rss

Keletah kanak-kanak bermain di taman membuatkan hatiku tersentuh. Wajah mereka riang, tertawa dengan penuh keseronokan. Namun sayangnya, ada sesuatu yang mencemburui semua kanak-kanak itu. Memakai uniform putih dan bergantung hidup dengan bekalan ubat serta rutin rawatan, tiada apa yang membezakan kami. Menyandang gelaran pesakit, membuatkan segalanya tak seindah waktu dulu. Ralit aku memerhatikan tingkah mereka berkejaran. Saat asyik menikmati pemandangan damai dengan hembusan angin petang yang nyaman, tiba-tiba kakiku bagai dilanggar sesuatu. Seorang kanak-kanak menunduk-nunduk untuk mengambil permainannya.
 “Biar abang tolong,” kataku padanya sambil mengundurkan sedikit kerusi roda bagi memudahkan tanganku mencapai sebiji dadu. Budak lelaki berwajah comel ini tersenyum. Aku turut senyum. Setelah mendapatkan dadu itu, lantas ku hulurkan ke dalam genggaman tangan kecilnya.
“Terima kasih, abang. Idin nak main ni. Kawan-kawan dah tunggu. Nak ikut?” kedengaran sungguh ikhlas suaranya. Tidak sampai hati untuk menghampakan pelawaannya, aku mengangguk. Tanpa diduga, kanak-kanak ini menolak kerusi rodaku. Sungguh aku terharu dengan kebaikannya.

“Kawan-kawan, hari ini Idin bawak kawan baru. Nama dia… ,” Idin menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Aku tersengih melihat telatahnya.
“Dia abang long Idin!” bersambung pula ayatnya yang kedengaran tergantung sebentar tadi. Selamba betul budak comel bernama Idin ini.
“Nama abang Firhan. Panggil abang Fir je. Apa nama kawan-kawan Idin yang lain?” soalku ingin tahu. Teruja mengenali kanak-kanak ini. Mereka sungguh bahagia dan masih terlalu jauh untuk meneroka erti sebenar kehidupan. Aku yakin, mereka sudah boleh memahami keadaan masing-masing. Cuma, lumrahnya adalah mereka tetap kanak-kanak biasa yang inginkan persekitaran aktif bagi meneruskan hari-hari dengan penuh bermakna.
“Saya Aidad, umur Aidad baru enam tahun. Dia yang botak tu, Faiz. Yang pegang belon tu pulak Momo,” manja suara kanak-kanak perempuan itu menerangkan seorang demi seorang nama sahabatnya.

Ternyata hubungan mereka sememangnya akrab. Malahan, menjadi satu-satunya kanak-kanak perempuan dalam kelompok ini tidak mendatangkan kejanggalan buatnya. Selesai memperkenalkan diri mereka, seorang demi seorang bangun dan menyalami aku. Betapa bijaknya mereka menghormati orang yang lebih tua.
“Oh! Pandai adik-adik abang Fir ni. Dah makan ke semua? Kalau tak abang belanja makan gula-gula nak?” aku sengaja mengumpan mereka. Masing-masing bersorak gembira. Terhibur aku melihat gelagat mereka ini. Kanak-kanak sememangnya penyeri dunia.
“Faiz nak! Tapi kamu semua kena beratur dulu,” bagai kapten pula lagak Faiz. Namun, arahannya diterima baik memandangkan mereka semua berbaris sebelum mengambil sebiji gula-gula seorang dari tanganku.
“Abang bagi gula-gula ni, jangan bagitahu doktor ye,” ucapku perlahan sambil meletakkan jari telunjuk ke mulut. Mereka mengangguk dan turut melakukan perbuatan yang serupa.
“Doktor bagi kami makan gula-gula, tapi tak boleh makan selalu. Kalau kami tak nak buat rawatan, doktor pujuk dengan gula-gula,” jujur kanak-kanak itu memberitahuku. Mendengar penjelasan mereka itu, aku memanggil kesemuanya agar menghampiri ku. Masing-masing mendekatkan tubuh ke arahku lalu membentuk bulatan.
“Abang Fir boleh bagi gula-gula, tapi nanti gigi yang cantik-cantik ni semua rosak. Kalau rosak, nanti rongak dan takde orang nak kawan. Jadi, jangan degil kalau nak gigi cantik. Kena dengar cakap doktor tahu?” pujukku dalam nada gurauan. Mereka tergelak mendengarnya. Mintak-mintaklah mereka makan kelentong. Sudah lumrah semua kanak-kanak menggemari gula-gula. Namun, dalam keadaan mereka ini tak mungkin gula-gula boleh dinikmati dalam jumlah sekerap kanak-kanak normal yang lain.

Duniaku di sini tidak lagi membosankan. Kehadiran mereka berempat membuatkan diri ini semakin bersemangat, hingga adakalanya terlupa bahawa tubuhku sedang menanggung beban yang tak mampu dizahirkan oleh kata-kata. Menggeletar aku setiap kali menahan kesakitan yang menyerang, namun segalanya sudah biasa aku harungi. Cuma perlu menambahkan sedikit sahaja tahap kekuatan diri. Belum lagi tibanya saat setelah selesai mencuci darah, hanya Tuhan yang tahu betapa aku menahan perasaan. Sewaktu menjalani dialisis aku masih mampu tersenyum, namun tamat sahaja proses itu tubuhku menjadi terlalu lemah. Amat menderita! Jika diikutkan ketakutan, tentu mudah saja aku kecundang. Namun aku mesti teguh! Hanya iltizam mampu mengurangkan kesakitan ini.

Jam sudah menunjukkan pukul 2 tengah hari. Maknanya sebentar sahaja lagi Momo perlu menjalani rawatan. Dan aku perlu menunaikan janji untuk menemani mereka semua. Lalu, aku menggagahkan diri untuk berpaut pada birai katil dan mengheret tubuh ke atas kerusi roda. Perlahan tangan menggerakkan roda untuk mengarahkan kerusi rodaku ke laluan yang betul. Belum sempat aku keluar dari bilik, terjengul wajah Idin, Aidad dan Faiz. Tergambar cemas pada riak wajah mereka.
“Abang Fir, pujuklah Momo. Dia tak nak jumpa doktor. Dari pagi tadi Momo tak nak makan. Kami tak tahu nak pujuk macam mana lagi. Gula-gula pun Momo tak pandang,” kedengaran sebak suara Faiz. Idin dan Aidad bagai hendak menangis di hadapanku. Sebagai abang, aku harus bertindak bijak pada waktu seperti ini.

“Bawak abang jumpa Momo, abang tahu macam mana nak pujuk dia,” penuh yakin aku bersuara untuk mengembalikan semangat mereka. Aku tahu, mereka sangat bimbang mengenai keadaan Momo. Penyakit anak itu semakin serius. Seperti aku juga.
Segera Faiz menolak kerusi rodaku. Aidad dan Idin berjalan mengiringi kami. Dalam kebimbangan yang menggaru jiwa, kami sepakat menuju ke perkarangan taman. Sungguh lengang persekitarannya ditambah pula dengan panahan terik mentari, tentunya tiada pesakit yang ingin bersantai pada waktu ini. Namun berbeza bagi kami yang ingin menjejaki Momo. Melilau mataku memandang sehingga ternampaknya kelibat seorang kanak-kanak sedang menyandar di bawah pokok yang merendang. 
“Kamu semua masuk dulu, biar abang jumpa Momo sekejap,” bicaraku lembut terhadap mereka bertiga. Wajah penuh mengharap mereka membuatkan aku semakin berkobar-kobar untuk memujuk. Walau penuh kepayahan, sedaya upaya aku menolak kerusi roda sehingga berada dekat dengan kanak-kanak ini. Perlahan, aku menyapanya.

“Momo, abang ada satu cerita nak bagitahu Momo. Tapi sebelum tu Momo kena janji dengan abang, takkan cerita kat sesiapa pun,” ini hanya sekadar permulaan untuk memujuk. Jari halusnya bertaut dengan jari kelingkingku. Tanda janji telah dipateri.
“Cerita apa abang Fir? Sedih tak?” dalam keluhan dia bertanya. Aku menggeleng.
“Cerita ni tak sedih, tapi kesian. Abang ada kenal seorang budak. Budak ni kan Momo, sakit macam kita jugak. Tapi keluarga dia tak peduli. Dia langsung tiada tempat nak mengadu. Susah payahnya, dia yang tanggung sendiri. Mak dia tak ambil tahu pun. Abang rasa, mak dia masih berdepan dengan kesedihan sebab ditinggalkan oleh bapanya yang berkahwin lain. Jadi dia tak nak menangis lagi sebab terpaksa tengok anak sakit macam tu. Tapi budak ni memang bertuah sebab dia ada seorang kawan baik. Kawan terhebat yang setia di sampingnya.  Momo tahu tak, sakit dia lebih teruk daripada kita. Tapi sebab dia sayang kawan-kawan dia, budak tu ikut semua cakap doktor. Dia rajin makan ubat, jalani rawatan. Dia tak pernah takut, dia takkan mengalah. Sebab dia tahu, kawan dia nak tengok dia sihat. Kesian kan budak tu?” soalku kembali ingin memancing kesedaran Momo. Perlahan kanak-kanak itu mengangguk. Ku lihat ada air mata di pipinya.
“Momo takut mati, abang Fir. Momo sayangkan mak dan abah Momo. Momo nak jumpa adik Momo yang belum lahir,” serak suaranya menahan tangis.

Oh Tuhan! Laju sungguh air mataku mengalir di kala ini. Pilu bila mendengar kanak-kanak berusia lapan tahun ini berbicara tentang kematian.
“Siapa kata Momo akan mati? Momo jangan fikir fasal mati. Kita kena yakin pada Allah. Momo kena jumpa doktor kalau nak cepat baik. Nanti Momo boleh tengok adik dan jumpa mak abah. Momo kena berusaha,” lantas ku mendakap kanak-kanak itu. Rambutnya ku usap lembut. Basah bahuku dengan air matanya.
“Abang bagi Momo sesuatu nak?” aku menghulurkan key chain berbentuk smiley. Segaris senyuman yang terukir di bibirnya melegakan hatiku. 
“Terima kasih, abang Fir. Kalau macam tu, Momo nak jumpa doktorlah. Tapi abang kena teman. Momo takut, sakit. Jarumnya besar,” aku mengangguk laju. Tak termampu untuk meneruskan kata-kata. Tiba-tiba bibir jadi kelu.

Kami hanya dapat menamani Momo dari luar. Sesekali aku memalingkan wajah ke arah yang bertentangan. Tak tergamak melihat dia mengerang saat jarum bius menembusi bahagian belakang badannya. Inilah prosedur yang perlu diharungi oleh setiap pesakit leukemia sepertinya untuk menyempurnakan proses mengambil sel darah. Dia sama sepertiku, masih menunggu penderma yang sesuai.
Aku dan Idin, Aidad serta Faiz berpelukan. Dalam ketakutan yang melanda diri, aku berusaha mententeramkan mereka. Hatiku pilu, mengenangkan penderitaan Momo. Kalaulah kanak-kanak itu mengerti dan mengetahui bahawa budak yang diceritakan kepadanya tadi adalah aku.

Bukannya aku tak takut, bahkan setiap masa diri ini memikirkan kemungkinan yang berlaku. Bukannya tak pernah putus asa, tetapi semangat yang masih membara menghalangi diri menurut kata hati. Mama, aku rela memberikannya masa dan ruang untuk menyendiri. Masih ada sisa kepedihan dalam hatinya. Aku takkan sanggup untuk menambahkan beban perasaannya lagi. Ditinggalkan suami merupakan tamparan terbesar dalam hidupnya, apatah lagi terpaksa menerima bahawa aku disahkan menghidap penyakit kronik seperti ini. Mengharungi segalanya dalam masa yang singkat, benar-benar menguji ketabahan mama. 

*                   *                        *                      *                         *                        *

Penderma yang sesuai dengan Momo telah berjaya ditemui. Setelah melalui beberapa peringkat perbincangan, hari ini merupakan saat yang paling bermakna buat adik kesayanganku. Momo akan menjalani pemindahan sum-sum tulang. Aku tumpang gembira. Bersamanya ke dewan bedah, key chain yang ku berikan dulu. Digenggam erat oleh tangan kecilnya.

Setiap waktu yang berlalu mengundang kegelisahan dalam hati. Aku tak senang duduk. Perut masih kosong lantaran tekak tidak berselera untuk menjamah sebarang makanan. Entah mengapa, jantungku berdegup kencang. Segalanya serba tak kena. Lampu dewan bedah terpadam. Seketika kemudian, pintu dewan bedah dibuka. Doktor telah menyelesaikan tugas mereka. Mak dan abah Momo bergegas menghampiri doktor tersebut. Aku ketap bibir, namun serta merta gugur air hangat dari kolam mata bila melihat doktor itu menggelengkan kepalanya.

“Momo, kami semua sayangkan Momo. Momo sangat kuat, berjuang sehingga peringkat terakhir tapi sekarang Momo takkan bersama kami lagi. Abang harap Momo bahagia menemuiNya,” hanya itu yang mampu aku ucapkan saat menatap wajah pucat arwah Muhkriz Muhaimin. Dia sememangnya Momo kesayangan kami, tetapi Allah lebih menyayanginya. Saat kami ingin melangkah keluar dari dewan itu, mak Momo menghampiri ku dan menghulurkan sepucuk surat.
“Terima kasih kerana Fir bagi kegembiraan untuk anak akak. Kami tak dapat membalasnya,” ucap wanita itu sebelum berlalu. Aku terkedu. Hanya sempat melemparkan senyuman buatnya.

Abang Firhan Firdaus,

Abang memang baik. Baik sangat sebab abang sanggup luangkan masa menemani Momo. Bila Momo sakit, Momo rasa lega sikit bila teringat nasihat abang. Kalau Momo pergi nanti, abang kena teruskan perjuangan. Sebab kita semua sama, kita ada matlamat yang serupa. Sampaikan salam Momo kepada Idin, Faiz dan Aidad.

Momo, adik abang…
Mukhriz Muhaimin.

Sekali lagi air mataku menitis. Momo memang matang. Dia sering memikirkan perkara yang belum terlintas di fikiran kakak-kanak sesusianya. Abang kagum dengan Momo!

Permintaan mama untuk membawaku pulang sememangnya menjadi kejutan buat diriku. Malahan doktor Imran yang merawatku selama ini turut terkedu. Kelihatan serba salah untuk doktor itu melepaskan aku. Namun, demi menjaga hati mama aku turutkan jua permintaannya.
“Ma, boleh Fir tahu kenapa Fir perlu balik?” soalku sebaik sahaja mama menghidupkan enjin kereta.
“Mama nak jaga Fir. Kat rumah kita akan ada jururawat peribadi, doktor kita sendiri. Tak payah lagi duduk kat hospital macam tu. Senang, Fir ada depan mata mama,” berdetak laju jantungku mendengar percaturan yang telah dibuat mama.

Mengapa ibuku begini? Dari dulu, langsung tak menghiraukan pendapatku. Segala yang ku buat salah di matanya. Sedang saat aku berjuang melawan penyakit pun, dia masih bertegas dengan keputusannya. Aku tak percayakan khidmat doktor lain, hanya doktor Imran yang maklum mengenai tahap kesihatanku. Dia yang sering menenangkan aku kala diri ini mengharung kesakitan.
“Tapi, Fir kena buat dialisis tiga kali seminggu, ma. Macam mana nak buat kalau Fir duduk kat rumah?” agak keras nadaku. Manakan tidak, aku tak mungkin sekali-kali ingin mengabaikan rawatan dialisis yang perlu dilalui selama tiga hingga empat jam sekerap tiga kali seminggu. Bagi pesakit kronik seperti ku ini, hanya rawatan itu merupakan alternatif terbaik selagi belum mendapatkan penderma yang sesuai. Malangnya, mama langsung tidak mengendahkan pertanyaan itu. Sebaliknya dia terus memandu sehingga sampai ke kediaman kami.

Bagi kebanyakan pesakit, berpeluang pulang ke rumah dan tinggal bersama keluarga memang menjadi detik yang ditunggu-tunggu. Tetapi tidak aku. Kegembiraan dan semangatku bagai direntap sama sekali. Perasaan ragu dan tidak yakin seringkali menghantui hati. Hanya tinggal aku keseorangan di rumah. Doktor dan jururawat peribadi yang mama maksudkan itu hanya datang setiap kali berlakunya perkara yang tidak terduga terhadapku. Tidak terfikirkah mereka betapa sukarnya untuk aku menguruskan segalanya sendiri? Aku menderita!
Mujurlah sahabat baikku, Hazman akan datang ke rumah selepas habis kelas bagi menemani diri ini. Dia begitu mengambil berat terhadapku serta seringkali bersengkang mata bagi memastikan aku sentiasa berada dalam keadaan terkawal. Aku rindukan mereka, kanak-kanak yang cukup keletah. Idin, Aidad, Faiz juga arwah Momo. Abang Fir sayang kamu semua!

Aidad….memang nakal dan keletah. Tapi manja. Kalau Idin pulak, kelakar dan mudah tersenyum. Faiz pendiam tapi suka buat lawak. Akhir sekali, Momo. Nama yang comel macam tuannya. Sengaja ku conteng diari itu dengan tulisan sebesar mungkin. Biar penuh satu muka surat.



Semoga masih panjang
Jalan yang mampu ku lalui
Meski hari esok
Tidak menjanjikan detik
Seindah hari ini

Biar dapat ku lunaskan
Terbias bahagia buat mereka
Andai tiba masa ku pergi
Jangan lagi ditangisi

Namun ku masih punya harapan
Agar dapat aku jadikan
Setiap kenangan yang terhebat
Adalah rahmat dalam kehidupan ini

Aku bersyukur pada Tuhan
Kerana masih ada upaya
Walaupun sukar
Mesti teruskan sehingga ke akhirnya

Kesakitan menyucuk-nyucuk seluruh badanku terutama pinggang. Menggigil tanganku mencapai telefon bimbit yang terletak di birai katil. Bibir diketap semahu-mahunya. Berulang kali aku beristighfar. Tanpa sedar, berpeluh seluruh anggota badanku menahan kesakitan yang sungguh kuat ini. Lambat pula Hazman menjawab panggilan. Dalam kelas agaknya. Puas aku beristighfar menanti agar panggilan bersambut.
“Hello,” akhirnya kedengaran juga suara sahabat baikku ini.
“Man, tolong aku Man. Aku sakit,” hanya itu yang sempat aku katakan. Entah bila telefon itu terlepas dari tangan pun, aku gagal menyedarinya.

Auntie tahu tak yang anak auntie tu sakit tenat? Kenapa tergamak auntie layan dia macam tu sekali? Auntie dapat rasa ke kesakitan yang dia rasa setiap kali penyakitnya menyerang? Ibu jenis apa auntie ni? Kalau ada apa-apa berlaku pada Fir, saya takkan maafkan auntie,” mengalir air matanya membasahi pipi.

Kemarahannya tidak terbendung lagi bila perlakuan ibu sahabat baiknya seteruk ini. Tercalar jua kesabaran yang dipertahankan. Hazman menghempas pintu bilik wad berkenaan. Puan Aziah tersedu di sisi anak tunggalnya. Dia merasa sungguh bersalah. Demi mengejar kebendaan, sanggup dia mengabaikan kebajikan anak sendiri sehingga nyaris kehilangannya. Terima kasih sebab sedarkan auntie, Man.

“Maafkan mama, sayang,” dapat ku rasakan jemari lembut mama mengusap rambutku. Terasa hangat kucupan kasihnya menjamah dahiku. Aku benar-benar terharu. Sayang… buat pertama kalinya mendengar perkataan itu terucap di bibir wanita yang melahirkan dan membesarkan aku. Selama sembilan belas tahun hidup bersamanya, dalam suasana penuh kedinginan serta hambar akhirnya terungkap jua lafaz azimat itu dari bibir mama. Setelah begitu lama aku menunggu. Aku rela koma selama-lamanya andai ketidakupayaan ini menghadirkan kasih sayang mama terhadapku. Namun tidak mampu untuk dinafikan bahawa tiub-tiub yang berselirat pada badan dan tanganku, teramat menyeksakan. Sesak juga nafasku sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan bagi membolehkan aku terus bernyawa.
Fir sayang mama. Fir tak pernah ambil hati dengan apa yang mama dah lakukan. Tuhan… berilah aku sedikit masa lagi untuk merasai detik-detik indah ini. Aku ingin membahagiakan mereka sekali lagi. Bantulah aku. Aku hanya mahukan secebis harapan untuk menggamit senyuman pada wajah kanak-kanak comel itu. Kabulkanlah permintaan hambaMu Ya Allah…

Alhamdulillah. Aku berupaya sedarkan diri semula setelah koma selama seminggu. Bukan sekejap tempoh itu. Apa-apa sahaja boleh terjadi dalam suatu jangkamasa sebegitu, boleh juga menentukan hidup mati seorang insan bernama Firhan Firdaus. Aku bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk meneruskan hidup meski kini hidupku hanya bergantung pada rawatan dialisis. Pihak hospital masih belum dapat menemui penderma yang sesuai dengan diriku. Aku bersedia untuk menerima segala kemungkinan. Berbekalkan ketabahan diri ini, dorongan seorang teman, iltizam kanak-kanak bersemangat kental serta curahan sayang seorang ibu sudah cukup menjadi perisai buatku melawan penyakit ini. Biar dia menjalar dalam tubuh ini, aku tetap akan melawan! Mengalah bukan satu-satunya jalan keluar!

“Abang Fir, terima kasih sebab bagi teddy bear masa hari jadi Dad dulu,” mesra kanak-kanak itu berbicara. Dengan selamba dia duduk di atas ribaanku lalu mengucup kedua-dua belah pipi. Terasa begitu dihargai. Merekalah adik-adikku sekarang.
“Sama-sama. Abang Fir tahu, mesti Dad suka teddy bear kan? Nanti kalau birthday Faiz, pun ada hadiah. Macam tu jugak Idin. Abang sayang kamu semua,” hanya Momo yang tidak berkesempatan. Namun kata-kata itu ku simpan dalam hati. Lantas kesemua mereka ku peluk erat. Melimpah rasa kasih buat kanak-kanak ini. Aku sungguh kagum dengan semangat yang ada pada diri mereka. Sedikit sebanyak, mereka menjadi sumber inspirasiku. Kami sama-sama berjuang dan terus berjuang meski penghujungnya masih samar. Tak kira apa kesudahan yang menanti, aku tekadkan niat di hati.

*                            *                                *                                *                          *

Aku telah mengeluarkan sehabis upaya untuk berjuang. Setiap tenaga yang ada, ku kerahkan untuk melawan penyakit buah pinggang yang kian parah hari demi hari. Kini, aku benar-benar perlu kuat. Hanya aku yang dapat menentukan nasib pada hari esok. Tubuhku sudah menjadi teramat lemah. Pembaringan ini menjadi saksi bahawa aku masih bernyawa. Alat bantuan pernafasan menjadi peneman setia. Menggantikan keupayaan paru-paruku untuk bernafas secara normal.

Aku tak lagi dapat bercakap, mulut ini telah tertutup rapat. Tangan dan kaki kekejangan, hilang fungsi untuk bergerak. Hanya mata yang mampu dikerdipkan. Itupun dengan penuh kepayahan. Seringkali aku dapat melihat mama menahan air matanya semasa menyelimutkan tubuhku. Hazman pula, setia menggenggam tanganku. Semangat persahabatannya masih kental. Aku cintai kesungguhan dan kesanggupannya menemani diri ini tanpa mengira waktu. Kau sahabat yang paling aku sayang, Man.

Esok, merupakan hari lahir Idin. Sayangnya, aku sudah tidak mampu untuk meraikannya bersama mereka. Tetapi, telah ku bingkiskan siap-siap hadiah buat kesemuanya mengikut giliran hari lahir masing-masing. Aku masih mengharap, agar datang keajaiban dan tentunya jantung ini masih berdegup menandakan adanya aku bersama mereka.

“Aku tak sanggup tengok kau macam ni, Fir. Budak-budak tu asyik tanya pasal kau. Aku tak tahu nak cakap apa. Aku perlu beritahu mereka perkara sebenarnya, Fir. Aku tahu kau takkan marah kan? Kau sayangkan mereka semua,” perlahan Hazman bersuara.

Dia sedang menguatkan dirinya untuk berbicara dengan Fir yang tidak lagi berupaya untuk membuka mata. Menurut doktor, keadaan Firhan amat kritikal sekarang. Hanya mindanya yang masih berfungsi, dan pendengaran adalah satu-satunya deria yang memungkinkan sahabatnya mendengar.

Kau beritahulah, Man. Aku takkan marah. Dah terlalu banyak kau korbankan untuk aku. Aku teringin nak jumpa mereka sebelum aku pergi. Meski aku tak dapat melihat, aku dapat merasai sentuhan dan kehadiran mereka.

“Idin, Faiz, Aidad nak jumpa abang Fir tak?” soal Hazman pura-pura ceria. Padahal dalam hatinya, langsung tidak keruan. Hampir menangis dia memandang wajah bahagia tiga orang kanak-kanak itu.

“Yeay! Idin nak mintak hadiah birthday kat abang Fir. Jom!” penuh bersemangat kanak-kanak itu berteriak. Hazman tersenyum sumbing, sedaya upaya menutup kesedihannya. Sesampai sahaja di wad berkenaan, suasana menjadi sunyi sepi.

Terlepas gula-gula dari tangannya. Idin meraung dan menuju ke arah Firhan. Digenggam tangan lesu Firhan sambil kepalanya didekapkan ke dada jejaka itu. Menyaksikan kelakuan Idin, menambahkan hiba di hati Hazman. Setitis demi setitis air mata jatuh di pipi Hazman. Sekuat mana pun dirinya, ternyata dia gagal menahan emosi. Lantas didakapnya Idin lalu dihulurkan bingkisan yang telah Firhan bungkuskan sewaktu mereka sama-sama membeli hadiah dulu.
“Ini hadiah Idin, abang Fir yang bagi,” sebak Hazman menghabiskan kata-kata.

Cukup jelas telinganya menangkap suara tangisan Idin. Begitu juga esakan Aidad dan Faiz. Lalu mengalir air hangat dari tubir matanya yang terpejam rapat itu.

Selamat hari jadi, Idin. Jangan nakal-nakal tau. Faiz dan Dad pun sama. Kamu kena terus berjuang melawan penyakit. Abang terpaksa tarik dari sekarang. Tapi, jangan lupa. Abang sayang kamu semua. Kita pernah berjuang sama-sama kan? Jangan peduli apa pun penghujungnya. Yang penting berusaha…
“Abang Fir, kenapa bagi Idin hadiah lagi? Idin tak nak hadiah ni! Abang Fir… Idin nak tengok abang senyum. Idin nak tengok abang Fir buat lawak. Idin nak cubit pipi abang,” luah kanak-kanak itu. Semakin galak air mata membasahi pipinya.

“Dad nak duduk atas riba abang Fir,” hanya itu yang mampu anak kecil bertocang dua itu katakan. Selebihnya suara esakan menambah hening.

“Faiz nak gula-gula, Faiz dah degil sekarang. Abang Fir bangunlah,” rajuk kanak-kanak itu dengan harapan Firhan akan memujuknya seperti selalu.

Hazman terkesima bila melihat mesin bantuan hayat Firhan berubah nada menandakan degupan jantung sahabatnya kian lemah. Menyedari keadaan itu, Hazman bergegas menekan butang kecemasan.

Sungguh sakit, Man. Tiada sesiapapun dapat membantu mengurangkan kesakitan ini. Aku terpaksa berhenti setakat ini sahaja. Langkahku mula longlai, sahabat. Waktu aku dah sampai. Tiba masa untuk aku pergi dulu. Kaki aku sejuk sangat. Tiada selimut yang boleh menghilangkan kedinginan ini. Nafas aku makin perlahan. Aku tak boleh bernafas lagi. Sesak… aku tak dapat menghela udara, Man. Segalanya makin jauh, terpisah dariku.
Aku nampak Momo, dia senyum. Wajahnya bersih dan suci. Momo, tunggu abang di sana.

Genggamlah tangan aku dengan semangat persahabatan kau, Man. Aku nak pergi bersama kehangatan kenangan kita. Andai jantungku tak berdegup lagi, bermakna aku telah dibawa menuju abadi. Bawalah jua bersama segala kenangan indah tentang mereka.
Iringilah pemergian aku dengan doa tulus suci, sahabat. Bimbinglah aku mengucapkan syahadah sebelum aku makin jauh. Ya Allah! Sesungguhnya engkau mengotakan janjiMu… semoga aku beroleh ketenangan dalam perjalanan ini.



0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini