Aku merenung lantai. Entah apa yang menarik untuk direnungkan, aku sendiri pun tak tahu. Bosan merenung lantai, aku berbalas pandang dengan siling bilikku ini. Akhirnya aku sedar, siling bilikku memang cantik. Puas menggoda siling, aku mengadap komputer. Aku tekan sana, aku tekan sini. Sehingga akhirnya, aku tekan punat off.
Aku memandang telefon bimbitku yang telah buruk itu. Melihatkan jam kini sudah pukul 11.59 malam, aku mengeluh hampa. Hari ulangtahun kelahiranku akan berakhir sebentar saja lagi. Sampai hati awak tak call saya, sempat hatiku berdetik.
“Oi Mar. Kau tak tidur lagi? Kau buat apa dalam bilik tadi?” sergah kakakku yang tiba-tiba terpacul di pintu bilikku. Aku analisis lantai, mengkaji siling dan meranapkan komputer.
“Nak tidurlah ni,” lain pula jawapanku.
“Happy Birthday. Biar aku jadi orang yang last sekali wish kau,” katanya sambil merapatkan daun pintu. Thanks Zai.
******************************************************************************
“Saya sendiri pun tak tahu kenapa. Dia kata pelajaran saya drop sebab saya couple dengan awak,” kata Asyraf perlahan.
“Drop? SPM ke maksud awak?” dia mengangguk kecil.
“5A tu dah cukup baik. Mana ada pelajaran awak drop?” langsung tidak munasabah alasan yang diberikan. Selama ini, ibunya langsung tidak membuka mulut mengenai hubungan kami. Tapi kini, tiba-tiba aku yang menjadi punca Asyraf dapat 5A dalam SPM? Apa semua ni?
“Awak 7A!”
“Kita bukan cakap pasal saya. Tapi….” Aku terdiam dengan kata-kata aku sendiri.
“Ini pasal awak ke ibu awak?” aku bertanya perlahan, penuh tanda tanya. Sepatutnya, ibu Asyraf pasti lebih gembira sekiranya aku mendapat 7A. Apa pula masalahnya kalau aku mendapat 7A?
“Awak boleh tak jangan desak saya? Saya pun tak tahu nak buat apa,” akhirnya aku mengalah. Terdiam dengan kata-kata Asyraf.
“Kita putus, Mar,” sedikit pun Asyraf tidak menoleh ke arahku.
“Macam tu je?” Dia pula yang terdiam.
“Kalau macam tu, fine. Good luck untuk awak,” kataku dan berlalu meninggalkan Asyraf yang sedikit pun tidak kelihatan sedih. Kalau awak tak nak, saya pun tak nak terhegeh-hegeh dengan awak!
Begitulah berakhirnya cinta pertama aku. Entah kenapa, hingga ke saat ini, aku masih belum mampu melupakan kenangan kami berdua. Malah, aku meragui sebab kami putus pada asalnya. Bodohkah aku? Menantikan panggilan daripadanya? Sedangkan dia mungkin sedang bersuka ria dengan teman wanitanya. Selepas putus hubungan dengan aku, aku mendapat tahu yang dia bercinta dengan seorang perempuan. Entah siapa, aku tak pasti. Malu rasanya nak bertanya lebih lanjut tentang dia. Untuk apa? Aku mengeluh lagi, entah untuk kali keberapa.
*************************************************************************************
“Mar, tadi ada orang telefon kau. Lelaki,” kakakku tersengih-sengih memandangku.
“Pengganti ke? Dah 3 tahun kau single ni!” sambungnya lagi.
“Kepala lutut kau. Siapa telefon? Kau tak tanya ke?” aku menjawab.
“Tengoklah call register. Nak kata cetek IT, tidak. Bengaplah, sesuai,” sesuka hati dia je mempraktikkan BM yang tak betul macam tu!
“Paan?” kenapa pula mamat ni telefon aku? Nak cari gaduh?
“Ok, pakwe baru kau. Paan rupanya,” kurang hormon kewarasan punya kakak. Aku berlalu kebilik untuk menelefon Farhan semula. Nak telefon depan Zai? Menempah tiket filem ‘Telinga Terbesar’ bolehlah.
“Amboi. Siap pergi bilik! Romantik betullah!” betul ke kau ni kakak aku? Kenapa aku normal, kau abnormal?
“Oi, Paan. Kau called aku ke tadi?” aku menghubungi Farhan semula.
“Yes!”
“Pehal? Bazir kredit aku nanti!” ops, terlalu jelas nampaknya pertunjukan kekurangan keikhlasan.
“Tak apalah. Aku call kau balik,” katanya dan terus mematikan talian. Macam ada masalah negara je suara budak ni? Tak pernah-pernah nak menjimatkan kredit aku selama ni.
“Tolong aku berlakon jadi makwe aku,” kata Farhan.
“Bila?” aku pernah meminta pertolongan Farhan untuk menjadi pakwe aku dulu. Semata-mata sebab aku perlu membawa seorang teman ke Majlis Perjumpaan Semula sekolah aku dulu. Atas cadangan kurang bernas kakak aku, dia suruh aku cari kawan lelaki untuk menjadi ‘pakwe sementara’ aku. Untuk berlagak di depan Asyraf!
“Kau balik kolej bila?”
“Ahad ni,” jawabku. Ini kali ketiga aku berlakon jadi makwe Farhan. Dia ni memang kacak. Tak dinafikan. Aku pula memang rapat dengan dia. Setakat berlakon jadi makwe, bukanlah masalah besar.
“Balik hari Sabtu la. Ahad aku nak jumpa budak perempuan tak betul tu. Obses betul dengan aku! Aku cakap aku ada makwe, dia nak juga kat aku.” perasan betul mamat ni.
“Ok,” itu sahaja jawapanku.
*********************************************************************************
“Lawak gile muka dia tadi! Tak tahan aku!” Farhan ketawa besar. Suka betul dia dapat mengenakan peminat dia tu. Kami berjalan-jalan sekitar Times Square sekejap sebelum pulang ke kolej.
“Mar!”
“Oi, Acap! Kau buat apa kat sini?” aku terserempak pula dengan Asyraf yang datang entah dari mana. Laju sahaja jantungku berdegup! Sudahlah, Mar. Lupakan dia.
“Aku lepak je. Hai, Paan,” katanya sambil berjabat tangan dengan Farhan.
“Sorang je ke?” tanya Paan. Asyraf tersenyum kecil.
“Tak adalah. Ada kawan,” katanya dengan senyuman meleret. Mesti makwe dia, aku mengeluh kecil tapi dapat di dengari Farhan.
“Aku pergi dulu ye. Enjoy,” kata Asyraf dan berlalu meningalkan kami.
“Sampai bila kau nak suka dia? Dia dah terang-terang lupakan kau. Dia anggap kau kawan dia je, Mar,” kata Farhan lembut. Farhan tahu serba sedikit kisah aku dan Asyraf. Aku senang bercerita dengan Farhan.
“Kau ingat aku nak sangat ke suka dia lagi? Kalau boleh, muka dia pun aku tak nak tengok lagi. Makin aku jumpa dia, makin aku suka dia. Aku dah bosan dah dengan benda-benda ni,” balasku. Aku sendiri tak tahu kenapa aku masih sukakan Asyraf!
“Couple je la dengan aku. Kau akan lupa dia sikit-sikit nanti,” mamat ni sengal betullah. Aku tengah gundah gulana ni, dia menyesakkan telinga aku pula.
“Benci aku cakap dengan kau,” keluhku.
“Mar! Aku serius,” katanya, menghalang jalanku.
“Apa yang serius?”
“Kita couple? Aku dah biasa mintak berlakon kau jadi makwe aku. Kita tak payah berlakon lagi,” katanya sambil memandang tepat ke mataku. Eh, dia ni biar betul? Walaupun muka dia selama ni memang langsung tak boleh nak percaya, tapi macam serius je ni?
“Kau biar betul?”
“Betullah!”
“Kau nak couple dengan aku semata-mata sebab nak aku lupakan Acap? Bukan sebab kau suka aku ke….” aku meminta Farhan menyambung ayatku.
“Aku suka kau,” oksigen dan karbon dioksida tersekat kat hidung aku, jantung aku terjatuh, peparu aku hilang pertimbangan, perut aku hilang posisi asal!
“Kau suka aku?” sudah gaharu, cendana pula. Sudah tahu, bertanya pula!
“Aku pun tak tahu sejak bila. Tapi, aku macam tak boleh nak kawan rapat dengan perempuan lain. Semuanya kawan biasa je. Aku rasa macam, dalam banyak-banyak kawan aku, aku senang dengan kau. Aku tak suka cuti, sebab aku tak dapat pergi kelas, jumpa kau. Kalau bukan sebab aku suka kau, apa lagi yang logik?” eh, dia tanya aku pula? Mari kita sama-sama memikirkan alasannya. Tapi ternyata. Aku sendiri tak tahu jawapannya. Aku hanya mampu terdiam.
“Macam mana?” tanya Farhan.
“Aku fikir dululah. Tiba-tiba kau tanya, terkejut beruk aku. Tapi bukanlah beruk aku yang terkejut! Aku tak ada bela beruk,” sempat aku menambah, cuba menyedapkan hati sendiri.
Kami singgah di food court untuk makan tengah hari sebelum menonton wayang. Aku akui, aku memang senang ketika bersama Farhan. Malah, aku menjadi diri aku sendiri ketika bersamanya. Tidak seperti ketika aku bersama dengan Asyraf. Aku seolah-olah hipokrit dengan diri sendiri. Mungkin dah terbukti, Asyraf bukan jodohku. Tapi, Farhan?
“Nah, untuk kau,” Farhan menghulurkan sebentuk cincin putih, dengan permata ungu.
“Bila kau beli ni?”
“Tadi, masa aku kata nak beli kasut tu. Aku tipu je,” katanya sambil tersenyum.
“Ini…”
“Bukan original la. Kat Sinma, 13 ringgit je,” kot ye pun tak payahlah bagitau aku harga cincin ni! Tak romantiklah kau ni!
“Thanks. Lawalah cincin ni. Dahlah aku suka purple,” dia tersenyum kecil.
Kami menikmati makanan tengah hari, kemudian Farhan ke surau untuk solat Zohor sebelum kami menonton wayang. Memandangkan aku tidak boleh solat hari ni, aku bergegas mencari hadiah unuk Farhan pula. Tapi, aku risau dia akan tersalah anggap yang aku telah menerima pelawaannya. Tak mengapalah. Hadiah untuk kawan pun bolehkan?
“Nah, untuk kau pulak. Tak sempat pilih lawa-lawa. Ni yang paling smart aku dapat cari. Aku takut kau dah habis solat,” terangku satu persatu. Dia merenung lembut jam tangan pemberianku tanpa sepatah kata.
“Aku akan fikir dulu,” aku menyambung kata-kataku. Dia mengangguk kecil.
******************************************************************************************
“Lawa gile Mar! Ambik je la dia! Dahlah hensem, romantik pulak tu. Tak rugi,” kata Zai sambil membelek-belek cincin pemberian Farhan.
“Masalahnya, aku tak ada perasaan kat dia,” aku mengeluh. Sungguh! Mungkin dia kawan lelaki aku yang paling rapat dengan aku. Mungkin juga ada sedikit perasaan istimewa yang aku suka tentang Farhan. Tapi, entahlah.
“Lama-lama adalah perasaan tu. Cubalah dulu,” kata Zai. Amboi! Pandai kau cakap. Dahlah dia kawan aku. kalau hubungan ini tak menjadi, mesti persahabatan kami pun rosak. Aku tak nak jadi macam tu. Aku mengeluh untuk kesekian kali.
“Kau suka Acap lagi ye?” tiba-tiba Zai mengutarakan soalan yang aku sendiri mencari jawapannya.
“Aku tak tahu. Nak kata suka tu, mungkinlah kot. Adalah sikit,” sepatah-sepatah aku membalas.
“Kau fikir sangatlah. Kau memang dah fikir, dah set dalam kepala kau yang kau suka dia. Tu sebablah kau selalu sangat ingat dia. Aku suruh kau buang barang-barang dia tu, kau tak nak,” aku mengeluh kecil. Cakap pandai budak ni. Dulu masa dia putus cinta pertama dia, lagi teruk daripada aku. Berat turun 5 kg! Frust menonggeng.
“Bukan aku tak nak. Tapi semua tu kenangan. Biarlah aku dengan dia tak ada jodoh, tapi kenangan tu ada,” balasku lagi, tak mahu mengalah.
“Kalau dah tengok hari-hari, bukan kenangan lagi dah. Tapi mengharap!” marah Zai.
Mengharap? Aku mengharap pada Acap lagi ke? Aku dah tahu yang antara aku dan Acap dah sepenuhnya berakhir. Malah, aku sendiri yang menyimpan perasaan pada dia lagi. Bukan aku sengaja. Bukan aku suka-suka nak simpan perasaan ni. Tapi bukan senang nak lupakan dia. 2 tahun bercinta, bukan suatu jangka masa yang pendek untuk aku. Apatah lagi, dialah lelaki pertama yang mengukir seribu rasa di hati aku selama ini.
“Kalau betul kau suka dia lagi, kau bagitau dia. Korang putus dulu pun sebab mak dia nak dia fokus study, kononnya. So, sekarang masing-masing dah masuk U. Rasanya mak dia pun dah lega. Dia pun dah berapa kali couple dah lepas kau. Kalau setakat tunggu, aku rasa kau sangat-sangat membuang masa. Ingat ni,” katanya sambil menunjukkan cincin pemberian Farhan.
“Sama ada kau call Paan, atau Acap,” katanya sambil berlalu. Aku terdiam seketika.
“Thanks Zai,” kataku perlahan. Sejak ibu aku meninggal 10 tahun lalu, cuma Zai tempat aku bercerita, meminta pendapat. Ternyata, dia cukup matang, lebih daripada usia sebenarnya sejak kematian emak.
**********************************************************************************************
“Aku dah fikir masak-masak. Aku nak cuba,” kataku pada Farhan.
“Serius ke?” kata Farhan perlahan. Mungkin dia sendiri tidak percaya dengan kata-kataku. Tapi aku tak mahu lagi terperangkap dengan perasaan yang tak berpenghujung. Aku perlu mencari kebahagian untuk diri aku sendiri.
“Tapi, aku harap sangat-sangat. Kalau jodoh kita tak panjang, kita still kawan. Boleh?” Dia tersenyum kecil.
“Kau tetap kawan aku. Cuma special sikit,” katanya dengan senyuman yang makin melebar. Aku akan cuba hargai kau, Paan. Tolonglah aku lupakan Acap.
‘Hargailah setiap kebahagian di sekeliling kita. Sekurang-kurangnya, kita diberi peluang untuk bahagia’