Sambungan Kuih!
Kuih!
MALAM itu selepas
habis berbuka dengan Kak Yati, Emi segera mengemas barang-barang yang digunakan
untuk berniaga di bazar ramadhan petang tadi. Dia jeling Kak Yati yang juga
sibuk menolongnya membersihkan bekas kuih yang digunakan tadi.
“Emi, pergilah
solat dulu. Biar akak yang kemas. Dah lambat ni.” Kak Yati senyum.
Emi pandang jam di
dinding dapur. Sudah hampir lapan malam. Dia segera ke bilik air membersihkan
diri. Selesai solat maghrib, Emi kembali semula ke dapur membantu Kak Yati yang
masih sibuk membasuh pinggan mangkuk.
“Err..kak dah
boleh solat tak?” Emi pandang Kak Yati yang leka membasuh pinggan.
“Kenapa?”
“Malam ni..Emi
ingat nak terawih tapi tak ada kawan la..” Emi jeling jam lagi. Sudah hampir
lapan setengah malam.
“Macam ni..akak
temankan Emi ke masjid. Lepas terawih nanti Emi baliklah ikut makcik yang
tinggal dekat rumah kita ni.” Kak Yati senyum lagi. Kesian melihat Emi tiada
teman untuk ke masjid.
Emi angguk tanda
setuju. Walaupun jarak masjid dari rumahnya hanya 300 meter saja namun dia
tidak berani berjalan seorang diri pada waktu malam begitu. Tambah lagi bila
memikirkan bermacam-macam kejadian yang tidak diingini berlaku sekarang ini.
Dia tahu makcik Nab yang tinggal sebelah rumah Shafiq yang selalu berjemaah di
masjid. Hatinya mula lega bila Kak Yati sudi menemaninya ke masjid.
“Terima kasih kak.
Nanti saya belanja akak ais krim abang yang jual depan masjid tu ek!” Emi cium
pipi Kak Yati yang sudah dianggap seperti kakak sendiri.
**************
EMI sudah siap
bertelekung. Dia membawa sekali sejadah dan lampu suluh kecil yang dimasukkan
dalam poket seluar sukan. Dia duduk di bangku di ruang laman sementara menunggu
Kak Yati bersiap. Sempat jeling jiran sebelah.
“Dah ke masjid
agaknya..gelap je..” Emi jenguk ke laman sebelah. Lampu di ruang tamu gelap
sementara lampu di depan laman terang benderang.
“Jom!”
Emi terkejut,
tiba-tiba Kak Yati sentuh bahunya.
“Akak ni! Terkejut
saya tau!” Emi mengurut dada.
“Tu la!
Terjenguk-jenguk rumah bujang tu kenapa? Rindu kat Shafiq ke?” Kak Yati sengih.
Emi muncung bila
diusik begitu. Dia segera berjalan beriringan dengan Kak Yati ke masjid. Dia
terpaksa melalui depan rumah Shafiq untuk ke masjid. Lampu di sekitar jalan
hanya satu saja yang bernyala. Keadaan jalan agak gelap. Nasib baik dia bawa
lampu suluh kecil.
“Kak..bila nak
tambah lampu jalan ni? Gelap macam ni..risau saya. Buatnya kena culik ke apa
ke..bukan sapa perasan pun dalam keadaan gelap macam ni!” Emi berjalan rapat
dengan Kak Yati. Dia lihat kiri kanan. Sebelah kiri sederet rumah setingkat dan
sebelah kanan pula hanya ada semak kecil yang berselang seli dengan pokok
bunga. Dekat dengan masjid pula baru ada taman permainan kanak-kanak.
“Entahlah Emi.
Jalan kat sini memang macam ni..sejak akak pindah rumah ni lagi! Tapi tak
pa..tengok ramai yang berjalan kaki ke masjid. Janganlah risau!” Kak Yati turut
menyuluh jalan dengan lampu suluh yang dibawanya.
“Err..kak..lepas
hantar Emi nanti, macam mana akak nak balik?” Emi teringat Kak Yati nanti akan
balik seorang diri selepas menghantarnya ke masjid.
“Jangan
bimbanglah! Sebaik saja Emi dah sampai depan pintu pagar masjid, akak
cepat-cepatlah balik. Masa tu kan masih ramai yang menuju ke masjid!” Kak Yati
penuh yakin berkata sambil melempar senyuman.
Mereka berdua
berjalan laju menuju ke masjid. Tiba di masjid, Kak Yati cepat-cepat berpatah
semula ke rumah bila melihat masih ramai yang mula berjalan ke masjid. Kalau
lambat nanti tentu sunyi jalan tadi.
“Eh! Kak Yati!
Tergesa-gesa nampak!”
Kak Yati berpaling
bila mendengar namanya dipanggil. Shafiq!
“Alamak! Aku kena
buat tak kenal ni! Kalau dia banyak tanya nanti, aku nak jawab apa! Takkan nak
cakap aku uzur..ish! ” Kak Yati laju melangkah membiarkan Shafiq dan Halim di
situ.
“Eh, kenapa dengan
kak Yati tu? Orang menghala ke masjid, dia pulak dari masjid menghala ke
rumah!” Shafiq memandang Kak Yati yang laju melangkah seolah-olah cuba mengelak
dari sesuatu.
Shafiq pandang
pula ke arah masjid. Emi sudah berada di tangga masjid sambil meletakkan
selipar merah jambu yang dipakai di tepi tangga.
“Oh..agaknya teman
budak sombong tu la tu…” Fikir Shafiq sendiri sambil senyum penuh makna.
Matanya melirik ke arah selipar merah jambu Emi.
********************
HABIS solat
terawih, Emi masih di dalam masjid. Dia tidak mahu berasak-asak bersama jemaah
lain berebut hendak keluar dari masjid. Sementara menunggu jemaah semakin
berkurang, dia periksa lampu suluh kecil. Mana tahu kalau-kalau tak menyala.
Tadi hanya lampu suluh Kak Yati yang digunakan masa meredah kegelapan di jalan
menghala ke masjid. Bila dirasakan jemaah sudah semakin kurang, dia mula bangun
dan mula keluar dari masjid.
“Eh! Mana pulak
selipar aku ni?” melilau Emi mencari selipar yang seingatnya diletakkan di tepi
tangga dekat dengan rak kasut sebelum masuk ke masjid tadi.
Dia terus mencari.
Terbongkok-bongkok Emi mencari selipar di bawah rak kasut dan di bahagian
tangga lain. Mana tahu seliparnya tercampak ke bahagian rak kasut lelaki pula.
Dalam keadaan jemaah yang ramai, tidak mustahil seliparnya tersepak ke tempat
lain.
“Ada orang hilang
selipar la!”
Emi yang
terbongkok-bongkok tadi mula menegakkan badan dan berpaling ke arah suara yang
menegurnya tadi. Shafiq??
Dia tidak hiraukan
kata-kata Shafiq sebaliknya dia teruskan mencari seliparnya yang masih tidak
jumpa.
“Boleh aku
tolong?” Shafiq menawarkan diri bila melihat Emi mula cemas.
“Tak payah! Kau
bukan tahu pun selipar aku macam mana!” Emi jeling Shafiq yang berbaju Melayu
hijau.
“Sombongnya!
Macamlah selipar kau tu mahal sangat!” Shafiq sengih sambil jeling Halim di
sebelahnya yang turut sengih.
“Eh! Suka hati aku
la! Mahal ke murah ke..selipar aku!” Emi masih mencari. Kali ini dia baru jumpa
sebelah seliparnya.
“Kau carilah!
Sampai esok pagi pun takkan jumpa!” Shafiq masih berdiri di tepi tangga sambil
memerhati Emi yang masih terbongkok-bongkok mencari.
Emi mula mendongak
ke arah Shafiq. Dirasakan kata-kata Shafiq tadi ada sesuatu yang tidak kena.
Dia perhati wajah Shafiq dan sesekali wajah Halim. Lagaknya seperti watak
Detective Conan yang sedang mencari jawapan dari wajah-wajah yang mencurigakan
itu. Teringat drama tv kegemarannya, Lie To Me. Emi masih merenung wajah-wajah
yang mula dirasakan ada sedikit keraguan di hatinya. Mana tahu dia dapat baca
riak wajah Shafiq dan Halim.
“Hmm..jadi kau la
yang sorokkan selipar aku ya?” Emi cuba meneka kata-kata Shafiq tadi.
Shafiq hanya
angkat bahu. Dia jeling Halim di sebelah yang turut terpinga-pinga.
Halim pula mula pandang
Shafiq dengan wajah curiga. Kalau benar Shafiq yang sorokkan selipar Emi, bila
masa pula Shafiq buat? Halim mula menggaru kepala. Kupiah atas kepala dibuka.
Emi pula pandang
Shafiq yang masih tersengih begitu. Sakit hatinya melihat Shafiq buat tidak tahu
saja pertanyaannya tadi. Dia jeling kakinya yang tersarung selipar yang
dijumpainya tadi. Hanya sebelah, sebelah lagi masih hilang! Sekali lagi dia
pandang Shafiq. Nyata wajah selamba Shafiq masih dalam keadaan sengih macam
kerang busuk!
“Hoi! Aku tanya!
Kau pekak ke? Sengih-sengih! Macamlah handsome sangat!” Emi tenung Shafiq lagi.
“Memang aku sangat
handsome! Sebab tu kau suka cakap dengan aku! Hahaha!!” Shafiq mula ketawa. Dia
sebenarnya suka melihat wajah Emi yang mula marah begitu. Merahnya sudah macam
merah bunga kertas!
“Fiq, tak baik tau
kau buat macam tu! Kesian dia. Mana kau sorok selipar dia?” Halim tepuk bahu
Shafiq.
“Mana aku tahu!
Aku saja je nyakat dia tadi!” Shafiq pandang Halim yang mula terpengaruh dengan
kata-kata nya sebentar tadi.
“Tu la..sapa suruh
baling senduk kat kita orang petang tadi! Sekarang selipar kau dah hilang!”
Shafiq masih ketawa.
Emi mengetap bibir
melihat Shafiq ketawa begitu. Dia genggam tangannya dengan kuat. Lampu suluh
dikeluarkan dari dalam poket seluar sukannya. Kain telekung masih tersarung.
Dia pandang kiri kanan. Jemaah masjid sudah tidak ramai. Dia lihat pula jam
tangan. Sudah hampir sepuluh setengah malam.
“Macam mana
ni…orang dah tak ramai ni. Makcik Nab dah balik agaknya. Mana selipar aku ni?
Tadi aku letak kat anak tangga sana..” Emi merungut sendiri. Kalau tidak jumpa
juga dia terpaksa balik ke rumah dengan berkaki ayam.
“Memanglah anak
tangga! Takkan bapak atau mak tangga pulak cik Emi oi! Hahaha!” Shafiq sekali
lagi menyakat Emi. Dia jeling Emi yang tercari-cari seliparnya dari tadi.
“Aku bukan cakap
dengan kau lah!” Emi jeling Shafiq yang mencuri dengar rungutannya tadi.
Shafiq sengih
lagi. Halim mula rasa bersalah melihat Emi masih mencari selipar seorang diri.
Dia cuit lengan Shafiq supaya membantu Emi mencari seliparnya yang hilang.
“Ni hah! Aku dah
jumpa!” Shafiq senyum.
Emi cepat-cepat
berpaling. Dia lihat Shafiq senyum hingga ke telinga.
“Mana ?” Emi kerut
kening bila melihat Shafiq tersengih-sengih dari tadi.
“Aku dah bagi kat
abang long tadi!” Shafiq ketawa sambil menjeling Halim di sebelah.
Abang long
mana pulak ni! Eii!!! Emi renung
Shafiq dengan perasaan curiga. Dia pasti yang Shafiq sengaja sorokkan
seliparnya. Kalau tidak takkan tak sampai seminit, Shafiq dah boleh jumpa
seliparnya yang hilang.
“Abang long mana?”
Emi mula geram.
Shafiq senyum
sambil melirik ke arah Halim yang mula sengih. Dia biarkan Emi tertanya-tanya.
Halim senyum. Faham benar dengan kata-kata Shafiq. Dulu dia juga pernah
terkena.
“Apa
sengih-sengih? Tak payahlah tunjuk muka tak sudah kau tu!” Emi semakin geram.
“Sengih aku ada
makna tau tak! Hahaha!! Abang long tu dekat je..dia ada dekat-dekat sini je!
Kau nak ke tak nak selipar mahal kau tu? Kalau tak nak..kau baliklah kaki
ayam!” Shafiq mula ketawa.
Emi mula cekak
pinggang. Sakit hatinya sudah membuak. “ Naklah! Mana abang long tu? Mana??”
“Abang longkang!!!
Hahahah!!!” Shafiq ketawa berdekah-dekah dengan Halim. Sempat dia jeling muka
Emi yang semakin merah. Dari merah bunga kertas sudah jadi merah bunga ros!
Emi mula jenguk ke
dalam longkang. Seliparnya terapung dalam air longkang! Dia pandang semula
Shafiq yang masih ketawakannya. Eiii!!!!
“Hoi! Tak
kelakarlah!” Emi baling ranting kayu ke arah Shafiq. Shafiq cepat-cepat
mengelak.
“Kalau kau nak,
kau ambik lah sendiri! Nah! Guna ni..” Shafiq hulur semula ranting kayu yang
dilempar oleh Emi tadi.
Emi merenung
Shafiq yang nyata telah membuang seliparnya ke dalam longkang. Dia tarik
ranting kayu dari tangan Shafiq dan mula menguis seliparnya yang terapung dalam
air longkang. Dia cepat-cepat ambil dan mula beredar dari situ. Sebelum
beredar, sempat dia melempar satu lagi ranting kayu ke arah Shafiq.
****************
SHAFIQ masih
ketawa. Gelihati melihat Emi beria tanya siapa abang long! Dia jeling Halim di
sebelah yang juga turut ketawa melihat gelagat Emi yang menggelabah.
Dia turut
melangkah meninggalkan masjid bersama Halim. Mereka berdua seronok bercerita
tentang jiran sebelah kanan mereka. Sesekali Shafiq betulkan kupiah bila
kupiahnya mula melurut jatuh.
“Weh! Seronok kau
kenakan si Emi tu! Hahaha!” Halim sengih sambil menyuluh jalan yang gelap
menuju ke rumah mereka.
“Hahaha!! Aku suka
nyakat minah sombong tu!” Shafiq masih ketawa.
“Aduh!!” Shafiq
pegang dahinya yang terasa sakit. Dia pandang kiri kanan. Dirasakan ada orang
lempar sesuatu terkena dahinya tadi.
“Kenapa Fiq?”
Shafiq pandang
bawah. Ada segumpal kertas berisi batu kecil berada di hujung kakinya. Dia
cepat-cepat ambil. Kertas itu dibuka perlahan. Ada sesuatu yang tertulis di
situ.
Sebagai
balasan, nah ambik batu ni! Kirim salam kat abang long kau tu!
Shafiq segera
pandang ke arah datangnya segumpal kertas yang tiba-tiba melayang terkena
dahinya. Dia hanya nampak kelibat seseorang tengah berlari laju ke arah rumah
sederet di depan.
“Nanti kau Emi!”
Shafiq sudah dapat agak.
******************
TIBA di rumah, Emi
segera masuk ke rumah. Termengah-mengah dia menahan nafas. Nak lari dari Shafiq
punya fasal, lampu suluhnya terjatuh entah ke mana dalam perjalanan tadi. Dia
lihat Kak Yati tengah seronok menonton tv.
“Eh! Emi! Dah
balik?” Kak Yati berpaling.
Emi senyum. Dia
masih tercungap-cungap.
“Kenapa
tercungap-cungap ni?” Kak Yati hulur segelas air sirap kepada Emi.
Emi duduk di sofa
sebelah Kak Yati sambil meneguk air sirap. Bila dirasakan sudah reda, dia mula
senyum dan terus ketawa. Kak Yati pula terpinga-pinga melihat Emi yang
tiba-tiba seperti orang gila. Ketawa sorang-sorang!
“Padan muka!”
“Apa yang Emi
merepek ni? Siapa yang padan muka? Emi ni..ketawa macam orang putus fius ni
kenapa?” Bertubi-tubi soalan Kak Yati.
“Saya puas kak!
Shafiq sorokkan selipar saya tadi. Saya balas balik la!” Emi ketawa lagi.
Terasa puas!
“Emi..Emi..apa
yang Emi balas?” Kak Yati pandang Emi yang tak habis-habis bergaduh dengan
jiran sebelah.
“Saya lontar
segumpal kertas berisi batu kecil kepada Shafiq!” Emi tersenyum puas. Selepas
beredar dari masjid tadi, dia menyorok di sebalik pokok kelapa di tepi jalan
yang berhampiran dengan rumah hujung sambil menulis sesuatu atas kertas nota
yang sentiasa dibawa untuk catatan tazkirah tadi. Bila saja ternampak Shafiq
lalu di situ, dia segera baling.
“Tak baik Emi buat
macam tu tau! Ni kan bulan puasa! Kalau kena mata macam mana? Esok akak nak Emi
minta maaf dengan Shafiq!” Kak Yati mula berleter.
Emi akur. Dia mula
rasa bersalah. Memang benar kata Kak Yati. Tidak sepatutnya dia melempar batu
ke arah Shafiq tadi. Dia mula berkira untuk meminta maaf esok.
********************
PAGI-PAGI lagi Emi
bangun. Kali ini dia ingin jumpa Shafiq dan minta maaf. Dia mula keluar ke
laman depan. Terjenguk-jenguk rumah sebelah kirinya. Hmm..senyap. Emi betulkan
tali kasut sukan. Dia lihat jam. Sudah tujuh pagi walaupun hari masih gelap.
Hari itu hari minggu. Pagi itu dia bercadang untuk pergi joging. Pukul sebelas
nanti dia akan mula membuat kuih untuk dijual di bazar ramadhan petang nanti.
“Hmm..tidur lagi
agaknya..” Emi jenguk lagi sebelum menutup pintu pagar dan mula berlari
perlahan mengelilingi kawasan taman.
Sudah satu
pusingan Emi berlari. Dia mula merasa penat. Sempat dia berehat di taman
permainan kanak-kanak. Suasana nyaman dan udara segar di pagi hari cukup
menyihatkan. Habis berehat, dia menyambung semula berlari ke arah rumahnya.
“Alamak! Shafiq !”
Emi jenguk ke laman rumah Shafiq. Keningnya berkerut bila melihat dahi dekat
dengan kening sebelah kanan Shafiq berbalut dengan kesan merah.
Perasaan bersalah
semakin terasa. Dia melangkah perlahan ke arah pintu pagar rumahnya. Dengan
langkah longlai, Emi buka pintu pagar dan mula duduk atas bangku di tepi rak
kasut. Dia termenung seketika. Sesekali dia jeling ke arah Shafiq. Kelihatan
Shafiq sedang berehat di kerusi depan pokok bunga kertas. Mukanya berkerut
menahan sakit.
“Err..sa..sakit
ke?” Emi beranikan diri bertanya.
“Mestilah! Tak
nampak ni! Darah pekat meleleh kat dahi aku ni!” Shafiq tunjuk dengan jari.
Emi diam. Dia
seolah dapat merasakan kesakitan akibat terkena batu kecil malam tadi. Dia
mendekati pagar yang memisahkan rumahnya dengan rumah Shafiq. Dia pandang lagi
Shafiq, tidak berkelip. Terasa dia sudah buat kesalahan besar.
“Err..aku minta
maaf..tak sangka sampai macam tu sekali..aku ingat tak ada apa-apa..” Emi
renung muka Shafiq yang masih berkerut menahan sakit.
“Emm..ok! Apology
accepted! Tapi aku nak kuih free!” Shafiq pandang Emi yang mula
suram.
“Boleh! Boleh! Kau
nak kuih apa?” Emi mula terasa bersemangat semula bila Shafiq sudi
memaafkannya.
“Hmm..aku nak kaki
gangster, minah seksi dan si cute berinti gula..” Shafiq sengih. Sesekali dia
pegang dahi yang berbalut dengan muka berkerut.
Shafiq mula masuk
ke rumah sambil tersenyum. Emi pula hanya pandang Shafiq dengan rasa bersalah.
Kasihan melihat Shafiq luka berdarah begitu. Kalaulah dia boleh tolong ubatkan
luka di dahi Shafiq.
Emi pandang dengan
penuh sayu. Dia mula buka kasut dan diletak di atas rak. Dia capai pula kasut
sukan jenama Nike pemberian ayahnya dulu. Masih cantik. Sudah lama dia tidak
memakai kasut itu. Segera disarungkan ke kaki. Tiba-tiba terasa seperti ada
benda lembik dan melekit. Cepat-cepat dia keluarkan kakinya dari kasut itu.
Semerbak bau busuk menusuk hidung!
“Apa benda ni?”
Emi cuba intai dalam kasut.
“Eiii!!! Macam
mana tahi lembu ada dalam kasut aku ni???” Emi mula menyinga. Kasut
kesayangannya sudah berbau dengan tahi lembu.
“Aaaaarrgggghhh!!!”
***********
SHAFIQ ketawa
mengekek bila mendengar Emi menjerit begitu. Dia masih terhendap-hendap di
sebalik langsir di ruang tamu. Perlahan dia pulas tombol pintu dan mula
mengintai dari celah pagar di sebelah rumah. Terbongkok-bongkok dia mengendap
Emi. Jelas wajah Emi sudah merah menyala! Kali ini sudah merah macam buah naga!
Hahaha!!!
“Fiq! Apa yang kau
mengekek sorang –sorang tu? Eh! Malam tadi elok je dahi kau?” Tiba-tiba Halim
muncul di depan pintu.
Shafiq masih
ketawa. Dia berpaling ke arah Halim yang sudah tercegat di muka pintu rumah.
Dia mula bergerak ke arah Halim dengan terbongkok-bongkok, bimbang Emi akan
nampak dia menyorok di sebalik pagar tadi.
“Shh! Aku
yang letak tahi lembu dalam kasut dia!” Shafiq pandang Halim yang
terpinga-pinga.
Shafiq mula
mencabut pembalut dan membasuh pewarna merah yang melekat di dahi. Dia terus
ketawa. Lakonannya berjaya membuat Emi rasa bersalah tadi. Hahahaha!!