rss


Aku kembali semula ke daerah ini, daerah di mana semua kenangan itu bermula dengan segala keindahan warna-warna pelangi dan kebasahan yang dingin sang gerimis.

”Sal akan nanti abang kembali semula ke sini.”

Betapa sahaja tiba-tiba aku kembali semula ke daerah ini setelah hampir tujuh tahun berlalu. Daerah yang pernah menghadiahkanku cinta seindah pelangi. Sebuah cinta luhur, namun akhirnya aku tinggalkan demi memburu impian masa hadapan yang lebih aku utamakan dari cinta. Namun setelah impianku itu tercapai, ternyata tiada lagi cinta yang kumiliki.

Sesungguhnya daerah ini masih seperti dahulu, tidak pernah berubah. Masih lagi gerimis bagaikan sang kekasih paling setia menyambut kedatanganku semula ke sini. Aku rindu sekali untuk merasai kesejukan titis gerimis yang tak pernah mengenal musim. Titisannya tanpa segan membasahi diriku ini. Kebasahan yang pernah menghangatkan satu pertemuan.

Kejauhan dari tempat kelahiranku sendiri telah mengajar aku akan erti sebuah kehidupan. Kegagalan di alam persekolahan membawa rajukku jauh kembara hingga ke daerah ini. Aku tinggalkan kota Kuala Lumpur dan ibubapa serta adik-adikku untuk mencari kedamaian. Di sini, aku sambung kelangsungan hidup dengan bekerja di sebuah hotel mewah tepi pantai, cukup hanya sebagai seorang pelayan restoran. Walau hanya dengan pendapatan yang kecil, daerah ini tetap menjanji sebuah kehidupan yang sempurna.

Takdir akhirnya berbicara. Dalam melayari hidup sendirian di sini, tanpa sedar aku telah tersapa oleh cinta. Mengenali akan indahnya perasaan yang dinamakan cinta. Menikmati erti mencintai dan dicintai. Aku, anak kota yang jatuh cinta pada seorang gadis kampung anak seorang nelayan tua.

*****

Suatu waktu itu,kami berdua dipeluk kebasahan oleh renyai-renyai sang gerimis yang tiba-tiba turun ketika menyusuri pantai Teluk Bidara. Alunan deruan ombak laut yang menderu dan keriuhan sang camar yang berterbangan pulang, bagaikan menjadi saksi pada satu pertemuan yang menlahirkan cinta.

Seusia renyai gerimis, pelangi mendadak muncul terbentang indah dari puncak bukit hingga ke kaki langit nun di hujung laut luas. Kami berdiri dengan kaki digenangi oleh ombak pantai yang menghempas lembut sambil menatap tujuh warna-warni yang saling membentuk menjadi pelangi.

“Titisan gerimis yang turun dari langit itu adalah titisan air mata para bidadari yang menangis kerana cinta. Bidadari itu adalah puteri kayangan yang cantik jelita tiada taranya. Cantiknya seperti dirimu!’ Bisikku perlahan sambil merenung wajah lembutnya.

Dia hanya tersenyum. Manisnya senyuman itu, melebihi manis senyuman para bidadari kayangan. Pipinya kemerah-merahan mungkin malu kerana dipuji. Tudung warna biru gelap yang menutup kepalanya berkibar-kibar ditiup angin laut. Baju kurung biru yang dipakainya amat bersesuaian dengan warna kulitnya yang putih. Mana mungkin ada lelaki yang tidak jatuh cinta pada gadis semanis ini. Keayuan dan kejelitaannya memang sesuai sekali dengan tugasnya sebagai seorang Penyambut Tetamu di hotel tempat aku bekerja.

“Ahh... Abang bohong...’ Balas Salina lembut seraya mencubit lenganku geram.

Cubitan itu sememangnya sakit, tetapi sakit yang menyenangkan, bukankah cubitan itu adalah bahasa kasih yang tersendiri. Dari lirikkan matanya, aku tahu cubitan itu bukan bermaksud dia marah kepadaku.

Beberapa orang anak remaja kelihatan begitu tekun membina istana pasir di bibir pantai. Walau pun telah berulang kali istana yang mereka bina rosak dipukul ombak, masih mereka berusaha membina semula sebuah lagi istana yang baru.

“Dari titisan gerimis itulah terlahirnya pelangi. Pancaran sinar matahari mewujudkan satu garisan melengkong ke bumi dengan tujuh warna berbeza. Pelangi indah itu adalah lambang kebahagian para bidadari kayangan.” Sambungku lagi sambil memandang ke arah pelangi. Seketika itu juga kembali menatap wajah ayunya.

“Kayangan itu hanya wujud dalam cerita-cerita dongeng sahaja untuk bacaan sebelum tidur kanak-kanak. Bukan begitu?” Tanya Salina kembali sambil ketawa. Sebaris giginya yang putih terpamer di antara dua bibirnya.

“Kayangan itu adalah syurga. Abang ingin hidup bersamamu di sana!” Sambungku lagi bersungguh-sungguh.

Dia hanya diam. Belum ada kata-kata yang keluar dari bibirnya. Pelangi itu direnungnya kembali kali ini dengan lebih mendalam, kemudian matanya dipejamkan.

“Ya, Sal juga mengharapkan begitu. Malah Sal selalu berdoa untuk kita, supaya nanti kita dapat hidup bersama-sama di sana.” Balasnya sambil kembali membuka matanya.

“Titis gerimis iyang membasahi kita ini adalah lambang ujian yang datang menguji keteguhan cinta kita. Seusai germis itu nanti akan muncul pula pelangi. Pelangi itulah lambang kebahagiaan cinta kita, Sal.” Ujarku kembali menyakinkan setiap patah kata-kataku.

Salina tersenyum kembali sambil hanya matanya yang terus berbicara merenung tepat ke mataku. Ketulusan dan keihklasan yang jelas tersirat di matanya dapat kubaca.

”Bila masa itu tiba nanti, pelangi itu akan abang jadikan seutas rantai cinta dan akan abang kalungkan ke lehermu.” Bisik janjiku lembut ke telinga sang kekasih.

*****

Daerah ini benar-benar telah merangsangku untuk menyambung semula pelajaran yang terkandas beberapa tahun yang lalu. Aku kembali belajar secara sambilan untuk mengapai kembali impianku melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading. Dorongan dan kata-kata perangsang dari Salina benar-benar banyak membantuku. Akhirnya aku lulus dengn cemerlang dalam peperiksaanku.

Impianku untuk melangkah kaki ke menara gading akhinya menjadi kenyataan. Tawaran untuk menyambung pelajaran peringkat ijazah di sebuah universiti di Kuala Lumpur aku sambut dengan penuh kesyukuran. Tidaklah sesia-sia pengorbanan dan usahaku selama ini.

Salina adalah orang paling gembira dengan kejayaanku, walaupun aku lihat air matanya menitis. Kejayaan ini juga bererti aku dan Salina akan berpisah buat satu jangka masa yang agak lama. Lima tahun terlalu lama untuk aku dan Salina.

Demi untuk mengapai impianku yang telah tertangguh sekian lama, aku pergi meninggalkan daerah ini dengan satu janji untuk kembali semula. Janji yang aku sendiri tidak pasti samada akan mampu aku tunaikan.

”Sal akan nanti abang kembali semula ke sini.”

Pengajianku di universiti memang benar mencabar. Tempoh yang aku lalui sukar. Banyak masa yang aku perlukan untuk mentelaah pelajaranku. Aktiviti-aktiviti di universiti juga menuntut tumpuan sepenuhnya. Mujurlah ibubapaku yang menetap di Kuala Lumpur banyak membantu.

Surat-surat berisikan puisi-puisi rindu dan kesetiaan dari Salina hampir saban minggu kuterima. Aku juga tidak pernah gagal membalas surat-suratnya. Selalu aku akan bercerita tentang kehidupan baru di universiti, tentang pelajaranku dan betapa aku sangat merindunya.

Setahun berlalu, tanpa aku sedari telah banyak merubah diriku. Kalau dahulu surat-surat dari Salina amat kunantikan dan merindui kehadirannya, tapi kini tidak lagi. Banyak surat-surat Salina tidak kubalas, malah tidak langsung kubaca.

Salina tidak lagi menjadi orang yang aku rindui. Segala kenangan indah bersamanya telah aku lupakan. Aku kini asyik dengan cinta baruku. Elina, gadis kota, rakan sepengajianku telah berjaya mengisi kesunyianku dan meragut cintaku dari Salina. Kesetiaan cinta Salina tidak lagi berharga bagiku.

*****

Dua tahun masa berlalu, Salina tiba-tiba muncul di tempat pengajianku. Kehadiran yang tidak aku sangka-sangkakan. Kebisuan yang panjang dariku, rupanya tidak pernah mematahkan kesetiaannya.

“Kenapa bang? Apa salah Sal?” Tanya Salina dengan nada suara mulai berisikan tangisan. Riak wajahnya penuh dengan kesedihan.

Kegelisahan menggayuti di dadaku. Ada perasaan bersalah yang datang meyelinap di hatiku. Aku tak segera menjawab. Diam untuk mencari-cari kata-kata terbaik untuk mengungkapkannya semula.

“Abang tak mahu Sal menunggu abang terlalu lama.” Ungkapku perlahan tanpa menceritakan bahawa aku sebenarnya telah mempunyai cinta yang lain.

“Kenapa saja abang tidak menyatakan ini sejak pertama kali Sal menyatakan cinta Sal pada abang. Setelah semua hal-hal menjadi begitu mendalam bersama saat-saat indah yang telah kita lalui bersama?” Salina mendesah kesal kemudian diikuti tangis Salina yang pecah tepat ketika gerimis turun membasahi bumi.

Aku menghela nafas. Kami saling berdiam. Tak ada kata-kata yang mampu terlahir. Aku sempat menoleh sekilas ke arahnya dan melihat titis-titis air mata mengalir deras melalui tebing pipinya.

“Sal ingin terus bersama abang, mencintai abang hingga ke akhir hayat. Selama manapun Sal akan setia menunggu abang!” Rayu Salina di balik derai tangis pilu.
Aku menggigit bibirku sendiri. Berusaha mencari kata-kata terbaik, kerana di saat yang sama jantungku turut berdetak kencang kerana setiap patah kata-kataku pasti akan menambahkan lagi luka hatinya.

“Ia tidak semudah itu. Abang tak mahu Sal menunggu abang terlalu lama. Abang tak mahu segalanya berakhir sia-sia untuk Sal. Percayalah Sal, sekiranya memang Tuhan menghendaki, dan takdir sudah menggariskan kita kelak akan tetap bersama, maka itulah yang akan terjadi.” kataku dengan lidah yang berat.

Salina berdiri terpaku selama beberapa saat, seolah tidak percaya, perpisahan ini terjadi begitu cepat dan begitu menyakitkan. Hubungan yang terjalin sejak empat tahun lalu berakhir sebegini rupa.

“Terima kasih untuk segala saat indah yang telah kita lalui bersama. Maafkan abang bila segalanya harus berakhir begini. Usah ada ruang dendam antara kita.” Kataku akhirnya memberi kata putus.

”Sal akan tetap menanti abang!”

*****

Sebulan yang lalu, secara tidak sengaja aku bertemu dengan seorang sahabat yang pernah sama berkerja di daerah itu, di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

”Aku berkursus dua minggu di sini.” Jawab Ilham bila kutanya mengapa dia berada di Kuala Lumpur.

”Baguslah. Kau dah banyak berubah sekarang. Lihat sahaja penampilan kau sekarang. Begitu bergaya sekali. Berkasut kulit, baju lengan panjang dan bertali leher, rambut tersisir rapi.” Balasku berjenaka.

”Salina masih setia menantimu. Dia berkirim salam. Seolah-olah dia dapat merasakan bahawa kita akan berjumpa di sini.” Ilham tiba-tiba mengalih tajuk perbincangan kami. Riak mukanya sedikit berubah.

Salina! Nama itu tiba-tiba saja mengegarkan jantungku. Ada rasa kepiluan yang datang menerjah ke hatiku. Nama yang satu waktu dulu telah lama aku buang jauh-jauh dari hatiku. Apakah masih ada rasa cinta di hatiku?

”Kenapa nama itu termasuk dalam perbualan kita. Aku sedang membina kehidupanku di sini. Antara kami sudah tiada apa-apa lagi!” Jawabku setelah agak lama membisu.

Wajah Salina datang menjelma di fikiranku. Senyum dan tawa terbayang di mataku. Betapa kejamnya aku kerana telah melukakan gadis sebaik itu.

”Kesetiaan Salina terhadapmu telah banyak melukakan hati lelaki-lelaki lain yang menagih cintanya. Untuk makluman kau, Dzani, aku adalah salah seorang daripada lelaki-lelaki itu.” Jawab Ilham.

Memang tidak aku nafikan. Waktu itu Salina menjadi kegilaan lelaki-lelaki di sana. Walaupun hanya seorang gadis kampung, dia seorang gadis yang sempurna. Aku adalah seorang lelaki yang bertuah. Salina menyerahkan cintanya kepadaku. Aku juga mencintai Salina. Malah kerana cinta Salina itu pernah menyebabkan berlaku pergeseran aku dengan beberapa lelaki di sana yang turut sama merebut cinta Salina.

“Telah tujuh tahun berlalu, dia sedang menderita kerana kesetiaannya pada cintanya sendiri. Salina menceritakan kisah pertemuan dia dengan kau di Kuala Lumpur hampir empat tahun yang lalu. Agaknya gadis-gadis cantik di Kuala Lumpur ini telah membuat kau terlupa tentang seorang gadis yang setia menantimu di sana!” Keluh Ilham sambil mengetap bibirnya.

Aku hanya mampu terdiam. Memang betapa kejamnya sikapku terhadap Salina. Bagaimanakah aku begitu tergamak memperlakukan sedemikian kepada gadis sebaik itu.

“Biarlah aku kongsikan sedikit cerita tentang Salina selepas pertemuan kamu berdua itu.” Ujar Ilham dengan nada suara yang tegas.

“Aku menjadi rapat dengan Salina sejak kau ke Kuala Lumpur. Aku tahu Salina bersedih yang amat sangat semenjak balik dari pertemuan kamu berdua tapi disembunyikannya. Sebulan selepas itu, dia kehilangan ayahnya. Bot nelayan ayahnya karam di laut dan mayat ayah tidak ditemui sehingga kini.” Sambung Ilham lagi sambil matanya memandang tepat ke mataku.

“Semenjak itu juga, ibunya bagaikan orang kehilangan akal. Setiap petang ibunya akan ke pantai menanti kepulangan ayahnya. Urusan keluarga terpaksa dipikul oleh Salina. Betapa berat tanggungan Salina menjaga enam orang adik-adiknya yang masih bersekolah.” Ujar Ilham lagi.

Dapat aku selami bebanan yang ditanggung Salina. Gajinya berkerja pasti tidak cukup menanggung keluarganya. Kalau dahulu tanggungan itu dikongsi bersama ayahya, kini Salina menanggungnya keseorangan.

“Enam bulan selepas itu, hotel tempat kerja kami ditutup. Aku, Salina dan rakan-rakan yang lain kehilangan pekerjaan. Penderitaan Salina bertambah. Mujurlah kami diberi sedikit pampasan. Dengan wang pampasan itu, Salina menjalankan perniagaan kecilan membuat dan menjual kerepok lekur. Dalam masa tiga tahun perniagaannya berkembang dengan jaya. Dari kedai kecil, keropoknya kini diedar di seluruh pantai timur. Dia sekarang adalah seorang usahawanita yang berjaya.“ Ujar Ilham dengan wajah yang tersenyum.

Aku merasa seolah-olah senyuman Ilham bagaikan mengejek diriku. Bagaikan ada satu kepuasan kepadanya bila menceritakan kejayaan Salina dalam perniagaan. Aku cuma mampu diam.

“Oh ya, hujung bulan hadapan aku akan berkahwin. Datanglah. Harap kau masih ingat jalan ke rumahku!” Ujar Ilham sambil bangun berjabat tanganku dan memohon untuk beredar.

Aku turut bangun meninggalkan meja makan menuju ke kaunter bayaran. Rayuan Salina beberapa tahun lalu tergiang-giang di telingaku.

”Sal akan nanti abang kembali semula ke sini.”


*****

Kini tujuh tahun telah kutinggalkan daerah ini. Tujuh tahun yang terhitung sejak aku memutuskan tali cinta, yang bagiku hanyalah satu hubungan yang sia-sia. Namun setelah aku memiliki apa yang aku impikan selama ini, sekeping ijazah, jawatan penting dalam syarikat, kereta mewah dan rumahku sendiri, aku masih terasa kekosongan.

Setelah usiaku sendiri telah melewati angka tiga puluhan, ketika aku telah cukup bersedia untuk satu perkahwinan, malangnya masih belum kutemui gadis sepertinya. Elina, gadis kota yang pernah kucintai sewaktu pengajianku dulu telah lama meninggalkan aku untuk berkahwin dengan seorang lelaki hartawan.

Kesunyian dan kesepian inilah yang menghasut aku kembali semula ke sini untuk mencari jika masih ada sisa-sisa cinta yang tertinggal disini. Jika masih ada, aku ingin segera cantumkan semula moga menjadi lembaran indah kehidupan yang baru.

Kerinduan yang telah lama terkubur, tiba-tiba datang kembali menghasut perasaan dan akalku. Masa lalu rupa-rupanya hendak menyeretku dan akan menyesatkanku ke dalam kehidupan yang bukan lagi milikku. Kenapa mesti kesepian dan kerinduan ini menyesatkan ku ke masa lalu?

Hari ini, gerimis yang turun tiba-tiba membuat aku begitu terasa ingin bertemu dengannya. Ingin sekali aku bertemu dengan seorang gadis yang pernah menyintaiku dengan sepenuh hatinya. Seorang gadis yang pernah bersemayam dalam hatiku ini.

Sengaja aku biarkan fikirku merayau-rayau menarik kembali cebisan-cebisan kenangan usang yang sebenarnya telah lama terlipat kejap di lubuk hatiku. Mengapakah aku perlu mengingatinya semula? Sedangkan selama ini telah kubisikan pada hatiku untuk tidak merinduinya lagi. Dahulu aku ingin sangat memiliki gadis ini. Dahulu aku ingin terus memegang erat-erat gadis ini selamanya dalam dakapanku.

”Kau masih menyintainya, dan ingat janji-janji yang telah dilafaskannya. Percayalah gadis itu masih setia menunggu janjimu. Dia di sana sedang menunggumu. Pergilah!” Kata-kata yang entah dari mana tiba-tiba muncul dibenakku.

“Ah...!” desahku pendek. Ada tompok-tompok kesalan datang menindih-nindih batinku. Kesal dengan keputusan terburu-buruku dahulu. Kesal dengan keegoanku lantas mengenepikan sebuah cinta luhur seorang perempuan yang mencintaiku sepenuh hatinya.

Aku tiba-tiba dihimpit keraguan. Kenangan masa lalu bukan bererti boleh kupakai untuk menyingkirkan realiti masa kini. Dulu dia adalah kekasihku, tetapi kini dia mungkin telah menjadi milik orang lain dalam satu kehidupan bahagia. Aku khuatir jika pertemuan itu hanya akan menyayat luka lama bahkan kembali melukai aku dan dia. Aku tidak ingin diriku terjebak dalam rindu yang sia-sia.

Matahari perlahan-lahan muncul dari celahan awan, setelah lama aku nantikan hujan reda. Cahaya matahari sedikit demi sedikit terbentang. Tingkap kereta sedikit kubuka untuk menghirup sisa-sisa aroma tanah basah daerah ini, sejuk dan dingin tapi menyegarkan. Keretaku terus kuhalakan ke suatu arah yang pernah kusinggahi dulu. Mungkin masih ada kebahagian di hujung sebuah kesetiaan menanti di situ.

* * * *

Segera aku hentikan Keretaku di hadapan sebuah rumah agam. Dahulu disinilah tertegaknya sebuah rumah kayu yang sering aku kunjungi untuk menghilangkan kerinduan seorang kekasih.

Aku tiba-tiba berada di antara keriuhan paluan kompang dan para tetamu di majlis perkahwinan nan meriah Dari kejauhan itu, aku melihat dia. Dia yang seumpama sang puteri yang bersanding di pelaminan indah menanti ketibaan sang putera. Baju pengantin berwarna biru yang dipakai membuatkan dia sungguh jelita.

Dalam keriuhan itu, aku bagaikan terasing jauh di dalam dunia sunyi dan tersendiri. Hanyut terawang-awang bagaikan tiada upaya menahan dunia yang tiba-tiba berputar menghumban aku jauh ke dalam lubuk kenangan silam yang telah lama aku lupakan.

Kesunyian kembali menjelma menghiris-hiris hatiku saat menyedari bahawa aku dan dia tak mungkin lagi kembali bersama, seperti dulu. Aku seolah masih lagi dapat merasakan aroma wangi rambutnya yang terhurai dihembus angin. Aku ingat, ketika itu, dia tersipu malu saat kukatakan bahawa jantungku bergetak deras setiap kali bersamanya.

“Cinta Sal hanya untuk abang. Sal akan tetap setia menanti abang.”

Bisikan luka itu datang lagi. Patah demi patah kata-kata yang pernah terucap dari bibirnya, satu persatu muncul bagaikan puluhan anak panah tajam yang menusuk-nusuk dadaku tanpa belas kasihan.

”Di hadapan itu adalah kenyataanmu. Lihat, dia sedang bahagia. Dia bahagia di pelamin indah itu. Senyum itu lahir dari tulus jiwanya. Dia bukan di situ untuk menantimu. Dia menanti sang puteranya, dan putera itu bukan kau. Kau lihat dan lihatlah sepuas mu.”

Suara itu bertalu-talu menghentak setiap ruang di hatiku. Suara itu terus mentertawa dan menghina diriku. Aku seakan ingin menjerit melepaskan segala kekesalan di hati.

”Dengar! Itu paluan kompang menandakan sang putera sudah tiba untuk memeterai cinta mereka. Perlu apa kau masih terus berdiri di sini. Pergilah kau dari sini. Ini pembalasan atas perbuatanmu melukai hati seorang insan yang terlalu amat menyintaimu."

“Ilham!“

Degupan jantungku bagaikan terhenti. Dari kejauhan itu aku melihat rombongan pengantin lelaki tiba membawa sang putera yang memang kukenali, Ilham. Segak dan tampan berdiri sebagai seorang lelaki yang menang dalam perjuangan merebut cinta seorang puteri yang tidak pernah aku hargai selama ini.

”Wahai hati, tenanglah. Izinkan aku menikmati dia buat kali terakhir. Walau cuma dari kejauhan. Dia tidak bersalah. Cuma kesetiaannya telah sampai ke penghujung. Gadis itu sudah lama terluka malah lebih parah dari luka hatiku ini’’ Rayu batinku agar luka tidak mengalirkan darah.

”Wajarkah kau berada di sini? Bagaimanakah kau masih tega berada di sini dengan rela menatap wajah insan yang pernah kau lukakan hatinya. Perempuan itu harus menikmati hidupnya sendiri dengan sepenuh kebahagiaan yang sedang dinikmatinya. Kau tidak berhak untuk merampas kebahagiaan itu”

Aku terhenyak oleh sebuah kesedaran. Ungkapan itu benar, tak mampu kutepis. Keharuan memuncak memenuhi seluruh ruang, seperti sajak-sajak pilu yang ditulisnya dengan derai airmata lalu dikirimkan kepadaku bersama lampiran sepotong harap, selewat angin malam yang berdesir lembut dari jendela kamarnya.

Renyai-renyai germis mencurah perlahan membasahi bumi. Titisannya mengalir deras seumpama air mata yang megalir di pipi dan di hatiku juga. Majlis perkahwinan itu segera aku tinggalkan. Pelangi lambang kebahagiaan cinta kami dulu tidak mungkin akan muncul lagi walaupun setelah usai gerimis. Aku hanya ingin segera melangkah pergi. Melangkah pergi meninggalkan cinta yang melukakan ini.

Matahari menghilang di balik gumpalan awam hitam. Sisa-sisa cahaya tipisnya menembusi cermin tingkap keretaku dan mengusap-usap pipi kasarku. Hangatnya sehangat jemari gadisku dahulunya selalu membelai pipiku sambil bercerita tentang pelangi, tapi pelangi itu bukan lagi untukku. Cuma hanya ada gerimis yang setia menghantar aku pulang ke kota.


Gerimis masih belum menunjukkan tanda mahu berhenti sejak fajar menyinsing. Langit diselubungi mega kelabu. Tidak memberi peluang mentari untuk menyerlahkan sinarnya. Bunyi keriuk bumbung rumah beratap zink itu sesekali kedengaran apabila ditampar kuat oleh hembusan angin kencang. Haslina duduk di anak tangga yang paling atas, membuang pandang pada titis-titis gerimis yang membasahi lantai bumi.

Hari Sabtu begini selalunya dia akan ke sungai di hulu kampung. Menjala puyu dan sepat untuk mengisi perut sekeluarga. Itulah rutinnya setiap kali hujung minggu tiba. Hasil tangkapan, walaupun tidak banyak, tetapi cukup untuk bekalan sehari dua. Ikan-ikan yang ditangkap selalunya akan digoreng atau dibuat masak kicap. Jika ada lebihan, diminta ibunya untuk dibuat pekasam.

Haslina tahu pekasam puyu adalah kegemaran adik kecilnya yang berumur tujuh tahun itu. Kerapkali usai dia ke sungai, adiknya itu pasti meluru bertanyakan jika ada puyu yang singgah melekat di jala peninggalan arwah bapa mereka yang telah pergi menyahut seruan Ilahi dua tahun yang lalu kerana lemas di laut.

Begitulah hidup nelayan. Menyabung nyawa di tengah lautan, memburu hasil tangkapan untuk dibuat jualan bagi kelangsungan hidup. Haslina masih ingat utuh kata-kata arwah bapanya. Lautan adalah satu alam yang penuh misteri. Tidak selamanya tenang beralun. Kadang-kala bergelora. Sama seperti sebuah kehidupan. Sesekali akan datang onak dan ranjau untuk mematangkan diri.

Arwah bapanya seorang yang cekal dan gigih. Sentiasa bersemangat mencari rezeki supaya dia dan adik bongsunya dapat menimba ilmu di sekolah.  Bapanya selalu berpesan, Ilmu itu penyuluh jalan. Tanpa ilmu, seseorang itu buta hatinya. Ilmu mengajar manusia menjadi seorang yang tahu bersyukur dan membezakan mana yang hak, mana yang batil.Berbekalkan pesan arwah bapanya itulah dia tekun mendalami ilmu. Tambahan pula dia bakal menduduki peperiksaan besar tidak lama lagi. Peperiksaan yang bakal menentukan masa depannya sama ada secerah-cerah sinar mentari, atau sekelam-kelam gelap malam.

17 tahun diberi kesempatan oleh Tuhan untuk terus bernafas, menjadikan dia tampak lebih matang dari usianya. Di rumah papan beratap zink ini hanya tinggal dia, adiknya dan emak yang semakin lanjut usia. Emak juga seperti bapa. Seorang yang cekal dan gigih. Tidak pernah berhenti mengukir senyum walau hidup dilalui dengan susah-payah. Kata emak, sentiasalah senyum kerana hidup ini indah! Senyum itu penawar hati yang lara, pengubat jiwa yang duka.

Pemergian bapa mulanya mendatangkan kesan pada ekonomi keluarga. Hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang entahkan dapat. Namun emak tidak sesekali patah semangat. Emak akan membuat nasi lemak di sebelah pagi untuk dijual dan sebelah petangnya emak akan ke kebun kelapa sawit milik ketua kampung, mengambil upah menebas lalang dan meracun. Kala malam tiba, emak akan menjahit pakaian yang ditempah oleh beberapa penduduk kampung.

Emak tidak mengenal erti penat. Asalkan dapat mencari duit supaya anak-anaknya dapat terus belajar, emak sudah puas hati. Dan sebagai seorang anak, sudah tentu Haslina harus belajar dengan bersungguh-sungguh asal segala penat-lelah emak dapat ditebus dengan kejayaannya dalam pelajaran.

“Kak Long, emak panggil,” tegur Alia, adik bongsunya sekaligus menyebabkan lamunannya terhenti.

Diusap lembut rambut adik kesayangannya itu. Satu-satunya adik yang boleh dikongsi suka-duka bersama. Lantas dia segera bangun dari duduk, menuju ke dapur. Sempat dikilas jam di dinding. Sudah menjangkau ke angka sepuluh. Beberapa jam lagi akan menemui waktu tengah hari.Kelihatan emaknya sedang menggoreng karipap di dalam kuali. Mungkin lebihan karipap yang dibuat Subuh tadi. Di belakang, Alia mengekori.

“Ada apa mak?” tanya Haslina.

“Kamu tetap nak ke sungai lepas hujan berhenti nanti?” soal emaknya yang menyarung baju kurung Kedah dengan kain batik itu.

“Iya mak... Lepas hujan begini, pasti banyak ikan yang tersangkut tu. Dah semalaman jala tu mak. Bimbang pula dihanyut air,” jawab Haslina.

“Kamu pergi dengan siapa?”

“Siti ada temankan Ina mak,” jawab Haslina, cuba mengusir kegusaran yang bermukim di hati emaknya.

“Adik nak ikut!” tiba-tiba Alia mencelah.

Haslina ketawa kecil. Adiknya itu membuat riak keliru. Mungkin fikir kakaknya dia sedang membuat lawak walhal dia serius.

“Hujan, mana boleh adik ikut,” ujar emaknya.

“Habis Kak Long boleh pergi?”

“Kak Long dah besar. Nanti kalau tak hujan, Kak Long bawa adik ikut ya,” pujuk Haslina.

“Mak, nanti mak buat pekasam puyu ya.” pinta Alia.

Haslina dan emaknya berbalas pandang lantas masing-masing mengukir senyum. Alia, Alia, suka benar dengan pekasam puyu.

*  *  *  *  *

Esoknya Haslina ke pekan untuk membeli beberapa peralatan tulis dan buku latihan. Dibawanya Alia bersama-sama kerana adiknya asyik merengek mahu mengikut. Bukan Haslina tidak mahu bawa tetapi mengenangkan dia ke sana menaiki bas, ditambah pula dengan cuaca yang tidak menentu, dia bimbang akan keselamatan adiknya yang seorang itu.

Namun bila difikirkan yang dia tidak lama di pekan, maka dibawa adiknya ikut sama. Bolehlah dibuat peneman. Lagipun memang mereka jarang ke pekan. Biasanya barang-barang keperluan dapur boleh di dapati di kedai runcit berhampiran dengan rumah. Kadang-kadang dua bulan sekali baru mereka sekeluarga ke pekan. Itupun jika emak mahu membeli barang-barang keperluan menjahit. Jika tidak, mereka lebih gemar duduk di rumah sahaja.

“Kak Long, adik nak anak patung tu,” tiba-tiba Alia bersuara apabila melihat set anak patung perempuan yang berpakaian gaun kembang rona merah jambu, lengkap dengan beberapa lagi persalinan pakaian yang dipamerkan di ruang depan sebuah kedai alat permainan.

“Nanti kita beli ya,” balas Haslina.

“Ala, adik nak juga! Kawan-kawan adik semua ada anak patung. Adik sorang aje yang tak ada,” rayu Alia seraya menarik-narik tangan kanan Haslina.

“Kak Long tak bawa duit sekarang ni. Nanti kita datang lagi,” lembut Haslina menutur kata dengan harapan hati adiknya juga akan lembut.

“Tak nak!” bentak Alia.

Sudah lama dia menginginkan anak patung tersebut. Alia tahu, jika dengan emak, dia tidak mungkin akan dapat membelinya tetapi fikir Alia, dengan kakaknya, pasti anak patung itu dapat diperoleh. Selama ini kakaknya tidak pernah menolak permintaannya. Mintalah apa saja pasti akan sedaya-upaya kakaknya itu tunaikan.

“Adik...” tegur Haslina.

“Kak Long jahat!”

Sedikit pun tidak terguris hati Haslina dengan kata-kata adiknya tadi. Dia tahu Alia tidak bermaksud begitu. Orang bila sudah marah, tidak sedar apa yang dicakapkan.

“Yalah, Kak Long jahat. Dah, jom balik,” pujuk Haslina lalu menarik tangan Alia pergi dari situ.

Alia dilihat sudah bergenang matanya. Mungkin sedih kerana tidak dapat apa yang dipinta. Bukan Haslina tidak mahu belikan, tetapi dia memang tidak membawa duit lebih waktu itu. Lagipun, melihat harga yang tertera, membuatkan Haslina meneguk liur. Berfikir dua tiga kali juga dia jika mahu anak patung itu untuk adiknya.Rasanya ada anak patung lain yang jauh lebih murah. Akan dibeli nanti jika dia berkunjung ke pekan sekali lagi. Buat masa ini, biarlah Alia merajuk kerana Haslina tahu, rajuk adiknya itu tidak lama.

*  *  *  *  *

“Adik marah Kak Long ya?” usik Haslina pada adiknya yang sedang menonton rancangan kartun di ruang tamu itu.

Alia menarik muka masam. Tidak sedikit pun melihat ke wajah kakaknya. Sakit benar hatinya kerana kakaknya itu tidak membelikan anak patung yang diminta.

“Mak rasa tak payahlah kamu pergi petang ni. Nampak macam nak hujan tu,” ujar emak yang sedang melipat pakaian.

“Tak apalah emak, pergi sekejap saja. Hujan malam semalam, pasti banyak ikan. Harap-harap adalah puyu yang melekat kali ni. Tak macam semalam, penuh dengan daun dan batang kayu. Kasihan pula adik tu tak dapat makan pekasam puyu,” ujar Haslina.

“Hati-hati ya Lina,” ujar emak, sedikit gusar.

Haslina mengangguk. Wajah adiknya dipandang lagi. “Nanti Kak Long balik, kita buat pekasam puyu sama-sama ya,”

“Tak naklah! Kacau aje orang nak tengok kartun ni. Nak pergi, pergi ajelah!” bentak Alia membuatkan Haslina sedikit tergamam.

“Adik...” tegur emak.

“Tak apalah mak. Lina pergi dulu ya,” kata Haslina seraya menuruni anak tangga, berjalan ke rumah Siti.

Langit semakin gelap disepuh mendung kelabu. Sesekali guruh berdentum bersama-sama angin yang bertiup kencang. Tidak beberapa lama kemudian, gerimis mula mencurah ke lantai bumi.

*  *  *  *  *

“Alhamdulillah, banyak rezeki kita hari ni ya Siti,” ujar Haslina sambil mengangkat pukat dengan pertolongan Siti, rakan baiknya.

“Ha’ah. Nasib baik jala ni tak hanyut. Hujan malam semalam lebat betul. Tengoklah, air sungai pun naik sampai paras pinggang,”

“Cepatlah angkat jala ni, hujan makin lebat,” arah Haslina sambil menyeka titis-titis hujan yang membasahi wajahnya.

“Banyaknya ikan!”

Haslina tersentak. Begitu juga dengan Siti. Tidak percaya melihat susuk tubuh yang berada di hadapan mereka kala ini.

“Adik! Buat kat sini? Kan Kak Long kata jangan ikut! Mak tahu tak ni?” bertubi-tubi pertanyaan meluncur laju dari mulut Haslina.

Alia menggeleng. Dia menyusup keluar apabila dilihat emaknya sedang solat Asar. Sudah lama dia teringin ke sungai, melihat kakaknya menjala ikan. Kali ini peluangnya sudah tiba. Biarlah emak atau kakaknya marah, Alia tidak kisah. Yang pasti dia sengaja mahu sakitkan hati kakaknya.

“Kenapa degil ni?” Haslina sedikit marah.

“Sapa suruh Kak Long tak belikan adik anak patung tu. Adik sorang aje yang tak ada anak patung lagi. Nanti kawan-kawan adik ejek adik,”

Haslina menggeleng. Dia pantas menarik jala ke tebing sungai. Hujan semakin lebat turun mencurah-curah. Alia berasa teruja memerhati beberapa ekor ikan melompat-lompat. Seekor puyu terlepas dari jala dan menghala ke sungai semula. Alia pantas meluru mahu menangkap ikan tersebut namun malangnya dia tergelincir lalu terjerumus ke dalam sungai.

“Ya Allah! Adik!”

Haslina terus terjun tatkala melihat adiknya terkapai-kapai ditolak arus deras. Sedaya-upaya dia berenang ke arah adiknya. Apabila berjaya mencapai tangan adiknya, Haslina berenang semula ke tebing. Siti membantu dengan menghulurkan tangan untuk menyambut tubuh Alia yang kaku tidak bergerak.

Kilat sabung-menyabung dan dentuman guruh kuat kedengaran. Serentak dengan itu, ada arus yang mengalir deras membuatkan Haslina tidak sempat mencapai tangan Siti. Dia hilang dibawa arus dan jeritan Siti kuat kedengaran!

*  *  *  *  *

“KAK LONG!” Jerit Alia yang tiba-tiba tersedar dari pengsan.

“Kak Long? Mana Kak Long?” tanya Alia dengan suara yang meninggi.

Emak yang berada di sisi hanya mampu menarik Alia ke dalam dakapannya. Lidahnya kelu mahu menyatakan kebenaran pada anak bongsunya itu. Alia menolak tubuh emaknya. Telinganya menangkap suara orang membaca ayat-ayat suci Al-Quran di ruang tamu. Dia pantas bangun, turun dari katil lalu berlari ke ruang tamu. Dilihat sekujur tubuh terbaring kaku dilitupi kain batik. Alia terjelepuk ke atas lantai.

“Kak Long dah tak ada Lia,” beritahu Siti, rakan karib kakaknya.

Alia menekup mulut dengan kedua belah tapak tangan. Berjuraian air matanya.

Nak pergi, pergi ajelah!
Kata-katanya petang tadi menjelma di fikiran. Maafkan Lia, Kak Long! Di luar, hujan lebat sudah diganti dengan gerimis, seakan memahami hati Alia yang diselubungi sayu.

TAMAT


Aku melemparkan sejauh-jauhnya pandangan ku ke luar jendela. Ada dua-tiga titik yang bersinar terang di tengah-tengah kegelapan langit. Cahayanya berdenyut-denyut, seperti nadiku yang bergendang perlahan. Malam masih berhantu. Buat aku, buat dia-Lily yang masih segar bernyawa tapi tidak pasti dimana.

Di tepi pintu kamar ku, ada satu balang kaca yang terkandung tujuh puluh lapan kuntum Lily. Bilangan yang sama dengan hari-hari yang tidak ku temui Lily. Entah di mana dia, dan apa khabarnya. Tujuh puluh lapan hari adalah tujuh puluh tahun kehidupan ku yang sering ku anggap di pentas neraka. Perit dan pedih.

Di dalam balang itu, tujuh puluh lapan kuntum Lily bercampur dengan kesegaran dan kelayuan mereka. Dan sudah pasti, yang paling layu dan hampir jatuh terlentok ke kaki meja, adalah Lily pada tujuh puluh lapan hari yang lalu. Dan yang paling segar dan harumnya dapat ku hidu, adalah Lily yang baru sebentar tadi ku beli.

Seperti tujuh puluh lapan hari yang lalu, aku masih membeli sekuntum Lily dan ku tunggu Lily di tempat yang sama. Dan masih di waktu yang sama. Tapi, seperti juga tujuh puluh lapan hari yang lepas, Lily masih tidak juga muncul. Walaupun begitu pedih aku merindui kontra percakapannya, aku membayangi indah senyumannya, aku merasai halus tawanya, Lily masih lagi menyombongi ku. Tidak kunjung tiba, dan aku terus sendirian berjalan.

Di dalam balang yang terisi tujuh puluh kuntum Lily itu, terselit memoir ku dan seorang wanita yang - ya, sudah ku bilang namanya sejak tadi - Lily.

"Lily, apa kau ada impian?" tanya ku, pada satu hari.

"Impian?"

"Ya. Angan-angan. Cita-cita. Apa kau ada?"

"Selain ku harap ibu ku akan bangkit semula dari pusaranya, kau rasa, apa aku ada impian yang lain?"

"Tidak cukup aku yang disini, Lily?"

"Sayang. Kau bukan ibu. Ibu, tempatnya teratas,"

Lily memegang belakang leher ku. Ekor rambut ku dielus-elus oleh Lily. Di dalam ribaan ku, Lily masih bermimpi. Bermimpi tentang suatu hari nanti, dia akan masih punya masa bersama ibunya. Ayah?

"Aku benci Ayah. Dia tidak ada fungsi di dalam keluarga kami," kata Lily, geram.

"Jahatkah dia?"

"Tidak. Dia tidak jahat. Dia tidak pernah memukul ibu. Dia tidak pernah memarahi kami. Dia tidak pernah memaksa ku membuat kerja-kerja rumah,"

"Jadi, apa yang kau bencikan tentang Ayah?"

"Ayah, dia tidak ada fungsi di dalam keluarga kami," Lily mengulangi kata-katanya itu. Bagi ku, Lily tidak punya alasan untuk membenci ayahnya. Dia sekadar ingin menjadi seorang anak gadis yang terlalu gagah apabila terpikulkan sedikit masaalah keluarga, bagi ku. Lily tidak pernah menjawab soalan ku tepat-tepat.

"Tapi sayang, aku masih punya kau," bilang Lily lagi, sambil menarik tangan ku. Dia menyentuh lipatan siku - ku, dan menggelongsor kan jarinya terus ke jari ini yang lebih gelap berbanding tangannya. Kemudian, dia mendongak memandang ku, dan tersenyum sambil mengulang kebiasaanya ketika memanjat bibir ke atas - menutup mata rapat-rapat.

"Lily, apa kau punya impian?" tanya ku, pada malam-malam yang berikutnya. Dan perbualan kami, masih statik begitu. Tidak banyak perubahan yang menjadi dalang di dalam dialog kami. Tetapi, satu hari, pada tujuh puluh lapan hari yang lalu, Lily menjawab soalan ku.

"Aku mahu kau sentiasa di sini," kata Lily, sambil menekupkan kedua-dua belah tangannya di dada. Kemudian, dia mengambil tangan ku, dan meletakkan di dadanya sendiri.

"Aku mahu kau selalu tahu, apa yang paling ku suka," katanya.

"Kucing," aku menjawab. Dan Lily tersenyum. Kemudian, dia berkata lagi ;

"Aku mahu kau selalu tahu, bunga apa yang paling ku suka,"

"Lily,"

"Aku mahu kau selalu tahu, di mana setiap hari kau mengambil ku,"

"Stesyen Jelatek,"

"Aku mahu kau selalu  tahu, pukul berapa aku akan tiba dan menyedarkan kau,"

"Pukul enam setengah petang,"

"Aku mahu kau selalu tahu, bahawa aku sentiasa mahu kau berada di Stesyen Jelatek pada pukul enam setengah petang dan memegang sekuntum Lily, seperti hari ini, semalam, dan hari-hari kelmarin," kata Lily.

Lily menamatkan kata-kata itu. Dia kembali meletakkan kepalanya di atas peha ku. Tangan ku yang selalu dibuat alas kepalanya, diletakkan terus di bawah pipinya. Dia terus terdiam. Tapi, aku kaku. Perangainya malam itu, aneh sekali. Dan aku tidak tahu mengapa. Air mata Lily, tumpah di atas lengan ku. Hangat, dan terasa sangat syahdu. Dalam keadaan yang begitu, kami sama-sama terlena.

Esoknya - tujuh puluh lapan hari yang lalu, Lily tiada di dalam rangkulan ku. Matahari sudah pecah dan menceroboh masuk melalui tingkap. Aku beranggapan bahawa Lily sudah ke kerja. Mungkin terlewat bangun, dan ke tempat kerja dengan tergesa-gesa.

Pada petangnya pula, aku berbasikal dan terus ke stesyen LRT Jelatek. Di dalam kepitan tangan ku, terhunus sekuntum Lily yang masih mekar dan harum terhidu. Aku menunggu Lily seperti kebiasaan ku. Tapi, sehingga pukul sembilan malam aku menunggu, Lily tidak juga muncul. Dan aku diselaputi kegelisahan.

Tidak mungkin dia pulang ke rumah arwah ibunya di Kampung Berembang. Kawasan itu sudah lama dirobohkan. Lily juga tidak punya saudara mara. Dia hidup di dalam gendongan ibunya sahaja selama ini. Dan sudah pasti dia tidak mengenali bau-bau bacangnya sendiri. Mana lagi dia mahu pergi?

Aku mencari Lily di seluruh kota besar ini. Di tempat kerjanya, dan seluruh Kuala Lumpur yang selalu dijejaki Lily. Tapi, Lily tidak gemar berjalan. Selepas tamat waktu berkerja, dia akan terus pulang ke rumah. Lily juga bukannya seorang yang suka bersosial. Jadi, aku juga bertanggapan bahawa dia tidak akan ke rumah kawan-kawannya. Kalau pun tanggapan ku itu salah, sudah pasti dia akan memberitahu ku dahulu sebelum ke mana-mana.

Apabila aku sudah puas mencari, penat berlari ke sana-sini, aku berputus asa. Di dalam kamar ku, aku letakkan sekuntum Lily yang sejak tadi ku pegang, dan membenamkan badan ke atas tilam.

Setiap hari selepas tujuh puluh lapan hari yang lalu itu, aku tidak putus-putus menanti Lily di stesyen Jelatek, dengan sekuntum Lily. Aku mahu dia sentiasa ada. Aku mahu dia sentiasa berada di dalam ribaan ku. Aku mahu dakap, rangkul dan kucup Lily sehingga tidak terdaya lagi. Tapi, Lily masih menyombongi ku.

Dan malam ini - selepas tujuh puluh lapan hari ketiadaan Lily, aku masih di dalam bilik ini. Memandang tujuh puluh lapan kuntum Lily dengan mata yang ku agak - kuyu. Aku menyendiri, sementara Lily masih lagi tidak ku tahu di mana.

Dalam beberapa ketika sahaja mata ku hendak terkatup dan menyinggung mimpi lena, pintu bilik ku di ketuk. Aku sangka kan, tuan bilik hendak datang meminta wang sewa. Jadi, aku terus mengambil sejumlah wang di dalam laci, dan bergegas membuka pintu.

Aku menangis. Air mata ku kembali mengalir. Aku melepaskan semua takungan yang ada di dalam dada dan kelopak mata, dan menghembuskannya keluar. Aku mahu berteriak. Tapi suaraku tak membenarkannya. Tekak ku seperti punya pintu yang terkunci dan tidak boleh dibuka lagi.

Matanya kuyu dan lesu. Bibirnya pucat dan biru. Kulit wajahnya sudah terlalu asing untuk ku bandingkan dengan dahulu. Terlalu pucat. Rambutnya sudah banyak yang kurang. Senyumannya masih ada. Tapi, lemah dan tidak bermaya untuk di curahkan semuanya. Pipinya juga sama seperti pipi ku - dibasahi dengan air mata sendiri.

Sebelum tangan ku sempat sampai di bahu nya, aku menggeletar menyebut nama Tuhan berkali-kali. Balang kaca yang terisi tujuh puluh lapan Lily, aku rampas dari atas meja, dan ku hulurkan kepadanya dengan air mata yang masih menitis dan esak tangis yang makin merebak kuat. Tangannya yang lemah, menyambut balang kaca itu, dan aku terus merangkul Lily erat-erat.

Lily mahu bercerita. Tapi nampaknya tak berdaya. Aku juga tidak mahu mendengarnya. Aku hendak menonton wajahnya sehingga matahari terbit barat sekalipun. Aku mahu. Walau apa sekali pun alasannya meninggalkan ku selama itu, aku masih mahu dia di dalam ribaan ku. Walau apa sekali pun yang membuat dirinya berubah sebegitu rupa, aku masih mahu dia di atas katil permaisuri ku.

Dan selepas tujuh puluh lapan hari dia meninggalkan ku sendiri, sekali lagi Lily pergi dan tidak lagi kembali. Leukimia yang Lily hidap, tidak membenarkan dirinya untuk hidup lama. Tuhan menyayangi Lily dan memberi ku peluang untuk hidup dahulu.

Dan hari ini, seperti tujuh puluh lapan ribu hari yang lalu, aku masih di sini. Di tangga stesyen LRT Jelatek ini, dan memegang sekuntum bunga untuk ku mengingati Lily. Aku tidak gila. Cuma aku tidak berdaya untuk melupainya.

Seorang wanita - sekuntum bunga - Lily.

Berikan hatimu

-setiap hembusan nafasmu berpadu, menjadi nadi kepada diri ini-

“Aiza Zara, Aiza Zara, Aiza Zara,” berulang kali dia menyebut nama sendiri. Pen yang berlaga dengan bibir digigit tanpa sedar. Sehinggalah suatu tepukan lembut hinggap pada bahunya.

“Termenung jauh nampaknya anak dara ibu. Macam mana kelas tadi? Okey?” soal Puan Zahra penuh prihatin.

Aiza tersenyum manja. Dia meraih tangan si ibu dan melekapkan sepasang tangan yang telah membesarkannya dengan sepenuh kasih sayang itu ke pipi. Puan Zahra tersenyum senang. Sebagai satu-satunya anak perempuan dan bongsu pula, sudah tentu Aiza begitu manja dengannya.

“Kelas tadi okey. Tapi kan ibu, Aiza risau sikit dengan seorang hamba Allah ni,” Ujar Aiza yang sudah pun berkerut wajahnya.

“Kenapa pula? Dia kacau Aiza ke?” serkap Puan Zahra sembarangan. Pantas disambut oleh gelengan anak gadisnya.

“Dia kena langgar dengan motor masa tengah lintas jalan. Aiza nak tolong, tapi dia marah-marah. Dia tak bagi siapa pun tolong dia. Orang tu rela jalan dengan kaki terjengket daripada terima bantuan orang lain. Egonya dia.” Rungut Aiza lagi.

“Mungkin dia ada sebab sendiri untuk tak terima bantuan orang lain. Aiza janganlah fikir sangat. Dia boleh jalan, maknanya kecederaannya tak begitu serius.” Ujar Puan Zahra menenteramkan anak gadisnya.

“Mungkinlah, ibu. Atau mungkin dia memang orang yang ego.” Rumus Aiza sendiri. Tidak habis-habis perkataan ego meniti di bibirnya.

“Aiza, tak baik berburuk sangka. Kalau Aiza risau, doakan saja yang terbaik untuknya. Semoga dia lembut hati.”

“Yalah ibu. Terima kasih sebab ingatkan Aiza.”tersungging sengihan di bibir gadis manis ini kala berbicara demikian.

“Tak apalah sayang. Ibu turun dulu ya? Sekejap lagi papa dengan along kamu balik. Ibu hendak sediakan minum petang.”

Senyuman manis ibu cukup melegakan hatinya. Namun Aiza masih belum mampu untuk menyingkirkan rasa  geramnya terhadap lelaki berseluar lusuh dan berbaju-T itu. Serta-merta dia terbayangkan suatu kejadian yang berlaku berhampiran kampus lewat tengahari tadi.

***********************

“Wei! Ada kemalanganlah!”

“Dahsyat aku rasa budak tu kena rempuh dengan motor!”

“Peh! Terbaring tu.” kedengaran kecoh sekali suara kawan-kawan sekelasnya yang kebetulan sedang menunggu bas untuk pulang.

Masing-masing mula membuat spekulasi sendiri. Aiza yang sedang menunggu kedatangan angahnya tidak sanggup hendak berpeluk tubuh. Dia mampir untuk membantu mangsa kemalangan terbabit.

Kencang debaran jantungnya tatkala melihat lelaki itu terlentang di atas jalan. Sepasang mata si mangsa tertutup rapat. Dalam pada berdebar, Aiza menepis tanggapan yang bukan-bukan. Dia memberanikan diri untuk mendekati lelaki itu, di celah-celah kepungan orang ramai yang sudah membentuk ‘kubu pertahanan’ bagai mahu menuju ke medan perang.

“Memang teruk keadaan budak ni. Parah. Entah-entah dah meninggal,”celah satu suara.

“Aku rasa kalau hidup pun, dah tak ada harapan,” tokok yang seorang lagi pula.

Pelbagai nada dan tanggapan yang kedengaran membuatkan Aiza semakin kalut. Dengan desah nafas yang tidak menentu, ketar-ketar tangannya menghala ke arah hidung lelaki itu. Hendak menguji sama ada hamba Allah yang terbaring itu masih bernyawa ataupun sudah meninggal seperti yang dikatakan oleh ‘pemberita’ tidak bertauliah seketika tadi.

Hembusan udara hangat pada tangannya benar-benar melegakan Aiza. Dia hampir menitiskan air mata gembira. Bersyukur kerana umur jejaka itu masih panjang. Namun, luka pada siku jejaka itu menimbulkan simpati di hatinya. Tanpa berlengah, Aiza mengeluarkan sapu tangan yang sentiasa dibawa ke mana sahaja. Akhirnya hari ini, bermanfaat juga sapu tangan yang dihadiahkan oleh alongnya. Tentu along gembira jika dia menggunakan sapu tangan itu untuk membantu insan yang memerlukan.

Sewaktu dia mengesat luka dan membalut siku lelaki itu dengan teliti, tanpa diduga si jejaka telah sedarkan diri dan mereka kemudiannya saling berpandangan buat beberapa ketika. Kecut perut Aiza tatkala pandangan tajam lelaki itu jatuh ke wajahnya.

“Kenapa kau sibuk nak tolong aku? Jangan pedulikan aku. Kalau aku mati pun, kau tak payah peduli.” Kasar sungguh suara lelaki itu.

Kedengaran jengkel dan amat menyakitkan hati. Seperti dia pula yang buat salah. Sudahlah cedera, kurang ajar lagi. Kalaulah dia tak pandai beradab sopan, tentu sudah berbirat muka lelaki itu.

“Kalau tak nak saya tolong, pulang balik sapu tangan tu!”jerit Aiza secara tiba-tiba. Entah mengapa, dia berani pula melawan kata-kata lelaki itu.

 “Maknanya kau tak ikhlas tolong aku?” balas lelaki itu sinis sebelum berlalu meninggalkan Aiza terkulat-kulat.

******************************

“Macam mana dengan luka kau? Dah baik ke Nash?” sapaan teman baiknya membuatkan jejaka ini tersengih.

“Itu soalan perli ke apa Rif? Baru hari ni kot aku kena langgar.” Jawab anak muda bernama Nashriq itu dengan nada selamba.

“Eh, aku rasa bukan motor tu langgar kau. Tapi kau langgar motor tu. Betul tak?” giat Arif lagi, membuatkan Nashriq ingin mengangkat tangan kanannya. Namun segera anak muda ini mengaduh apabila menyedari sikunya kesakitan.

“Sedarlah diri tu sikit. Tengah sakit ada hati nak belasah orang.” Sengaja Arif mengusik sahabat karibnya.

“Kalau kena kat kau baru tahu,” gumam Nashriq dengan wajah cemberut.

Bukan Arif tidak tahu tentang rabunnya. Entah bagaimana, hari ini dia terlupa untuk mengenakan kanta lekap. Itulah yang menjadikan pandangannya kabur semacam. Dia yang sedang melintas jalan langsung tidak perasan akan kelibat sebuah motor yang mungkin ditunggang secara luar tabii. Apabila sepasang matanya mengecam imej motor itu dengan lebih jelas, segalanya telah terlambat. Dia menjadi mangsa perlanggaran dan penunggang motor itu berserta motornya tergesel ke bahu jalan.

Kadang-kadang dia sakit hati juga mengenangkan sikap nakal Arif. Tapi hendak buat macam mana? Hanya Arif kawan baik yang memahaminya sejak kecil lagi. Ada bapa, lelaki itu enggan mengakui kewujudannya. Ada ibu, wanita itu hanya tahu bersedih sepanjang waktu. Demi menjaga nama baik bapanya, Nashriq lebih rela hidup sendiri agar tidak menyusahkan lelaki itu. Dan untuk kecederaan seperti ini, dia tidak perlu ke hospital. Kesakitan begini bukanlah berat sangat untuk ditanggung berbanding menjadi anak yang diabaikan bertahun lamanya.

 “Kau tak nak balik rumah ke? Sekurang-kurangnya beritahu mama kau tentang kemalangan tadi.” soalan Arif membuatkan air muka Nashriq berubah.

“Tak payahlah beb. Benda kecil tak payah dibesarkan. Tak jadi kes polis. Aku pun sihat walafiat ni. Mama aku tu ada terlalu banyak hal yang nak disedihkan. Tempat aku bukan kat sana. Lagipun aku boleh sara hidup sendiri.” Balas Nashriq pendek, namun cukup tegas melambangkan pendiriannya.

********************************

Aiza ketawa mendengar lawak abang-abangnya. Sambil menyedut minuman Chocolate Cream Chip yang masih bersisa, dia melemparkan pandangan ke segenap sudut Starbucks Coffee, tempat lepak kegemaran mereka tiga beradik.

“Along nak pergi tandas sekejap. Kau orang buatlah apa yang patut.” Bisik Hafiz kepada dua orang adiknya.

“Okey bos,” balas Aril selamba namun cukup untuk menimbulkan kelucuan Aiza. Hampir tersembur air yang memenuhi mulutnya.

Di suatu sudut, seorang pekerja sudah bersedia untuk memulakan rutin kerjanya yang bermula pada waktu petang. Sebelum melangkah ke kaunter, dia memasukkan sehelai sapu tangan berwarna biru gelap ke dalam beg galasnya. Dapat dia rasakan kehangatan kasih sayang setiap kali menyentuh sapu tangan itu. Dan setiap kali juga, dia terbayangkan wajah kaget si gadis yang sedang membalut lukanya. Tahukah kau, bahawa dirimu sangat comel? Ungkap jejaka itu dalam hati. Dia kemudiannya melangkah yakin untuk memulakan rutin seperti biasa.

Tugas sebagai seorang barista menuntut kemahiran yang bukan sedikit. Namun kerjaya ini memberikan kepuasan buat dirinya. Sebulan kursus, sudah cukup untuk memahirkan dirinya dalam selok belok dunia minuman jenama Starbucks. Nampaknya hari ini, dia perlu melakukan dua kerja dalam satu masa. Memandangkan pelanggan tidak begitu ramai, dia turut mengambil tugas untuk mengelap meja. Namun sewaktu mengangkat dulang berisi cawan, pandangannya terpaku ke arah seorang gadis. Nyaris terlepas dulang pada tangannya lantaran terlalu terperanjat.

Aiza yang sedang asyik ketawa, terbatuk-batuk di situ juga tatkala terpandangkan kelibat seorang pemuda. Aril tercengang memandang adiknya. Dia berpaling, mencari apakah gerangan yang membuatkan Aiza terkejut. Namun sikapnya yang gila-gila, membuatkan dirinya tidak mampu menangkap dengan jelas maksud di sebalik kelakuan Aiza dan barista itu. Melainkan hanya suatu perkara yang sedang bermain di fikirannya ketika ini.

*************************

“Sapu tangan ni, ambillah balik.” Ungkap Nashriq dalam nada bersahaja.

Meski suaranya kedengaran keras seperti biasa, pandangannya tidak lagi tajam menikam wajah Aiza. Sebaliknya jejaka ini lebih senang menghalakan pandangannya ke bawah, membilang mata tangga di pekarangan kampus itu.

“Awak simpan sajalah. Saya tak nak buruk siku.” Balas Aiza ringkas.

Sebetulnya, setelah hampir beberapa bulan bersahabat dia cukup menyenangi keperibadian Nashriq meski jejaka itu agak kasar. Pertemuan di Starbucks membawa lembaran baru dalam hidup mereka. Nashriq yang rupanya teman lama angah dipelawa makan malam di rumah mereka.

Dari situlah dia mula mengenali sisi berbeza Nashriq. Seorang anak yang dipinggirkan oleh keluarga sendiri. Dan tidak dapat Aiza nafikan, ada rasa yang memekar dalam hatinya setelah mengenali Nashriq. Jejaka itu begitu istimewa pada pandangannya.

“Aku takut kau tak ada sapu tangan lain.” Entah mengapa, hanya jawapan itu yang meluncur di bibir Nashriq. Aiza sekadar tersenyum memandangnya.

“Awak tahu tak, saya tak pernah sayang kawan lelaki lain macam saya sayangkan awak.” terluah kejujuran itu dari mulut Aiza.

Degupan jantung Nashriq seakan terhenti. Seberani itu gadis bernama Aiza Zara membuat pengakuan? Tetapi siapakah dirinya? Sungguh, dia tidak layak untuk bergandingan dengan Aiza. Gadis ini ibarat puteri yang disayangi ramai orang. Sedangkan dia? Berpendapatan cukup untuk menampung diri sendiri. Malah, tidak mempunyai sebuah keluarga yang sempurna.

“Kau dah salah faham kot. Kita kan baru saja berkawan. Takkan senang sangat kau suka aku? Atau kau ni memang jenis perempuan yang senang jatuh cinta?” dalih Nashriq, untuk melepaskan diri sendiri.Sedangkan dirinya rasa terbeban kerana membuatkan Aiza jatuh cinta terhadap insan yang tidak layak sepertinya.

“Kenapa awak cakap macam tu? Salah ke kalau saya cakap saya sayangkan awak? Salah ke kalau perempuan luahkan perasaan? Awak ni memang ego, tahu tak! Ego! Awak tak tahu agaknya yang naluri perempuan memang tepat. Kalau betul awak tak sayangkan saya, kenapa awak simpan sapu tangan ni?” luah Aiza semahunya.

“Sebab, aku nak tunggu masa yang sesuai untuk pulangkan dekat kau. Rasanya kau dah banyak sangat fikir. Aku dah nak bertunang. Tolonglah, belum terlambat untuk kau hilangkan rasa suka tu.” Tenang sahaja Nashriq memberi alasan.
Sedangkan semangat Aiza sudah melayang entah ke mana. Luruh air matanya membasahi pipi. Terhinggut dia menangis. Semakin lebat air matanya tatkala Nashriq berlalu meninggalkannya sendiri.

*****************************

Arif mundar-mandir di hadapan Nashriq. Hendak tegur salah, tidak tegur rasa janggal pula. Lantas apa yang harus dia lakukan? Sahabatnya terlalu mudah naik angin sejak kebelakangan ini. Setiap perbuatannya dirasakan tidak kena. Misalnya hari ini, Nashriq sudah tersilap membancuh minuman. Pelanggan inginkan Vanila Caramel, Nashriq menyiapkan Vanila Latte.

“Kalau sayang, mengaku sajalah. Bukannya salah pun. Daripada kau naik angin tak tentu hala macam ni. Bengang aku.”komen Arif jujur. Sudah bingung dia melayani kepala angin Nashriq.

“Tak berbaloi dia suka orang macam aku. Kau dah lupa keluarga aku macam mana? Malu tengok keluarga dia yang bahagia. Mak bapak dia layan aku dengan baik. Aku tak nak dia orang hampa bila tahu Aiza pilih lelaki macam aku.” Kedengaran begitu pasrah nada Nashriq.

“Kau ni, memang suka fikir negatif. Baik kau cepat bertindak. Kalau tak menyesal. Aku dengar, ada orang dah masuk meminang Aiza. Kalau dia setuju, memang sah jadi punyalah.” Beritahu Arif bersungguh-sungguh.

Terbuntang mata Nashriq mendengar bicara sahabat karibnya. Sepantas kilat dia berlari meninggalkan Starbucks lalu menuju ke suatu destinasi. Destinasi yang menjadi titik penentuan buat dirinya.

Dia tersenyum lega setelah tiba di tempat yang dimaksudkan. Namun senyuman di wajah Nashriq sirna tatkala terpandangkan Aiza yang begitu ayu berbaju kurung. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan gadis itu seolahnya berbusana pertunangan. Menggigil lutut Nashriq. Air matanya jatuh membasahi pipi.

“Eh, kot ya pun nak jumpa tunang, sabarlah sikit. Salinlah baju Melayu beb. Tapi alang-alang kau dah datang, masuk sajalah.” Usik Aril yang terpacak di hadapan pintu.

Tunang? Nashriq yang masih keliru segera melangkah masuk ke dalam rumah. Kehadirannya menjadi tumpuan. Buat pertama kalinya, seorang barista memakai pakaian seragam untuk menghadiri majlis pertunangan sendiri, yang masih belum diketahui.

“Nash?” teguran itu membuatkan Nashriq terkesima.

“Abah? Mama?” berkaca matanya memandang mereka berdua.

Tidak lama kemudian, muncul pula Aiza yang sungguh anggun berbusana hijau lembut. Tersenyum manis gadis itu memandangnya sedang Nashriq terpegun dengan rasa tidak percaya.

 “Kau dengan aku, dah bertunang ke?” tanya Nashriq gugup.

“Ha ah. Saya bertunang dengan seorang barista.” Jawab Aiza manja.

Mereka saling bertatapan. Perasaan istimewa yang disembunyikan Nashriq selama ini terungkai jua. Tentu semua ini kerja Arif. Dalam diam, Nashriq berterima kasih kepada sahabat karibnya itu. Sekeping hatinya kini telah diserahkan kepada Aiza Zara, cinta pertama dan terakhirnya. Syukur!




Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini