rss

Ya Allah. Kembalikan semangatku." Berulang-ulang kali ayat itu bermain di bibirnya. Bukan dengan nada mengeluh, tapi penuh harapan agar momentum untuk belajar kembali memuncak. Cuti 2 hari lepas , dia matikan 'enjin belajar'nya. Kononnya untuk seketika. Tapi, 'enjin' telah semakin tua. Sekali mati, susah nak dihidupkan semula.

Matanya menyorot lemah ke arah timbunan buku-buku Biochemistry dan helaian kertas-kertas ulangkaji yang bersepah di penjuru meja. Seketika ,p andangan matanya menjadi kabur. Ada air jernih bertakung di mata, menanti saat untuk jatuh menuruni pipinya.

Bukan dia tidak ingat, bagaimana susahnya peperiksaan tahun lepas. Akibat selalu menangguh, dia banyak kehilangan masa untuk mengulang kaji pelajaran. Akibat malas untuk ke kuliah, dia kurang faham banyak perkara dalam banyak aspek. Dia berazam untuk berubah tahun ini. Dan dia berjaya pada awalnya. Tapi, cuti 2 hari itu, sudah cukup untuk menarik momentum semangatnya ke angka 0.

Teringat dia akan ibu di rumah. Tak sabar-sabar rasanya untuk mendakap tubuh ibu tercinta, masak untuk ibu dan urut kaki ibu yang sering lenguh. Angah pasti akan mempelawa untuk membawa dia berjalan-jalan balik nanti. Dan adik-adiknya, pasti tersenyum apabila dia pulang dengan hadiah. Air matanya turun dengan lebih laju.

"Ya Allah.. Aku ingin pulang.. Aku terlalu dalam kerinduan.."
Dalam esak tangis , dia mengadu kepada Yang Maha Berkuasa. Biarlah jika teman serumahnya dengar dayu sendunya itu. Biarlah dia dianggap mengada-ngada. Biarlah dan biarlah. Mereka tidak rasa apa yang dia rasa. Mereka bukan dia.

Cuaca mendung pada ketika ini. Gelap dan suram, bagai turut menangisi kesedihan hati si anak perantau yang jauh dari keluarganya. Bukan dia enggan bercerita dan berkongsi rasa dengan sahabat sekeliling. Dia tahu, berkongsi itu, dapat mengurangkan beban rasa di dada. Tapi, bukan lah seseorang itu layak digelar sahabat apabila dia sewenang-wenangnya menyusahkan yang lain tanpa mengambil kira masalah orang lain. Dia tahu , rakan-rakannya juga punyai masalah sendiri. Bercerita , mungkin akan mengeruhkan keadaan. Tambahan pula, masalah 'homesick' pastinya akan ditertawakan oleh sebilangan rakan-rakan . Biasalah manusia. Adakalanya gelak mereka tidak bertempat. Bagai jarum halus yang mengguris hati . Lukanya halus, tapi cukup dalam dan membisakan.

"Tidak mengapa untuk simpan rasa sendiri."
Dia ucap dengan perlahan sambil menarik hujung lengan baju tidurnya dan mengelap sisa-sisa air mata yang masih berbaki.
" Tidak mengapa. Sebab aku masih ada Allah .. Aku sentiasa ada Allah ."
Saat kata-kata itu dilafazkan, sekali lagi air mata berhamburan laju dari kedua belah matanya. Kali ini, diiringi esak tangis yang lebih kuat . Dadanya terhenjut-henjut menahan sendu. Mungkin bukan hatinya sahaja yang menangis. Mungkin hatinya turut banjir.

Masakan dia tidak sedih. Dia sering lupa pada Yang Maha Pencipta. Kadang-kala tidurnya terbongkang, tidak sempat untuk melafazkan doa. Ada kalanya, makanan masuk ke mulutnya tanpa sempat basmalah diucapkan. Solat subuhnya selalu meng'gajah' dan isya' nya selalu menjadi 'tahajjud'. Dia selalu lupa. Selalu....

Tapi Allah tidak pernah lupa. Tidak sekali pun dia putus dari bekalan oksigen. Tiada sekali pun dia berlapar melainkan sengaja. Rezeki dari Allah tidak pernah henti. Ada kalanya dia tidak sempat mengulangkaji untuk peperiksaan, namun masih juga kejayaan ditangannya. Dia bukan tidak tahu, itu semua kurniaan Allah. Dia tahu . Tapi dia selalu lupa. Ah. Dia manusia.

Kak Sha pernah bilang, bahagia dan derita, dua-dua pun ujian, tapi dalam pakej berlainan. Ramai orang peka dengan ujian derita. Ramai yang leka dengan ujian bahagia.

Dia menggeleng-geleng kepala.
"Tidak. Ini tidak boleh berlarutan. Segala rasa yang memijak hati , perlu aku buang. Biar dengan solat berpanjangan, dengan zikir seharian, mahupun dengan tahajjud sepanjang malam, aku rela . Aku tidak sanggup untuk berlama-lama di zon yang tidak tenteram ini. Aku ingin kembali bersemangat belajar. Ingin habiskan semua peperiksaan dengan baik, dan balik dengan gembira. "

Dalam esak tangis yang masih bersisa, dia cuba mencari jalan keluar. Kata-kata itu diucapkan dengan penuh kesedaran dan keazaman. Bukanlah manusia, tanpa diuji. Itu pesan ibu.

Dia bangun dan mengatur langkah ke bilik air. Dalam hati, dia berazam untuk tidak mengalah.Biar dengan wudhuk, dia basuh semua duka . Biar nanti pancainderanya jadi satu, saat tubuhnya mengadap ke kiblat . Sekalipun duhulu dia telah gagal sebagai hamba, biar kali ini dia kembali menjadi manusia yang benar-benar bertuhan. Taubat itu ada, sebab fitrah manusia itu selalu lupa. Dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun.

Selepas bersolat, dia kembali duduk di meja belajarnya. Bersemangat. Hatinya lebih tenang kini. Alhamdulillah. Dalam hati, dia berdoa, agar rasa itu tidak mati.

Cuaca di luar mulai cerah. Mentari mengintip di balik awan , bermain cak-cak dengan burung-burung yang berterbangan. Dia tersenyum. Yakinnya dia, masalah yang bertandang di ruang jiwa, bukan petanda berakhirnya dunia. Harapan dan jawapan sentiasa ada. Kerana Allah itu Maha Penyayang.

Buzz! Muncul satu skrin kecil di komputer ribanya.

Mak : Salam Alang. Buat apa tu? Belajar rajin-rajin. Kami doakan disini. Chiok!!

Tergelak dia dengan ucapan ibunya. Chiok? Dari mana ibu belajar? Pengaruh TV mungkin. Dan senyumnya melebar. Dia yakin. Dia tidak keseorangan. Bukan sahaja kerana dia ada keluarga yang sentiasa mendoakan. Dia ada Allah.


"..Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa pula yang kamu lahirkan dan mengetahui (pula) apa yang kamu usahakan. "
Al-An'am (6:3)



" Dan Allah (berbuat demikian) untuk menguji apa yang ada dalam dadamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hatimu"
Al-Imran ( 3:154 )

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini