rss


PANG! Aisha terasa seperti pipi kiri ditampar dengan kuat. Berdesing telinga akibat bunyi pinggan yang jatuh ke lantai. Sebenarnya, bukan jatuh tetapi dilempar oleh Yazid.

Wajah Yazid yang berdiri kaku di depan peti sejuk diperhatikan. Wajah lelaki di depan Aisha memerah, tidak pernah dilihat Yazid sebegitu. Reaksi wajah Yazid diselidik lagi. Jelas, lelaki itu marah betul kali ini. Aisha tunduk, mengacau air di dalam gelas, perlahan. Telinga pula sibuk cuba mengesan kalau-kalau ada bunyi tapak kaki adik Yazid.

' Awak dah gila?' Yazid bertanya, hampir tidak kedengaran disebabkan gigi yang diketap.

Aisha sekadar mengalih pandangan mata sahaja, itupun sekadar beberapa saat.

' Kenapa sampai begini tahap kejam awak?' Yazid bertanya sekali lagi.

Aisha mengeluh perlahan sambil berhenti mengacau air dengan penyedut minuman. Marah benar teman lelaki yang berdiri di depannya sekarang. Puncanya; bagi Aisha, kecil benar.

Majlis pernikahan mereka cuma tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Sememangnya lumrah kalau pengantin kerap bertegang urat bila hari bersejarah semakin dekat. Begitulah juga dengan pasangan ini.

' Awak nak saya biarkan Luqman sendiri? Awak, awak tahukan dia budak lagi?'

Tidak perlu ditanya pun Aisha tahu. Tahun ini, Luqman baru sahaja masuk Tingkatan 1. Yazid tinggal dengan Luqman setelah kedua orang tua mereka meninggal dalam kemalangan tahun lepas. Sudah pastilah Luqman adalah tanggungjawab abangnya sendiri.

Aisha mengangguk.

' Kalau awak tahu, kenapa awak buat permintaan begitu?' suara Yazid kendur malah lelaki itu semakin mendekati Aisha. Ada sesuatu yang bergetar dalam dirinya bila terhidu haruman yang dipakai oleh Yazid.

Rasanya, permintaan Aisha tidak melampau. Mereka bakal memulakan hidup baru, takkanlah mereka perlu menjaga seorang budak seawal ini? Aisha tidak bersedia untuk itu. Apa salahnya hantar Luqman ke rumah saudara mereka di Sarawak?

' Kalau awak tak boleh terima syarat itu, kita sampai di sini sahaja,' Aisha berkata dalam nada mendatar.

' Aisha!' Yazid terjerit. ' Awak...awak..' Yazid seperti kehilangan kata-kata.

' Selamat tinggal, Yazid,' Aisha mengangkat beg tangan yang diletakkan di kerusi sebelah lalu bangun tanpa menoleh ke belakang.

' Aisha...' Yazid memanggil lembut namun, kaki Aisha terus melangkah meninggalkan rumah lelaki itu. Bagi dirinya, semua sudah berakhir.

Malam itu, Aisha menerima satu pesanan ringkas daripada Yazid.

' Awak kejam, Ash. Awak takde hati perut langsung.'

Menerusi pesanan itu, Aisha tahu bahawa segalanya bakal berakhir. Aisha cuma tersenyum.

Ini bukan kali pertama dia menerima pesanan ringkas sebegitu. Teman lelaki Aisha yang terakhir ditinggalkan kerana gaji yang tidak cukup bagus. Siapa sahaja yang tidak meleleh air liur melihat tubuh lelaki yang cukup sasa seperti Muiz? Tetapi Aisha tidak boleh menerima kalau gaji Muiz lebih kecil daripada dirinya.

' You earn at least ten thousand per month, Ash. How can I top that?' Muiz bertanya, merayu tidak mahu Aisha tinggalkan dia.

Rayuan Muiz dibiarkan sepi. Status Aisha penting bagi dirinya. Mana mahu disorok muka kalau ahli keluarga dan rakan-rakan dapat tahu Muiz siapa?

' He makes a good arm candy but that's just it,' Aisha menjawab dengan santai soalan seorang teman sekerja berkenaan hubungannya dengan Muiz.

Teman sekerja Aisha terlopong. ' You are heartless, Ash. You know that, right?'

Aisha cuma tertawa. Itu juga bukan kali pertama komen sebegitu didengar.

Heartless. Tiada hati perut. Ah apa yang mereka tahu?

Katil berkeriut saat Aisha meninggalkan pembaringan. Wanita itu berjalan menuju ke pejabat peribadi di bilik sebelah. Ada sesuatu yang perlu diperiksa.

Sebuah botol yang ditutup rapi terletak di atas meja. Botol itu diangkat sambil mata tidak lepas memerhatikan cecair kuning yang berkocak perlahan.

' Hai Muiz,' Aisha mengusap perlahan botol di tangan. Mungkin sudah sampai masanya untuk menggantikan jantung di dalam botol ini dengan organ kepunyaan Yazid.

' Yazid,' Aisha menyebut nama lelaki itu lembut. Serta-merta Aisha teringat kerambit di dalam laci di bilik tidur.

 


Dia berjalan laju menyusuri celah-celah bangunan usang itu. Bukan berlari. Berjalan laju. Dia cuba berlari - oh, alangkah bagusnya jika dia dapat berlari - tetapi kesakitan yang dirasainya sudah cukup menyiksakan. Dia meraba-raba belakang seluarnya. Hangat dan basah. Darah merah pekat tidak berhenti-henti mengalir dari atas punggungnya menyerap ke seluar dan terus menitik seiring dengan langkahnya. Bukan salah orang lain. Itu salah dia. Dia mesti melupakan kesakitan yang mencucuk-cucuk ini dan terus meneruskan langkahnya. Langkah yang laju.

“Kau nak ke mana, monyet?” Kedengaran suara kanak-kanak yang tidak asing di telinganya bertanya. Dia tahu itu soalan yang tidak memerlukan jawapan. Dia juga tahu yang kanak-kanak itu tidak perlu dilayan kerana umur mereka hanya separuh umurnya. Tetapi entah kenapa, hatinya tetap berasa sakit. Sesakit punggungnya sekarang.

Kanak-kanak itu juga membalingnya batu. Tidak besar. Hanya batu kerikil kecil yang dia sendiri pun tidak tahu dikutip entah dari mana. Tapi dia sudah masak benar dengan episod itu. Bermula dengan ejekan, kemudian jika dia rajin, dia akan berbalas maki hamun dan sumpah seranah, diikuti dengan balingan batu kecil. Cuma hari ini dia tiada perasaan untuk memaki hamun. Dia juga tiada kuasa untuk menepis batu-batu kecil yang dilontarkan padanya. Dia perlu cepat. Darahnya semakin banyak mengalir. Jika terlambat, mungkin dia akan jatuh pengsan atau mati di tengah lorong kotor dan busuk ini dan mungkin hanya disedari 3-4 hari kemudian. Sebiji batu kecil berbucu tajam terkena dahinya. Setitik darah mengalir dari goresan luka itu. Dia tidak peduli. Dia hanya mengesat dahinya yang bercampur keringat dan darah itu dengan lengan bajunya.

“Pergi! Pergi!” Kedengaran satu suara sedang menghalau kanak-kanak itu daripada membaling batu ke arahnya. Dia kenal benar dengan suara itu. Tidak, dia sebenarnya langsung tidak mengenali tuan empunya suara itu. Kawankah, atau lawankah. Yang dia tahu, gadis itu sentiasa menutupi wajahnya dengan rambutnya yang panjang dan lurus. Susuk tubuhnya begitu jelek sekali. Dengan sesuatu seperti benjolan yang menonjol di atas belakangnya, dia terpaksa berjalan bongkok. Mungkin bagi mengimbangkan badan yang nyata sekali berat ke belakang. Dia begitu benci sekali melihatnya. Ah, mungkin perasaan yang sama dirasakan oleh kanak-kanak itu ketika melihatnya. Ironik.

Namun setiap kali dia dikacau kanak-kanak nakal, ketika itulah kelibat gadis itu kelihatan. Dan nampaknya kehadirannya sedikit sebanyak menakutkan kanak-kanak itu. Dengan wajah yang sentiasa tertutup seperti Sadako dari filem The Ring dan badan seperti Si Bongkok Dari Gua Hantu, sesiapapun yang melihat pasti akan lari ketakutan. Namun di sebalik mengucapkan terima kasih, dia hanya memandang gadis itu dengan pandangan kosong. Pandangan menjengkelkan.

Klinik Asyid tampak kosong hari ini. Itu menggembirakan hatinya. Dia terus menujuk ke bilik doktor apabila dilihatnya tiada orang yang sedang menunggu giliran. Pintu dibuka dan kelihatan Doktor Asyid sedang menekuni sesuatu di komputer.

“Magnum! Masuklah,” sapa Doktor Asyid sambil tersenyum. Dia terus masuk dan menerpa doktor muda itu. Melihat keadaannya, Doktor Asyid menggeleng-gelengkan kepala.

“Kamu potong lagi ke, Magnum?” soal Doktor Asyid walaupun dia sudah maklum dengan jawapannya. “Bahaya. Kan saya sudah beritahu, ekor kamu tidak boleh dipotong. Mungkin ia akan tidak kelihatan sementara, tetapi ia akan tumbuh semula.”

“Tapi saya benci ekor itu,” ulas Magnum pendek. Suaranya tersekat-sekat.

“Saya tahu. Tapi kamu patut bersyukur yang kamu diberikan tubuh badan yang sihat.” Doktor Asyid mengambil antiseptik di rak belakang bilik itu. “Meniarap atas katil ni. Buka sedikit seluar kamu.”

Dengan saki baki kekuatan yang dia ada, dia memanjat katil itu. Peluhnya membasahi baju. Nafasnya laju dan tidak menentu.

“Banyak darah yang keluar nampaknya. Kamu sudah lupa ke kali terakhir kamu potong ekor kamu, kamu pengsan di bilik ni?” bebel Doktor Asyid. Tangannya membersihkan belakang Magnum yang dipenuhi darah dan mula menyapu antiseptik.

Magnum tidak mempedulikan bebelan doktor itu. Dia hanya menyeringai menahan sakit. Setelah beberapa minit yang dirasakan paling lama dalam hidupnya, doktor itu menyudahkan kerjanya menyapu ubat dan membalut luka.

“Ok, sudah siap, kamu boleh bangun sekarang.”

Magnum bangun dan membetulkan seluarnya. Darah di seluarnya sudah mengering.

“Jadi, doktor sudah tahu penyakit saya ni?” soalnya.

“Ekor kamu ini bukan penyakit.” Doktor Asyid merapati Magnum dan menepuk-nepuk bahunya seolah-olah memujuk. “Ia hanya perubahan genetik akibat radiasi yang mungkin sahaja terdedah kepada kamu semasa kamu masih kecil.”

Magnum memasamkan mukanya. Dia tidak ingin tahu apa sebab musababnya yang menyebabkan ekornya tumbuh. Dia hanya mahu mencari jalan membuang ekornya itu. Sekarang dia mulai sedar yang dia telah menemui jalan buntu. Doktor yang pernah memberi harapan padanya dulu sekarang nyata telah mengecewakannya. Sekarang dia hanya mempunyai satu pilihan. Menerima ekornya. Menerima dengan seadanya.

Dia masih lagi ingat ketika dia masih kecil, datuknya pernah mengatakan yang dia adalah istimewa. Mungkin yang dimaksudkan adalah istimewa di antara semua manusia. Atau mungkin sahaja istimewa di mata datuknya. Mungkin itu sebabnya datuknya memberinya nama Magnum. Kata datuk, Magnum adalah seorang penyiasat yang sangat istimewa pada waktu dahulu. Dia pun tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Cuma yang dia tahu, kalau istimewa di mata datuknya, tiada apa yang luar biasa. Semua anak, mahupun cucu bahkan sepupu sepapa sedarah sedaging sekalipun akan kelihatan istimewa di mata saudaranya sendiri. Tetapi dia tidak bertanya tentang hal itu kepada datuknya. Tidak ada apa-apa perubahan pun jika dia bertanya. Ekornya tetap sebegitu juga.

Ketika dia bergegas untuk pulang, Doktor Asyid membuka mulut bersuara, “kamu tahu, Magnum. Saya dengar yang ada juga orang lain yang sama err... kamu tahu... sama keadaannya... dengan kamu. Tetapi setakat ini hanya kamu yang datang berjumpa dengan saya. Saya dengar keadaan mereka yang lain lebih teruk dari kamu. Ada yang mempunyai sirip seperti ikan. Ada juga yang mempunyai sayap hodoh seperti burung unta.”

Magnum tidak tahu apakah tujuan doktor itu memberitahunya perkara itu. Adakah supaya dia lebih berasa selesa atau sekadar menyatakan yang keadaannya hanyalah remeh berbanding dengan keadaan mereka yang lain. Doktor, jika doktor mahu saya merasa selesa, minta maaf kerana saya tidak pernah merasa sedemikian. Dan jika doktor anggap masalah saya sebagai remeh, cubalah doktor ambil wayar getah sepanjang satu meter dan doktor lekatkan di belakang doktor pada setiap masa. Masa itu doktor akan tahu samada masalah ini remeh atau tidak. Tetapi sudah tentu dia tidak luahkan apa yang difikirkannya itu. Dengan berat hati, dia melangkah perlahan keluar dari Klinik Asyid. Sakitnya masih terasa.

Perjalanan pulang ke rumahnya nampaknya lebih lancar tanpa gangguan budak-budak nakal tadi. Tetapi dia tetap berjalan laju menyusuri lorong kusam dan berbau itu. Dia tidak mahu dilihat sesiapa. Dengan seluar yang berlumuran darah kering dan jalannya yang terhencot-hencot, perkara terakhir yang dia perlukan ialah bersoal jawab dengan manusia yang mungkin bertanya.

“Kamu sudah OK?”

Ah, seperti mahu tercabut jantungnya ditegur sebegitu. Itu gadis tadi. Gadis hodoh berbadan bongkok itu tiba-tiba sahaja keluar entah dari mana dan menegurnya. Dia serba salah. Hendak menjawab, tidak selesa rasanya. Hendak lari, tidak sopan pula.

“Er... saya ok. Baru balik dari klinik,” jawab Magnum.

Keadaan senyap seketika. Magnum mengharapkan yang gadis itu beredar atau setidaknya memberi peluang padanya untuk beredar, namun entah kenapa, gadis itu tidak berganjak.

“Jadi... kamu buang ekor kamu...” Magnum tidak tahu samada itu soalan atau penyataan, tetapi dia tetap menjawab ya.

“Saya tahu ia pasti akan tumbuh kembali. Tetapi sekurang-kurangnya saya akan kembali normal untuk seketika,” tambah Magnum mula rasa selesa dengan gadis itu.

“Normal? Jadi tadi kamu tidak normal?” soal gadis itu lagi.

Magnum memandang gadis itu dari atas ke bawah. Apa yang gadis ini tahu tentang normal. Tentang mahu diterima masyarakat. Dia sendiri pun tidak normal.

“Ya, walaupun sebentar cuma, sekurang-kurangnya saya merasakan diri ini diterima.” Magnum melangkah perlahan menuju ke bangku berdekatan. Kakinya perlukan rehat. Tanpa diminta, gadis pelik itu duduk disebelahnya.

“Saya rasa kita memang normal,” kata gadis itu.

‘Kita’? Adakah dia sebut perkataan ‘kita’ tadi? Magnum mencongak.

Sambung gadis itu lagi, “kita cuma mengharapkan yang kita sama dengan mereka yang lain. Sebenarnya kita adalah unik dan berbeza. Tetapi normal? Kita tetap normal.”

“Saya tidak faham...” ujar Magnum. Dahinya berkerut cuba memahami sesuatu.

“Begini, katakanlah dalam satu negara itu hanya ada seorang lelaki berkulit hitam. Selebihnya yang lain berkulit putih. Adakah itu bermakna lelaki berkulit hitam itu tidak normal? Sudah tentu tidak, bukan?”

“Erm... benar juga...”

“Begitu jugalah dengan keadaan kita sekarang. Keadaan kita yang tidak sama dengan orang lain tidak menjadikan kita tidak normal. Mereka yang mengatakan kita tidak normal hanyalah seorang racist yang menyedihkan!” Gadis itu mula bersemangat. Keadaannya sekarang sangat kontra dengan keadaanya yang dikenali Magnum sebagai seorang yang bongkok yang pelik.

“Kamu selalu menyebut ‘kita’. Hakikatnya kamu tidak mengenali saya,” Magnum mempertahankan diri.

Ketika itulah gadis itu meyelak rambutnya yang menutupi hampir keseluruhan mukanya dan kelihatan wajah comel seorang gadis yang sedang tersenyum. Dia bangun dan meluruskan badannya sambil melepaskan kain yang membaluti benjolan besar di belakangnya. Magnum memerhatikan keadaan itu dengan mata yang tidak berkelip kerana jika benarlah apa yang difikirkannya, sepasang sayap hitam muncul dari belakang gadis itu.

“Lihat, saya sudah katakan. Kita sama sahaja, bukan?” kata gadis itu bersahaja dan terus duduk kembali seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Magnum masih lagi terpaku dengan apa yang dilihatnya. Dia menjeling ke arah sayap hitam gadis itu. Sayap itu kelihatan bergerak-gerak. Itu sayap tulen. Sama tulen juga dengan ekornya.

Setelah menelan air liur, Magnum bersuara, “Jadi... kamu juga sama dengan saya?”

Gadis itu hanya mengangguk.

“Er... kamu... boleh terbang?”

Gadis itu senyum semula. “Malangnya struktur tulang saya dengan tulang burung tidak sama. Tulang burung lebih berongga manakala tulang saya nampaknya sama juga dengan tulang kamu. Padat dan berat.”

“Oh.” Hanya itu yang mampu Magnum ucapkan. Sebenarnya dia sudah kelu. Buat masa yang terlalu lama, dia sudah menjumpai manusia unik sepertinya. Manusia itu datang datang bentuk seorang gadis yang cantik dan bersayap! Mimpi apakah ini?

“Nampaknya kita terpaksa membayar harga kesilapan nenek moyang kita,” ujar Magnum setelah suasana menjadi sepi seketika.

“Ya. Kita membayarnya dengan darah dan daging kita. Literally,” sambut gadis itu.

“Er... saya masih tidak tahu nama kamu. Apa nama kamu?”

“Nama saya Lola,” jawab si gadis.

“Lola... nama yang cantik. Nama saya Magnum.”

“Magnum. Saya Lola dan kamu Magnum. Lola dan Magnum.” Gadis itu seolah berfikir sesuatu. “Kamu tahu ada satu riwayat lama?”

“Buat masa sekarang, tiada.” Dan Magnum tidak menipu. Dia memang tidak dapat memikirkan apa-apa kecuali gadis disebelahnya sekarang.

“Laila dan Majnum! Saya Lola dan kamu Magnum. Lola dan Magnum. Laila dan Majnun. Agak mempunyai persamaan, bukan?”

Magnum hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala.

Lola menambah, “Laila dan Majnun dianggap gila kerana manusia pada zamannya tidak dapat menerima sebuah cinta agung. Keadaan sekarang juga tidak jauh berbeza. Manusia mungkin tidak dapat menerima kita kerana kita dianggap tidak normal di mata mereka.”

“Laila dan Majnun...” ulang Magnum.

“Saya perlu balik dulu,” kata Lola tiba-tiba seolah-olah menyedarkan Magnum.

“Er... baiklah,” jawab Magnum. “Boleh kita jumpa lagi?”

“Sudah tentu!” jawab Lola. “Dan terima kasih.”

“Terima kasih? Untuk apa?”

“Kerana meyedarkan saya untuk menjadi diri saya yang sebenarnya.”

Magnum tersenyum kelat. Sepatutnya orang yang lebih layak berterima kasih adalah dia kerana sebelum ini, dia sentiasa menganggap yang dirinya tidak normal dan mempunyai kecacatan. Namun dia hanya diam dan memerhatikan gadis itu berlalu pergi.

Lewat petang itu, Magnum melangkah pulang dengan seyuman tersimpul di bibirnya. Dia tidak sabar untuk melihat ekornya tumbuh semula. Dia tidak sabar untuk menjadi normal.

 


Annur termenung di meja belajar. Sudah seminggu peperiksaan SPM berakhir. Sepatutnya dia gembira dengan semua itu tapi kepalanya masih serabut. Kusut. Berita yang dikhabarkan oleh ibu dan ayah sebentar tadi yang menyebabkannya begitu. Ah! Kalut!

Pening memikirkan semua itu, dia beralih pula ke katil. Siling dipandang sepi. Cuba mencari penyelesaian. Huh! Terasa hidupnya berada di zaman dahulu kala. Kerana sebuah perjanjian, dia terjerat dalam penentuan jodoh oleh orang tuanya sendiri. Perjanjian orang tuanya yang ingin menjodohkannya dengan jejaka dari kenalan bapanya. Sudah gila ke apa? Umurnya baru mencecah lapan belas tahun! Tidak mungkin seorang gadis sepertinya mendirikan rumahtangga seawal itu. Kata-kata ibunya masih terngiang di cuping telinga.

\\\"Ann, mak dah janji dengan mereka. Sebaik tamat SPM, korang akan ditunangkan.\\\"

Annur mengiring ke kiri. Otaknya sudah kusut. Hendak dibantah tidak sampai hati. Hendak dituruti pula, dia juga ada perasaan. Tidak mungkin dia menikahi jejaka yang tidak pernah dikenali. Badannya mengiring pula ke kanan. Buntu! Dia bingkas bangun. Penjelasan dari ibunya perlu demi masa depannya kelak.

Perlahan dia melangkah ke ruang tamu. Kelihatan kedua orang tuanya sedang berbual mesra di depan tv. Annur mendekati dan mula duduk di sofa sbelah ibunya.

\\\"Mak..Ann belum terfikir soal kahwin. Lagipun Ann ingin masuk universiti dulu.\\\" Berhati-hati Annur menutur. Dia melihat ibunya menunggu reaksi dari orang tua itu.

\\\"Ann..siapa kata Ann tak boleh masuk universiti. Mak bukannya suruh Ann bernikah. Hanya bertunang dulu. Sebagai tanda ikatan yang Ann sudah menjadi milik orang.\\\" Senyuman ibu lebar terhias di bibir.

\\\"Benar tu Ann. Ayah tak halang Ann belajar. Ikram pun masih belajar lagi.\\\" Ayah turut mencelah.

\\\"Tapi...\\\" Annur tidak sanggup meneruskan bantahannya. Dia melangkah semula ke bilik dengan linangan airmata.

*******

SUDAH tiga bulan berlalu. Majlis pertunangan Annur begitu meriah. Keluarga sebelah pihak lelaki ramai yang hadir. Ibu dan ayah Annur begitu mesra melayan para tetamu yang hadir. Annur menilik cincin di jari. Cantik dengan permata di tengahnya tapi semua itu tidak mengubah hatinya yang tidak dapat menerima semua itu. Baginya perasaan kasih dan sayang perlu ada untuk bakal suaminya. Tapi tidak dengan Ikram. Disebabkan itu juga dia tidak mahu melihat sedikitpun foto Ikram. Lega bila dapat tahu Ikram tidak hadir masa majlis pertunangan berlangsung.

\\\"Ann..cium tangan Puan Anisah.\\\" Ibu sudah tercegat di muka pintu. di sebelahnya Puan Anisah sedang tersenyum manis memandangnya tidak berkelip.

Annur melangkah malas dan mula mencium tangan bakal ibu mertuanya. Ada senyuman manis terukir di bibir kedua orang tua itu. Annur dipeluk erat oleh Puan Anisah.

\\\"Tentu Ikram suka. Mama bangga mempunyai menantu seperti Ann.\\\" Dahi Annur dicium lembut sebelum Puan Anisah melangkah pergi.

Mama? Menantu? Annur senyum hambar. Di hatinya tiada sedikitpun perasaan gembira.

SEMINGGU berlalu. Hari-hari yang dilalui dirasakan begitu sukar. Dia kini sudah diikat dengan tali pertunangan. Bermakna dia tidak boleh bersuka ria sesuka hati. Apatahlagi untuk jatuh cinta! Bunyi hon dari motorsikal posmen mengejutkannya dari lamunan. Sekeping sampul surat dihulur. Hatinya berdebar melihat lambang dari Unit Pusat Universiti. Perlahan surat itu dibuka.

\\\"Mak!!!\\\" Annur menjerit gembira. Dia berlari ke ruang dapur mendapatkan ibunya yang sedang memasak.

\\\"Apa ni Ann? Menjerit macam kena histeria ni?\\\"

\\\"Mak! Ann dapat masuk universiti!\\\" Annur terus memeluk ibunya. Air mata kegembiraan mula menitis. Tiada lagi duka di hati. Tiada lagi gundah resah yang mencengkam jiwanya selama ini. Lupa seketika perihal pertunangannya.

\\\"Alhamdulillah! Syukur!\\\"

MALAM itu Annur mula berkira-kira. Tadi dia telah beritahu ibu dan ayahnya. Selagi dia belum habis pengajiannya di universiti, selagi itulah dia tidak akan berkahwin. Ternyata kedua orang tuanya bersetuju dengan hasratnya. Berkali-kali Annur mengucup surat keramat itu.

******

KINI dia sudah bergelar mahasiswa. Minggu haluansiswa dilalui dengan sungguh tenang. Segala keresahan yang bersarang di hati dilempar jauh-jauh. Hanya satu tujuannya ke situ. Belajar hingga mendapat ijazah yang cemerlang, kalau boleh hingga menjadi pelajar terbaik. Itu azamnya.

Sejak bergelar mahasiswa, Annur mempunyai ramai teman baik perempuan mahupun lelaki. Kehidupannya sebagai mahasiswa dirasakan sungguh bahagia. Menelaah bersama teman-teman yang lain. Namun hatinya mula terusik bila seorang demi seorang temannya mula mempunyai kekasih. Dia hanya mampu mendengar dan melihat kegembiraan teman-teman yang mengikat tali pertunangan dengan orang yang dikasihi sedangkan dirinya tidak pernah ada rasa kasih dan cinta pada tunangnya sendiri.

\\\"Ann..kenapa dengan kau ni?\\\" Ayuni, teman satu kuliah mula menegur.

\\\"Tak..aku gembira melihat korang bahagia dengan orang tersayang. Aku tahu korang saling mengasihi.\\\" Lemah suara Annur menutur.

\\\"Alhamdulillah..walaupun aku jarang bertemu dengan tunang aku tapi kami tetap bahagia. Itu kehendak orang tua kami untuk tidak bebas ke sana ke mari. Err..aku sebenarnya ada sesuatu nak bagi tahu kau ni..\\\" Ayuni menyentuh lembut bahu Annur.

\\\"Apa dia?\\\"

\\\"Ni..ada seseorang yang berminat dengan kau..\\\" Ayuni senyum. Sekeping surat dihulurkan kepada Annur.

\\\"Apa ni?\\\"

\\\"Bacalah! Aku pergi dulu. Tak nak ganggu kau.\\\" Ayuni mula berlalu pergi meninggalkan Annur seorang diri bersama surat di tangannya.

Annur menatap sampul surat putih itu dengan penuh tanda tanya. Surat apa pulak ni? Siapa yang bagi? Semuanya berlegar di kotak fikirannya. Perlahan dia membuka sampul itu. Ayat demi ayat dibaca. Tanpa sedar air matanya menitis perlahan membasahi pipi. Surat itu dilipat kembali. Pandangannya beralih pada sekumpulan siswi yang sedang berlari mengelilingi tasik.

\\\"Maaf..aku tak boleh terima cinta sesiapa. Aku sudah dimiliki.\\\"

Annur melangkah longlai meninggalkan tasik. Jiwanya mula berkecamuk.

TIBA di bilik asrama, dia menghempas tubuhnya di atas katil bujang. Tidak pernah terfikir di benaknya perkara seperti itu akan hadir dalam hidupnya. Ah! Buat apa aku nak kisah semua tu? Aku bukan kenal pun siapa Haikal! Annur mula mengambil wuduk dan menunaikan solat maghrib. Dia mula mengadap nota dan menelaah sebentar. Surat dari Haikal yang diterima dari Ayuni tadi dikerling lagi. Sekali lagi dia membaca isi kandungan surat itu.
Matanya tertancap pada sepotong ayat yang memaksa dirinya untuk mengenali lelaki itu.

\\\'Sudikah awak menerima hati saya? Maaf jika saya terlalu berterus terang kerana sebenarnya saya ingin mencari cinta sejati dari seorang gadis yang sudi menjadi suri hidup saya nanti.\\\'

\\\"Hmm..mamat ni macam serius. Mana dia tahu nama aku? Dan..apa maksud kata-kata dia ni?\\\" Annur berkata sendiri.

Surat itu cepat-cepat dilipat kembali bila mendengar ketukan di pintu biliknya. Ayuni sudah tercegat di muka pintu dengan senyuman terukir di bibir.

\\\"Macam mana?\\\"

\\\"Err..macam mana apa?\\\" Tergagap-gagap Annur menjawab.

\\\"Surat tu?\\\"

\\\"Oh...\\\" Suara Annur mula lemah.

\\\"Dia berharap sangat kau membalas cintanya. Aku kenal Haikal tu. Dia baik orangnya. Lagipun dia bakal jadi ustaz nanti. Lepas habis belajar di sini, mungkin dia akan menyambung pelajaran di Jordan pula.\\\" Ayuni mendekati Annur. mengharapkan berita gembira dari bibir gadis itu.

\\\"Yuni...maaf. Sebenarnya aku..aku..\\\" Annur mula merasa sebak.

\\\"Apa Ann?\\\"

\\\"Aku tunang orang Yuni. Sebelum aku masuk universiti lagi, aku sudah ditunangkan.\\\" Lemah tutur Annur. Terbayang kembali majlis pertunangannya dulu.

\\\"Oh..jadi kau dah bertunang?\\\" Ayuni mula terkejut.

Annur angguk. Wajahnya ditundukkan. Suasana sunyi seketika.

\\\"Macam nilah..tadi Haikal ada bagi tahu aku. Dia nak kenal sangat dengan kau. Esok kalau boleh dia nak jumpa. Kau jangan bimbang, aku akan temankan kau sebagaimana kau temankan aku bila aku nak jumpa Iskandar dulu.\\\" Ayuni senyum lagi. Dia perlu bawa Annur berjumpa dengan Haikal.

ANNUR mula menggelabah. Dirasakan serba tidak kena. Ayuni di sebelah tersengih-sengih memandangnya. Sekejap lagi Haikal akan sampai bersama Iskandar, tunang Ayuni. Ruang yang luas dan suasana riuh di medan selera itu semakin menyesakkan jiwanya. Dahinya mula berpeluh.

\\\"Ei..relaks la Ann. Dia bukannya nak makan kau.\\\" Ayuni senyum. Gelihati melihat gelagat Annur yang mula tidak keruan.

\\\"Bukan macam tu Yuni. Aku rasa bersalah pada tunang aku. Aku..\\\" Belum habis kata-kata Annur, Haikal dan Iskandar sudah tercegat di sebelah Ayuni.

\\\"Assalamualaikum!\\\"

Anis mendongak. Terpegun dengan wajah tenang lelaki yang menyapanya tadi. Mata mereka bertentang seketika.

\\\"Ehem! Hai..takkan dah syok kut!\\\" Iskandar mula mengusik.

Annur cepat-cepat menundukkan wajah. Haikal pula senyum penuh makna. Sudah lama dia menaruh hati pada gadis itu. Baru sekarang ini dia berpeluang bertemu muka. Selama ini gadis itu hanya dilihat dari jauh.

\\\"Kenalkan..ini Annur.\\\" Ayuni mula memperkenalkan Annur pada Haikal.

\\\"Apa khabar?\\\" Haikal memulakan bicara.

Annur diam seribu bahasa. Aduh! Macam mana ni? Kalau mak aku tahu mampus aku! Takkan aku nak pasang sampai dua! Mana nak campak tunang aku pulak!

Petang itu mereka berempat mula berbual. Annur tidak betah berbicara dengan lelaki yang pertama kali bertemu. Namun dari riak lelaki itu, Haikal seolah sudah kenal lama dengannya. Sinar mata lelaki itu yang menceritakan segalanya. Annur dan Ayuni mula minta diri untuk pulang.

*********

SUDAH hampir tiga tahun dia belajar di situ. Bermakna hanya tinggal setahun saja lagi untuknya bergelar isteri. Laci meja dibuka perlahan. Segenggam surat yang dititipkan oleh Haikal masih disimpan kemas di situ. Ternyata Haikal tidak berputus asa menagih cintanya walaupun dia sudah berterus terang kedudukan sebenar dirinya.

\\\"Haikal..maafkan aku. Aku tak mampu membalas semua itu. Aku tahu aku juga ada rasa yang sama tapi aku tidak boleh mengingkari perjanjian kedua orangku..\\\" Annur menekup mukanya ke bantal. Air mata yang membasahi pipinya semakin laju menitis.

\\\"Ann..kau belum tidur lagi?\\\" Ayuni menapak ke arah Annur.

Annur cepat-cepat menyeka airmata. Cuba memaksa dirinya untuk tersenyum. \\\"Belum..\\\"

\\\"Ann...rupanya Haikal juga sudah lama bertunang tetapi dia tidak pernah cintakan tunangnya. Semalam dia menyuruh orang tuanya membatalkan pertunangan itu semata-mata untuk menyunting kau jadi isterinya.\\\"

Tersentak Annur mendengar kata-kata Ayuni. Lama wajah Ayuni ditatap. \\\"Dia dah gila ke? Aku sudah jadi tunang orang Yuni! Tak mungkin aku putus tunang semata-mata kerana nak membalas cinta Haikal!\\\"

\\\"Entahlah Ann. itu yang dia bagi tahu aku. Ann..sebenarnya Haikal tu sepupu aku.\\\"

Sekali lagi Annur tersentak. Tersentap!

\\\"Maafkan aku kerana tak beritahu kau pasal siapa Haikal. Aku kesian melihat Haikal seolah tidak nampak perempuan lain selain dari kau. Aku sudah terangkan segalanya pada dia yang kau sudah bertunang tapi dia tetap berkeras jugak.\\\" Kali ini Ayuni mula berterus terang. Biar jelas kedudukan masing-masing sebelum apa-apa terjadi.

\\\"Yuni, tolong beritahu Haikal. Jangan putuskan pertunangan dia. Tunang dia tak bersalah! Lagipun aku tak boleh membantah kehendak orang tua aku. Tolonglah Yuni. Tolong halang Haikal dari buat kerja gila tu!\\\" Annur merayu.

\\\"Baiklah...aku akan cuba.\\\"

********

ANNUR tidak sangka Haikal tergamak memutuskan pertunangan. Berita yang disampaikan Ayuni petang tadi cukup membuatkan dirinya terkesima seketika. Begitu nekad Haikal bertindak. Semalam Haikal menelefonnya menanti kata putus darinya.

Lama dia menatap album pertunangannya sendiri dengan Ikram. Dia juga bukan lagi bergelar tunang Ikram. Dua hari lepas, wakil dari keluarga Ikram datang memutuskan pertunangan mereka dengan alasan Ikram sudah ada pilihan lain. Sepatutnya dia merasa gembira dengan berita itu. Dia bebas kini dan Haikal tidak ada apa-apa halangan lagi untuk menyuntingnya menjadi suri hidup. Namun, perasaan itu juga tidak hadir tika ini. Saat dia sudah bersedia untuk menjadi isteri Ikram, Ikram pula memutuskan untuk tidak meneruskan pertunangan itu semata-mata gadis lain hadir dalam hidupnya. Memang selama ini dia tidak pernah berhubung dengan Ikram. Jauh sekali untuk berjumpa. Malah wajah Ikram juga tidak pernah dikenali.

\\\"Ikram..kenapa kau buat begini pada aku? Aku pendam perasaan aku pada Haikal.Aku buang jauh-jauh rasa cinta aku pada Haikal tapi kau senang-senang buat macam ni?\\\" Annur mula menangis.

\\\"Ann...sudahlah. Mungkin bukan jodoh An dengan Ikram.\\\" Ibu cuba memujuk.

\\\"Mak..teruk sangat ke Ann ni pada mata dia? Selama ni Ann setia menjadi tunang dia tapi sekarang siapa yang berpaling tadah?\\\" Annur mula tidak puas hati. Terasa diri sendiri disisihkan.

********

\\\"Mama, saya minta maaf sebab terpaksa memutuskan pertunangan ni. Ni gambar gadis yang saya berkenan. Harap mama dapat merisik sekali gus meminang gadis ni.\\\" Haikal menghulurkan sekeping gambar kepada ibunya.

Lama ibunya menatap gambar yang dihulurkan oleh anak bujangnya. Berkerut keningnya menatap gambar itu. Matanya beralih pula pada Haikal.

\\\"Kamu pasti ni gadis yang kau nak pinang?\\\" Ibu mula bertanya.

Haikal mengangguk. Senyum.

\\\"Kamu pasti?\\\" Sekali lagi ibu bertanya.

Haikal mengangguk lagi. \\\"Kenapa mama?\\\"

\\\"Kamu tahu tak? Kamu sendiri yang putuskan pertunangan dengan Annur ni!\\\" Suara ibu Haikal mula keras. Wajah Haikal yang terperanjat dengan kata-katanya ditenung tajam. Geram!

\\\"Apa? Maksud mama..tunang saya dulu tu..Annur?\\\" Haikal mula bingung. Nilah padahnya kalau tidak pernah mahu kenal dengan tunang sendiri. Memang dia sudah nekad tak mahu kenal dan ambil tahu pasal tunangnya dulu. Waktu itu umurnya baru sembilan belas tahun. Baru masuk alam universiti. Jauh lagi perjalanan hidupnya.

\\\"Yalah! Tulah! Salah kamu jugak tak nak tengok bakal isteri kamu tu!\\\"

Haikal terduduk di situ. Selama ini rupanya Annur adalah tunangnya sendiri. Dan kini....dia sendiri yang memutuskan ikatan itu.

*****

\\\"Maaf Puan Sarah. Kami malu sebenarnya. Dulu kami datang memetik bunga dan pulangkan semula. Kali ini kami datang nak memetik sekali lagi. Dan...kali ni tak ada tunang dah, terus nikah!\\\" Puan Anisah menundukkan wajah. Malu berhadapan dengan kedua orang tua Annur. Salah pihaknya yang memutuskan pertunangan dulu.

\\\"Kenapa pula tiba-tiba macam ni?\\\" Puan Sarah masih tidak mengerti.

\\\"Sebenarnya Ikram menyukai gadis di kampus tempatnya belajar dulu. Sebab tu dia nak putuskan pertunangan ni tapi rupanya gadis tu adalan Annur!\\\" Puan Anisah cuba tersenyum.

\\\"Oh...Annur ada cakap yang ada seorang pelajar ni sukakan dia tapi dia terpaksa tolak. Kalau tak silap namanya Haikal..err..bukan ke Ikram tu ada nama Haikal juga?\\\" Puan Sarah masih bingung.

\\\"Yang sebenarnya nama dia..Ikram Haikal Iman. Kami panggil dia Ikram. Tak tahu pulak kat kampus, kawan-kawannya panggil Haikal!\\\"

Annur di dalam bilik turut terperanjat mendengar kata-kata Puan Anisah, ibu Ikram. Dia memasang telinga mendengar perbualan mereka di ruang tamu.

\\\"Jadi..selama ni...Haikal tu tunang aku??\\\" Annur berkata sendiri. Kepalanya mula berpinar.

\\\"Ann! Ann! Kenapa ni? Bangun Ann!\\\" Ibu yang ingin bertanya Annur mengenai persetujuan itu mula terperanjat melihat anak gadisnya sudah terjelepok di atas lantai.

Ikram yang berada di laman segera meluru masuk bila mendengar suara kecoh di dalam rumah.

\\\"Ya Allah! Annur!!\\\" Ikram mula menghampiri Annur yang sudah pengsan di situ.

*************

\\\"ALHAMDULILLAH segalanya sudah selamat. Nyata jodoh mereka sangat kuat.\\\" Puan Anisah senyum meleret melihat Ikram sudah bersedia di depan tok kadi untuk melafazkan akad nikah. Puan Sarah turut senyum bangga. Mengiakan kata-kata besannya.

Selesai akad nikah, Ikram mendekati Annur yang sopan dalam busana putih dan bertudung putih dihiasi manik mutiara.

\\\"Ann..sudikah awak terima hati saya?\\\"

Annur senyum. Kata-kata itu yang pernah ditulis dalam surat pertama yang dititipkan kepadanya dulu. Dia mengangguk malu. Cincin disarung ke jari manis. Tangan Ikram dikucup lembut.

 


SUDAH dua hari Pak Mail tidak dapat mencari rezeki. Hujan lebat sejak kebelakangan ini telah menyebabkan dia mengalami demam teruk. Demamnya sehingga kini masih belum kebah. Namun bukan air hujan yang diredah menjadi penyebab dia begitu. Sebelum itu isterinya sudah berpesan, jangan pulang lewat sangat. Pekerjaan sepertinya perlu juga rehat yang cukup. Entahlah sejak pencen, hanya itu yang mampu dilakukan bagi menampung keperluan harian sekeluarga.

\\\"Bang, ni ubat. Abang tu belum sembuh betul lagi. Tak payahlah keluar. Bawa teksi tu bukannya senang dalam cuaca macam ni.\\\" Hasnah mula membebel bila melihat suaminya sudah menyarungkan baju putih bersiap untuk menyambung kerja semula.

\\\"Abang bosanlah duduk rumah. Lagipun demam abang ni dah nak sembuh dah.\\\" Pak Mail mengambil ubat yang dihulur isterinya.

\\\"Susahlah bercakap dengan abang ni. Suka hati abanglah.\\\" Hasnah mula muncung.

\\\"Yalah..abang tak keluar.\\\" Pak Mail mula memujuk isterinya.

\\\"Ustaz Halim dah pesan. Buat masa sekarang ni abang kena banyak berehat.\\\"

Pak Mail pandang isterinya sambil melemparkan senyuman hambar. Isterinya memang tidak tahu mengapa dia menjadi demam begitu. Ustaz sudah dipesan awal-awal lagi supaya tidak memberitahu isterinya tentang itu. Kalau isterinya tahu, sudah tentu dia akan kehilangan kerja yang dibuat sekarang ini.

\\\"Bila ustaz nak datang lagi?\\\"

\\\"Malam nanti katanya. Dia kata abang perlu dirawat lagi. Teruk sangat ke demam abang?\\\" Hasnah duduk di sebelah suaminya. Bahu Pak Mail dipicit lembut.

Pak Mail hanya diam. Tidak perlu menjawab soalan tadi. Bimbang mulutnya akan membuka rahsia pula. jadi biarlah dia berdiam diri saja.

SELESAI solat isyak, ustaz Halim mula merawat Pak Mail. Sebuah jag berisi air dibaca dengan kalimah suci. Segelas air putih pula turut dibaca al-fatihah.

\\\"Hmm..air dalam jag ni buat mandi dan air dalam gelas boleh dimimum sekarang.\\\" Ustaz Halim menghulurkan segelas air kepada Pak Mail.

Pak Mail meneguk habis satu gelas. Dia mula sendawa berkali-kali.

\\\"InsyaAllah, lepas ni tak ada apa akan berlaku lagi.\\\" Ustaz Halim jeling Hasnah di sebelah Pak Mail. Dia sudah memegang amanah dari Pak Mail untuk tidak menceritakan perkara sebenar.

******

DUA hari lepas...

Perlahan Pak Mail membawa teksinya menyusuri jalan yang sibuk di tengah-tengah kota raya. Liar matanya memandang sekitar kiri kanan jalan, mencari penumpang sebelum dia pulang ke rumah. Jam di dashboard sudah hampir tengah malam. Kereta dipandu perlahan. Dari jauh dia melihat dua orang perempuan mendepa tangan menahan keretanya.

Alhamdulillah..ada juga rezeki aku malam ni sebelum aku balik rumah. Pak Mail senyum. Dia mula merapati kedua perempuan itu. Bau minyak wangi begitu menusuk hidung. Dilihatnya ke arah dua perempuan itu yang tersenyum kepadanya. Pondan ke apa? Pak Mail menggaru kepala yang tak gatal.

\\\"Abang, kami nak ke Jalan Ampang. Boleh?\\\" Tanya salah seorang dari perempuan itu.

\\\"Boleh!\\\" Pak Mail mengangguk sambil melemparkan sebuah senyuman.

Kedua perempuan itu mula membuka pintu dan duduk di tempat duduk belakang.

Pak Mail mula memandu ke arah Jalan Ampang. Suasana hening seketika. Hanya bunyi lagu dari corong radio kereta yang kedengaran.

\\\"Abang ni handsomelah!\\\"

Abang? Umur aku dah separuh abad masih dipanggil abang. Pak Mail sengih. Dia tidak melayan pujian perempuan itu. Sesekali dia menjeling melalui cermin belakang. Memang cantik dan seksi. Boleh mencabar keimanannya. Dia mengucap beberapa kali.

\\\"Abang tinggal kat mana?\\\" Perempuan kedua pula menyoal.

\\\"Err..abang tinggal di Gombak.\\\" Pak Mail senyum hambar. Suara lembut perempuan itu cukup menggoda.

\\\"Oh...sampai pukul berapa abang bawa teksi ni?\\\"

Pak Mail mula serba salah. Banyak soal pula penumpang kali ini. \\\" Selalunya waktu macam ni dah habis kerja tapi malam ni saja abang nak buat duit lebih sikit. Anak abang nak SPM tahun ni.\\\"

\\\"Oh..abang dah kahwin la. Abang tak nak tambah lagi ke?\\\" Perempuan pertama pula menyoal sekali lagi.

\\\"Hah? Tambah? Tambah apa?\\\" pak Mail terkebil-kebil tidak mengerti maksud soalan tadi.

\\\"Tambah isteri!\\\" Kedua perempuan itu terus ketawa dengan lenggok manja.

Pak Mail tergamam. Kalau ikut hati mahu saja dia beristeri lebih tetapi memandangkan dia sendiri tidak mampu menanggung isteri dan lima orang anak, niat itu dikuburkan saja.

\\\"Err..dah sampai jalan Ampang ni. Nak berhenti kat mana?\\\" Pak Mail perlahankan kereta bila sampai di jalan Ampang.

\\\"Dah sampai ke? Sekejapnya! Abang, boleh tak hantar kami sampai rumah. Kami tertinggal sesuatu pulak. Kami sebenarnya sudah lama ingin pulang tapi tak boleh.\\\"

Pak Mail berkerut kening tidak faham maksud kata-kata perempuan itu. Ingin pulang tapi tak boleh? Apa sebenarnya ni..

\\\"Err..kat mana rumah tu?\\\"

\\\"Abang jalan dulu nanti saya tunjukkan rumah saya.\\\"

Pak Mail terus memandu mengikut arah yang ditunjukkan kedua perempuan seksi itu. Matanya meliar melihat sekitar jalan kiri kanan. Hanya pokok kecil dan semak saja yang kelihatan. Biar betul dia orang ni...mana ada rumah di sini.

\\\"Abang...depan sikit lagi.\\\"

Pak Mail terus memandu ke arah depan. Dia perhati lagi sekeliling. Eh..ni macam jalan ke tempat bangunan runtuh dulu tu.

\\\"Abang..berhenti kat sini.\\\"

Kedua perempuan itu senyum. Selepas membayar tambang, keduanya mula keluar dari kereta. Pak Mail hanya melihat keduanya yang masih tercegat di tepi keretanya.

\\\"Abang..boleh temankan kami tak? Kami takut la nak lalu kat sini. Kamikan perempuan.\\\" Perempuan pertama yang memakai skirt pendek paras lutut itu mula mendekati Pak Mail di sebelah pemandu.

\\\"Ha..err...\\\" Pak Mail mula menggaru kepala. Dia sebenarnya masih bingung. Arah depan jalan itu hanya ada hutan kecil. Tidak nampak sebuah rumah pun di situ.

\\\"Tapi..rumah adik ni kat mana? Tak nampak pun?\\\"

\\\"Tuu...kat depan tu je! Bolehlah abang temankan kami.\\\" Dengan gaya menggoda, keduanya cuba memujuk Pak Mail keluar dari kereta.

Pak Mail mula serba salah. Berbagai persoalan timbul di benaknya. Entah-entah dia orang ni nak cabul aku! Entah-entah dia orang ni nak rompak aku! Atau..entah-entah dia orang ni....bukan manusia. Pelbagai kemungkinan mula menerjah otak tuanya. Wajah Pak Mail mula pucat. Dia keluar perlahan dari kereta dan berdiri di tepi.

Kedua perempuan itu mula senyum manis.

\\\"Abang tunggu kat sini jelah. Tadi kata tertinggal sesuatu kan? Pergilah ambil. Abang akan tunggu dan bawa balik ke jalan Ampang.\\\" Pak Mail cuba mencari alasan.

\\\"Tapi macam mana kami nak cari benda tu kalau abang tak ikut?\\\" Perempuan kedua pula bersuara. Seksi dengan seluar ketat dan baju tanpa lengan.

\\\"Sebenarnya nak cari apa?\\\" Pak Mail memandang sekeliling. Kedua perempuan itu tidak dihiraukan lagi. Bulu romanya mula meremang.

\\\"Cari kepala kami la.\\\"

Pak Mail segera menoleh ke arah kedua perempuan itu. Sebaik terpandang, kakinya mula menggeletar. Lidahnya kelu. Kedua perempuan tadi yang mempunyai wajah putih yang cantik kini sudah tidak berkepala. Hanya badan saja yang masih berdiri di situ.

Kelam kabut Pak Mail membuka pintu kereta dan mula memecut laju meninggalkan tempat itu. Dari cermin belakang dia dapat melihat dengan jelas, kedua perempuan itu masih di situ sambil mengilai panjang. Memang keduanya tidak berkepala. Sampai di rumah, Pak Mail terus berselimut. Isterinya sudah lama tidur. Masih terbayang kedua perempuan tadi. Malam itu dia tidak dapat tidur. Esoknya terus dia demam kuat.

******

\\\"Ustaz, saya rasa perempuan tu adalah mangsa runtuhan bangunan tu. Orang kata di situ sudah berhantu sejak bangunan tu runtuh. Banyak mayat yang tidak dapat dicari. Ada yang putus kepala, putus tangan malah ada yang hancur terus tubuhnya dihempap batu konkrit berat.\\\" Pak Mail meneguk kopi panas. Dia sudah pulih sepenuhnya selepas dirawat beberapa kali.

\\\"Tulah...sememangnya tempat begitu akan menjadi keras jika tidak dilakukan sesuatu. Sebab tu mereka tak jumpa cari jalan pulang. \\\" Ustaz Halim turut meneguk kopi.

\\\"Keras? Berhantu?\\\"

Pak Mail terdiam. Isterinya tiba-tiba muncul membawa sepinggan karipap yang masih panas.

\\\"Oh..tak ada apa.\\\" Ustaz Halim senyum.

\\\"Esok suami saya dah boleh kerja ke ustaz?\\\" Hasnah mula bertanya.

Ustaz Halim angguk sambil menjeling Pak Mail. Pak Mail turut senyum. faham dengan jelingan ustaz Halim. Biarlah ianya menjadi rahsia dia dan ustaz Halim.

 

Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini