Kejap tangan Fisa menggenggam jemari Arjuna. Perlahan-lahan, dia membuka mata. Sebentar tadi, dia merasakan bagai mereka berdua melalui suatu lorong angin yang sungguh panjang. Seluruh tubuhnya merasa kedinginan.
“Kita kat mana ni?” Soalnya apabila melihat keadaan persekitaran yang sungguh asing. Arjuna senyum. Namun senyumannya masih belum cukup untuk menyedapkan hati Fisa. Tentu sekali tempat ini jauh daripada rumahnya. Bagaimana jika ibu dan abah menyedari ketiadaannya untuk jangka masa yang lama?
“Jangan bimbang Fisa. Tempat ni selamat. Sekarang kita berada di Bentara. Kampung halaman saya. Lagipun, mak cik dan pak cik takkan perasan ketiadaan awak. Satu jam di sini bersamaan seminit di dunia biasa. Dan seminit di dunia biasa, bersamaan satu jam di sini. Saya jamin mereka takkan khuatir,” tenang Arjuna menerangkan satu persatu perihal tersebut kepada pengarang jantungnya itu. Pada mulanya dia juga tidak mengetahui fakta ini, namun apabila dia dan Pancha menerima bebelan bonda tentang betapa bimbangnya seluruh keluarga mereka dan gemparnya Bentara akibat kehilangan sementara mereka berdua barulah dia menyedari kesahihannya.
“Emm... kita nak pergi mana?” Lambat-lambat gadis ini menyoal. Terkebil-kebil mengamati pemandangan yang jarang sekali dilihat. Inilah kali pertama dalam hidupnya menyaksikan panorama berbukit bukau namun indah dan nyaman. Pelbagai jenis bunga-bungaan mengharumkan denai di sekitarnya. Pohon yang merimbun menambahkan redup suasana. Ly Anne Nafisa jadi kagum. Dia jatuh hati dengan detinasi baru ini. Teruja!
“Kita perlu menghadap bonda dan ayahanda saya,” demi mendengarkan kata-kata teman lelakinya itu, serta merta Fisa jadi kalut. Hampir tergigil dia, ketar lutut. Bagaimana agaknya perawakan kedua ibu bapa jejaka ini? Dapatkah mereka menerima kehadirannya nanti? Memikirkan segala kemungkinan negatif belaka, Fisa rasa macam hendak lari dari situ.
“Saya nak balik!” Jeritannya membuatkan Arjuna membulatkan mata.
“Awak janganlah takut. Bonda dan ayahanda saya baik. Mereka akan layan awak dengan mesra. Percayalah,” pujuk Arjuna. Fisa menggigit-gigit bibir. Dia memandang wajah tenang milik Arjuna, ada keyakinan di situ. Dia harus percayakan teman lelakinya ini, sebagaimana bersungguh Arjuna memberi kepercayaan terhadapnya sepanjang mereka mengenali antara satu sama lain.
“Ye lah. Tapi diorang cakap sama macam kita ke? Maksud saya, ada perbezaan bahasa tak?” Fisa garu kepala yang tidak gatal. Arjuna menahan gelak dalam hati. Sampai ke situ gadis comel ini berimaginasi.
“Sama je. Awak tak payah risau. Mungkin cara percakapan bonda dan ayahanda saya kedengaran baku, tapi tak lebih daripada bahasa klasik. Mesti awak ada belajar sastera masa sekolah menengah kan? Lebih kurang macam tulah. Tapi dah memadai kalau awak cakap macam biasa. Sebab mereka akan terima setiap tetamu seadanya,” balas Arjuna dengan nada yakin.
“Okey,” kendur sahaja suara Fisa. Sebetulnya dia gementar. Pertama kali bertemu empat mata dengan ibu bapa Arjuna dia gelabah. Minta-mintalah segalanya baik-baik sahaja.
Arjuna Indera Wahyu begitu mengenali ibu dan ayahnya. Kerana asuhan dan didikan mereka, dia membesar sebagai anak yang bijak menghormati orang lain serta sentiasa merendah diri walau sehebat mana pun pencapaian yang telah dikecapi. Meski lahir dalam keluarga berketurunan bangsawan, bonda dan ayahanda tidak sesekali mendidiknya agar bersikap bongkak dengan kelebihan itu. Malah tanggungjawabnya sebagai ketua pendekar bagi memimpin setiap ahli kumpulan Tualang dilaksanakan sebaik mungkin, dengan disiplin serta penuh keikhlasan. Mereka juga perlu bersedia untuk berjuang demi Bentara yang tercinta tanpa mengira masa sekiranya berlaku sebarang ancaman. Malah jati diri dan semangatnya yang kental menjadi sanjungan ahli kumpulan Tualang walaupun ada di antara mereka yang lebih berusia berbanding Arjuna.
Hanum Cahaya dan Laksamana Suria Syahazan tak berkelip memandang Ly Anne Nafisa. Gadis ini sungguh berbeza daripada mereka semua. Baik dari segi cara berpakaian, dandanan rambut serta aksesori. Fisa membatukan diri. Dia sekadar menunduk. Menyedari ada sesuatu yang harus dilakukan sebagai cara untuk menunjukkan rasa hormatnya sebagai tetamu mereka, dia tunduk dan mencium tangan kedua-dua ibu bapa Arjuna.
“Selamat datang ke Bentara. Sungguh bersopan tertibmu,” puji Hanum Cahaya sambil tersenyum.
“Kamu sungguh bertuah wahai perawan manis. Anakanda kami telah terpaut hati kepadamu. Mengertilah sahaya mengapa Arjuna bersungguh mahu bersama kamu. Izinkan sahaya bertanya satu perkara. Adakah kamu selesa di sini?” Kata-kata Laksamana Syahazan pantas menimbulkan kelegaan di hati Fisa. Mungkin ayah teman lelakinya ini mahu menguji kebolehnnya menggunakan bahasa baku. Tidak menjadi masalah lantaran pengalamannya sebagai pendebat di peringkat negeri banyak membantu.
“Sahaya merasa teramat berbesar hati menerima penghormatan ini. Sebesar tapak tangan, nyiru sahaya tadahkan untuk menjadi tamu di Bentara. Sesungguhnya tiada bicara yang mampu mengumpamakan perasaan sahaya. Usahlah kalian risau, kerana segalanya terlalu indah,” jawab Fisa sambil mengukir senyuman manis. Arjuna menarik nafas lega. Hebat sungguh teman wanitanya ini. Tidak kekok berbahasa baku. Tentu sahaja Fisa padanan yang tepat buat dirinya.
Panca sekadar memerhatikan dari jauh. Dia merasa lucu melihat wajah gelabah Arjuna dan Fisa. Ujian yang dirancang oleh ibu dan bapa saudaranya menjadi. Nyata sepupunya tak salah pilihan, apabila teman wanita jejaka itu bijak menghormati orang tua dan pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
“Izinkan sahaya memohon satu perkara kepada kalian,” pohon Ly Anne Nafisa lembut.
“Silakan,” ujar Hanum Cahaya mesra. Dia dan suaminya menyenangi keperibadian Fisa. Pandai menyesuaikan diri meski baru pertama kali bersua muka dengan mereka.
“Bagaimanakah sahaya harus menggelarkan kalian berdua? Jika di dunia biasa, kami memanggil orang yang lebih tua dengan mak cik, pak cik,” tergelak kecil Laksamana Syahazan mendengar bicara gadis ini. Sungguh petah.
“Usah khuatir. Kamu boleh menggelarkan kami demikian,” sahut Suria Syahazan lalu tersenyum.
“Akan tetapi sudikah kiranya kamu membahasakan kami sebagai ayahanda dan bonda? Kami lebih gembira mendengar bicara sedemikian lantaran tiada rezeki dikurniakan seorang puteri. Mahukah kamu menjadi sebahagian daripada keluarga ini? Menjadi anak perempuan kami?” Fisa sungguh tersentuh. Dia terharu mengenangkan penerimaan keluarga Arjuna terhadap dirinya. Mereka sungguh baik hati.
“Dengan besar hati, bonda. Terima kasih atas penerimaan kalian terhadap sahaya,” bicaranya tulus. Hanum Cahaya segera mendakap Fisa. Dia membisikkan sesuatu yang cukup membuatkan jantung gadis itu berdegup kencang.
“Wahai puteriku, sudikah kamu menerima suntingan kami? Menjadi suri hati Arjuna, menemaninya buat seumur hidup,” kata-kata Suria Syahazan tidak mampu dinafikan. Sememangnya dia begitu mencintai Arjuna.
“Anakanda sudi, ayahanda. Namun, restui anakanda menamatkan pengajian terlebih dahulu. Anakanda tidak betah menghampakan harapan ibu dan abah di sana,” tutur gadis itu sesopan mungkin. Cahaya bahagia terpancar di matanya dan juga Arjuna.
“Kami merestui anakanda,” serentak Suria Syahazan dan isterinya bersuara.
Tiga tahun kemudian...
“Kanda bagaimanakah persalinan adinda? Cantikkah?” Sungguh teruja Hanum Cahaya bila dia berpeluang memakai kebaya bersulam yang sungguh halus jahitannya. Sewaktu merisik dan meminang Fisa di dunia biasa, beberapa bulan lalu mereka sekeluarga mengenakan pakaian tradisional untuk menjelaskan kepada keluarga gadis itu tentang salasilah keturunan Arjuna. Dengan berbekalkan bukti, lebih mudah mereka mendapatkan kepercayaan, selain merupakan cara yang berkesan untuk mengelakkan bakal besan terkejut. Syukur, kedua ibu bapa Fisa dapat menerima segalanya tentang diri mereka dengan hati yang terbuka.
“Memang sentiasa anggun dan terlalu menawan isteri kanda. Adinda tetap cantik seperti dahulu. Pasti ada tamu yang keliru, mana satu pengantin perempuannya,” seloroh Laksamana Suria Syahazan. Akan tetapi, pujian yang terucap di bibirnya sememangnya ikhlas. Cintanya buat Hanum Cahaya tak pernah pudar meski tahun demi tahun usia mereka semakin meningkat. Paras si isteri tetap tercantik pada matanya meski dimamah usia.
“Sudahlah kanda. Manis mulut sahaja,” balas isterinya sambil tertawa. Dia membantu Laksamana Suria Syahazan merapikan songkok di kepala. Seketika kemudian, pasangan suami isteri ini terpegun melihat penampilan anak teruna mereka yang nyata sungguh berbeza berbanding hari-hari biasa.
“Bonda, ayahanda... anakanda memohon restu. Doakan anakanda menjadi suami yang soleh. Doakan perkahwinan anakanda dan Fisa kekal hingga ke akhir hayat,” pinta Arjuna lalu jejaka tinggi lampai ini tunduk mencium tangan ibu dan ayahnya. Masing-masing menahan sendu. Tak sangka, hari ini Arjuna akan bergelar suami kepada wanita yang cukup disenangi oleh mereka sekeluarga. Tidak mahu terbuai dengan perasaan, Hanum Cahaya membelai wajah anaknya. Dia membantu Arjuna mengancing butang baju melayu dan mengenakan songkok. Tampan dan segak sekali Arjuna mengenakan persalinan berwarna putih gading itu. Berseri wajahnya, jelas terpancar sinar kebahagiaan. Panca yang turut sama mengenakan baju melayu dan bertindak sebagai pengiring utama sepupunya ini senyum meleret. Dia masuk perlahan-lahan untuk menyertai perbualan mereka anak beranak. Bahu Arjuna ditepuk mesra.
“Aku yakin kau mampu jadi suami yang baik. Adik aku dah nak kahwin,” ucap jejaka itu sambil tersenyum. Dia lebih senang menggunakan frasa moden pada saat begini. Enggan terlalu sentimental. Ada getar dalam suaranya. Mereka berpelukan seketika.
Hanum Cahaya dan Suria Syahazan tersentuh mengenangkan keakraban dua anak muda itu. Bagi Panca, Arjuna telah dianggap bagai adik sendiri. Satu-satunya teman yang dia ada sejak kecil. Dia benar-benar kagum terhadap sepupunya ini. Matang dan bijak membuat keputusan. Perbezaan yang ketara antara mereka berdua adalah, dia belum bersedia untuk memikirkan soal cinta. Berlainan sekali dengan Arjuna. Panca lebih senang bersendirian. Dan satu lagi perkara yang pasti, ikatan antara Arjuna dan Fisa akan menghapuskan anugerah sepupunya untuk membaca gerak hati gadis itu. Kerana setelah bergelar suami isteri, naluri mereka berpadu menjadi satu. Dan mereka akan mengemudi rumah tangga sama seperti pasangan lain, tanpa kelebihan tersebut.
Dalam usia dua puluh tiga tahun, jejaka ini melepaskan zaman bujangnya demi sebuah cinta yang mendalam buat gadis bernama Ly Anne Nafisa. Namun tanggungjawab yang digalas akan tetap dilaksanakan demi kerukunan penduduk Bentara selepas ini. Dia ingin memiliki Fisa terlebih dahulu, sebelum berjuang di medan perang demi membela nasib Bentara kelak. Andai ditakdirkan dia pergi buat selamanya, dia redha. Asalkan memiliki isteri seistimewa Fisa yang disayangi oleh seluruh keluarganya. Paling utama, dia inginkan suri hati yang mampu melindungi keluarga mereka. Arjuna yakin, Fisa memiliki segala ciri seorang isteri yang dia idamkan.
Selesai sudah semua majlis. Segalanya berjalan dengan lancar mengikut perancangan. Fisa terpaksa tabahkan hati untuk tinggal berjauhan daripada keluarganya. Zaril dan Leesa merelakan pemergian anak gadis tunggal mereka untuk menetap bersama keluarga mentua. Mereka bersyukur diterima dengan sepenuh hati oleh besan. Dua jiwa milik teruna dan dara daripada dunia berlainan akhirnya menyatukan sebuah keluarga besar yang harmoni. Benar, perbezaan latar belakang tidak langsung menjadi tembok penghalang.
Apabila merindui anak mereka kelak keduanya akan berkunjung ke Bentara melalui Batu Genggam yang diberikan oleh keluarga Arjuna. Jika ingin bertemu Fisa, genggamlah batu tersebut dan mereka akan tiba di sana. Begitulah caranya sewaktu menghadiri majlis persandingan Arjuna dan Fisa di Bentara tidak lama dahulu.
“Dinda, kanda merasa sungguh bahagia kerana dapat membina hidup bersama dinda,” bisik Arjuna romantis. Fisa yang sedang membelek album gambar perkahwinan mereka, tersenyum mendengar bicara yang terzahir di bibir suaminya.
“Iya kanda. Terlalu banyak kenangan manis sewaktu majlis perkahwinan kita berlangsung. Ingatkah semasa garden wedding? Dinda asyik terkenang betapa terujanya bonda. Ayahanda pula bersusah payah hendak menyebut perkataan itu,” mereka sama-sama tergelak.
“Dinda, terima kasih kerana setia menerima kanda seadanya. Hidup kanda benar-benar lengkap dengan kehadiran dinda,” sebuah kucupan hinggap di dahi Fisa. Dia terharu. Arjuna benar-benar menyempurnakan hidupnya sebagai seorang wanita. Dia bersyukur dikurniakan suami yang penyayang, penyabar dan taat menunaikan perintah agama.
“Usahlah kanda berkata demikian. Dinda terlalu mencintai kanda,” pautan jemari mereka kian erat. Namun segala keindahan itu mungkin diuji oleh rintangan tidak lama lagi.
Ternyata, saat yang mendebarkan mula menjelmakan bayangnya apabila pihak musuh semakin menghampiri sempadan Bentara. Sebagai pemimpin kumpulan Tualang, Arjuna tak betah mendiamkan diri. Dia harus berjuang demi memastikan kesejahteraan tanah air tercinta. Dan satu keputusan telah dibuat, meski perit namun dia terpaksa gagahkan diri. Tanpa pilihan, dia mengangkat senjata dan memimpin Tualang ke medan juang. Bersama Panca dan anggota Tualang lain, Arjuna merangka strategi. Isteri yang baru dinikahi empat bulan lalu terpaksa ditinggalkan bersama ayahanda dan bonda. Dia pilu namun bukan hanya kepentingan diri yang harus diambil kira tetapi melibatkan seluruh warga Bentara. Perjuangan mereka menentukan untung nasib Bentara.
Fisa sentiasa mendoakan yang terbaik buat suami tercinta. Selesai sujud pada Yang Maha Esa, dia seringkali memohon agar Arjuna dan Tualang mara di medan juang. Ditatap lagi album gambar. Bila rindu dia akan mengucup satu persatu gambar Arjuna. Dia rindukan setiap belaian dan bicara suaminya. Gelak tawa Arjuna usah dikata lagi. Dalam keadaan dirinya yang sedang berbadan dua, dia kian terasa akan kesepian yang melanda. Lebih pilu bila Arjuna tidak mengetahui dirinya sedang hamil. Hanya sekeping warkah diterima daripada suaminya sepanjang lima bulan Arjuna mengabdi keringat di medan juang.
‘Usah risaukan kanda. Jaga diri dinda dan keluarga kita. Kanda akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir demi dinda, ayahanda bonda dan Bentara. Sampaikan salam kanda buat seisi keluarga. Tabahkan hati dinda, kanda amat menyintaimu.’
Suamimu,
Arjuna Indera Wahyu
Warkah itu ditatap bersama titisan air mata. Ketukan di pintu kamar menyentak khayal Fisa. Segera dikesatnya air mata yang berderai di pipi. Dia bangun dengan penuh berhati-hati dan membuka pintu. Terjengul wajah bonda. Senyuman di bibir bonda menimbulkan tanda tanya.
“Fisa, Panca dan pahlawan Tualang dah kembali,” kedengaran getar dalam suara Hanum Cahaya. Air mata Fisa mula bergenang. Mengapa nama Arjuna tidak disebut sekali?
“Kanda Arjuna? Apakah kanda Arjuna tidak turut serta?” Gelengan bonda membuatkan air matanya jatuh lagi. Tak terdaya menahan kesedihan. Dia teresak-esak. Hanum Cahaya mendakap menantunya itu. Penuh kasih sayang dia mengusap rambut Fisa.
“Nasib Arjuna masih belum diketahui,” sebelum sempat ibu mentuanya menyudahkan bicara, Fisa mengumpul seluruh kekuatan yang ada untuk menemui Panca. Dia perlu kuat menghadapi saat getir ini.
“Di mana suamiku Panca?” Kelibat Fisa yang sedang sarat mengandung itu menambahkan simpati Panca. Isteri sepupunya ini berdiri di tengah-tengah bulatan ahli kumpulan Tualang. Kedatangan Fisa saat mereka sedang berbincang ini membuatkan segala perbincangan terhenti. Kasihan Arjuna, hilang tanpa dikesan, malah langsung tidak mengetahui dirinya bakal bergelar bapa. Harus bagaimana dia memulakan bicara? Apakah perlu memberitahu setiap perkara yang menimpa Arjuna dengan terperinci? Untuk apa dia merahsiakan perkara yang telah terjadi? Beritahu sahaja kerana Fisa harus menerima hakikat. Dia yakin isteri sepupunya ini memiliki semangat yang kental.
“Arjuna hilang tanpa kesan. Saat dia mahu menghunus senjata, panglima pihak lawan telah melepaskan panah. Sejurus selepas itu, Arjuna jatuh dari lereng bukit ke bawah. Kami cuba mencarinya dalam laut tempatnya jatuh, tetapi tidak ketemu. Keadaan kami terlalu lemah, dan tidak bermaya. Jadi pulang ke Bentara adalah pilihan yang ada untuk meminta bantuan,” air mata Fisa gugur tanpa dapat dibendung lagi. Dia mengusap perut. Kasihan anaknya ini, lahir tanpa sempat mengenali bapa. Tetapi mayat Arjuna belum lagi ditemui. Suaminya masih hidup! Fisa yakin dengan nalurinya sebagai seorang isteri.
“Kau harus tabah, kita perlu berdoa. Untuk keselamatan Arjuna,” kata-kata sepupu suaminya menjadi perangsang kepada Fisa.
“Aku yakin Arjuna masih hidup. Aku yakin,” dalam sendu dia memberi keyakinan kepada diri sendiri. Hiba menyelebungi seluruh ahli kumpulan Tualang. Mereka semakin sedih melihat Fisa yang sarat mengandung terpaksa menerima berita duka seperti ini. Panca tidak mampu berkata apa. Dia menahan sebak yang kian menggila. Tak mahu air matanya gugur di hadapan Fisa. Setelah gadis itu berlalu, dia mengarahkan ahli Tualang pulang ke rumah masing-masing untuk bertemu ahli keluarga. Dia sendiri letih dan perlu membersihkan diri yang serabai dan kotor.
Arjuna memandangnya sambil tersenyum. Seperti biasa, suaminya kelihatan tenang dan bersahaja. Fisa membalas senyuman itu. Dia ingin memeluk Arjuna, namun jejaka itu sekadar berbisik ke telinganya.
“Tunggu kanda. Kanda akan pulang tak lama lagi,” apabila habis mengucapkan kalimat itu, tubuh Arjuna kian menjauh. Fisa tersentap. Dia tersedar dari mimpi itu. Sungguh dia terlalu merindui Arjuna, sehingga termimpikan suaminya. Dalam saat begini, dia memerlukan kehadiran suami di sisi. Hanya menunggu hari dia akan melahirkan zuriat mereka. Tetapi Arjuna? Masih gagal dikesan.
Tasik itu sungguh indah. Tetap sama seperti dulu. Kala bulan mengambang, damai hati Fisa menghayati pemandangan cahaya bulan yang terbias ke permukaan air tasik. Dia jadi ralit. Tetapi hatinya terlalu kuat mengingati Arjuna. Sesekali, dia mengusap perut yang kian sarat.
“Sayang. Terima kasih kerana menemani bonda. Bonda rindukan ayahanda. Kanda, pulanglah. Dinda merinduimu,” bicara Fisa sayu. Mana mungkin dia dapat melupakan tempat ini. Di sinilah dia bertemu dengan Arjuna dan menjalinkan persahabatan dengan suaminya. Di sini juga Arjuna meluahkan hasrat untuk menjadikannya teman istimewa. Tak pernah sekalipun dia lupa mendoakan kesejahteraan Arjuna setiap kali usai menunaikan solat. Tak putus-putus dia melakukan solat hajat, dengan harapan untuk melihat kepulangan suami tercinta.
“Adinda,” sapaan itu membuatkan Fisa terpempan. Dia berpaling ke belakang. Tubuhnya terpaku. Sejurus selepas itu, pandangannya berbalam-balam. Pitam kerana terlalu terkejut.
Seluruh Bentara meraikan kepulangan pahlawan terulung mereka. Arjuna Indera Wahyu kembali dengan lengan yang masih berbalut kerana luka dipanah. Sekumpulan masyarakat orang asli yang pergi menangkap ikan menemukan dirinya yang sedang terapung. Mereka menjaga dan merawatnya sehingga pulih. Apabila merasakan dirinya benar-benar bertenaga, Arjuna mengambil keputusan untuk pulang. Dan dia ingin singgah ke tasik terlebih dahulu, untuk mengenang kenangan manis yang diciptakan bersama isterinya suatu masa dulu. Kebetulan, isterinya berada di sana. Saat dia menyapa, Fisa pengsan lantaran terlalu terkejut dengan kehadirannya secara tiba-tiba.
Dahi isterinya dituam perlahan-lahan. Terpancar kasihnya sebagai seorang suami. Dia mengelus lembut wajah yang begitu dirindui. Sebuah kucupan hinggap di dahi Fisa, melempiaskan rindu yang amat dalam buat isteri tercinta. Dia membelai perut Fisa, dicium berulang kali. Dia bersyukur masih diberikan kesempatan untuk menyambut kelahiran zuriat, tanda cinta mereka berdua.
“Kanda,” sebut Fisa yang mula sedarkan diri. Namun kerutan pada wajah isterinya menimbulkan kehairanan di benak Arjuna.
“Ya adinda, kenapa?” soal Arjuna sambil mengelus rambut isterinya.
“Sakit,” beritahu Fisa. Tangannya mengenggam erat jemari suaminya. Arjuna melaung dari kamar untuk memanggil bondanya. Mungkin telah sampai waktu untuk generasi ke lapan waris Tun Terpilih menjengah dunia.
* * * *
Nazril Akram ataupun nama klasiknya Putra Indera Syah menjadi penyeri hidup Ly Anne Nafisa dan Arjuna Indera Wahyu. Si manja ini telah berusia setahun lima bulan. Dia dibesarkan di dunia biasa, jauh daripada kekangan protokol dan adat resam dunia pendekar.
“Comot dah anak mama ni,” agah Fisa sambil mengesat mulut si kecil yang baru selesai menikmati nestum.
“Sayang anak papa. Tengok dia senyum,” terhibur Arjuna dan Fisa melihat permata hati mereka tertawa.
“Pa...ma...” bicara si kecil itu membuatkan pasangan suami isteri ini merasa sungguh bahagia. Adakalanya mulut Nazril riuh bercakap dalam bahasa yang hanya difahami oleh dia seorang. Namun kedua-dua ibu bapanya tak jemu melayan kerenah si kecil bermata bulat ini.
Arjuna dan Fisa sepakat untuk memberikan masa depan yang normal buat anak kesayangan mereka ini. Persetujuan dicapai oleh seluruh ahli keluarga, dan Laksamana Suria Syahazan meletakkan syarat agar cucunya akan didedahkan dengan ilmu kepahlawanan apabila telah tiba waktu yang sesuai. Sebaik sahaja usia cucunya genap dua puluh tahun.
Bagi Arjuna pula, dia menerima syarat yang ditetapkan oleh ayahanda memandangkan pada ketika itu Nazril sudah matang untuk menentukan hala tuju hidupnya. Apabila sampai masanya kelak, dia akan menurunkan segala warisan keluarga mereka kepada anak sulungnya ini. Baginya, cukuplah dia sahaja yang melarikan diri semata-mata untuk merasai alam remaja seperti rakan-rakan sebaya yang lain. Akan dipastikan perkara tersebut takkan berulang kepada Nazril. Dia mahu anaknya membesar dengan ceria tanpa sebarang tekanan. Sebagai bapa, sudah tanggungjawabnya untuk memastikan Nazril menikmati hidup dalam persekitaran yang menyeronokkan sama seperti kanak-kanak seusianya. Itu ikrarnya sebagai bapa.