Kata mak ciknya, “Kalau orang dah tak sudi, takkan nak layan”.
Intan Baizura cuba menyebut patah-patah perkataan mak ciknya satu-satu. Bukan sebut dengan mulut. Cuma sebut dalam hati saja sambil tutup mata. Kononnya mahu konsentrasi. Intan Baizura tak mahu dua orang pekerja buruh dari Bangladesh di sebelahnya mendengar apa yang difikirkannya. Malulah Intan Baizura! Orang sudah tak sudi, mahu dilayan lagi.
Sebenarnya bukan Intan Baizura mahu layan sangat, tapi setiap kali pandang muka Azman, Intan Baizura rasa mahu terus pergi meluru ke arah Azman dan berbual-bual tanpa henti dengan Azman. Entah kenapalah Intan Baizura berkenan sangat dengan Azman. Kali pertama bertemu dengan Azman, dia terlanggar bahu dengan Azman sewaktu melalui satu lorong sempit. Lorong sempit penuh dengan wanita-wanita jadian yang lebih jelita daripadanya.
Maka, seperti apa yang kita lihat dalam drama-drama telenovela, kaki Intan Baizura terseliuh dan Azman segera menyambutnya. Saat Azman cuba menyambutnya, (cuba anda bayangkan aksi mereka berdua bergerak secara slow motion) Intan Baizura dengan secara tidak sengaja telah terhidu rambut Azman yang memakai sejenis syampu berperisa yang digemari Intan Baizura.
“Timun!”.
Semenjak daripada itu, Intan Baizura menggelar Azman sebagai Azman Timun.
Comelnya!
Bermulalah bibit-bibit perkenalan antara Intan Baizura dan Azman Timun. Intan Baizura merasakan bahawa Azman Timunlah satu-satunya orang yang memahaminya. Dia sangat selesa dengan Azman Timun. Mungkin kerana bau rambut Azman yang berbau timun yang juga makanan kegemaran Intan Baizura.
Intan Baizura bercerita tentang pelbagai perkara dengan Azman Timun. Cerita tentang dirinya yang selalu diganggu oleh dua orang pekerja buruh dari Bangladesh semasa menunggu bas mini bernombor 402 tiba. Cerita tentang payung merahnya yang selalu menjadi tongkat saat bas mini bernombor 402 penuh dengan penumpang. Dan tangannya pula tidak mampu mengimbang badannya daripada terus tersandar di belakang badan salah seorang pekerja buruh dari Bangladesh. Tapi Intan Baizura tidak akan bercerita tentang mak ciknya yang selalu menasihatinya atau mungkin juga memerlinya secara halus supaya tidak melayan mana-mana orang (baca: lelaki) kalau orang tersebut tidak sudi. Sebabnya, Intan Baizura tahu Azman Timun memang semacam tidak melayannya. Pastilah Azman Timun akan mentertawakannya. Kalaupun tidak terang-terangan, dalam hati pasti Azman Timun sudah gelak kuat-kuat.
Bukannya Azman Timun tidak pernah melayan langsung cerita-ceritanya. Dulu, Azman Timunlah yang suka sekali mendengar Intan Baizura berceloteh. Malah Azman Timun sanggup tinggalkan kerjanya sebagai bapa ayam kepada wanita-wanita jadian itu semata-mata mahu mendengar cerita-cerita dari mulut Intan Baizura. Cuma dua minggu kebelakangan ini Azman Timun sudah berubah. Dia tidak berminat lagi mahu mendengar cerita-cerita Intan Baizura. Malah, setiap kali Intan Baizura datang mencari Azman Timun, Azman Timun seolah-olah mahu melarikan diri daripadanya. Kadang-kadang Azman Timun tertoleh sana tertoleh sini, seolah-olah mencari kelibat orang.
Intan Baizura sangsi.
Intan Baizura curiga.
Intan Baizura CEMBURU!
Intan Baizura perlu menyiasat. Biarlah orang bilang Azman Timun sudah tidak sudi lagi kepadanya. Dia mahu mencari punca kepada ketidaksudian Azman Timun itu.
Malam itu Intan Baizura datang ke lorong sempit yang dipenuhi dengan wanita-wanita jadian itu. Intan Baizura tidak datang pada waktu siang seperti kebiasaannya. Intan Baizura tahu malam ini adalah waktu kerja Azman Timun. Dari jauh Intan Baizura lihat Azman Timun sedang berbual-bual mesra dengan satu lembaga yang memakai skirt mini warna merah jambu terang. Maafkanlah Intan Baizura. Dia rabun malam. Intan Baizura berjalan terjengket-jengket. Lagaknya seperti seorang detektif yang diupah untuk menyiasat kecurangan seorang suami yang berpangkat Datuk.
Intan Baizura semakin menghampiri Azman Timun dan lembaga, itu tetapi masih berhati-hati mengatur langkah agar tidak terlihat oleh kedua-duanya. Dan tiba-tiba...
“Eh, itu bukan aku, ke?”
Esoknya, gempar di sekitar lorong sempit yang dipenuhi wanita-wanita jadian tentang salah seorang daripada rakan mereka yang bernama Intan Baizura mati tertelan racun tikus.
Intan Baizura tersenyum.
“Kau ingat dengan buat pembedahan plastik macam muka aku, guna nama aku, kau boleh dapatkan Azman Timun”.
Minggu depan Intan Baizura mahu pergi semula ke lorong sempit yang dipenuhi oleh wanita-wanita jadian itu. Azman Timun sudah bilang kepada Intan Baizura bahawa dia tidak sabar mahu mendengar cerita-cerita baru dari mulut Intan Baizura. Nasihat mak ciknya...
Hmmm... sudah dibuang jauh-jauh.
August 1, 2011 at 10:29 PM
tak faham. :(