AMARAN: CERPEN INI HANYA SESUAI DIBACA UNTUK MEREKA YANG BERUMUR 18 TAHUN KE ATAS SAHAJA. MENGANDUNGI BEBERAPA UNSUR YANG MENYEBABKAN TIDAK LAYAK DIKATEGORIKAN DALAM KATEGORI UMUM. SELAMAT MEMBACA DENGAN HATI YANG TERBUKA BUKAN DENGAN PERUT BERBUKA SERTA BUKAN TENGAH BERBUKA PUASA.
“Ken Zaperto“
“Kenapa pandangannya bisa meluruhkan bunga jiwaku? Seakan-akan matanya berbicara cinta. Setiap diksi yang keluar menghasilkan puisi indah,“ Qurratul Ain bermonolog sendirian. Purse yang dipegangnya diletakkan di atas meja.
Mujur ada lagi manusia yang berhati mulia kat dunia ni. Kalau orang lain, sudah diambil wang di dalamnya. Purse yang kosong pula entah akan dicampak ke mana. Kalaulah perkara sebegitu terjadi. Dia harus mencari jalan untuk membayar yuran pengajian. Sejumlah wang RM1,700 bukanlah nilai yang kecil bagi dirinya yang membesar dalam keluarga yang miskin. Pandangannya dibiarkan menerobos kaca jendela. Bebas meneroka setiap panorama rembang petang itu. Bayangan Ken Zaperto melintasi fikirannya.
“Hai, saya Ken Zaperto”
“Tidak, awak bukan mahram. Sorry”
Dia melihat kekecewaan pada wajah lelaki Serani tersebut terlarut dalam senyuman mencukanya. Dan, sewaktu dia menerima purse dari Ken Zaperto petang tadi, tiada senyuman yang menghiasi wajah lelaki tersebut. Ah, harapnya lelaki tersebut memahami batas-batas pergaulan dalam Islam. Sesungguhnya dia masih lagi waras. Pesanan bapanya masih disemat erat di nurani.
Dari Ma’qil bin Yasar ra. berkata : Rasullah saw. bersabda: “Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik dari pada menyentuh wanita yang tidak halal (bukan muhrim) baginya.” (HR. Thabrani dalam Mu’jam Kabir 20/174/386).
Sekiranya sebegitu sekali diumpamakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Maka dia lebih rela ditusuk besi jarum dari merelakan lelaki bukan mahram menyentuhnya. Qurratul Ain menggeleng kepala perlahan, memikirkan ramai yang sudah tidak mengendahkan perkara ini pada zaman ini. Satu saja perkataan yang akan tersembul dari mulut mereka “Kolot!”. Betapa mereka itu berada dalam golongan yang rugi.
Seringkali bapanya mengingatkan. Jagalah kehormatan diri! Jagalah kehormatan diri! Jagalah kehormatan diri! Dia bersyukur mempunyai seorang ayah yang mendidiknya dengan ilmu agama yang lengkap.
Seusai solat Isyak, Qurratul Ain melipatkan sejadah dan telekungnya. Diletakkan dengan cermat di atas almari. Keletihannya mengikuti demonstrasi petang tadi membisik pada telinga agar terus merebahkan badan di katil. Setelah sejam berbaring dia masih gagal melelapkan mata. Sukar sekali baginya mengusir bayang Ken Zaperto. Dikalih badannya ke kiri ke kanan. Masih gagal juga. “Nauzubillah Min Zalik! Ya Allah, ya Tuhanku, lindungilah aku dari hasutan syaitan” sejurus dia meraup mukanya.
*****
Suasana selepas hujan begitu mengasyikan. Pemandangan awan gelap yang berensot perlahan ditunda angin. Wap-wap keluar dari jalan tar bersimpang-siur dilentung kereta-kereta yang lalu-lalang. Sisa-sisa hujan yang masih berpalit di hujung daun menitis-nitis perlahan menghasilkan lopak di atas tanah.
Qurratul Ain berjalan perlahan menuju stesen bas. Cuti sempena awal Ramadhan ini harus dimanfaatkan di kampung. Kerinduan terhadap keluarga sudah menjadi jarum yang menyucuk dada. Lebih-lebih lagi bulan Ramadhan ini. Berbuka bersama keluarga amat bermakna bagi setiap insan yang bernama anak sepertinya.
Sesekali dia mengerling muka jam.
“Fuh, harap-harap sempatlah. Sekarang dah pukul 5.30 petang!” pandangannya mengalih ke kiri ke kanan melihat kalau-kalau ada teksi. Jauh di sudut hatinya berharap masih ada bas yang akan ke Serdang, jimat sedikit. Kalau tidak disebabkan perlu memulangkan buku yang dipinjamnya tempohari. Pasti tidak akan terlewat begini. Kalau dia membawa pulang ke kampung dikenakan denda pula lewat pulang. “Ya Allah, aku bertawakal kepadaMu ya Allah”. Dia bertekad kalau tiada lagi bas atau teksi sampai pukul 6. Keputusan untuk pulang esok akan diambil.
PIN! PIN!
Sebuah kereta Honda City perak berhenti di hadapan Qurratul Ain. Cermin tingkap diturunkan. Seorang jejaka mempunyai janggut nipis memakai kemeja-T Polo ungu kelihatan. Wajahnya bersih dengan rambut pendek disisir rapi.
“Er... Hai… Er Qurratul Ain?” garau suara jejaka tersebut mencuri tumpuan Qurratul Ain.
“Er… Awak… Ken… Ken ape tu?” lantas dijawab pantas dengan anggukan dari dalam kereta.
“Ken Zaperto lah! “ terdengar ketawa kecil di hujung ayatnya. “Awak nak ke mana? Marilah saya hantarkan,” pelawa Ken Zaperto seraya membuka pintu kereta.
Qurratul Ain kelihatan serba salah. Untuk mengikut orang yang tidak dikenalinya itu tidak mungkin. Walau dia tahu lelaki tersebut merupakan pelajar UVBM sepertinya. Dan, itu bukan lesen untuk mempercayai orang asing dalam hidupnya. Dia menjeling jam, “Ah, hampir pukul 6! InsyaAllah, tak ada pape. Darurat lagipun,” bisik isi hati Qurratul Ain sambil membuka langkah menuju pintu kereta yang sudah sedia terbuka.
*****
Setengah bulan selepas itu…
Majlis Amal Bersama Anak Yatim Baitul Salam itu walau tidaklah semewah majlis Anugerah Bulan Popular ataupun Anugerah Industri Muzikal. Tetapi kegembiraan yang terpancar pada wajah mereka sudah menggambarkan betapa hati mereka dimewahkan dengan perasaan bersyukur. Alhamdulillah, program anjuran gabungan Persatuan Pelajar Islam. Walau ia hanyalah sekadar majlis berbuka puasa dan sumbangan ikhlas. Qurratul Ain mengucap tasbih hamdalah.
“Ini semua jasa awak” ujar Qurratul Ain sambil tersenyum pada lelaki yang segak memakai baju melayu sebelahnya.
“Eh, awak yang berusaha sungguh-sungguh. Saya hanya mencari penyumbang dan penaja saja” balas lelaki tersebut sambil ketawa kecil.
“Ken… Ken… takpe ke awak pakai baju melayu ni? Siap songkok dan samping plak tu!” usik Qurratul Ain. Pertama kali dalam sejarah hidupnya melihat lelaki setampan Ken Zaperto. Lelaki Serani kacukan Itali. Maknya orang Italy, ayahnya Serani Malaysia.
“Isk takpe saya selalu juga pakai macam ni. Kadang-kadang saya pakai kain pelikat juga tau! OK juga ada majlis ni. Saya leh photoshooting” Klik! Klik! Klik! Pantas jemari Ken menekan butang shutter.
“Heh, tak mahulah Ken” Qurratul Ain menganjakkan diri. Mujur dia memakai purdah. Kalau tidak, manalah dia mahu sorokkan wajahnya yang malu dan pipinya yang kemerah-merahan. Sekuntum bahagia seakan mengembang di taman hatinya. Sudikah Ken menjadi penjaga taman hatinya? Sudikah Ken setia membaja cinta di taman hatinya?
*****
“Hoi, bagi balik cerpen aku tu!” Ini yang aku panas ni. Berani betul dia ambil hard copy tu. Aiseh, dah la tu je satu aku print. Si Kestopol ni bukan boleh percaya. Habis dibacanya kang letak mana-mana plak. Sudahnya aku yang sakit kepala nak kena print baru. Cess… Nanti kau Kestopol!
Nasib baik aku masuk ROTU dulu kan. Gagah si askar usahkan dilawan. Dilawan takkan terlawan. Hehe, akhirnya dapat juga balik hard copy ni. Erm, bolehlah siap-siap nak hantar. Owh, lupa la. Yang kat Kapasitor.net aku tak upload lagi yang dah siap punya. Jap. Ala, nantilah lepas terawihla aku upload. Lagipun diorang bukan nak baca pun cerpen aku ni. Ye la… cerpen sambung-sambung. Sekarang dah pukul 3.30 petang. Harap-harap Dr. Lim ada lagi kat bilik.
Lama pula rasanya duduk terperap kat bilik. Uiks, cuaca mendung pula. Ini kang kalau terus redah ni, buatnya hujan. Mahu basah hard copy ni. Sediakan payung lu sebelum hujan. Hah, ada fail plastik kat rak Kestopol. Pinjam dululah. “Aku pinjam ye Kestopol. Ala, ko macam tak biasa pinjam barang aku kan”.
Aku harus melangkah laju laksana parajurit. Takut-takut plak tak ada Dr Lim kat bilik kang. Haha, itu pun dia kekasihku. Alahai. Ini je la yang aku ada sebagai pengarang jantung. Penawar resah dan gelisah. Kalau tak ada benda ni agak syusyah menjadi lelaki idaman di UVBM ni. "Oh, Motor EX-5ku. Kekanda akan membawamu berjalan-jalan. Yariba! Yariba! Andre… Andre!"
Kerana kecuaian Al-Kapone menunggang motosikal. Cerpen ini hanya berhenti sampai di sini. Cerpennya sudah hilang ke mana. Dan, beliau sudah ke parit.
*****