Pernah seorang teman bertanya kepadaku, "Kau fikir Tuhan itu bagaimana?" Benar, pada saat itu aku diam, terkejut. Seharusnya jika aku ini manusia paradoks maka harus aku keji dan maki si temanku itu kerana mempersoalkan Tuhan. Tapi aku lebih rasional. Ini soalan kritikal yang bakal mengundang perbincangan berat. Ini soal aqidah. Dan di pundak aku, beban ini tergalas. Sebentar, aku ambil nafas. Sebenarnya memberi masa untuk diri selain mencari perkataan-perkataan yang sesuai bagi menjawab soalan itu. Aku mahu ia kedengaran mudah agar jawapanku itu nanti bisa sahaja menjadi panduan dan difahami isi kehendaknya.
"Tuhan itu cinta." jawab aku kemudiannya. Si teman yang duduk bertentang aku, tersenyum. Pasti di dadanya mentertawakan jawapan aku.
"Aku serius. Tuhan itu bagaimana?" soalnya lagi. Aku pandang mukanya dengan wajah serius. Lewat pandangan itu, aku berikan sebuah senyuman sebagai tanda bahawa aku juga serius menjawab soalannya tadi. Dia menggaru kepala. Begitulah gaya dia setiap kali berasa keliru. Gerakan luar sedar si teman membuatkan aku lebih berani untuk menghuraikan hujahku itu.
"Tuhan itu cinta kerana itu bila manusia bertuhan maka tingkahnya menjadi ikhlas. Tuhan adalah cinta makanya sesiapa yang bertuhan akan merasai kemanisan dan kebahagiaan dalam hidup. Tuhan itu cinta, dan disebabkan itu manusia yang percaya pada Tuhan maka terlihatlah dari wajahnya itu cahaya dan ketenangan."
Si teman nampaknya sudah semakin berminat. Pandangannya menjadi semakin fokus. Kepalanya sesekali mengangguk mendengar hujahku. Alhamdulillah, sedikit sebanyak Tuhan telah permudahkan urusanku dalam menyelesaikan tanggungjawab ini. Soal aqidah bukan boleh dimain-main. Soal aqidah adalah soal tunjang dalam agama. Maka sudah menjadi wajib pula untuk aku kongsikan sedikit ilmu di dada ini dengan temanku itu.
Moga sahaja temanku ini adalah manusia yang Tuhan kurniakan pada aku sebagai jejantas ke syurga. Semoga juga si teman ini hatinya lebih bersih berbanding aku. Bukankah berpesan-pesan kepada sesama manusia itu juga ajaran dari Tuhan Yang Esa?
"Aku mahu melihat Tuhan!" kata temanku.
"Apa kau tidak percaya pada kewujudan Tuhan?" soalku pula padanya. Teman aku itu melepaskan keluh berat. Nampaknya ada sesuatu yang menyebabkan temanku itu sampai mempersoalkan Tuhan. Apa agaknya yang tersemat kemas di kalbu sahabatku itu? Sejujurnya, hati aku digaru mahu tahu. Aku mahu mendengar ceritanya. Aku sangat tertarik untuk mengetahui rahsia itu secara tiba-tiba. Mungkin ini anugerah dari Tuhan. Mungkin.
"Kalau Tuhan itu cinta, mengapa manusia berperang? Kalau Tuhan itu cinta lalu kenapa tidak aku dicintaiNya? Kalau Tuhan itu cinta kenapa tidak aku dapat merasainya? Kalau Tuhan itu cinta mengapa tidak dapat aku melihatnya?" bagaikan bedikan peluru, aku diserang dengan deretan soalan-soalan berat sebegitu.
Aku menepuk belakang bahu kawanku itu. Nyata, si teman dirundung malang. Mungkin temanku ini terlupa bahasa takdir. Seketika, temanku ini bagaikan kehausan iman. Aku harus melakukan sesuatu!
"Manusia yang bertuhan tidak memulakan perang. Tidak ada agama yang mengajak kepada kemungkaran. Perang adalah keganasan. Perang itu unsurnya kegelapan. Mana mungkin kebaikan dan keburukan boleh dicampur aduk. Kebencian sesama manusia adalah kerana nafsu. Dan asal mula maraknya nafsu itu kerja syaitan. Syaitan dan iblis sudahpun berjanji bahawa akan dibawa sekali anak Adam ke neraka."
"Sebab itu berlakunya perang?" soal temanku. Aku mengangguk. Demi dunia, harta, pangkat, wang, dan wanita.
"Tapi Tuhan tidak sayangkan aku." Keluhnya lagi. Kali ini pandangannya menikam ke bumi. Aku menggelengkan kepala sambil tersenyum. Cepat benar sahabatku ini mengatakan bahawa dirinya ini tidak disayangi Tuhan.
"Kau rasa kau kekurangan?" aku cuba mengorek isi hatinya. Jelas sekali dia mengangguk lemah. Aku bertanyakan pula sebab dia mengatakan seperti itu.
"Hidup aku banyak sangat difitnah orang. Dari kecil hingga besar, aku dicemuh maki. Aku dipandang jelek. Setiap hari aku dihina ludah kerana status keluargaku. Kau pun tahu, Abang aku bekas penagih dadah. Ayah dan Ibu sudah lama meninggal dunia. Aku dikatakan sebagai pelacur sedangkan demi Allah sekali pun tidak pernah terdetik aku mahu menjual maruah dengan apa sekalipun." ada nada sebak pada ucapannya.
"Tuhan itu Maha Pemurah. Bukankah orang yang mengumpat itu dosanya seperti memakan daging saudaranya sendiri? Bila cerita tidak baik tentang kau tersebar maknanya ada orang yang bercerita. Itu sudah dianggap mengumpat bila seseorang itu bercerita tentang keburukan orang lain di belakangnya. Jika berita yang dibawa itu tidak benar maka hukumnya adalah fitnah. Subhanallah, bukankah fitnah itu termasuk dalam dosa-dosa besar?" Aku memandang sahabatku itu. Air mata yang mengalir di pipi, dia seka.
"Tuhan ingat tentang susah kau, kerana itu awal-awal lagi sudah Tuhan letakkan hukum. Kau beruntung kerana punya saham berbentuk pahala. Setiap kali cerita tidak baik tentang kau disebar-sebar, setiap kali fitnah tentang kau disampai-sampai, kau diganda pahala. Apa tidak cukup pahala dari Tuhan untuk menunjukkan kasih dan cintaNya pada kau?" soal aku lagi. Temanku itu memandang wajahku. Matanya yang sudah merah memandang mataku.
"Jadi kenapa tidak dapat aku rasa Tuhan itu ada denganku?" dia menyoal lagi. Kali ini seperti tidak puas hati. Jiwanya mungkin sedang berkocak. Antara kepercayaan yang dipegangnya selama ini dan kebenaran yang akan aku bentangkan padanya hari ini. Aku tahu dia sedang keliru.
"Kejadian manusia yang cukup sifat ini lambang cinta Tuhan. Mata, telinga, tangan, hati, jantung... setiap satu anggota dalam tubuh kita ini diciptakan sebaik-baiknya. Susun atur dan letak duduknya terkait antara satu sama lain. Manusia diciptakan dengan kesempurnaan, dengan iringan cinta Tuhan. Tidak Tuhan ciptakan manusia dengan cacamarba. Malah telah Tuhan angkat manusia menjadi khalifah di dunia. Sehinggakan, semua kejadian lain termasuk malaikat di minta sujud kepada manusia. Tidak kah kau rasa besarnya cinta Tuhan untuk manusia?"
"Tapi aku tidak merasa cinta itu!" tukas sahabatku itu.
"Pernah kau ikhlas mencintai Tuhan?" aku menyoalnya semula. Dia diam kali ini. Mungkin berfikir.
"Bagaimana aku mahu mencintai Tuhan jika tidak sekalipun aku melihat Tuhan? Cinta datang dari mata turun ke hati." si teman mebidas aku.
"Lihatlah alam sekeliling kita. Kejadian alam ini diatur siapa kau rasa? Pada aku, jika tidak Tuhan makanya siapa lagi yang punya kuasa sehebat ini?" aku memandang wajah di hadapanku itu.
"Cinta dari mata turun ke hati adalah cinta syaitan. Cinta Tuhan itu dari hati pergi ke jiwa. Pernah kau dengar kisah Nabi Musa yang bermohon bertemu dengan Tuhan?" aku menyoal temanku. Dia menggeleng, perlahan.
"Nabi Musa A.S berdoa kepada Tuhan untuk melihat Tuhan secara berdepan. Lalu Tuhan arahkan Nabi Musa menunggu di sebuah gunung. Di sanalah Tuhan letupkan gunung berkenaan sehingga pengsan Nabi Musa. Ketika tersedar semula, Nabi Musa bertaubat. Kau lihat, betapa besarnya kuasa Tuhan. Manusia ini adalah makhluk yang lemah. Kita tidak dapat melihat Tuhan kerana dzat Tuhan itu sungguh besar. Kita tak akan mampu bertahan dengan dzat-dzat Tuhan. Pada aku, Tuhan sangat mencintai manusia. Tidak diperlihatkan Tuhan wajahnya kepada manusia kerana ketidak dayaan manusia menerimanya. Bukankah Tuhan itu sungguh prihatin? Dan prihatin itu kerana apa menurut kau. Aku jelas sekali mengatakan bahawa keprihatinan Tuhan itu adalah cinta."
Si teman diam. Lama dia begitu. Tiba-tiba dia menangis, teresak-esak.
"MasyaAllah. Hinanya aku!" dia menangis sambil menepuk-nepuk dadanya. Aku memegang tangan kawanku itu, menghalang dari perlakuan itu diteruskan.
"Tuhan itu adalah cinta. Segeralah bertaubat. Jangan dihina diri sendiri dengan memukul dadamu ini. Ingatlah, dada ini cuma pinjaman. Bukan mutlak milik kita. Ini anggota Tuhan yang dipinjamkan kerana melimpah cintaNya pada kita. Rasulullah tidak menyukai kita mengikut perlakuan manusia-manusia di zaman jahiliyah. Ingat itu." Bisik aku ke telinganya.
Tangan yang ganas menampar dada itu tadi kian longlai. Sahabatku itu menangis di bahuku. Aku menepuk-nepuk belakangnya sambil menenangkan dirinya. Petang itu, kala jingga di langit kian bertukar menjadi gelap kami sama-sama menapak ke surau berdekatan. Maghrib itu kami sama-sama mencari cinta Tuhan.