Malam
semakin lewat tetapi Mahadi tetap dengan kerjanya. Dia sedang
mengulang kaji nota-nota kuliahnya untuk subjek Literary
Criticism yang
diambilnya untuk semester itu. Dr. Jalal bukanlah seorang pensyarah
biasa yang akan memudahkan pelajar-pelajarnya ketika menjawab soalan
peperiksaan. Pensyarah itu mempunyai falsafah bahawa dia lebih rela
pelajar tidak menyukainya daripada dia merendahkan kualiti pelajar
yang dihasilkannya. Walaupun begitu, Mahadi tetap menggemari cara Dr.
Jalal menjalankan kelasnya. Setiap kelas pensyarah itu akan padat
dengan perbincangan yang menyeluruh walaupun kadang-kala terlalu
banyak isu yang dibincangkan. Mahadi berpendapat, cara sedemikian
lebih memantapkan dirinya sebagai seorang pelajar di sebuah
universiti. Bukannya mencari jalan singkat untuk lulus sesuatu subjek
dengan mudah seperti yang dilakukan oleh sesetengah rakan-rakannya.
Jam
menunjukkan 2.30 pagi dan Mahadi berhenti sejenak untuk melegakan
urat-urat yang tegang. Dia baru saja menghabiskan Apology
for Poetry oleh
Philip Sidney dan ianya adalah satu bacaan yang agak berat.
Perdebatan yang mengatakan sajak dan puisi adalah membuang masa dan
merosakkan jiwa adalah topik yang dibincangkan Sidney di dalam
karyanya itu.
Mahadi
menggeliat sedikit sebelum mencapai gitar tongnya dan memetik
perlahan tali-temali gitar kesayangannya itu. Dia tidak memainkannya
kuat-kuat seperti biasa kerana hari sudah lewat malam dan sedang
beranjak ke siang hari. Dia berseorangan di dalam bilik yang di
kongsi bersama tiga orang rakannya. Rakan-rakannya yang lain keluar
untuk menonton perlawanan bola dan mereka tidak akan balik sehingga
pagi. Maklum sajalah, hujung-hujung minggu, memang itulah kebiasaan
mereka. Ada juga mereka mengajaknya keluar sekali, tetapi dia menolak
dengan baik. Mereka pun tidak bertanya lagi dan dia pun tidak kisah
tinggal seorang di dalam bilik.
“Nak
takut apa, kata anak lelaki...” getusnya perlahan sambil tertawa
kecil. Jari-jemarinya terus-terusan memetik tali gitar dan memainkan
beberapa lagu berunsurkan sentimental.
Tiba-tiba
saja angin yang kencang bertiup dari tingkapnya yang terbuka
membuatkan dia tersentak dan berhenti dari memainkan gitarnya itu.
Secara tiba-tiba juga, bulu tengkuknya berdiri dan dia mula rasa
tidak sedap hati. Beberapa ketika berlalu sebelum dia berasa normal
semula.
“Ah,
tak ada apa-apalah, angin saja... Aku je yang fikir macam-macam...”
katanya sendiri sekadar menyedapkan hati.
Baru
saja dia hendak memulakan kembali pembacaannya, dia mendengar ada
bunyi tapak kaki yang sedang melangkah perlahan-lahan dari arah
tingkapnya.
“Siapa
pula yang jalan malam-malam macam ni?” tanya sendiri dan bagaikan
menjawab soalannya, dia melihat ada seorang lelaki yang sedang
berjalan di tepi tingkapnya itu.
Rupa-rupanya
lelaki itu adalah Pak Hamid, seorang daripada pengawal keselamatan
yang bertugas pada malam itu.
“Hah,
ni kenapa tak tidur lagi ni, kan dah lewat malam?” tegur Pak Hamid
kepada Mahadi.
“Saya
sedang baca buku Pak Hamid, periksa pun tak lama lagi, tinggal
sebulan lebih je lagi...” balasnya jujur.
“Oh,
macam tu.. Baguslah kalau kau tidur lewat malam-malam macam ni untuk
belajar... Jangan jadi macam anak pakcik, tidur malam lewat bukan
belajar, sibuk buang masa dengan benda-benda tak berfaedah dengan
kawan-kawan dia tu..” balas Pak Hamid.
“Apa
nak dikata Pak Hamid, orang muda, memang macam tu, saya ni pun
mengenangkan yang saya ni bukannya orang senang, nak majukan diri dan
senangkan keluarga, kalau tak, agaknya saya pun dah menyeleweng..
Haha..”
Pak
Hamid tertawa sedikit mendengarkan kata-kata Mahadi sebelum terdiam
seketika. Malam yang sunyi merantai suasana yang hening. Tiada apa
yang terluah daripada Pak Hamid ataupun Mahadi. Tiba-tiba saja Mahadi
mendengar pintu depan bilik itu di buka dan dia dapat mendengar suara
rakan-rakannya.
“Kawan-kawan
kau baru balik ke? Macam mana mereka dapat masuk? Bukan pintu pagar
dah tutup ke? Ini tak lain, mereka dah hulur si Rashid tu roti canai
dua, tiga keping dengan teh tarik panas... Memang nak kena si Rashid
ni...” kata Pak Hamid.
“Maafkanlah
mereka Pak Hamid, hujung-hujung minggu macam ni, tengok bolah, budak
lelaki lah katakan...” balas Mahadi.
“Iyelah,
pakcik gerak dululah, nak bagi ingat si Rashid tu...” sahut Pak
Hamid lalu melangkah perlahan-lahan.
Mahadi
menjenguk keluar tingkap untuk melihat Pak Hamid berlalu pergi
apabila bahunya ditepuk seseorang.
“Hoi,
tengok apa malam-malam macam ni?” tanya Harun, rakan sebiliknya.
“Kau
ni, buat aku terkejut je, aku baru habis berborak dengan Pak Hamid
tadi.. Hah, kau orang semua balik awal malam ni, tak jadi pergi
tengok bola ke?” balas Mahadi.
“Tak,
kami tak pergi pun.. Kau kata kau baru berborak dengan Pak Hamid?
Biar betul kau ni...” balas Harun.
“Iyelah,
kenapa? Kau ingat aku main-main ke?” tanya Mahadi.
Harun
tidak menjawab serta-merta sebaliknya memanggil dua lagi rakan
sebiliknya itu. Amir dan Zulkifli segera datang menyahut panggilan
Harun. Mereka agak kehairanan apabila mendengarkan cerita Mahadi
daripada Harun yang mengatakan dia baru saja berborak dengan Pak
Hamid.
“Tak
mungkinlah Mahadi, tak mungkin yang datang tadi tu Pak Hamid...”
kata Amir sambil menggelengkan kepalanya.
“Apa
yang tak mungkinnya? Cuba jelaskan?” Mahadi bertanya dengan sedikit
rasa panas hati.
“Baiklah,
satu, kami tak pergi tengok bola pasal tadi Abang Rashid beritahu
yang Pak Hamid meninggal, dia kena langgar dengan kereta masa dia nak
melintas jalan dari warung yang dekat dengan pondok pengawal tu, dia
minta tolong kami carikan anak dia yang duduk tak jauh dari sini...
Dua, bilik kita ni tingkat enam, tepi tingkat kau mana ada tempat
untuk orang berjalan...” terang Zulkifli kepada Mahadi.
Mahadi
berasa seperti melayang-layang seketika sebelum dibantu oleh
rakan-rakannya. Kepalanya berpusing-pusing mengenangkan kejadian yang
baru saja berlaku kepadanya. Dia memang langsung tidak teringat yang
bilik itu berada di tingkat enam dan tingkap biliknya di mana dia
baru saja ‘berborak’ dengan Pak Hamid, memang tidak ada tempat
berjalan, tingkat enam kan!
Nasib
baiklah tidak ada apa-apa kejadian lain yang tidak diingini yang
berlaku. Namun, Mahadi sudah bertekad untuk tidak lagi tidur terlalu
lewat dan membuka tingkap biliknya pada malam-malam hari!
*
* *
“Hah,
itulah ceritanya... Amacam, seram tak?” tanya Yunus kepada
budakjunior itu
sebelum menghirup air Coke dari
cawan plastik.
Dia
adalah seorang senior di
universiti itu dan dia suka menakut-nakutkanjunior dengan
cerita-cerita seram yang di katakan benar-benar terjadi di kampus
itu. Malam itu, dia berkunjung ke sebuah bilik dan dia mendapati yang
hanya ada seorangjunior di
bilik itu. Apabila ditanya, jawapan yang diterima adalah belum ada
pelajar lain yang memasuki bilik itu. Yunus tidak kisah sangat malah
lebih suka dengan keadaan sunyi sebegitu, supaya timbul mood yang
lebih nyata.
“Seram
jugak, tapi...” dia tidak menghabiskan ayatnya kerana bunyi pintu
dibuka dan kedengaran suara rakan Yunus memanggilnya dari luar bilik
itu.
Yunus
bingkas bangun lalu bergerak menuju ke pintu sebelum ditarik rakannya
keluar dengan pantas. Dia hampir saja jatuh terjerumus tetapi sempat
ditahan oleh rakannya yang lain.
“Eh,
apa hal kau ni? Tarik aku macam tu sekali?” tanya Yunus dengan
garang.
“Kau
buat apa kat dalam tu? Kau dah gila ke?” tanya rakannya.
“Apasal
kau kata aku ni gila? Kan aku buat benda biasa yang kita buat
tiap-tiap kali ada junior baru...
kita kan suka cerita kat diorang cerita-cerita seram kat kampus ni..
kenapa aku dikata gila pulak?” sahutnya dengan nada marah.
“Kau
pusing, dan kau tengok sendiri...” balas rakannya sambil memeluk
tubuh.
Yunus
pun berpaling untuk menghadap ke arah pintu bilik di mana dia baru
saja menghabiskan masa setengah jam bercerita kepada
budak junior yang
nama pun dia lupa hendak bertanya. Alangkah terperanjatnya dia
apabila mendapati bahawa itu bukanlah bilik untuk para pelajar,
sebaliknya stor lama yang sudah berdebu dan penuh dengan sampah.
Setahunya stor itu memang ditutup dan para pelajar dilarang untuk
berada di kawasan yang berdekatan dengan stor itu kerana tidak
selamat.
Dia
dapat melihat daripada pintu yang terbuka itu, bayang-bayang hitam
seakan-akan susuk tubuh junior yang
baru saja melayan ceritanya. Dia juga dapat melihat cawan plastik
yang terisi air hitam yang berbau hanyir, dan dia menyedari air
itulah yang diminumnya sebentar tadi apabila dihulur oleh
budak junior itu.
Tekaknya terasa loya, perutnya mulai memulas, kepalanya pening
serta-merta dan kakinya terasa lembik dan tidak bermaya. Yunus pitam
dan tidak sedarkan diri sehingga dia terbangun tiga hari kemudian.
Menurut
cerita rakan-rakannya, mereka kehairanan apabila Yunus hilang secara
tiba-tiba lalu mereka memutuskan untuk mencarinya di kawasan sekitar.
Apabila tidak juga berjumpa dengannya, salah seorang rakannya
mencadangkan supaya mereka memeriksa kawasan stor lama itu, manalah
tahu, kalau-kalau Yunus ada di situ. Mereka berasa terperanjat
apabila melihat pintu stor sedikit terbuka kerana setahu mereka pintu
itu sentiasa berkunci. Tambah mengejutkan mereka apabila mendengar
suara Yunus berbual-bual dengan seseorang atau sesuatu lalu mereka
nekad menyelak sedikit pintu stor itu dan memanggil Yunus keluar.
Selebihnya, Yunus mengalaminya sendiri.
Semenjak
itu, Yunus dan rakan-rakannya tidak lagi berani menjalankan aktiviti
kesukaan mereka iaitu berkunjung ke bilik-bilik para junior untuk
menakut-nakutkan mereka dengan cerita-cerita seram di kampus itu.
Mereka takut kejadian yang menimpa Yunus, akan berlaku kepada salah
seorang dari mereka malah, siapa tahu, barangkali lebih dahsyat!