rss

Aku yakin tadi saat aku melintas di hadapan Dewan Melati, kau asyik memandang aku. Malah dengan yakin juga aku katakan, lima belas minit tak cukup untuk kau menatap aku. Dalam hati kau memohon supaya aku berada di situ lebih lama dari selalu. Mungkin juga seperti waktu aku berada di kafeteria untuk makan tengah hari dan ketawa menampakkan kedua belah lesung pipitku.Kau mencuri pandang tapi sebaik sahaja aku memandang ke arah kau, kau berpaling.Pura-pura tak melihat ke arah aku.

 Kau tak pernah sepengecut itu jadi kenapa kau tak berani menghampiri aku?

 Aku keluar dari kafeteria bersama Reen. Menolak daun pintu kaca itu.

 Waktu kami berjalan,semua lelaki di koridor memandang. Sesekali kedengaran bunyi mereka bersiul-siul.

 Ah,macam ni rasanya jadi gadis cantik, seronok tapi merimaskan!

 Kau tersenyum bila melihat aku berjalan keluar tapi kau tak berani mendekat. Cuma memandang dan terus memandang. Sejak bila kau jadi macam tu?

 Mail melihat kau senyum tak henti-henti. Sah. Kau angau! Mail melambai-lambaikan tangannya di hadapan muka kau tapi kau masih tersengih. Masih menopang dagu di meja.

 “Oi! Berangan apa?.”

 Kau tersedar. Memandang Mail.

 “Err..kau cakap apa tadi?.” Kau garu kepala yang tak gatal. Mail pula serentak itu menepuk dahinya.

 “Parah. Parah.” Mail kembali menyedut Limau Ais sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

 Memang kau makin parah. Mungkin sejak dari kali pertama kau melihat aku?

 Tempat duduk kita berbeza tiga baris. Aku berada di hadapan manakala kau di belakang. Kau memang selalu di belakang, kadangkala bersama Mona, kadangkala bersama Ann dan kadangkala bersama entah siapa-siapa lagi. Dewan kuliah yang besar ni memang tak memungkinkan lecturer untuk ambil kisah mengenai pelajarnya. Malah, kalau orang luar masuk sekalipun tak ada siapa yang tahu.

 Tapi sejak aku datang. Aku tak pernah tengok mana-mana perempuan lagi di sisi kau. Kau kelihatan fokus tetapi selang lima minit mencuri pandang. Fokus yang penuh kepura-puraan. Ke arah mana lagi kalau tak ke arah aku? Biasanya bila itu terjadi, Reen akan menyiku bahuku dan aku tersenyum kecil.  Aku akan menoleh ke belakang menyebabkan kau memandang hadapan kembali.

 Malam ni,di dewan Melati. Kolej kita adakan malam pre-graduasi. Aku menjadi penyambut tetamu. Menanti dimuka pintu dengan belon hitam putih di tangan. Kau melangkah tetapi belum sempat masuk kau berhenti dan berada di sisiku. Turut sama berdiri. Kau sentuh tangan aku perlahan, mencapai beberapa keping tentatif program. Di telingaku, kau berbisik:

 “Awak comel. Tak patut pun buat kerja ni.” Aku tersenyum dan menjawab.

 “Thanks.”

 Aku capai tentatif lain dan bergerak ke pintu yang satu lagi. Sombong dan jual mahal. Jangan ingat aku senang termakan pujian!

 Kau memandang dengan wajah hampa. Mungkin terfikir apa wajah tampan kau sudah tidak laku?

 Isnin, 4 Mei 2010.
 8:45 pagi

Aku baru melangkah masuk bilamana seorang budak perempuan comel menghampiri aku. Baju yang dipakainya sangat sama dengan baju yang aku pakai malam pre-graduasi tempoh hari. Di tangannya, sejambak ros putih besar. Budak kecil itu tersenyum dan aku tahu kau memerhati.

 Lalu baju aku ditariknya. Aku turunkan kakiku. Berdiri sama paras dengannya.

 “Ada abang kasi dekat akak.” Aku senyum. Mencuit pipi sekecil itu lalu menciumnya perlahan.

 “Terima kasih.” Dan si comel itu berjalan meninggalkan aku. Terkedek-kedek berlari ke arah seorang perempuan yang berapron. Pada apron itu tertera ‘Seri Florist’.

 Reen berlari ke arah aku.

 “Wah! Ada orang dapat bunga!!.” Sedikit teruja. Entah, kenapa aku tak rasa apa yang Reen rasa?

 “Kau suka?.” Aku bertanya ke arah Reen. Ringkas.

 “Eh,mestilah. Mana ada perempuan tak suka bunga.” Aku terus meletakkan jambangan tersebut dalam dakapan Reen.

 “Amiklah. Ada je orang yang tak suka bunga.” Aku berjalan mendahului Reen. Aku tahu kau masih memerhati.

 “Er..siapa?.” Reen garu kepala tapi dah tersenyum sebab suka. Wajahnya dirapatkan ke arah bunga-bunga tersebut.

 “Aku.” Lepas je bercakap terus aku pandang ke arah tempat kau berdiri tadi.Bukan, menghendap tadi. Hilang. Mungkin kau hampa lepas mendengar apa yang aku katakan.

Selasa,12 Mei 2010
 2:05 petang

Bila aku melabuhkan punggung ke kerusi, baru aku perasan ada sekotak Ferro Roche bentuk hati yang siap dengan teddy bear kecil di atas buku Sketch of Frank Gehry aku.

 “Siapa punya ni?.” Aku bertanya ke arah Reen.

Aku lihat kau berjalan naik ke arah tempat duduk belakang. Seperti biasa. Aku kalihkan muka. Enggan memandang.

 “Entah. Eh ada nota lah.” Reen tarik nota yang terselit di bawah coklat tersebut.

 “Ada orang mungkin tak suka bunga tapi tak mungkin coklat”
                                                                                         Adam

 Huh! Aku mendengus geram. Menghentak buku di atas meja. Kau memandang lagi. Ingin melihat reaksiku barangkali. Aku diam. Berfikir. Aku buka reben merah yang membaluti kotak Ferro Roche itu. Satu persatu bebola coklat dengan pembalut gold itu aku keluarkan.

 “Nah, pas-pas dekat semua orang.” Aku sengih. Yang pasti kau dah menepuk dahi ketika itu.

 Jumaat,15 Mei 2010
 8:55 malam.

Aku menunggu di bus stand seorang diri. Reen dah balik lepas kelas tadi. Tengah asyik mendengar lagu ‘Dare You To Move - Switchfoot’ dari iPod warna hijau epal milik aku,seorang lelaki berkumis tebal menghampiri.

 “Hai Dik. Balik seorang je ke?.” Aku perasan di belakangnya ada lagi tiga lelaki turut sama menghampiri.

Aku ketap bibir. Memejamkan mata. Berharap agar bas cepat-cepat tiba. Baru sahaja lelaki tadi mahu mengelus pipiku, kau muncul.

 Seperti hero dalam novel atau drama Tamil dikaca tv, kau membelasah mereka satu persatu. Dalam  hati aku menyatakan rasa kagum tapi aku cukup kenal kau. Lalu aku tersenyum sinis dibelakang. Aku pasti, mereka-mereka itu telah kau upah! Apa kuasa kasanova kau dah cukup lemahkah kini Adam? Atau hanya lemah di sebabkan aku?

 Kau menarik nafas tercungap-cungap. Barangkali penat berlakon. Aku lihat lelaki-lelaki tadi juga memainkan watak mereka dengan jayanya. Berlari dengan lintang-pukang. Rasanya, aku pun perlu memainkan watak aku sekarang. Mungkin babak jual mahal sudah cukup untuk beberapa bulan ini. Rasanya sudah tiba masanya untuk aku memainkan watak seorang gadis yang terkulai layu di tangan heronya.

 Lalu aku membuat muka cemas. Menghampiri kau. Melihat kalau-kalau ada luka atau kecederaan fizikal akibat aksi kau melawan mereka sebentar tadi. Aku menarik nafas lega melihat kau selamat dan kau tersenyum ke arah aku.

 “Awak...thank you.” Suara aku mendatar. Sayu.

 Air mata mula bergenang. Aku cuba mengimbau kalaulah kau tak ada ketika ini, mungkin aku sudah selamat menjadi lauk habuan jantan-jantan keparat tadi. Berlakon.Cuba menghayati watak yang aku mainkan.

 “It’s okay. Nasib baik awak selamat.” Adam memandang ke jalan. Kemudian ke langit. Melihat bintang-bintang yang berkedipan.

 “Kalau awak tak ada tadi, tak tahulah apa akan jadi dengan saya. Saya—”

 Kau cepat-cepat memintas. Meletakkan jari telunjuk tepat dibibir aku.

 “Kan saya ada ni. By the way, I’m Adam.” Kau menghulurkan tangan. Aku tanpa ragu-ragu terus menyambutnya mesra. Mata aku masih berkaca. Suaraku serak. Bahuku terhingut-hingut.

 Kemudian, tanpa perlu menunggu lama. Aku terus memeluk kau. Menangis teresak-esak dalam dakapan kau.Kau membalas kembali pelukan aku. Cuba menenangkan aku dari terus menangis dan menangis.

 Di belakang kau, aku tersenyum. Kau memang bodoh!

 Isnin,15 Jun 2010
 9:00 pagi

Genap sebulan kita berkawan. Sejak sebulan lepas dan selepas insiden bus stand tu, kau sentiasa berada dengan aku. Baik ketika ada Reen mahupun bila Reen balik. Setiap hari, kau sentiasa datang lebih awal dari aku. Duduk dibangku di tepi koridor di jalan menuju ke kelas kita. Pagi ni, kau masih menunggu, dengan sebatang rokok Dunhil di tangan.

 Sebaik saja kau nampak aku, mata kau bersinar ceria. Rokok di tangan kau campakkan ke lantai. Memijaknya sampai bara merah itu hilang.

 “Hei Elly!.” Kau menghampiri aku.

 Aku terus berjalan. Tersenyum. Rokok Salem Menthol aku hulurkan.

 “I tak sukalah bau Dunhil. Busuk!.” Aku berjalan melepasi dia. Menghampiri dan memberikan sebuah ciuman dipipi. Kau tersenyum.

 “I peliklah dengan you ni. Girls selalunya tak suka guys yang hisap rokok.” Kau bertanya. Mungkin pelik dengan tindak tanduk aku. Ada aku peduli ke kau nak hisap ke tak?

 “Have I ever said that I like you?.” Aku mengangkat kening. Ketawa sebelum berlalu meninggalkan kau yang terpinga-pinga.

 Tak berpuas hati mungkin. Kau mengikut langkahku tapi aku diam. Hanya tersenyum walaupun macam-macam perkara cuba kau tanyakan. Sudahnya kau pasrah. Turut sama berdiam dan mengikut langkah aku ke kelas.

 I'm not in the mood to play around with you!

 Khamis, 16 Julai 2010
 10:05 pagi

Kau tak ke kelas hari ini,pening kepala dan demam. Bila kau cuba mengangkat kepala, kau jatuh kembali diatas katil. Dah dua minggu aku berdiam tanpa khabar berita.Mungkin kau sakit sebab terlalu rindukan aku. Bila kau ke kelas, aku tak bercakap dengan kau langsung. Telefon pun tak diangkat. Kau semakin keliru. Beberapa minggu sebelum ini aku sendiri katakan pada kau yang aku sangat cintakan kau. Malah buat pertama kalinya bibir kita bertemu dan kau jadi sasau.

 Malam itu,malam aku menerima cinta kau. Aku pandang ke dalam anak mata kau. Lalu berpura-pura yang aku juga sukakan kau. Dalam hati aku ketawa besar melihat betapa senangnya kau dipermainkan. Kita berbalas ciuman. Kau memeluk aku, malah aku juga memegang kemas kemeja kau dan jemari ini berlari-lari di atasnya. Membuka butang satu persatu. Membalas setiap ciuman yang kau berikan.

 Dan bila kau terjatuh di atas katil itu,waktu kedua ibu bapa kau sibuk ke majlis hingga lewat malam. Aku pandang ke arah jam di atas meja. Pukul 3:00 pagi.

 Tiba-tiba aku menolak kau sebelum sempat semua butang baju kau, aku buka.

 “I nak balik. Bye.” Aku menyisir rambutku yang serabai. Mencapai handbag dilantai dan menuruni anak tangga. Kau terpinga. Cuba mengejar. Bila kau turun, hanya daun pintu yang terbuka manakala aku dah menghilang.

 “Arghh..sakit!.” Kau mengerang. Lagi-lagi bila mengingati apa yang telah terjadi. Seumur hidup kau, aku adalah perempuan paling susah untuk diramal. Kalau gadis lain, dalam masa seminggu sahaja dengan mudah kau tawan tapi bukan aku. Tangan kau mencapai Panadol Actifast. Selesai menelan dan meneguk air dalam gelas kaca itu. Kau memejamkan mata. Memicit dahi perlahan-lahan. Kepala kau masih berdenyut-denyut.

Kau capai henfon dihujung katil. Menaip sms kepada Mail. Malah dalam sms itu, nama aku masih lagi menjadi topik utama. Bukan mengenai keadaan kau yang sakit, atau supaya menyuruh Mail memberitahu lecturer sebab kenapa kau tak hadir ke kuliah.

 Mail, Elly datang tak?

 1 SMS sent.

 Tutt..tuttt.. henfon kau berbunyi. Nada deringnya biasa sahaja sebab kau memang tak suka bising atau lagu-lagu panjang.

 Ada. Kenapa? Apsal kau tak datang ni?

 SMS dari Mail penuh tanda risau. Kau tak ambil peduli. Terus tangan menekan listname, mencari nama aku.

 Elly,I miss you. I sakit. Please datang rumah I after the class.

 Aku tersenyum bila melihat sms dari kau. Dah nak mati dah ke? Bagus!

 Aku menaip ringkas. Membalas sms dari kau, sebelum menekan button off dan kembali menghadap skrin. Surat dari University of Aberdeen dah aku terima beberapa minggu lepas. Esok hari terakhir aku disini.

 Okay

 Kau menerima sms ringkas dari aku. Tersenyum sebelum jatuh pitam.

 Jumaat, 17 Julai 2010
 11:30 pagi

Aku dah berada dalam flight menuju ke Aberdeen. Seorang attendan flight ramah menghampiri. Memberikan aku segelas fresh orange.

 “Yes Miss, anything else that I can do for you?.” Mata hijau hasil pemakaian contact lens itu aku tatap.

 “I need newspaper.” Aku menjawab ringkas. Dia mengangguk dan menghilang ke bahagian hadapan. Rasanya di bahagian terakhir sebelum kokpit, tempat mereka selalunya menyediakan makanan.

 Dia kembali dengan tiga suratkhabar ditangan. Aku mengambil Utusan Harian.

 Aku menyelak satu persatu suratkhabar itu. Di muka surat kelima, terpampang wajah kau yang tersenyum.

“ANAK TUNGGAL DATO’ FAKHRUL RAZI MENINGGAL DUNIA”

 Aku tersenyum puas. Terus mata aku membaca satu persatu berita yang tertera.

 “....siasatan awal pihak polis mendapati mangsa mengalami pendarahan perut. Punca sebenar kematian mangsa masih lagi disiasat...”

 Teruskanlah siasatan. Aku pasti korang takkan dapat jumpa apa-apa pun. Kalau jumpa pun, nak salahkan siapa? Tak ada bukti aku yang bagi Asphalt tu. Racun yang membunuh secara perlahan.

 Adam Haikal bin Dato’ Fakhrul Razi. Siapa sangka kau mati macam ni? Aku tersenyum sinis.

IMBAS KEMBALI- HARI SEBELUMNYA
 Khamis, 16 Julai 2010
 3:30 petang

Sebaik sahaja aku sampai di rumah kau. Kau dah terjelepuk di tangga.Lembik. Mungkin akibat cuba menggagahkan diri untuk bangun. Aku menghampiri. Membantu kau untuk duduk disofa. Kau tersenyum ke arah aku. Wajah kau dah mula pucat lesi.

 “Glad you come.I miss you Elly.” Suara kau perlahan.

 Aku tersenyum sinis. Terdiam. Bila kau cuba bangun memegang bahu aku. Aku menepis kasar.

 “Kenapa you berubah? Kenapa tiba-tiba you macam ni? Angkat call I pun tak nak.” Aku masih diam. Aku takkan cakap apa-apa sampai kau sujud dan merayu dikaki aku.

 “You tahu tak...seumur hidup I, I tak pernah rasa sayang macam ni sekali. I truly love you.” Suara kau pasrah. Air mata mula bergenang. Aku lihat wajah kau yang tak terurus. Kau memang lemah Adam!

 “Hmm..macam ni jugaklah kau cakap dekat adik sepupu aku kan Adam?.” Kau keliru. Masih buntu dengan apa yang aku perkatakan. Pandangan mata kau mula kabur.

 “Oh,tak faham? Setahun lepas, ada sorang budak baru nama dia Zulaikha. Dia ambil kos accounting. Kau ingat dia lagi?” Aku tarik nafas dalam-dalam. Cuba mengumpul kekuatan.

 “Dah puas aku cakap dekat kau. Jangan kacau dia. Jangan buat apa-apa dekat dia tapi kau degil!. Aku tak kisah kalau kau tolak cinta aku Adam sebab aku sedar aku siapa. Gemuk, hitam,hina dimata kau!.” Aku terus mengherdik kau. Kau dah terduduk kembali di lantai. Terbatuk. Kau tahan dengan tangan kemudian kau lihat darah.

 “Ika sepupu kau?.”Kau bertanya. Geli hati mendengar aku bertanya dengan keadaan separuh sedar.Mungkin kau rasa berpinar-pinar ketika itu.Aku terus ketawa.

 “Ye.Dia sepupu aku! Cantikkan dia? Tak macam aku...” Air mata mula luruh membasahi pipi.

 “Tapi takpe... kau tengok sendiri, akhirnya kau gak yang jatuh ke tangan aku. Nak tahu kenapa? Sebab kau bodoh!.” Aku ketawa berdekah-dekah. Setahun yang lalu, penat aku nasihatkan Zulaikha supaya jangan jatuh cinta dengan kau. Aku sendiri tak dapat nafikan yang aku sangat mencintai kau. Aku jatuh cinta, sejak pertama kali aku melihat kau ketika kita di sekolah menengah. Kita satu kelas tapi aku tahu, kau tak pernah perasankan aku.

 Malah aku berusaha untuk masuk ke U yang sama dengan kau semata-mata untuk dekat dengan kau. Pernah sekali aku nekad, meluahkan perasaan melalui surat tapi kemudiannya aku jadi malu sendiri sebab kau pijak maruah aku. Kau jadikan aku bahan jenaka. Surat aku kau photostat dan sebarkan pada semua. Sejak itu,aku akur. Orang macam kau memang tak layak untuk dicintai!

 Bila aku nasihatkan Zulaikha, maka telinga aku sendiri jadi pedih tapi aku tahu, cinta itu membutakan mata dan hati. Zulaikha jadi buta.

 “Kak Lyn jangan sibuk boleh tak? Ika taulah Kak Lyn jealous sebab Adam suka Ika.” Kata-kata Ika terngiang-ngiang di telinga aku.Terus aku menekup telinga. Memejamkan mata.Kedengaran suara kau terbatuk lagi.

 Aku lihat kau dah terbatuk-batuk lagi. Kali ini lebih kuat. Darah keluar membuak.

 “Adam, you okay tak? Adam!.” Aku goncangkan bahu kau yang dah makin lembik. Lemah tak bermaya.

 “Hahaha. Kau tengok? Pandaikan aku berlakon?.” Aku mengirai rambut aku kembali. Meniup kuku perlahan dan menggosok ke baju.

 Zulaikha pun bodoh. Dengan mudahnya dia percaya pada setiap kata-kata kau. Aku tak pasti Ika mangsa kau yang keberapa tapi bila perutnya mula memboyot, Ika jadi pendiam. Puas aku pujuk dia untuk bercerita tapi dia lebih senang mengurungkan diri dan satu hari, hostel kami gempar. Aku berlari bila mendapat telefon dari roomatenya. Bila aku sampai, semuanya dah terlambat. Ika bunuh diri.

 “Semuanya sebab kau! Sebab kaulah dia bunuh diri!.” Mata kau dah berkedip-kedip. Sekejap pejam sekejap celik.

 “Sedap tak Salem yang aku selalu kasi tu?.” Aku ketawa lagi.Aku lihat kau dah mengerang menahan sakit sebelum pengsan tak sedarkan diri. Aku menghela nafas. Mendail nombor telefon Mail. Suara aku mula teresak-esak bercampur cemas.

 “Mail... please help me!! Adam...dia pengsan.”

 8:05 malam

Aku tiba ke balai polis sambil ditemani oleh Reen. Air mata dari tadi tak henti-henti luruh dari jatuh. Mail menunggu di sana sambil ditemani Dato’ Fakhrul dan isterinya. Aku duduk dan mengesat air mata yang berlinangan.

 “Uncle, Auntie..saya minta maaf kalau kata-kata saya bawa prespektif yang buruk pada arwah tapi percayalah, saya sayangkan Adam sebagai kawan.” Dato’ Fakhrul menghampiri aku.

 “Tak apa Elly. Reen dan Mail dah ceritakan semuanya. Sekarang ni you cuma perlu bagitahu apa dah jadi.” Aku mengangguk sambil menggenggam tangan Reen.

 “Encik,saya datang tadi sebab dapat sms dari Adam. Dia cakap dia sakit. Dua minggu lepas kami ada bergaduh sebab saya cakap saya nak teruskan belajar dekat Aberdeen. In fact, esok flight saya. Dia cakap dia cintakan saya tapi saya tak rasa benda yang sama.” Aku berhenti seketika. Menarik nafas berat.

 “Tadi waktu saya sampai, dia merayu dekat saya. Dia cakap dia tak sanggup nak lepaskan saya. Tiba-tiba dia terbatuk-batuk lepas tu darah keluar...”Aku tak jadi untuk meneruskan. Air mataku luruh lebih laju. Aku terus memeluk Reen menyatakan kesalku sebab tak menerima kau.

 Reen tepuk bahu aku perlahan.

 “Betul encik. Apa yang Elly cakap semuanya benar. Saya sepatutnya menemani Elly ke rumah Adam tapi kunci loker saya hilang. Elly risau sangat pasal Adam jadi saya suruh dia pergi dulu. Waktu saya sampai, Mail dan Elly dah naik ambulan untuk hantar Adam ke hospital.” Reen bersungguh-sungguh mempertahankan aku.

 “Pasal Elly ke Aberdeen, ini bukan kebetulan. Saya dan Reen memang tahu Elly akan ke Aberdeen tapi kami tak sampai hati nak bagitahu Adam. Entahlah..saya tengok Adam terlalu sayangkan Elly.” Mail pula mencelah kemudian terdiam. Dalam hati aku yakin, alibi yang ada sudah cukup untuk menyelamatkan aku daripada menjadi suspek kes ini.

 Oh ye, sebelum aku terlupa. Mesti kau pelik kenapa aku sangat berbeza dari yang dulu kan? Untuk membalas dendam terhadap kau, aku sanggup ke Thailand membuat plastic surgery dan liposuction. Aku pasti kau mesti tak pernah terfikir yang aku adalah aku bukan? Sangat pasti! Malah rasanya, kau sendiri tak pernah tahu nama sebenar aku sebelum ini. Aku tersenyum sebelum melipat kembali Utusan Harian tadi. Memandang keluar, melihat gumpalan awan sebelum kedengaran pengumuman bahawa sebentar lagi flight yang aku naiki akan mendarat ke bumi Aberdeen.

0 comments:

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini