Matahari terik
memancar tembus ke celah-celah pokok-pokok. Suara burung berkicau jelas
kedengaran. Sekawan burung riang berterbangan dan hinggap di dahan pokok yang
lebat berbuah di hujung dahan.
“Hamba sungguh
tenang melihat burung mematuk buah di atas dahan sana..” Daeng Kenut mendongak
melihat burung asyik mematuk buah di atas pokok.
“Benar bagai
dikata wahai tuan hamba. Penat meredah hutan bagai sudah tidak dirasa” Daeng
Kesut turut mendongak.
Bila merasa penat
sudah semakin reda, lalu mereka berdua pun segera menyambung kembali meredah
hutan belantara. Tombak dan keris turut dibawa bersama. Sesekali Daeng Kesut
betulkan tengkolok lusuh yang sudah semakin senget melurut. Semak samun di kiri
kanan ditebas dengan keris. Peluh keringat di dahi dikesat dengan hujung baju
Melayu yang disingsing hingga ke pangkal siku.
Setiba di hujung
hutan, masih belum tampak kelibat ayam hutan berbulu pelangi sebagaimana yang
diidamkan oleh permaisuri Sultan.
“Hamba rasa elok
kiranya kita berehat barang sekejap di sini wahai Daeng Kesut.” Daeng Kenut
mula melabuhkan punggung di tebing sungai.
Daeng Kesut hanya
menurut langkah Daeng Kenut yang kelihatan sudah tidak bermaya. Sudah sepagi
mereka meredah hutan mencari ayam hutan berbulu pelangi seperti yang dititahkan
Sultan. Sudah banyak ayam hutan dijumpai namun masih belum ada tanda-tanda ayam
hutan berbulu pelangi muncul di depan mata.
“Tuan hamba rasa
ayam hutan berbulu pelangi itu masih wujudkah di hutan sebegini?” Daeng Kesut
pandang Daeng Kenut yang mula membasahkan badan dengan air sungai yang mengalir
perlahan.
“Hamba pun tidak
berapa pasti wahai Daeng Kesut. Pada firasat hamba, ayam hutan berbulu pelangi
memang payah ditemu. Err..apakah tuan hamba tahu warna pelangi itu bagaimana?”
Daeng Kesut mula
menggaru kepala. Dia sendiri tidak tahu bagaimana rupa warna pelangi.
Terkial-kial dia mencari jawapan. Sesekali dia memandang Daeng Kenut yang
kelihatan serius merenungnya. Permintaan permaisuri Sultan dirasakan begitu
pelik. Dia merenung air sungai yang mengalir perlahan menuju ke muara hilir.
Sesekali air sungai berkocak bila menghempas batu dengan kuat di hujung sungai.
“Apa yang tuan
hamba sedang fikir?” Daeng Kenut mula pandang Daeng Kesut yang masih menggaru
kepala dari tadi.
“Hamba masih
memikirkan permintaan permaisuri yang hamba rasa memang tidak munasabah. Seumur
hidup hamba, tidak pernah hamba lihat warna pelangi. Hamba hanya tahu warna
biasa-biasa sahaja. Pada hemah hamba, permaisuri Sultan mungkin sudah tidak
siuman. ” Tutur Daeng Kesut penuh yakin.
Daeng Kenut
angguk-angguk tanda setuju. Dia juga sebenarnya merasa begitu sejak dipanggil
mengadap Sultan di istana kelmarin.
“Sungguh benar
kata-kata tuan hamba. Hamba juga merasa tidak munasabah. Ayam hutan berbulu
pelangi tidak pernah hamba jumpa seumur hidup hamba. Warna pelangi juga hamba
tidak pernah lihat! Apakah warna pelangi benar-benar wujud atau hanya khayalan
permaisuri sultan semata? Memang benar. Permaisuri Sultan sudah tidak siuman!”
Daeng Kesut dan
Daeng Kenut meneruskan memburu ayam hutan berbulu pelangi. Mereka meredah lagi
hutan belantara sambil mencari kelibat ayam hutan berbulu pelangi. Matahari
masih terik memancar yang menembus ke celah-celah ranting pokok yang tinggi.
Daeng Kesut dan Daeng Kenut mula berlari untuk berteduh di bawah pokok yang
rimbun bila hujan renyai mula turun.
“Wah! Cantiknya!”
Daeng Kenut pandang ke arah langit.
Daeng Kesut turut
mendongak ke langit bila melihat Daeng Kenut mendongak begitu.
“Sungguh cantik!
Warna apakah itu wahai Daeng Kenut?”
“Hamba juga tidak
pasti wahai Daeng Kesut! Tetapi warnanya sungguh cantik! Inilah pertama kali
hamba melihat warna pelik sebegini!” Daeng Kenut masih melihat warna pelangi
yang terbentuk akibat biasan cahaya matahari yang masih memancar terik dalam
hujan renyai begitu.
“Benar sungguh
bagai dikata! Sungguh cantik walaupun warnanya sungguh pelik!”
Mereka meneruskan
lagi perjalanan memburu ayam hutan berwarna pelangi bila hujan sudah mula reda.
“Nampaknya hari
pun sudah semakin senja. Hamba rasa elok kita bermalam di sini sahaja. Biarlah
pemburuan itu kita teruskan sahaja sebaik matahari menjenguk esok.” Daeng Kesut
pandang langit yang sudah mula kelihatan berbalam-balam menandakan hari sudah
semakin merangkak senja.
Maka, bermalamlah
keduanya di tepi sungai. Unggun api dibuat di celah batu untuk menghalau nyamuk
dan unggas yang hinggap menyengat.
“Hamba hairan
sungguh! Jika benar bagai dikata, mengapa masih belum ketemu ayam hutan berbulu
pelangi di hutan ini? Masih ingatkan tuan hamba akan pesan sultan pada memanda
menteri?” Daeng Kenut masih berkerut kening memikirkan segala kehendak
permaisuri Sultan.
“Ya! Hamba masih
ingat! Sultan telah memerintah memanda menteri mencari ayam hutan berbulu
pelangi di hutan belantara ini. Disuruh pula kita berdua meredah hutan ini demi
memenuhi kehendak permaisuri sultan. Tidakkah memanda menteri tahu, kita
hanyalah orang biasa-biasa sahaja?” Daeng Kesut turut berfikir sambil
menggosok-gosok dagu. Keris dan tombak diletak di tepi. Jika musuh datang
menyerang, senjata sudah tersedia menyodok.
Daeng Kenut juga
mengangguk. “Ya! Benar kata-kata tuan hamba! Kita bukan hulubalang yang gagah,
bukan juga pemburu yang berani! Hamba sungguh hairan!”
“Hmm…hamba juga
turut hairan. Apakah kelebihan kita hingga memanda menteri memberi kita tugas
ini?” Daeng Kesut menoleh Daeng Kenut.
“Itu yang hamba
tidak mengerti. Sepengetahuan hamba, hamba hanyalah seorang pengawal istana.
Tuan hamba pula bagaimana?” Daeng Kenut pandang pula Daeng Kesut.
“Hmm..jika tuan
hamba pengawal istana, maka hamba pula hanyalah penjaga taman bunga di istana!”
Daeng Kesut juga turut hairan.
Masing-masing diam
memikirkan titah memanda menteri. Keduanya tidak pernah memburu binatang di
hutan apatah lagi keluar berperang. Daeng Kesut hanya pandai membela dan
menjaga pokok-pokok bunga di taman istana. Daeng Kenut pula hanya pandai
tercegat di depan pintu besar istana. Sultan juga tidak pernah tahu kewujudan
mereka di istana.
“Apa..tuan hamba
pernah melihat ayam hutan berbulu pelangi?” Daeng Kenut pandang Daeng Kesut
yang berbaring di sebelah berbantalkan lengan kanan.
Daeng Kesut hanya
geleng. “Rupa ayam jantan hamba tahulah! Tuan hamba bagaimana pula?”
Daeng Kenut turut
menggeleng. “Hamba pula hanya tahu terpacak di depan pintu istana sahaja!”
Kini kedua-duanya
termangu-mangu memikirkan rupa ayam hutan berbulu pelangi. Hari sudah semakin
gelap. Sultan memerintahkan mereka berdua memburu ayam hutan berbulu pelangi di
hutan itu dan diberi tempoh hanya dua hari.
“Pelik sungguh
permaisuri Sultan mengidam. Isteri hamba tidak pernah mengidam benda yang
pelik-pelik begini.” Daeng Kesut teringat isteri yang ditinggal di hujung
kampung.
“Hmm…isteri hamba
pula hanya mengidam buah kelapa muda” Daeng Kenut turut merasa pelik dengan
kehendak permaisuri Sultan.
Daeng Kesut dan
Daeng Kenut mula memikirkan cara terbaik untuk memburu ayam hutan berbulu
pelangi. Malam itu mereka berdua mula mencari jalan bagaimana untuk memerangkap
ayam hutan berbulu pelangi.
“Hamba bingung
wahai Daeng Kenut, apa yang kita boleh buru dengan hanya sebilah keris dan
sebatang tombak! Ayam hutan pula lajunya begitu sukar dikejar. Hamba tidak
berpuas hati!” Tiba-tiba Daeng Kesut mula merungut.
“Huh! Hamba juga
begitu! Permintaan Sultan sudah keterlaluan rasanya. Elok jika kita batalkan
sahaja memburu ayam hutan berbulu pelangi itu!” Daeng Kenut mula merengus
sambil membelek keris pendek dan tombak kontot.
“Benar bagai
dikata wahai Daeng Kenut! Ayuh! Kita buru sahaja ayam hutan yang ada! “ Daeng
Kesut mula teringat ayam hutan berbulu hitam yang dijumpai banyak berkeliaran
di dalam hutan.
“Ayuh!”
Daeng Kesut dan
Daeng Kenut mula memburu ayam hutan di sekitar sungai. Berpeluh mereka mengejar
dan mengepung ayam hutan yang mula berkeliaran di situ.
“Liar juga ayam
hutan ini. Apa kata kita tunggu sahaja waktu malam?” Daeng Kenut mula semput
mengejar ayam hutan yang begitu laju berlari.
“Waktu malam? Biar
benar tuan hamba! Bukankah waktu malam tidak nampak?” Daeng Kesut menggaru-garu
kepala.
“Apa yang hamba
tahu, ayam akan bertenggek atas dahan pokok bila malam menjelma!” Daeng Kenut
senyum.
Daeng Kesut
angguk. “Jika benar, baiklah! Kita tunggu saja malam nanti!”
Mereka berdua mula
berehat di perdu pokok tualang di tebing sungai sambil menanti hari gelap.
Sebaik sahaja matahari mula terbenam, Daeng Kenut dan Daeng Kesut mula
memerhati di atas dahan pokok.
“Ha! Itu dia ayam
hutan bertenggek atas dahan sana!” Jerit Daeng Kesut sambil menuding ke arah
dahan pokok di sebelah kanan.
Maka bermulalah
mereka menangkap ayam hutan yang bertenggek di atas dahan pokok di tepi sungai.
Beberapa ekor ikan juga turut ditangkap menggunakan tombak. Daeng Kesut dan
Daeng Kenut mula memanggang ayam hutan dan ikan. Seharian mereka meredah hutan,
perut mula terasa kosong. Permintaan permaisuri sudah tidak dihiraukan lagi.
“Hmm..hamba rasa,
agaknya daging ayam hutan berbulu hitam ini sama sahaja rasanya dengan daging
ayam hutan berbulu pelangi. Kita bawa sahaja ayam hutan yang sudah siap
dipanggang. Tidakkah tuan hamba setuju?” Daeng Kenut mula beri cadangan.
“Hamba setuju
dengan cadangan tuan hamba. Jika kita bawa pulang ayam hutan yang masih hidup,
tentu kepala kita dipancung nanti! Di hutan belantara seperti ini, mana hendak
dicari ayam hutan berbulu pelangi?” Daeng Kesut senyum.
“Hamba rasa elok
kita makan sahaja ayam hutan ini. Seekor lagi kita tambat di pokok sana. Perut
hamba teringin benar menikmati daging ayam hutan ini. Jika tidak cukup, ikan di
sungai juga kita boleh tangkap. Apa pandangan tuan hamba?” Daeng Kenut mula
terliur dengan rasa enak ayam hutan.
“Hmm..bagus juga
cadangan tuan hamba itu. Hamba juga teruja menikmati keenakan daging ayam
hutan.” Daeng Kesut turut senyum.
Mereka berdua mula
senyum sambil meratah daging ayam hutan yang sudah siap dipanggang tadi bersama
beberapa ekor ikan.
“Eh! Apasal rasa
ayam hutan ni macam ayam golek pasar malam je??” Daeng Kesut tenung paha ayam
panggang di tangannya.
“Ha’a la!
Aku rasa macam ayam Kenny Rogers pun ada!” Daeng Kenut senyum.
*****************
“CUT!!! “
“Hoi! Mana skrip
korang ambik ni?! Aku tahu la ayam tu aku beli kat pasar malam tadi sebelum
datang shooting sini!”
Ayam panggang yang
berada di tangan Kamil hampir terjatuh bila disergah pengarah. Dia pandang
pengarah yang mula bercekak pinggang.
“Sorry
bos! Tak tahan la tengok ayam panggang ni! Err..boleh kita shoot
semula scene ratah ayam tadi?“ Kamal pula menyampuk.