rss

Selasa. Lewat malam di kotaraya ini, aku cuma tahu melangkah ke satu tempat sahaja, sebuah kelab malam yang bernama 'kapas'. Tidak banyak orang yang mengetahui kewujudan kelab ini. Kedudukannya yang terletak di pinggir kota membuatkan ia agak tersorok dari pandangan orang ramai.

Kehadiran aku di kelab ini asalnya disebabkan seorang kawan yang memperkenalkannya. Namun begitu, batang hidungnya sudah lama aku tidak nampak kini. Sebaliknya, aku pula menjadi pengunjung tetapnya.

Di dalam kelab ini, tidak begitu banyak orang yang kita boleh lihat. Setiap meja mungkin ada seorang atau dua. Dengan memesan botol-botol minuman dalam sebuah baldi berisi ais, mereka duduk di situ berjam lamanya. Kebiasaannya, sesetengah pengunjung kelab ini akan tertumpu di meja bar. Mungkin kerana mudah untuk memesan minuman. Mungkin kerana mereka ingin melihat sendiri bagaimana minuman mereka dibuat. Dan akhir sekali, mungkin mereka duduk di situ kerana mereka tidak mempunyai sebarang tujuan. Walauapapun alasannya, aku adalah salah seorang dari mereka.

Aku bukan hendak kata yang minuman di sini adalah berbeza dari tempat-tempat lain. Rasanya tetap sama, mabuknya juga. Seperti kelab-kelab lain, suasananya tetap gelap samar beserta asap rokok tak putus-putus menyelubungi.  Namun aku perlu berterus-terang, aku datang kemari semata-mata ingin mendengar alunan dari seorang pemain gitar di kelab ini.

Sudah setahun rasanya aku menjadi pengunjung Kapas. Setiap kali aku berada di dalamnya, setiap kali jua aku terpukau dengan petikan gitarnya. Kumpulan muzik yang dia bermain tidak ramai, cuma lima orang sahaja. Terdapat seorang bermain drum, seorang bermain organ, seorang bermain bass dan dua orang bermain gitar termasuk dirinya.

Kebiasaannya mereka bermain muzik blues. Tidak. Sebenarnya, mereka cuma bermain muzik blues sahaja. Daripada lagu nyanyian Robert Johnson kepada lagu B.B King hinggalah kepada Eric Clapton. Boleh dikatakan mereka ini merupakan kamus glosari bagi muzik blues. Aku ada juga menunggu kalau-kalau kumpulan ini ada memainkan lagu daripada kumpulan 'Blues Gang' namun sehingga kini masih belum lagi kedengaran. Tidak cukup sedih rasanya.

Kumpulan muzik ini mempunyai ramai peminat setia. Tidak menghairankan kalau setiap kali ia bermain iaitu pada hari Isnin dan Selasa sahaja, pasti ramai yang akan berada di dalam kelab ini. Baiklah, aku mungkin tak boleh cakap yang ramai itu bagai terlalu ramai tapi ia memadai untuk sebuah kelab mengaut kembali modalnya. Berbalik kepada soal peminat, walaupun mereka yang berada di dalam kelab ini tidak mengaku depan-depan bahawa mereka meminati kumpulan ini namun kita dapat lihat betapa menyalanya rasa mereka. Mereka mungkin tidak seperti orang-orang lain yang tidak putus-putus menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) kepada idola kegemaran atau terpekik histeria apabila melihat artis pujaan. Namun bagi aku, cukup dengan mereka berada di dalam Kapas pada malam ini untuk menunjukkan kumpulan yang bermain muzik blues ini mempunyai khalayaknya tersendiri. 

Dalam hari-hari seperti ini, aku akan memesan sebotol minuman yang keras untuk diriku. Memang aku akan hanyut dalam kemabukan akhirnya, perkara itu semua orang tahu, namun sebelum aku berada dalam keadaan itu, jiwa aku seolah-olah terbuai semasa mendengar petikan gitar dari dia. Jari-jemarinya yang begitu laju menekan keenam-enam tali gitar seringkali membuatku terpukau. Ditambah pula bila dia melirikkan jarinya dalam menghasilkan nada yang begitu tinggi, aku seolah-olah dapat membayangkan diriku terbang ke awangan, beserta botol di tanganku.

Aku punya sebab mengapa setiap hari Selasa aku akan berada di sini. Bagi aku, hari tersebut adalah hari yang cukup malang. Mengenangkan kembali, hari Selasa merupakan hari aku dibuang dari pekerjaan eksekutif aku yang seterusnya menyebabkan aku kini hanya seorang pencuci lantai. Hari Selasa juga adalah hari di mana aku ditinggalkan oleh bekas isteriku yang lari mengikut kekasih lamanya. Dan hari Selasa juga adalah hari di mana Ah Long akan datang mengutip hutang aku sebanyak RM10,000 sikit demi sedikit. Duit yang sepatutnya untuk pinjaman perumahan itu telah aku habiskan untuk bermain kuda. Atas sebab-sebab ini, aku akan memastikan diriku sentiasa berada di Kapas pada setiap hari Selasa untuk menenangkan kepala dari seribu satu serabut yang berpusing-pusing dan terus berpusing.

Sebenarnya, tidak banyak yang aku ketahui mengenai pemain gitar blues yang aku minati ini. Daripada apa aku dengar, kebanyakan orang memanggilnya sebagai Ray. Kemungkinan sekali, dia bernasib malang seperti aku. Ya, kalau dia tak dalam kesedihan atau kepayahan, mana mungkin dia cuma bermain muzik blues. Muzik yang juga membawa maksud 'blue devils' atau syaitan-syaitan biru ini asalnya merupakan medium bagi orang Afrika Amerika meluahkan kesedihan, kepayahan dan kemurungan mereka. Hidup yang seringkali tertindas seolah-olah tiada lagi yang baik dalam dunia ini.   

Mereka yang memainkan muzik blues adalah mereka yang menyampaikan maksud kekecewaan. Orang kalau gembira, mana mungkin dapat memainkan lagu blues dengan penuh perasaan. Mereka akan bermain muzik pop yang mana setiap bahagian tubuh akan turut terhenjut. Tak pun, mereka bermain muzik rock dengan kepala terhangguk-hangguk. Dalam konteks muzik yang aku perkatakan sekarang ni, kita juga tak boleh membandingkan blues dengan rock jiwang. Muzik yang meleleh itu cukup meloyakan. Ia nyata terlalu berbeza dengan muzik blues yang mengajak para pendengarnya merenung nasib. Aku cukup yakin dengan penafsiran tersebut sebab semua orang dekat sebelah aku di meja bar ini turut termenung seperti aku.

Aku pernah juga sekali berkesempatan berbual dengan Ray. Tidak panjang, pendek sahaja perbicaraannya yang berlaku seminggu lalu. Semasa itu, aku tidak mabuk sepenuhnya, jadi aku mengajak dia untuk duduk di meja bar bersama-sama aku. Orangnya agak tinggi, wajahnya bersih. Dengan kemeja putih berserta jaket hitam, Ray yang sentiasa mengenakan seluar jeans lusuh sememangnya seorang yang segak.

"Bang nak minum apa, bir, wiski... abang cakap sahaja, malam ini saya belanja'' aku memberitahunya.

''Ehh tak mengapa, bagi air kosong sahaja'' pelayan di hadapannya mengerti permintaan itu manakala aku terpinga-pinga. Bagaimana dia boleh tidak minum memandangkan tempat kerjanya sebegini.

''Rokok abang?'' aku bertanya lagi.

''Terima kasih, saya sudah lama berhenti,'' aku bertambah hairan lagi kagum kepada Ray. Bagi aku, orang-orang yang terbabit dalam industri hiburan akan sentiasa terdedah kepada godaan-godaan neraka. Maklumlah artis, tak kisahlah sama ada mereka popular atau tidak, sama sahaja.

''Saya sudah lama mengikuti persembahan abang, serius saya cakap, abang main memang bagus, abang dah lama ke bermain muzik,'' dia tersenyum kecil pada soalan aku.

''Kalau boleh cakap sejak lahir, abang akan cakap begitu... tapi memang betul, muzik ini sudah cukup lama dengan abang,'' kata Ray.

''Tapi kenapa blues,'' adusyh, kenapa aku tiba-tiba boleh tertanya soalan bodoh macam ini. Aku bukannya wartawan kalau ia pun. Namun nasib baik dia tersenyum mendengar soalan aku.

''Hidup abang sendiri ni pun boleh diibaratkan seperti muzik blues. Lahir sebatang kara. Sekolah pun tak habis. Dengan muzik inilah abang hidup. Biasanya abang main untuk kombo bandaraya namun abang paling puas sekali main dekat sini sebab jiwa abang memang pada blues,'' aku tersenyum pahit mendengar jawapan Ray. Hidup aku dengan dia seolah-olah serupa malangnya.

''....blues.....hidup saya pun tak dapat dipisahkan dengannya. Tak habis-habis dengan masalah. Lepas satu-satu...,'' kata-kataku terhenti apabila Ray terpaksa bergegas kembali ke pentas. Rakannya yang bermain bass meminta dia membantu mengemaskan peralatan. Aku membiarkan dia pergi dengan tersenyum bangga kerana dapat berbual dengan insan seni sepertinya. 

''Hidup Ray tu memang sedih,'' aku secara tiba-tiba dikejutkan dengan kata-kata dari pelayan bar yang tengah mengelap gelas dibelakangku. Aku pun menoleh kepadanya.

''Dulu dia ada seorang isteri. Lawa orangnya, sayangnya dia telah meninggal dunia kerana kanser. Selepas itu, Ray telah benar-benar berubah. Dia berhenti minum, dia berhenti semua jenis dapur dan pil. Tapi gitar dia tak tinggalkan. Mungkin jiwa dia memang betul-betul di situ,'' pelayan itu memberhentikan perbualannya apabila dia menyimpan gelas-gelas ke dalam almari di belakangnya. Aku duduk diam sementara menunggu pelayan itu menyambung bicaranya.

''Dengar-dengarnya, dia dah mula solat. Kelakarnya, dia pernah memberitahu seorang kawannya yang dia ingin menjadi orang baik sebab dia mahu masuk syurga dan bertemu isterinya... Ha ha ha...tapi memang betul isteri dia baik orangnya, entah macam mana dia orang boleh berkahwin, mungkin itu sudah jodoh namanya,'' sekadar itu pelayan tersebut memberitahuku. 

Aku terpesona mendengar ceritanya mengenai Ray. Aku seolah-olah tidak percaya insan seperti dia masih wujud di dalam dunia ini. Apabila terperangkap dalam kekecewaan, manusia biasanya hanyut sehingga dirinya musnah tanpa disedari. Namun, Ray bukan begitu. Kalau hendak diikutkan kesedihan hidupnya lebih perit dari aku. Hasrat hidupnya tidak tercapai kerana kehilangan wanita yang dicintai. (Dalam keadaan ini, aku tak boleh dibandingkan dengan Ray sebab perangai buruk pemarah aku merupakan salah satu sebab aku ditinggalkan isteri). Kesakitan yang dialaminya adalah jauh begitu teruk. Menghairankan, dia tenang walaupun berada dalam keadaan sukar. Memang aku terpegun namun agak sukar untuk aku menerimanya. Garis pemisah itu jelas buatnya.

Hari ini Ray muncul dengan segak. Wajahnya yang bersih itu tak lekang dengan senyuman. Dia tetap mengekalkan kemeja beserta jeans biru lusuhnya. Anggota-angota kumpulannya pada malam ini juga tampak kemas sesuai dengan usia mereka yang melampaui zaman remaja.

Ray memperbetulkan peralatan-peralatan yang bersambung pada gitarnya. Berkali-kali dia mengusik butang-butang yang ada sehingga dia berpuas hati dengan bunyi yang keluar. Akhirnya, dia menghadap dirinya ke hadapan khalayak penonton yang tak sabar menunggu. Malam ini terasa istimewa kerana semua orang di dalam Kapas bagai memberi sepenuhnya perhatian. Ray kelihatan memperbetulkan mikrofon padanya. Ini adalah suatu yang baru. Seingat aku, Ray tidak pernah menyanyikan sebarang lagu. Selama ini pun, pemain organ mereka sahaja yang menyanyi beserta iringan vokal dari pemain bass. Malah, kalau tak salah aku, Ray tidak pernah bercakap sepatah pun di atas pentas. Aku dapat merasakan malam ini bukan suatu malam yang biasa.

''Hai. selamat malam pada semua yang hadir...,'' Ray nampak gugup tapi mukanya seperti terpancar kegembiraan.

''Semalam, saya telah mendapat satu mimpi yang cukup indah. Entah sudah berapa lama saya tidak merasai gembira seperti ini, untuk itu, saya ingin berkongsi apa yang saya rasa dengan semua orang di sini,'' biarpun tampak kekok apabila pertama kali melihar dia berdiri bercakap namun aku dapat melihat semua orang di kelab ini menaruh penuh minat dengan apa yang sedang berlaku.

''Malam ini saya akan memainkan sebuah lagu yang saya fikir semua orang tahu. Maaf sebab lagu ini bukan lagu blues... namun istimewanya, lagu ini adalah lagu kesukaan arwah isteri saya. Terimalah M. Nasir, sentuhan listrikmu,''
 

''Bisakah aku bertanya padamu (Malam ini memang bukan malam yang biasa) Di mana datang sayang ini  (Malam ini jauh dari malam yang biasa) Di redup matamu atau bisikan mesra (Bukan aku seorang sahaja yang merasa getarnya, semua orang di dalam Kapas turut terpegun dengan apa yang mereka sedang dengar) Adakah kerana sentuhan listrikmu  (Lunak suara Ray ditambah dengan petikan gitar begitu mensyahdukan suasana)  Buatku terus berjanji  (Petikan gitarnya tersusun seolah-olah satu magis yang membuai jiwa) Hati ini hanya milikmu saja (Air mata aku pun tanpa disedari mengalir) Sentuhanmu bukan datang dari dunia materi  (Aku sekali lagi terasa bagai terapung) Terasa ini pernah mengusikku bagai dejavu. (Namun aku terapung kali ini tanpa botol di genggamanku) Ku rindu sentuhanmu (Aku cukup tersentuh dengan lagu nyanyian Ray itu) Ku damba sentuhanmu (Maksudnya jelas membawa hasratnya) Tiada lain yang kuingin hanyalah... (Dan aku memahami ia merupakan satu perasaan yang terpendam begitu lama) hanyalah sentuhanmu (satu kerinduan),''


Mendengar lagu M. Nasir yang dinyanyikan Ray itu, aku berasa gembira dalam sedih. Aku tersenyum walaupun pahit. Buat pertama kali, aku benar-benar dapat melihat kebahagian terpancar dari raut wajahnya, dan bukan setakat itu, aku turut merasai kebahagiannya dalam diriku.

 
Selasa minggu seterusnya. Persembahan istimewa Ray pada minggu lalu hanya kepada sebuah lagu sahaja. Mereka kemudian menyambung kembali persembahan dengan lagu-lagu berirama blues. Walau bagaimanapun, fikiran aku tidak dapat berhenti daripada memainkan lagu nyanyian Ray itu. Alunannya terus terngiang-ngiang dalam kepala. Ia tidak mahu berhenti. Walaupun aku sibuk dengan kerja serta seribu satu masalah yang aku sedang hadapi, lagu itu masih tetap kedengaran. Dan untuk setiap itu, aku pasti tersenyum tenang apabila mengingatkannya.

Namun begitu, Rabu lalu iaitu sehari selepas persembahan istimewa dari Ray, aku telah dikejutkan dengan satu berita yang aku tak jangka sama sekali akan berlaku. Ray meninggal dunia ketika sedang tidur di rumahnya. Rakan aku memberitahu hal itu ketika aku sedang bekerja dan aku pun terus berkejar ke hospital dimana Ray ditempatkan. Ketika aku tiba, aku dapat lihat begitu ramai rakan-rakan Ray yang datang menziarahi dan menyembahyangkan jenazahnya. Tanpa disedari, air mata aku mengalir kerana aku tidak menyangka betapa ramai sebenarnya menyayangi seseorang yang hidupnya begitu sunyi. Tiada siapa yang dapat menjangka bahawa rahmat yang ESA datang meneduhkan perjalanannya. Aku bertegur sapa dengan rakan-rakan Ray dan kami saling berkenalan. Kami seterusnya beramai-ramai mengusung dan mengebumikan jenazah di sebuah tapak perkuburan yang terletak di hujung kotaraya.

Selepas semua orang beransur-ansur pulang, aku mula merasai kerinduan pada Ray. Hari Selasa kini sudah tidak sama lagi seperti dahulu. Tiada siapa yang dapat mententeramkan jiwa aku sepertinya. Keistimewaan yang dimilikinya adalah tersendiri. Dia boleh membuatkan aku melupakan semua masalah yang ada. Akhirnya, aku terpaku. Aku melihat diriku dan aku melihat dirinya.

Malam ini, tanpa kehadiran Ray, aku tetap melangkah ke Kapas. Jumlah orangnya tidak berganjak, masih lagi dengan orang-orang yang sama. Aku memandang muka pelayan di meja bar itu dan dia memandang mukaku kembali. Aku melihat tempat duduk kegemaran aku masih lagi kosong, aku pun mengambilnya segera.

Di atas pentas, anggota kumpulan yang bermain muzik blues pada malam ini hanya empat orang tanpa Ray bersama mereka. Khabarnya, jumlah itu akan tetap sama kerana mereka semua sepakat tiada siapa dapat menggantikan tempat Ray.

Aku mengalihkan pandangan aku kepada kepada pelayan di meja bar dan dia memandang aku kembali. Dia mengerti aku dengan blues tidak dapat dipisahkan. Dia telah mempersiapkan segalanya sebaik sahaja melihat aku tiba.

''Blues ya, bang.... hari ini mahu yang biasa atau yang lagi keras?'' pelayan itu bertanya kepadaku.

''Boleh bagi saya Coke...dan keropok itu nampak sedap, boleh bagi saya satu,'' pelayan itu bagai tercengang namun ia tidak menghalangnya dari menunaikan permintaanku. Aku mengambil keropok itu dan tin coke darinya. Perhatian aku seterusnya teralih kepada alunan lagu 'Little Wing' karya Jimmy Hendrix yang sedang dimainkan. Persembahan kumpulan muzik itu sememangnya mengkagumkan meskipun terdapat kekosongan ruang berikutan ketiadaan Ray. Biarpun begitu, mereka dapat menyusun lagu itu dengan baik sehingga muzik yang berkumandang seolah-olah sempurna.

Aku buka plastik keropok di tangan aku itu dan mula mengunyahnya satu per satu. Fikiran aku masih terkenang pada Ray. Memang benar, tiada siapa yang dapat menggantikannya. Hakikat ini aku terima sepenuhnya. Aku mula terfikir sesuatu yang aku tidak pernah terfikir selama ini. Esok aku mahu mula solat. Sudah terlalu lama rasanya aku meninggalkan tuntutan ini. Lagipun, kalau Ray dapat melakukannya, aku pun boleh melakukannya. Aku sebenarnya sudah lemas terperangkap dalam kebodohan dunia ini berserta kesemua kesedihan di dalamnya. Aku bukan bermaksud membenci blues namun garis sempadannya memang jelas dan terima kasih kepada Ray, aku kini mengetahuinya.
 

-habis

lirik lagu
----------
bisakah aku bertanya padamu
di mana datang sayang ini
di redup matamu atau bisikan mesra
adakah kerana sentuhan listrikmu
buatku terus berjanji
hati ini hanya milikmu saja
sentuhanmu bukan datang dari dunia materi
terasa ini pernah mengusikku bagai dejavu
ku rindu sentuhanmu
ku damba sentuhanmu
tiada lain yang kuingin hanyalah, hanyalah sentuhanmu
Soundtrack
---------------
Layla- Eric Clapton
Kind Hearted Woman Blues -Robert Johnson
Let's go get stoned - Ray Charles
Little Wing - Jimi Hendrix
Sentuhan Listrikmu - M.Nasir

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini