\\\'Sebagaimana
saya ambil anak mak dulu dengan cara baik..hari ni saya ingin pulangkan dengan
cara baik juga\\\'
Itulah kata-kata
yang menyentuh jwa saya bila membaca luahan hati seorang suami di satu laman
sosial..masa tu saya terpandang tajuk \\\' Wanita Cantik Selalu Curang\\\'.
Tertarik dengan tajuk itu, saya meneruskan membaca luahan hati itu sehingga ke
akhir kalam. Sungguh menyentuh jiwa. Teringat satu kes pembunuhan di dada
akhbar..tindakan seorang suami yang mencekik isteri sendiri baru-baru ini
akibat cemburu (Kes dituduh curang rasanya).Di sini saya garapkan luahan itu ke
sebuah cerpen untuk tatapan anda sebagai pembaca untuk menilai sendiri.
______________________________
RAZIF belek album
perkahwinannya yang berukir cantik dengan ukiran kelopak bunga di tepi kulit
album. Pandangannya kosong. Album ditatap lama. Dirasakan perkahwinannya sudah
hambar. Sehambar kuih yang dimakan di kedai makan sebelah pejabatnya sebentar
tadi. Sudah tiada rasa manis. Semuanya dirasakan sudah masam dan pahit. Gambar
demi gambar ditatap. Begitu manja Azreen memeluknya di kala mengukir memori
hari bersejarah mereka disatukan, hari yang menjadi idaman setiap pasangan.
Sedar tidak sedar, usia perkahwinannya dengan Azreen sudah mencecah empat belas
tahun. Suatu tempoh yang agak lama untuk sebuah perkahwinan. Perkahwinan yang
dibina atas dasar cinta sejati sejak zaman universiti lagi.
Razif pandang pula
kepada seorang anak gadis kecil yang lena tidur. Agaknya sudah hanyut dibuai
mimpi. Dia mengusap lembut rambut anaknya yang masih hijau tentang erti
kehidupan. Album perkahwinannya ditatap lagi. Segala-galanya kini sudah tidak
ada makna.
*****************
Memori zaman
percintaan cukup indah. Razif bangga dapat memiliki hati dan cinta Azreen,
gadis cantik yang menjadi rebutan mahasiswa ketika itu. Dia bangga kerana
Azreen memilihnya sebagai teman hidup. Sejak itu, ke hulu ke hilir, ke mana
saja, mereka tidak pernah berpisah sehingga digelar belangkas. Teman-teman
semuanya sudah maklum perhubungan Razif dengan Azreen yang pernah digelar ‘
Couple of the Year’.
Hati Razif semakin
berbunga bila lamarannya diterima keluarga Azreen. Bimbang disambar jejaka
lain, sebaik tamat pengajian, dia terus melamar Azreen menjadi isteri yang sah.
Maka bermulalah kehidupan mereka sebagai suami isteri yang bahagia. Dia dan
Azreen berjaya menjawat jawatan eksekutif di sebuah syarikat swasta terkemuka.
Walaupun mereka bekerja di syarikat berlainan, hubungan suami isteri terasa
semakin hangat. Azreen dihantar dan dijemput setiap hari bekerja. Setahun
melayari bahtera bersama, mereka dikhabarkan berita gembira. Razif bakal
menjadi seorang ayah. Hanya tuhan saja yang tahu hatinya ketika itu. Gembira
dan bersyukur dengan kurniaan tuhan.
Setahun berlalu,
lahirlah cahaya mata hati mereka yang pertama. Seorang puteri yang begitu
comel. Kehidupan Razif sungguh bahagia. Sofea, anak yang ditatang bagai minyak
yang penuh dijaga dengan penuh kasih sayang. Hari berganti hari, bulan berganti
bulan, tahun berganti tahun, Sofea membesar menjadi seorang anak gadis yang
cantik. Nyata kecantikannya diwarisi dari isterinya Azreen. Mulut dan hidung
Sofea pula banyak diwarisi dari dirinya. Razif bersyukur.
Kini Sofea sudah
berusia tiga belas tahun, sudah pandai bergaya. Razif dan Azreen bergilir
menghantar dan menjemput Sofea dari sekolah. Hidup mereka penuh bahagia. Namun
semua itu tidak lama. Azreen mula berubah sikap. Razif mula perasan sikap
dingin Azreen sejak dua tahun lalu sehinggalah pada suatu hari, Razif merasakan
ada sesuatu yang berubah. Azreen tidak lagi seperti dulu. Sejak Azreen sudah
memiliki kereta sendiri, Razif tidak dibenarkan menghantar dan menjemputnya
seperti biasa. Alasannya arah pejabat mereka berlainan. Azreen tidak mahu
menyusahkan Razif lagi. Razif akur kerana pejabat mereka berlainan hala.
Bermula saat itu,
Azreen semakin kerap pulang lewat dari pejabat. Banyak kerja katanya. Razif
tidak menaruh syak wasangka. Sejak mula Azreen bekerja, dia sudah maklum
kesibukan Azreen di pejabat tetapi kali ini kesibukan Azreen semakin
menjadi-jadi. Di rumah pula, Azreen mula berkepit dengan telefon bimbit. Ke
mana saja dia pergi, telefon bimbitnya pasti dibawa bersama. Hatta ke bilik
air, Azreen tidak pernah tinggal telefon bimbitnya. Razif mula merasa ada
sesuatu yang tidak kena. Pernah dia minta ingin melihat telefon bimbit Azreen
namun bermacam-macam-macam alasan diberi demi mengelak darinya. Tempoh empat
belas tahun perkahwinannya menyebabkan dia sudah masak dengan sikap Azreen luar
dan dalam.
Razif cuba selami
hati dan sikap Azreen yang mula berubah namun dia sendiri bingung. Layanan
Azreen semakin hambar. Jika dulu Azreen senang mendengar lawak yang dibuat
olehnya tetapi sekarang nyata Azreen sudah tidak peduli itu semua.
Kadang-kadang terasa Azreen seperti memaksa diri untuk senyum bila dia mula
bercerita kisah lucu.
Sejak itu, Razif
selalu berdoa setiap solat agar Allah memberikannya kebahagian dalam
mengharungi kehidupan berumah tangga. Sabar dalam menghadapi ujian Allah dan
Allah memberi petunjuk kepadanya dalam menangani kerenah Azreen.
Pagi itu, Azreen
ke bilik air tergopoh-gopoh sehingga terlupa membawa sekali telefon bimbitnya.
Razif hanya memandang Azreen yang tergopoh-gopoh berlari ke bilik air.
Tiba-tiba telefon bimbit Azreen berdering seakan nada sms. Rupanya Azreen
terlupa telefon bimbitnya yang disimpan di dalam laci tadi. Dia buka laci meja
solek perlahan-lahan. Hatinya membuak ingin tahu apa yang tertulis di skrin.
Cepat-cepat dia mencapai telefon. Tiada nama, hanya nombor saja yang tertera di
skrin. Jantungnya berdegup kencang. Mesej dibaca.
‘Hari ni lepas
kerja kita jumpa di tempat biasa’
Razif cepat-cepat
salin nombor telefon yang tertera di skrin dan mula padamkan mesej yang diterima.
Telefon bimbit diletak semula di tempat yang diambil tadi. Dia mula meraup
muka. Cepat-cepat dia turun ke bawah dan bersarapan bersama Sofea.
Dari meja makan,
Razif melihat Azreen turun dengan berbaju kurung dan bertudung cantik dengan
solekan nipis. Azreen senyum kepadanya. Dia cuba menahan gejolak di hati dan
bersikap seperti biasa. Pagi itu mereka sama-sama bersarapan.
“Hari ini giliran
abang kan hantar Sofea ke sekolah?”
Razif pandang
Azreen yang masih tersenyum. Dia turut senyum seolah tiada apa yang berlaku.
“Ya...” Razif
pandang Azreen yang begitu enak menikmati sarapan.
Selesai sarapan,
Azreen mencium tangan Razif dan mula memandu ke pejabat. Razif hanya senyum
hambar. Sikap Azreen seolah tiada apa kesalahan yang dia lakukan. Pagi itu
Razif menghantar Sofea ke sekolah. Sebelum keluar rumah, sempat dia mengambil
kamera video bersama. Bimbang anaknya bertanya, Razif turut merakam pemandangan
sepanjang perjalanan ke sekolah anaknya.
“Papa, kenapa papa
rakam pemandangan di sini? Untuk apa papa?” Sofea mula merasa pelik dengan
tindakan Razif yang tiba-tiba merakam pemandangan begitu.
“Err..papa ada
projek untuk dibuat. Papa kena guna kamera video ni sayang.” Razif teragak-agak
menjawab pertanyaan Sofea.
Nampak sangat dia
cuba berbohong. Selama ini dia tidak pernah berbohong dengan anaknya. Tidak
mahu mengajar Sofea kata-kata bohong tetapi kali ini dia terpaksa berbuat
begitu. Setelah menghantar Sofea ke sekolah, Razif nekad untuk mengetahui
perubahan sikap Azreen yang sudah tidak dapat ditafsir olehnya.
“Man, aku pinjam
kereta kau boleh?” Razif pandang Azman, teman baik semasa di universiti dulu
yang masih setia berkawan dengannya.
“Kenapa dengan
kereta kau Zif?”
“Ni kunci kereta
aku. Kau pakai kereta aku dulu. Aku nak guna kereta kau untuk hari ni je. Aku
ada hal penting. Nanti aku cerita. Boleh tak?” Razif menghulurkan kunci
keretanya kepada Azman.
Azman yang tidak
tahu apa-apa hanya mengambil kunci yang dihulur Razif. Kunci keretanya pula
dihulur kepada Razif. Razif memandu kereta Azman menuju ke pejabatnya.
Tengah hari pula,
setelah menjemput anaknya dari sekolah sekali lagi Sofea bertanya tindakannya
membawa kamera video bersama.
“Bos papa suruh
papa buat satu projek yang terpaksa guna video ni. Untuk permulaan, papa rakam
dulu Sofea pergi dan balik sekolah. Sudah lama papa tak guna video ni.” Razif
senyum. Biarlah dia berbohong sekali lagi.
Sofea turut senyum
sambil menunjukkan tanda ‘peace’ bila Razif merakam dirinya di sebelah
penumpang hadapan. Razif turut ketawa melihat gelagat Sofea yang lincah dan
sentiasa terukir dengan senyuman manis.
*************
SELESAI menghantar
Sofea ke rumah, Razif kembali semula ke pejabat. Tepat jam lima petang, dia
segera keluar dari pejabat. Hari itu dia perlu tahu segala-galanya. Dia segera
menjalani agendanya yang telah dirancang dengan penuh teliti. Semoga apa yang
terbuku di hati dan persoalan yang membuak-buak di mindanya terjawab hari ini.
Kereta Azman yang
dipinjam tadi dibawa laju menuju ke pejabat Azreen. Razif sengaja membawa
kereta Azman supaya tidak dikesan oleh Azreen nanti. Penyamarannya perlu
dilakukan dengan teliti. Lama dia menunggu di dalam kereta. Kereta diletak agak
jauh dari bahagian depan pejabat Azreen yang terletak di bangunan sepuluh
tingkat. Sesekali Razif jeling kamera video yang sudah bersedia untuk merakam.
Dia sudah nekad. Kereta Azreen pula masih tersadai di bahagian letak kereta
betul-betul berhadapan dengan pintu utama.
Razif lihat jam di
kereta. Sudah hampir lima setengah petang. Matanya memandang pula ke arah pintu
utama bangunan di depannya. Dari jauh dia sudah nampak Azreen keluar dari pintu
utama dengan senyuman manis. Namun Azreen tidak menuju ke arah kereta Honda
Civic kepunyaannya sebaliknya dia menuju ke sebuah kereta mewah berwarna hitam.
Pintu kereta dibuka sambil tersenyum. Segala gerak geri Azreen dirakam dengan
penuh teliti.
Kereta Razif mula
bergerak bila melihat kereta hitam di depannya sudah mula bergerak. Dia ikut ke
mana saja kereta hitam itu pergi dalam jarak yang selamat. Baru beberapa minit
bergerak, Razif pandang telefon bimbitnya yang berbunyi nyaring. Dia jeling
nama yang tertera di skrin. Azreen! Hatinya mula gelisah, bimbang Azreen dapat
menghidu tindakannya mengekori begitu. Perlahan dia menjawab.
“Hello bang! Az
lambat sikit hari ni. Az masih kat pejabat ni. Hari ni kena buat overtime,
mungkin sampai malam sebab nak siapkan bahan-bahan untuk meeting
esok.”
“Ok..”
Razif hanya senyum
hambar. Pilu dan luluh hatinya memikirkan betapa Azreen berbohong kepadanya
namun dikuatkan juga hati demi mencari kebenaran apa yang terjadi sebenarnya.
Matanya tidak lepas dari memandang kereta hitam. Nyata Azreen tega menipu di
depan matanya sendiri sedangkan dia tahu saat ini Azreen berada di dalam kereta
hitam itu yang sedang meluncur laju. Hatinya sebak. Tidak sangka Azreen sanggup
menipunya begitu. Perlahan keretanya mengekori kereta hitam itu yang menuju ke
sebuah restoran mewah. Dari situ Razif sekali lagi merakam segala gerak geri
Azreen setelah dia meletak keretanya agak jauh dari kereta hitam itu. Hatinya
berdetik kuat. Nyata Azreen keluar dengan seorang lelaki yang jauh lebih muda
darinya sebaik sahaja lelaki itu keluar dari perut kereta. Dia terus merakam
segala perlakuan Azreen dan lelaki muda itu. Pada hemahnya, lelaki itu memang
orang berada. Azreen dengan mesra memaut lengan lelaki itu sambil melentukkan
kepalanya di bahu lelaki itu.
Dari dalam kereta,
Razif masih merakam perlakuan mereka. Kali ini lelaki itu pula memeluk bahu dan
membetulkan tudung Azreen sambil sebuah kucupan mesra singgah di pipi gebu
Azreen. Sekali sekala mereka ketawa kecil. Razif mengurut dada. Kalau ikutkan
hati, mahu saja dia menghadiahkan sebiji buku lima ke muka lelaki itu. Azreen
pula mahu rasanya dia lempang sehingga terduduk. Namun itu semua hanya ilusi
dirinya. Biarlah begitu. Rakaman itu nanti menjadi bukti kukuh untuknya
berhujah dengan Azreen nanti.
“Az..sanggup kau
curang dengan aku..” Tanpa sedar, air mata lelakinya tumpah jua melihat
kecurangan Azreen di depan matanya sendiri.
Terasa lenguh
seluruh badan setelah tiga jam berada di dalam kereta memerhati gerak geri
Azreen dan lelaki itu. Waktu Asar dan maghrib terlupus begitu sahaja. Razif beristighfar
bila mengenangkan dia telah berdosa meninggalkan kewajipan kepada Allah
semata-mata ingin mencari kebenaran.
Azreen dan teman
lelakinya mula keluar dari restoran itu. Razif cepat-cepat tunduk dan mula
menghidupkan enjin. Perlahan dia mengekori kereta hitam itu sebaik saja kereta
itu mula bergerak. Perasaannya semakin membuak ingin tahu ke mana pasangan
dilanda mabuk cinta itu menghala. Razif mengekori berhati-hati agar
kehadirannya tidak dihidu oleh mereka. Dari jalan yang dilalui, nyata kereta
hitam itu kembali semula ke pejabat Azreen.
“Mungkin lelaki
itu ingin menghantar Azreen di situ kerana kereta Azreen masih di tempat letak
kereta..” Razif berkata sendiri. Kamera video masih merakam aksi mereka.
Tekaan Razif nyata
salah. Kereta hitam itu bergerak perlahan ke belakang bangunan yang gelap dan
sempit. Jam di dashboard sudah hampir lapan malam. Dalam keadaan gelap
begitu, Razif beranikan diri keluar dari kereta sambil membawa bersama kamera
video. Dia nekad untuk merakam segala perbuatan Azreen walaupun dalam keadaan
gelap begitu. Dia menapak perlahan ke arah kereta hitam yang mula berhenti di
lorong belakang bangunan dengan deruman enjin masih kedengaran. Pemandangan
gelap begitu, dia terpaksa menggunakan fungsi rakaman dalam gelap untuk rakaman
yang lebih baik. Dia mula mencari tempat yang sedikit tersorok agar tidak
disedari oleh Azreen.
Hatinya berdegup
kencang. Tak sanggup melihat perlakuan pasangan sejoli itu di dalam kereta.
Jelas dia melihat bibir mereka bertaut. Walaupun rasa terseksa, Razif gagahkan
diri merakam segala aksi pasangan itu. Dia mengucap panjang bila lelaki itu
mula merebahkan kerusi Azreen dan bermulalah kemurkaan Allah. Azreen nyata
terlalu jauh hanyut dibuai pelukan lelaki itu sehingga ke tahap itu. Tanpa
disedari air matanya menitis lagi. Kebenciannya mula meluap-luap melihat
perlakuan zina di depan mata. Mahu saja dia menamatkan riwayat kedua makhluk
yang leka melakukan maksiat. Dia terus beristighfar panjang.
Razif cepat-cepat
beredar setelah segala perlakuan Azreen dan teman lelakinya dirakam dengan
baik. Dalam keadaan gelap begitu, dia meraba-raba menuju ke arah keretanya
semula. Kereta dipandu laju meninggalkan tempat hitam itu. Kereta Azman
dipulangkan dan mengambil keretanya sebelum kembali ke rumah.
SAMPAI di laman
rumah, Razif segera memindahkan rakaman tadi ke dalam CD. Dia sudah siap
meletakkan komputer riba di dalam kereta. Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah,
kelihatan Sofea sudah berada di ruang tamu sedang leka membuat kerja sekolah.
“Papa baru balik?
Dah siap ke projek tu?” Sofea senyum sambil memeluk Razif.
“Ya sayang. Dah
makan?” Razif mengusap rambut Sofea. Dia mula rasa bersalah membiarkan Sofea
menikmati makan malam seorang diri.
“Dah papa. Makcik
esah dah masak tadi. Mama mana?”
“Mama banyak kerja
sayang..” Razif gagahkan diri memuji Azreen depan Sofea.
Razif segera ke
bilik untuk membersihkan diri. Perlahan sejadah dibentang. Dia berdoa sambil
menangis memohon ampun kepada Allah selesai solat isyak tadi. Kerana tidak mahu
terlepas walau sedetik pun perlakuan Azreen, solat Asar dan maghrib terlepas
begitu sahaja. Dia meraup muka menangis di tikar sejadah.
“Ya Allah!
Ampunkan aku ..jika aku di pihak yang benar, Kau berilah kekuatan kepada ku ya
Allah. ”
Lama Razif berteleku
di atas sejadah sambil menyesali tindakannya meninggalkan dua solat fardu tadi
semata-mata kerana Azreen. Dia menyesal sungguh-sungguh. Terus diqadha solat
yang tertinggal tadi. Dia menangis dalam doa. Hatinya sebak memikirkan apakah
dosanya dikurniakan isteri yang menjalani kehidupan yang bengkang bengkok
begitu.Sejadah dilipat dan diletak di atas rak di tepi al Quran. Razif pandang
jam di atas meja tepi. Sembilan setengah malam. Dia melihat sekitar bilik.
Bilik yang dulunya penuh dengan bunga-bunga cinta yang disemai bersama Azreen
kini dirasakan seperti berada di sebuah bilik usang yang penuh bersarang.
Razif jenguk
keluar tingkap bila mendengar deruman kereta Azreen di laman. Dia segera
menapak ke katil sambil membaca buku motivasi kegemarannya.
“Abang dah makan?”
Razif memandang
Azreen yang sudah berada di muka pintu bilik sambil tersenyum. Dalam hatinya
begitu meluat melihat sikap Azreen yang seolah tidak ada apa-apa berlaku.
Senyuman yang diukir di bibirnya hanyalah untuk menutup sebuah kemurkaan.
“Sudah..” Razif
menjawab hambar.
Razif perhati lagi
Azreen yang kelihatan letih. Ah..aku sudah tahu semua itu. Dia lihat
baju kurung dan tudung yang dipakai Azreen nyata kemas sebagaimana kemasnya
sewaktu Azreen pergi kerja pagi tadi.
Pandai sungguh
kau berlakon Az.. rintih hati Razif.
Razif hanya
memerhati Azreen ke bilik air setelah pakaiannya dilonggokkan di dalam bakul di
tepi bilik air. Malam itu, Azreen mengenakan baju tidur yang cukup membuatnya
terpesona. Namun Razif tahu, itu semua helah Azreen untuk menggodanya dengan
berpakaian begitu. Ingin menutup kesalahan yang telah dilakukan tadi. Senyuman
manja Azreen yang cuba menggodanya tidak sedikit pun membuatkan hatinya cair.
Kalau dulu, dia cukup terpesona dengan senyuman itu tapi kini dirasakan semuanya
palsu. Dia tahu Azreen ingin bersamanya malam itu semata-mata untuk mengelak
benih lelaki itu tumbuh subur di dalam rahimnya. Jika ditakdirkan Azreen hamil,
sudah tentu benihnya nanti yang hidup di rahim Azreen. Pandai Azreen mengatur
rancangan. Masa bahagia dulu, jika lima kali dia meminta, lapan kali Azreen
sanggup bagi. Tapi sejak Azreen berubah melekat dengan telefon bimbitnya, lima
kali dia minta, hanya sekali yang dia dapat.
“Bang..kenapa
ni..” Azreen mula memeluk Razif yang hanya sepatah menjawab.
“Lambat balik hari
ni?”Razif lepaskan tangan Azreen yang memeluknya begitu.
“Banyak perkara
yang perlu disiapkan tadi”
“Kalau Az sudah
ada lelaki yang lebih baik, abang sedia lepaskan Az..” Razif memulakan bicara
yang dipendam sejak tadi.
Azreen terkejut
dengan kata-kata yang keluar dari bibir Razif.
“Apa abang cakap
ni?? Saya tiada siapa-siapa selain abang seorang! Abang tu yang kuat cemburu!”
Azreen mula menyangkal tuduhan Razif.
“Abang tidak
cemburu tapi abang dapat rasa yang Az berbohong pada abang.” Razif dengan
tenang meluahkan apa yang terbuku di hati.
Wajah Azreen mula
berubah rona namun dia terus menyangkal sangkaan Razif. Sebaliknya Azreen cuba
mengalih topik perbualan dan cuba menggoda Razif agar menggaulinya malam itu.
Razif tidak
menghiraukan godaan Azreen yang beria meminta ingin bersama malam itu.
Dibiarkan Azreen seorang diri di bilik. Dia segera menapak ke bilik anak
gadisnya.
“Sofea..maafkan
papa..” Razif cium dahi anak gadisnya.
Malam itu Razif
tidur di ruang tamu. Hatinya sudah sakit. Baginya dia hanya menunggu masa yang
sesuai saja.
***************
SEJAK itu, Razif
tidak lagi bermesra dengan Azreen. Setiap pertanyaan Azreen dijawab dengan
hanya sepatah saja. Dia lebih banyak diam dari berkata-kata. Bila malam pula,
dia membatukan diri macam tunggul. Jika dirasakan jiwa lelakinya tergugat
dengan godaan manja Azreen, dia cepat-cepat tidur di bilik lain.
Azreen pula mula
tidak faham dengan sikap Razif yang mula berubah. Tidak lagi mesra seperti
dulu. Jenuh dia bertanya, Razif tetap dengan sikap acuh tak acuhnya.
“Bang..kenapa
ni..apa yang Az tanya, sepatah abang jawab..” Azreen merapati Razif yang asyik
menonton tv bersama Sofea.
Razif masih diam.
Sesekali dia berbual dengan Sofea sambil mengajar Sofea menyelesaikan kerja
sekolah.
“Sofea..hujung
minggu ni papa nak balik rumah opah, Sofea nak ikut?” Razif mula mengatur
rancangan.
“Nak! Sofea rindu
kat opah!” Sofea melompat kegembiraan. Sudah lama dia tidak bertemu nenek kesayangannya
di kampung.
Azreen yang berada
di sebelah Razif masih terpinga-pinga. Tiba-tiba saja Razif ingin pulang ke
kampung.
“Abang nak balik
kampung?”
“Ya..” Sepatah
Razif menjawab tanpa memandang Azreen.
“Tapi mengapa
tergesa-gesa bang..kenapa tiba-tiba?” Azreen seolah tidak puas hati dengan
cadangan Razif.
Razif hanya
mendiamkan diri. Dia jeling Sofea yang sudah tersengih-sengih begitu. Wajah
ceria Sofea cukup membahagiakannya.
“Abang ada hal
penting nak bincang dengan mak dan ayah Az” Razif pandang pula Azreen yang
nyata masih terpinga-pinga dari tadi.
Hujung minggu,
Razif mula berkemas dan meletakkan beg besar di belakang kereta. Sofea tidak
henti-henti bercakap tentang opah dan mak usunya, adik Azreen. Dia tahu, Sofea
begitu rapat dengan adik iparnya sejak kecil lagi. Sayang benar Sofea dengan
mak usunya. Sepanjang perjalanan ke kampung, Razif banyak diam dari berbicara.
“Bang..Az
peliklah. Cakaplah bang..kenapa abang tiba-tiba nak balik rumah mak ayah Az
ni?” Azreen terus mendesak.
Razif masih membisu.
Sesekali dia layan Sofea yang petah bercakap.
Azreen pula mula
merasa tidak sedap hati dengan sikap Razif yang berubah begitu. Hatinya mula
berdegup kencang bila sampai saja di perkarangan rumah mak dan ayahnya.
“Assalamualaikum
ayah, mak!” Razif mencium tangan kedua mertuanya. Azreen turut berbuat
demikian.
Sofea pula mula
mendapatkan mak usunya.
“Zif,
Az..tiba-tiba je balik. Ada hal penting ke?” Ibu Azreen peluk Azreen dan Sofea
yang berada di sebelahnya.
“Naiklah” Ayah
Azreen pula pelawa.
MALAM itu, selesai
makan malam, Razif mula berbual dengan ibu dan ayah mertuanya di ruang tamu.
Sebelum itu, dia terlebih dulu menyuruh Sofea masuk ke bilik bersama mak usu.
Azreen semakin
tidak sedap hati dengan sikap Razif. Dia pandang Razif yang masih duduk di sebelah
ayahnya.
“Ada hal penting
apa Zif nak bincang dengan kami?” Ayah mula bersuara.
“Mak..ayah..sebagaimana
Zif ambil Azreen dengan baik, macam tulah juga Zif ingin pulangkan semula
Azreen kepada mak dan ayah..” Razif menyusun kata. Berhati-hati.
Azreen tersentak.
Dia pandang Razif yang tenang menutur bicara mukadimah.
“Bang! Apa abang
cakap ni? Az tak faham!” Azreen mula tidak mengerti dengan butir bicara Razif
yang dirasakan ada maksud tersirat.
“Ha’a Zif..apa
maksud Zif ni?” Mak pula mencelah. Dahi tuanya berkerut.
“Tanyalah Az
sendiri..” Razif tunduk. Dia sebenarnya tidak sanggup meluahkan apa yang
dilihat.
Ibu Azreen mula
memandang Azreen yang masih kebingungan.
“Az pun tak tahu
mak, ayah..Az tak faham kata-kata abang Zif!” Azreen masih berpura-pura.
“Baiklah..saya
sebagai seorang suami, tidak mahu dituduh dayus bila membiarkan isteri sendiri
berzina di depan mata saya.” Razif memulakan inti cerita.
Masing-masing
tercengang dengan kata-kata Razif.
“Zif..ayah tak
faham. Kamu ada bukti ke menuduh anak ayah begitu?” Ayah mula bertutur serius.
Razif angguk.
“Mak pun tak
percaya! Mana buktinya?” Mak pula menyoal. Razif faham bila anak gadis dituduh
curang begitu, ibu mana yang tidak marah.
Razif hanya diam
bila Azreen mula menuduhnya cemburu dan bersangka buruk. Azreen mula
pertahankan dirinya di hadapan ibu bapanya.
Az..kau boleh
menipu mak dan ayah tapi kau tak boleh menipu aku…
“Mak..ayah..saya
tidak menuduh Az tanpa bukti. Jika mak dan ayah tidak percaya kata-kata saya
dan percaya kata-kata anak mak dan ayah sendiri, baiklah!” Razif mula membuka
beg komputer riba yang dibawa bersama.
Sekeping VCD
diambil dari celah poket beg dan dipasang di tv. Mak dan ayah Azreen terbeliak
melihat sebaik saja VCD dimainkan. Azreen mula pucat muka. Sungguh dia tidak
menyangka sejauh itu Razif menyiasat.
“Mak dan ayah
nilai sendiri. Video ni saya sendiri yang rakam. Kalau saya upah orang lain
mungkin mak dan ayah tidak percaya. Saya sendiri mengekori Azreen dari pejabat
sehinggalah adegan dalam kereta itu.” Razif menutur tenang.
Razif lihat mak
dan ayah Azreen terlopong melihat rakaman video. Mak Azreen mengucap panjang,
berkali-kali.
Azreen terduduk.
Serentak itu juga, dia menangis meraung-raung memegang kaki Razif yang masih
duduk di sebelah ayah.
“Bang..maafkan Az
bang..maafkan Az. Az takkan buat lagi..ampunkan Az bang!”
Razif tidak
menghiraukan kata-kata Azreen. Video masih terpasang. Mak dan ayah Azreen
masing-masing terdiam. Bukti sudah ada depan mata.
“Papa! Kenapa
lelaki tu peluk mama? Siapa lelaki tu? ”
Razif terkejut.
Dia menoleh ke arah Sofea. Rupanya Sofea dan adik Azreen sudah tercegat di
ruang tamu. Adik Azreen turut terkejut melihat adegan dalam video itu.
Cepat-cepat dia tarik tangan Sofea masuk ke bilik semula.
Razif pula tidak
sempat menutup video yang terpasang tadi. Sofea sudah melihat segala-galanya.
Dia mula tunduk. Entah apa Sofea fikir nanti melihat ibunya sendiri berkelakuan
begitu. Dia pandang pula Azreen yang masih merayu memohon maaf kepadanya.
“Az..dengan
sedar..aku lepaskan kau..aku ceraikan kau dengan talak satu. Kau bebas
sekarang.” Razif bangun dan masuk ke bilik.
Sebaik keluar dari
bilik, di tangannya sudah ada beg pakaian. Malam itu juga dia bertolak ke KL
semula. Sofea ditinggalkan di situ buat sementara. Dia dengan Azreen bukan lagi
muhrim.
SEJAK itu, dia
mula memohon hak penjagaan terhadap Sofea. Alhamdulillah, mahkamah memihak
kepadanya. Dia menang kes itu. Sofea kini berada dalam jagaannya. Sekali
sekala, dia akan bawa Sofea jumpa opah dan adik Azreen. Mereka sangat rapat.
Razif tidak mahu memutuskan ikatan kasih sayang yang terjalin sekian lama
walaupun hatinya sendiri terluka setiap kali menjejakkan kaki ke rumah itu.
Dari cerita bekas
mertuanya, dia dapat tahu Azreen sudah berkahwin dengan teman lelakinya itu.
Razif lega kerana lelaki itu sudi mengambil Azreen sebagai isteri yang sah
digauli. Setiap kali dia membawa Sofea menjenguk opah di kampung, kadang-kadang
sahaja dia bertembung dengan Azreen yang kebetulan juga pulang ke kampung tapi
tanpa suami di sisi. Wajah manis dan badannya yang dulunya montok kini sudah
mula kurus kering. Pucat. Rupanya Azreen makan hati dengan suami barunya itu
yang mula curang dengan perempuan lain.
****************
RAZIF menutup
album bila melihat Sofea sudah terjaga dari tidur. Dia cepat-cepat menyapu air
mata yang masih bergenang walaupun tidak menitis. Album diletak di dalam laci
meja belajar anak gadisnya semula. Hanya itu kenangan yang disimpan dan ditatap
Sofea bila rindukan mamanya.
“Papa…belum tidur
lagi?” Sofea genyeh mata.
“Belum
sayang..tidurlah. Esok nak sekolah.” Razif cium dahi Sofea dan menarik selimut
hingga ke paras dada.
Lampu utama bilik
ditutup dan hanya lampu kecil tepi katil saja dibiarkan bernyala. Sebelum
keluar dari bilik Sofea, sekali lagi matanya tertancap pada sekeping bingkai
gambar yang diletakkan atas meja belajar Sofea. Gambar mereka bertiga yang
diabadikan ketika hari raya. Begitu bahagia saat itu. Namun semuanya telah
musnah. Sebagai suami, tidak mungkin dia tega melihat Azreen hanyut dalam
maksiat yang dicipta sendiri. Aku bukan dayus!
Azreen..itulah
hukum karma. Aku simpati dengan nasibmu tapi maaf, aku bukan dayus.