MELUR senyum
melihat ibu bersungguh meniup bara pada ranting kayu yang dijadikan kayu api.
Sesekali dia ketawa mengekek bila melihat muka ibu sudah penuh dengan debu dari
kayu api yang terbang bila ditiup. Selesai membasuh beras pulut, dia segera ke
belakang dapur menolong ibu membakar lemang.
Selesai meletakkan
daun pisang dalam buluh, Melur masukkan pula beras pulut dan sedikit santan.
Memang setiap kali menjelang hari raya, seminggu sebelum itu mereka sudah mula
menerima tempahan dari jiran yang suka lemang yang ibu buat.
Melur segera
mengambil kipas tangan dan mengipas kayu api yang mula padam. Sesekali mereka
ketawa bila wajah masing-masing hitam dek abu dari bara kayu api yang mula
terbang.
“Bonda
rehatlah..biar Melur yang buat semua ni..”
Melur terharu
melihat kesungguhan ibu menyiapkan lemang yang ditempah. Tahun ini, tempahan
yang diterima lebih dari tahun lepas. Pagi tadi, pagi-pagi lagi ayah sudah ke
hutan mencari buluh untuk buat lemang. Kadang-kadang rasa kasihan melihat ibu
dan ayah memerah keringat semata-mata untuk mencari rezeki halal dan menyara
mereka sekeluarga.
Sejak dulu, ayah
memang kuat bekerja. Orang kampung macam ayah, hanya kerja-kerja kampung saja
yang mampu dia lakukan. Sekolah pun hanya setakat tingkatan lima. Sejak mendirikan
rumah tangga dengan ibu, ayah begitu rajin mencari rezeki. Bermacam-macam kerja
dia lakukan. Bila kami lahir, ayah semakin sibuk mencari rezeki. Dari seorang
nelayan biasa, ayah melangkah setapak lagi menjadi seorang peniaga cendol.
Modal yang diberi oleh pihak pengurusan zakat negeri, ayah gunakan sebagai
modal untuk memulakan perniagaan. Bermula dari situ, perniagaan cendol ayah
mendapat sambutan walaupun hanya kecil-kecilan. Ibu pula membuat nasi lemak dan
lemang bila ramadhan menjelang setiap tahun. Kasih ayah pada ibu sungguh murni,
tidak berbelah bagi. Walaupun sibuk, ayah tetap menolong ibu dalam apa jua
keadaan. Pernah ayah bangun pukul tiga pagi semata-mata ingin membantu ibu
menyediakan nasi lemak dan kuih untuk dihantar di kedai-kedai makan sekitar
kawasan rumah mereka.
Bila ibu demam,
ayah setia menanti di tepi katil ibu yang terlantar di situ. Malah ayah
melarang kami dari membantu ibu menyediakan bubur nasi. Ayah akan membuat
sendiri untuk ibu. Melur menyeka air mata melihat kasihnya ayah terhadap ibu.
Pernah terlintas di hatinya suatu hari nanti, dia akan bertemu dengan lelaki
yang mempunyai sikap seperti ayah.
Bila bulan
ramadhan tiba, ayah akan bangun sepertiga malam untuk tahajud bersama ibu.
Melur dan kembarnya, Mawar pula kadang-kadang ikut sama. Maklumlah masih muda
remaja, baru tujuh belas tahun. Usia begitu, memang masa untuk berseronok.
Itulah yang selalu difikir oleh Melur dulu. Dia dan Mawar selalu bergaduh bila
disuruh membuat kerja rumah. Ibu dan ayah tidak pernah marah malah mereka
menasihati dengan berhemah.
“Melur..Mawar..hanya
satu pinta ayah..ayah tak minta kamu berdua membuat kerja rumah dengan
terpaksa. Jika rasa terpaksa, tak usahlah buat kerana terpaksa itu tiada nilai
di sisi Allah jika tidak dengan hati yang ikhlas.”
Melur senyum lagi.
Selepas itu dia dan Mawar malu sendiri. Bukan mereka tidak tahu tapi sengaja
buat tidak tahu. Bermula saat itu, Melur dan Mawar tidak lagi bergaduh. Mereka
mula melakukan kerja rumah dengan rela hati, berbakti pada kedua orang tua.
“Kak..Mawar tengok
bonda dan ayah macam loving couple! Kalaulah Mawar dapat suami macam
ayah..kan best!” Mawar senyum sambil melihat ayah dan ibu sama-sama
meniup kayu api untuk membakar lemang sambil bergurau.
“Ha’a ..akak pun
suka tengok. Ingatkan akak je yang idamkan suami seperti ayah..hihihi..”
Melur senyum
sambil menjeling ke arah Mawar yang muda hanya tiga minit darinya.
Melur dan Mawar
sama-sama menyambung kerja memasukkan daun pisang dan beras pulut ke dalam
batang buluh. Sesekali mereka ketawa melihat gelagat ibu yang mencubit paha
ayah yang menyapu arang ke muka ibu.
MALAM itu mereka
berbuka sama-sama. Ibu sempat masak lauk ayam kampung goreng berempah dan sayur
pucuk ubi yang dipetik di belakang rumah. Sedikit sambal belacan bersama ulam
raja. Mereka menikmati juadah berbuka dengan penuh selera dan sama-sama ke
masjid menunaikan solat terawih.
Melur senyum lagi
bila melihat ayah setia berada di sebelah ibu dalam perjalanan ke masjid yang
hanya beberapa meter saja jaraknya dari rumah. Melur dan Mawar turut
berpegangan tangan sambil berjalan di belakang ibu dan ayah.
Pulang dari
terawih, ayah akan mengira duit hasil jualan untuk hari itu dan disimpan di
dalam peti kayu empat segi yang diletak dalam almari bilik. Tidak mahu disimpan
di bank katanya. Menurut ayah lebih senang untuk membeli ubat untuk ibu
sekiranya ibu demam lagi. Ayah juga menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah.
Itu yang ayah mampu. Bukan tidak terniat untuk mengerjakan haji namun jika
dilihat hasil jualan memang tidak akan pernah cukup. Namun semua itu tidak
pernah mematahkan semangat ayah untuk terus berusaha mencari rezeki. Ayah ingin
menunaikan keinginan ibu yang begitu ingin melihat bumi suci. Siang malam ayah
mencari rezeki.
Masih terngiang
kata-kata ayah…
“Wahai
anak-anakku…tanamlah dalam hati untuk melihat kebesaran Allah di bumi suci.
Jika tidak mampu ke sana, cukuplah dengan amalan seusai solat subuh, bacalah
Quran sehingga masuknya waktu dhuha, maka tunaikanlah solat dhuha semoga
dimurahkan rezeki ..insyaAllah..dengan amalan itu juga sebenarnya kita mendapat
pahala satu umrah sempurna..ingatlah wahai anak-anakku.”
Melur hanya tunduk
sambil menyeka air mata mendengar tazkirah ringkas dari ayah tercinta setiap
kali lepas solat. Dia pandang Mawar di sebelah yang manis dalam telekung putih.
Dipandang ibu yang sentiasa mengukir senyuman kepada ayah. Betapa bahagia
melihat ayah dan ibu.
MALAM itu, balik
dari masjid, ayah akan tolong ibu menyiapkan tempahan. Seperti biasa ayah dan
ibu akan bergurau senda. Mawar dan Melur juga turut tersenyum melihat gelagat
kedua orang tua mereka.
“Bonda..mengapa
nama kami seperti nama bunga..Melur dan Mawar?” Melur tiba-tiba teringat nama
unik mereka pada zaman moden ini. Mawar turut mengangguk, ingin juga dia tahu
kisah di sebalik nama unik itu.
“Melur..Mawar..nama
itu ayah bagi sempena nama ibu kamu yang juga nama bunga..Kenanga..semuanya
wangi. Ayah harap anak-anak ayah juga dapat menjadi anak solehah, biar wangi
diri tatkala dijemputNya nanti!” Ayah senyum sambil melihat ibu yang tersipu
malu.
Melur dan Mawar
angguk sambil mengukir senyuman di bibir. Kini baru mereka faham mengapa.
Mereka ketawa dan bergelak ketawa. Ayah paling gembira malam itu menyakat ibu
yang sudah kemerahan di sebalik putih wajahnya yang tenang.
“InsyaAllah..esok
kita sambung lagi…nanti kita tahajud sekali. Lepas tu kita solat sunat
Aidilfitri sama-sama esok pagi di masjid ya.” Ayah senyum. Dia mula mengemas
bila semua lemang dan kuih siap dibungkus.
Melur hanya
memerhati ayah masuk ke bilik. Ibu pula bila siap berkemas mula mengikut ayah
ke kamar.
“Sungguh bahagia
akak tengok ayah dan bonda..” Melur pandang Mawar sambil senyum.
PAGI itu, Melur
tidak sempat bertahajud bersama ayah dan ibu. Mereka tidak sedar jam sudah
hampir waktu subuh. Sayup Melur dengar suara ayah melaungkan takbir raya
bersama ibu. Dia cepat-cepat ke bilik air. Sempat dia kejutkan Mawar yang masih
berselimut.
“Mawar! Bangunlah!
Dah subuh la..nanti ayah marah!” Melur geleng melihat Mawar yang masih lena
atas katil.
Mawar genyeh mata.
Dia lihat sekitar bilik.
“Kak..kita kat
mana ni?”
Melur mula pelik
dengan pertanyaan Mawar yang masih termangu-mangu begitu. Mamai agaknya.
“Kat bilik kita
la..kenapa?” Melur tarik selimut Mawar.
“Bilik kita?
Err..tapi tadi Mawar rasa Mawar berada kat satu tempat lapang dan wangi. Ayah
dan bonda pun ada sekali.”Mawar terpinga-pinga sambil memandang sekitar bilik.
“Mawar mimpi tu!
Dahlah! Bangun cepat, kita jemaah sekali dengan ayah dan bonda. Mereka dah lama
kat bilik solat tu!” Melur tarik tangan Mawar.
DALAM bilik air,
Mawar masih bingung dengan apa dia alami. Dia sendiri berada di kawasan lapang
dan penuh dengan bunga wangi yang ditanam ibu dan ayah. Masih terbayang, ayah
dan ibu sungguh bahagia di situ sambil bergurau senda.
“Mawar! Cepatlah!”
Mawar cepat-cepat
mandi dan mengambil wuduk bila mendengar Melur sudah menjerit begitu.
“Kau ni! Tengok,
dah pukul enam suku dah! Mesti ayah marah kat kita!” Melur mula tarik tangan
Mawar ke bilik solat. Mereka sudah siap bertelekung. Mawar mula muncung.
DI BILIK solat,
Melur kuak pintu yang sedikit terbuka. Mawar turut menolak daun pintu. Wajah
mereka pucat. Sejak kecil ayah begitu tegas bila menyentuh soal solat yang
sengaja dilengah-lengahkan. Tapi kali ini mereka tidak sengaja. Mereka berdua
tidak sedar. Mungkin kerana terlalu letih menyiapkan lemang dan kuih.
“Kak…ayah marah
ke?” Mawar pandang Melur bila melihat kedua orang tua mereka masih diam.
Melur pandang ayah
dan ibu yang masih di tikar sejadah. Namun ada sesuatu yang menyentap tangkai
hatinya. Dia pandang Mawar. Mawar juga turut memandangnya dengan wajah pucat.
Kepala ibu tersandar di bahu ayah. Ayah pula masih duduk bersimpuh seperti
dalam keadaan tahiyat akhir solat. Kepala ayah tunduk.
Perlahan mereka
menghampiri. Sejadah dihampar di sebelah ibu. Melur pegang tangan ibu. Mawar
pula pegang bahu ibu. Sebaik disentuh, ibu jatuh ke riba ayah. Melur lihat pula
ayah yang masih tunduk. Mata ayah pejam rapat sambil senyum.
“Ayah! Bonda!”
Melur gerak-gerakkan tubuh kedua orang tuanya.
“Kak..kenapa ayah
dan bonda kak…” Mawar mula menangis.
Melur terduduk di
sisi ayah dan ibu. Dia kemudian peluk Mawar yang menangis teresak-esak.
“Mawar…Allah lebih
sayangkan ayah dan bonda..mereka telah dijemput Ilahi dik…”
Mawar dan Melur
masih berpelukan. Kedua orang tua mereka telah kembali kepada Allah di pagi
raya. Kedua ayah dan ibu dibaringkan atas sejadah. Mawar dan Melur mula
menunaikan solat subuh sebelum memanggil imam masjid.
MELUR pandang
lemang dan kuih. Sayu hatinya mengenangkan pemergian ayah dan ibu yang pergi
dengan tiba-tiba. Namun dia senyum bila mengenangkan ayah dan ibu pergi dengan
tenang. Ada senyuman di bibir. Bau wangi menusuk ke hidung dari dalam bilik
solat sehingga ke liang lahad. Semoga roh mereka berdua dicucuri rahmatNya.