rss

“Pukul berapa sekarang?”

Warna merah mentari yang semakin menghampiri ufuk membuatkan aku semakin lalai, tambahan pula dengan tiupan angin utara yang lembut membelai seluruh muka yang lenjan dibasahi peluh. Bersandarkan pada sebuah kerusi panjang yang diperbuat dari kayu napuh, aku semakin hanyut dibuai khayalan sendiri.

“Hey!” Terasa telingaku dicubit dan ditarik. Sakit.

“Awin tanya ni. Pukul berapa sekarang?”

Wajah yang tadinya aku palingkan ke arah tasik yang melebar kini kuarahkan menghadap ke punca suara tadi bergema. Kelihatan di mata satu wajah yang sering bermain di mata minda setiap kali aku diserang rasa rindu. Wajah lembut yang sering menjadi teman ketika aku memerlukan seseorang untuk melayani rasa cinta yang tidak terbahagi.

“Tengok tu. Bukan nak jawab,” mulutnya mengomel lagi. “Nak kena cubit lagi ke?”

“Eh eh,” balasku pantas sambil menepis tangan kecilnya yang liar melilau mencari permukaan kulit berlemak milikku yang sedap untuk dicubit. Tangan kanannya terus cuba menembusi pertahanan yang sedang dibina menggunakan dua tanganku. Serentak tangan kanannya aku pegang, tangan kirinya berjaya mencecah bahagian perutku tanpa sempat aku tepis.

“Adoii...!” Rasa perit yang tak terhingga bila jemari kecil itu mula mencubit sambil empunya tangan terkekek-kekek ketawa.

Sambil menggosok tempat cubitan tadi aku menarik muka, kononnya merajuk. Jam tangan yang terlilit di lengan kiri aku jeling sepintas lalu. Dia seperti biasa cuba memancing minatku dengan senyuman manja sambil melilit-lilit rambut dengan jemari kecilnya.

“Pukul 6.30 petang,” balasku dengan bibir yang mencebik. Tangan masih menggosok tempat cubitan tadi.

Seraya itu tangan kecil tadi menyentuh tanganku yang sedang sedaya upaya membuang rasa bisa yang menular di perut. Dengan perlahan tangan itu menolak tanganku jatuh ke peha lalu mengambil alih kerja gosokan itu. Dengan lembut badan itu disandarkan ke sisi, dan serta-merta bau wangi lembut menusuk ke dalam hidung. Mendamaikan.

“Lain kali jangan asyik nak berangan je,” katanya selepas beberapa ketika. Tangan kecil itu masih bermain di perutku.

“Berangan apa. Saya tengah fikir macam mana nak tangkap gambar tasik ni,” balasku perlahan.

“Ai, tak cukup lagi ke gambar yang ditangkap tadi?”

“Bukan tak cukup. Tapi selagi boleh tangkap, tangkap aje.”

Perlahan dirinya bangun lalu bersimpuh di atas rumput bertentangan denganku. Matanya yang bulat bundar bersinar terang membuatkan aku terasa sangat tenang. Bibir yang dicolet dengan sedikit pewarna merah jambu itu terasa amat enak sekali.

“Saya nak tengok gambar yang awak tangkap tadi boleh?” tanyanya dengan penuh manja. Dan seperti biasa ego lelaki aku akan cair seperti marjerin yang dicampak ke dalam tong besi tuang yang penuh dengan besi cair yang merah membara.

Kamera digital yang disimpan di dalam beg kecil yang disandang di bahu aku ambil lantas aku hidupkan suisnya. Dengan beberapa gerakan, koleksi gambar yang kuambil sejak dari tengahari tadi terpampang di skrin kamera tersebut.

“Nah,” kataku sambil menghulur kamera tersebut kepadanya. “Jangan delete pulak nanti tau.”

Seperti lagaknya seorang kanak-kanak yang diberikan sebuah permainan yang paling hebat pernah dipegangnya, dia mula membelek satu demi satu gambar yang tertera di skrin tadi dalam kedudukan bersila. Seketika dia senyum, kemudian dia ketawa, dan adakalanya dia menjelirkan sedikit lidah. Lagaknya itu betul-betul membuat aku berasa senang hati sekali. Tanpa disedarinya aku mula menjamah apa yang aku lihat di hadapan ini dengan sepenuh hati.

Syarifah Azwin. Panggilannya Awin. Gadis ini aku kenali ketika sedang mengambil gambar di majlis perkahwinan seorang saudara di Kuala Lumpur. Mungkin dia sedar yang aku sering mengambil gambarnya daripada gambar mempelai, dia mendekati aku dan dari situ kami mula berkenalan.

Walaupun sudah hampir setahun kini kami menjalinkan hubungan mesra, Awin masih sepertimana gadis yang menjadi mangsa lensa aku di majlis perkahwinan itu. Lagaknya, manjanya, segalanya tidak pernah berubah. Dia memang seorang gadis yang sangat istimewa.

Gadis Melayu yang tinggi lampai, Awin memiliki segalanya yang aku impikan. Kulit yang cerah kemerahan, mata yang bundar dan galak, rambut panjang paras dada yang sering diikat menyerupai ekor ayam, bibir merah semulajadi yang tidak pernah lokek dengan senyuman; pendek kata, segalanya! Peribadi yang terindah pernah aku miliki, sudah tentu aku akan berfikir dua kali untuk bersama si gadis idaman hati. Lagi baik kalau boleh dijadikan isteri!

“Hah, berangan lagi!” Bagai nak bersepai gegendang telinga aku apabila Awin menempik di sisi. Aku tersentak sedikit sebelum menjeling ke arahnya dengan muka bengang.

“Senyum sorang-sorang. Dah gila ya?” Gelak tawanya bersambung-sambung membuatkan aku sedikit geram.

Dengan sepantas yang mungkin aku bangkit dan cuba menerkam dirinya yang kini sudah berdiri sambil memegang kamera di tangan kiri. Awin menjerit kecil sambil tertawa sebelum mengelak dan berlari menghala ke atas bukit kecil di sebelah tasik terpencil itu sebelum menghilang di sebaliknya. Agak jauh juga dia berlari sambil aku mengejar dengan penuh kepayahan di belakang, menggendong dua buah beg kamera dan sebuah kaki tripod yang beratnya hampir beberapa kilogram.

Sesampai sahaja aku di atas bukit kecil yang diliputi rumput menghijau itu, kelihatan Awin sedang berdiri menghadap sebuah pohon kemboja besar yang sedang berbunga lebat. Angin yang sedikit kencang membuatkan kelopak-kelopak bunga itu jatuh menimpa kepala dan tubuh Awin yang kaku di bawahnya. Awin hanya berdiri kaku, melihat ke arah datangnya kelopak bunga-bunga itu.

“Awin,” panggilku sebaik sahaja aku merapatinya sambil cuba menyusun nafas yang masih tunggang langgang. “Kenapa ni?” Tanyaku sebelum mengambil tempat di sebelahnya.

“Awin,” balasnya perlahan sambil melihat ke arah bunga kemboja yang lebat merimbun. “Awin rasa kan, Awin pernah datang dekat sini dulu.”

Aku tidak membalas sebaliknya memberi reaksi yang pelik terhadap diri Awin yang masih menikmati helaian kelopak bunga kemboja yang jatuh menimpa mukanya. Detik hatiku mengatakan yang mana mungkin pernah dia ke sini. Tempat ini tersorok dari orang ramai, dan ini pun kali pertama aku bawa dirinya ke sini untuk mengambil gambar. Namun kata-kata itu tidak terlafaz, dan aku membiarkan sahaja Awin dalam dunianya sendiri.

Setelah beberapa ketika, aku merasakan yang matahari sudah semakin dekat merapati ufuk, dan seraya itu tangan Awin aku tarik perlahan.

“Mari sayang, kita pulang. Dah lewat ni,” pujukku perlahan apabila Awin seakan tidak mahu berganjak lagi.

“Awak...” balasnya lembut tanpa melihat pun ke arahku. “Sekejap lagi boleh tak?”

“Tapi sekarang dah lewat ni. Kejap lagi tempat ni gelap,” balasku lagi, sedikit memaksa. “Mari ya, kita balik.”

Tanpa balasan Awin menurut tarikan tanganku dan kami berjalan menyusuri lereng bukit kecil itu tadi menghala ke jalan besar tempat aku memarkirkan kereta. Dari jauh sudah kedengaran bunyi kenderaan yang laju menempuhi laluan antara tersibuk di Kuala Lumpur. Aneh, tempat ini masih tersorok sedangkan ramai orang lalu-lalang di pinggirnya.

Apabila aku menoleh ke arahnya, wajah Awin seakan menggambarkan satu kesedihan yang amat. Sesampai sahaja kami di hujung jalan, Awin menoleh ke belakang untuk melihat pokok kemboja tadi yang kini semakin lenyap ditelan kegelapan malam.

“Lain kali kita datang sini lagi boleh? Awin nak pergi ke pokok tu,” kata Awin seakan memujuk.

“Kenapa dengan pokok tu,” aku mula berasa kurang senang. Tambahan pula kini sudah masuk waktu maghrib dan aku terasa agak janggal dengan rasa pelik ini.

“Awin rasa Awin macam pernah pergi situ. Awin nak pegi situ lagi.”

“Awin mana pernah datang sini, sayang. Ini kan kali pertama kita datang.”

“Awin nak pergi sana lagi...” kini Awin sudah sedikit merengek kecil.

“Kita balik dulu sayang,” balasku dengan mendatar. Aku sudah benar-benar terganggu dengan perubahan Awin yang tiba-tiba.

“Please awak...bawak Awin datang lagi? Kalau tak Awin boleh pergi sendiri.”

Aku menoleh ke arah Awin dengan wajah yang sedikit masam. Apa kena dengan gadis ini? Kalau bukan kerana kereta yang banyak lalu-lalang di pinggir jalan, sudah tentu aku lari dalam ketakutan yang amat sangat. Perangainya memang agak pelik. Apa hebatnya pohon kemboja tadi sehingga mampu mengubah Awin sehingga sebegini rupa?

“Tengoklah nanti,” balasku sambil lewa. Aku sudah malas untuk melayan.

Awin menarik tangannya dengan perlahan dari genggamanku dan mula mengorak langkah menghala ke keretaku yang terletak dalam tiga puluh meter jauhnya. Kebosanan, aku hanya mengikut di belakang. Lenggok badannya memberitahu yang dirinya sedang merajuk.

Entah bagaimana, tiba-tiba terjatuh sebiji bateri bentuk silinder dari kamera yang masih berada di tangan kiri Awin. Akibat hayunan tangannya ketika berjalan, bateri tersebut terlambung sedikit ke udara sebelum terjatuh di atas jalan raya dan mula bergolek ke tengah jalan. Dalam keadaan panik Awin cuba mengejar bateri yang masih bergolek tanpa sempat aku menahan.

“Ya Allah! Awin!! Jangaannn!!!”

* * * * *

“Amin amin ya Rabbal ‘alamin.”

Semua hadirin mengaminkan doa yang tamat dibacakan oleh Imam Idris. Dengan perlahan mereka mula beransur pulang akibat matahari yang semakin memerah tandanya senja sudah bermula. Lagipun majlis sudah pun tamat tanpa apa-apa masalah.

Satu demi satu tepukan lembut singgah di belakang tubuhku yang dibaluti baju melayu putih meminta agar aku bersabar dan menerima takdir Tuhan dengan redha. Benar, yang pergi tak akan kembali lagi. Tempat yang tadinya ramai dikerumuni orang kini hanya tinggal aku dan dua orang rakan sahaja, itupun mereka sekadar melihat dari jauh , seakan memberikan peluang untuk aku mengucapkan salam terakhir kepada arwah.

Setitis dua air mata mengalir di pipi, namun semua itu tak mungkin akan merubah apa-apa. Rasa sebak yang menggila membuatkan aku hampir gila, tambahan lagi apabila bateri yang cuba arwah kejar petang semalam berada di genggaman tangan kiri aku. Bateri yang remuk berkecai akibat digilis kereta yang sama membuatkan Awin melambung hampir lima meter bertentangan dari arah datangnya kereta tersebut. Masih terbayang betapa seksanya arwah bernafas selepas dilanggar, dan betapa payahnya arwah meminta ampun dan maaf dariku sebelum menghembuskan nafas terakhir di pangkuan aku selepas menghulurkan bateri yang sempat juga dicapainya sebelum dilanggar.

“Peritnya hidup selepas ini tanpamu sayang...” Sekukuh dan sekuat mana pun hati lelaki ini, aku akhirnya teresak-esak sendiri di hadapan binaan tanah merah yang dilitupi bunga rampai dan dibasahi air mawar. Aku runtun. Aku melutut di hadapan pusara itu, Aku menangis sepuas-puasnya . Batu nisan berbalut kain putih itu aku belai sepertimana aku membelai kepala arwah dengan penuh kasih sayang dahulu.

“Kita balik, Man,” Esakan aku berhenti apabila bahuku disentuh lembut oleh Ajib. Tanpa sebarang bantahan aku akur dan menurut sahaja ajakannya. Air mata masih mengalir laju dan tanganku masih menggenggam bateri yang menjadi punca perpisahan ini terjadi.

Tatkala menghampiri kereta, tiba-tiba terasa angin landai bertiup dari belakang menghembus tubuhku dengan lembut. Untuk kali terakhir, aku berpaling menghadap pusara Awin, hanya untuk menyedari kehadiran sebuah pohon kemboja rendang yang tumbuh beberapa kaki sahaja dari pusara itu. Angin yang bertiup membuatkan kelopak bunganya yang lebat jatuh berguguran dengan perlahan menutupi liputan tanah merah yang masih basah.

“Please awak...bawak Awin datang lagi?”


“KAKAK tak setuju!”

Yusleena memandang wajah kakaknya dengan perasaan yang berbaur. Namun dia tidak sedikit pun terkejut dengan reaksi kakaknya itu kerana dia sudah sedia maklum akan penolakan gadis bertudung litup rona biru cair di hadapannya ini.

“Kenapa? Sebab dia kawan kakak?” duga Yusleena.

Masriza mencebik. Kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu. Ya, memang dia menentang hubungan Yusleena dengan Muzri, kawan sekelasnya sejak dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah.

Masriza masih ingat sewaktu adik bongsunya itu menyampaikan hasrat hatinya tentang hubungan cinta yang sedang dijalin dengan seseorang yang Masriza kenali. Detik itu hatinya sudah tidak enak. Dan ternyata apa yang berlegar di fikiran menjadi kenyataan. Kala nama Muzri meniti di bibir adiknya, Masriza serasa mahu pengsan.

Sungguh, dia tidak dapat melihat di mana logiknya Yusleena boleh jatuh hati pada Muzri, rakan yang sama-sama bertepuk-tampar, bergurau-senda semasa zaman sekolah dahulu. Mahu menerima Muzri sebagai adik ipar? Dia rela adiknya jadi andartu!

“Yus sedar tak siapa Muzri tu?”

Yusleena pantas mengangguk. “Dia kawan akak, ada masalah ke?”

“Ya, masalah besar!”

“Kak Mas, Yus tak rasa bercinta dengan Muzri satu kesalahan. Malah tak ada sebab pun kami tak boleh bercinta,” bidas Yusleena.

“Akak tak akan terima dia!” Masriza juga tidak mahu mengalah.

“Kenapa? Boleh Kak Mas terangkan? Yus benar-benar tak faham,”

Masriza bungkam. Ah, sukarnya mahu membuat penjelasan. Yusleena tidak mungkin faham. Tak, pasti tidak faham.

“Walau apa pun, akak tetap tak suka Yus dengan Muzri! Muktamad!” ujar Masriza lantas segera bangun, melangkah masuk ke dalam rumah, meninggalkan Yusleena keseorangan di halaman rumah banglo dua tingkat itu dengan hati yang rawan.

*  *  *  *  *

PD Central Market tidak ramai pengunjung petang Sabtu itu. Mungkin kerana hujan lebat yang sejak pagi masih belum menunjukkan tanda mahu berhenti. Masriza tekun menggubah jambangan bunga yang ditempah oleh pelanggan semalam. Tangannya lincah menyisip beberapa kuntum bunga teluki di sebalik dua belas kuntum mawar yang kembang penuh. Fikirannya kala itu hanya tertumpu pada jambangan bunga di hadapan. Tidak sedikit pun perasan yang dirinya diperhatikan sejak tadi.

“Orang kata, mawar memang harum tapi harus hati-hati dengan durinya,”

Sapaan seseorang yang menerjah pendengaran Masriza menyebabkan dia sedikit tersentak lantas berpaling. Bulat matanya melihat susuk tubuh yang amat dikenali sedang merenungnya dengan senyuman yang amat manis. Senyuman yang sentiasa menghadirkan debar dalam hati sejak dua tahun dahulu.

“A… A… Apa yang awak buat di sini?” soal Masriza, gugup.

Pemuda yang berkemeja hitam dengan seluar slack rona serupa itu menghampiri Masriza yang jelas berubah wajahnya. Masriza rasakan jantungnya semakin laju berdegup. Duhai hati, tenanglah…

“Hai, lama tak jumpa ya. Awak sihat?” soal pemuda berkaca mata tanpa bingkai itu.

“Bi… Biasa saja…”

“Setengah tahun tak jumpa, Mas dah banyak berubah. Tambah cantik,” ujar pemuda itu lagi.

Masriza menundukkan wajah. Terasa darah pantas menyerbu ke muka. Hangat. Sungguh, dia tidak mampu menatap wajah pemuda di hadapannya ini lama-lama. Parut luka di hati yang ditinggalkan oleh pemuda ini masih berbekas. Mungkin akan berdarah semula dengan pertemuan yang tidak dijangka ini.

“Sekarang dah jadi buka kedai bunga, impian Mas dulu, kan?”

Ah, mengapa disingkap semula memori lama itu? Apakah pemuda ini memang tidak pernah dapat menebak perasaan cinta yang lama bersarang dalam hati untuk dirinya? Ya, dia tidak akan tahu kerana Masriza tidak pernah melafazkannya. Tidak walau sekalipun.

“Shauqee apa khabar?” tanya Masriza, tidak menjawab persoalan pemuda yang dipanggil Shauqee itu.

“As usual…”

“Zehan?”

“Zehan pun baik-baik saja. Kami sedang sibuk uruskan majlis hujung tahun nanti,”
Majlis? Jangan-jangan…

“Err… majlis… kahwin?” suara Masriza.

Anggukan Shauqee bagai anak panah tajam, tepat mengena parut luka yang berbekas di dalam hati. Dan seperti sangkanya tadi, parut itu sudah pun berdarah semula. Pemuda ini akan berkahwin. Bermakna, dia akan kehilangan lelaki ini buat selama-lamanya.

“Em, sebenarnya Qee datang ni sebab ada perkara nak bincang dengan Mas,” ujar Shauqee dengan wajah yang berubah riak, serius.

“Tentang apa?”

“Muzri dan Yusleena,”

Masriza terpempan!

*  *  *  *  *

MALAM tanpa bintang tampak kosong. Apatah lagi sang rembulan seorang diri memancar suram. Sama suram dengan hatinya kala ini. Perlahan-lahan, sebuah keluhan dilepaskan. Nafas kembali ditarik dan dilepas sekaligus. Akal dan hatinya sedang asyik berperang sejak kedatangan Shauqee ke kedai bunganya siang tadi. Akal meminta dia berfikir secara positif sementara hati menidakkan logik akal. Lebih memihak pada perasaan hiba yang bermukim di sanubari.

Keluhan dilepaskan lagi. Kali ini pandangannya tidak lagi pada langit kelam, tapi terarah pada air terjun buatan yang dibina di sudut halaman rumah banglo yang dicat rona coklat itu. Aliran air terjun sama laju mengalir seperti air mata yang jatuh berjuraian. Sakitnya hati ini. Sangat sakit sehingga tidak tahu bagaimana mahu digambarkan.

Kenangan-kenangan lalu mula diselak. Ada wajah Shauqee, wajah Zehan dan wajahnya sendiri. Dua tahun dahulu, sewaktu dia menuntut di sebuah kolej dalam jurusan seni lukis dan seni reka, dia telah menjalin hubungan persahabatan dengan Zehan, kawan sekuliah merangkap teman sebilik. Oleh kerana mereka sebaya, dan mempunyai perangai yang hampir sama, bak kata orang ‘sekepala’, maka cepat sahaja mereka menjadi akrab.

Di kolej itu juga dia telah bertemu dengan Shauqee, senior yang merupakan pelajar jurusan kejuruteraan elektrik. Shauqee setahun lebih tua darinya. Mereka bertentang mata pertama kali sewaktu Shauqee berlanggar dengannya di perpustakaan. Dan sejak dari itu mereka sering saja bertemu secara kebetulan. Kebetulan yang membawa kepada perubahan dalam hati.

Ya, dia jatuh cinta pada Shauqee. Karisma lelaki itu mengusik naluri wanitanya. Mana tidaknya, Shauqee boleh dikatakan seorang yang berpengaruh di kolej mereka. Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar ditambah dengan ketua pasukan ragbi, membuatkan dirinya menjadi perhatian terutama para gadis yang pastinya terpesona dengan wajah Shauqee yang kacak persis pelakon Aaron Aziz.

Dan dia boleh dikatan bertuah kerana Shauqee sudi menerimanya sebagai kawan. Itu pun kerana mereka kerap berjumpa secara kebetulan dan kerap juga berlanggar tidak kira di perpustakaan, di kafeteria mahupun ketika di bangunan kuliah.

Shauqee seorang yang peramah dan bertanggungjawab. Oleh kerana dia selalu bersama-sama dengan Zehan, maka secara tidak langsung, Shauqee juga turut mengenali sahabat baiknya itu. Mulanya dia tidak perasan, angin cinta yang bertiup di sekelilingnya. Masriza rasakan bahawa angin cinta itu menyapa hatinya. Ya, memang ada rasa cinta yang berputik di dalam jiwa tetapi tidak diluah.

Malu dan tidak yakin. Kedua-dua perasaan itu sentiasa menjadi benteng kukuh setiap kali dia cuba untuk menyatakan hasrat hati. Malu kerana dia seorang gadis. Masakan dia mahu terhegeh-hegeh seperti perigi mencari timba. Tidak yakin kerana siapalah dirinya jika hendak dibandingkan dengan Shauqee yang menjadi perhatian ramai. Terlalu kerdil dirasakan setiap kali berada di samping lelaki itu.

Namun, kerana malu dan tidak yakin itulah dia telah kehilangan Shauqee. Kesilapan yang tidak mungkin akan terpadam sampai bila-bila. Lebih menyakitkan apabila sahabat baik sendiri yang memulakan langkah. Zehan dengan beraninya meluahkan rasa hati pada Shauqee. Waktu itu, dia dan Zehan sedang bersiar-siar di taman berhampiran kolej dan Shauqee serta dua orang rakannya juga turut serta.

Zehan telah melafazkan ucapan cinta pada Shauqee secara berdepan, disaksikan oleh dia dan dua orang rakan Shauqee. Jika masa boleh diputar semula, dia tidak akan mengajak Zehan dan Shauqee keluar bersama-sama petang itu. Namun Masriza tahu, itu sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Masa yang telah pergi, tidak mungkin boleh kembali.

Dan tambah merobek luka yang sedia parah apabila Shauqee menerima hasrat hati Zehan. Kata Shauqee, Zehan adalah orang pertama yang berani melafazkan kata cinta padanya. Gadis-gadis yang lain sekadar memendam rasa, sembunyi-sembunyi. Betapa tersentap hati Masriza sewaktu mendengarnya. Iyalah, dia juga tergolong dalam kelompok gadis yang memendam rasa itu.

Walau bagaimana pun, Masriza lega. Lega kerana perasaan yang dipendam tidak diketahui oleh sesiapa. Mujurlah dia tidak mempamerkan perasaannya kerana jika dia berbuat demikian, pastilah dia akan menanggung malu. Rasa malu yang tidak akan terhapus dengan mudah.

Setelah menamatkan pengajian, Masriza mengambil keputusan untuk membuka perniagaan. Papa dan mamanya tidak membantah kerana papanya juga seorang ahli perniagaan dalam bidang perhotelan. Dan, impian untuk membuka sebuah kedai bunga terlaksana juga. Impian yang pernah dikongsikan dengan Shauqee. Hanya lelaki itu sahaja yang tahu akan impiannya yang satu ini. Tidak papa dan mama, tidak Yusleena, apatah lagi tidak Zehan. Hanya Shauqee.

Setengah tahun tiada khabar, tiba-tiba lelaki itu muncul. Namun, kehadiran Shauqee sudah dapat dijangka. Apatah lagi perkara yang dibincangkan oleh mereka siang tadi sudah Masriza sedia maklum. Perkara yang membuatkan hatinya kembali dipaut pilu.

*  *  *  *  *

YUSLEENA mampir pada kakak sulungnya yang sedang asyik meneliti fail di atas meja. Tahun ini genap umur kakaknya 25 tahun, tua dua tahun darinya. Sudah wajar punya kekasih hati namun sehingga kini kakaknya itu masih belum menunjukkan tanda-tanda yang hatinya sudah dimiliki. Sekejap, adakah kakaknya tidak membenarkan dia menjalin hubungan dengan Muzri kerana cemburu akan dirinya yang sudah berpunya? Ah, mustahil! Kakaknya bukan seorang yang ortodhoks. Justeru, mengapa bila diperkenalkan Muzri, kakaknya beriya-iya menentang?

“Tekunnya orang tu buat kerja,” tegur Yusleena, mengejutkan kakaknya.

“Kus semangat… Kau ni Yus, cuba lain kali bagi salam dulu,” omel Masriza.

Yusleena mengukir senyum kecil. Matanya meliar seketika, memerhati segenap inci kedai bunga yang diusahakan kakaknya itu.

“Hah, datang ni nak apa?”

“Bosanlah duduk rumah. Itu yang Yus datang, nak tolong akak,”

“Bosan apanya. Awak tu nak final exam minggu depan. Pihak kolej bagi cuti seminggu untuk baca buku, bukan untuk merayap,” bebel Masriza.

Yusleena menekup dua belah telinga dengan tapak tangan, tanda protes terhadap bebelan kakaknya. Masriza menggeleng. Dia kembali meneliti dokumen di dalam fail. Sehelai demi sehelai kertas diselak.

“Kak…”

“Hmm…” Masriza menjawab pendek.

“Boleh Yus tanya sesuatu?” soal Yusleena.

“Hmm…”

“Boleh tak?”

“Apa dia?”

“Kenapa akak tak benarkan Yus bercinta dengan Muz?”

Selakan Masriza terhenti. Dia mengangkat wajah, memandang Yusleena yang tampak tenang. Fail di atas meja ditutup. Matanya merenung mata Yusleena dalam-dalam.

“Akak minta maaf. Akak memang tak setuju Yus dengan Muz,” jawab Masriza.

“Tapi kenapa?”

“Sebab Muz adalah adik pada lelaki yang menghadirkan luka dalam hati akak,” Masriza akhirnya meluahkan.

Dahi Yusleena berkerut. Jelas tidak faham kata-kata kakaknya tadi.

“Muz adalah adik Shauqee, lelaki yang pernah akak cintai dan perasaan cinta itu masih belum berubah. Namun cinta akak bukanlah milik Shauqee. Jadi, kalau Yus dan Muz bercinta, akak akan terpaksa berdepan dengan Shauqee dan kalau boleh akak tak mahu jumpa dia lagi. Akak tak mahu luka lama berdarah semula. Akak harap Yus faham…” terang Masriza.

Bunyi pasu pecah menarik perhatian. Pantas kedua-duanya berpaling. Mata Masriza bagai mahu terjojol keluar tatkala melihat Shauqee sedang berlari keluar dari kedai. Tidak, tak mungkin! Tak mungkin lelaki itu dengar apa yang dikatakannya tadi. Tak mungkin!

*  *  *  *  *

“APA yang Yus nak buat sekarang ni kak?” tanya Yusleena pada kakaknya yang sedang memanggungkan kepala di atas tapak tangan kanannya.

Masriza menatap wajah Yusleena sebentar dan kemudian beralih pada pemuda yang duduk di sebelah adiknya. Pemuda berkulit hitam manis itu memang berbeza dengan abangnya. Namun wajah mereka masih ada iras-iras terutama di bahagian mata dan hidung.

Kali pertama Yusleena memperkenalkan pemuda itu padanya, dia agak terkejut kerana wajah itu mengingatkannya pada Shauqee namun lelaki itu kulitnya cerah, berbeza dengan adiknya, Muzri yang berkulit hitam manis. Mulanya dia tidak menyangka yang Muzri adalah adik kepada Shauqee sehinggalah Muzri mengajaknya makan tengahari bersama-sama dengan keluarganya. Dan sejurus mengetahui Muzri adalah adik kepada lelaki yang pernah dicintainya, dia merasakan bahawa perhubungan itu tidak wajar diteruskan.

Walau bagaimanapun, semuanya berubah apabila Shauqee datang berbincang dengannya tempoh hari. Shauqee tanyakan sebab kenapa dia tidak bersetuju dengan hubungan Yusleena dan Muzri. Waktu itu, masakan Masriza mahu mengaku yang dia pernah menyimpan rasa cinta pada Shauqee dan masih berharap sehingga kini. Lalu dia memberi alasan bahawa Yusleena itu masih muda, masih sedang belajar dan bimbang jika bercinta, pelajarannya akan terjejas. Ah, alasan lapuk. Alasan yang kedengaran tidak logik pada dirinya sendiri namun itu saja yang mampu difikirkan sebagai alasan.

Dan apabila mengetahui yang Shauqee akan melangsungkan perkahwinan dengan Zehan, Masriza yakin, penantiannya sudah berakhir. Dia harus lupakan perasaannya pada Shauqee. Harus lontarkan jauh-jauh ke laut dalam. Tiada guna lagi dia berharap. Semuanya sudah tamat.

Sejak tamat belajar, dia jarang menghubungi Zehan walau gadis itu adalah sahabat baiknya. Bahkan sejak Zehan menjalinkan hubungan cinta dengan Shauqee, dia bertindak menjauhkan diri. Dia tidak mahu mendengar sebarang khabar tentang Shauqee dari Zehan. Dia tidak mahu hatinya rapuh. Mendengar nama lelaki itu sahaja sudah cukup menggetarkan jiwa.

“Kak Mas?”

Teguran Yusleena menyentak Masriza dari lamunan. Sempat lagi dia menyelak kenangan silam yang memeritkan itu. Masriza berdehem seketika. Dia meluruskan badan lalu kedua belah tangannya saling digenggam.

“Akak akan berbincang dengan Shauqee nanti. Kamu berdua jangan risau, walau sehebat mana dugaan yang datang, kalau jodoh kamu kuat, tetap tak ke mana,” ujar Masriza dengan harapan kata-katanya itu dapat melegakan perasaan pasangan muda di hadapannya itu.

 Yusleena dan Muzri bangun dari duduk lalu meminta diri. Masriza menghantar pemergian kedua-duanya dengan anak mata sehingga bayang mereka hilang dari pandangan. Sebuah keluhan dilepaskan. Keadaan sekarang jadi terbalik. Jika dulu, dia menentang hubungan Yusleena dan Muzri. Kemudian, dia merestui hubungan tersebut kerana seperti katanya tadi, penantian sudah berakhir. Tiada guna lagi dia menggantung harap yang cintanya pada Shauqee akan berbalas.

Tambahan pula, tidak ada salahnya jika Yusleena dan Muzri menjalin hubungan. Dia tidak boleh terlalu mementingkan diri sendiri sehingga merosakkan kebahagiaan adiknya yang baru hendak tercipta. Kenangan tetap akan jadi kenangan.

Apa yang merumitkan sekarang adalah tindakan Shauqee yang melarang keras adiknya dari berjumpa dengan Yusleena. Masriza yakin Shauqee terdengar luahan hatinya pada Yusleena semalam. Ah, perasaan ini memang sesuatu yang melemaskan!

Masriza bangun menuju ke kaunter pembayaran. Dia mengambil telefon bimbit yang disimpan di dalam laci. Jemarinya mula menaip baris kata. Butang hantar ditekan. Semoga mesej yang dikirim itu akan dibaca oleh penerimanya.

*  *  *  *  *

SUASANA di Pantai Cahaya Negeri petang itu tenang. Rata-rata yang hadir ke situ adalah pasangan muda-mudi yang dilamun cinta dan ada juga keluarga yang datang membawa anak-anak mereka menikmati angin laut yang berhembus nyaman. Di kaki langit, burung-burung mula kelihatan pulang ke sarang. Serakan rona jingga juga mula tersebar di ufuk barat.

Masriza mencapai ranting kayu yang berada di bawah bangku lalu mula melakar sesuatu di atas pasir. Sejak tadi dia menanti lelaki di sebelahnya bersuara namun sudah lima minit berlalu, masih tiada butir bicara yang keluar dari mulut lelaki itu.

“Awak tak sepatutnya halang hubungan Muzri dan Yusleena,” akhirnya Masriza yang membuka kata.

“Huh, bukan ke Mas memang tak mahu mereka berhubungan?” ujar Shauqee.

“Saya rasa awak tahu sebabnya mengapa saya buat macam tu dulu, kan?” balas Masriza.

“Dah Qee juga yakin Mas tahu sebabnya mengapa Qee buat macam ni,”

Masriza tersengih. Lelaki ini sengaja bermain tarik tali nampaknya.

“Kita ni dah macam budak-budak Qee…”

Kebisuan mula hinggap antara keduanya. Masing-masing melayan rasa. Masriza menghalakan pandangannya pada dua orang kanak-kanak yang sedang girang bermain di gigi air. Shauqee juga turut mengarahkan matanya ke arah yang sama.

“Macam mana Qee nak berhadapan dengan Mas?”

“Kenapa? Muka saya ni hodoh sangat ke?” Masriza cuba berlelucon.

“Qee serius ni. Kenapa Mas tak beritahu perasaan Mas pada Qee?”

“Saya rasa sama ada saya beritahu atau tidak, ia tidak menjadi masalah sekarang. Lagipun…”

“Mas kejam tahu?”

Masriza terpana! Dia kejam? Sedarkah Shauqee apa yang baru sahaja meluncur laju dari mulutnya sebentar tadi?

“Maksud awak?”

Segugus nafas berat dimuntahkan oleh Shauqee. Sepertinya ada beban besar yang dipikul di atas bahu.

“Qee pernah sayangkan Mas,”

Ranting kayu yang dipegang Masriza terlepas dari pegangan. Pantas dia berpaling, mencari mata Shauqee. Dia mahu merenung mata itu dalam-dalam. Benar, Shauqee tidak menipu. Lelaki itu benar-benar maksudkan kata-katanya tadi.

“Apa yang awak merepak ni Qee?”

“Qee tak merepek Mas. Qee memang pernah sayangkan Mas. Tapi Qee tengok Mas macam tak ada simpan apa-apa perasaan pada Qee. Jadi, bila Zehan luahkan perasaan pada Qee, Qee terus terima sebab Qee yakin, Mas tak ada perasaan pada Qee,” jelas Shauqee.

Ya, Tuhan! Masriza memegang dada. Nafasnya tidak teratur. Laju turun-naik. Tolong, tolong jangan katakan apa yang dia dengari tadi satu realiti. Tolonglah katakan ini hanya satu mimpi. Tolong!

“Qee! Awak, masih sayangkan saya? Awak masih cintakan saya?” soal Masriza tidak mampu mengawal perasaan. Kedua-dua belah bahu Shauqee digenggam lalu digoncang.

“Mas…”

“Awak masih sayangkan saya? Jawablah Qee!” Masriza mendesak.

“Maafkan Qee…” ujar Shauqee lalu menundukkan wajahnya.

Perlahan-lahan genggaman Masriza pada bahu Shauqee terlerai. Kedua-dua tangannya melurut ke bawah.Ya, Tuhan… Apa yang sedang terjadi padanya ini? Mengapa dia tidak mampu mengawal perasaannya? Bukankah lelaki ini akan berkahwin tidak lama lagi? Semuanya sudah terlewat Masriza! Terlewat…

“Qee sudah lama lupuskan perasaan sayang Qee pada Mas. Sejak Zehan luahkan perasaan pada Qee, Qee belajar untuk menyayangi Zehan dan ternyata, hati Qee sudah dimiliki oleh Zehan sepenuhnya. Kini hanya Zehan yang berada dalam hati Qee. Maaf…”

Masriza tidak mampu lagi memandang wajah lelaki di sisinya itu. Seluruh tubuhnya terasa lemah. Kali ini jantungnya seakan mahu pecah. Bukan kerana berdebar, tetapi kerana tidak mampu lagi menahan kesakitan yang menggunung dalam jiwa.

“To… Tolong tinggalkan saya sendirian…” pinta Masriza, sayu.

Shauqee melepaskan keluhan sebelum bangkit meninggalkan gadis bertudung biru dengan blaus lengan panjang rona putih itu. Dia faham gelora yang sedang melanda Masriza saat ini namun dia tidak tahu caranya untuk menyingkirkan gelora itu. Masa lalu tetap tidak boleh diubah. Sejarah, akan tetap menjadi sejarah.

*  *  *  *  *

KUNTUMAN-KUNTUMAN mawar kuning yang baru tiba dari pembekal pagi tadi dimasukkan ke dalam balang besar berisi sedikit air. Dia harus memastikan mawar-mawar itu tampak segar. Seminggu berlalu sejak kejadian di Pantai Cahaya Negeri. Seminggu juga Shauqee tidak menghubunginya. Mungkin memberi dia peluang untuk merawat luka. Ya, seminggu yang berlalu ini memang digunakan sepenuhnya untuk mengembalikan semula semangat yang goyah. Betapa sukarnya dia untuk menerima kenyataan bahawa cintanya tidak bertepuk sebelah tangan. Namun kerana terlalu memendam rasa, dia kehilangan cinta itu.

Bunyi pintu ditolak menarik perhatian Masriza. Dia berpaling. Wajah Shauqee menyapa pandangan. Lelaki itu menguntum senyum kecil.

“Sihat?”

“Biasa-biasa saja,” jawab Masriza lalu kembali menumpukan perhatian pada bunga-bunga di hadapannya.

“Mas…” belum sempat Shauqee meneruskan kata, Masriza terlebih dahulu menukas.

“Saya ada dengar dari Yus yang awak dah terima hubungan mereka. Terima kasih…”

Shaquee hanya mampu mengangguk. Dia merenung wajah gadis yang sedang asyik dengan bunga-bunga mawar kuning di tangan. Wajah itu masih mendung tapi sudah ada sedikit sinar yang kelihatan. Shauqee tahu Masriza tabah orangnya. Pasti luka di hati akan perlahan-lahan dirawat agar sembuh sepenuhnya.

“Boleh beri Qee sekuntum bunga ros tu?”

“Tapi saya belum buang durinya lagi,”

“Tak apa, bagi pada Qee. Biar Qee yang buangkan,” ujar Shauqee lalu mengambil cutter yang berada tidak jauh dari Masriza lalu membuang duri yang terdapat pada bunga mawar kuning itu.

“Nah, istimewa untuk Mas,” ujar Shauqee lalu menghulurkan sekuntum bunga mawar kuning itu pada Masriza.

“Bunga ros kuning tu lambang persahabatan. Qee telah buang durinya, dengan harapan persahabatan antara kita tidak lagi diduga. Qee harap Mas sudi terima,”

Masriza memandang Shauqee yang mengukir senyum. Kemudian, pandangannya jatuh pada mawar kuning dalam pegangan lelaki itu. Tanpa teragak-agak, Masriza menyambutnya. Ya, sekurang-kurangnya, dia dan Shauqee masih ada hubungan yang lebih bermakna. Persahabatan.

TAMAT

“Sampai bila Mar nak jadi macam ni? Menghabiskan beras tapi tak reti nak beli berasnya!” ibuku mula membebel lagi. Aku cuma tersengih bak kerang busuk. Mungkin sengihanku lebih comel berbanding kerang busuklah.

“Orang tau nak beli beras macam mana, tapi tak ada duit nak beli,” sengaja aku bergurau dengan ibuku. Aku tersengih lebar memandang ibuku yang comel sepertiku.

“Menjawab pandai! Ibu cili mulut tu nanti!” alamak, ibu datang bulan kot. Bergurau sikit, naik angin sepoi-sepoi bahasa. Aku mendiamkan diri, membiarkan ibu membebel lagi. Kalau menjawab, mahu tidur luar malam nanti.

“Bang, awak tengok anak awak ni. Dah habis belajar tak nak kerja. Demand sangat, nak kerja gaji besar. Habuk pun tak ada, dah pandai nak demand,” ibu menambah isi bebelannya. Aku mengeluh kecil kali ini, sedikit rimas dengan bebelan ibu.

Bukan aku tak mahu mencari kerja, malah sudah beberapa tawaran kerja yang aku peroleh selepas tamat pengajian. Aku mahu
menyambung pengajianku di peringkat master di luar negara, aku mahu menjadi seorang pensyarah tapi ibuku tidak memberikan keizinan. Katanya, aku terlalu mentah untuk ke negara asing seorang diri.

“Orang nak sambung study ibu kata tak payah,” aku mengomel perlahan. Ibu menjeling tajam. Hampir terjelupuk aku memandang jelingan ibu yang kurasakan paling mengerikan di muka bumi ini. Aku kembali menjadi anak yang solehah, duduk bersimpuh sambil memandang lantai tanpa jemu.

“Ibu kamu risau. Kamu duduk sana tak berteman. Ayah pun risau juga,” ayahku mencelah, lebih lembut tuturnya berbanding ibu. Aku mengeluh lagi. Malas mahu menjawab kata-kata ayah yang lebih pandai memujuk.

“Kalau Mar nak sangat belajar kat luar tu, Mar pergilah. Ibu dah malas nak cakap dengan Mar,” kata ibuku perlahan. Aku berpaling pantas memandang ibu yang sudah pun melangkah masuk ke bilik. Pertama kali ibu mengalah dengan sikapku yang begitu degil untuk menyambung pengajian di luar negara. Aku mengalihkan pandangan pada ayahku pula. Ayahku cuma selamba, langsung tidak mempedulikan adegan tadi. Aku jadi sebak, semakin buntu dengan masa depanku sendiri.

“Kalau nak sambung belajar, dalam Malaysia ni pun ada, Mar. Tak payah nak pergi tempat orang putih tu,” ayah cuba memujukku lagi. Aku mendengus perlahan. Aku cuma mahu mencari pengalaman di tempat orang. Aku tahu, ibu dan ayahku risau untuk membenarkan aku ke luar negara seorang diri. Tapi, aku telah menanam hasrat untuk belajar di luar negara sejak kecil lagi. Aku benar-benar ingin menunaikan impianku sendiri, tapi kini aku tersepit antara keluarga dan cita-cita.

Aku bangun, melangkah perlahan menuju ke bilik. Aku menghempas badan di atas katil, mencari ketenangan untuk membuat keputusan yang bijak.

Kadangkala aku sedih memikirkan kedua orang tuaku yang tidak pernah cuba untuk memahami impianku. Aku begitu nekad ketika menyuarakan hasratku dahulu, tapi impianku hampir terkubur begitu sahaja, hanya kerana sikap ibu bapaku.

Sudah hampir 3 bulan aku tamat pengajian dan sejak itulah aku duduk sahaja di rumah tanpa melakukan apa-apa. Aku mengeluh lagi, entah untuk kali keberapa.


“Jaja, kau kata tempat kau ada kosong hari tu kan? Dah ada orang ambik ke belum?” aku menghubungi rakanku Jaja yang pernah menawarkan satu jawatan kosong di syarikat milik keluarganya.

“Kosong lagi. Ayah aku punya taste memang tinggi. Semua yang datang temuduga, semua dia tak berkenan. Kau nak ke? Datanglah interview!” sedikit teruja Jaja membuat tawaran kali kedua untukku. Aku di anggap cukup bertuah kerana masih berpeluang mendapat tawaran kerja sedangkan ramai graduan yang menganggur di saat ini. Cuma aku sahaja mahkluk yang tak pandai bersyukur!

“Oi minah. Kau diam kenapa? Berangan pula dia. Ayah aku tak layan budak suka berangan ni!” Jaja menganggu lamunanku. Sedikit tersentak aku dengan jeritan berapinya.

“Bila aku boleh datang interview?” aku bertanya perlahan, masih belum yakin dengan keputusanku sendiri untuk bekerja.

“Esok pun boleh. Relaxlah, kau member kamceng anak tauke, babe. No big deal. Tapi, bukan kau kata kau nak sambung study ke?” Jaja kembali membuka anganku untuk menyambung pengajian. Budak ni, rosak mood aku! Dah elok-elok aku buat keputusan, dia tanya pula.

“Kau ni, patutnya kau alu-alukan kedatangan aku sebagai seorang yang bertauliah dalam company family kau. Tanya-tanya lagi buat apa? Faham-fahamlah parents aku macam mana,” aku membalas keras. Jaja di hujung talian tergelak besar dengan kata-kataku. Dia ni ada Sindrom Ketawa agaknya. Benda tak kelakar pun dia sakan tergelak.

“Kau bertauliah? Kau jumpa ayah aku nanti, kau sedarlah siapa yang bertauliah,” Jaja tertawa lagi. Aku tiba-tiba tersedar. Ini pertama kali aku menghadiri temuduga formal. Dengan ayah kawan karibku sendiri pula tu. Takut ada, segan pun ada.

“Kau sogoklah ayah kau sikit. Masak sedap-sedap, kemas rumah bersih-bersih,” sengaja aku menyembunyikan getar di hatiku.

“Kau yang nak kerja, kau lah sogok ayahanda beta!” Jaja membalas. Kami terus berbual mesra, sedikit terlupa aku dengan masalah yang aku runsingkan.


“Mar nak ke mana hari ni? Pagi-pagi buta dah bersiap sakan?” ayah cuma memerhatikan aku yang berjalan lenggang kangkung memakai baju kurung. Aku melabuhkan punggung di kerusi untuk sama-sama menikmati sarapan pagi dengan keluargaku. Ibu menjeling sekilas melihatku. Ibu masih terasa sejak semalam, langsung tidak menegurku. Aku sengaja merahsiakan temuduga hari ni. Tak mahu mereka terlalu mengharap.

“Ada interview kat tempat Jaja,” jawabku perlahan. Tak sanggup melihat reaksi ibu bapaku. Ayah, ibu, lompatlah dengan gembira. Mar tahu kalian gembira. Kalau nak menari pun tak mengapa. Aku mengangkat muka, memandang ayah dan ibuku. Masing-masing selamba. Sedihnya aku!

“Buat elok-elok nanti,” pesan ibu tiba-tiba. Aku tersenyum kecil, sedikit gembira mendengar suara ibuku yang tidak kedengaran sejak semalam. Terima kasih, ibu.

Kami meneruskan suapan sarapan pagi itu. Sedikit gemuruh aku mengingatkan raut wajah ayah Jaja yang sungguh garang pada pandangan mataku. Ibu, ayah, doakan Mar!




“Marliana Yusoff?” akhirnya namaku dipangil juga untuk masuk ke dalam bilik temuduga. Termasuk aku, ada 6 orang yang hadir untuk temuduga pagi ini. Aku bangun sambil membetulkan pakaianku dan memegang erat fail di tanganku.

Aku melangkah masuk ke dalam bilik temuduga itu. Biliknya yang luas menambah rasa gementarku. Aku cuba bertenang dengan melemparkan senyuman pada penemuduga di hadapanku. Ada 2 orang lelaki yang cukup segak dihadapanku.

“Duduklah,” alamak! Abang Jaja ke tu? Aduh, aku memang kenal dengan abang Jaja. Orangnya memang kacak, sedikit cair aku melihat abangnya memakai kemeja putih bersih dengan tali leher sedikit longgar. Abang Jaja selalu menjemput adiknya pulang ketika kami menuntut di universiti dahulu. Aku pernah juga menumpang Jaja untuk pulang ke rumah. Tapi, abangnya pendiam, Jarang berborak denganku.

Aku berdehem kecil. Cuba kembali waras selepas menikmati keindahan ciptaan Tuhan dihadapanku ini. Profesional sikit Mar!

Sesi temuduga berjalan dengan lancar. Walaupun aku sedikit tergugat dengan kekacakan abang Jaja sebentar tadi. Aku dibenarkan keluar selepas selesai ditemuduga. Aku keluar sahaja dari muka pintu, kelihatan Jaja sedang sabar menantiku. Tergesa-gesa Jaja menarik tanganku masuk ke pejabatnya.

“Fuyoo. Ini office kau ke? Besar betul! Macam bilik tidur parents aku! Ada sofa siap,” aku duduk perlahan di atas sofa. Aku begitu kagum dengan pejabat Jaja. Bukan bersikap jakun, cuma kagum dengan rakanku sendiri.

“Kau macam mana tadi? Ok tak?” Jaja kembali mengingatkan aku dengan temuduga tadi.  Aku melabuhkan punggung perlahan-lahan di sofa sambil termenung kecil.

“Entahlah. Ok agaknya,” jawabku perlahan. Jaja menarik nafas lega.

“Kalau kau kantoi, memang aku sondol hidung kau bertubi-tubi. Penat aku promote kau semalam,” aku tersenyum lebar mendangar kata-kata Jaja. Sedikit terharu aku dengan pertolongan Jaja yang kurasakan cukup ikhlas itu.

“Oi Ja! Kau tak bagitau aku yang abang kau jadi penemuduga tadi kenapa?” tiba-tiba aku teringatkan abang Jaja yang tidak kuketahui namanya tadi. Abangnya begitu serius sepanjang aku berada dalam bilik itu tadi membuatkan aku jadi kecut secara tiba-tiba. Eloklah untuk badanku yang sedikit kembang ini. Mungkin kecut membuatkan aku nampak kurus!

“Kenapa kalau abang aku ada?” Jaja bertanya dengan riak muka yang penuh kedutan, pelik dengan soalanku mungkin.

“Kau sedar ke tak yang abang kau tu hensem? Aku pantang tengok lelaki kacak ciptaan Tuhan tau tak. Aku jadi nervous!” balasku separuh bergurau. Jaja cuma tergelak besar dengan kata-kataku.

“Ja!” tiba-tiba pintu bilik Jaja di buka daripada luar. Termati terus gelak Jaja yang terkejut dengan kehadiran yang sangat tiba-tiba itu.

“Apa kau ni?! Ketuklah pintu dulu!” Jaja terus menjerit melihatkan abangnya di muka pintu. Aku pula terus terjelupuk jatuh dari kerusi saat itu juga. Aku baru sahaja memuji lelaki dihadapanku ini, tiba-tiba terpacul mukanya. Dia dengar ke tadi? Malunya aku!

“Abah panggil,” katanya dan terus berlalu meninggalkan kami terpinga-pinga.

“Kenapa tak call je? Manual sangat nak panggil aku kenapa?” kata Jaja perlahan. Rasa terkejutnya masih bersisa. Sedang asyik tergelak sakan, tiba-tiba disergah begitu. Mujurlah jantung kami sama-sama masih sihat.

“Aku balik dululah. Kau pergilah jumpa ayah kau,” aku meminta diri. Seakan mengganggu pula rasanya, duduk di pejabat orang lain sambil berborak sakan.



“As expected, kau dapat kerja tu,” Jaja berkata selamba ketika kami sedang asyik menikmati makan malam di Pizza Hut.

“Kerja? Kat office ayah kau?!” sedikit menjerit aku bertanya hingga rata-rata pengunjung Pizza Hut hampir mencampakkan pizza di tangan masing-masing dek kerana terkejut dengan suara petirku yang tiba-tiba berdentum.

“Aku tak nak makan dengan kau lagi, petir!” Jaja menutup mukanya dengan tisu di atas meja. Aku berdehem beberapa kali untuk sama-sama menanggung malu.

“Seriuslah babe. Aku dapat kerja tu?” aku bertanya perlahan kali ini. Yang budak sebelah meja aku ni asyik menjeling ni kenapa? Nak suruh aku minta maaf ke sebab menjerit tadi? Aku bayar cukailah! Aku kembali merenung Jaja, meminta jawapan pasti.

“Actually, kau tak dapat kerja situ tapi lepas aku ugut ayah aku, yang aku akan bunuh diri kalau kau tak kerja situ, ayah aku setuju. Tahniah!” Jaja menghulurkan tangannya dengan lagak ingin bersalam. Langsung aku tak menyambut hulurannya itu. Tak sedap rasanya bila kita mendapat sesuatu pekerjaan sedangkan kita tidak layak memegang jawatan tersebut.

Aku terkenangkan seorang perempuan yang begitu kurus badannya, duduk di sebelahku sambil terkumat-kamit mulutnya ketika menunggu giliran untuk ditemuduga. Membaca doa agaknya. Kemudian, aku teringat pula pada seorang lelaki yang tak berapa kacak, duduk tegak di hadapanku sambil membelek kosong fail di tangannya sendiri. Tak bosan ke baca benda yang sama berulang kali? Aku mengeluh panjang. Mungkin rezeki bukan untuk mereka agaknya, tapi aku masih rasa gundah gulana.

“Kau kenapa? Sedih sangat kerja dengan aku?” separuh merajuk Jaja bersuara. Budak ni, tak memahami perasaan rojak aku betullah.

“Macam jahat je rasanya, aku dapat kerja tu padahal ada orang lain yang lagi layak daripada aku. Aku bukan tak reti nak bersyukur, tapi….” Aku terdiam dengan kata-kataku.

“Alamak kau ni. Aku main-main je tadi Mar,” Jaja tersengih sumbing. “Ranking kau ok, nombor 3 di kalangan semua yang datang untuk temuduga. Company ayah aku tu, ada 3 tawaran kerja. Kau deserve jawatan tu actually,” Jaja menyambung ayatnya dengan sengihan paling busuk dan berlumut pernah aku tengok! Aku betul-betul nak jadi Incredible Hulk sekarang ni!

“Jangan marah,” Jaja cuba menyuapkan pizza di mulutku. Aku gigit juga perempuan ni nanti!

“Boleh start kerja next week,” Jaja tersengih-sengih lagi, cuba memujuk rajukku. Aku jadi lembut hati selepas itu. Nak layan rajuk lama-lama dengan kawan karib sendiri, namanya gedik. Ini ikut kamus terbitan aku sendiri! (Sila jangan gunakan di mana-mana)



Memulakan alam pekerjaan merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna untuk aku. Maklumlah, selepas membesarkan badan yang semulajadi memang agak besar ini selama 3 bulan selepas graduasi, perasaannya ternyata berbeza. Aku mampu belajar banyak perkara, belajar untuk bersikap lebih matang dan juga mengenali ramai kawan baru termasuk abang Jaja!


“Macam mana kerja Mar? Ok?” aku berbual kosong dengan ibu. Ibu tahu serba sedikit tentang hubunganku dengan Zafri, tapi tidak tahu menahu tentang kerjaku. Apa tidaknya, cerita Zafri yang keluar dulu sebelum cerita kerja. Mungkin aku sudah dilahirkan gatal, memang begini sikapnya.

“Mar belajar something new hari-hari. Pengalaman yang berharga,” tiba-tiba aku menjadi anak yang solehah. Sungguh aku puas dengan apa yang aku lakukan sekarang ini.

“Baguslah kalau macam tu. Habis tu, cita-cita nak jadi pensyarah tu macam mana?” ibu tiba-tiba membangkitkan impianku suatu ketika dulu. Aku jadi diam, tidak dapat menjawab soalan mengejut ibuku.

“Kenapa ibu tanya?” aku membalas perlahan. Ibu pula yang terdiam kali ini. Sejak aku mula bekerja, aku makin terlupa dengan cita-citaku sendiri. Malah, aku selesa dan senang dengan apa yang aku lakukan sekarang.

“Tak ada apa,” ibu tersenyum panjang, penuh tersirat.


‘kadangkala, kejayaan dan kesenangan yang kita peroleh bukanlah sesuatu yang pernah kita impikan. Andai impian kita tidak tercapai, percayalah. Rezeki ada di mana-mana. Tak salah untuk mencuba...’


Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini