rss

Hari ini Yasmin pulang dari kolej dengan satu perasaan yang tak terungkapkan. Sudah lama dia mengimpikan perasaan ini singgah di hatinya. Akhirnya...akhirnya... Rasa mahu melompat bintang pun ada juga. Bibirnya tidak dapat membendung senyuman yang tidak henti-henti itu.

Ah...hidup ini indah juga, ya, katanya di dalam hati.

Sambil-sambil dia menunggu bas yang akan datang setiap satu jam, Yasmin pun duduklah di perhentian bas dan cuba merenung masa depan. Namun dia gagal kerana dia merasakan selagi bas-bas di Malaysia selalu tiba setiap satu jam (kadang-kadang sampai dua jam), masa depannya susah mahu cerah. Yasmin tidak dapat pastikan kedatangan bas dengan masa depannya, tetapi nalurinya mengatakan kalau beginilah bas selalu datang lewat, kemungkinan besar masa depannya tidaklah sehebat Selena Gomez. Bahkan bukan sahaja masa depannya yang terjejas, kemungkinan besar boleh merebak ke masa depan penduduk Malaysia yang lain umumnya dan khasnya kepada penduduk Malaysia berumur sekitar 22 tahun ke bawah sepertinya.

Cuma hari ini Yasmin rasa mahu memaafkan kelewatan bas-bas seluruh Malaysia kerana seperti yang telah diberitakan pada awal cerita tadi, ada satu perasaan tak terungkapkan berlaku di dalam dirinya.

Sambil-sambil dia menunggu bas yang akan datang setiap satu jam, Yasmin pun duduklah di perhentian bas dan kali ini tidak cuba merenung masa depan. Di tangannya dia merenung empat keping kertas yang sangat berharga itu. Kertas-kertas itulah punca dia mengalami satu perasaan yang tak terungkapkan.



Baucar Buku 1Malaysia.



Syukur kepada Tuhan kerana mengurniakan negara Malaysia dengan sebuah pimpinan yang banyak berjasa lagi ikhlas membantu rakyat marhaen sepertinya. Semoga negara Malaysia yang sentiasa aman dan permai ini terus-menerus menerima pimpinan berjiwa rakyat sehingga ke akhir hayat.

Ah...Yasmin seperti berada di alam fantasi pula.

Satu perasaan yang tak terungkapkan.


KERANA AKU TETAP AKU

Aku termenung. Rawan di hati aku simpan sendiri. Aku tak perlukan simpati, kerana aku tahu aku ada kemampuan diri. Walau hidupku kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tak semudah itu aku kan mengalah. Onak derita inilah yang mengajar aku untuk menjadi aku. Aku tahu, ada mata-mata jelek yang memandang gaya kehidupanku. Tidak mengapa, aku tidak kisah. berkali sudah aku bilang, berkali sudah aku ceriterakan, aku senang dengan hidupku.

Di tepi kaki lima ini, beratapkan jambatan, berdindingkan debu kota, aku menagih secebis perhatian. Tidak! Bukan bermaksud aku mahu mengambil kesempatan, namun rasa sesakku ini memaksa aku menagih rasa kasihan insan-insan tulus berhati matang. Bukannya aku bermaksud untuk menoktah sandiwara, hanya sekadar melapik perut agar aku dapat terus hidup. Apakan dayaku? Seorang anak kecil yang tidak berbapa. Ibuku? Sudah meninggal setahun yang lalu. Lantas, hidup ini menjadi lebih kejam kepadaku.

Dari kanta perjuangan hidup, aku berdepan dengan segala satu macam rencana dunia sendirian. Dari tebing-tebing usang, aku lihat betapa bodoh manusia yang lupa daratan. Di lorong-lorong gelap, terpapar sadis kisah insan-insan yang terbang dalam fantasi nikmat sementara. Mereka gembira, namun bagiku, mereka derita. Hilang rasa ingin hidup dalam nafas gelojoh ganja. Tersadai bagai aku yang tak berbapa. Bagai aku yang terhumban dalam derita kemiskinan dunia.

Mengapa semua nikmat ini dipersia? Aku yang mengharap penuh susah, menagih penuh rintih, tetap juga menderita. Sedang mereka yang hilang pedoman jiwa, peragut kisah cinta, pemusnah jiwa raga, begitu enak mendodoi gembira? Apakah ini yang dinamai dunia suatu realiti kehidupan? Fakta bahawasanya kasa kehidupan itu wujud, dan aku ditakdir tercampak dalam hidup derita. Berada dalam lembah hina kasa hidup kelas bawahan.

Malam hariku, bertemankan unggas yang menyanyi riang, berpesta memecah hening jiwa yang melara. Juga bersama-sama teman-teman serangga kecil yang berterbangan, seakan-akan mengajuk derita hidupku. " nah! engkau di situ terpelosok di lembah waktu, antara sendu dan haru, lantas aku tanpa menunggu waktu, berlari mencari hidup sendiri". Dan kerana itu, darah-darah manis milikku menjadi santapan enak mereka. Aku relakan sahaja, kerana aku tahu nafsu perut yang derita. Kerana mereka; nyamuk-nyamuk yang mencuba nasib menyambung nyawa. Semangat mereka aku gilap dan jadikan teladan.

Bahawa andai datangnya esok, akan ada bahagia.Ingin aku khabarkan pada dunia, "aku bukan lagi anak jalanan". Dan pada dunia, ingin aku sebarkan kemelaratan watan, biar mereka sedar betapa insan lemah jangan dipandang hina. Lalu, ingin aku membawa satu resolusi baru, menjana kemantapan maruah insan-insan yang kemiskinan. Dan ingin aku buktikan pada dunia betapa aku berjaya melangkahi segala onak nan berliku. Semua itu aku lakukan sendiri tanpa bapa yang tidak aku kenali, dan ibu yang telah lama pergi. Aku akur kehendak Ilahi, dan telah aku buktikan bahawa aku mampu untuk berdiri mengharung duri jelek insani busuk bertopeng bidadari!

Namun, tidak beberapa lama, aku dengar lagi. Dendangan muzik dari perutku yang masih kelaparan. Dan aku, masih lagi kanak-kanak jalanan, yang begitu hina di mata masyarakat. Andai aku ada peluang itu, akan aku kejar bahagia jangan sampai terlepas! Aku pasti dan aku berjanji...

"TING!"

Sekeping syiling berdenting dalam bekas plastik, tempat menadah rezeki yang aku letak di hadapanku. Alhamdullillah... aku tersenyum dan semangat terlafaz menjadi jitu. "wahai dunia, tunggukan aku!"

SIAPA SANGKA?

Dalam kemelut rasa ini, siapa sangka ada tunas yang menjadi, ada harapan yang bercambah, ada pelawa datang menyinggah. Kemurungan aku rupanya mendapat peluang melewati tentatif masa melarik enigma hidup baru epilog seorang anak jalanan. Cemburu mata-mata nakal, seakan menyinggah kala melihat senyuman bidadari dunia yang istimewa dikhaskan untuk aku. Kerdil aku memandang diriku ini kala itu, namun itukah yang dinamai dunia kehidupan? Jika sungguh, tiada lagi rasa rawan aku menerus hidup kini. Kerana qiamku terletak kemas sudah, peluang akan datang bila-bila masa, menyinggah seminit dua sebelum dibiar sepi tanpa disedari.

Gadis itu menyimpul senyum. Cukup iklas tanpa jijik menghurung rasa. Aku tertawan pada alis matanya yang cantik dihias rona-rona ceria sebuah ketenangan yang suci! terpempan dalam realitiku, aku akan bangkit menjadi seseorang yang boleh dibanggakan. "Wahai puteri, kayangan mana datangmu? Persembahkan patik dalam kerajaanmu, biar mereka sedar akan adanya hidup seorang anak kecil yang tak berbapa dan kehilangan ibu. Ceriterakan pada mereka siapa patik, agar jangan mereka telan segala umpat caci, juga keji buat patik! Biar mereka sedar, patik punya perasaan, patik juga ada rasa segan. Biar saja patik menuding hidup susah ini menjadi terangan cahaya yang mengindahi."

Simpulan senyuman itu, akhirnya memberi aku ruang untuk bernafas. Momentum-momentum palsu yang sebelum ini aku impikan, akan berubah dalam kalis kenyataan. Dan lamunan itu, seakan-akan terhenti. Senandung suara merdunya dengan jelas menggeletek sedarku, menggoyah anganku, menagih sesakku. Perlu apa aku menjadi modus operandi suatu eksperimen kehidupan?

"Adik, akak nak bawa adik ke suatu tempat yang lebih selesa, ada teman, ada rumah, ada makanan dan pakaian. Jangan adik takut kerana mereka juga seperti adik. Pernah punya hidup begini suatu masa dulu."

Tidak!

Sungguh aku tidak percaya, igauan-igauan palsu itu rupanya, hanyalah suatu niat memesongkan aku dengan kehidupanku. Bukankah secara tidak langsung,aku dihina, dicaci juga maruahku dirobek? Mengapa? Salahkah aku berjuang dalam hidup dengan suatu tekad aku tetap menjadi aku? Hinakah kehidupan jalanan yang aku lalui sehinggakan aku yang punya harga diri, menjadi lubuk eksperimen propaganda manusia pari-pari. Kononnya ada simpati yang meruah buat insan-insan kerdil sepertiku. Andai benar, untuk apa disebarkan pada dunia?Untuk apa dipersembahkan kemuliaan? Biar terangkat pandangan mata insan? Biar bertingkah kemanusiaan? Ah, persetankan itu semua! Biarkan aku dengan duniaku, dan kamu dengan fantasimu. Bukankah telah aku bilang, aku mahu menjadi aku. Dan aku senang dengan hidupku. Biarkan sahaja aku menjejak mimpi-mimpi palsu yang aku turas dalam sendu kehidupan seorang anak jalanan bernama aku.

Walau hari seterusnya, aku sendiri kurang yakin, ke mana lagi arah tujuku!

AKU TELAH DITAKDIRKAN MENJADI AKU

Sudah aku bilang, kasih orang tak mungkin tak bertepian. Simpati orang tak mungkin membukit menjadi sayang yang menggunung. Jelek orang tak mampu nengubah satu tinta realiti hidup. Telah juga aku bilang, sebuah keyakinan tak akan meruntuh jika hanya ditiup sepoi sendu. Aku telah memilih untuk tetap menjadi aku. Lantas, aku masih di sini menanti sapaan waktu, mohon qiamku tetap sabar mengharung dugaan lagi, sebelum peluang datang sekali lagi menjengah diri. Pada si puteri, aku lemparkan senyuman. Biar dia tahu aku ikhlas. Biar dia tahu hinanya tak berbekas, kerana aku yakinkan qiamku, aku mahu terus menjadi aku, mendamba suatu kejayaan atas suatu kemelaratan! Akan aku buktikan pada dunia, akan aku pastikan.

Detik-detik bersama keindahan di sisi sang bidadari, telah menjadi suatu kenangan abadi dalam hidupku. Terima kasih kerana menghadiahi aku senyuman indah, buat menjadi teman dalam lenaku. Terima kasih kerana ada prihatin yang menyinggah kalbu buat aku usung bersama sendu hidup yang akan aku jejak penghujungnya. Terima kasih wahai bidadari kerana menghidupkan azam yang menujah jemala panji hidupku, dan terima kasih buat terakhir kali, kerana sudi menghadir diri. Terima kasih wahai puteri, terima kasih lagi.

"TING!!!"

Sekeping lagi syiling aku terima dari insan tenang berhati matang, lalu lalang mengejar masa. Mereka ini lebih aku percaya, punya rasa kemanusiaan yang tulus,tiada propaganda dan kerana itu sepincing kebaikan tidak perlu dihebahkan! Akan aku buktikan, aku punya tekad yang jitu. Aku akan tetapkan bangkit menjadi seorang aku.

"Wahai dunia, percayalah padaku!"


Termenungku bersendiri di jendela kamar. Merenung bintang yang bergemerlapan di angkasa raya, menemani sang bulan yang memantulkan sinar sang matahari hai sahabatnya. Indah sungguh alam ciptaan Ilahi. Sesungguhnya aku bersyukur dikurniakan hayat untuk menghirup oksigen dan menghembuskan karbon dioksida di muka bumi ini. Hidup bukanlah satu pekerjaan tetapi bagiku hidup ini peluang yang hadir sekali untuk diriku menghayati kebesaran yang Maha Esa. Aku tersenyum sendirian.

Kugenggam kemas tangan insan separuh abad di hadapanku. Kerutan usia di wajahnya bagai menceritakan pahit dan manis meniti hayat di dunia. Tanpa kusedari, peluh dingin mula merecik di dahiku, meluahkan debaran di hati. Dada ini bagaikan mahu pecah menahan degupan jantung yang kian kencang. Kutoleh wajahku ke arah si dia yang menemaniku membaja benih cinta di hati. Gadis berwajah manis bermata sepet ini tunduk sambil tersipu malu. Kutarik nafas dalam-dalam yang beserta harapan agar aku mampu menyembunyikan gugup di hati ini. Lantaran itu, lafaz jurunikah kusambut pantas penuh yakin. Kata-kata lancar meluncur keluar dari mulut ini. Kini, kau isteriku.

Paluan kompang bersoral riang bersama kegirangan hatiku. Aku bersyukur, benih cinta kami telah disatukan. Pautan tangan si dia membuatkan jiwaku tenang. Kujeling manja si dia yang manis dan bermulut comel. Senyuman ayu terukir di bibir si dia. Hari ini, seluruh warga kampung menjadi saksi cinta si dia yang menjadi hak mutlak diriku. Akan kupastikan rumahtangga ini subur dan mekar dibajai belaian kasih hari demi hari.

Hidangan istimewa tersedia tidak kuhiraukan. Biarlah garam berkuahkan cuka pastikan kutelan asalkan cinta ini mampu dipertahankan. Asalkan dirimu milikku, sayang. Aku tersenyum menyuapkan nasi hari berbahagia ini ke mulut comel si dia. Tergelak kecil memikirkan andai si dia tergigit jariku. Terserlah keayuan si dia bertemankan lesung pipit di pipi gebunya.

"Amboi, anak mama ni! Bukan main lagi sengihnya, sampai ke telinga. Yang kamu dok sengih-sengih ni ada apa? Karangan yang Cikgu Zulaikha nak esok dah siap?" Aku masih lagi tersengih mendengar kata mama.

"Belum, ma," jawabku ringkas.

"Laa. Tadi kamu buat karangan ke berangan? Dahlah, Meon, asyik tak serius je kamu ni. Cepat siapkan. Lepas itu, tidur jangan lupa gosok gigi, basuh muka. Kang mimpi lagi bende yang kamu berangankan tadi," ujar mama sambil berlalu melewati pintu bilikku.

Lagi seronok kalau sambung angan tadi dalam mimpi. Tertawa sendirian. Aku tunduk tersipu malu. Yang pasti, esok aku akan tertidur lagi dalam kelas Cikgu Zulaikha. Tak kisahlah!


Amir Syakir, begitu indah nama itu. Namaku membawa erti ‘Ketua Pengenang Budi’ arwah ayah yang mencadangkan nama itu kepada ibu. Ayah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun yang lalu. Aku masih ingat lagi kejadian itu terjadi semasa kami sekeluarga dalam perjalanan ke majlis perkahwinan setiausaha ayah, secara tiba-tiba sebuah lori dari arah bertentangan hilang kawalan bertembung dengan kereta Pedana V6 yang dipandu ayah. Aku pasrah kemalangan itu menyebabkan ayah menemui Ilahi tetapi aku bersyukur kerana aku, ibu dan satu-satunya adikku Nurin terselamat dari kemalangan itu. Kesan dada ungu luka itu masih aku rasai,aku kehilangan orang yang amat aku sayangai.

Setelah ayah pergi, hidupku berubah, wajahku yang kacak menjadi kegilaan ramai perempuan dan pengaruh rakan sebaya menyebabkan aku mula berjinak-jinak hidup berpoya-poya. Bagiku merokok,berjudi dan minum air kencing syaitan sudah lali dan sebati dalam diriku. Jika kehabisan duit aku akan menagih daripada ibuku, Datuk Aini Syakira. Segala permintaan aku dipenuhi ibu,maklumlah keluarga aku orang yang berada. Ibu terlalu sibuk mengendalikan syarikat ayah sehingga tidak punya masa untuk mengambiltahu masalah aku. Nurin cukup bertuah, ibu menghantarnya belajar ke sekolah agama selepas mendapat keputusan yamg cemerlang dalam UPSR. Sikap kami adik-beradik amatlah berbeza bagai langit dengan bumi. Nurin mengamalkan ilmu agama, aku…semakin hari semakin mengabaikankan agama, solat jangan la tanya hanya bila aku ada ‘mood’ sahaja.

Setiap hari aku ke sekolah tetapi bukan untuk belajar, tetapi hanya untuk berseronok. Mungkin juga kerana Ayu Sofia, gadis genit yang sungguh unik telah mengubahku. Dia berpindah ke sekolah dua tahun yang lalu mengikut bapanya bekerja di sini. Masih segar dalam ingatanku pertama kali bila Sofia masuk kelas bersama aku secara kebetulan,ketika itu suasana riuh-rendah bila ada yang mengusik bahawa Sofia adalah kekasihku. Air mukanya berubah merah membuat aku gelisah tiba-tiba.

‘Woi!!, kamu semua tak boleh diam. Pagi-pagi dah kecoh. Aku tak kenal siapa budak ni, yang sibuk nak gossip-gosip apa kes?,’ suara aku lantang memecah suasana riuh-rendah tadi.

‘Sabar la kawan, kami hanya bergurau,’ pujuk Khairul.

‘Bangun, selamat pagi cikgu,’ Ruslan menjalankan tugasnya.

‘Apa yang kecoh-kecoh tadi?,’ sudah saya tak mahu dengar lagi kamu bising, Aya Sofia ke mari, sila perkenalkan diri kamu’, panjang lebar Cikgu Norlida guru kelas aku bercakap.

Sofia bangun, langkahnya tenang, dia memperkenalkan diri. Begitu petah dia berkata-kata gayanya seperti seorang pemidato. Ada juga suara-suara sumbang yang bertanya mengapa namanya Aya Sofia kerana namanya begitu unik sekali, aku turut rasa juga ingin tahu.

‘Dulu ayah saya bekerja di Kedutaan Malaysia di Turki. Nama Aya Sofia di ambil sempena nama salah sebuah masjid di Turki yang sangat terkenal yang dahulunya berfungsi sebagai institusi keagaman ia itu masjid dan juga gereja tetapi hari ini ia berfungsi sebaga sebuah muzium dan senibina nya menerapkan unsur agama Islam dan Christian,’ kata Sofia sambil tersenyum.

Aya Sofia…cantik bukan namanya tetapi juga pada orangnya. Dia seolah-olah mendorong hatiku untuk berubah. Aku merasakan dialah bidadari yang tercipta untukku…Aya Sofia sudikah dikau menjadi pemaisuri hatiku…aku mula memasang angan-angan suatu hari Aya Sofia akan aku miliki.

‘Selamat pagi semua, tolong buat latihan di buku teks mukasurat 86, saya ada mesyuarat,’ pantas sahaja mulut Cikgu Rizal berkata-kata ikut serta dengan perlakuannya meninggalkan kami setelah selesai mencatat sesuatu di papan hitam. Suasana kelas yang sunyi bertukar menjadi riuh rendah dengan perkhabaran berita yang di sampaikan oleh Cikgu Rizal.

Bagi aku ini lah peluang untuk mendekati kekasih hatiku, aku mencuba nasib dengan menegurnya dengan baik, tetapi Aya Sofia bukan lah gadis yang ‘mesra alam’, ternyata dia sukar untuk dedekati. Setiap hari jika ada kesempatan aku akan tetap mencuba, pelbagai cara aku mengajaknya keluar tetapi semakin hari Aya Sofia hanya berdiam diri dan menjauhi aku.

‘Hai, Aya Sofia, boleh tolong saya tak? Saya kurang arif soalan Biologi dalam buku teks, boleh awak tolong ajarkan,’ aku menyuntum senyuman yang paling manis kepadanya.

‘Saya ada banyak kerja, kalau awak tak faham tanya lah Cikgu Rizal, maaf saya ada banyak kerja lagi satu tolong berus gigi dahulu sebelum bercakap dengan saya bau rokok awak tu kuat sangat’, Aya Sofia bangun ingin berlalu pergi.

‘Kenapa awak tak suka saya merokok ke?,’ aku menyoalnya.

‘Awak tanyalah mana-mana perempuan mestilah mereka tak suka kaum adam ni merokok. Merokokkan membahayakan kesihatan, saya ibaratkan mereka yang merokok tu hanya menunjuk-nunjuk je atau terpengaruh dengan ajakan rakan sebaya,’ Aya Sofia meneruskan kata-katanya ibarat kereta api meluncur laju.

‘Tapi saya tak merokok,’ aku cuba membohoginya.

‘Terang lagi nak bersuluh, awak ada bau rokok lah,’ Aya Sofia berlalu pergi, kata-katanya amat menusuk, aku bagai dipukul. Baiklah aku akan cuba berhenti merokok keranamu Aya Sofia.

Setiap hari aku cuba pelbagai cara untuk berhenti merokok tatapi aku tidak berjaya. Aku melayari internet untuk mendapatkan info tentang cara-cara berhenti merokok…arghh..sysah betul cara-cara tersebut. Pertama, cuba kurangkan merokok dalam sehari seperti contoh sebatang sehari, kedua banyakkan minum air dan mengunyah gula-gula getah dan yang ketiga lakukaan senaman atau aktiviti yang boleh melalaikan kita daripada merokok.

‘Aya Sofia, saya ada berita gembira,’ aku mengejar Aya Sofia.

‘Awak ni sihat ke tak? Awak Nampak pelik hari ini,’ berkerut muka Aya Sofia melihat aku.

‘Saya dah tunaikan janji awak, saya dah tak merokok dah,’ aku beguitu gembira dengan perubahanku.

‘Baguslah kalau macam tu, tapi saya tak pernah berjanji apa-apa dengan awak’

‘Tapi awak kan suka lelaki yang tak merokok, jadi saya tak merokoklah, saya memang dah lama sukakan awak, saya harap awak terimalah saya’

‘Maaf, saya tak boleh menerima awak, SPM kan nak dekat kita perlu fokus pada masa depan kita,’ Aya Sofia dengan mudah menolak permintaan aku Hati aku bagai dirobek, aku merasakan aku ditipu.

Selepas kejadian semalam, pergaduhan antara aku dan Aya Sofia banyak kali tercetus. Sikap aku yang panas baran tidak disenangi Sofia. Kami selalu berselisih faham tentang pelajaran dan hal yang remeh-temeh. Mujurlah ada Syawal rakan sepermainanku, dia selalu meleraikan pergaduhan kami.

Suatu hari aku ditahan oleh guru disiplin kerana merokok didalam tandas. Lembaga disiplin sekolah telah memberi amaran keras kepadaku.Selain itu,aku dirotan kerana bersikap kurang ajar terhadap beberapa orang guru. Beberapa hari kemudian, Syawal telah dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di belakang bangunan sekolah. Suasana sekolah menjadi gempa dan tanda Tanya tentang orang yang terlibat bermain di kepala setiap para guru dan para pelajar ynag pasti hanya ak sahaja yang tahu. Aku tersenyum puas dendam sudah terbalas. Sanggup Syawal mengkhinati aku.

Pang!! Satu tamparan hinggap dipipiku. Perit….Aya Sofia!! Dia menampar aku. Aku malu, suasana kelas tiba-tiba sepi, dengan nada yang tinggi aku bertanya kepada Sofia mengapa dia tegar berbuat demikian.

‘Kura-kura naik perahu, pura-pura tak tahu pulak. Engkau yang belasah Syawal tempoh hari,mengaku saja lah. Sanggup engkau pukul kawan baik engkau sendiri semata-mata kerana sebatang rokok. Kawan jenis apa engkau ni hah!,’ suara Sofia hamper serak kerana separuh menjerit. Aku mengapai beg galas lalu beredar dari kelas, namun Aya Sofia menahanku.

‘Amir Syakir tolong lah berubah, engkau betul-betul dah rosak. Syawal buat begitu sebab sayingkan kau. Apa yang engkau dapat kalau belasah orang, hisap rokok, lawan guru, cakap melenting apa yang engkau dapat. Jiwa engkau takkan tenang kalau engkau terus begini,’ Sofia cuba menasihati aku.

‘Engkau boleh blah lah, nasihat aku konon. Tepi aku nak lalu. Suka hati aku la nak buat apa, engkau busy-body kenapa? Dah lama hidup. Tepi la,’ tolakkan aku begitu kuat sehingga mendorong Sofia tercium lantai. Esakkannya tidak aku fikirkan. Sekarang aku mahu pulang, tiada kenangan di sekolah lagi. Aku kehilangan segala kasih saying di mana sahaja, malang sungguh diriku ini. Aku menghidupkan enjin motorsikal dan memecut laju keluar dari kawasan sekolah. Fikiranku betul-betul bercelaru.

‘Abang, boleh Nurin Tanya sikit, betul ke dah lama abang merokok?’

‘Kenapa muka abang macam seorang perokok ke?’

‘Nurin tak kisah kalau abang merokok tapi janganlah minum arak. Walaupun hanya setitik abang minum air tu, hati abang akan hitam’

‘Mana Nurin tahu’

‘Itu tak penting yang penting abang insaf. Abang satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kita, siapa nanti nak kendalikan perniagaan ibu bila ibu tua nanti’, Nurin menyambung kata-katanya.

‘Abang minta maaf, abang dah cuba menginsafi diri ini mencari di mana kesalahan abang tapi entahlah, abang tak boleh’

‘Janganlah abang minta maaf dengan Nurin. Minta ampun dengan Allah SWT, ibu dan guru-guru abang dan yang paling penting abang Syawal. Sebenarnya, dia yang beritahu Nurin tentang hal displin abang sehari selepas abang pukul dia. Masih tak terlambat Allah SWT masih menerima abang, Allah SWT maha pengampun lagi maha pengasih kepada hamba-hambanya,’ masih terngiyang-ngiyang nasihat adikku.

Aku terus memecut motosikalku, tiba-tiba sebuah kereta pacuan empat rodameluru dengan laju dan sekujur tubuh tercampak di bahu jalan,darah mengalir mewarnai rumput yang tumbuh meliar bersama debu-debu jalanan. Tragedi ngeri ini mengundang perhatian orang ramai. Walaupun parah tetapi aku masih bernafas.

Dua hari kemudian, persekitaran hospital agak sunyi sekali kerana pada waktu pagi para pelawat jarang kelihatan. Di satu sudut aku duduk keseorangan. Aku betul-betul menyesal dan berasa begitu bodoh tentang apa yang aku lakukan sepanjang 17 tahun aku hidup di dunia. Aku kehilangan kasih seorang ibu, guru-guru, dan sahabat baik kerana sikap aku. Derap tapak kasut ibu memecah lamunanku. Kini, aku benar-benar berdosa . Di dalam hati, aku berdoa agar ibu memaafkan aku.

‘Ibu maafkan Syakir, Syakir janji akan berubahdan mulai sekarang Syakir akan akan berusaha banggakan ibu. Syakir nak tebus dosa lalu,’ laju aimataku mengalir, aku sudah tidak pedulikan orang-orang di sekeliling.

‘Ibu ampunkan Syakir tetapi Syakir kena berjanji minta maaf dengan guru-guru dan kawan-kawan Syakir. Nurin tidak dapat dating hari ini sebab dia ada ujian di sekolah, Nurin kirim salam’

‘Assalammualaikum,’ serentak Sofia dan Syawal mendoakan kesejahteraan aku. Aku menjawab salam mereka. Agak lama aku berpelukan dengan Syawal dalam keadaan yang amat sayu dan pilu, hanya air mata yang mampu menceritakan segala-galanya. Keinsafan yang mula berputik dihatiku akan menjadi landasan untuk menempuhi hari-hari yang mendatang. Aku mahu melupakan semua itu dan mahu menjadi insan yang baru.

Sebulan berlalu, aku kembali ke sekolah berbekalkan semangat yang baru. Mujur ada Syawal yang menolong memberikan aku nota dan latihan sepanjang ketiadaan aku di sekolah. Guru-guru juga sudah memaafkan aku. Setiap tangan guru aku kucup tanda terima kasih kerana memberi ilmu kepada aku. Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa aku kenang.

Aku, Syawal dan Sofia belajar bersama-sama untuk persediaan menghadapai peperiksaan SPM. Seperti biasa aku dan Sofia sering kali bercanggah jawapan , mujur ada Syawal menenangkan kami alamatnya akan tercetus perang dunia ke 3. Kadang kala aku rasa hairan melihat Sofia bersikap tegas atas pendiriannya tapi raut wajahnya makin comel jika dia naik angin…hahaha aku ketawa di dalam hati.

Kini peperiksaan SPM semakin hamper, segala ilmu dan peringatan daripada guru-guru akan aku sematkan di dalam dada tak lupa juga aku melakukan solat memohon agar di permudahkan segala urusan kepada yang maha Esa. Aku berjanji akan mengharumkan nama ibu, guru-guru, sekolah, agama, bangsa dan Negara. Cita-cita aku mengikut jejak langkah ibu akan ku gapai.

Sudah 3 bulan peperiksaan SPM berlalu, aku bersyukur kepada Ilahi kerana memberikan aku ketenangan yang belum pernah aku rasai. Kini aku hanya bertawakal kepadaNya.

‘Tahniah awak dapat 10 A+ Syakir,’ Syawal menghulurkan tangannya lalu aku menyambut mesra.

Congratulation, Encik Syawal, engkau pun apa kurangnya dapat 11 A+ lebih sikit daripada aku sebab engkau ini guru aku mana boleh anak murid lawan sifu,’ serentak kami ketawa.

Kami berjumpa guru-guru dan mengucapkan terima kasih atas ilmu yang mereka turunkan. Aya Sofia juga mendapat keputusan yang memberangsangkan. Ini lah detik yang paling bahagia bagi diriku.

‘Hah!! Berangan lagi!!,’ Syawal menepuk bahuku, aku tersentak daripada lamunanku. Kini, aku dan Syawal berada di UIAM memburu cita-cita masing-masing. Aya Sofia pula dapat tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran di Hidayah Islamic College, Perth, Australia. Aku tersenyum kerana masih ada yang menyayangiku. Kasihku tiada akhitnya kepada ibu, guru-guru, Syawal dan mungkin jugs untuk Aya Sofia. Sekuntum senyuman tiba-tiba sahaja terukir di wajahku. Senyuman yang berbunga harapan.

Sekarang aku sedar bahawa percayalah yang hidup kita tak akan sia-sia jika kita melangkah ke jalan yang betul. Aku sudah hidup positif untuk meneruskan layar lakonan sebenar manjadi manusia yang baik dan terbaik. Terima kasih semua.


Ini Iklan.Silakn Tgk.

Tinggalkan Link Anda Disini