rss

MASIHKAH kau ingat, kali pertama kita bersua-muka? Waktu itu kau dan aku berada di dalam kedai bunga. Aku sedang asyik memerhati kuntuman bunga-bunga segar untuk dihadiahkan pada adik perempuanku sempena hari jadinya sehinggalah jelas kedengaran di telinga soalan yang kau tanyakan pada gadis penjual bunga itu. Tentang bunga yang sesuai untuk diberikan pada orang tersayang. Aku perhatikan wajah kau yang padaku kacak seperti model. Rambut kau hitam pekat dipotong pendek. Kemeja hitam dan seluar slack rona serupa yang tersarung ditubuh kau cukup menyerlahkan gaya seorang lelaki maskulin.

Gadis penjual bunga itu memberikan beberapa cadangan. Mataku terbeliak apabila melihat kau membeli semua bunga yang gadis itu cadangkan. Ah, bertuahnya wanita yang menjadi kekasih hati kau! Aku juga yang sehingga kini masih belum menerima walau sekuntum bunga dari seorang jejaka.

Selang dua hari selepas itu, kita bersua lagi. Kali ini di restoran berhampiran dengan pejabatku. Kau datang bersama dua orang rakan lelaki. Entah mengapa hati ini berbunga ceria. Adakah kau juga bekerja berhampiran dengan pejabatku? Entah-entah kita bekerja dalam satu bangunan tetapi berlainan tingkat. Ah, perasan betul aku. Mungkin kau hanya singgah makan di sini. Dan... aku berharap dapat bertemu dengan kau lagi.

* * * * *

SIAPA sangka esok paginya kita bertemu sewaktu menunggu lif di tingkat bawah bangunan yang menempatkan pejabatku. Ternyata telahanku semalam tepat! Mengapa aku tidak pernah nampak kelibat kau sebelum ini? Apakah kau baru diterima bekerja di sini? Lif waktu itu agak sesak dengan orang ramai yang hendak menuju ke pejabat masing-masing. Kau berdiri betul-betul di belakangku. Debaran di dalam hati waktu itu usah diteka. Serasa bagai mahu tercabut jantungku. Lif berhenti di tingkat sembilan dan kau pun keluar. Tangan sasamu menyentuhku, ah, sebenarnya beg sandangku. Aku sudah dilambung kegembiraan yang amat. Bau haruman yang dikenakan di tubuhmu cukup menggetarkan sanubariku. Kini aku tahu kau bekerja di tingkat berapa. Harap-harap waktu pulang nanti, kita boleh berjumpa lagi namun hajatku tidak kesampaian sehingga kini, setiap kali waktu bekerja tamat, kita tidak pernah terserempak. Tidak mengapa, asalkan setiap pagi, kita boleh bertemu. Itu sudah memadai.

Esoknya, seboleh mungkin aku tiba awal ke pejabat. Seawal jam lapan walau waktu pejabat bermula pukul sembilan pagi, menanti kehadiran kau untuk naik lif bersama lagi. Aku sanggup menunggu walau sudah hampir lapan kali pintu lif itu terbuka dan tertutup. Wajahku berubah ria melihat langkah kakimu yang bergaya dengan kot dan beg bimbit. Pasti kau bertugas sebagai seorang eksekutif atau lebih tinggi lagi sedangkan aku hanya seorang kerani biasa.

Aku berdiri di sebelah kau sewaktu menunggu lif turun ke tingkat bawah. Sesekali aku mengerling ke wajah kau. Ketinggianku hanya separas dengan bahu kau. Dan bau haruman itu sekali lagi menyebabkan aku keresahan. Entah bagaimana aku tertangkap ketika melihat wajah kau. Anehnya, kau tidak marah dan hanya melemparkan senyum. Kau tahu perasaan yang melanda jiwaku saat menerima senyuman kau? Rasa seperti aku berada di dalam padang yang ditumbuhi bunga-bunga tulip yang segar berserta hembusan bayu yang menyamankan.

Keesokannya dan juga hari-hari seterusnya, menunggu kehadiran kau di awal pagi sudah menjadi rutin harianku. Apabila hujung minggu menjelang, mahu sahaja aku putarkan masa agar hari Isnin segera muncul. Aku mahu menatap wajah kau, berdiri di sisi kau, dan melihat senyuman kau. Berada di rumah tanpa kelibat kau sangat menyesakkan dada. Aku lemas dengan udara di rumah sendiri walau di rumah ada abang, adik perempuan dan ayahku. Ibu? Aku sudah kehilangannya sejak berumur lapan tahun lagi. Sejak itu ayah yang menanggung hidup kami adik-beradik. Dialah ayah, dialah ibu. Dan dia tidak pernah berkahwin sejak pemergian ibu menemui Ilahi, walau ada yang cuba menambat hati.

Pernah kusuakan pada ayah pertanyaanku mengapa dia tidak mahu berkahwin lagi sedangkan dia mampu. Kata ayah, cukuplah cinta dan kasihnya pada arwah ibu seorang. Dia tidak mahu mengkhianati cinta itu, tidak mahu mencemarkan kenangan dan ingatan ketika bersama-sama ibu. Ah, betapa setianya ayah! Alangkah baiknya jika aku bertemu dengan lelaki yang setia seperti ayah. Lalu wajah kau mula berlegar-legar di mindaku.

* * * * *

MASIHKAH kau ingat, kali pertama kita berbicara? Selepas dua minggu kita menaiki lif bersama-sama setiap pagi, barulah kau menegurku dengan ucapan selamat pagi. Pertama kali mendengar suaramu, seakan mainan muzik indah di pendengaranku. Ucapan tersebut sudah cukup menceriakan hariku kala itu. Ingin sahaja aku membalas tetapi lidahku kelu lantas aku hanya mengukir senyum. Nampaknya, ini satu permulaan yang baik. Mungkin aku boleh bertanya nama kau.

Baru sahaja aku hendak membuka mulut, pintu lif pun terbuka. Kau segera melangkah masuk diikuti penumpang yang lain. Ah, biarlah, banyak lagi masa. Namun, sangkaanku meleset. Selepas hari itu, aku tidak lagi nampak bayang kau. Aku seperti kucing kehilangan anak. Gelisah, resah dan gundah. Adakah kau sudah berhenti kerja? Atau sesuatu yang buruk sudah menimpa diri kau? Hampir seminggu juga aku tidak melihat wajah kau sehinggalah pagi Selasa itu kau muncul. Kulihat dahi kau bertampal. Dan laju mulutku bertanya;

“Kenapa dengan dahi awak?”

Sekelip mata hatiku ditujah gemuruh, Biar benar! Sudahlah tidak kenal, nak menyibuk pula. Bukan apa, aku hanya risau. Selebihnya perasaan hatiku membuak-buak, meronta-ronta ingin bertanya lalu tidak mampu kukawal.

“Kemalangan, langgar motor,” jawab kau.

Selepas itu aku tidak bertanya lagi. Takut dianggap penyibuk. Walhal dalam hatiku berlumba-lumba persoalan yang ingin kuajukan pada kau.

“Lain kali hati-hati,” ucapku.

Sekali lagi aku tidak percaya dengan apa yang aku tuturkan. Gila! Aku memang dah tak betul! Siapa aku untuk menasihati kau begitu? Aku hanya orang asing.

“Terima kasih,” balas kau lalu serentak dengan itu pintu lif terbuka dan kita mula melangkah masuk menuju ke pejabat masing-masing.

Mungkin sudah suratan, petang itu aku pulang lewat kerana banyak kerja yang diberi oleh ketua bahagianku tadi dan semua dokumen itu hendaklah ditaip dan disiapkan hari itu juga. Mahu atau tidak, sudah tugasku, harus aku laksanakan. Rupanya ada hikmah aku pulang lewat. Aku berjumpa dengan kau di dalam lif sewaktu hendak turun ke tingkat bawah. Aku melirik jam di tangan. Tepat pukul 06.30 petang. Patutlah kita tidak pernah berjumpa bila petang tiba. Rupanya kau selalu pulang lewat. Pasti banyak kerja yang hendak dihabiskan di pejabat.

“Lewat balik hari ni?” kau menegur.

Oh, benarkah apa yang aku dengar? Kau mahu berbual denganku? Sudahlah hanya kita berdua di dalam lif. Bahagianya... dan aku mohon, supaya masa terhenti saat itu.

“Ada kerja sikit. Selalu ke balik lewat?”

Aku tidak tahu apa motif soalanku itu. Sebenarnya aku gemuruh. Fikiranku kacau. Tidak tahu hendak berbual apa dengan kau. Yang pasti hatiku berdebar-debar tidak keruan.

“Selalu juga. Kerja di tingkat berapa?” tanya kau lagi.

“Tingkat sebelas. Novella Holdings,” jawabku.

“Ting!”

Lif berbunyi menandakan kita sudah sampai ke tingkat bawah. Cepatnya! Aku mahu berbual dengan kau lagi. Aku lihat nombor di dinding lif untuk kepastian. Benar, tingkat bawah. Perlahan-lahan aku mengeluh namun cukup untuk didengar oleh kau.

“Kenapa?”

“Hah? Er... tak, tak ada apa...” segera aku menjawab bagi menutup keresahanku.

Kita berpisah di hadapan pintu lif. Aku menuju ke pintu keluar sementara kau berlalu ke kaunter maklumat di bahagian kiri. Dan... aku masih belum tahu nama kau lagi.

“Cik!”

Langkah kakiku terhenti. Aku kenal suara itu. Ah, mungkin aku berkhayal. Segera aku meneruskan langkah semula.

“Cik!”

Kali ini aku yakin memang kau memanggilku lantas aku berpaling. Benar, kau sedang berlari anak menuju ke arahku.

“Ni, key-chain cik tertanggal,” ujar kau lalu mengunjukkan key-chain kartun Spongebob yang aku pasangkan di beg sandangku.

Aku menerima huluran tangan kau dengan terketar-ketar. Baik sungguh hati kau memulangkan key-chain itu padaku semula. Segera aku mengucapkan terima kasih.

“Oh ya, saya Syahar. Ini kad saya,”

Syahar! Akan kucatatkan dalam diari besar-besar yang pada hari ini aku sudah tahu nama kau. Kad yang dihulur kuterima. Kau kemudian meminta diri. Segera aku membaca butir-butir yang dicetak dengan warna keemasan pada kat rona hitam itu. Kau seorang Pengarah Urusan rupanya. Terasa kerdil pula diriku nak dibandingkan dengan kau yang berjawatan tinggi itu.

Sudahlah muka tak lawa, ada hati menyimpan perasaan pada lelaki sehebat kau. Pasti lelaki yang hebat, untuk wanita yang hebat juga. Barulah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Aku lupa, pipit tidak mungkin terbang bersama dengan enggang.

Mungkin, aku harus berhenti dengan angan-angan kosong yang tak mungkin jadi kenyataan ini. Bukankah kau sudah ada kekasih hati? Jambangan bunga yang kau beli dulu pasti untuk kekasih kau. Aku pula buat-buat tidak tahu yang kau sudah punya kekasih dan masih berharap hendak memiliki diri kau. Sayang, aku ingin menggapai bintang tapi tangan tak sampai.

* * * * *

PAGI esoknya aku datang awal ke pejabat sekitar jam 07.30. Masih ramai yang belum tiba. Aku tidak lagi menunggu kehadiran kau. Aku tidak mahu berharap pada yang sesuatu yang tak pasti. Biarlah, sampai masanya, putera idamanku akan datang juga melamar dengan menunggang kuda putih seperti watak dalam cerita dongeng dahulu kala.

“Awal pagi ni?”

Aku terkejut menerima teguran dari kau. Bila pula kau berada di sebelahku? Aku lihat di tangan kau ada jambangan bunga. Sama seperti waktu kita bersua-muka buat pertama kali. Pasti kau beli dari kedai bunga dahulu.

“Cantik bunga tu,” ujarku, sekadar berbasa-basi.

For my mother. Dia masih di hospital, diserang kanser. Sekejap lagi nak pergi melawatnya,” kau menjawab pertanyaanku.

Aku tersentak! Jadi, bunga itu bukan untuk kekasih hati? Pintu lif terbuka. Kau segera melangkah masuk namun aku tetap berdiri kaku di hadapan pintu lif.

“Kenapa?” kau bertanya, hairan.

“Kalau saya katakan sesuatu, awak tak marah?”

“Apa dia?”

“Saya sukakan awak!”

Kau diam. Aku pasti mukaku sudah merah menahan malu. Pintu lif hampir tertutup namun segera kau tahan dengan tangan.

“Siapa nama awak?” kau bertanya membuatkan hatiku dilamun bahagia.


2 comments:

  1. eh, mmg abis sampai situ je ea??? mcm tergantung..x puas baca sebenarnya..hehe...

  1. eh, mmg abis sampai situ je ea??? mcm tergantung..x puas baca sebenarnya..hehe...

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini