rss

‘Ye kak. Nak minum ape?’ pelayan itu bertanya ramah-tamah.  ‘Eh, sorang je?,’ pelayan lelaki berambut perang bertanya lagi setelah menyedari siapa aku. Pastilah susah untuk melupakan wajah ini yang hampir setiap hari duduk di sini menikmati sarapan pagi.

  Mata kau dah kenape? Tak nampak ke kedai makan ko ni penuh dengan orang? Aku datang dengan diaorang la sebenarnya. Saja aku duduk sorang-sorang kat meja ni. Salah ke?
 
  Malang sebab itu cuma bisikan hati aku sahaja. Tak terluah dek mulut aku

  Aku senyum. ‘Biasa,’ sambil tangan dengan pantas membuka suratkhabar yang sebenarnya lebih layak untuk aku buat alas tempat duduk sahaja.

  Aku arif benar dengan maksud soalan tersebut, faham dia ingin bertanya tentang apa. Aku cuma tidak mampu berhadapan dengan soalan Si Rambut Perang tentang Hafiz. Aku tidak punya tenaga untuk bersoal-jawab dengan sesiapapun tentang di mana Hafiz. Di mana teman lelaki aku yang selalu aku usung ke sana ke mari.

  Mungkin sebab itulah emak berpesan supaya jangan asyik masyuk bercinta. Sebenarnya, ayat emak berbunyi begini:

  ‘Ha, masuk yunibersiti tu jangan mengada-ngada nak berboipren-boipren. Habiskan belajar dulu. Karang boo! sana boo! sini dengan boipren. Lepas tu tak habis belajar. Satu hape pun tak jadi.

  Sibuk sangat bercinta sampai lupa dunia, mak bapak, adik-beradik. Ingat sikit, kamu tu perempuan. Ape-ape jadi nanti susah. Sayang ke orang ni berpada-pada. Biar dia sayang kita lebih, jangan kita sibuk nak bergolok-gadai sebab dia. Nanti jadi apa-apa, kite yang susah.

  Fokus ceramah selalunya berubah-ubah. Kadangkala ia akan lebih kepada aku. Kemudian, ia beralih pula kepada kita. Kadang-kadang emak juga berusaha untuk memberi fokus kepada pemanasan global.

  Aku tersenyum sendiri mengingatkan tentang emak. Seorang jejaka yang duduk di depan aku memandang aku dengan  pelik. Aku pura-pura meneruskan pembacaan sedangkan aku terasa seperti sudah sampai waktu untuk aku memasukkan kepala ke dalam beg kerana malu.

  Terasa janggal duduk di meja ini seorang diri. Meja di sudut kedai, mengadap cermin. Meja kami. Meja kegemaran kerana kami suka dengan pemandangan di sini. Tidak ramai yang mengerti kenapa sudut ini sering jadi pilihan sedangkan ia terletak bersebelahan dengan kaunter.

  Muka aku jadi panas. Aku hirup kopi O laju-laju. Aku perlu pergi dari situ sebelum air mata aku tumpah dengan lancar dan laju. Aku tidak mahu dikenali sebagai ratu air mata di sini.

  Wang RM 5 aku letakkan di atas meja sambil melambai kepada Si Rambut Perang. Aku terlalu sibuk cuba menahan air mata dari jatuh. Aku biarkan sahaja laungan Si Rambut Perang bila dia berkata:

  ‘Akak! Ouh Akak! Baki ni macam mana?” Aku sekadar angkat tangan pada Si Rambut Perang. Aku pun tidak faham apa yang aku cuba sampaikan dengan mengangkat tangan tersebut. Tetapi aku pasti ia bermaksud aku tidak mahu berpatah kembali. Satu lagi, bila masa pula aku jadi kakak kepada Si Rambut Perang?

  Susup-sasap aku berlari pulang ke rumah. Rumah kecil sebesar kotak kasut kesayangan aku. Aku berlari ke dapur mencari kotak tisu, tiada. Dalam tandas, juga tiada. Sudahnya aku ke dalam bilik dan rentap sahaja tuala mandi. Aku sapu air mata beserta air hidung. Kemudian aku pesan kepada diri sendiri supaya membasuh tuala ini secepat mungkin.

  Kesunyian yang terisi dengan sedu-sedan aku diterjah deringan lagu A Million Ways dari kumpulan Ok Go. Aku pandang komputer riba aku. Skrinnya gelap. Maka aku yakin bahawa telefon bimbit aku yang berbunyi. Ah, siapa lagi. Siapa lagi yang cuba menelefon aku untuk kali kelima hari ini? Aku ambil keputusan untuk terima sahaja panggilan itu sambil menekap hidung dan mulut dengan kuat menggunakan tuala. Pedulikan kalau aku sesak nafas asalkan Hafiz tidak dengar aku menangis. Biar dia tahu yang aku kuat sekalipun aku menangis semasa menonton Madagascar 2 saat Melman meluahkan perasaan pada Gloria.

‘ Cah!’ suara itu menerjah gegendang telinga aku kali ini. Aku kuatkan diri menahan sedu sekalipun aku seperti terdengar jantung aku merayu minta oksigen.

  Aku diam. Sengaja tidak mahu mengalah. Sebenarnya lebih kepada tidak mampu bersuara kerana terlalu sibuk menangis.

  ‘ Takpe kalau kau tak nak cakap dengan aku, Cah. Tapi tolonglah jangan letak telefon lagi,’ suaranya sayu. Ah, jangan ingat aku boleh tertipu dengan lakonan Oscar sebegitu. Tidak mengapa, kali ini aku dengan murah hatinya bersedia untuk mendengar alasannya. Lagipun, dia yang telefon aku, bukannya aku.

   “Cah, aku tau aku bukan lelaki paling romantik dalam dunia ni. Aku faham kalau kau marah aku sebab tak ingat harijadi kau tapi aku tak nak kita habis di sini saja.

   Aku tau kau suka makan tomyam kalau kau demam, kau suka teh o campur air masak setengah cawan. Aku ingat yang ko mesti pakai eye-liner sebelum keluar rumah. Aku tau warna kegemaran kau adalah ungu.

  Sekalipun aku mungkin tak ingat hari lahir kau ataupun hari ulangtahun kita, aku ingat yang ko suka Cadbury Snack. Kau kata itu sebab kau suka kejutan. Kau suka ros warna biru sekalipun aku selalu usik kau mengatakan kau pelik. Aku tipu, kau sebenarnya unik, Cah.

  Aku minta maaf kalau tindakan aku selama ini bagi kau coklat atau bunga pada hari-hari biasa menyebabkan kau berharap aku akan beri benda yang lebih hebat pada hari istimewa kita sepanjang tahun, minta maaf Cah. Aku beri itu semua sebab aku tau yang aku akan terlupa bila hari anniversary kita atau pun tarikh ulangtahun perkenalan kita. Aku tak nak kau terlalu kecewa sebab aku takkan sambut Valentine’s Day. Sebab itu aku cuba menebus kesalahan dengan pemberian-pemberian sebegitu.’

  Sayu suaranya. Sayu juga hati aku dibuatnya. Aku tau semua ini; bukan aku tidak tahu. Hafiz sendiri mengatakan dan memohon aku supaya tidak mengharapkan dia ingat satu-persatu tarikh istimewa kami. Entah mengapa darah aku mendidih semalam sedangkan ini sudah masuk tahun kedua kami bersama. Dari kami masih pelajar hingga sekarang sudah bekerja. Aku kecewa amat kerana aku mahu dia berusaha kerana  tahun lepas aku sendiri ambil-alih tugas mengingatkan dia tentang hari lahir, ulang tahun kami dan juga tarikh ulang tahun perkenalan kami.

  ‘ Cah, aku rasa mengenali diri kau dan menerima kau itu lebih penting daripada meraikan setiap hari istimewa kita. Kenapa mesti kita sambut hari tertentu sahaja sedangkan bersama dengan kau sudah cukup untuk membuat aku rasa istimewa?’

  Hafiz bersoal jawab lagi. Kenapa perlu kau berikan soalan pada waktu ini Hafiz? Aku tidak mahu bersoal-jawab dengan kau, sekalipun ianya soalan beraneka jawapan. Aku tidak mampu kerana air mata terlalu laju mengalir dan aku sedang cuba untuk tidak menunjukkan yang aku sudah hampir mengangkat bendera putih. Apa yang kau kata ada benarnya.

  ‘ Sudahlah Cah. Aku tau kau pun sedih,’ yakin sekali Hafiz bersuara. Mana dia tau? Adakah dia menuntut ilmu hitam? Entah-entah aku sedang bersolek untuk keluar bertemu lelaki lain. Sengaja aku berdolak-dalik padahal aku sedang membasahkan sarung bantal yang aku sedang peluk erat.

  ‘ Bukan sehari dua aku kenal kau, Cah,’ suara itu tidak penat merayu. Itu adalah salah satu sifat Hafiz yang buat aku tertarik. Dia sentiasa sabar melayan kerenah aku yang tidak ubah seperti anak kecil. Dia akan terus-terusan memujuk dan untungnya, aku tidak memerlukan intan berlian untuk reda.

  Mengingatkan ini, aku tersenyum. Dan tidak sengaja, terkeluar bunyi sedu dari mulut aku. Tawa kecil Hafiz tercetus di hujung talian.

  ‘ Kau nangis Cah?’ suara Hafiz memujuk lagi.

  ‘ Tak la. Mane.. hic! ada,’ gagal disembunyikan di situ. Tawa Hafiz meledak lagi.

  ‘ Cah, maafkan aku ye?’ di hujung talian ini, aku cuma mampu tersenyum.

  Takkan semudah itu untuk aku buang semua kenangan kami. Takkanlah semudah itu aku ingin melupakan Hafiz. Ah, hati perempuan aku.

  Aku tahu aku bodoh kerana aku cemburu melihat Jurin mendapat sejambak bunga ros merah segar sempena ulang tahun percintaan dia dengan teman lelaki semalam. Aku terasa tidak adil bila aku tidak dapat pemberian yang sama dari Hafiz. Balik-balik coklat, biskut dan minyak wangi. Bilik aku sudah boleh jadi butik minyak wangi. Aku lupa untuk bersyukur yang sekurang-kurangnya aku tidak perlu menanti hari istimewa untuk mendapat sebarang pemberian dari Hafiz. Aku lupa yang Hafiz terima aku seadanya. Aku yang boleh jadi menjengkelkan dan memenatkan untuk dilayan. Aku yang cengeng, beremosi tidak menentu dan seringkali tertawa seperti Pontianak di khalayak ramai. Aku yang selalu paksa dia habiskan makanan setiap kali keluar.

  ‘ Tak, aku tak marah.’

  ‘ Esok kita jumpe ye? Tak biasalah makan sorang,’ Hafiz mengusik.

  ‘ Mengada,’ hati aku kembali berbunga.

  Yang aku tidak tahu, di hujung sana di bilik Hafiz, terdapat situasi lain.

  ‘ Amacam?’ rakannya Husni mengangkat kening, bertanya sama aku dapat dipujuk.

  ‘ Setel!,’ Hafiz menjawab dengan senyum lebar. Dipandangnya sekilas kertas yang berisi skrip perbualan tadi. Dia tersenyum lebar.

  ‘ Kan aku dah cakap? Senang je dude nak kaver. Yang penting, ayat kene power,’ siapa tak kenal Husni? Kasanova terkenal Kampung Kerinchi.

  ‘ Agak-agak kantoi tak aku lupe semalam sebab aku ada date ngan awek tingkat sepuluh?’ Hafiz kembali duduk di depan TV, mengadap game.

  Hampeh… Memang bukan seperti yang kita semua jangka.

1 comments:

  1. ceh, almost believed the guy.. adoiyaii...

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini