(kesinambungan Violet)
Dr. Ubaid
perlahan-lahan membuka balutan mata si gadis itu. Balutan putih itu kemudian
digulung lembut ke tangannya sehingga ke semua lingkaran balutan terlerai dari
menutup mata gadis itu.
Sama ada si doktor
mahupun si pesakit, kedua-duanya berdebar-debar menanti keajaiban yang bakal
berlaku nanti. Gadis yang bernama Fazira ini terasa lebih teruja. Inilah
pertama kalinya bebola mata Violet miliknya bakal menerima pantulan cahaya yang
bakal menerobos terus ke retina mata dan urat-urat di sebalik matanya. Pantulan
tersebut bakal menyampaikan kod-kod imbasan yang bakal diterjemahkan dalam
bentuk visual. Visual yang dia tidak pernah lihat sebelum ini sejak dari dia
dilahirkan ke bumi.
Dr. Ubaid
tersenyum. Dia bakal memberikan kehidupan baru kepada si gadis yang dia sudah
mula jatuh hati sejak dari hari pertama mata mereka bertaut.
“Fazira… cuba awak
buka mata awak sekarang..” arah Dr. Ubaid dengan lembut.
Pelepuk mata
Fazira mula bergerak-gerak. Kemudian kelopak matanya terbuka sedikit demi
sedikit.
“AHHH!” Fazira
terjerit kecil. Cahaya yang menerobos ke dalam retina matanya sungguh terang
dan begitu menyakitkan. Rasa pedihnya melingkar hingga ke urat-urat kepala.
“Fazira tutup mata
awak semula… dan buka perlahan-lahan…” Dr Ubaid tetap bersabar. Dia tahu ia
bukan suatu perkara yang mudah untuk sepasang mata milik Fazira menerima cahaya
matahari. Tambahan pula apabila pesakitnya tidak pernah mempunyai keupayaan
untuk melihat sebelum ini.
“Saya takut… tapi
saya cuba lagi.” Fazira nekad. Sakit pun sakitlah. Kalau kesakitan itu dilayan,
usaha Dr. Ubaid terhadap dirinya hanyalah sia-sia.
Ucapan Bismillahirmanirrahim
bermain di lidahnya. Kemudian perlahan-lahan cahaya yang memasuki mata Fazira mula
membentuk rupa dan visual yang sungguh asing baginya. Wajah seseorang
memunculkan rupa. Seorang lelaki mungkin? Hatinya berbelah bahagi untuk melihat
objek-objek lain yang terbentang kini pada pandangannya. Fazira lekas-lekas
menutup matanya kembali.
“Fazira? Kenapa?”
tanya Dr Ubaid. Dia keliru dengan kelakuan Fazira.
“Saya takut… saya
tak tahu apa yang saya lihat tu betul ataupun tidak…” jawab Fazira yang masih
mengatup matanya dari terus melihat.
“Fazira…. Awak
jangan takut. Pegang tangan saya dan buka mata awak..”
Fazira mencuba
sekali lagi. Kali ini dia berasa sedikit yakin oleh kerana Dr. Ubaid memberikan
tangannya sebagai jaminan.
“Doktor…” Fazira
tidak dapat menterjemahkan apa yang sedang diperlihatkan di matanya. Namun bagi
dirinya, Dr Ubaid adalah manusia pertama yang pernah dia lihat. Doktor itu
berwajah licin dan bebola matanya berwarna gelap. Mungkin dia juga seorang yang
kacak kerana baginya senyuman Dr Ubaid menenangkan hatinya.
“Nampaknya, awak
perlu belajar banyak perkara…” kata Dr Ubaid sambil tersenyum kecil.
***
HAMPIR setahun
berlalu dan Fazira tidak pernah lagi bertemu dengan Nadim sejak dari pertemuan
mereka yang terakhir di majlis hari lahir Tengku Azwiyah. Walaupun hati Fazira
dibidik perasaan rindu, namun dia hanya mampu menelan semua yang kelat itu
dalam-dalam. Tengku Nadim dan dirinya tidak mungkin bertaut kembali. Enggang
dan pipit tidak mungkin bersama.
Kehilangan cinta
Tengku Nadim membuka lembaran baru antara Fazira dan Dr Ubaid yang dia kenali
di hospital sejak lima bulan yang lalu. Dr. Ubaid sangat prihatin ke atas
Fazira sehinggakan dia sanggup membiayai kos pembedahan matanya. Kini Dr. Ubaid
merancang untuk mengikat tali pertunangan dengannya dan dalam tempoh kurang
dari setahun, mereka bakal berkahwin. Begitu pantas masa berlalu!
Lamunan Fazira
terhenti secara tiba-tiba apabila Fatiha menjengah ke ruang kamar miliknya.
Fatiha bingkas duduk di sisi Fazira sambil melentokkan kepalanya di bahu si
kakak.
“Kakak termenung
apa tu… teringat Dr. Ubaid?” usik Fatiha.
“Tak adelah!” Fazira
cuba menyembunyikan perasaannya. Memang ya dia teringatkan jejaka itu tapi…
“Ke kakak
teringatkan Abang Nadim?”
Pertanyaan Fatiha
mengundang gelora di hati Fazira. Lalu dia mengutum senyuman kelat pada si
adik.
“Macam mana
agaknya wajah Nadim? Dia kacak macam Dr Ubaid ke?” tanya Fazira. Dia tidak
dapat menilai apa yang cantik mahupun yang buruk. Baginya, jikalau perasaannya
tenang apabila melihat sesuatu, maka indahlah perkara itu dan begitulah
sebaliknya.
“Kakak tak
payahlah nak tahu pasal dia… dah sejarah pun kan?” Fatiha mengelak dari
menjawab persoalan Fazira. Dia tidak mahu Fazira terus terluka seperti dulu.
Ditinggalkan… seperti manusia yang tidak langsung mempunyai harga diri. Walhal
kakaknya itu manusia yang punya perasaan seperti orang lain walaupun dia cacat
pancaindera penglihatannya.
“Tapi… kakak
teringin Fatiha…”
Fatiha bangun dari
birai katil milik kakaknya dan berlalu pergi. Fazira ditinggalkan tanpa
jawapan.
****
“CEPATLAH Tasya!
Nanti lambat pulak. I tak sukalah pergi majlis kawan baik I ni macam pergi
shopping. Keluar masuk macam tu je!” omel Tengku Nadim. Tasya ni kalau bersolek
memang berjam-jam lamanya.
“Kejapppp! Kejapp!
Siapa suruh you datang ambil I lambat? Tunggulah!” jerit Tasya dari tingkat
atas. Terkocoh-kocoh Tasya menuruni tangga yang melingkari bahagian ruang tamu
rumahnya. Hampir-hampir saja dia terjelepok menyembah tanah oleh kerana
ketirusan tumit tingginya yang tidak begitu stabil.
Mereka berdua tiba
di majlis pertunangan rakan baik Nadim saat majlis sudah hampir selesai.
Walaubagaimanapun, tuan rumah tetap menjemput tetamunya dengan hati yang
terbuka. Tambahan pula tetamu tersebut adalah rakan baiknya sendiri.
“Nadim! Aku ingat
kau tak datang tadi,” jemput rakan baiknya sambil berdakapan erat. Dakapan
dilepaskan dan Nadim hanya mampu menggaru-garu kepalanya dan tersenyum sinis
terhadap Tasya.
“Ubaid… sorrylah!
Aku lambat sikit… tapi aku dah tunaikan janji yang aku datang kan??” kata
Nadim. Sambil itu, kepalanya tertoleh-toleh mencari yang mana satukah gerangan
pemilik hati rakan baikya, Ubaid.
“Kau cari apa tu?
Tunang aku? Kejap aku bawa kau jumpa dia.. Anyway ni tunang kau kan?” Sempat
juga Dr Ubaid mengerling dan bertanyakan mengenai Tasya yang sibuk
mengendengkan dirinya berdekatan Nadim.
“Ni Tasya.. and
yes dia tunangan aku…”
Belum sempat Nadim
menyambung kata-katanya, Dr Ubaid dengan pantas meminta dirinya pergi tanpa
memberikan sebarang penjelasan. Namun, beberapa minit kemudian dia kembali
dengan seorang gadis yang berbaju kurung moden berwarna merah jambu cair. Gadis
itu menundukkan wajahnya yang masih belum jelas kelihatan pada pandangan mata
Tasya dan Nadim.
Dr Ubaid memegang
erat tangan gadis itu lalu memperkenalkannya kepada Nadim dan Tasya.
“Aku perkenalkan…
gadis yang telah menyimpan kunci hati aku kini… Fazira..”
Hampir-hampir saja
luruh jantung milik Tengku Nadim apabila mendengarkan nama tersebut. Fazira…
nama gadis yang sentiasa bersemadi di jiwanya.
Fazira
memperlihatkan wajahnya. Irisnya yang berwarna Violet itu bersinar-sinar
memancarkan cahaya yang menambahkan gelora di hati Nadim. Memang benar dialah
Fazira… tapi dia boleh melihat? Tak mungkin!
“Saya Fazira…”
Fazira menghulurkan tangannya tepat ke arah Tasya dan kemudian kepada Nadim
yang masih teragak-agak untuk bersalaman dengan Fazira. Baginya, ia adalah
suatu misteri dan keajaiban. Ubaid mencintai gadis yang dia cintai? Manakala
Fazira pula tidak buta dan jauh sekali mengenali dirinya. Perkara ini semua
tidak mungkin terjadi!
****
“SAYA nak berjumpa
dengan Dr Ubaid, pakar sakit mata. Dia ada di biliknya tak?” tanya Nadim kepada
jururawat yang berada berdekatan kaunter dispensari.
“Oh ada rasanya…
biliknya yang hujung sana,” jawab jururawat tersebut.
Tanpa berlengah
lagi, Tengku Nadim menuju terus ke bilik Dr Ubaid. Pintu bilik dikuak buka
tanpa sebarang ucapan salam. Nadim berhajat untuk memberikan kejutan kecil pada
Ubaid.
“Ubaid? Ubaid??”
panggil Nadim.
Kosong. Ruangan
bilik Dr Ubaid kelihatan sunyi namun kipas siling di biliknya masih lagi
terpasang. Nadim menjengah masuk ke dalam bilik Dr Ubaid untuk memastikan
bahawa rakannya benar-benar tiada di situ.
“Ubaid? Kau memang
tak ada dalam bilik ke?” tanya Nadim.
“Encik?” Suara
seorang gadis secara tiba-tiba timbul dari tandas kecil yang bercantum dengan
bilik tersebut.
Gadis itu
memunculkan dirinya kepada Tengku Nadim dengan senyuman manis dan seperti biasa
panahan mata Violetnya yang bersinar-sinar.
“Fazira? Awak buat
apa kat sini?” Nadim terkesima seketika. Fazira? Sungguh tak dijangka!
“Encik cari Dr
Ubaid kan? Dia melawat pesakit dia sekejap. Duduklah dulu..” ajak Fazira. Tak
semena-mena hati Fazira bercampur baur apabila terdengarkan suara jejaka di
hadapannya ini. Dia rakan baik Ubaid bukan?
“Ya… terima
kasih,” ucap Nadim sambil melabuhkan punggungnya ke kerusi tetamu di sudut kiri
bilik tersebut.
“Encik ni kawan
baik Dr Ubaid kan? Yang kat majlis pertunangan hari tu…?” Fazira masih lagi
mengagak-agak. Mungkin mereka pernah bertemu sebelum ini. Sebab itulah suaranya
biasa didengari.
“Ya..” jawab Nadim
ringkas.
“Kita memang tak
pernah jumpa kan sebelum ni? Hari tu pun jumpa sekejap je sebab encik dah
tergesa-gesa nak balik…” tanya Fazira lagi. Sambil itu tangannya menyorokkan
beberapa buah buku berwarna dan salah satunya bertajuk ‘Belajar Abjad’ di bawah
timbunan fail milik Dr. Ubaid.
“Awak baca buku
tu?” tanya Nadim tanpa menjawab pertanyaan Fazira.
“Emm…” Fazira
tidak tahu bagaimana dia mahu menerangkan hal tersebut kepada Nadim. Namun dia
hanya membalas, “Saya tak macam orang lain… saya tak sempurna.”
“Tak sempurna tak
bermakna awak tidak seperti orang lain. Cumanya awak ada sesuatu perkara yang
orang lain tak ada…” kata Nadim yang mulai bangun dari kerusi yang didudukinya.
“Ya.. betul…” Kata-kata
Nadim menyentuh hujung hatinya. Lelaki ini siapa sebenarnya? Mengapa
kata-katanya seperti dia pernah dengari sebelum ni?
Nadim mendekati
Fazira dengan hanya membiarkan jarak tiga tapak di antara mereka. Jantung
Fazira bertambah-tambah debarannya apabila bau wangian yang dipakai Nadim
adalah seperti bau wangian lelaki yang dia amat rindui di kala ini.
“Kita pernah
berjumpa ke sebelum ni?” tanya Fazira tanpa berdolak-dalih lagi. Hatinya tak
sanggup menahan pertanyaan yang mencurah-curah dari akal rasionalnya.
“Mungkin. Mungkin
juga awak dah lupa betapa pentingnya saya dalam hidup awak sebelum ni, Fazira.”
Nadim bermain kata-kata. Dia tahu Fazira bakal mengetahui siapa dirinya yang
sebenar.
“Tak mungkin..”
Fazira berbisik perlahan. Dia… Perkara ini tak mungkin akan terjadi.
“Tutup mata awak
dan awak akan dapat jawapannya..” ucap Nadim dengan nada lembut. Hanya dengan
itu sajalah persoalan yang bermain di minda Fazira akan terjawab.
Fazira memgambil
nafas dalam-dalam dan memejam rapat matanya. Hatinya terasa sedikit kosong dan
pandangannya kembali gelap tak bercahaya. Apa yang ada cuma deria rasa dan
pendengaran yang mula memainkan peranan mereka.
“Saya cintakan
awak, Fazira,” ucap Nadim dengan nada perlahan. Kolam matanya mula bergenang.
Fazira, saya Nadim yang awak cintai dulu. Ingatkah awak dengan saya?
Jantung Fazira
bagaikan direntap kuat. Perasaan berkecamuk. Nadim! Nadim! Benarlah dia Nadim.
Air matanya mula mengalir dengan deras. Kemudian Fazira membuka kelopak
matanya. Iris Violet miliknya berkaca.
“Nadim..!” Fazira
separuh menjerit dan membelakangkan langkahnya. “Tak mungkin!”
“Fazira… saya
Nadim. Nadim yang telah melukakan hati awak. Nadim yang telah membiarkan awak
pergi tanpa halangan. Maafkan saya Fazira.” Nadim menggenggam erat kedua-dua
tangan Fazira. Dia tidak tahu dari mana dia ingin mulakan sebenarnya. Dia cuma
mahu Fazira tahu yang dia tidak pernah mahu gadis itu pergi. Tidak pernah
sekali pun!
“Tolong jangan
dekati saya lagi.” Fazira melepaskan pegangan tangan Nadim darinya. “Saya milik
Ubaid. Saya takkan mungkin bersama awak lagi. Pergi sekarang sebelum Ubaid
balik. Pergi!”
“Fazira, beri saya
peluang untuk menjelaskan segalanya….”
Fazira mengalihkan
wajahnya dari Nadim dan mengelap pantas air matanya sebaik saja dia mendengar
derap kaki yang berjalan ke arah bilik Dr Ubaid.
“Nadim… tolong
jangan bagi tahu hal ini kepada Ubaid,” bisik Fazira dalam ketegasan tanpa memandang
wajah Nadim. Manakala Nadim pula hanya mampu menggelengkan kepalanya.
Pintu bilik Dr
Ubaid dikuak buka. Sekujur tubuh milik Dr Ubaid memasuki ruang pejabat
miliknya.
“Nadim… Fazira?
Awak berdua dah lama tunggu saya kat sini?”
****
“NADIM, aku dah tahu
hal ni dah lama sebenarnya.”
“Maksud kau? Kau
tahu yang aku kenal Fazira?” tanya Nadim dengan kerutan seribu di dahi. Ubaid
dah tahu? Tapi kenapa dia rahsiakan?
“Ya… aku dah tahu.
Aku juga tahu Fazira tak cintakan aku. Dia cuma terhutang budi dengan aku.” Dr
Ubaid mengeluh berat. Hatinya juga terluka. Namun apakan daya, gadis bermata
Violet itu tidak mencintai dirinya.
“Aku hanya
bertepuk sebelah tangan,” sambung Ubaid lagi dengan dekahan ketawa dihujung
kata.
“Ubaid… saya tak
bermaksud nak sakitkan hati awak atau menipu awak. Saya…” Fazira menunduk dan
menyambung kata-katanya, “Saya cintakan awak.”
“Fazira… tolong
jangan ucapkan perkataan tu kalau awak tiada perasaan yang mendalam untuk
menyatakannya,” jawab Ubaid. “Saya hanya nak awak bahagia dan… kebahagian awak
ada bersama Nadim.”
Fazira sebak. Dia
berasa bersalah dan pada masa yang sama dia tidak boleh mencintai Dr Ubaid
seperti dia menyayangi dan mencintai Nadim dengan sepenuh hatinya.
“Ubaid… aku tak
pun tak bermaksud juga untuk merosakkan hubungan kau dan Fazira. Kau kawan baik
aku.” Nadim kini berbelah bahagi. Ubaid, hatinya sungguh mulia.
“Semua orang
berhak untuk memiliki kebahagiaan. Begitu juga dengan kau, Nadim dan juga
Fazira,” jawab Dr Ubaid. Dia redha dengan apa yang terhampar buat dirinya.
Nadim tersenyum
kelat. Begitu juga dengan Fazira. Mungkin hari ini bahagia dan nasib
menyebelahi mereka. Tapi esok lusa, siapa tahu apa yang terhampar buat cinta si
gadis bermata Violet…
November 3, 2012 at 10:49 AM
hehehe ni yg sy suka ni novel online.