Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Yuhana baru
pulang daripada tempat kerjanya selepas lebih kurang setengah jam memandu
seorang diri ke rumahnya di Serdang. Hatinya masih lagi panas kerana terpaksa
balik lewat hari itu gara-gara pengurusnya yang suka memberi kerja di saat
akhir.
Kunci kereta
dibaling ke atas meja sejurus sahaja Yuhana membuka pintu biliknya. Tudung
ditarik, dan tubuh mongel Yuhana terus dilabuhkan ke atas katil. Peluh di dahi
diseka, rambut panjang Yuhana masih diikat dengan gelang getah. Baju kurung
yang dipakai sejak pagi dibiarkan. Rasa malas untuk mandi. Yang pentingnya
Yuhana mahu berehat untuk seketika.
Cahaya bulan
yang menyinari daripada tingkap bilik Yuhana sudah cukup terang untuk Yuhana
nampak barang-barang di sekelilingnya, maka Yuhana membiarkan lampu bilik tidak
dibuka. Alat kawalan jauh untuk penghawa dingin dicapai daripada tepi bantal
dan terus sahaja dihidupkan. Yuhana mengeluh. Blackberrynya senyap. Tiada
apa-apa mesej daripada teman lelakinya Haris, maka pantas sahaja jari-jemari
runcing Yuhana menekan-nekan punat Blackberry tersebut melepaskan kata-kata
rindu.
Muka Yuhana
kelihatan letih dalam balam warna putih hasil lampu LED Blackberrynya. Leka
melayan BBM dengan Haris, Yuhana tidak sedar ada lembaga berbulu sedang duduk
di sudut biliknya; bergerak-gerak dalam gelap. Kelihatan seperti ia
meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada ikatan. Seketika kemudian lembaga
itu kelihatan berjaya meloloskan diri daripada ikatannya di tangan dan kaki;
dan ia berdiri tegak dalam gelap. Hampir semeter tingginya.
Lembaga
tersebut mendekati kaki Yuhana yang terlunjur dan mengusapnya dengan tangannya
yang berbulu. Yuhana masih lagi tidak sedar dan hanya menggerakkan kaki
sedikit, refleks daripada efek kegelian dgn bulu lembaga tersebut. Kelihatan
wajah lembaga tersebut sedikit mengerikan, dengan calar yang panjang di pipi
serta mata yang hampir tercabut daripada soketnya.
Perlahan-lahan
beruang itu pergi ke meja solek Yuhana, dan dia ternampak dua jenis alat yang
boleh dijadikan senjata. Gunting, dan pisau cukur bulu kaki. Kedua-duanya
diambil dan dipegang di tangan kiri dan kanan. Ketika itulah baru Yuhana
tersedar adanya sesuatu yang bergerak-gerak di meja soleknya. Cahaya daripada
telefon pintar itu dihalakan ke arah meja solek..dan....
“Ahhhhhhhhhhhhhhhhh!”
Yuhana
menjerit sekuat hati apabila melihatkan ada seekor beruang permainan yang hidup
di dalam biliknya. Seekor teddy bear berwarna perang, berbulu lebat,
dengan muka yang bercalar dan mata yang tersembul keluar, kini sedang memegang
gunting bulu mata dan juga pisau cukur bulu kaki. Yuhana tidak pernah melihat
teddy bear tersebut, dan dia menggigil; sehinggakan telefon pintarnya itu
terjatuh daripada genggaman.
Serentak
dengan itu teddy bear tersebut melompat ke arah Yuhana dan menyerangnya dengan
gunting. Apa yang dapat Yuhana rasakan hanyalah darah yang terpercik daripada
perutnya sendiri akibat dirodok oleh gunting tersebut...
**************************************************************************
“Urgh!!!”
Yuhana
terduduk. Tangannya refleks memegang perut. Tiada darah, tiada kesan rodokan.
Malam masih lagi tenang. Terus Yuhana bangun dan memetik suis lampu, menyalakan
lampu kalimantang. Tiada beruang berwarna perang. Gunting dan pisau cukurnya
masih tercatuk elok di atas meja.
“Astaghfirullah....”
Yuhana hanya
mengurut dada. Kenapakah pelik sangat mimpi yang tiba dalam tidurnya? Adakah
petanda? Atau apa?
“Sudahlah
aku memang takut dengan teddy bear..” bisik Yuhana sendirian.
Yuhana
bangkit daripada katil dan terus ke bilik mandi untuk membersihkan diri, lalu
menunaikan solat Isyak untuk menenangkan diri. Usai menunaikan tanggungjawab
terhadap Yang Maha Esa, terus dia menyimpan gunting dan pencukur di dalam laci
gobok. Yuhana berbaring kembali di kamar dan cuba melelapkan mata, namun kali
ini lampu dibiarkan hidup. Yuhana terkebil kebil buat masa yang lama dan kali
terakhir mata Yuhana tidak terkatup, jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi.
**************************************************************************
Jam loceng
Yuhana berdering pada pukul 7 pagi, namun akibat tidur lewat malam sebelumnya,
Yuhana hanya bangun pada pukul 8 sambil memaki-maki diri sendiri. Jam loceng
ditekan dan Yuhana bersiap sedia untuk ke pejabat dengan perasaan berat hati.
Yuhana tiba pada pukul 9, lewat setengah jam daripada biasa.
Mood Yuhana pagi itu memang tidak baik. BBM dihantar kepada Harris, tapi tiada balasan, menambahkan lagi kebengangan di pagi hari. Terasa hendak marah sahaja pagi ini. Surat yang diterima pagi itu di atas meja pejabat pun masih berlambak yang belum dibaca.
Perlahan-lahan
Yuhana membuka satu demi satu surat dengan pembuka surat. Sedang leka membaca
surat dan mengasingkan mana yang penting dan mana yang patut ke tong sampah,
satu suara menegurnya.
“Cik, ada
bungkusan untuk cik.” Penghantar bungkusan itu memakai baju seolah posmen, siap
dengan topi besbol berlogo Federal Express. Tangan Yuhana laju sahaja
menandatangan dokumen yang berkaitan, dan penghantar bungkusan itu berlalu
pergi. Sebuah kotak siap dengan sekuntum bunga ros terlekat di atasnya, dengan
sisipan kad kecil. Yuhana mengambil kad tersebut dan membaca isi kandungan yang
ditulis.
May your
day become better than yesterday. Love you – Harris.
Senyuman
manis terukir di wajah Yuhana, dan bunga ros sekuntum itu diambil lalu dihidu.
Wangi. Pembuka surat dicapai, dan kotak besar berwarna merah jambu itu dibuka.
Seraya itu wajah Yuhana berubah.
“Ahhhhhhhhhhh!!!”
Yuhana
menjerit. Tangannya yang masih memegang pembuka surat itu terus merodok isi
kandungan dalam kotak tersebut berkali-kali, dan kotak itu dicampak ke tingkap.
Tergolek sebuah teddy bear sebesar satu meter berwarna perang daripada kotak
tersebut, dengan isi perutnya terburai mengeluarkan kapas-kapas putih.
Di mata
Yuhana, beruang tersebut terlalu menyerupai dengan apa yang datang dalam
mimpinya semalam, walaupun beruang itu comel, tiada calar di muka mahupun
tersembul biji mata.
Seorang rakan
pejabatnya yang kebetulan lalu di muka pintu pejabat Yuhana terperanjat
melihatkan aksi Yuhana yang berserta jeritan. Beberapa orang rakan pejabat yang
lain juga berkumpul di muka pintu.
“Woi! Kau
meroyan ke apa? Apa salah teddy bear tu kena rodok begitu?” tegur seorang rakan
pejabatnya, Cik Mah.
“DIAMLAH!”
tempelak Yuhana, dan terus dia pergi ke pintu dan menghempasnya. Yuhana kembali
ke meja pejabatnya, mencapai Blackberry dan terus BBM Harris.
“Kita putus!”
Dan
rakan-rakan pejabat Yuhana masih termangu-mangu dengan tindak-tanduk Yuhana
sebentar tadi. Ada yang mengangkat bahu, ada yang menggeleng kepala, ada yang
bergossip sesama sendiri. Kesemua mereka berasa aneh dengan perangai Yuhana.
Yuhana pula,
terduduk di kerusi empuknya, namun nafasnya terus berderau laju tiap kali
menjelingkan mata ke arah beruang yang kini tergolek dan terburai isi perutnya
itu. Telefonnya berdering, panggilan masuk daripada Harris, namun tidak
diangkat. Dalam hati Yuhana menyumpah seranah.
“Celaka punya
beruang!”