rss

Dunia biasa…lapan belas tahun berlalu.

Jejaka ini sabar menunggu adik-adik kesayangannya bersiap. Kata nak cepat? Tiket wayang pun dah ditempah awal-awal. Kelmarin begitu bersemangat nak tengok filem High School Musical 3.  Entah apa yang budak-budak itu lakukan lagi agaknya? Lama benar bertapa. Suai padankan baju ke?

Dia meneliti penampilan sendiri. Dari bawah ke atas. Cukup dengan sneakers putih, seluar jeans dan baju-T polos. Lima minit pun dah beres. Sederhana dan memudahkan langkah. Rambut lurusnya selesa dibiarkan panjang sedikit melepasi leher. Tak perlu terlampau stail. Tanpa calitan warna asing hitamnya kekal semulajadi.

Dia meraba-raba kocek seluar apabila nada dering menandakan mama menelefonnya. Tersenyum-senyum dia mengenangkan kedua ibu bapa yang sedang bercuti di Terengganu. Pandai mama dan papa berbulan madu kali kedua, tinggalkan dia untuk menjaga adik-adik. Tetapi tanggungjawab yang digalas langsung tidak mendatangkan masalah kerana mereka tiga beradik sememangnya akrab dan selesa meluangkan masa bersama.

“Assalamualaikum Ayil,” suara lembut mama memang membuatkan hatinya sentiasa merindu.

“Waalaikumussalam. Mama ngan papa sihat?” dia sengaja menyoal soalan lazim itu.

“Sihat. Papa tengah mandi tu. Ayil dengan adik-adik dah makan? Kat mana dah?”

“Belumlah ma. Tak gerak pun lagi. Tengah tunggu budak bertuah dua orang tu ha. Entah mende yang diorang tengah buat,”

Adunya pada wanita yang paling memahami dirinya. Kedengaran suara tawa dari hujung talian. Sedang dia melilaukan pandangan, kelibat adik-adik membuatkan sengihannya makin lebar.

“Mama, dorang dah turun. Nanti Ayil telefon semula. Sampaikan salam kitorang kat papa. Assalamualaikum,”

“Waalaikumussalam. Kirim salam kat adik-adik tau,”

“Okey, mama. Take care, love you very much,” dia mematikan talian.

Seorang remaja lelaki dan perempuan terpacak di depannya. Kepalanya digelengkan. Konon geram kerana banyak masa yang dibazirkan untuk menunggu mereka.

“Apa korang buat kat atas lama sangat? Dah longgar tulang lutut abang Ayil,” seloroh Nazril Akram lalu memaut bahu kedua orang budak bertuah itu.

Sempat mindanya menganalisa penampilan Nazmi Ikram, adik keduanya serta Nurlin Liyana adik bongsu mereka. Patutlah lambat. Dua-dua melaram! Si Nazmi memang menitikberatkan penampilan. Rambut pacak dirapikan dengan gel. Teringat pula iklan Brylcreem, masih terpacak? Hahaha…nyaris dia tergelak.

Tak hairanlah kalau adiknya ini memenangi hati ramai gadis bawah umur. Belum habis sekolah dah berderat peminat. Ditambah lagi dengan sikap ramahnya yang menyenangkan. Penampilan Nazmi memang kemas sentiasa. Kemeja pelbagai jenis dan seluar jeans sinonim dengan gaya kasual maskulin adiknya itu. Berbeza sungguh penampilan mereka.

Lihatlah dirinya, semua ringkas! Kalau tidak kerana wajah yang seakan-akan, tentu hubungan antara dia dan Nazmi disalah tafsir sebagai rakan. Saiz fikizal mereka yang kelihatan lebih kurang sahaja tentunya menyokong fakta itu. Bukan sahaja cara berpakaian malah sifat juga jauh berbeza. Dia lebih banyak memerhati dan hanya berbicara bila perlu. Jika dia merasa selesa dengan seseorang, barulah rasa segan beransur hilang. Ada kemungkinan juga, dia takkan teragak untuk meluahkan sebarang pendapat.

“Rilekslah abang Ayil. Ada orang melabur tadi. Terpaksalah adik korbankan masa untuk tunggu dia,” perli Nana sambil tersengih-sengih. Seronok berpeluang mengusik abang keduanya.

“Alah, guna nama abang Mi nampak. Bukan orang tu ke yang lambat sebab dandan rambut?” Tempelak Nazmi sambil tayang muka poyo. Suka hati bila tiba giliran untuk menyakat Nana. Seperti yang diduga, adik bongsunya akan tarik muka.

“Hish, dah-dah lah tu. Jom kita gerak. Sempat makan dulu sebelum tengok movie ni. Perut Abang Ayil dah bunyi gluk gluk,” terjuih-juih mulut Nazril tatkala cuba mendemostrasikan bunyi yang galak menepuk-nepuk dinding perutnya. Mana taknya, tunggu budak dua orang ni dekat setengah jam.

Tergelak Nazmi dan Liyana melihat raut wajah abang sulung mereka. Buruk benar rupanya. Muka tampan pun jadi lucu.

“Lawa sangatlah abang Ayil wat gitu,” usik Nana dalam gelak.

“Muncung tu yang mahal tu,” tokok Nazmi pula.

Mereka memang sepakat kalau bab mengenakan Nazril. Abang sulung yang pendiam dan penyabar ini sekadar tersenyum. Lantas mereka seiringan menuju ke stesen LRT berhampiran. Tiga beradik ini benar-benar berharap agar rancangan hujung minggu mereka akan berlangsung dengan jayanya. Baru minggu ini kalendar aktiviti mereka memberikan kerjasama yang baik. Kalau tidak, ada-ada sahaja urusan yang lebih penting untuk dilakukan. Agenda persatuanlah, perwakilan pelajarlah. Huish…

Selesai menonton wayang, mereka masuk ke dalam satu persatu butik. Mencuci mata dengan melihat apa sahaja keluaran terbaru yang ada. Bukan hendak membeli pun, setakat hilangkan kebosanan. Sampai kaki dah tak larat nak jalan, barulah tiga beradik ini mengambil keputusan untuk pulang.

“Abang Ayil, Nana laparlah. Kita pergi makan dulu boleh?” Pinta Nana sewaktu mereka sedang bersiar-siar di sekitar jalan yang sentiasa sesak dengan kehadiran pelancong itu. Alang-alang keluar, biar sampai puas.

“Boleh dik. Lepak kat warung okey? Cari nasi pulak,” cadang Nazril.

Nazim yang sedang membelek aneka jam tangan hanya mengangguk tanda setuju. Matanya kelihatan kuyu sikit. Mengantuk agaknya, semalam beria mengulangkaji sampai pukul dua. Nazril setia menemaninya dan membancuh segelas kopi untuk menyegarkan mata.

“Wah! Kenyangnya. Balik rumah pun senang hati,” ucap Nana selamba sambil menepuk perutnya.

“Eh budak kecik ni. Tak senonoh,” bebel Nazmi. Nazril mengusap rambut Nana. Mereka tersenyum-senyum. Bahu Nazmi yang mula menguap itu dipaut mesra.

“Hai ada orang dah ngantuk. Jomlah kita balik,” ajak Nazril.

Dua adik kesayangannya itu mengangkat tabik. Tanda hormat pada abang sulung mereka yang sangat sporting. Keluar bersama Nazril membuatkan mereka rasa selamat. Sifat melindungi Abang Ayil mereka terlihat ketara.

Berdetap laju jantung Nazril bila terpandangkan pancaran cahaya yang menerangi horizon. Dia gusar. Pandangannya dihalakan pada Nazmi dan Nana yang sedang keletihan. Mungkin dua adiknya tidak menyedari apa yang sedang dia lihat. Kemas, dipimpinnya tangan dua adik kesayangan. Enggan meninggalkan mereka walau apa sahaja kemungkinan bakal berlaku.

“Eh? Terangnya bulan malam ni?” Komen Nazmi kepelikan sambil menggenyeh mata. Adakah dirinya sedang khayal? Serentak dengan pertanyaan itu, Nazril merasakan kesakitan pada tapak tangan kirinya. Sebaris nama bagaikan bergema menampar gegendang telinganya.

“Putra Indera Syah,” selintas nama itu bergema dan terus bergema hingga Nazril merasakan tubuhnya seakan melayang.

“Abang Ayil!” Jeritan itu didengari sayup-sayup.

Yang dia tahu, tangannya sudah terlepas dari terus memimpin kedua-dua adiknya. Nazmi dan Nana terpana. Ke mana abang Ayil mereka sudah pergi? Takkan Nazril yang elok-elok ada bersama mereka boleh hilang sekelip mata? Segalanya terlalu sukar untuk diterima akal!

“Apa? Macam mana boleh hilang? Mi dengan adik jumpa penjahat ke?” separuh bertempik Ly Anne Nafisa mendengar berita yang baru sampai ke pengetahuannya lewat malam itu. Arjuna yang sedang lena di sebelahnya terjaga tiba-tiba. Perkataan hilang meleburkan segala mimpi dalam lenanya.

“Tak mama. Mi tak tahu nak cakap macam mana. Abang Ayil tengah pegang tangan Mi dengan Nana. Masa nampak cahaya kat kaki langit, abang Ayil suruh berhenti kejap. Lepas dia mengadu sakit, tiba-tiba cahaya tadi hilang. Abang pun lesap sekali,” bergetar naluri keibuannya. Apatah lagi setelah mendengar suara serak Nazmi. Anak keduanya bagaikan baru lepas menangis. Telinga Fisa juga menangkap esakan puteri tunggalnya, Nana.  

Serta merta terbayangkan wajah Nazril Akram, permata hati sulungnya itu. Ingatan terhadap senyuman Nazril meluruhkan air matanya tanpa disedari. Baru siang tadi mereka berbual-bual.

“Tunggu mama dan papa balik. Jangan buat laporan polis lagi. Kita selesaikan sama-sama ya sayang. Jangan panik. Jaga diri Mi dan adik,” saran Fisa. Suaranya kembali lembut. Rasa terperanjat buat seketika membuatkan lontaran suaranya sedikit meninggi.
Dia tak dapat bersenang lenang lagi. Mereka harus pulang secepat mungkin. Kehilangan mendadak Nazril membuatkan hatinya tak tenteram.

“Abang, kita kena balik. Ayil hilang,” ucap Fisa dengan linangan air mata. Kebimbangan membuatkan dia tak mampu menjadi setenang suaminya. Selagi belum tahu punca sebenar kehilangan Nazril, selagi itu dia resah. 

Membuntang mata Arjuna demi mendengarkan bicara serius isterinya. Dia dapat merasakan sesuatu di sebalik kehilangan Nazril. Adakah berkaitan dengan Bentara? Bermula dari detik ini, Arjuna tak habis berfikir.

“Nana tidur dulu ye dik. Jangan nangis dah. Abang Mi ada ni. Abang Mi takkan tinggalkan Nana,” Nazmi sudah mati kutu untuk memujuk adiknya yang teresak sejak tadi.

Didakapnya Nana sambil mengelus rambut adik bongsunya itu. Perkara sedrastik tadi membuatkan Nana yang berusia tiga belas tahun ini ketakutan dan terkejut. Dia juga kaget menghadapi kejadian tersebut. Pelik juga jika difikirkan secara teliti, dengan logik akal bagaimana abang Ayil boleh hilang begitu sahaja. Setelah pasti Nana tertidur dalam pelukannya, Nazmi membaringkan semula adiknya. Selimut ditarik lembut untuk memastikan lena adiknya tidak terganggu.


Di suatu destinasi…
“Indera,” suara itu seakan berbisik pada pendengarannya.
Serasa matanya bagai digam-gam. Terkatup rapat entah sejak bila. Bagai begitu lama dia telah berada di suatu lokasi asing yang belum pernah dijejaki sebelum ini. Hiasan dalaman kamar yang seakan-akan bilik putera zaman silam membuatkan Nazril tertanya-tanya di manakah dia berada kini? Semuanya tak terjangkau dek akal fikiran.
Terpisat-pisat jejaka berpakaian moden ini bangun. Kelibat seorang gadis yang menghampiri membuatkan dia terduduk kembali. Wajah tersebut tak pernah dilihat seumur hidupnya. Siapakah ini? Dia berada di mana? Bagaimana dia boleh sampai ke sini?

“Silakan minum, Indera,” sekali lagi dia dilanda kepelikan. Indera? Perempuan ni salah orang ke?

“Jangan kamu merasa hairan wahai cucu ku. Putra Indera Syah adalah nama keduamu. Nama di alam Bentara. Jangan merasa khuatir lantaran adanya gadis manis ini. Nenda yang memanggilnya ke mari,” aduh!

Semakin berputar ligat segala objek di sekitarnya. Pening! Nenek yang selalu ditemuinya sudah berubah laku. Mengenakan busana penuh protokol. Menyatakan dia punya gelaran kedua? Malah berbahasa juga kedengaran baku! Apakah makna semua ini?

“Nenek? Ini Ayil lah nek. Bukan Indera,” ujarnya masih cuba menegakkan pengenalan diri.

Nazril sudah berada dalam kekeliruan sebenarnya. Dia tak betah berhadapan dengan situasi yang terlalu asing sebegini. Dan dia mahukan papa, mama, Nazmi dan Nana untuk berada di sampingnya.

“Benar kamu Ayil. Namun lain tempat lain gelarannya. Sila jaga bahasamu di sini cucuku. Sekarang kita bukan lagi berada di dunia biasa. Ini adalah kampung halaman ayahandamu. Susur galur asal usul keturunanmu. Nenda perlu membawa kamu pulang terlebih awal dari waktunya. Bentara di ambang kemusnahan. Hanya padamu seluruh warga Bentara sandarkan harapan. Kamu akan menjadi pahlawan Tualang,” terkebil-kebil Nazril mendengar penjelasan neneknya.

Keluarga papanya jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan keluarga mama. Keluarga papa pandai bermain silap mata barangkali? Dia tertunduk. Tergeleng-geleng. Apa sahajalah yang anak muda berusia sembilan belas tahun sepertinya faham mengenai erti sebuah perjuangan membela negeri naungan? Bentara? Tak pernah dengar pun. Tualang? Apa tu? Bukan nama pokok ke? Dia semakin bingung. Air putih yang dihidangkan langsung tidak berusik.

“Bertenanglah wahai Indera. Ada makluman penting yang harus aku sampai buatmu,” gadis itu merebahkan punggung di sebelah Nazril.

Persis tuan puteri lagaknya. Memiliki raut wajah yang sungguh jelita namun tertib segala tingkahlakunya. Busana yang tersarung di tubuhnya indah tak terperi. Namun dalam tuturnya ada bias sendu. Bening mata galaknya tiada bercahaya. Mungkinkah hatinya rawan? Nazril tertanya sendiri.

Sementara itu Hanum Cahaya meneruskan usaha dalam membawa pulang anak menantu dan dua lagi cucu kesayangannya. Mereka harus diberitahu tentang kedukaan yang meletakkan seluruh Bentara dalam suasana berkabung.
Arjuna kembali…

“Mengapa bonda rahsiakan semuanya daripada pengetahuan anakanda? Bukankah anakanda masih mampu untuk menentang Jenjang? Kubu mereka tidaklah sebesar mana bonda. Serangan hendap ini dilakukan hanyalah untuk menutup kelemahan mereka. Sehingga tegar mengorbankan ayahanda dan Panca,” saat ini laju air mata membasahi pipi Arjuna.

Fisa menggengam jemari suaminya. Memberi kekuatan untuk Arjuna berdepan dengan kenyataan. Anak-anak mengelilingi mama dan papa mereka. Masing-masing melayan perasaan.

“Segalanya berlaku sungguh pantas wahai anakanda. Bonda tidak sempat melakukan apa-apa. Ayahanda mu sempat berpesan menyuruh bonda membawa pulang kamu semua serentak sekiranya berlaku sebarang darurat. Tetapi bonda hanya terdaya mengesan jejak cucunda bertiga sebelum keadaan bertambah genting. Lantaran terlalu lama tidak menyeru telapak kuasa, bonda tersilap dan hanya mampu membawa pulang Indera. Setelah puas berusaha, barulah berjaya menyeru anakanda sekalian serta cucucunda berdua,” jelas Hanum Cahaya sambil menepuk paha cucu-cucunya.

“Tak patut! Mi nak pastikan pembunuh atuk dan pak cik Panca rasakan apa yang mereka dah buat pada kita,” bentak Nazmi.

Hanum Cahaya memandang cucunya penuh harapan. Cucunda kedua ini memang telus dan berani menyerlahkan perasaannya secara terang-terangan.

“Sabarlah Mi. Kita tak boleh bertindak terburu-buru,” nasihat Nazril pula.

Si sulung yang lebih banyak meneliti sesuatu situasi berbanding bersuara. Namun dia takkan teragak-agak untuk bertindak sekiranya pasti tentang sesuatu perkara. Nana yang berada di ribaan nendanya sekadar menekur kepala. Masih naif untuk memahami bicara abang-abangnya. Mungkin dia seorang gadis, maka sisi perjuangan ditelaah dari sudut yang lebih halus dan berbeza berbanding Nazril dan Nazmi. Semua perilaku sang cucu difahami oleh Hanum Cahaya sekilas pandang. Kesimpulannya, mereka bertiga punya sifat yang bertentangan namun akan menjadi entiti yang teguh sekiranya dikombinasikan bersama.  

Akibat serangan Jenjang, musuh tradisi Bentara menyebabkan kediaman rasmi mereka rentung sama sekali. Mayat ayahanda dan Panca gagal ditemukan. Liciknya musuh! Pembakaran dilakukan tanpa perikemanusiaan menyebabkan rakyat Bentara kehilangan tempat berteduh. Mereka tinggal merempat sehelai sepinggang.

Mujurlah keluarganya selaku pembesar Bentara membina kediaman di tempat terpencil. Inilah gunanya sekarang, menjadi tempat tinggal buat rakyat dan pembesar. Mereka perlu tinggal sebumbung untuk merencana agenda bagi mempertahankan negeri yang sedang dijadikan sasaran. Pada saat begini, seluruh Bentara harus bersatu. Bila-bila masa sahaja peperangan boleh berlaku. Syukur kepada Tuhan kerana nyawa bonda dan Juwita, anak angkat Panca masih panjang. Sepupunya itu tak pernah berkahwin dan mengecapi hidup berkeluarga. Namun kehadiran Juwita Kencana, nama yang diberi oleh Panca buat puteri comel yang ditemui di tepi sungai sewaktu sedang melepaskan lelah ketika berkelana menjadi penghibur hatinya sehingga ke akhir hayat.

Juwita mengusap tangan Hanum Cahaya. Matanya menatap wanita yang berhati mulia ini. Nenda takkan membiarkan dia bersedih malah sentiasa membuatkan semangatnya kembali berkobar. Sering kali wanita tua ini mengingatkan, kematian itu sesuatu yang pasti. Tuhan lebih menyayangi ayahanda dan nenda Laksamana Syahazan. 

“Mari, nenda tunjukkan persalinan dan senjata kamu semua,” sempat Arjuna menepuk-nepuk bahu anak sulungnya. Pantas jejaka itu menguntum senyuman yang jitu dengan keberanian.

Ketiga-tiga remaja ini kemudiannya bangun dan menuruti langkah Hanum Cahaya tanpa banyak soal.
“Ini buat puteri nenda yang comel, Seri Lela Cahaya,” teruja gadis genit ini menyambut persalinan dan bucu lima(senjata tajam yang berbentuk macam bintang) yang disediakan oleh nendanya.

Nazmi menggigit bibir. Dia semakin tak sabar. Tak sangka begitu unik susur galur diri mereka! Dia bangga untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan Bentara. Nazril seperti biasa. Hanya tersenyum memerhatikan telatah adik-adik. 

“Dan ini buat Tuah Wahyu Andika,” Nazmi ternganga.

“Keris ni macam dekat muzium! Wow!” Hanya perkataan itu yang mampu diucapkan. Nyata dia sungguh kagum.

“Putra Indera Syah, semua ini adalah milikmu,” Lantas Hanum Cahaya mengunjukkan persalinan lengkap berserta lembing dan sebilah keris.

Nazril terpaku. Dia bagaikan sedang menonton filem epik. Tetapi kini dia yang merasai segala pengalaman itu. Perkara yang tidak pernah terlintas dalam benaknya secara tiba-tiba menjadi nyata.
“Satu peringatan buat cucunda bertiga, gunakan nama kedua kalian di sini. Gelarkan antara satu sama lain sebagai kekanda, adinda. Juga kedua ibu bapa sebagai ayahanda dan bonda. Bentara adalah berbeza dengan dunia biasa. Kamu pahlawan muda Bentara dan naungilah negeri ini dengan penuh kehormatan serta kerendahan hati kalian,” peringatan ini amat perlu diperincikan oleh Hanum Cahaya. Dia mahu menekankan disiplin buat cucu-cucunya agar mereka menjaga adab sebagai keturunan pahlawan. 

Indera nekad, dia dan adik-adik akan berlatih mengikut tunjuk ajar papa dan Juwita agar mereka berjaya membela maruah Bentara yang sudah tercalar. Almarhum nenda Laksamana Syahazan dan Panglima Panca wajib dikebumikan dengan cara terhormat. Dia akan mengotakan setiap janjinya! Usia bukan penghalang untuk Indera mengorak langkah. Yang dia perlukan hanyalah keyakinan!
Pantang mengalah sebelum berjuang…

“Tegakkan kaki, hunus lembing dengan yakin. Pandang tepat ke dalam anak mata musuhmu,” Tegas sekali Arjuna melatih kedua-dua anak terunanya.

Jika kaki dua anak remaja itu masih sumbang langkahnya, dia takkan teragak-agak untuk meninggikan suara dan menyebat mana bahagian yang perlu. Anak jantan kena kuat semangat! Macam mana nak jadi pahlawan kalau lembik? Semasa latihan, bapa yang penyayang ini akan menjadi guru yang tegas.

“Andika! Selagi langkahmu sumbang, selagi itu kamu akan terus berdiri di sini,” putus Arjuna tanpa krompomi. Andika akur. Silapnya juga mengabaikan bunga silat yang telah ayahandanya ajarkan.

“Indera, sudahkah kamu bersedia? Ayahanda mahu menguji sejauh mana kemahiranmu mematahkan serangan keris daripada pihak lawan. Pantas!” Sebilah keris pada tangannya dihunus yakin. Fisa menutup-nutup matanya dengan celah jari. Takut andainya salah seorang daripada anak mahupun suaminya akan cedera.

“Argh! Ayuh! Serang!” Arjuna sengaja meninggikan suara. Niatnya hanyalah untuk menaikkan semangat Indera. Jejaka ini bersungguh-sungguh menghunus dan mengelak setiap serangan ayahandanya.

‘Boleh tahan,’ desis hati Arjuna. Namun masih belum cukup untuknya berpuas hati. Menjadi pendekar sejati bukan semudah berkata-kata. Banyak pengorbanan dan latihan yang perlu diikuti. Ketahanan luaran dan dalaman perlu kuat dan seimbang. Jika setakat luka-luka kecil itu sudah menjadi adat.

“Bonda, tidak bolehkah jika kekanda Arjuna berlembut sedikit? Sakit, belas hati anakanda melihatnya,” Hanum Cahaya tersenyum mendengar keluhan menantunya.

“Jangan anakanda khuatir. Tiada barang urusan yang perlu dirisaukan. Sewaktu Arjuna seusia mereka, lebih keras dan rumit latihan yang perlu ditempuh. Semua itu sekadar satu pengajaran,” lembut Hanum Cahaya memujuk.

Dia pernah merasai apa yang sedang Fisa rasakan suatu masa dulu. Malah Laksamana Syahazan lebih garang ketika membimbing Arjuna dan Panca. Namun lama kelamaan dia mengerti sendiri. Garang almarhum suaminya terhadap kedua-dua anakanda itu adalah satu cara berkesan untuk menjadikan mereka pahlawan handalan. Hingga sekarang, Hanum Cahaya bersetuju dengan prinsip disiplin dan ketegasan yang diterapkan oleh almarhum suaminya. Mereka tertawa apabila melihat kesabaran Juwita yang melayani kerenah Lela untuk berlatih membaling bucu lima.

“Begini, halakan senjata kepada bahagian tubuh sasaran adinda. Harus tangkas dan pantas. Walaupun kecil, jika tertusuk akan meranalah musuhmu,” Juwita menunjukkan cara yang tepat untuk melakukan balingan bucu lima. Tekniknya nampak mudah namun harus dilakukan dengan tepat.

“Baiklah kanda Juwita. Adinda mahu terus mencuba,” senang sekali Juwita melayani kerenah si manis tiga belas Lela. Terhibur dia dengan telatah remaja peramah ini.
Perjuangan yang belum selesai...

“Hiyah! Hep! Balas!” Begitulah suara Arjuna melatih anak-anak kesayangannya. Tidak ketinggalan adalah Lela. Si genit ini mahu turut serta. Kecil-kecilnya bukan sembarangan. Kecil-kecil cili padi.

“Jangan menyerah kalah atau berasa kasihan. Namun usah sesekali warga tua, anak kecil dan wanita dijadikan sasaran. Hanya pahlawan di negeri Jenjang yang perlu ditewaskan. Tawanlah pemerintahnya dengan kebijaksanaan anakanda,” pesan itu seringkali diulang oleh Arjuna Indera Wahyu. Meski dia melatih anak-anak untuk mahir dalam pengendalian senjata, besar harapan agar mereka mampu menawan Jenjang tanpa menumpahkan setitis darah sekalipun.

“Doa bonda dan nenda sentiasa teriring buat anakanda,” ujar Hanum Cahaya dan Fisa serentak. Seorang demi seorang anak remaja yang bakal berjuang ini didakap erat. Ciuman kasih sayang memberikan semangat yang tidak ternilai.

“Bonda,” Juwita dan Lela masih layu dalam pelukan Fisa. Setelah agak lama berdakapan akhirnya mereka menuruti Indera dan Andika yang sedang menanti.

Puas sudah mereka mengembara. Tenggelamnya matahari di ufuk barat nanti menutup tirai hari kedua kembara para pahlawan muda ini. Mungkin esok bakal tiba ke negeri jelajahan. Sebatang sungai yang begitu jernih airnya membuatkan langkah mereka terhenti. Masing-masing dihambat keletihan. Maka kesemuanya memutuskan untuk berehat seketika di muara sungai.

“Juwita, tidakkah engkau terfikir apakah maksud yang tersirat di sebalik bicara ayahanda?” Pertanyaan Indera memecah sunyi malam.

Dari tadi rehat mereka hanya bertemankan nyanyian sang cengkerik. Andika dan Lela telah nyenyak dibuai mimpi. Bagi Indera dan Juwita, tiada masa untuk mereka melelapkan mata lantaran perlu berjaga-jaga dengan bahaya persekitaran sekeliling. Larut malam begini tentu binatang buas berkeliaran mencari santapan.

Juwita tersenyum memandang jejaka tampan di hadapannya. Unggun api yang merentangi kedudukan mereka mengurangkan sejuk angin malam yang menggigit hingga ke tulang hitam.

“Aku mengerti malah merasakan kalimah itu tepat sekali buat bekalan menghadapi perjuangan kita, Indera. Almarhum ayahanda pernah membicarakan ungkapan yang sama terhadapku. Namun biarkan keadaan jadi penentu. Adakah Allah mengizinkan kita melaksanakannya,” kata-kata perawan ini tinggal menjadi teka teki di benak Indera. Juwita semenangnya begini. Puteri jelita yang gemar berkias dalam tutur katanya.

“Arjuna! Lihat, ada merpati putih sedang kesakitan di situ,” Juwita bingkas menuju ke arah merpati putih itu yang terkepak-kepak mencuba untuk terbang.

Namun haiwan tersebut kelihatan lemah. Sebelah sayapnya patah. Juwita Kencana membelai-belai bulu merpati itu. Sungguh lembut bak baldu, sungguh suci bulunya. Sepertinya bukan merpati biasa.

“Sungguh kasihannya dirimu wahai merpati. Siapakah tuanmu?” Soal Juwita simpati kepada burung yang terkerdip-kerdip matanya.
“Mana mungkin burung ini mampu menjawab pertanyaanmu wahai Juwita. Bawalah dia bersama menemani kembara kita. Mana tahu ada untungnya nanti,” selamba Indera memberi cadangan. Juwita terdiam seketika. Berfikir sejenak. Hendak ditinggalkan sayang.

“Hai merpati mengapakah engkau telah mencuri hatiku?” bisik Juwita perlahan. Tetapi didengari oleh Indera. Dia tersengih sahaja.

Sesampainya di perkampungan yang kelihatan sunyi sepi ini membuatkan mereka berempat tertanya. Di manakah letaknya keagungan dan daulat negeri Jenjang hingga mampu melancarkan serangan begitu hebat terhadap Bentara? Rakyatnya tidak ramai, malah suasana sekitar lengang.

“Tengok sana,” kedengaran perlahan suara Andika.

Jejaka ini sebetulnya sedang berhati-hati. Maklumlah, mereka telah sampai di tempat orang. Jangan melakukan perkara yang mendatangkan curiga. Pandangan mereka berempat tertancap pada kilang yang mengeluarkan kepul asap dari serombongnya.
“Mereka menggunakan segala sumber semula jadi untuk menghasilkan bahan api berkualiti tinggi. Inilah senjata mereka. Tentu sahaja rakyatnya dikerah oleh kehendak pemerintah yang gilakan kuasa,” Indera membuat rumusan.

“Malah, tentu rakyatnya tiada hasil pencarian sendiri. Apa sahaja bicara pemerintah, mereka turuti tanpa bersoal tanya. Lihatlah asap yang berkepul ini. Kelam serata alam,” sambung Juwita pula.

“Dan penduduknya terpaksa akur demi meneruskan kelangsungan hidup,” akhirnya pahlawan genit mereka bersuara. Indera mengusap rambut adiknya.

Gerak geri mereka diperhatikan oleh sepasang mata. Si penghendap begitu kenal akan merpati putih yang berada dalam pegangan Juwita. Ianya milik pembesar Jenjang! Dia serta merta menerpa ke arah empat pahlawan itu. Terlalu muda dan kelihatan naif. Tentu senang hendak diperdaya.

“Gagagagaga!” Si gagap terlompat-lompat di hadapan empat anak remaja itu. Lela terjerit. Namun segera dia melemparkan bucu lima.

“A….aaaa…akit,” sebut si gagap dengan susah payahnya. Mencerlung mata Indera. Tahulah dia memainkan peranan. Entah-entah si gagap ini mengintip? Dia menghunus lembing. Semakin kuat si gagap berteriak.

“Bu..bu…burung..ati….uan,” mereka berpandangan sesama sendiri. Juwita tunduk. Dia bagaikan memahami sedikit butir bicara si gagap.

“Merpati tuan?” soal Juwita. Laju si gagap menganggukkan kepalanya. Mereka tersenyum.

“Bangun!” Arah Indera tegas.

“Bawa kami kepada tuanmu,” gertak Andika dengan wajah garang yang menakutkan.
Kecoh suasana istana Teja, pembesar Jenjang dengan kehadiran empat pahlawan muda. Dia ingin membentak apabila semua pangawal tidak melakukan sebarang tindakan ke atas penceroboh itu. Si gagap pula satu hal! Suka buat agenda yang memakan diri.

Terbeliak mata Teja tatkala terpandangkan Manja, burung merpati sucinya yang berada dalam pegangan gadis persis puteri di hadapannya ini. Namun, burung kesayangannya diancam bahaya lantaran keris diletakkan pada leher haiwan itu. Dia tak boleh tersilap langkah. Andainya salah seorang daripada pahlawan muda ini diapa-apakan, Manja yang menerima segala akibat. Demi burung yang disayangi, Teja rela menepikan pangkatnya sebagai pembesar.

“Wahai pendekar berempat, apakah gerangan yang membawa kamu ke mari?” Lembut Teja bersuara. Hilang keangkuhannya demi merpati putih itu.

“Kami mahu menuntut bela atas seranganmu terhadap negeri naungan nendaku, Bentara. Serangan pahlawanmu telah mengorbankan nyawa nenda dan ayah saudaraku. Ingatkah dikau wahai Teja?” Adabnya masih di tempat teratas meski berhadapan dengan musuh tradisi. Juwita merasa kagum dengan keperibadian jejaka pendiam ini.

“Katakanlah apa sahaja, orang muda. Aku sedia menunaikannnya,” penuh akur Teja bersuara.

Saat genting begini, dia rela mempertaruhkan apa sahaja waima nyawa sendiri demi haiwan peliharaan tercinta. Sayangnya terhadap manja terlalu dalam. Manja adalah hadiah daripada almarhum ayahandanya yang teramat dikasihi. Pada haiwan yang tidak mengerti apa-apa itulah dia mencurah rasa.
“Agus…a…agus!” Sorak si gagap. Dia lega kerana selepas ini Teja takkan berpeluang untuk menyeksanya lagi. Lupa seketika kesakitan akibat ditusuk oleh bucu lima.

“Mudah sahaja. Kami bukanlah sekejam pejuangmu yang tegar membunuh. Hanya satu permintaan kami,” putus Juwita. Buat seketika, mereka berbisik sebentar. Masing-masing tersenyum apabila satu persetujuan telah dicapai.
Pengakhiran yang indah…

Indera memacakkan bendera berwarna putih itu di sempadan antara negeri Bentara dan Jenjang. Bendera putih ini secara langsungnya menunjukkan bahawa Jenjang kini menjadi negeri naungan Bentara. Beberapa pengawal turut mengiringi perarakan pahlawan muda itu. Indera kini menuju ke pentas pertabalan untuk upacara pertabalannya.

Rakyat jelata memenuhi perkarangan pentas pertabalan pembesar baru mereka. Tiada perang yang meletus, hanya sebuah negeri berpindah milik. Pemerintahan warisan Tun Terpilih kian berdaulat. Teja pula dijadikan orang suruhan bersama Si Gagap. Mayat Panca dan Laksamana Suria Syahazan telah disempurnakan serta disemadikan mengikut syariat. Tempoh perkabungan seluruh Bentara juga telah berakhir.  

“Indera, Indera! Indera!” Laung mereka penuh semangat dan keterujaan. Arjuna menyerahkan keris pusaka serta menyarungkan tanjak ke kepala anakandanya. Bangga dan terharu apabila anak-anak kesayangannya mampu bertindak dengan bijak tanpa menumpahkan setitis darah pun, apa lagi mengorbankan sebarang nyawa.

“Tahniah Ayil,” bisik Arjuna sambil tergelak.

“Terima kasih papa,” balas Indera sambil tersenyum. Mereka berpelukan. Erat!
Indera bersyukur kerana diberi kesempatan dalam hidupnya untuk menjadi pahlawan yang terulung. Malah memiliki kesudahan yang membahagiakan seluruh Bentara. Jejaka ini bangga kerana mampu meletakkan dirinya sebaris dengan ayahanda dan nenda Laksamana Syahazan. Tetapi dia ingin meneruskan hidup di dunia biasa bersama kekasih hati, Juwita. Dia mahu membawa gadis ini mengenali dunia mereka. Alam yang penuh dengan protokol dan kepahlawan ini bukan untuk dirinya.

Sudah cukup dia menjadi Putra Indera Syah setakat ini sahaja, biarkan dia terus membawa pengenalan sebagai Nazril Akram bin Afzal Afifi yang sudah begitu sinonim dengan dirinya sejak dilahirkan. Malah Nazmi Ikram dan Nurlin Liyana juga turut sependapat dengannya. Mama, papa serta nenek merestui pilihannya. Sebagai anak dia akan terus patuh terhadap keluarga meskipun menetap di alam yang berbeza. Akan disimpan batu genggam agar dia dan adik-adik dapat melepaskan kerinduan terhadap mama, papa dan nenek pada saat mereka memerlukannya.

FIN          


 
 
 
 
 

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini