rss

‘ Angah…’

‘ Minta pada Dia. Dia tidak pernah melarang kita meminta. Malah kita disuruh untuk terus meminta,’ itu pesan Babah 11 tahun dulu. Waktu itu aku masih mentah. Aku menangis di bangku kantin sekolah kerana tidak mampu mengadap Matematik Tambahan, Biologi, Kimia dan Fizik.

‘ Mintalah banyak mana pun Angah, kerana Dia Ar-Rahman, Yang Maha Pemurah. Kita sebagai manusia memang tidak pernah cukup maka mintalah. Tadahlah tangan supaya dikuatkan hati dan diteguhkan iman.’

Itu pesan Babah 11 tahun dulu. Waktu itu aku rasa benci, benci dengan semua mata pelajaran tersebut. Aku benci kerana rasa terkurung di sekolah itu. Benci dengan guru-guru. Benci dengan roll-call, prep petang pagi malam, riadah petang. Aku rasa seperti dipenjarakan di sekolah ini. Aku benci semua. Aku hampir putus asa. Aku hampir merayu pada Babah supaya bawa saja aku pulang. Tetapi Babah pesan:

Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. (Surah Ar-Rumm, ayat 5).

‘ Tapi Angah tak tahan. Berat. Rasa tak adil. Penat,’ aku sambung di tengah-tengah sendu.

‘ Angah, inikan untuk kebaikan Angah juga? Apa yang cikgu buat, pengetua buat, walaupun nampak macam kejam dan tak adil, itu semua untuk kesenangan Angah di kemudian hari.’

‘ Babah bawaklah Angah balik. Babah tak sayangkan Angah ke?’ ya, rengekan itu sangat kebudak-budakkan. Semuanya sebab aku sudah tidak betah di situ lagi. Aku rasa sangat tertekan dan semuanya tidak adil. Aku rasa itu adalah masalah terbesar aku yang pernah dan akan aku hadapi sepanjang hidup aku. Aku sedekad lalu yang sangat naïf.

‘Babah faham Angah tak tahan semua tu. Tapi sabar la Angah. Doa supaya Angah sabar dengan cubaan ini. Minta dan doa banyak-banyak. Kasih manusia terbatas Angah, tetapi tidak kasih Dia. Di saat roda kita berpusing dan berada pada kedudukan paling bawah, minta pada Dia supaya dipermudahkan. Kalau ini memang ujian ini untuk kita, pinjamkanlah sedikit kekuatan supaya kita tidak berputus asa.

Kalau Angah terasa bahu sudah tidak tahan menanggung beban dan hati penuh dengan bisikan syaitan ingatlah akan terjemahan ayat 60, Surah Ar-Rumm.

Maka bersabarlah Kamu, sesungguhnya janji Allah adalah benar dan sekali-kali janganlah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran ayat-ayat Allah) itu menggelisahkan kamu.

Aku menangis mengenangkan kata-kata itu. Sekalipun itu adalah kata-kata Babah lebih sedekad lalu, Terasa kini aku adalah anak kecil itu, memintal hujung tudung dengan hati menjerit minta ditukarkan sekolah. Akulah anak itu yang sekali lagi menguis tanah di kaki dengan kasut hitam yang perlu digilap setiap hari. Aku sedekad yang lalu yang hampir memeluk kaki Babah untuk pergi berjumpa Pengetua untuk ditukarkan sekolah.

‘ Sabarlah, Angah. Jerih-payah, air mata malah pengorbanan adalah benih perjuangan.’ Betapa saat itu aku melihat ada sisa-sisa duka di mata Babah kerana dia cuma mampu melawat aku pada waktu-waktu begini. Aku adalah milik nenek dan atuk waktu cuti sekolah, cuti umum malah cuti sakit.

Betapa dia pastinya meronta mahu aku kembali pada keluarga sendiri tetapi tidak mampu kerana pada atuk dan nenek, aku adalah milik mereka.

‘ Tapi Babah…’ kata-kata aku tersekat di kerongkong apabila tangan Babah mengusap kepala aku perlahan. Yang mengisi ruang waktu itu adalah kesepian. Babah dan aku hilang dalam lamunan sendiri.

Dan hari ini aku berteleku di atas sejadah, air mata berjurai tak henti-henti. Masalah di tempat kerja, memikirkan tentang Emak dan juga memikirkan masa depan aku dengan Hazim. Terasa lemah seluruh badan, sesak dan tepu otak ini memikirkan. Tidak, aku tidak marah akan Emak. Sedikit pun tidak. Tetapi aku risau kerana aku jauh dan dia pastinya rindukan aku, satu-satunya anak perempuannya. Tetapi aku bukan boleh pulang selalu. Pulang jenguk Emak pun curi-curi kerana nenek seolah-olah cemburu setiap kali aku pulang ke rumah Emak.

Kerja di pejabat makin banyak. Tanggungjawab pula makin besar. Kadang-kadang, aku harus bawa pulang kerja ke rumah, berjaga lewat malam waktu hujung minggu untuk siapkan apa yang majikan perlukan. Hari biasa pun aku sudah pulang selewat 9 malam. Dan rutin itu berpusing, berulang-ulang bagaikan tiada kesudahan. Badan aku jadi penat, penat amat. Terasa banyak benar yang perlu aku tanggung sehingga tidak tertahan.

Bila hidup begitu sibuk dengan kerja, kehidupan sosial mula terjejas. Masa dengan keluarga mula terbatas. Selalunya, aku tiba di rumah jam 9 malam sedangkan aku perlu tidur jam 10 malam untuk bangun awal-awal pagi untuk ke pejabat semula. Kekasih pula, Hazim mula tidak puas hati kerana aku telah meletakkan dia pada nombor entah ke berapa. Hazim mula minta perhatian yang lebih. Dengan tekanan di tempat kerja, ditambah lagi dengan kerenah Hazim, aku jadi mudah berang.

Tetapi hari ini, aku seolah-olah mendapat kekuatan semula. Kekuatan itu timbul semula semasa aku membelek gambar Babah di dalam dompet aku. Sekalipun sudah hampir dua tahun Babah tiada, kata-kata Babah sering terdengar di telinga.

Aku kesat air mata selepas sudah memberi salam seusai solat Asar. Aku ambil terjemahan al-Quran dan aku kembali membaca ayat-ayat yang pernah Babah bisikkan pada aku.

Babah…terima kasih kerana berikan Angah sesuatu yang sangat bernilai. Mungkin sebelas tahun lepas Angah tidak mampu cernakan apa yang Babah cuba sampaikan. Mungkin Babah sendiri tidak akan terfikir bahawa hari ini, anak Babah akan pandang kembali kejadian itu dan pinjam kata-kata Babah sebagai azimat untuk bangkit semula. Terima kasih Babah.

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini