan di hujung permatang.  Ya... permatang itu memang penuh dengan kenangan dan harapan.  Di sana pernah suatu ketika dulu, dua hati mengikat janji mahu sehidup dan semati.  Dan di sana juga pernah kelmarin dulu, dua jiwa berpadu satu berjanji untuk saling percaya.
’Inal, di mana Inal buang kemanisan cinta kita semalam?  Ke mana hilangnya janji sehidup semati kita kelmarin?  Ke relung sawah mana pula Inal campakkan kepercayaan yang kita pegang bersama selama ini?  Siapakah yang pertama membina harapan di hujung permatang ini dan siapa pula yang tergamak mengingkarinya?  Inal, Idahkah yang bersalah?’ Airmata Syidah mengalir deras di sudut pipinya.  Kesayuan meruntun hati Syidah tiap kali pulang ke kampung halaman.
”Idah, yang sudah tu sudahlah.  Usah di kenang lagi kisah lama.  Idah harus ingat, macam mana sekalipun Idah memikirkan kisah lama tu, keadaan tetap tidak akan berubah. Dah lima belas tahun berlalu, bukankah Idah kata yang Inal sudah ada anak tiga sekarang ni”, pujuk Hanim
”Bukan mudah Nim.  Kalau kami hanya setakat kawan, Idah tak kisah. Tapi kami dah bertunang sebelum Idah masuk kolej lagi.  Paling menghancurkan hati Idah adalah bila kawan karib Idah sendiri mengkhianati Idah”, kata-kata Syidah yang begitu bermakna mengundang tandatanya  di hati Hanim.
”Kawan karib Idah mengkhianati Idah?” spontan soalan itu terkeluar dari rekahan bibir Hanim.  ”Boleh Idah ceritakan apa yang berlaku sebenarnya?”  pertanyaan Hanim kali ini benar-benar meminta kepastian daripada Syidah. 
”Benar Nim. Sebelum Idah masuk kolej, ayah dan arwah mak tunangkan Idah dengan Zainal.  Hubungan kami bagai tak ada yang dapat memisahkan.  Idah masuk kolej sama dengan kawan karib Idah, Masyitah.  Lepas sebulan kami belajar di kolej, kami berdua dapat tawaran dari ITM.  Masyitah terima tawaran tu tapi Idah terpaksa menolak sebab tak mahu bebankan ayah”.  Syidah berhenti sebentar sambil menghela nafas panjang.  Pandangan matanya dilemparkan jauh ke hujung kaki Bukit Jepak.  ”Tiap kali cuti sekolah Idah balik kampung. Sememangnya kepulangan Idah dinanti-nantikan oleh Masyitah. Idahlah yang jadi orang tengah yang sering menghubungkan Masyitah dengan Jali kerana keluarga Masyitah tak merestui hubungan mereka berdua.  Setiap kali mereka hendak bertemu, Idah terpaksa buat helah dan beritahu yang Masyitah dan Idah mahu ke perpustakaan. Itulah alasan yang selalu Idah gunakan untuk mengelabui mata orang tua Masyitah. Bila dah sampai ke perpustakaan, Masyitah dan Jali akan ke tempat lain sementara Idah terpaksa tunggu seharian di perpustakaan itu sehingga Masyitah kembali”.
”Keluarga Masyitah tak tahukah yang Masyitah jumpa Jali? Apa mereka tak tahukah yang Idah tipu mereka? Idah pula tak jumpa Zainalkah?” tanya Hanim.
”Sehingga ke hari ini keluarga Masyitah masih tak tahu yang Idah menipu mereka.  Idah dah janji dengan Masyitah; biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Idah tetap pegang dengan janji Idah tu walau apa pun terjadi. Sesekali tu Idah jumpa  dengan Zainal di hujung permatang ni. Kadang-kadang Zainal bertandang ke rumah Idah atau dia bawa Idah ke rumahnya.  Beruntung rasanya bila hubungan kami direstui kedua keluarga. Lepas tamat Tingkatan Enam, Idah masuk Maktab Perguruan pula. Tahun pertama di maktab semuanya berjalan seperti biasa”,  Idah berhenti seketika dan menyambung, ”Bagaikan halilintar membelah bumi, suatu petang Jali datang jumpa Idah di gimnasium.  Kebetulan masa itu Jali adalah senior Idah di Maktab. Ketika dia sampai Idah sedang asyik main table tennis.  Idah tak tahu bahawa kedatangannya membawa berita luka”, Idah berhenti lagi sambil mengesat airmata dengan hujung lengan baju kurung berwarna biru muda.
”Berita apa yang dibawa oleh Jali tu Idah?”  Hanim semakin hilang kesabaran hendak mengetahui cerita seterusnya.
”Masyitah dan Zainal akan bertunang”, jawab Syidah pendek sambil menahan tangis.
”Apa?” Hanim terkejut dengan jawapan Syidah. 
”Benar Nim.  Mulanya Idah memang tak percaya. Selepas Idah terima surat ayah dari kampung yang memberitahu Zainal memutuskan pertunangan kami, baru Idah percaya.  Mereka nikah pada 25 Januari 1992, ketika itu Idah tahun akhir di maktab.  Idah ingin sekali menghadiri majlis pernikahan mereka tetapi pada tarikh yang sama Idah terpaksa ke Bandaraya Kuching kerana menghadiri majlis pemyampaian hadiah dan Idah telah memenangi salah satu hadiah utama peraduan menulis puisi”. Syidah terdiam seketika dan menyeka airmatanya entah buat kali ke berapa. ”Sejak itu Idah tak percayakan kawan dan Idah menjauhkan diri dari lelaki.  Cukuplah apa yang telah terjadi kepada Idah.  Idah tak mahu dikhianati dan dilukai lagi”, sambung Idah.
”Kerana peristiwa inikah Idah membawa diri sampai ke Johor?” tanya Hanim.
”Bukan. Selepas tamat pengajian di maktab, Idah mendapat tawaran mengajar di kampung Idah sendiri.  Seronok rasanya dapat berkhidmat dan berbakti di kampung sendiri. Idah fikir luka Idah dah benar-benar sembuh.  Rupanya perkiraan Idah silap. Tahun 2001 benar-benar menguji kesabaran Idah.  Seperti tahun-tahun sebelumnya, Idah memang ditugaskan menjadi guru kelas Tahun Satu. Begitu juga pada tahun tersebut  Mungkin sudah kehendak Allah, pada tahun tersebut, anak Zainal mendaftar masuk Tahun Satu, kelas 1 Hijau di mana Idah menjadi guru kelasnya. Idah jalankan tanggunggjawab Idah sebagai seorang guru tanpa ada rasa dendam pada anak Zainal.  Malah semakin hari semakin sayang Idah kepada budak itu. Mungkin sebab ibunya adalah kawan karib Idah.  Sejak sembilan tahun Idah mengajar di situ, Idah tak pernah terserempak dengan Zainal mahupun Masyitah.  Tapi sejak anak keduanya masuk kelas Idah, tiap pagi Idah terpaksa berdepan dengan Zainal”, cukup panjang penjelasan Syidah.
”Apa perasaan Idah bila terpaksa tengok muka Zainal tu tiap pagi?” tanya hanim lagi.
”Mulanya biasa saja sebab Idah dah dapat terima kenyataan bahawa jodoh itu ketentuan Allah.  Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.  Zainal sedaya upaya mencari peluang untuk berjumpa secara peribadi dengan Idah.  Idah elak sebab Idah tak mahu orang kampung sangka yang bukan-bukan. Tak cukup dengan percubaan itu, Zainal mengutus surat-surat minta hubungan kami dijalin semula. Sepucukpun suratnya Idah tak layan. Hingga ke suatu ketika, orang kampung mula bercakap. Cerita-cerita itu sampai ke telinga Masyitah.  Malam itu Masyitah menelefon Idah.  Dia mengingatkan Idah supaya jangan cuba merampas suaminya. Idah tak dapat berkata apa-apa lagi kerana kata-kata Masyitah itu terlalu menyengat perasaan Idah.  Kerana tak tahan, Idah minta pindah ke Semenanjung dan ditempatkan di Batu Pahat”.  Syidah menutup kisahnya dengan menarik nafas lega.  Selama ini Syidah terlalu tersiksa kerana memendam kesedihan dan kelukaannya. 
Senja ini segala kesedihan dan kelukaan Syidah telah Syidah luahkan kepada Hanim rakan seperjuangannya yang berasal dari Bahau.  Sesekali cuti sekolah Syidah akan balik ke kampung menjengah pusara arwah ayah dan ibu.  Hanimlah rakan yang begitu setia menemani Syidah balik ke kampung setiap kali cuti panjang persekolahan.  Syidah berharap agar luka lama itu akan tenggelam ke dasar sawah atau hilang bersama lenggokkan tari anak keli yang ligat bermain di air cetek yang berlumpur.

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini