Nordin
menyelak langsir biliknya. Cahaya matahari yang menerobos biliknya yang kelam
itu seolah membutakan matanya. Sudah pagi, fikirnya. Sambil mengenyitkan mata,
dia memerhatikan kanak-kanak yang berlari dan bermain di padang sebelah jalan
rumahnya sambil bergelak ketawa. Sepatutnya dia turut sama tersenyum. Jika dia
melihat kanak-kanak yang sama melakukan perkara yang sama beberapa hari dahulu,
tentu dia akan turut sama tersenyum. Tetapi tidak hari ini.
Hati
Nordin tidak tenang hari ini. Tidak juga ceria bahkan bengkak dengan perasaan
amarah yang tidak tertanggung. Dia bangun awal. Tetapi dia tidak keluar untuk
menikmati pagi yang indah ini. Seperti kebanyakan penduduk di Taman Mawar yang
lain, yang masih berlingkar di dalam selimut atau terus menancapkan mata di
depan TV tanpa menghiraukan suasana pagi yang indah itu terus berlalu tidak
kembali lagi, dia juga memilih untuk berkurung dalam bilik kelamnya.
Nordin
sebenarnya tidak bangun awal. Bahkan dia sebenarnya langsung tidak tidur malam
tadi. Dia hanya berguling-guling di atas tilam lusuhnya mencari idea untuk
mahakaryanya. Sebuah karya agung. Karya pertamanya. Mahakarya pertamanya. Dia
sebenarnya tidak pernah meghasilkan sebuah lukisan yang siap. Apatah lagi
sebuah mahakarya. Sudah tentu, dia mempunyai asas dalam lukisan, mendapat B3
dalam Matapelajaran Lukisan semasa sekolah menengah dan B- dalam subjek minor
graphic di Universiti, itu sudah dikira memadai baginya untuk menghasilkan
sebuah mahakarya.
“Apa
kau ingat susah sangat nak buat masterpiece?” katanya pada Nizam suatu
hari. Hari sebelum kegilaan itu bermula.
“Aku
tahu kau boleh melukis, Din. Tapi takkanlah sampai nak berhenti kerja. Kau
anggaplah ini cubaan pertama kau. Kau melukislah waktu malam. Siang kau pergi
kerja.” kata Nizam menggeleng-gelengkan kepala.
Nordin
diam tidak berkata apa-apa. Memang dia akur dengan rakan baiknya untuk tidak
memberikan notis berhenti bagi melukis sepenuh masa. Tetapi nampaknya prestasi
kedatangannya ke tempat kerja tetap jatuh. Ada-ada sahaja hari yang dia tidak
datang kerja dan apabila ditanya Nizam, dengan selamba dia akan menjawab, untuk
menyiapkan mahakaryanya. Mengingatkan perkara itu hanya menambahkan bengkak di
hatinya. Lebih baik dia berbaring mencari idea bertemankan bantal busuk dan
tilam usang daripada memikirkan amarahnya pada rakannya itu.
Nordin
masih lagi bermalas-malas di atas katilnya. Semalaman dia berjaga untuk mencari
idea bagi mahakaryanya. Tetapi satu pun tidak keluar. Dia sudah nekad, kerjanya
sebagai kerani kewangan di sebuah syarikat hartanahlah yang menghalangnya
selama ini untuk menghasilkan karya yang agung. Hatinya tawar untuk pergi
kerja. Dia perlu meluangkan lebih banyak masa untuk menghasilkan karya
agungnya.
Dia
hairan dengan manusia sepertinya. Mereka sanggup lupakan bakat dan minat mereka
kerana mengejar duit. Berapa ramai pelukis, penulis, pemain gitar ataupun
pemidato yang melupakan bakat mereka kerana terlalu sibuk dengan kerja yang
langsung tiada kaitan dengan kemahuan dan bakat mereka, tetapi berlandaskan
duit semata-mata. Kerja yang mereka buat langsung tidak dihargai, malah
semuanya kerja tetek bengek yang sebenarnya tidak penting langsung bagi
sesiapapun.
Nordin
teringatkan kerjayanya. Kerjanya menguruskan gaji, cek, duit masuk, duit
keluar. Semuanya dilakukannya dengan begitu komited dan cemerlang, seolah-olah
itulah kerja yang paling penting sekali di dalam dunia. Dan itulah yang
diberitahu oleh bosnya setiap masa. Kerjanya adalah kerja yang paling penting
sekali. Tanpanya, sesebuah syarikat itu akan lumpuh. Dan dia akan tersenyum
bangga apabila diberitahu sedemikian rupa oleh bosnya tanpa memikirkan adakah
gajinya selaku orang yang paling penting dalam syarikat – sebagaimana
diberitahu oleh bosnya – menyamai dengan satu per sepuluh gaji bosnya.
Tidak,
bukan kerana busuk hati terhadap bosnya. Tetapi dia mulai memikirkan adakah
kehidupan sebegini yang diinginkan olehnya. Berpening kepala setiap akhir bulan
mengimbangkan akaun syarikat yang dia sendiri tidak pedulikan jatuh bangunnya
dan mengira setiap sen duit yang perlu dibank-in ke dalam akaun pekerja yang
dia sendiri tidak begitu kenal hati budinya. Adakah betul apa yang dikatakan
oleh bosnya, yang syarikat akan lumpuh apabila ketiadaan dia?
Hari
ini sudah masuk hari ke tujuh – tidak termasuk hari minggu - dia tekad tidak
bekerja. Dia memerhatikan telefon bimbit di atas meja tulis di sebelah katilnya
buat kesekian kali. Kalau benar apa yang dikatakan oleh bosnya. Tentu mereka
akan menelefonnya tanpa henti merayunya supaya datang bekerja hari ini. Paling
tidak, Nizam akan datang mencarinya. Tetapi hatinya sudah tekad, dia tidak akan
bekerja lagi. Dia tiada masa untuk memikirkan tentang kesibukan orang lain. Dia
tiada masa untuk menyelesaikan masalah orang lain. Dia juga tiada masa untuk
mengira-ngira keuntungan orang lain, yang satu senpun dia tidak dapat sentuh.
Sekarang hanya ada dia dan kanvas kosong miliknya yang akan dia tukarkan
menjadi sebuah mahakarya.
Hari
sudah mulai tinggi. Taman Mawar yang tadinya begitu indah dengan limpahan
matahari pagi dan kicauan burung sudah mulai membahang. Gelak ketawa
kanak-kanak berlari tanpa menghiraukan panas matahari dan suara ibu mereka yang
memarahi sayup-sayup kedengaran. Nordin masih lagi merenung kanvas kosongnya.
Berus ada di tangan, cat yang dibancuh pada palette kayu mulai keras
mengering. Bahang panas matahari tengahari membuntukan lagi fikirannya.
Tujuh
hari! Tujuh hari tanpa kerja dan masih tiada hasil apa-apa! Dengusnya dalam
hati. Dia mengambil telefon bimbit di sebelahnya, menekan-nekan kekunci telefon
itu tetapi kemudian meletakkannya kembali ke tempat asalnya. Dia bercadang
untuk menelefon Nizam, bertanyakan tentang tempat kerja setelah ketiadaannya
selama tujuh hari, tetapi dia mematikan niatnya. Semua itu tidak penting lagi.
Yang penting sekarang ialah untuk menyiapkan sebuah mahakarya. Ulangnya dalam
hati.
Tetapi
pada masa yang sama, hatinya tetap tidak tenang. Bermacam-macam perkara yang
menerjah ke dalam kepalanya apabila dia cuba menumpukan perhatiannya kepada
kanvas kosong itu. Marahnya kepada kawan-kawan yang tidak mempercayai
kebolehannya. Marah kepada bosnya yang hanya tahu mengarah. Marah kepada rakan
sekerjanya yang tidak pernah cuba berbaik dengannya. Marah dengan sistem
pendidikan yang memaksanya mengambil jurusan management walaupun dia
percaya dia berbakat dalam seni. Marah kepada dirinya sendiri kerana walaupun
sudah tujuh hari dia mengasingkan diri, masih belum ada apa-apa yang keluar
dari kepalanya. Bukan setakat idea agung, idea picisan martabat rendah –
seperti selalu dikatakan olehnya apabila mengkritik karya orang lain – juga
tidak keluar. Kepalanya mulai berat, bukan dengan idea, tetapi dengan
kemarahan.
Tetapi
buat masa ini, dia berasa paling marah kepada Nizam kerana selaku rakan
baiknya, dalam tempoh tujuh hari dia tidak bekerja, batang hidungnya langsung
tidak nampak. Bukan setakat datang menjenguk, telefon pun tidak.
Mungkin
Nizam dengki padanya. Memang dari dahulu lagi dia nampak yang Nizam tidak
pernah menyokong tindakannya. Nizam hanya pandai menasihatinya supaya bekerja
bersungguh-sungguh. Apa yang orang pragmatik macam Nizam tahu tentang manusia
seni sepertinya? Nizam hanya kerja, kerja dan kerja sahaja. Cukup bulan dapat
gaji. Dia pun hairan, orang seperti Nizam ada impiankah? Ada cita-citakah?
Baginya,
Nizam adalah lawan kepada sifat dirinya walaupun mereka berkawan. Nizam tiada
cita-cita. Nizam tiada impian selain dunia kecilnya dalam syarikat penghantaran
itu. Mungkin orang akan menganggap Nizam sebagai seorang contoh rakyat yang
berjaya. Mempunyai rumah yang sederhana besar. Kereta MPV Ekonomi yang sporty
walaupun anak baru seorang dan bergaji tetap. Memang itulah yang menjadi ukuran
seorang yang berjaya. Tetapi baginya, Nizam adalah seorang yang malang.
Malang
kerana hanya mengikut arus norma masyarakat. Masyarakat mahukan itu dan itulah
yang disediakan oleh Nizam. Masyarakat mahukan sesuatu yang ‘selamat’ dan tiada
risiko dalam kehidupan dan itulah jua yang ditunjukkan oleh Nizam. Apakah Nizam
tiada impiannya sendiri selain mengikut kata masyarakat?
Ya,
sudah tentu Nizam mempunyai hobi. Jika pasal bola, Nizam boleh bercakap
berjam-jam. Jika bercakap soal kereta, Nizam memang johan. Tapi setiap malam
dilalui Nizam dengan sunyi. Dia akan menonton televisyen sehingga tepat pukul
11 malam dan masuk tidur selepas menggosok gigi dan menutup lampu bilik
anaknya. Jadualnya sama sahaja setiap hari sehingga Nordin mula memikirkan
apakah maksud kehidupan pada mata Nizam.
Jadi
Nordin sangat yakin yang Nizam memang dengki padanya. Sebab itu bila dia
beritahu hasratnya untuk melukis sepenuh masa, Nizam tentang habis-habisan.
Mungkin Nizam tidak mahu dia jadi terkenal dan meninggalkan dia di syarikat
yang memberinya jalan mati itu.
Nordin
tersenyum sendiri. Ya, dia akan jadi terkenal tidak lama lagi. Kanvas putih ini
akan dia calit dengan sebuah calitan mahakarya yang akan menggegarkan dunia.
Dia cuma perlu sedikit masa supaya idea hebat dalam benaknya ini dapat keluar
dan diluahkan. Mungkin dia perlu tidur. Atau mungkin tidak. Tidur akan
menyebabkan otaknya tumpul. Ideanya akan kering. Calitannya akan basi.
Semangatnya akan pudar.
Jadi
dia sendiri sudah lupa berapa hari dia tidak tidur. Dia merenung kanvas di
depannya yang masih tidak terusik. Di manakah idea? Kenapa tidak mahu keluar?
Dia mula menghantukkan kepalanya ke dinding. Sakit. Tetapi dia buat lagi.
Mungkin dengan cara ini darah di dalam otaknya akan lebih lancar mengalir.
Darah yang lancar akan menghasilkan idea yang luarbiasa.
PUK!
Dia hantuk lagi. Sakitnya memang luar biasa. Tetapi ditahannya. Kali ini dia
mula merasakan kelainannya. Dia sudah mula merasakan satu semangat baru meresap
dalam kepalanya. Dia sudah ada idea! Kali ini dia akan menyiapkan mahakaryanya
pada dinding ini. Bukan lagi di atas kanvas. Karya di atas kanvas biasa sahaja.
Tidak cukup grand. Tidak cukup unik. Dia perlukan sesuatu yang
luarbiasa uniknya.
PUK!
Dia hantuk lagi kepalanya. Kali ini darah merah pekat mula mengalir dari
dahinya. Sakitnya bukan kepalang. Tetapi dikacip giginya kemas-kemas. Ditahan
rasa sakitnya walaupun batinnya meraung pedih. Kali ini idea baru pula muncul.
Dia akan menghasilkan karya menggunakan darahnya!
Setiap
kali kepalanya dihantukkan, ketika itulah dinding itu akan menghasilkan satu
corak istimewa dari percikan darahnya. Jika dibuat dalam bilangan yang cukup
banyak, percikan darahnya akan menghasilkan satu corak yang cukup indah. Sakit?
Sudah tentu dia akan berasa sakit yang tidak terhingga. Tetapi dia mesti
menahannya. Ini bukan kerja main-main. Ini bagi menyiapkan sebuah masterpiece!
Dia
menyeringai menahan sakit. Azabnya tidak tertanggung. Dia terduduk sambil
memegang kepalanya yang dirasakannya hampir pecah. Ketika itu dia teringatkan
Marc Quin atau mungkin juga Millie Brown, yang juga menanggung azab ketika
menyiapkan mahakarya mereka. Tetapi adakah mereka merungut? Sudah tentu tidak.
Itu harga yang perlu dibayar untuk menjadi seorang artis terkenal. Apabila
memikirkan hal itu, dia bingkas bangun dan terus menghantukkan lagi kepalanya
ke dinding.
PUK!
PUK! Dia hantuk lagi. Kali ini dia teringatkan pula Chris Burden atau Marina
Abramovic yang juga menderita sepertinya. Semangatnya semakin membara. Dan
darah menyembur lagi dari kepalanya. Darah! Darah banyak keluar! Dia tidak boleh
membazirkan darah yang mengalir itu. Dia mesti menggunakan medium dengan sebaik
mungkin. Dia menempelkan badannya ke dinding. Jadi satu corak lagi. Hatinya
puas.
Dia
memandang dinding. Corak-corak yang terbentuk kelihatan kacau bilau. Sekacau
fikirannya sekarang. Masih banyak lagi ruang kosong. Dia mesti memenuhkan
seluruh ruang. Dia meraba dahinya. Dia rasa dahinya kasar dan melekit. Mungkin
dahinya sudah hancur. Mukanya juga sudah dibasahi darah. Tetapi dia mesti
meneruskan kerjanya menghantuk kepala. Dia mulai risau jika darah tidak akan
mengalir lagi lagi dahinya. Mungkin dia perlu menikam dirinya atau mengelar
lehernya. Tetapi buat masa sekarang, dia masih boleh menghantukkan kepalanya ke
dinding.
PUK!
PUK! PUK! Kali ini dia terdengar bunyi sesuatu merekah. Dia terkebil-kebil
tidak dapat menggambarkan kesakitan yang ditanggungnya. Kepalanya seperti mahu
pecah. Otaknya seperti mahu meletup. Dalam kesakitan itu, dia meraba-raba
dinding jika dinding itu merekah. Jika benar, rosaklah mahakaryanya. Tidak,
dinding itu tidak rosak. Kali ini ini dia raba pula dahinya. Dia terasa satu
jalur yang tidak sekata dari tengkorak dahinya. Adakah kepalanya sudah pecah?
Dia tidak tahu. Yang dia tahu darah mengalir seperti air paip keluar dari
rekahan itu. Dia juga baru sedar darah mengalir tidak henti dari kedua belah
telinganya.
Pandangannya
kabur. Dia tidak tahu adakah pandangannya kabur kerana badannya kekurangan
darah atau matanya digenangi darah. Apa yang sempat dilihatnya ialah
mahakaryanya yang masih belum siap dan dia tahu dia tidak akan sempat
menyiapkannya kerana pandangannya mula gelap. Tanpa sempat mengucapkan apa-apa,
dia jatuh terlentang. Keras dan kaku tidak bernyawa lagi.
*****
Dua
hari selepas itu, entah kenapa Nizam tergerak hatinya untuk melawat rakannya
Nordin. Dia memang sudah lama tidak rasa sedap hati dengan perangai Nordin.
Mungkin Nordin terlalu tertekan ketika kerja atau terlalu memikirkan
cita-citanya yang tidak tercapai. Dia tidak tahu. Yang dia tahu, orang seperti
Nordin sepatutnya menerima bantuan psikologi atau sekurang-sekurangnya, bekalan
Prozac yang mencukupi.
Nizam
mengetuk pintu rumah Nordin. Namun tidak berjawab. Dia mula memikirkan untuk
menendang sahaja pintu itu tapi dibatalkannya selepas didapati pintu itu tidak
berkunci. Langkah kakinya ke dalam rumah itu hampir terbantut apabila dia
terbau busuk yang yang menusuk ke pangkal hidung. Dia memandang sekeliling.
Memang ini rumah Nordin. Dia tidak tersilap rumah. Rumah kosong dan kelam ini
hanya didiami rakannya yang bernama Nordin. Tingkap dan langsir tidak terbuka.
Hanya kegelapan dan kesunyian yang dirasakannya apabila masuk ke dalam rumah
ini. Bagaimana manusia boleh hidup di sini pun dia tidak tahu.
Dia
terus ke bilik Nordin. Bau busuk yang menusuk hidungnya membuatkan dirinya bersedia
dengan apa-apa kejutan yang berlaku. Jadi apabila dia melihat mayat rakannya
yang terkangkang sambil tangan mengerkot ke dada, dia tidak terkejut lagi.
Hanya kesedihan yang bersarang di hatinya. Dia hanya mampu menggeleng-gelengkan
kepala melihat keadaan yang mengerikan dengan darah memercik merata-rata. Di
lantai, di dinding dan langsir. Semuanya tidak berbaki. Namun dari sudut hati
Nizam, dia tidak merasakan kengerian yang sepatutnya dirasakannya. Hanya sedih
bersarang dihatinya melihat wajah sahabatnya yang kering dengan mulut yang
ternganga dan dahi yang hancur.
Nizam
ingin mengambil sesuatu untuk menutup wajah sahabatnya itu, namun dia
membatalkan niatnya kerana mungkin polis mempunyai idea yang lebih baik untuk
menangani perkara seperti ini. Dia hanya mampu mengeluh sambil menekan nombor
telefon polis pada telefon bimbitnya.
Sepanjang
hidupnya, Nordin hanya mengeluh tentang perjalanan hidupnya yang tidak menentu,
cita-cita yang tidak terlaksana dan pekerjaannya yang menemui jalan buntu.
Nizam hanya mampu menasihatkannya supaya bersabar kerana kerja itulah yang
membayar bilnya dan memberinya makan. Bukanlah dia seorang pesimis, tetapi dia
percaya yang dia seorang realis tidak seperti Nordin. Mengambil risiko ada
hadnya. Dia teringat kata-kata Warren Buffet : Jika hendak mengukur kedalaman
sungai, jangan hulurkan kedua-dua belah kaki. Dan itulah yang selalu
dikatakannya kepada Nordin.
Ketika
melangkah keluar dari rumah itu menunggu polis datang, Nizam memerhatikan lagi
rumah kosong dan kotor itu dan membayangkan bagaimanakah rutin hidup Nordin
setiap hari sehingga Nizam mula memikirkan apakah maksud kehidupan pada mata
Nordin.
-N-