Nafas Arman turun
naik ketika membaca kertas yang dipegang. Angin yang datang dari penghawa
dingin tidak terasa. Kalau boleh, ingin diterbalikkan katil hospital namun
keadaan dirinya tidak membenarkan.
' Tak guna!' Arman
menjerit tanda marah. Pasu bunga yang dibawa oleh rakan sekerja ditolak dari
meja di tepi katil. Serentak itu, ruang hospital bahagian selepas pembedahan
bergema dengan laungan Arman.
+++++++
Hari Ahad, hari
paling digemari oleh ramai orang termasuk Arman. Semenjak bekerja separuh masa
begini, hari Ahad jadi lebih bermakna. Merupakan elajar tahun dua jurusan
multimedia, Arman terpaksa kerja sambil belajar untuk mengumpul duit membeli
kamera sebagai persediaan untuk semester depan.
' Pelaburan masa
depan. Bagus untuk dimasukkan sebagai pengalaman bekerja dan untuk duit beli
kamera,' terang Arman bila ditanya oleh ayah tentang keputusan untuk bekerja
sambil belajar.
Hari sebenarnya
masih awal, baru jam lapan tiga puluh pagi. Teman-teman sebilik Arman masih
belum bangun tetapi kerana sudah terbiasa bangun awal, matanya tidak mahu lena
kembali. Maka, dihidupkan komputer untuk menonton filem yang baru sahaja dimuat
turun.
Baru sahaja Arman
ingin memakai earphone, telefon yang diletakkan di atas meja bergetar. Dengan
malas, dia melangkah ke meja. Tertera di skrin nama Lily.
Seboleh mungkin
Arman mengawal suara untuk menjawab panggilan telefon kekasih hatinya itu
walaupun sebenarnya rasa malas bersarang di hati. Sempat juga Arman berdoa
supaya Lily tidak mengajak dia keluar ke bandar kerana badan masih terasa penat
akibat berjaga lewat malam untuk menyiapkan kerja kursus.
' Pagi, awak,'
Arman menyapa. Suara ditekankan untuk mewujudkan ilusi riang. Takut nanti Lily
kecil hati.
' Pagi! Awak,
nanti tengahari kita makan sama ye? Ingat tak saya cakap tentang cupcake?' Lily
menyahut dengan suara yang cukup teruja.
' Mabuk gula
agaknya dia ini. Ceria semacam,' bisik hati Arman.
' Boleh. Ya, saya
ingat tentang cupcake yang awak pernah sebut tu,' Arman menjawab sambil
berjalan kembali ke atas katil. Hancur harapan untuk berehat seharian.
' Kita jumpa pukul
sebelas setengah ye? Awak datang rumah saya,' sambung Lily.
' Baik. Jumpa
nanti,' Arman mengiyakan sahaja. Kalau sudah sayang, beginilah. Tetapi untung
juga kalau dapat rasa kek cawan percuma. Kalau nak harapkan Arman ke kedai dan
membeli manisan tersebut, memang tidak akan sempat sekalipun dia cukup gemar
makan kek cawan. Lagipun, Lily pernah memberi biskut yang dibakar sendiri dan rasanya
agak sedap. Tidak rugi kalau jadi tukang rasa masakan Lily.
Tepat jam sebelas
setengah pagi Arman sudah berdiri di depan rumah sewa Lily. Rumah mereka
berdekatan, cuma selang tiga rumah sahaja. Selalu juga Lily memasak untuk
Arman, lebih-lebih lagi waktu hujung minggu. Yang jadi istimewa kali ini adalah
ini merupakan kali pertama Lily cuba untuk memasak menggunakan ketuhar yang
diberikan oleh ibu.
Arman tidak perlu
menunggu lama seperti selalu kerana Lily sudah siap. Dengan sekaki payung dan
sebuah bekas makanan, Lily berjalan ke arah teman lelakinya. Mereka bersiap
sedia untuk berjalan ke kedai makan yang berdekatan.
Lily mendekati
Arman dengan senyuman. Mustahil Arman membiarkan sahaja senyuman itu terbazir.
Ia disambut mesra sambil Arman cepat-cepat mencapai payung yang Lily pegang
untuk melindungi buah hatinya itu daripada panas matahari.
' Bila awak buat
cupcake ni? Wangi betul baunya tadi,' Arman memuji, ikhlas. Bau dari dalam
rumah Lily tadi betul-betul membuatkan dia kecur liur.
' Lepas Subuh tadi
saya terus buat. Rasanya, saya memang nak cuba untuk jual cupcake ini,' Lily
bercakap sambil membetulkan pashmina di kepala.
' Baik. Apa yang
saya boleh bantu?' Arman bertanya. Biskut yang pernah dijual oleh Lily
sebenarnya mendapat sambutan ramai di kampus mereka.
' Awak tolong rasa
boleh? Untuk permulaan, saya mahu cuba buat tiga perisa. Yang ada dalam bekas
ini perisa coklat, vanila dan strawberi.'
' Sedap tu. Baik,
nanti saya cuba.'
++++++
Bermula daripada
hari itu, Lily kerap menghantar kek cawan untuk Arman, samada untuk dirasa
ataupun baki jualan yang tidak habis untuk hari itu. Hari jualan Lily adalah
pada hari Rabu dan Ahad maka kedua-dua hari ini, memang rezeki Arman cukup
murah dengan kek-kek kecil yang dibuat oleh Lily.
Sememangnya Lily
pandai berniaga. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa rumah sewa Lily sudah
hampir serupa dengan bakeri kecil. Untung jadi anak orang kaya seperti gadis
itu kerana keluarganya dengan murah hati menyewakan seluruh rumah untuk Liy dan
seorang lagi adiknya yang juga sedang belajar di tahun satu.
Setiap minggu,
perisa kek cawan Lily sering bertukar. Hampir setiap hari sebenarnya Lily
menghantar kek cawan ke rumah Arman untuk memastikan resepi kek cukup sempurna.
Masuk sahaja minggu kedua, kek cawan memang sudah tersedia di dalam menu
harian. Mana mungkin Arman dapat menolak kek cawan buatan Lily yang sedap dan
pelbagai.
Ada juga kek-kek
cawan Lily yang dijual pada rakan sekerja Arman. Ini bukan hanya menggembirakan
Lily tetapi Arman juga kerana ini bermakna akan ada kek cawan lebih untuk
Arman.
Dua bulan sudah
berlalu. Arman dan Lily jarang bertemu seperti dahulu. Kalau adapun, selalunya
untuk membincangkan tentang perniagaan Lily di depan pagar rumah atau di depan
kelas sebelum kuliah. Kadang-kadang mereka bertemu untuk promosi bakeri Lily.
Sudah jarang benar mereka bertemu janji seperti dulu apatah lagi bila Arman
juga sibuk dengan kerja khusus yang memerlukan dia duduk mengadap skrin
komputer.
Suatu hari, Arman
tergerak untuk bertemu dengan Lily. Dua hari lagi Arman tidak bekerja dan
kebetulan pula duit simpanan Arman sudah cukup untuk membeli sebuah kamera.
' Awak, sibuk tak
hari Khamis nanti?' Itu bunyi pesanan ringkas Arman untuk Lily.
' Awak ada
rancangan ke? Kalau nak diikutkan, saya nak cuba satu lagi perisa baru.'
' Kita jumpa? Lama
tak dating :p.'
' Mengadanya!
Boleh :)'
+++++
Lain rasanya bila
lama tidak bertemu tanpa berbincang tentang kerja. Berdebar rasanya hari itu
waktu Arman menyarungkan kemeja biru untuk bertemu Lily. Lama juga tidak
berjumpa Lily pada waktu siang hari kerana selalunya, Arman akan singgah di
pintu pagar rumah Lily untuk mengambil kek cawan.
Bila sahaja Lily
masuk ke dalam kereta yang disewa oleh Arman, terus sahaja dia menegur akan
fizikal teman lelakinya itu.
' Eh, awak dah ada
pipi!' kata Lily seolah sedikit terkejut.
' Selama ini tak
ada ke?'
' Adalah tapi...
Kejap. Ini mengandung berapa bulan?' Lily menegur sambil menunjuk perut Arman.
Arman cuma ketawa.
Suka sangat Lily mengusik padahal selalu juga mereka berjumpa pada waktu malam.
Hari itu, mereka
ambil keputusan untuk menghabiskan masa untuk diri sendiri. Tiada siapa yang
boleh berbicara tentang kerja kerana ini masa berkualiti mereka.
Cuaca terasa
sungguh panas. Sekejap-sekejap Arman teguk air kosong. Terasa benar penat bila
mereka berjalan dari satu kedai ke satu kedai untuk mencari kamera. Mungkin
kerana penat pekerja sepanjang minggu.
' Sekejap ye,
awak? Saya nak pergi tandas,' Arman menghulurkan botol air yang separuh berisi
kepada Lily.
' Lagi? Kan tadi
awak dah pergi?' Liy bertanya, hairan. Kerap benar rasanya Arman ke tandas.
' Saya banyak
minum kan?' Arman menjawab sambil separuh berlari ke bilik air. Lily hanya
mengangguk sambil melangkah ke dalam sebuah kedai pakaian.
Pulang sahaja
daripada temujanji dengan Lily, Arman terasa letih betul. Lain macam betul rasa
letih ini tetapi digagahkan juga berjaga untuk menyiapkan projek 3D yang
diberikan oleh pensyarah. Entah bila Arman terlelap pun dia tidak pasti.
Tahu-tahu sahaja dia sudah terbaring di atas lantai.
Keesokan paginya,
Arman terasa begitu lesu. Kalau diikutkan hati, memang dia tidak mahu ke kelas.
Namun, bukan hari ini kerana Arman perlu mengetuai sebuah pembentangan.
Seperti semalam,
pensyarah Arman turut sama menegur fizikal Arman yang dikatakan semakin berisi.
' Gemuk sangatkah
aku?' Arman bertanya sambil melihat ke dalam cermin. Bila lama-lama dilihat,
ada juga kelihatan pipi Arman yang semakin tembam. Perut juga sedikit buncit.
Tetapi, bagus juga kerana dulu Lily selalu merungut Arman terlalu kurus
sehingga terasa rendah diri berjalan di sebelahnya.
' Eloklah. Taklah
nampak macam tiang berjalan,' getus hati Arman.
Rutin seharian
masih diteruskan. Usaha Lily menjual kek cawan juga diteruskan. Gadis itu
memang teringin benar berniaga dan seronok memasak. Sekalipun sudah tidak
memerlukan tukang rasa, Arman tetap juga selalu singgah ke rumah Lily untuk
satu atau dua kek cawan.
' Ketagih,"
kata Arman sambil tersengih. Lily tersenyum lawa. Ini membuktikan keknya cukup
laku. Untung juga bila Arman rajin menjadi tukang rasa kerana Lily tidak begitu
suka makanan manis. Disebabkan terharu dengan sokongan Arman, kek cawan yang
diberikan selalunya pasti lebih daripada dua.
+++++++++
Semuanya
berlangsung seperti biasa. Memandangkan musim peperiksaan sudah hampir, Arman
mengambil keputusan untuk cuti sementara dan menelaah di perpustakaan dengan
Lily, seperti biasa. Untuk memastikan Arman tidak mengantuk, Lily dengan
sukarela membawa kek cawan ke perpustakaan.
Namun, ada sesuatu
yang menganggu. Arman kerap ke bilik air hingga ditegur oleh Lily. Bukan hanya
Lily, Arman juga sebenarnya sedar akan masalah itu. Malah, dia kerap haus dan
semakin kerap ke bilik air pada waktu malam.
' Saya temankan
awak pergi jumpa doktor nanti ya?'
Dan berita yang
diterima daripada doktor cukup untuk membuatkan Arman rasa dunia mahu terbalik.
' Semoga cepat
sembuh,' Aini, jururawat yang menjaga Arman membaca kad yang dilempar pesakit
itu ke lantai. Ia datang dari Lily. Entah siapalah Lily ini pada pesakit yang
sedang terbaring di atas katil.
' Awak buang saja
kad itu. Dia punca saya jadi begini,' Arman bercakap dengan muka masam. Mata
Aini merayap ke bahagian kaki Arman.
' Kesian kan? Baru
22 tahun dah kena potong kaki,' Aini teringat kata-kata Rohaya, jururawat yang
turut sama menjaga Arman.
Arman cuma
terbaring memandang siling. Ini semua kek cawan punya angkara.