Ketenangan….aku
gemar ke taman untuk mencari ketenangan fikiranku kerana di situ aku dapat lari
dari segala kesibukan kerja. Sedang aku memerhatikan suasana kehijauan taman
itu, tiba-tiba aku melihat sekeping keratan akhbar berterbangan ditiup angin
dan akhirnya jatuh di sisi ku. Aku membacanya..
Manusia dilahirkan
dengan satu tujuan
Khalifah di muka
bumi
Cuma yang
membezakannya
Adalah takdir
perjalanan hidupnya.
Dibalik cermin
sompek itu
Aku melihat
seorang perempuan
Kelihatannya penuh
rasa bersalah
Dan penuh rasa
kerinduan
Ada apa dengan
dirinya? Membiarkan diri diselubungi dengan rasa itu
Itulah yang
dicarinya dari insan bergelar bapa
Bapa yang telah
banyak berkorban
Namun
pengorbanannya sia-sia belaka
Dek kerana anak
yang tidak menghargainya
Kini…Cuma
kerinduan dan rasa bersalah yang menemani
Kerana apa?
Kerana dia…bapa
Kini berada di
alam yang satu lagi….
Keratan akhbar
yang memaparkan sajak itu kulipat dan kusimpan. Entah mengapa, sajak itu
benar-benar menyentuh kalbuku. Sejenak ingatan terhadap seorang lelaki yang
telah melunaskan tanggungjawab menyara anak dan isteri singgah difikiranku.
Ayah telah banyak berkorban demi untuk kesenangan anak-anak dan isterinya. Ayah
tidak pernah jemu membanting tulang empat keratnya setiap hari untuk mencari
sumber kewangan. Dan berkat usaha ayah dan juga doa ibu akhirnya kehidupan
keluarga menjadi sedikit senang.
Usia ayah
menjangkau 70, namun tubuhnya masih kuat. Dia mampu menunggang basikal ke kedai
yang jauhnya lebih kurang 2 kilometer bagi membeli barang keperluan. Sejak
kematian ibu yang sering berdamping dan memberi semangat kepada ayah 5 tahun
lalu, kini ayah bersendirian di kampung. Lantaran itu, kami adik-beradik yang
kesemuanya 4 orang bergilir-gilir menjenguk ayah di kampung.
Kami semua sudah
punya kerjaya dan adik-beradik aku yang lain sudah punya keluarga dan tinggal
jauh dari kampung halaman. Sebagai anak perempuan bongsu dan belum berkahwin,
aku diberikan tanggungjawab yang lebih oleh adik-beradik yang lain untuk sering
pulang ke kampung dan menjenguk ayah serta memastikan semua keperluannya
lengkap kerana adik-beradikku sibuk menguruskan hal keluarga mereka.
Setiap kali aku
menjenguknya, setiap kali itulah aku mempelawa dia tinggal bersama aku di Kuala
Lumpur kerana ini akan memudahkanku dan aku tidak perlu sering pulang ke
kampung untuk mejenguknya. Aku tidak bermaksud untuk merungut atau berkira,
tapi kadang kala aku seperti terkejar kejar untuk menguruskan kerja semata mata
untuk pulang ke kampung.
“Tak apalah….lain
kali aja!...” jawab ayah. Itu juga lah jawapan ayah apabila adik-beradikku yang
lain memujuknya.
Bagaimanapun
sesekali ayah mengalah dan menuruti kehendak kami. Namun baru sehari dua berada
di rumah anak-anaknya, dia minta dihantar pulang. Ada-ada saja alasan yang
diberi…!
___________________________________________________________________
Suatu hari, ayah
mengikut aku ke Kuala Lumpur. Kebetulan sekolah masih bercuti, dan bila aku
hendak pergi bekerja aku akan menghantar ayah ke rumah abang sulungku supaya
ayah tidak keseorangan di rumah. Seronoklah cucu-cucunya bergurau senda dengan
atuknya.
Masuk hari
keempat, dia merayu kepada aku supaya menghantarnya pulang ke kampung. Seperti
biasa ada saja alasan tak logik yang diberikan. Risaukan kambinglah, ayamlah.
“ Saya sibuk ayah,
tak boleh nak ambik cuti ni. Tunggulah sikit hari lagi ataupun hujung minggu ni
saya hantar ayahlah, “ balas aku.
“ Tak apalah Zara,
kalau kau sibuk sangat, belikan ayah tiket di Puduraya, biar ayah naik bas, “
katanya membuat aku bertambah kecewa dengan sikap degil ayah itu. Memang ayah
pernah berkali-kali naik bas pulang ke kampung sendirian.
“ Tak usahlah…”
kata ku memujuk dan merayu selepas kami berdua makan malam. Ayah diam dan dia
terus masuk ke biliknya tanpa mengendahkan aku disitu.
Bagaimanapun pada
esok paginya ketika aku sibuk hendak bersiap-siap ke pejabat, ayah sekali lagi
berpesan kepadaku meminta aku membelikan tiket bas di Puduraya.
“ Ayah ni tak
faham ke, saya kata saya sibuk, sibukkkkk! “ balas aku dan terus keluar
menghidupkan enjin kereta.
Aku tinggalkan
ayah terkontang kanting di muka pintu dan dia hanya melihat aku berlalu pergi
tanpa berkata apa-apa. Dari raut wajahnya aku dapat rasakan yang ayah terasa
hati dengan kata-kataku. Sedih pula aku melihat wajah ayah ketika itu.
Di pejabat aku
termenung panjang. Tanpa berlengah aku meminta cuti kecemasan dan terus ke
Puduraya untuk membeli tiket. Tepat pukul 11 pagi aku sampai ke rumah dan terus
beritahu ayah supaya bersiap.
“ Bas bergerak
pukul 2.00 petang. “ Kata aku ringkas. Aku mengaku telah bersikap kasar
terhadap ayah ketika itu kerana didorong rasa marah dengan sikap degil ayah.
Ayah tanpa banyak
kerenah, bersiap. Dia memasukkan baju dan kain pelekatnya ke dalam beg sandang.
Lebih kurang pukul 12.30 tengahari aku bergerak ke Puduraya. Dalam perjalanan
lebih kurang satu jam itu sepatah pun aku tidak bersuara.
Selalunya, aku dan
ayah akan bersembang panjang setiap kali naik kereta bersama. Ada-ada saja yang
kami bualkan, dari satu tajuk ke satu tajuk. Tapi hari itu ayah tahu aku
marahkannya. Dia pun enggan menyapa aku.
Sepanjang
perjalanan kami hanya melayan lagu-lagu yang berkumandang di radio. Dan
kemudian juruhebah radio itu memutarkan lagu Salam terakhir nyanyian
allahyarham Sudirman. Jika dihayati bait-bait lirik lagu itu ianya sungguh
mengamit jiwa ditambah dengan susunan muzik yang indah. Entah kenapa semasa
lagu itu dimainkan aku melihat wajah ayah dan aku rasa sungguh sebak tapi masih
boleh ditahan.
Tiba di Puduraya,
aku terus menghantar ayah di tingkat bawah stesen bas itu. Selalunya aku akan
memimpin tangan ayah , tapi hari itu aku biarkan ayah turun sendiri dan aku
hanya perhatikan agar langkahnya tidak terganggu.
Setelah aku
pastikan nombor tempat duduk ayah, aku bersalam dan terus turun dari bas tanpa
berkata apa-apa kepada ayah. Ayah juga langsung tidak memandang aku sebaliknya
dia hanya memandang ke luar tingkap. Aku berpaling dan melihat ayah merenung
kejauhan.
Tepat pukul 2.00
petang bas bergerak. Sekali lagi aku memandang ayah, tapi dia masih melemparkan
pandangan ke luar tingkap, mengelak dari memandang aku. Dari raut wajah tuanya
aku dapat rasakan ayah benar-benar terasa hati dengan sikap aku.
Setelah bas
bergerak jauh, aku menaiki tangga menuju ke kereta. Semasa melalui gerai-gerai
di hentian paling sesak itu aku terpandang susunan kek pisang di atas meja.
Langkah aku
terhenti, berdesup fikiran teringatkan ayah kerana dia cukup suka makan kek
pisang. Pernah sebelum ini kalau dia menaiki bas pulang ke kampung, dia akan
minta aku belikan makanan kegemarannya itu. Tapi hari ini ayah tidak minta
apa-apa dari aku, ayah hanya berdiam diri sahaja.
Aku terus memandu
pulang. Tiba di rumah, fikiran rasa tidak menentu, ingatkan kerja yang
tertangguh di pejabat dan ingatkan ayah yang dalam perjalanan. Malam itu sekali
lagi aku meneruskan keegoanku untuk tidak menelefon ayah di kampung seperti aku
lakukan setiap kali ayah pulang dengan bas.
Malam berikutnya
kak ngah menelefon dan bertanya tentang ayah. “Zara.. kenapa kau tak beritahu
kami yang ayah dah balik kampung? “ soal kak ngah dengan nada suara yang agak
tinggi.
“Ayah yang tak
sabar sangat nak balik kampung la! “ jawab aku meninggikan suara. Aku terus
memutuskan talian telefon tanpa berkata apa-apa. Dan selepas aku meletakkan
telefon, aku duduk mengelamun jauh di ruang tamu rumah ku tanpa aku sendiri
tidak sedari apa yang bermain difikiran aku.
Keesokkan hari aku
menjalankan rutin harian seperti biasa dengan hati yang tidak tenang dan
fikiran berkecamuk. Kesemua sentuhan kerja yang aku lakukan tidak menjadi
seperti kebiasaannya. Entah kenapa dalam kotak fikiran aku ketika itu hanya
memikirkan ayah, walaubagaimanapun aku masih dengan ego ku untuk tidak
menghubungi ayah.
Dinihari itu,
tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi. Entah kenapa jantung aku mula berdegup
kencang saat aku melihat nombor yang terpapar di skrin telefon.
“ Pak Lang dah tak
ada….”kata sepupu aku di hujung talian sejurus aku menjawab panggilan itu. “
Dia meninggal 10 minit tadi selepas mengadu sesak nafas.” Sambungnya lagi.
Terlalu sebak dia hendak berkata-kata, selain meminta aku pulang dengan segera.
Aku terjelepok di
lantai. Telefon bimbit masih ditangan. Berjujuran air mata aku mengalir tanpa
dipaksa. Kuat di fikiran aku mengatakan ini semua adalah mimpi, aku seolah-olah
tidak mempercayainya. “tak mungkin..!!!” jerit hati kecilku. Esak tangis ku
semakin kuat.
Tanpa berlengah
dan hanya sehelai sepinggang aku terus memandu kereta pulang ke kampung.
Sepanjang perjalanan mulut aku terkumat kamit mengatakan ini semua mimpi. Apa
yang aku harapkan bila aku sampai nanti ayah akan keluar memelukku dan memberi
ciuman pada aku seperti selalunya.
Setibanya aku di
kampung, aku melihat ramai orang kampung berkumpul di rumah ayah. Aku berlari
terus naik ke rumah, aku melihat sekujur tubuh telah di selubungi dengan kain
putih. Dengan rasa lemah longlainya aku bersimpuh di sebelah tubuh kaku itu dan
aku membuka kain yang menutupi wajahnya. Ternyata pemilik tubuh kaku itu adalah
ayahku. Aku seperti tidak mempercayai semua itu kerana semuanya terjadi dengan
begitu pantas.
Aku cuba berdiri
dan entah mengapa aku merasakan dunia seakan berputar dan akhirnya menjadi
gelap. Tiba-tiba aku mendengar satu suara dari kejauhan yang memanggil-manggil
namaku, aku tercari-cari dan aku melihat seorang lelaki berpakaian serba putih
cuba menghampiriku. Dia tersenyum melihatku dan mengusap wajahku, dan tanpaku
sedari pipiku mula dibasahi dengan air mata. Dia menyeka air hangat yang
mengalir di pipiku dan berkata “jangan menangis…sayangku Zara, dan ingatlah
ayah sangat menyayangimu nak”. dan akhirnya aku melihat dia semakin jauh
dariku. Aku tidak dapat berkata apa-apa seolah-olah mulutku telah dikunci.
Tidak lama kemudin
aku terdengar lagi suara yang memanggil namaku. Tapi bezanya kali ini suara itu
sangat jelas. Aku membuka mata, dan aku melihat ramai yang mengelilingiku.
“apa dah jadi ni
?” aku bertanya kepada kakakku.
“Zara,kau pengsan
tadi” jawabnya ringkas.
Aku memandang
disekelilingku, aku melihat jenazah ayah masih belum di kebumikan lagi. Aku
mengambil wudhu’ dan aku membacakan surah yassin disisi ayah. Sesekali aku
teringat apa yang aku alami semasa aku pengsan tadi.
Di situ akulah
orang yang paling hiba sekali. Tidak berhenti-henti menangis berbanding
adik-beradikku yang lain. Barulah aku sedar bertapa berharganya seorang insan
bernama ayah dalam hidup ini. Kek pisang, kata-kata aku pada ayah, sikapnya di
Puduraya silih berganti menyerbu fikiranku yang berkecamuk ketika itu.
Dan selepas arwah
ayah dikebumikan dengan selamat, sepupuku menceritakan keadaan ayah di
saat-saat hujung nyawanya. Sepanjang perjalanan ke hospital ayah hanya
memanggil-manggil namaku dan menyuruh sepupuku supaya memberitahuku bahawa dia
sangat-sangat menyayangiku. Air mataku berguguran lagi membasahi pipi.
Arwah ibu dan
adik-beradikku sudah sedia maklum, aku adalah anak yang paling ayah sayangi
mungkin kerana aku adalah anak bongsu dan di antara abang dan kakakku, akulah
anak yang paling manja dan rapat dengan ayah. Semua kemahuan aku pasti ayah
akan tunaikan.
Tapi kalau kutahu
hari itu adalah kali terakhir aku melihat ayah melangkah, akan kupeluk dan
kukucup lalu kan ku rayu agar ayah kembali segera. Dan jika ku tahu hari itu
merupakan kali terakhir kita menghabiskan masa bersama, akan kupastikan ayah
merasa bahagia.
Hanya Tuhan yang
tahu betapa luluhnya hati aku apabila teringatkan itu semua. Aku amat terasa
kehilangan ayah yang pernah menjadi tempat aku meluahkan rasa, menceritakan
masalah, seorang rakan yang sering bersimpati dan ayah yang cukup mengerti
perasaan anak-anaknya.
Kenapalah aku
tidak dapat membaca gerak rasa seorang tua yang merindui belaian kasih sayang
daripada seorang anak yang akan ditinggalkan buat selama-lamanya. Aku rasa amat
menyesal atas segala perbuatan dan kata-kata kasar aku terhadap ayah. Dan
paling aku sesali ialah aku tidak sempat memohon ampun dari ayah terhadap
segala kesalahanku dan kekasaranku pada ayah.
Kini, telah 8
tahun berlalu. Setiap kali pulang ke kampung, hati aku bagai dirobek-robek
apabila memandang nisan di atas pusara ayah. Setiap kali aku menziarahi
pusaranya, aku akan mengusap batu nisan itu dan berdoa agar roh ayah di cucuri
rahamat serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Aku tidak dapat
menahan air mata apabila terkenangkan semula peristiwa pada hari-hari terakhir
aku bersamanya. Aku merasa amat bersalah dan sehingga hari ini aku tidak akan
dapat memaafkan diriku ini.
Benarlah kata
orang, kalau hendak berbakti biarlah semasa ayah dan ibu masih ada. Kerana
apabilah sudah tiada, menangis air mata darah sekalipun tidak beerti lagi.
Mereka tidak akan kembali.
Sehingga hari ini
aku sering menasihati kepada sesiapa yang masih punya insan yang bernama ayah
dan ibu, jagalah perasaan seorang tua itu serta berbaktilah kepada mereka.
Kasihi mereka sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil dahulu.
Kerana esok bukan
satu janji kepada sesiapa, tua atau muda dan hari ini mungkin peluang terakhir
yang ada untuk menumpahkan kasih sayang kepada ayah. Mengapa menunggu hari
esok, kenapa tak lakukan hari ini, sekarang juga? Kerana jika esok tidak
menjelma kita akan menyesal, kerana tidak meluangkan masa untuk melimpahkan
kasih sayang serta memuji ayah. Mungkin inilah harapan yang terakhir.
Jadi hampirilah
ayah, bisikkan ketelinga ayah betapa kita menyayangi dan amat memerlukannya.
Ambil masa untuk berkata: “maafkan saya, ayah”…. “terima kasih ayah”… “saya
sayang ayah” dan jika esok tidak menjelma kita tidak akan menyesal.
Ayah…anakmu ini
benar-benar menyayangimu dan tiada sesiapa dapat menandingimu ayah. Segala jasa
dan pengorbananmu tidak akan sesekali aku lupakan.
Ayah……ampunkan
anakmu Zara….
~ TAMAT~
March 25, 2013 at 11:02 PM
sedih sangat...T_T