"Cantik.
Kecil molek."
Itu bicara hati
Redza, ditujukan pada gadis berambut ikal yang berdiri di sebelah. Sudahlah
cantik dan genit, berbau wangi pula.
Seperti pagi-pagi
yang biasa, lobi pejabat penuh dengan pekerja kolar biru, berdiri dengan mata
terbuka separuh (ada juga yang suku). Masing-masing bekerumun di hadapan lif
dengan wajah diserang rusuh. Mungkin rusuh berasal daripada perut yang lapar,
siapa tahu.
Pedulikan itu
semua. Yang penting Redza sekali lagi berdiri di sebelah gadis genit yang
semakin sering dilihat.
' Tingkat 14?'
Redza bertanya soalan yang jelas dia sendiri tahu jawapannya apa. Sengaja mahu
menunjukkan sifat budiman di dalam diri, Redza bantu gadis manis tekan butang
lif. Baru sahaja gadis genit mahu buka mulut, dia terpaksa bergerak lebih jauh
ke dalam bagi membenarkan seorang wanita separuh usia masuk.
Tiada pilihan
lain, Redza turut bertanya pada wanita tersebut, ' tingkat berapa kak?'
' Tujuh. Terima
kasih,' wanita tersebut senyum sambil membetulkan tali beg yang tersangkut di
bahu.
Lif yang penuh
tidak membenarkan Redza berbual dengan gadis genit. Bukan senang mengumpul
kekuatan untuk membuka mulut. Terasa
Seperti jantung
Redza tersengkang di kerongkong setiap kali ternampak gadis genit.
Redza cuba
berpaling ke belakang. Nampak si gadis genit tersepit di antara penumpang lif.
Tas tangan dipegang erat sambil gadis genit cuba sedaya upaya mengecilkan
badan. Kasihan.
Namun, Redza puas
kerana sebelum dia keluar daripada lif, gadis genit sempat tersenyum padanya.
Itulah peniup semangat.
Keesokan harinya,
Redza cuba untuk sampai pada waktu yang sama. Malangnya, keadaan lalu-lintas
yang tidak diduga membuatkan Redza terlewat sedikit. Hampa, hanya kelihatan
kelibat gadis genit masuk ke dalam lif.
Dan malam itu,
Redza tidur awal untuk mengelakkan tragedi berulang kembali.
Keesokan pagi,
Redza datang awal jam 7 pagi dia sudah berjuang di tengah-tengah kesesakan
lalulintas. Setelah untuk berapa lama, Redza sarapan pagi di tingkat bawah
bangunan untuk membuang masa. Biarlah baju melekat bau masakan, asalkan tidak
terlepas untuk bertembung dengan gadis genit.
Tepat jam 8.15
pagi, Redza sudah sedia menanti di lobi. Nasibnya baik kerana waktu itu juga
gadis genit tiba. Sebaik ternampak Redza, gadis genit tersenyum sedikit. Namun,
senyum itu jadi makin lebar bila Redza turut tersenyum.
' Pagi,' Redza
menyapa lembut.
' Pagi,' balas
gadis genit dengan kepala sedikit mendongak. Sebaik mendengar suara itu, Redza
membuat keputusan bahawa dia ingin disapa suara itu setiap pagi.
Seperti biasa,
akan ada sahaja yang menganggu kelancaran cerita mereka. Lif tiba dan
kedua-duanya kembali terpisah di celah-celah orang ramai. Kesal sungguh Redza
kerana tidak merebut peluang bertanya soalan pada gadis genit. Meronta-ronta rasanya
mahu tahu siapa nama gadis genit.
Sekali lagi, gadis
genit terpaksa ditinggalkan untuk ke tingkat paling tinggi bila Redza tiba di
aras sembilan. Kalau tidak kerana ego, mungkin Redza akan meneman gadis genit
sampai ke atas.
Setiap apa yang
dilakukan hari itu terasa tidak kena. Lidah Redza seperti hilang rasa malah
sepanjang mesyuarat pendek, tumpuannya hilang entah ke mana. Bingung memikirkan
gadis genit menyebabkan Redza lupa untuk makan tengahari. Jam 1.30 tengahari
baru Redza melangkah keluar pejabat.
Tiba di depan lif,
Redza memandang keluar tingkap. Itu sahaja aktiviti yang ada. Selain daripada
merehatkan mata yang asyik mengadap skrin, aktiviti itu tidak membawa makna
yang begitu signifikan.
Bila sahaja
terdengar bunyi 'ting', dengan tenang Redza berpaling menari lif yang terbuka.
Pastinya tiada apa yang menarik untuk dilihat kerana waktu sudah menginjak jam
2 petang. Jarang ada gadis-gadis comel yang ingin keluar makan tengahari waktu
ini. Yang ada pun pekerja-pekerja yang sudah layak dipanggil makcik atau
pakcik.
Mengenangkan
hujah-hujah berkenaan (yang semestinya tidak disokong penemuan sains), Redza
melangkah ke dalam ruang lif sambil memandang lantai. Yang menyambutnya adalah
sepasang kasut merah yang comel. Segar mata Redza, naik semangatnya.
' Hai,' suara
lembut menyapa Redza. Pantas sahaja Redza mengalih pandnagan ke wajah pemilik
suara itu. Gadis genit.
' Eh, awak!' lupa
langsung Redza pada perihal menjaga ego beliau mkerana terlalu seronok berjumpa
dengan gadis genit. Seorang lagi lelaki di dalam lif itu hanya memandang Redza
dengan pelik. Itu semua sudah tidak diendahkan.
Dan daripada
sapaan tiga huruf itu sahaja, mereka berkenalan. Gadis genit itu bernama Elena
dan seorang pembantu pengurus jualan. Suka membaca dan juga melancong (serupa
dengan Redza). Anak bongsu daripada empat beradik.
Sejam untuk makan
tengahari cepat benar berlalu. Leka benar mereka berdua berbual sambil makan
(di mana Redza dengan gaya seorang budiman, pilih dan bayarkan bagi pihak
Elena). Sekali dua, peraasan juga Redza pekerja di kafetaria itu memandang
beliau dengan pelik. Mungkin tidak menyangka akan ada gadis secomel Elena yang
sudi makan dengan dia.
Sesi hisap rokok
di tepi tangga dikorbankan demi Elena. Redza sanggup menggunakan masa yang ada
untuk menghantar Elena ke tingkat 14.
' Kelakarlah awak,
Redza. Saya selamat sahaja nanti,' ujar Elena dengan senyuman.
' Tak mengapa. Ini
kali pertama saya naik ke tingkat ini,' jawab Redza, pura-pura tenang sedangkan
tangan dia asyik memikirkan tentang rokok.
' Terima kasih.
Jumpa esok pagi,' Elena sekali lagi tersenyum manis.
' Baik. Saya
tunggu.'
'Yes!' jerit Redza
sebaik sahaja pintu lif tertutup.
Seawal jam 5.30
pagi Redza sudah tidak boleh melelapkan mata. Tidak sabar rasanya mahu berjumpa
dengan Elena. Banyak lagi yang ingin ditanyakan hari ini.
Redza mula
mundar-mandir di lobi pejabat pada jam 8.15 pagi. Sebenarnya, waktu pejabat
bermula jam 9 pagi cuma Redza tidak mahu melepaskan peluang bertemu Elena.
Lima minit berlalu
dan Elena masih lagi tidak sampai. Redza cuba menenangkan diri, mengulangi
alsan yang mungkin Elena terlewat sedikit. Suratkhabar yang terletak di meja
penyambut tetamu lobi dibelek. Sekali-sekala, mata Redza mencari kelibat Elena.
Kelibat itu tidak
tiba lima belas minit kemudian, hinggalah minit-minit terakhir bila Redza
terpaksa menuju ke pejabat sendiri. Dalam hati, pemuda berusia 28 tahun itu
sibuk memaki diri sendiri kerana tidak meminta nombor telefon Elena. Kononnya
mahu semuanya jadi misteri.
' Entah-entah dia
sengaja kenakan aku. Semalam dia hanya main-main. Entah-entah...' dan bila
sahaja sampai di depan pintu pejabat, sudah lebih sepuluh ayat yang dimulakan
dengan 'entah-entah' telah direka.
Sepanjang pagi
Redza gelisah. Jarum jam lambat benar menginjak ke jam 12.30 tengahari. Dia
sudah tidak peduli, perkara pertama yang ingin dilakukan adalah pergi ke
pejabat Elena. Redza mahu tahu apa yang terjadi.
Sebaik sahaja jam
12.30 tengahari, Redza separuh berlari ke pintu lif. Tapa banyak berfikir,
terus sahaja jarinya menekan butang paling atas untuk ke pejabat Elena.
' Sabar, sabar,'
pujuk Redza pada diri sendiri yang sebenarnya sudah tidak sabar. Sebaik sahaja
pintu lif terbuka, lelaki itu meluru keluar hingga hampir melanggar seorang
tukang cuci.
' Kak, maaf kak,'
Redza meminta maaf separa tidak ikhlas kerana mahu cepat.
Redza membelok ke
kiri untuk ke bahagian pejabat tetapi langkahnya jadi ragu-ragu. Ruang bangunan
itu malap, seolah-olah lampu kalimantang telah ditanggalkan. Namun,
mengenangkan Elena, langkah Redza laju semula.
Semakin jauh Redza
berjalan, semakin dia jadi bingung. Hanya ada dua buah pejabat yang tiada notis
'Untuk Disewa' di depan pintu. Kesudahannya, Redza terus berjalan menuju ke
sebuah pejabat yang merupakan bahagian pengurusan bangunan. Loceng di depan
pintu ditekan beberapa kali. Lelaki yang sedang duduk di meja berdepan dengan
pintu mengangkat muka dan memandang Redza dengan pelik.
' Encik, pejabat
pengurusan di bawah sebenarnya. Ini hanya stor,' lelaki itu berkata tanpa
ditanya.
' Bukan, saya
datang nak bertanya,' Redza bersuara dengan ragu-ragu.
' Ye?' lelaki di
meja mula bangun.
' Pejabat IT Sync
di tingkat ini kan? Tingkat 14?' Redza bertanya, mengharapkan dia tidak tersilap
bertanyakan nama syarikat.
' 14? Bangunan ini
tiada tingkat 14.'
' Eh, tapi ini
tingkat 14 kan,' Redza mula keliru.
' 13A. Pemilik
bangunan ini takut akan nombor empat. Kepercayaan kaum Cina.'
Tidak puas hati,
Redza melangkah keluar pejabat untuk melihat nombor yang dilekat pada plat di
dinding. 13A-5.
Baru sahaja Redza
mahu melangkah ke dalam pejabat pengurusan, seorang lagi lelaki melangkah
masuk.
' Jadi, tiada
pejabat ITSync di sini?' Redza mula berasa serba tidak kena. Kalau tiada
tingkat 14...
' Info Sys?'
lelaki yang baru masuk sebentar tadi menyampuk. rredza hanya mampu menggangguk.
Lelaki itu berpaling pada rakan di sebelah.
' Kau kena dengan
Elena rasanya. Dia tu entah roh sesat dari mana datang jadi hantu residen di
sini. Sudahlah, dia tak wujud,' lelaki itu bersuara dengan selamba. ' Ouh aku
lupa beritahu kau, Hamdan,' ditepuk pula bahu rakannya di sebelah.
' Tapi....' Redza
cuba bersuara.
' Kau pergi ke
lif. Tengok betul-betul ada atau tidak tingkat 14.'
Seperti orang
bodoh, Redza berpaling ke arah lif. Tiada ucapan maaf atau terima kasih.
Bingung.
Melangkah sahaja
ke dalam lif, Redza periksa deretan butang lif di kedua-dua panel. Memang tiada
tingkat 14.
Bulu tengkuk Redza
meremang. Serentak itu juga terasa seperti ada tangan memaut lengan. Bila
dipandang, tiada apa-apa.
' Maaf, Redza.
Saya cuma mahu berkawan. Saya sunyi,' bisik suara seorang perempuan tanpa
tubuh. Dari ekor mata, Redza dapat melihat sepasang kasut merah di lantai, kaki
tanpa tubuh.
Dan pandangan
Redza terus gelap.
June 24, 2012 at 10:35 PM
uhuhu..meremang bce yg last 2. Pape pn,besh.